Thursday, June 10, 2010

Budak ketagih rokok lepas nahas


GAMBAR menunjukkan Ya Wen menghisap sebatang rokok walaupun dia baru berumur tiga tahun.


BEIJING - Seorang kanak-kanak perempuan China berusia tiga tahun, Ya Wen ketagih rokok dan minuman keras selepas dia tersedar daripada koma akibat nahas jalan raya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu budak itu berkata, anaknya bertukar personaliti setelah dia koma selama lima hari akibat cedera parah setelah dilanggar sebuah van di bandar Huizhou, selatan China tahun lalu.

Menurut ibunya, dia terkejut apabila melihat Wen mampu menghabiskan sekotak rokok milik bapanya setiap hari yang dihisapnya di dalam tandas.

"Dia turut suka meminum bir dengan tiga gelas minuman keras itu boleh diminumnya sekali gus," kata ibunya.

Pada asalnya, budak itu mencuri rokok untuk dihisap tetapi dia kini berhutang dengan pemilik sebuah kedai tempatan kerana rokok tersebut disangka untuk bapanya.

Ibunya berkata, anaknya itu akan menangis jika tidak dibelikan pakaian lelaki.

Baru-baru ini, seorang budak lelaki Indonesia, Ardi Rizal yang berusia dua tahun menggemparkan negara itu apabila rakaman video di lamanYouTube di Internet menunjukkan dia ketagih rokok. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Polis siasat '3 selebriti seks'


GAMBAR poster iklan menunjukkan Luna Maya bersama Ariel.


JAKARTA - Tiga selebriti Indonesia yang didakwa muncul dalam video seks yang disiarkan di Internet akan disoal siasat kerana kemungkinan mereka melanggar undang-undang antipornografi, kata polis semalam.

Pada minggu lalu, dua video klip seks melibatkan pelakon sinetron, Luna Maya dengan anggota kumpulan Peterpan, Ariel tersebar di Internet.

Seorang lagi selebriti Indonesia yang merupakan seorang pengacara, Cut Tari turut terlibat dalam video seks dengan kekasihnya.

Ketua Detektif Polis, Ito Sumardi berkata, selebriti itu akan disoal mengenai bagaimana klip berkenaan boleh muncul di Internet.

"Kami akan menyoal mereka bagi mengetahui mengenai klip tersebut dan bagaimana ia boleh diedarkan di khalayak awam," katanya kepada pemberita.

Luna merupakan duta muhibah Program Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain pernah muncul bersama dengan Ariel dalam iklan makanan dan kosmetik Unilever.

Skandal itu telah menggemparkan Indonesia sehingga Ariel digelar Peterporn di laman Twitter. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Budak banyak lengan dibedah

Budak banyak lengan dibedah


GAMBAR menunjukkan Deepak Paswan
sebelum dia menjalani pembedahan
di sebuah hospital di Bihar semalam.


BIHAR, India - Seorang budak lelaki India berusia tujuh tahun, Deepak Paswan akhirnya selamat menjalani pembedahan bagi membuang lapan anggota tambahan menyerupai kaki dan tangan di sebuah hospital dekat sini semalam.

Sepasukan 15 doktor di Hospital Fortis di Bangalore membuat pembedahan itu bagi membuang lebihan anggota tambahan tersebut yang sebenarnya merupakan daging parasit dan bersambung ke bahagian abdomen.

Anggota tambahan itu seolah-olah seperti empat tangan dan empat kaki.

Sebelum dia dibedah, terdapat penganut-penganut agama Hindu yang memujanya sebagai jelmaan Dewa Vishnu yang mempunyai banyak anggota badan.

"Dia sudah 100 peratus pulih," kata ketua pasukan pembedahan, Ramcharan Thiagrajan.

Menurutnya, pasukan pembedahan tersebut berdepan dengan cabaran untuk memastikan bahagian usus budak itu berfungsi dengan betul untuk tempoh jangka panjang.

Bapanya, Viresh Pasawan berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana kos pembedahan yang mencecah 2.34 juta rupee (RM166,350) ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital berkenaan.

Anaknya dimasukkan ke hospital itu pada 30 Mei lalu.

Pasawan yang berusia 30-an dan bertugas sebagai pekerja pembinaan menyifatkan pembedahan anaknya dianggap paling rumit serta berbahaya apabila ia mengambil masa selama empat jam.

