Wednesday, August 25, 2010

Hakim Nasihat Anak Pulang Selesai Masalah Dengan Bapa

Selasa Ogos 24, 2010

KUALA TERENGGANU: Seorang hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menasihati seorang pengurus operasi sebuah syarikat cari minyak swasta yang menghadapi tuntutan nafkah penjagaan dua anaknya supaya mengambil kesempatan Hari Raya nanti untuk menemui ayahnya bagi menyelesaikan masalah itu.

Hakim Kamarul Azmi Ismail memberitahu Nasrum Mustafa, 37, bahawa bapanya cukup teringin untuk berjumpa dengannya setelah lebih tujuh tahun mereka tidak bertemu. Hakim menasihatkan demikian setelah pihak defendan menyatakan persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan di luar mahkamah.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu oleh peguam defendan Abdullah Muhamad bahawa anak guamnya tidak dapat menghadiri prosiding sebutan semula kes itu pada hari ini kerana mempunyai tugasan di Johor Baharu.

"Anak guam saya juga bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan ini di luar mahkamah dan beliau difahamkan sedang membuat permohonon pinjaman semula perumahannya bagi membayar tuntutan pihak plaintif," katanya.

Setelah ditanya hakim, bapa Nasrum, Mustafa Ismail, 54, berkata anaknya itu tidak pernah menghubunginya atau kedua-dua anaknya, seorang perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki, 15 tahun, selepas kes itu mula disebut pada pertengahan Julai lepas.

"Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memerintahkan dia untuk pulang berjumpa dengan ayahnya kerana ia terpulang kepada dirinya sendiri. "Walau apa jua masalah dan alasan sekalipun kembalilah kepada hukum," katanya.

Hakim Kamarul Azmi turut memetik riwayat Al Hakim yanng menyebut semua dosa yang dilakukan ditangguhkan melainkan dosa kepada kedua orang tua yang mana Allah akan segerakan hukumannya di dunia lagi.

"Paling ditakuti apabila Allah menghukum dengan menutup pintu hatinya, dan iman tidak dapat masuk dan dengan itu semua yang dilakukannya difikirkan betul.

"Hukuman mahkamah boleh selesaikan pertikaian, tetapi tidak boleh selesaikan apa yang terpendam di dalam hati. Jadi sebaiknya lakukanlah penyelesaian, baliklah berjumpa dengan ayah dan anak-anak," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu dan meminta Nasrum untuk hadir.

Sementara itu, ketika ditemui di luar kamar mahkamah peguam plaintif Fazru Anuar Yusof berkata, anak guamnya tidak terlalu mengambil kira soal tuntutan tersebut sebaliknya mahukan anaknya itu pulang berjumpa dengannya serta dua anak yang ditinggalkan itu pada hari raya nanti.

Pada 13 Julai lepas Mustafa menuntut anak lelakinya itu membayar nafkah penjagaan dua cucunya sebanyak RM20,000 sebagai tunggakan perbelanjaan penjagaan selama lebih tujuh tahun.

Selain itu, Mustafa juga menuntut anaknya yang berpendapatan hampir RM17,000 sebulan supaya memberi nafkah RM800 sebulan menerusi potongan gaji dan dimasukkan terus ke akaun cucunya untuk perbelanjaan penjagaan mereka. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/8/24/mstar_mahkamah/20100824170124&sec=mstar_mahkamah

Minuman ringan beralkohol

MOHAMED menunjukkan sebahagian minuman ringan beralkohol menggunakan label buah-buahan di pejabatnya di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN - Kerajaan digesa mengharamkan minuman ringan beralkohol yang menggunakan label buah-buahan kerana ia dibimbangi menjejaskan otak penggemarnya terutama pelajar dalam jangka panjang.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris berkata, satu kajian hasil daripada aduan guru-guru mendapati, sekelompok pelajar sebuah sekolah di barat daya Pulau Pinang telah ketagih minuman tersebut.

