Friday, January 16, 2009

'Geng Topi Keledar' tak jadi berkaraoke

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my



KUALA LUMPUR - Hajat 10 perompak 'Geng Topi Keledar' untuk berseronok sempena kejayaan merompak sebuah kedai melebur emas di Jalan Ampang di sini berkecai apabila mereka ditahan polis malam kelmarin.

Kesemua suspek ditahan pukul 12.15 tengah malam ketika mereka sedang berkaraoke dengan menyanyi lagu rock Melayu 80-an di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah (gambar) berkata, kesemua suspek berumur antara 20 hingga 46 tahun itu menjadi buruan selepas mereka merompak sebuah kedai melebur emas pada 9 Januari lalu.

"Lima daripada yang ditahan mengaku melakukan rompakan itu manakala enam daripada mereka pula positif dadah,"
kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras semalam.

Menurut Chin Wah, hasil tangkapan itu, polis menemui semula wang tunai RM15,200 di sebuah rumah banglo di Jalan Ampang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Gadis 14 tahun dilarikan ke Bangkok

KUALA KEDAH - Seorang peniaga kedai makan amat mengharapkan ada mana-mana pihak yang boleh membantu menyelamat dan membawa pulang anak gadisnya yang baru berusia 14 tahun didakwa dilarikan seorang lelaki Myanmar.

Peniaga Tan Beng Seong, 39, berkata, anaknya, Tan Hui Ming, 14, (gambar) dikatakan telah hilang bersama lelaki Myanmar yang dikenali sebagai Kamble, 40-an, sejak 30 Disember lalu.

Pasangan itu kini dipercayai berada di daerah Samut Prakan dekat Bangkok, Thailand.

Dakwa Beng Seong, Kamble membawa anaknya lari dari rumah neneknya di Kampung Kubang Lintah Jeneri di sini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam.

"Hui Ming telefon saya 6 Januari lalu dan memberitahu dia berada di Thailand malah menceritakan cara dia dilarikan,'' katanya pada sidang akhbar di bilik berita Radio RTM Kedah di sini semalam.

Katanya, dia amat risau mengenai keselamatan anaknya kerana Kamble ada memaklumkan dia mahu mengahwini Hui Ming.

"Hui Ming baru 14 tahun dan dia masih budak-budak, belum matang memikirkan mana yang baik dan buruk,'' luahnya.

Menceritakan detik kehilangan anaknya, peniaga gerai makan di Kampung Cong, Sik itu berkata, semasa kejadian dia ke kedai makan manakala Hui Ming tinggal bersama ibu mentuanya di Kampung Kubang Lintah.

"Ibu mentua saya memberitahu sebelum hilang Hui Ming bersolek dan memakai baju cantik,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Diskaun tol hingga 20 peratus

KUALA LUMPUR - Selepas diberi diskaun 10 peratus mulai 1 Januari, pengguna lebuh raya PLUS dan ELITE bagi Kelas 1 (kereta) akan menerima tambahan diskaun 10 peratus lagi sempena sambutan Tahun Baru Cina minggu depan.

Diskaun tambahan yang menjadikan keseluruhan 20 peratus itu membabitkan penggunaan lebuh raya bagi tarikh 21, 22, 23, 26, 29 dan 30 Januari ini.

Pengarah Urusan PLUS Expressways, Noorizah Abd. Hamid dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, diskaun tersebut adalah bagi pengguna di luar waktu puncak iaitu yang memasuki lebuh raya antara 12:01 tengah malam sehingga 7 pagi.

"Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan di laluan Jalan Duta-Ipoh Selatan yang selalunya membayar tol berjumlah RM26.50 akan mendapati amaun itu dikurangkan kepada RM23.80.

"Namun jika perjalanan di luar waktu puncak itu dibuat pada tarikh sempena Tahun Baru Cina ini, mereka akan mendapat diskaun tambahan 10 peratus lagi menjadi hanya RM21.40,"
kata Noorizah.

Menurut beliau, insentif itu bertujuan mengagihkan aliran trafik ke waktu di luar waktu puncak dan menjadikan perjalanan lebih selesa dan lancar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Terselamat disambar anggota bomba


Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Seorang wanita hanya mampu melaungkan takbir ketika melayang di udara selepas tergelincir ketika cuba terjun dari tingkat dua sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Taman Pelangi di sini pagi semalam.

Bagaimanapun, seperti kata pepatah ‘berpantang maut sebelum ajal’, umur wanita berusia 25 tahun masih panjang apabila dia terselamat dalam kejadian kira-kira jam 8.25 pagi itu dengan bantuan seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sanggup menggadai nyawa menyambut wanita terbabit dari bawah bangunan.

Difahamkan, wanita yang menyewa di tingkat paling atas bangunan deretan kedai tiga tingkat itu mengugut terjun selepas dipercayai berada dalam keadaan tertekan ekoran krisis rumah tangga.

Orang ramai yang terkejut melihat kelibat wanita itu mencangkung di luar tingkap di tingkat tiga bangunan itu menghubungi balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Beberapa minit kemudian, 12 anggota dan pegawai diketuai Pegawai Operasi C Kesaven tiba di tempat kejadian bagi memujuk dan mententeramkan wanita itu.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, bomba menyediakan beg berisi udara gergasi di bawah bangunan berkenaan.

Namun, selepas kira-kira 50 minit wanita itu secara tidak sengaja tergelincir dan jatuh dari tingkap berkenaan.

Kasevan yang menyedari wanita itu jatuh secara spontan menyambutnya pada ketinggian kira-kira 15 meter. dengan kedua-dua tangannya.

“Ketika itu kami sedang mengisi udara ke dalam beg berkenaan dan sebaik melihat dia jatuh, saya mencari jalan supaya dia tidak terhempas atas jalan.

“Namun, selepas menyedari dia tersasar dari beg udara yang dipasang, saya terus menghulurkan tangan dan bersedia menyambutnya,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kesavan berkata, dia berjaya menyambut wanita terbabit dan mereka mengalami kecederaan, namun tidak serius.