Pasawan menganggap pembedahan anaknya itu sebagai ajaib. Dia berkata, anaknya itu akan pergi ke sekolah sebagai manusia normal selepas pulih daripada pembedahan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

RM70 sara 2 anak OKU

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

2010/06/10

KUALA LUMPUR: “Dengan kos sara hidup semakin tinggi, bagaimana saya mampu membeli keperluan untuk anak kelima saya yang hanya mampu berbaring sepanjang masa walaupun usianya kini sudah 25 tahun.

“Puas saya membuat rayuan bantuan sara hidupnya dinaikkan tapi masih tiada jawapan. Sejak mendapat bantuan RM70, jumlah itu kekal sampai sekarang,” luah warga emas, Saliah Bani, 62 dari Jengka, Pahang.


Dia yang juga suri rumah berkata, selain anak gadisnya itu, Nor Azimah Khamis, dia turut mempunyai seorang anak lelaki yang turut dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Warga emas malang itu turut kesal kerana tiada siapa daripada jawatankuasa kawasan tempat tinggalnya di Felda Kenanga, Jengka 7, Pahang, yang pernah bertanya khabar apatah lagi menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik sepertinya.

“Dengan bantuan sebanyak itulah saya terpaksa membeli kelengkapan harian, malah dengan kudrat yang ada saya bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung perbelanjaan. “Ikutkan hati, saya mahu bekerja bagi mengurangkan beban kami sekeluarga tapi dengan usia sebegini, siapa yang mahu ambil saya. Tambahan pula, saya perlu menjaga Azimah kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri,” katanya.


“Bukan saya tidak mempunyai anak lain untuk membantu, tapi mereka pun sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri, kadang-kadang pendapatan mereka hanya cukup-cukup makan saja,” katanya yang mempunyai lapan anak ketika ditemui, di sini, semalam.


Lebih malang bagi wanita itu kerana turut menghidap asma dan kadangkala terpaksa berhempas pulas mengangkat Azimah ke tandas.

Saliah berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan bubur untuk anaknya itu kerana dia tidak mampu bergerak selepas mengalami demam panas ketika berusia 44 hari.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Hulu Langat, Zainab Mat Amin ketika dihubungi berkata, skim bantuan am RM70 diperuntukkan untuk pemohon biasa manakala skim bantuan pesakit kronik RM300 diperuntukkan bagi pesakit terlantar.


“Bagaimanapun, skim bantuan bagi pesakit kronik baru diperkenalkan tahun lalu. Mungkin masalah timbul kerana proses menukar skim bantuan am kepada skim itu mengambil masa kerana JKM perlu menyiasat latar belakang pemohon.


“Bagaimanapun, pengadu dinasihatkan pergi semula ke JKM terdekat dan menceritakan masalah dihadapi dan memang menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka yang memerlukan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM70sara2anakOKU/Article

Amah dijel 15 tahun

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/06/10

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dituduh membunuh majikan perempuannya dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu terhadap Indah Wijayanti, 23, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian majikannya mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Sebelum ini, dia menghadapi hukuman mati mandatori mengikut tuduhan asal, iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga bernasib baik mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap pada 2 Julai 2007. Indah mengaku menyebabkan kematian Kek Huey Lian, 41, di rumah No 19, Jalan Batu Perdana, Klang, antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, 2 Julai 2007.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Isa Hassim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh berikutan pembunuhan itu menyebabkan anak mangsa mengalami trauma teruk apabila kehilangan ibu mereka.

Menurutnya, walau apapun alasan diberikan pihak pembelaan, termasuk laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta menyatakan mangsa mengalami kemurungan, tertuduh didapati waras ketika kejadian.

Bagaimanapun, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Indah pula memohon mahkamah mengambil kira bahawa fakta sebelum kejadian bahawa tertuduh sentiasa dimarahi dengan kata-kata kesat oleh si mati. Ini, katanya, menunjukkan ada elemen penderaan yang dihadapi tertuduh.


“Anak guam saya mula bekerja dari jam 5.30 pagi hingga 12 tengah malam dan tidak pernah diberi cuti. Segala beban kerja rumah diuruskan tertuduh termasuk menjaga anak majikannya,” katanya.

Katanya, Indah menyesal dengan perbuatannya dan sedih serta meminta maaf kepada keluarga mangsa. “Ini terutama anak bongsu mangsa yang menjadi satu-satunya pengubat rindu di rumah mangsa. Ini kerana Indah tiada sahabat atau saudara di Malaysia,” katanya.