Beliau berkata, terdapat 15 jenis minuman mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus kini dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam di negeri itu.

Menurutnya, ia juga diletakkan sebaris dengan minuman biasa dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk remaja dan kanak-kanak.

"Penjualan minuman dengan harga di antara RM4 hingga RM10 sebotol ini bertentangan dengan undang-undang yang melarangnya dibeli oleh individu berumur 18 tahun ke bawah,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Lebih mabuk daripada bir



Oleh Idris Musa dan Kalidevi Mogan Kumarappa

2010/08/25

KUALA LUMPUR: Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati ada lebih daripada 15 jenis minuman beralkohol di pasaran tampil sebagai minuman ringan, sekali gus menimbulkan kekeliruan ramai.

MENGELIRUKAN...Idris menunjukkan pelbagai jenama minuman beralkohol yang dijual di pasaran.
MENGELIRUKAN...Idris menunjukkan pelbagai jenama minuman beralkohol yang dijual di pasaran.
Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata minuman ringan beralkohol ini boleh didapati di dalam botol 275 mililiter dengan dengan pelbagai perisa termasuk perisa buah yang dijual pada harga dari RM4 hingga RM10.

“Pengeluar menggunakan warna amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudian akan ketagih.

“Malah, dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya empat hingga 6.3 peratus dalam minuman ringan ini.

Bir yang diminum dengan meluas mengandungi lima peratus alkohol, bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir,”
katanya, dalam satu kenyataan, semalam.

Antara minuman ringan yang ada kandungan alkohol terbabit ialah Storm Twistonic Gin & Tonic (6.3 peratus alkohol), Storm High Ball (5.6 peratus alkohol), Storm Screw Driver (5.6 peratus alkohol), Pelican Black Current + Vodka (5 peratus alkohol), Pelican Pink Vodka (5 peratus alkohol) dan Pelican Vodka Orange (5 peratus alkohol).

Mohamed berkata, undang-undang dengan jelas menyatakan minuman beralkohol dilarang kepada mereka berusia bawah 18 tahun, namun minuman ringan terbabit dijual sewenang-wenangnya kepada pelajar sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Beliau berkata, pihaknya merasakan hak pengguna dicabuli, malah keadaan itu juga amat tidak sihat kepada generasi muda.

“Pihak pengeluar menggunakan taktik ini untuk meningkatkan jualan mereka.

“Ia akan membawa mereka kepada ketagihan minuman alkohol lain yang lebih tinggi kandungan alkoholnya. Ini cara berbahaya memerangkap masyarakat ke dalam rantaian penagihan alkohol yang akan memastikan keuntungan berterusan kepada syarikat alkohol,”
katanya.

Katanya, pihak berkuasa disaran mengambil beberapa tindakan kerana minuman itu tidak seharusnya dijual sebagai minuman ringan.

Menyimpan tali pusat untuk kecemasan




TIGA tahun lalu, doktor mengesahkan Philip Meehan, 42, dari West Sussex, Selatan England menghidap penyakit leukemia dan memerlukan pembedahan pemindahan sumsum tulang dengan segera.

Oleh kerana Meehan merupakan anak tunggal, dia tidak mempunyai kesesuaian darah di kalangan ahli keluarga untuk membantunya. Pada masa yang sama, dia mengambil inisiatif mencari penderma melalui Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan Anthony Nolan Trust selama enam bulan. Namun, usaha itu gagal.

"Keadaan menjadi kelam-kabut kerana saya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang. Dalam kebingungan itulah, pihak hospital memberitahu saya mengenai satu perkara baru iaitu rawatan daripada darah tali pusat," katanya.

Kebetulan satu tali pusat ditemui dan ia sepadan dengan darah Meehan, walaupun harapannya tipis tetapi itu adalah satu-satunya penyelesaian buat kelangsungan hayat Meehan.