Wanita itu yang cedera di leher dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan setakat ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala Kesavan mengalami sakit bahu dan lengan, tetapi masih mampu meneruskan tugas memimpin operasi berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090116085202/Article

Wanita terjun disambut bomba


ANGGOTA bomba sedang memberi pertolongan kepada wanita yang terjun dari sebuah bangunan di Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU - Tak sempat fikir apa-apa terus sambut saja.
Demikian tindakan Pegawai Komandan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin, C. Kesaven bersama beberapa anggotanya yang menyelamatkan seorang wanita yang terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Taman Pelangi di sini semalam.

Semasa kejadian pukul 8.25 pagi, Kesaven langsung tidak memikirkan risiko akibat dihempap badan wanita itu.

"Wanita yang terjatuh selepas mengesot itu terus mendepa kedua-dua belah tangan dan saya menyambutnya.

"Beberapa anggota saya turut melakukan perkara sama sehingga wanita itu selamat daripada maut,''
kata beliau semasa ditemui selepas operasi itu di sini.

Ceritanya, sebelum terjun, wanita berusia 25 tahun itu menangis sambil duduk di tepi tingkap di biliknya. Dia langsung tidak mahu bercakap.

"Anggota bomba dan orang ramai yang melihat tindakan wanita itu banyak memberi nasihat kepadanya supaya batalkan niat untuk terjun.

"Hampir satu jam kami berusaha memujuk tetapi wanita itu nekad terjun juga,''
katanya.

Menurut Kesavan, dalam usaha menyelamatkan wanita berusia 25 tahun itu, anggotanya telah masuk ke bangunan itu tetapi bilik wanita itu dikunci.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

'Lampu hijau' skim pencen swasta


Oleh SUHANA MD. YUSOP dan ASRON MUSTAPHA
berita@kosmo.com.my



ORANG ramai berurusan di kios pintar KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti model pencen beberapa negara luar bagi pelaksanaan skim pencen bulanan melibatkan kira-kira 10 juta pekerja swasta dengan menggunakan tabungan mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menterinya, Datuk S. Subramaniam berkata, kajian terhadap skim itu merujuk kepada beberapa model di negara Barat dan akan siap dalam masa sebulan lagi.

"Kami dalam proses menyediakan kertas kerja mengenai skim ini yang secara prinsipnya dipersetujui oleh Kabinet untuk diserahkan kepada kementerian Kewangan bagi pelaksanaannya,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Subramaniam membuat penjelasan lanjut susulan daripada kenyataannya semalam mengenai persetujuan Kabinet untuk melaksanakan skim berkenaan melalui dana KWSP.

Ditanya rasional skim pencen KWSP itu diwujudkan, Subramaniam berkata:

"Apa yang mereka (pekerja swasta) dapat sekarang daripada KWSP apabila sudah pencen tak cukup dan akibatnya mereka akan mengalami kesusahan setelah apa yang diperoleh habis.''

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menentang cadangan skim pencen itu atas alasan mekanisme sedia ada yang ditawarkan menerusi KWSP sudah memadai.

Presidennya, Syed Syahir Mohamad berkata, pekerja swasta sepatutnya diberi kuasa mentadbir sendiri wang persaraan mereka

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

280 pelajar DPLI kini terdesak apabila tajaan ditarik balik

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



SEBAHAGIAN daripada 280 pelajar DPLI menunjukkan surat tawaran kursus yang kini meletakkan mereka dalam dilema selepas mendakwa kos tajaan pengajian ditarik balik.
--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA - Ada antara mereka sanggup berhenti kerja bergaji besar semata-mata mahu mengejar impian menjadi guru setelah menerima tawaran Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

Bagaimanapun, selepas dua minggu mengikuti kelas, 280 pelajar DPLI sesi kemasukan Januari 2009 itu kecewa apabila dimaklumkan Kementerian Pelajaran membatalkan tajaan berjumlah hampir RM21,000 seorang secara tiba-tiba.

Lebih membuatkan pelajar pelbagai pengkhususan sesi Januari 2009 itu berang ialah surat pemberitahuan pembatalan itu dimaklumkan hanya menerusi satu kiriman e-mel.

"E-mel daripada Kementerian Pelajaran diterima oleh pihak fakulti pada 13 Januari lalu dan kami jadi panik sebab ramai bergantung pada wang tajaan itu untuk belajar,'' kata jurucakap kumpulan pelajar itu, Muhammad Nizam Che Hasan pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Muhammad Nizam, mereka yang terlibat bukan datang dari sebuah universiti sahaja tetapi melibatkan hampir keseluruhan institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Antara IPTA yang terbabit ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Kata Muhammad Nizam, kemarahan mereka ada asasnya kerana kesemuanya telah menjalani proses kelayakan termasuk temu duga malah surat tawaran penajaan program khas DPLI diterima pada 15 Disember lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Ketua p'raya KT letak jawatan isu etika



Jan 16, 09 1:17pm

Pegawai pengurus pilihanraya kecil Kuala Terengganu meletakkan jawatan kerana tindakannya boleh menimbulkan isu etika dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dipertikaikan.

Datuk Mat Razali Kassim, yang juga datuk bandar Kuala Terengganu, semalam menarik diri mengejut selepas dikritik oleh PAS sebagai "berat sebelah" dengan dakwaan meminta kakitangan majlis bandara raya itu menyokong BN esok.

SPR berkata ia menerima beberapa aduan melalui telefon dan mesej SMS berhubung perkara tersebut, selain dakwaan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS Terengganu.

"Sebagai seorang pegawai pengurus, seseorang harus ada etika tertentu.

"Seseorang pegawai tidak boleh dilihat bias kepada mana-mana pihak, mesti tidak berpihak," kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang medianya hari ini di Kuala Terengganu.

"Kita berharap tidak timbul lagi isu (pihak) yang mengatakan SPR berat sebelah.

"Kita pandang berat perkara ini, beliau juga sedar dengan tindakannya itu boleh membuatkan SPR dalam keadaan dipertikaikan."

Turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Setiausahanya Datuk Ngah Senik.


http://www1.malaysiakini.com/news/96571

Pegawai p'raya KT tarik diri mengejut


Jan 15, 09 8:40pm

Tinggal satu hari lagi sebelum pengundian pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pegawai pengurusnya Datuk Mat Razali Kassim menarik diri selepas didakwa berat sebelah oleh PAS.