“Saya pohon mahkamah mengambil kira semua faktor ini dengan meringankan hukumannya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahdijel15tahun/Article

Tangkap bogel rumah kongsi

Oleh Nor Husaini Nor Majid

2010/06/10

KULIM: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun hanya mampu menutup kemaluan dan payu daranya dengan tangan apabila dia dan teman lelakinya yang mengadakan hubungan seks diserbu Penguatkuasa Agama Islam Daerah Kulim (PADK), Kedah dalam satu serbuan cegah maksiat, malam kelmarin.

Ketika serbuan jam 11.45 malam itu, remaja berkenaan dan pasangannya berusia 25 tahun itu yang leka melakukan seks terkejut dengan kehadiran PADK dan anggota polis.


Remaja perempuan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini dan pasangannya seorang buruh ditahan berkhalwat di sebuah rumah kongsi di Junjung yang juga kediaman lelaki terbabit.


Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya yang menerima aduan dari Balai Polis Junjung, ke rumah kongsi berkenaan pada jam 9 malam tetapi tiada penghuni di situ sebelum kembali semula jam 11.45 malam.


“Sejurus kemudian, kami menyerbu rumah kongsi berkenaan dan ketika itu pasangan terbabit melakukan hubungan seks.


“Mereka dalam keadaan berbogel hanya menggunakan tangan menutup kemaluan sebelum remaja perempuan itu menyorok di belakang pasangannya,”
katanya.


Azmi berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim dan ditahan di lokap sebelum ibu bapa pasangan itu dipanggil untuk proses ikat jamin.


Katanya, melalui siasatan dijalankan, pelajar perempuan itu baru mengenali pasangannya 20 hari lalu selepas putus cinta dan mengadakan hubungan seks dengan lelaki terbabit 18 Mei lalu.


Malah, katanya, remaja itu juga mengaku sering mengadakan hubungan seks dengan bekas teman lelaki sebelum ini serta lelaki lain.


“Remaja perempuan itu memberi alasan berkunjung ke rumah abang kepada keluarganya untuk keluar tetapi kesempatan itu digunakan berjumpa teman lelaki di rumah kongsi itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangkapbogelrumahkongsi/Article

'Kalau hendak kahwin, balik dulu'

2010/06/10

MUAR: “Kalau betul dah hendak kahwin, balik dulu, bukan lari rumah dengan teman lelaki macam ‘koboi’,” itu luahan seorang ibu, Normah Mohd Nor, 52, yang kecewa anak gadisnya menghilangkan diri kali kedua dalam tempoh lima bulan sejak Februari lalu.

Lebih mengecewakan, Norfarahin Jalaludin, 20, akan menamatkan pengajiannya di Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan, November depan.


Normah berkata, anaknya itu dipercayai lari bersama teman lelakinya yang dikenali sebagai Zulkifli buat kali kedua pada 13 Mei lalu. “Saya kesal sikap Norfarahin lebih dengar kata teman lelaki daripada menurut nasihat ibu bapa sebenarnya kami pentingkan pelajarannya. “Norfarahin ambil kursus Kesetiausahaan sedang mengikuti latihan amali di Pejabat Pegawai Daerah Muar sejak awal Februari lalu. Dia tidak pulang ke rumah sejak 23 Februari lalu dipercayai mengikut teman lelaki yang tinggal di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di Parit Keroma, Jalan Temenggong Ahmad, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kalauhendakkahwin_balikdulu_/Article

Isteri lari ikut kekasih

Oleh Arifin Salleh

2010/06/10

MASJID TANAH: “Saya ada di Bahau (Negeri Sembilan), bagi Along (anak sulung) motor,” Itu pesanan terakhir khidmat pesanan ringkas (SMS) dikirim seorang isteri yang tergamak meninggalkan suami kerana mengikut kekasihnya.

Ibu kepada empat anak berusia 12 hingga 21 tahun itu, Fauziyah Yahya, 42, dipercayai bersama teman lelaki seorang warga Bangladesh yang dikenali di tempat kerjanya sejak beberapa tahun lalu sebelum ke Kuala Lumpur untuk dibawa ke negara asal kekasihnya itu.


Kejadian itu disedari suaminya, Abdul Gamal M Salleh, 45, yang juga pemastautin tetap apabila mendapati wanita terbabit tiada di rumah kira-kira jam 12 tengah hari pada 27 Mac lalu sebelum menemui resit pembaharuan pasport antarabangsa miliknya isterinya.


Abdul Gamal berkata, dia berasa hairan dengan tindakan isterinya meninggalkan dirinya dan anak mereka sedangkan sebelum ini tiada sebarang persengketaan antara mereka.