"Saya begitu bertuah dan bersyukur kerana seorang ibu dan bayi yang tidak dikenali telah menyelamatkan nyawa saya. Setiap hari saya akan memikirkan tentangnya (bayi) yang telah mendermakan sel stemnya.

"Oleh kerana program amanah tersebut merahsiakan maklumat penderma, saya tidak dapat mengetahui siapa mereka sampai bila-bila.

"Namun, saya bersyukur dan berharap mereka dikurniakan kesihatan yang baik pada masa depan seperti mana mereka memberikan 'kehidupan' baru buat saya," katanya yang bekerja sebagai jurutera bunyi.

Tambah Meehan, walaupun tidak 100 peratus pulih tetapi keadaan kesihatannya lebih baik berbanding dahulu.

"Saya masih rasa letih tetapi kekuatan saya kian kembali dan akan kembali seperti normal. Tidak sesihat dahulu tetapi ia hampir normal," katanya.

Itu adalah salah satu cerita kejayaan rawatan menggunakan sel stem yang kian mendapat sambutan. Ia bukan sahaja digunakan untuk merawat penyakit yang kritikal seperti leukemia malah, mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, penyakit hati dan osteoartritis.

Pengasas Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar memberitahu, sel stem merupakan sel utama yang terdapat di dalam badan manusia. Ia boleh berganda daripada satu sel kepada dua, dua kepada empat, empat kepada lapan dan berikutnya.

Selain itu, ia juga boleh berubah menjadi jenis sel dan tisu yang lain. Terdapat dua jenis sel stem manusia iaitu sel stem Hematopoietik (HSCs) dan Mesenkima (MSCs).


PROSES pengambilan sel stem daripada tali pusat bayi bukanlah satu proses yang menyakitkan atau memudaratkan ibu dan bayi.


"Sel stem HSCs hanya boleh berubah menjadi komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih dan platlet manakala sel stem MSCs pula boleh berubah menjadi sel-sel dan tisu-tisu seperti otak, jantung, tulang, saraf dan rawan.

"Sel stem ini boleh datang daripada beberapa sumber seperti tali pusat (MSCs) dan darah tali pusat (HSCs) untuk bayi. Bagi orang dewasa pula sel stem boleh diambil daripada tisu adipos (MSCs), tulang sumsum (MSCs) dan darah periferi (HSCs)," katanya.

Malah, menurut standard antarabangsa, sel stem boleh terus hidup bagi tempoh masa yang tidak terbatas selagi ia disimpan pada suhu -190 darjah Celsius.

Baik pulih tisu

Nor Ashikin memberitahu, bidang perubatan kini memberikan fokus menggunakan sel stem untuk membaiki kerosakan tisu dan organ kerana ia dapat membantu bayi jika diserang penyakit atau kecederaan.




"Para doktor percaya bahawa sel stem mampu untuk memulih dan membaiki kerosakan yang berlaku. Bidang perubatan yang semakin berkembang kini terarah pada rawatan yang melibatkan kecederaan otak dan diabetes juvenil," ujarnya.

Dalam pada itu, sel stem juga dikatakan mampu merawat penyakit seperti sklerosis lateral amiotrofi (ALS), kecacatan jantung sejak lahir, kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak, hilang pendengaran, penyakit hati, strok, palsi serebrum, penyakit jantung serta kecederaan ortopedik.

Selama ini kita disogok dengan maklumat bahawa sel stem hanya boleh didapati daripada tali pusat bayi namun, ia juga boleh didapati pada orang dewasa tetapi apabila peningkatan usia berlaku potensi sel stem tersebut merosot. Ini menunjukkan sel stem yang muda lebih baik.

Disebabkan orang dewasa tidak berpeluang menyimpan sel stem mereka, syarikat seperti CryoCord menyediakan perkhidmatan penyimpanan AdiMSCs, MarrowMSCs dan PBSCs kepada golongan dewasa.

"Walau bagaimanapun, sel stem tidak mampu menyembuhkan segala penyakit sebagaimana para penyelidik percaya bahawa rawatan sel stem mempunyai potensi bagi mengubah rawatan ke atas penyakit manusia.