Beliau, yang juga datuk bandar Kuala Terengganu (foto), meletakkan jawatan mendadak hari ini selepas PAS menuduhnya meminta kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyokong calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal malam ini, Mat Razali digantikan oleh penolong pegawai pengurus pilihanraya parlimen ini Wan Mustafa Wan Hassan, yang juga setiausaha MBKT.

"SPR bersetuju menerima penarikan diri Mat Razali sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu berkuatkuasa serta-merta," kata Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik.

Tambahnya, selaras dengan peruntukan Seksyen 3(c) dan 5(1)(a) Akta Pilihan Raya 1958, suruhanjaya itu melantik penolong Mat Razali sebagai pegawai pilihanraya baru berkuatkuasa serta-merta.

Selain dakwaan PAS, satu laporan polis dibuat oleh ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Mohd Fariz Musa dengan mendakwa Mat Razali mengugut kira-kira 590 kakitangan MBKT dalam satu pertemuan di Dewan Tunku Abdul Rahman pagi semalam.

Dalam laporan polisnya petang semalam, pemimpin muda PKR itu mendakwa Mat Razali pernah berucap: "kalau berani dan tidak takut dibuang kerja, silalah (sokong pembangkang)".

"Saya memohon pihak polis supaya menyiasat dakwaan bahawa wujud amaran dan ugutan oleh pegawai pengurus pilihanraya Datuk Mat Razali Kassim yang telah memaksa dan mengugut kakitangan bawahannya," laporan polisnya dipetik.

Hari mengundi Sabtu ini menyaksikan persaingan Wan Ahmad Farid dengan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Selain mengkritik Mat Razali, pembangkang juga mempertikaikan beberapa amaran kepada pegawai kerajaan agar memihak kepada BN dan janji-janji pembangunan yang melimpah di kawasan parlimen dengan mendakwa ia sejenis rasuah.

http://www1.malaysiakini.com/news/96538

PAS bawa isu ugutan datuk bandar ke SPR


Muda Mohd Noor Jan 15, 09 4:21pm

PAS Terengganu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan ugutan datuk bandar Kuala Terengganu terhadap kakitangannya semalam.

Pesuruhjaya parti itu Datuk Mustafa Ali hari ini berkata laporan akan dibuat di pejabat SPR negeri di Wisma Persekutuan.

Semalam, tambahnya, pembangkang telah membuat laporan kepada pihak polis berhubung perkara itu.

Laporan polis itu mendakwa Datuk Mat Razali Kassim, yang dilantik pegawai pengurus pilihanraya kecil parlimen tersebut, memberi kata dua supaya mengundi calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Datuk bandar itu didakwa berbuat demikian kepada lebih kurang 590 kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam satu pertemuan di Dewan Tunku Abdul Rahman.

"Kita ada cukup bukti mereka buat ugutan tersebut kerana kita ada orang yang memberi laporan kepada kita," kata Mustafa (kiri) kepada wartawan di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam laporan polisnya, ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Mohd Fariz Musa mendakwa Mat Razali pernah berucap kepada kakitangan MBKT: "kalau berani dan tidak takut dibuang kerja, silalah (sokong pembangkang)".

"Saya memohon pihak polis supaya menyiasat dakwaan bahawa wujud amaran dan ugutan oleh pegawai pengurus pilihanraya Datuk Mat Razali Kassim yang telah memaksa dan mengugut kakitangan bawahannya," laporan polis yang dibuat petang semalam dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan awal malam ini, Mat Razali telah menarik diri secara mengejut sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil ini dan jawatannya itu kini dipikul oleh penolongnya Wan Mustafa Wan Hassan, yang juga setiausaha MBKT.

Mustafa sebelum itu menghadiri majlis penyerahan memorandum bantahan terhadap dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains kepada pemimpin pembangkang di pejabat PKR negeri di Gong Kapas.

Mustafa juga seorang pemimpin BN berkata kepada kakitangan kerajaan, "pengundian tidak sulit, kita tahu apa yang kamu buat."

"Kita minta SPR membuat kenyataan terbuka mengenai kenyataan (bahawa) pengundian tidak sulit," katanya.

Mustafa juga mendakwa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghadiri majlis memperkenalkan calon BN kepada kakitangan kerajaan di wisma Darul Iman.

"Memperkenalkan calon kepada kakitangan kerajaan adalah salah di segi peraturan pilihanraya," katanya.

Ketika diminta mengulas peluang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, beliau berkata, persaingan kedua-dua parti itu masih dalam keadaan sengit 48 menjelang hari mengundi, Sabtu ini.

Dakwanya, PAS berada dalam keadaan yang baik kerana menerima sokongan daripada pelbagai pihak.

http://www1.malaysiakini.com/news/96514

'Gadis sebelah saya berkaraoke cucu pemimpin PAS'

Muda Mohd Noor Jan 15, 09 7:20pm
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjelaskan siapa sebenarnya seorang gadis yang duduk di sebelahnya dalam sekeping foto beliau sedang berkaraoke yang disebar meluas di internet.

Sambil menyifatkan penyebaran itu sebagai satu serangan peribadi terhadapnya dalam pilihanraya kecil ini, calon BN itu berkata beliau enggan membalas serangan tersebut.

Gadis itu, katanya, anak saudaranya sendiri yang juga "berpangkat cucu kepada seorang pemimpin PAS".

"Kalau saya mendedahkan identiti orang tersebut, nanti ada orang yang susah hati.

"Kempen saya ialah kempen yang positif dan bukannya negatif," katanya dalam sidang media di bangunan Umno Kuala Terengganu hari ini.

Gambarnya berkaraoke itu telah menjadi senjata terhadapnya bagi berdepan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dalam kempen di kawasan parlimen Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Farid turut meramalkan beliau mempunyai sedikit kelebihan untuk menang dalam pilihanraya, Sabtu ini.

Tambahnya, keyakinannya itu berdasarkan maklum balas yang diperolehi hasil daripada lebih 65,000 pengundi yang ditemui jentera pilihanraya BN.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi berdaftar - 88 peratus Melayu dan 11 peratus Cina.