Menurutnya, lebih mengejutkan apabila dia turut menemui sekeping gambar warga Bangladesh berusia 30-an itu sedang memeluk isterinya ketika menggeledah barang peribadi milik isterinya.


“Semua barang kemas milik isteri saya turut dibawa bersama termasuk buku simpanan milik bersama seperti buku akaun Maybank, buku akaun Bank Simpanan Nasional serta kad mesin juruwang automatik dan buku akaun Amanah Saham Nasional.


“Isteri saya pernah bekerja di sebuah kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Pengkalan Balak dan dipercayai sudah lama mengenali teman lelakinya itu yang juga bekerja sebagai operator di tempat sama.


“Isteri saya sanggup tipu kerja lebih masa kerana hendak bersama kekasihnya tanpa sedar gelagat diperhatikan rakan-rakan sekerja,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterilariikutkekasih/Article

Wang judi RM1 bilion

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/06/10

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti empat sindiket perjudian Internet bola sepak tanpa lesen didalangi individu bergelar ‘Datuk’ membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion bagi perlawanan Piala Dunia yang berlangsung esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini menubuhkan satu pasukan khas dalam operasi dikenali ‘Ops Sogar’ bagi menggempur sindiket terbabit yang turut didalangi beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

“Kami percaya sindiket ini beroperasi di seluruh negara membabitkan wang pertaruhan mencecah RM1 bilion dan bergiat di kalangan orang tempatan. Namun kami sedang menyiasat sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak.

“Bagi menjaga kepentingan awam, kami mengarahkan semua pegawai di semua kontinjen menggempur mana-mana sindiket yang menganjurkan pertaruhan.

“Buat masa ini kami sudah mengesan empat sindiket terbesar yang turut didalangi mereka bergelar Datuk,“
katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan turut didalangi ‘along’ yang menawarkan pinjaman haram sepanjang pertaruhan itu dilakukan.

“Kami percaya, selain melakukan pertaruhan di kafe perjudian siber, mereka turut mempunyai lokasi tertentu sebagai markas operasi dan unit pemantauan kami akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya memberi amaran kepada sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan. Selain mengambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram juga turut dikenakan bagi menyita semua harta mereka jika sabit kesalahan,”
katanya.

Sementara itu, di lobi Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan serius terhadap sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hukuman yang boleh diambil mengikut akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian,” katanya.

Lee berkata, terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu ‘online casino’ dan ‘online sports betting’ yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan mengikut undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata, bagi pencegahan di peringkat antarabangsa, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang membabitkan negara Asean.

“Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444,” katanya.

Lepas geram bakar masjid

Oleh Hayati Ibrahim

2010/06/10

SEPANG: Akibat kecewa apabila mengetahui bekas isterinya akan berkahwin, seorang lelaki bertindak nekad membakar sebuah masjid di Kampung Limau Manis, dekat sini, malam kelmarin.

HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, lelaki berusia 30-an yang dipercayai mabuk bertindak demikian semata-mata untuk melepaskan geram.

Kejadian itu menyebabkan keseluruhan ruang sembahyang utama Masjid Jamiurrahmah terbakar.

Lelaki itu dipercayai menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran sebelum tidur di ruang sembahyang utama tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Imam masjid berkenaan, Samsudin Mat Daud, berkata kejadian itu disedari selepas ternampak api dan asap dari masjid berkenaan sebelum meninjau untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya cuba buka pintu utama, tetapi ia dikunci dari dalam. Kemudian saya cuba masuk menerusi pintu belakang dan mendapati seorang lelaki sedang tidur nyenyak berhampiran pintu di ruang sembahyang utama.

“Ketika itu, api marak. Saya tidak berani mendekati lelaki itu kerana bimbang dia mempunyai senjata.

“Saya ke kedai makan berhampiran untuk meminta pertolongan penduduk sebelum bergegas semula ke masjid untuk memadamkan api,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Samsudin berkata, lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung.

Katanya, penduduk menelefon bomba untuk membantu memadamkan kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain.

“Kejadian itu menyebabkan semua ruang sembahyang utama termasuk permaidani, al -Quran dan almari terbakar dan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM300,000,” katanya.

Difahamkan, lelaki terbabit memulakan kebakaran dengan membakar al-Quran dalam almari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menjejaki seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai mencetuskan kebakaran.

“Kami sudah mengenal pasti suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435, Kanun Keseksaaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasgerambakarmasjid/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...