"Terdapat beberapa rawatan sel stem melibatkan golongan dewasa sudah wujud, terutama sekali melibatkan pemindahan sumsum tulang yang digunakan untuk merawat leukemia," katanya.

Tambahnya, penyelidik perubatan juga menjangkakan dapat menggunakan teknologi daripada penyelidikan sel stem untuk merawat pelbagai jenis penyakit secara meluas termasuk kanser, penyakit parkinson, kecederaan saraf tunjang, sklerosis lateral amiotrofik (kemerosotan otot), sklerosis berbilang, kecederaan otot dan beberapa ketidaksempurnaan yang lain.

"Rawatan menggunakan sel stem untuk menyelamatkan nyawa sudah pun dipraktikkan sejak beberapa dekad yang lalu termasuk rawatan bagi pesakit leukemia, kanser dan gangguan darah," ujarnya.

Tidak menyakitkan


SEL stem perlu disimpan dengan teliti di dalam cecair nitrogen dalam suhu -190 darjah Celsius bagi mengelakkannya rosak.


Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jualan CryoCord Sdn. Bhd., Pan Yok Suan memberitahu, prosedur pengambilan sel stem tidak menyakitkan kerana ia berlaku di luar tubuh dan pakar sakit puan hanya melakukan kutipan selepas si ibu melahirkan bayi.

"Ibu tidak akan rasa apa-apa kesakitan, begitu juga dengan bayi kerana tali pusat bayi hanya terdiri daripada vena dan arteri bukannya saraf.

"Berhubung dengan prosedur pungutan darah tali pusat, doktor akan mengambil darah tali pusat dan disimpan di dalam beg khas sejurus selepas kelahiran bayi. Doktor akan memotong tali pusat selepas plasenta keluar," katanya sambil memberitahu kutipan tersebut kemudian akan dihantar ke makmal di Cyberjaya, Selangor untuk diproses.

Berdasarkan Protokol Pembekuan Darah Tali Pusat New York, sel stem boleh disimpan sepanjang hayat di bawah suhu - 150 darjah Celsius.


SEL stem daripada tali pusat dikeluarkan untuk penyimpanan. - Gambar hiasan


CryoCord akan menyimpan sel stem di dalam cecair nitrogen yang mana suhunya -190 darjah Celsius. Selain itu, CryoCord akan membayar ganti rugi jika semua sel stem yang disimpan rosak apabila pengambilan sel stem untuk pemindahan.

Dalam pada itu, Yok Suan memberitahu kesedaran masyarakat kini mengenai penyimpanan sel stem sangat baik dan memberangsangkan, namun ia masih memerlukan sokongan daripada kerajaan seperti di negara-negara lain yang menggalakkan rakyatnya menyimpan sel stem.

"Menjadi organisasi perintis menyediakan kemudahan sel stem cryopreservation di Malaysia, CryoCord membina asas yang kukuh dengan membina pejabat dan makmal yang terletak di Lembah Klang.

"Dengan rangkaian yang luas di seluruh negara, kami mempunyai pejabat di di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kuching di mana perunding kami akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk menyampaikan maklumat kepada semua pelanggan yang berada di luar Lembah Klang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Stim bot soba o-Shima




KEBIASAANNYA kita menikmati sup stim bot perisa ayam ataupun tom yam ketika menikmati juadah berbuka puasa.

Apa kata, pada bulan Ramadan kali ini kita berubah selera dengan mencuba stim bot yang menggunakan sup soba di Restoran Jepun O-Shima, Seksyen 26, Shah Alam, Selangor.

Pemilik restoran, Nor Ashraf Abd. Wahab berkata, sempena bulan Ramadan ini restoran tersebut menawarkan menu berlainan iaitu stim bot dengan tiga perisa pilihan iaitu ayam, tom yam dan soba.