"Tetapi kita nak jumpa seramai mungkin pengundi sebelum hari Sabtu ini.

"(Pilihanraya) ini saingan yang sengit tetapi akhirnya saya percaya orang Kuala Terengganu akan memberikan saya peluang," katanya.

Menurut Wan Ahmad Farid lagi, beliau mendapati ada tiga kategori pengundi sepanjang beliau menjalankan kempen menemui orang ramai.

Pertama, katanya, dikategorikan sebagai pengundi pembangkang apabila mereka berkata "undi (saya) itu rahsia."

Kedua, tambahnya, kalau mereka berkata "belum buat keputusan", masih ada pelung untuk BN mendapat undi mereka.

Kalau mereka ingin mendoakan kemenangannya, kata calon itu, golongan itu penyokong BN.

"Kalah tiada dalam pilihan saya... kita mesti menang untuk maruah BN dan Umno," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/96532

'PM restui saya dedah surat damai Anwar-Mahathir'


Muda Mohd Noor Jan 15, 09 4:49pm
Bekas ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor mendakwa perdana menteri dan timbalannya memberi kebenaran kepadanya untuk mendedahkan surat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sedekad lalu.

Katanya, beliau menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga hari lalu dan Datuk Seri Mohd Najib Razak sehari selepas itu.

Ezam berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan ceramah membantu calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Kampung Merbau Patah dalam DUN Wakaf Mempelam lewat malam tadi.

Wakaf Mempelam merupakan kubu kuat PAS yang diwakili oleh Mohd Abdul Wahid Endut selama lima penggal berturut-turut.

Calon PAS itu berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam dalam pilihanraya Sabtu ini.

Di majlis tersebut, beliau mendedahkan surat bertulisan tangan Anwar bertarikh 8 September 1998 yang didakwanya untuk Dr Mahathir bagi mencari jalan perdamaian dengan bekas ketua yang memecatnya seminggu sebelum itu.

Ezam turut membaca kandungan surat tersebut kepada kira-kira 1,000 orang yang hadir di majlis ceramahnya.

"Saya juga akan mendedahkan tugas-tugas khas yang diberikan Datuk Seri Anwar kepada saya selepas pemecatannya.

"Perang dengan Datuk Seri Anwar adalah perang yang panjang.

"Saya mahu Datuk Seri Anwar menjawab pendedahan saya ini sebelum hari mengundi Sabtu ini,"
katanya.

Bagaimanapun, menurut Ezam, beliau tidak dapat menyerahkan surat tersebut kepada Dr Mahathir kerana terlewat tiba di Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, apabila beliau tiba, mantan perdana menteri itu telah berlepas ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memberikan taklimat pemecatan Anwar kepada ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan ahli Umno masing-masing pada 2 September 1998 dan keesokannya.

Ketika ditanya mengapa beliau menyimpan salinan surat tersebut, Ezam berkata, beliau tidak gembira dengan Anwar.

"Ketika itu telah wujud kesangsian saya terhadap Anwar… siang tulis surat puji Dr Mahathir, malam (Anwar) menyerangnya.

"Saya juga menyimpan surat ini sebagai rujukan saya.

"Saya minta penjelasan Anwar terhadap surat yang ditulis dan dihantar kepada Dr Mahathir itu,"
katanya.

Sementara itu, Ezam mencabar Anwar membuktikan beliau pernah menghantar surat kepada Abdullah untuk meminta jawatan menteri apabila menyertai Umno tahun lepas.

Katanya, beliau memberi tempoh tujuh hari untuk Anwar berbuat demikian.

"Kalau ada surat tersebut, saya akan letak jawatan politik saya dalam tempoh 24 jam.

"Tetapi kalau tidak ada, Anwar perlu letakkan semua jawatannya dalam politik,"
katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/96517

Nazrin: Beri perhatian jurang antara umat Islam


Jan 15, 09 2:47pm

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah, jurang pencapaian antara umat Islam yang kaya dan miskin, yang berada di bandar dengan di luar dan di pinggir bandar, serta yang berilmu dengan yang kurang berilmu, juga perlu diberi perhatian.

Ini adalah kerana keadaan ini "meletakkan umat Islam sesama sendiri berada pada dua hujung pola yang semakin berjauhan," titah baginda, lapor Bernama.

Keadaan ini "akan bertambah buruk apabila umat Islam yang telah mencapai kejayaan dan memiliki kekayaan bersifat tamak dan bersikap haloba. Tidak mempunyai keinsafan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah untuk membantu masyarakat yang masih tertinggal," titah baginda.

"Jurang yang berlaku disebabkan faktor-faktor geografi, milik kekayaan, penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran, juga kelainan pendekatan politik harus dirapatkan.

"Ummah yang belum begitu kuat pada hari ini, tidak dapat lari dari memerlukan peranan penting kerajaan dalam menggubal dasar yang pragmatik disusuli dengan langkah pelaksanaan yang berkesan," titah baginda.

Raja Muda Perak bertitah umat Islam pula tidak harus terlalu dibelenggu dengan minda rendah diri dan rasa hilang keyakinan.

Malah mereka wajib memberi fokus dan mengambil iktibar daripada contoh-contoh kejayaan yang telah membantu mengubah nasib dan pencapaian ekonomi ummah, titah baginda.

"Tabung Haji, Felda, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Permodalan Nasional Berhad dan Petronas adalah antara contoh kejayaan dasar dan kejayaan institusi nasional yang diilhamkan, dibangunkan, diuruskan dan dimajukan oleh umat Islam di negara ini," titah baginda.

Tabungan moden secara halal

Raja Dr Nazrin bertitah Tabung Haji yang ditubuhkan kerajaan melalui Akta Parlimen pada tahun 1962, hari ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai satu badan urus niaga yang bukan sahaja berjaya mengendali urusan jemaah haji secara tersusun tetapi turut berjaya mengurus dana Kewangan Islam secara cekap, bijak lagi produktif.

"Bermula dari budaya umat Islam menyimpan wang bagi keperluan haji, di bawah-bawah tilam, di dalam bantal, di atas para rumah, dan di dalam tempayan beras, telah dihijrahkan kepada konsep tabungan moden secara halal.

"Satu idea yang dicetuskan oleh pemikir Islam Ungku Abdul Aziz lalu dilaksanakan sehingga mencapai kejayaan cemerlang, membuktikan kehebatan umat Islam menguruskan dana melebihi RM17 bilion secara canggih lagi produktif, memegang amanah 4.4 juta pendeposit,"
titah baginda.

Sementara itu, Raja Nazrin juga bertitah, umat Islam amat memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, yang mampu mentadbir dengan cekap dan bijak.

Titah baginda, umat Islam juga memerlukan sebuah kerajaan yang memiliki latar belakang, pemahaman dan simpati yang tinggi terhadap keperluan ummah supaya dapat memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa kemakmuran kepada ummah.

Bagi Malaysia, dalam tempoh 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, pencapaian sosioekonomi di kalangan sebahagian umat Islam telah meningkat, malah jumlah umat Islam yang mendapat peluang pengajian tinggi berlipat ganda dan menghasilkan pertambahan bilangan profesional serta teknokrat Islam di negara ini.

Jurang pencapaian melebar

Baginda bertitah demikian semasa menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Kuala Lumpur hari ini.

Raja Dr Nazrin bertitah pada hakikatnya, bilangan umat Islam yang mencapai paras sosioekonomi yang lebih baik pada tahun 2009 nyata jauh bertambah berbanding tahun 1957.

Namun, umat Islam tidak sepi daripada merasa bimbang dan terancam apabila angka-angka pencapaian itu dilihat secara relatif dengan angka pencapaian orang bukan Islam, yang memperlihatkan berlakunya jurang yang semakin luas, yang membuktikan kadar pencapaian umat Islam adalah lebih kecil daripada kelajuan pencapaian bukan Islam, titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah malah jurang pencapaian lebih lebar mungkin ditemui apabila dilakukan perkiraan kejadian ketirisan ekonomi dan kes pegangan ekuiti secara proksi.

"Jika ketirisan ekonomi berlaku dan jika pegangan ekuiti secara proksi menjadi norma, apalah ertinya dasar yang digubal untuk membela ummah bila berlaku kegelinciran di peringkat pelaksanaan.

"Keadaan demikian pastinya merugikan ummah, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun kita, buahnya jatuh ke kebun orang,"
titah baginda.

http://www1.malaysiakini.com/news/96494

EPU kaji harga gas untuk turun tarif elektrik


Jan 15, 09 1:04pm

Unit Perancang Ekonomi akan diminta mengkaji semula harga gas bagi sektor tenaga bagi membolehkan tarif elektrik diturunkan, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, langkah tersebut dialu-alukan oleh MCA yang menurut parti itu, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap kehendak rakyat.

Jurucakapnya, Lee Wei Kiat berkata, penurunan tarif elektrik secara automatik akan mengurangkan kos pengeluaran dan seterusnya menurunkan harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan penyayang yang sentiasa berusaha untuk mengurangkan beban rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, penurunan tarif elektrik adalah wajar apabila permintaan di peringkat global telah menurun dengan banyaknya ekoran krisis ekonomi Amerika sekarang.

Menurutnya, kadar tarif elektrik yang tinggi menjejaskan margin keuntungan, yang akan menyebabkan kerugian dan operasi syarikat dikurangkan.

Lee juga menasihatkan peruncit dan penyedia perkhidmatan supaya mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan mereka apabila tarif elektrik diturunkan.

Parti itu juga mencadangkan supaya kerajaan menyediakan satu mekanisme apungan automatik untuk dilaksanakan ke atas pengeluar tenaga di mana harga tenaga mesti mengikut kadar permintaan pasaran global.

"Pendirian parti kita ialah meliberalisasi sektor ekonomi dan harga tenaga mesti disesuaikan mengikut keadaan global," tambahnya

Lee berkata, mekanisme apungan automaik harga tenaga itu akan mengoptimakan harga bagi pengeluar, peruncit, penyedia barangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, isirumah pastinya mendapat faedah dari bil elektrik yang rendah kerana ia akan mengurangkan perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama, meningkatkan daya pembelian mereka.

Pendirian parti itu, tegasnya ialah memberi keutamaan kepada kumpulan pendapatan rendah dan sederhana.

"Manakala kerajaan pula boleh memantau mekanisme tersebut secara terbuka dan telus," tambahnya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96480

Merungkai p'raya kecil Permatang Pauh


K Pragalath Jan 13, 09 12:21pm


Ulasan buku Tanggal Mac 8 2008 adalah tarikh keramat yang melambangkan kebangkitan rakyat Malaysia terhadap keangkuhan parti komponen Barisan Nasional sepertimana yang dinyatakan oleh penganalisa politik Kee Chuan Thye dalam bukunya March 8: The Day Malaysians Woke Up.

Satu lagi tarikh penting dalam tahun 2008 ialah 27 Ogos 2008 - tarikh pilihanraya kecil bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh berikutan peletakan jawatan Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Buku 'Permatang Pauh: Pilihan Raya Kecil Ogos 2008 pula menyingkap semula pilihan raya kecil ini yang telah mengembalikan Anwar Ibrahim ke dalam kancah politik negara.

Satu perbezaan ketara antara penulisan ini dengan karya-karya politik Malaysia yang lain ialah buku ini adalah hasil analisa dan tulisan sekumpulan ahli akademik dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), yang diketuai Dr Zulkanain Abdul Rahman yang bertindak sebagai ketua penyelidik.

Jika Mac 8 merupakan himpunan penulisan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat, Permatang Pauh merupakan analisis yang terperinci mengenai pilihanraya kecil yang mengembalikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke persada politik nasional.

Antara maklumat yang dimuatkan adalah jumlah pengundian untuk calon berdasarkan saluran di semua daerah mengundi dan rekod keputusan pilihan raya kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1982.

Gambaran menyeluruh

Bab pertama memberikan gambaran menyeluruh mengenai latar belakang kawasan parlimen Permatang Pauh, peratusan pengundi mengikut kaum, dan pusat-pusat pengundian.

Umum mengetahui bahawa Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim sejak tahun 1982. Ketika melalui zaman gerhana politik sekalipun, pengundi tetap utuh di belakang kepimpinan isterinya, Dr Wan Azizah.