“Pelanggan-pelanggan dikenakan bayaran RM15 sahaja. Pada harga itu juga mereka juga mendapat nasi goreng, air sirap bandung dan buah kurma.

“Pelanggan-pelanggan juga boleh memilih pelbagai bahan-bahan seperti bebola ikan, sotong, udang, ayam, stik ikan dan sayur-sayuran untuk dimasukkan ke dalam sup stim bot berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Nor Ashraf menambah, kelainan sup soba adalah ia menggunakan pati ikan bonito yang menjadikannya lebih lazat. Selain itu, bahan-bahan stim bot dan air bandung juga boleh ditambah pada bila-bila masa tanpa dikenakan bayaran tambahan.

Selain set stim bot, pelanggan-pelanggan juga boleh mencuba pelbagai jenis menu hidangan masakan Jepun seperti gekikara ramen, shokado bento, okonomiyaki dan macam-macam lagi.

“Set okonomiyaki agak berlainan sedikit kerana para pelanggan boleh memasak sendiri dengan memilih tiga bahan iaitu makanan laut, daging ataupun ayam.

“Kita juga ada menyediakan pelbagai menu masakan ala Thai sekiranya masakan Jepun tidak menepati cita rasa mereka,” ujar

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Tiger Woods sah bercerai


GAMBAR fail menunjukkan Tiger Woods dan Elin Nordegren (kanan) di sebuah stadium di Stanford, California pada 21 November 2009.


PANAMA CITY, Amerika Syarikat (AS) - Bintang golf, Tiger Woods dan isterinya, Elin Nordegren telah bercerai secara rasmi.

Pengumuman itu dibuat setelah perkahwinan mereka runtuh disebabkan siri- siri skandal seks melibatkan Woods.

Pada tahun lalu, media membongkar kecurangan Woods yang menjalin hubungan dengan sejumlah wanita termasuk pelakon filem lucah.

Woods, 34, dan isterinya yang berusia 30 tahun dari Sweden itu dalam satu kenyataan bersama kelmarin memberitahu, mereka sedih kerana perkahwinan enam tahun mereka berakhir dengan perceraian.

Namun, tambah kenyataan sama, mereka mengharapkan masing-masing memperoleh masa depan yang cerah dan berjanji akan tetap bekerjasama demi kegembiraan anak-anak.

"Walaupun kami bukan lagi suami isteri, kami adalah ibu bapa kepada dua anak yang baik dan kegembiraan mereka sentiasa menjadi kepentingan kami," kata kenyataan tersebut.

Dalam petisyen perceraian Nordegren yang difailkan pada awal Julai lalu, dia mendakwa perkahwinannya tidak dapat diselamatkan lagi.

Dia turut meminta untuk kembali menggunakan nama asalnya semasa dia belum berkahwin.

Woods dan Nordegren menghadiri proses perceraian mereka di sebuah mahkamah di sini.

Dokumen mahkamah mendedahkan Nordegren berpindah dari kediaman mereka pada November lalu dan menetap di sebuah kediaman berhampiran yang lain.

Woods mengahwini Nordegren, seorang bekas model, pada Oktober 2004 di Barbados dan pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun, Sam dan Charlie yang berumur 19 bulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Takdir budak disembelih bapa


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah tempat berlakunya kejadian seorang bapa menyembelih anaknya, Mohd. Adam (gambar kecil) di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Luluh hati seorang ibu apabila melihat suaminya yang mengalami masalah mental tergamak menyembelih anak lelaki kesayangan mereka di dalam bilik air walaupun dia merayu berkali-kali supaya si suami tidak meneruskan niatnya dalam satu kejadian menyayat hati di Kampung Sungai Budor di sini semalam.

Mohd. Adam Muszhaffar Muhaimin, 3, meninggal dunia selepas lehernya hampir putus disembelih oleh bapanya, Muhaimin Sautar, 33, dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu.