Bab kedua yang menjurus kepada ketokohan dan strategi calon, persaingan antara Anwar Ibrahim dari PKR dengan Datuk Ariff Shah Omar Shah (BN) yang digambarkan sebagai pertandingan antara kepimpinan karismatik Melayu menentang kepimpinan tradisi Melayu.


Dari sudut kempen, BN/Umno telah menggunakan pengakuan bersumpah Saiful Bukhari Azlan (foto) bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Namun begitu, PKR tidak menggunakan kaedah ‘serangan peribadi' terhadap Arif Shah Omar Shah.

Sebaliknya, mereka menubuhkan Unit Kerohanian yang menangkis dakwaan Saiful sebelum kehadiran Ramlang Porigi - imam Masjid Wilayah Persekutuan yang turut menyaksikan akuan bersumpah Saiful itu. Beliau hadir untuk menjelaskan apa yang sebenar berlaku di majlis akuan bersumpah Saiful itu.

Dari segi strategi, kesimpulan buku itu ialah BN memperlihatkan kelemahan strategi kerana ketiadaan penyelarasan kempen pilihanraya dan bermatlamat untuk mengurangkan majoriti yang boleh dimenangi Anwar. Bertanding untuk mengurangkan majoriti boleh disamakan dengan menerima hakikat bahawa kemenangan adalah suatu yang tidak pasti.

Analisa terpenting

Analisa terpenting yang diketengahkan oleh para penulis menjurus kepada mengapa Anwar berjaya dalam pilihanraya kecil ini. Anwar menang kerana beberapa faktor:

*Kempen yang tidak menjurus kepada ‘serangan peribadi' terhadap calon BN Arif Shah Omar Shah.

*sokongan padu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

*pengisytiharan cuti bagi memudahkan pengundian oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan sokongan padu DAP.

*Persaingan politik dalaman Umno berikutan berlangsungnya pemilihan Umno bahagian.


Kumpulan penulis yang diketuai Zulkanain turut menganalisa penggunaan kain rentang, poster dan risalah yang telah digunakan oleh Umno, PKR dan Angkata Keadilan Insan Malaysia (Akim) dalam pilihanraya kecil ini.

Seterusnya para penulis telah menganalisa sudut keselamatan dalam pilihanraya. Terdapat peningkatan kes yang dilaporkan kepada polis. Tindakan provokatif, kejadian memukul wartawan dan ugutan turut mewarnakan pilihanraya kecil ini. Selain itu, pihak polis turut menyiasat kegiatan sindiket perjudian berkaitan pilihanraya ini.

Tidak banyak yang diperkatakan mengenai calon Akim, Hanafi Mamat dalam tulisan ini. Selain dari faktor calon luar dan ketiadaan jentera, Hanafi sememangnya tidak berjaya menambat hati pengundi. Ini dapat dilihat dari jumlah undi di setiap daerah mengundi yang tidak melebihi empat undi.

Buku terbitan Karisma Publications dengan usahasama Jabatan Sejarah Universiti Malaya ini berharga RM15 dan merupakan bahan rujukan terbaik untuk golongan akademik, para penuntut universiti dan mereka yang meminati perkembangan siasah negara.

http://www1.malaysiakini.com/news/96331

BN terdesak isu Farid sisihkan Razali


Fathi Aris Omar Jan 14, 09 12:34pm
Serangan PAS terhadap calon BN yang didakwa meminggirkan bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Razali Ismail di peringkat Umno bahagian Kuala Terengganu nampaknya membuahkan hasil.

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebagai ketua bahagian itu selama dua penggal, dituduh tidak memberikan ruang kepada allahyarham, waktu itu ahli parlimen Kuala Terengganu, untuk mendapat sebarang kedudukan dalam Umno.

Anggota-anggota keluarga Razali dikatakan tidak senang dengan perkembangan itu dan suara-suara mereka berkumandang dalam kalangan Umno, termasuk para penyokong BN yang akan membuang undi, Sabtu ini.

PAS mendakwa Razali seorang ahli politik Umno yang baik, bersih dan profesional dalam tugasnya tetapi tidak dihargai oleh parti itu.

Susulan serangan tersebut, BN mengambil langkah drastik mendekati keluarga Razali dan cuba menampilkan imej bahawa ia tidak mengabaikan sumbangan tokoh besar pendidikan itu yang mula dibawa ke Dewan Rakyat sejak pilihanraya umum 2004.

Malam tadi timbalan perdana menteri dan juga ketua jentera BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu menghadiri majlis tahlil arwah di rumah keluarga Razali di Lorong Kenanga dalam DUN Batu Burok.

Datuk Seri Mohd Najib Razak diiringi oleh Menteri Pelajaran dan juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Calonnya sendiri Wan Ahmad Farid bagaimanapun tidak hadir di majlis tersebut.

Selain itu, Hishammuddin juga mengumumkan nama Razali akan diabadikan di sebuah maktab perguruan di utara bandar raya Kuala Terengganu dan sekolah menengah di kawasan parlimen ini.

Institut Perguruan Kuala Terengganu di Batu Rakit akan dikenali Institut Perguruan Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Kg Gong Tok Nasek ditukar kepada SMK Dato' Razali Ismail berkuatkuasa Jumaat ini, 24 jam sebelum hari pengundian 17 Januari ini.

Majlis perasmiannya dilaporkan akan disempurnakan oleh Najib.

Hishammuddin menafikan pengabadian nama tokoh pendidikan Terengganu ini bertujuan memancing undi kaum pendidik.

Mereka didakwa lebih senang menyokong BN jika pegawai kanan Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berdiri sebagai calon parti itu.

Kira-kira 5,000 guru bertugas di daerah ini tetapi difahamkan hanya lebih 3,000 orang akan menentukan nasib Wan Ahmad Farid dan pencabar dekatnya, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, Sabtu ini.

Pilihanraya kecil parlimen ini turut disertai calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Selain itu, Najib kini sedang bergerak dari rumah ke rumah orang-orang PAS dalam usaha memastikan calon BN menambah jumlah undinya.

PAS juga menyifatkan BN terdesak apabila sanggup mengeluarkan risalah palsu Buletin Kuala yang terbitkan untuk mempromosikan Abdul Wahid dan mendedahkan isu-isu parti Islam.

Risalah palsu itu - meniru akhbar empat halaman bersaiz A3 yang diterbitkan oleh penerangan PAS - memuatkan berita-berita negatif seperti memaparkan foto Abdul Wahid tertidur di muka depan, penghakiman kes liwat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh membantah hudud.

Dalam sidang media hariannya, timbalan pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Mutalib Embong turut mendakwa pegawai pengurus pilihanraya kecil dan juga datuk bandar Kuala Terengganu menyeru 500 kakitangan majlis bandaraya mengundi BN dalam satu pertemuan pagi ini.

PAS, tambahnya , akan membuat laporan polis terhadap Datuk Mat Razali Kassim berhubung tindakannya itu dan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggugurkannya.

Pesuruhjaya PAS Datuk Mustafa Ali pula mendakwa setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan negeri telah bertemu beberapa kumpulan kakitangan Terengganu berperingkat-peringkat setiap hari bagi memastikan mereka mengundi Wan Ahmad Farid.

Sementara MCA pula menaburkan risalah (foto kiri) dan menerbitkan iklan di akhbar-akhbar utama Cina edisi pantai Timur dengan dakwaan Abdul Wahid - sewaktu menjadi exco negeri dalam kerajaan PAS antara 1999 hingga 2004 - memainkan peranan utama merobohkan sebuah kuil dekat Kampung Cina.

Bagaimanapun barisan pembangkang yakin PAS kini masih dahului BN. Sumber-sumber PKR meramalkan rakan kongsinya itu boleh mengatasi calon Umno dengan kelebihan 20 peratus.

Sementara akhbar web PAS Harakahdaily hari ini menjangkakan calonnya akan meraih majoriti sehingga 2,000 undi.

http://www1.malaysiakini.com/news/96406

Sukar ramal BN kekalkan kerusi

Muda Mohd Noor Jan 14, 09 2:36pm

analisis Dalam persaingan dekat antara dua calon BN dan PAS saat ini, tiga hari sebelum pengundian, rata-rata pemilih Melayu di Kuala Terengganu sukar meramalkan siapa yang memenangi kerusi parlimen tersebut, Sabtu ini.

Menurut mereka, papan tanda, bendera, risalah dan ceramah tidak boleh menjadi kayu ukur kekuatan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atau Mohd Abdul Wahid Endut.

Seorang penduduk di Jalan Kamaruddin, Zahari Awang berkata, daripada kira-kira 500 pengundi di tempatnya, hanya 300 yang mungkin telah menetapkan calon yang hendak dipilihnya.

“Orang di sini bercakap bermacam-macam... ada yang nak pilih calon, ada juga yang mahu pilih parti.

"Tetapi mereka mula membanding-bandingkan antara Wan Ahmad Farid dengan Abdul Wahid.

"Ramai juga yang kata: aku tak tahu lagi nak pergi mengundi atau tidak," katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Zahari, pemuda lewat 30-an yang bekerja sendiri berkata, bantuan kewangan dan projek yang dijanji dan diberikan kepada mungkin hanya boleh mempengaruhi pengundi tertentu sahaja.

Menurutnya, bantuan seperti ini merupakan perkara biasa dalam setiap kali pilihanraya kecil.

Manakala Mohamad Jaafar dari Kampung Bukit Besar berkata, kehadiran pemimpin luar ke Kuala Terengganu tidak boleh mempengaruhi pengundi tempatan.

"Saya penyokong PAS sejak berpuluh tahun lalu tak kan nak undi parti lain semata-mata dengar ceramah BN.

"Begitu juga orang BN, dia tidak pangkah PAS walaupun berpuluh kali mendengar ceramah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Wahid Endut," katanya.

Ditanya mengenai isu-isu yang boleh menyebabkan pengundi berpaling tadah daripada undi yang diberikan dalam pilihanraya umum lalu, Mohamad berkata, isu-isu yang ada sekarang tidak memungkinkan mereka berbuat demikian.

Katanya, kini tiada isu lagi sebesar pemecatan Anwar pada 2 September 1998.

"Isu royalti (petroleum), Piala Monsun dan 'negeri kaya, rakyat miskin' (yang dibawa PAS) sudah didengar bertahun-tahun lalu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

"Orang ceramah berdegar-degar tetapi kita sendiri yang mengundi, bukan dia," tambahnya.

Seramai 70,703 pemilih Melayu akan menentukan sama ada BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut yang dimenangi dengan majoriti tipis 628 undi pada Mac tahun lalu.

Daripada jumlah pengundi 80,229, kira-kira 50 peratus pemilih wanita dan 45 peratus berusia bawah 40 tahun.

PAS dengan bantuan PKR dan DAP memberikan tumpuan di DUN Bandar. Sementara BN pula cuba menembusi DUN Wakaf Mempelam dan Batu Burok yang menjadi kubu kuat PAS.

Sementara DUN Ladang yang dimenangi PAS pada Mac tahun lepas dengan majoriti tipis 31 undi pada umumnya lubuk kekuatan BN.

DUN tersebut buat pertama kali dikuasai PAS pada 1999 yang menyaksikan gelombang besar undi protes penyokong Umno dalam isu pemecatan dan pemenjaraan Anwar.

Di Wakaf Mempelam yang diwakili Abdul Wahid, BN cuba menjelaskan bahawa PAS di Perak lebih mengutamakan orang Cina apabila memberikan hak milik kekal tanah kampung-kampus baru.

Isu ini dibimbangi oleh PAS boleh mengugat sokongan pengundi atas pagar dan simpatisannya.

Tetapi serangan PAS terhadap calon BN - misalnya mendakwa beliau seorang yang sombong dan pernah meminggirkan bekas ahli parlimennya Datuk Razali Ismail - meletakkan jentera BN dalam keadaan bertahan.

Seorang pengundi di DUN Wakaf Mempelam, Mohd Noor Riping @ Ahmad berkata, pengundi di kawasan itu memang diketahui umum penyokong Abdul Wahid.