Selepas menyembelih anaknya yang memakai jersi tertera nama pemain bola sepak Rusia, Andrei Arshavin yang kini mewakili pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Muhaimin yang merupakan bekas pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di sini cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi tindakan itu gagal apabila dia diselamatkan penduduk.

Difahamkan, Muhaimin bertindak demikian selepas dia gagal mengawal diri apabila dia didakwa telah lama tidak memakan ubat sakit mental.

Jiran-jirannya kemudian bertindak menghubungi polis sebelum dia dibawa oleh pasukan keselamatan itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Mangsa merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik. Dia mempunyai seorang kakak, Shafiqah, 8, dan seorang adik, Siti Aishah, 2.

Isteri Muhaimin, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata, sebelum kejadian, suaminya mengadu panas badan dan dia kemudian duduk di bawah rumah berhampiran dengan bilik air rumah mereka.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia mendengar Mohd. Adam menjerit lalu dia bergegas ke bilik air.

“Apabila saya sampai, luluh hati saya tatkala melihat suami saya bersungguh-sungguh menyembelih Mohd. Adam. Ketika itu suami berada di atas Mohd. Adam tanpa bersuara walaupun saya memintanya supaya berhenti.

“Saya hanya mampu melihat darah membuak-buak mengalir ke lantai sehinggalah Mohd. Adam terkulai kaku dan tidak lagi bernyawa,” ceritanya ketika ditemui semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0825&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Mahligai tanpa dinding



Oleh Ibrahim Isa

2010/08/24

BATU PAHAT: Disebabkan terlalu daif, sepasang suami isteri bukan saja terpaksa menyerahkan tiga anak mereka kepada ahli keluarga untuk dibela, malah turut mendiami sebuah pondok tidak berdinding dan berlantaikan tanah di Kampung Sri Desa, Ayer Hitam sejak setahun lalu.

DAIF...Salidah bersama antara dua anak di pondok mereka.
DAIF...Salidah bersama antara dua anak di pondok mereka.
Pelbagai usaha dilakukan keluarga berkenaan untuk membaiki nasib mereka, namun dengan pendapatan tidak seberapa menyebabkan hidup keluarga itu hanya bergantung bantuan keluarga dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Bagaikan jatuh ditimpa tangga, keluarga berkenaan juga terpaksa meratap pemergian anak keempat, Shahidan Hashim, 12, apabila kanak-kanak berkenaan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan maut, Khamis lalu.


Salidah Selamat, 39, berkata disebabkan terlalu daif dia dan suami terpaksa menyerahkan tiga anak kepada keluarga terdekat, manakala baki enam anak dibela mereka.


“Kami hidup dengan bantuan bulanan JKM sebanyak RM300, selain ihsan keluarga yang banyak menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga.


“Walaupun pondok ini hanya beratapkan zink, tidak berdinding dan berlantaikan tanah, kami terpaksa meneruskan hidup kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.


“Sebelum ini, kami menyewa di Ayer Hitam, namun disebabkan masalah kewangan dan keluarga, kami terpaksa meminta bantuan bapa dan menumpang di tanah keluarga,” katanya.


Menurutnya, pondok itu dibina sendiri bapanya dan ia menjadi tempat mereka berlindung dan tidur kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.


“Saya sedar anak saya ramai dan sebab itulah, saya, suami dan dua anak tidur di pondok ini manakala arwah dan anak lain menumpang tidur di rumah ayah.


“Walaupun pondok ini tidak kukuh dan sempit, kami tetap bersyukur kerana sedar rumah ayah juga perlu menampung ahli keluarga lain,”
katanya.


Menurutnya, mereka sekeluarga cuba membaiki nasib dengan anak sulung bekerja di sebuah kedai cenderahati, namun gajinya sebanyak RM300 sebulan sukar membantu mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati, pondok kecil itu tidak berdinding, mempunyai pangkin dibina di bahagian atas sebagai bilik tidur yang sempit dan hanya ditutup menggunakan papan lapis bagi mengelak pandangan orang ramai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahligaitanpadinding/Article

'Saya tak menipu'



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/08/24

AMPANG: “Saya hanya bercakap perkara benar dan biar semuanya diputuskan di Mahkamah Syariah kelak. Kebenarannya dan semua fakta akan hanya didedahkan di mahkamah nanti.”

Demikian kata isteri pemain badminton negara, Nurhayati Othman, 38, berhubung tuduhan penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman membuat laporan polis dengan mendakwa dia memberi maklumat tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Rabu lalu.

Nurhayati berkata, dia sanggup bersumpah dengan nama Allah tiada satu pun fakta yang dikeluarkan sengaja ditokok tambah atau dikurangkan.

Menurutnya, kenyataannya bukan cerita palsu atau rekaan berikutan ia pengakuan bersumpah atas nama Tuhan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamad.

“Saya tidak menjangka dan terkejut dengan tindakan Raja Azmi membuat laporan di Balai Polis Ampang Khamis lalu mendakwa saya menipu dan memberi maklumat tidak benar di mahkamah.

“Tindakannya itu sendiri (Raja Azmi) seolah-olah menghina mahkamah apatah lagi dengan pelbagai komen dari sebelah pihak yang kerap keluar di media (bukan kumpulan akhbar NSTP) sebelum perbicaraan kes itu berlangsung di mahkamah 1 September depan,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Nurhayati turut membuat laporan sama di Balai Polis Ampang pada jam 1.15 tengah hari, Jumaat lalu.

Dia yang juga Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terpanggil untuk berbuat demikian selepas membaca beberapa laporan artikel di akhbar tempatan.

Dalam laporannya, Nurhayati mendakwa tidak pernah menghantar sebarang SMS berbaur ugutan kepada Raja Azmi selain SMS terakhir dikirim pada jam 7.23 malam, 6 Ogos lalu, dengan niat untuk bertanya khabar Raja Azmi.

Bagaimanapun, kiriman SMS dihantar Nurhayati langsung tidak dibalas Raja Azmi sebelum insiden produser filem terbabit ditemui bersama suaminya, Roslin Hashim, 35, di bilik Hotel Corus, Jalan Ampang sehari selepas SMS itu dihantar.

“Laporan polis yang saya buat bertujuan menafikan saya berniat memfitnah Raja Azmi. Biar mahkamah memutuskannya kelak dan segala bukti akan hanya diketengahkan di hadapan hakim.

“Saya ingin nama saya dibersihkan berikutan ia mencemar reputasi dan nama baik saya apatah lagi saya bertugas sebagai penjawat awam. Jika ada yang ingin diperkatakan, biar ia didedahkan di mahkamah dan bukan hanya serangan melalui media,”
katanya.

Menurutnya, walaupun sedikit kecewa, namun dia cuba untuk bangkit dan berfikiran positif dalam mengharungi dugaan berat berkenaan.

Nurhayati dalam kenyataan di mahkamah sebelum ini berkata, perceraian mereka berlaku selepas dia mendapati suaminya bersama penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini, pada 7 Ogos lalu.

Dia mendakwa mendapat tahu Roslin dan Raja Azmi ke Hotel Corus dan mendaftar masuk di bilik 533 di atas nama Raja Azmi. Dia bersama ibu dan dua adiknya ke tingkat lima hotel itu dan menunggu suami Raja Azmi, Jalani Sidek untuk bersama-sama ke bilik 533 di tingkat tiga hotel itu.

Namun, katanya Jailani seolah-olah cuba melengahkan mereka ke bilik itu kerana dia sudah menelefon Roslin dan mengarahkannya keluar dari bilik itu. Dia mungkin bimbang mereka ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana berdua-duaan.

Difahamkan berlaku perdebatan antara Roslin dan Nurhayati sebelum lafaz cerai dijatuhkan Roslin terhadap isterinya yang baru dikahwini tidak sampai sebulan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...