Kata penduduk Kampung Merbau Patah itu, beliau tidak nampak pengundi di sini akan mengundi orang lain walaupun dijanjikan pembangunan besar-besaran jika BN menang kerusi parlimen Wakaf Mempelam.

"Kita sudah biasa dengan janji pembangunan, tidak payah cakap semua orang tahu kerana ini pilihanraya," katanya.

Bagaimanapun, pandangan tersebut disanggah oleh Wan Abdul Razak Wan Jusoh yang mendakwa penyokong kuat BN sejak sekian lama.

Katanya, penduduk Kuala Terengganu mahukan perubahan yang telah dicetuskan oleh Razali.

"Banyak perubahan dalam pendidikan semasa Razali menjadi wakil rakyat. Ramai rakyat Terengganu yang berjaya.

"Rugilah kalau kita tidak memilih BN untuk meneruskan kegemilangan tersebut," katanya.

"Apa yang lebih utama," kata petani dari Kampung Pak Pa itu, "kita sudah duduk zaman (pentadbiran) PAS selama empat tahun."

"Jadi bandingkan zaman dia (PAS) dengan zaman BN ini."

Selain calon-calon BN dan PAS, pilihanraya kecil Sabtu ini turut ditandingi calon bebas, Azharudin Mamat @Adam.

Dalam pilihanraya umum lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas Maimun Yusuf.

http://www1.malaysiakini.com/news/96413

Royalti minyak: Dua calon KT berdebat malam ini




15 Jan 2009 1:45PM

KT: Isu royalti Petroleum yang didakwa oleh Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan kembali kepada kerajaan negeri Terengganu masih 'samar-samar' dan tidak jelas.

PAS Terengganu yang pernah menerajui kerajaan negeri antara tahun 1999 hingga 2004 pernah menghadapi saat getir apabila hak mendapat royalty disekat serta 'dirampas' oleh kerajaan pusat.

Berikutan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS ketika itu bertindak menyaman pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan kerana didakwa melanggar perjanjian serta Akta Petroleum 1974.

Kini, pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu telah membangkitkan semula isu tersebut apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menyerahkan sejumlah wang RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Dato� Ahmad Said pada akhir Disember 2008 lalu.

Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan menganjurkan satu Majlis Debat Perdana bertajuk 'Royalti: Antara Hak dan Maruah Rakyat Terengganu' yang akan diadakan pada hari ini 2009 (Khamis) jam 8.00 malam di Dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini.

Antara ahli panel yang dicadangkan oleh Mampat iaitu Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Manakala, pengerusi Debat Perdana itu akan dikendalikan oleh seorang Dekan Universiti Malaya, Profesor Dato' Paduka Dr Muhammad Bakar.

Persetujuan rasmi serta kesanggupan semua pihak ahli panel dan pengerusi debat telah diperolehi penganjurnya (Mampat) kecuali ahli panel dari Barisan Nasional (BN) yang menurut laporan tidak rasmi sebuah media tempatan telah menolak pelawaan debat tersebut.

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata rasional debat royalti itu diadakan bagi memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada bakal Ahli Parlimen menjelaskan pendirian dan komitmen masing-masing terhadap isu tersebut.

"Kita (Mampat) mahu isu royalti terus dibela kerana ia (royalti) adalah hak rakyat dan kedua-dua pihak boleh berhujah untuk menjelaskan kekeliruan kepada rakyat," ujarnya ketika ditemui Harakah, hari ini.

Katanya, agenda 'Debat Perdana' yang dicadangkan itu kini telah menjadi pentas baru bagi negara-negara maju menampilkan calon kepimpinan yang bakal bertanding.

Menurutnya, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi melihat serta menilai personaliti calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil ini. / Harakah


http://www.klpos.com/news/2009/01/15/6.html

PAS menang besar di KLpos, Berita Harian, Mstar


Calon PAS kuasai undian internet dengan majoriti besar




15 Jan 2009 1:34PM



Oleh Wartawan KLpos.com

SETAKAT semalam, tinjauan yang dijalankan oleh beberapa akhbar tempatan dan online mendapati calon PAS Abdul Wahid Endut mendahului dengan jarak yang begitu ketara sekali.

Hasil bancian dari pembaca KLpos.com setakat ini menunjukkan PAS mendahului dengan 70 peratus di ikuti calon BN 26 peratus dan Bebas 3 peratus.

Manakala masing-masing 1 peratus memilih untuk rosakkan undi dan tidak keluar mengundi jika mereka diberi peluang mengundi pada 17 Januari ini.

Undian di KLpos.com turut disertai dengan hampir 400 komen ditinggalkan oleh para pembaca setakat hari ini.

Satu lagi akhbar mStar Online yang dikatakan versi The Star berbahasa melayu menunjukkan calon PAS mendahului dengan 82 peratus serta BN dan Bebas masing-masing memungut 13 dan 4 peratus.

Portal Berita Harian pula semalam menunjukkan calon PAS menang dengan undian 73.3 peratus berbanding BN 23.3 peratus.

Itu kata pelayar internet. Keputusan yang bakal dibuat oleh lebih 80 ribu rakyat Kuala Terengganu akan secara rasminya diketahui pada malam 17 Januari ini.

http://www.klpos.com/news/2009/01/15/5.html

Wallahi, Wabillahi, Watallahi, Husam tahu - Ezam


Kalau dia ada maruah, dia mesti letak jawatan




15 Jan 2009 1:17PM



Orang ramai terutama pengundi sekitar Kampung Kubang Parit dalam kawasan Wakaf Mempelam Kuala Terengganu bukan sahaja dikejutkan kandungan surat ‘damai’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Muhamad tetapi pendedahan bagaimana nawaitu PAS mahu memperkudakan Ketua Pembangkang itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ pada ceramahnya di situ Rabu malam, bersumpah pernah memberitahu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa beliau keluar parti Keadilan kerana Anwar lakukan perkara yang tidak boleh diterima Islam.

Ezam yang mengakui berkawan baik dengan Husam berkata, beliau bertemu pemimpin PAS itu selepas buat keputusan keluar dari PKR tidak lama dulu malah orang pertama yang dimaklumkan secara peribadi mengenai perkara itu.

“ Pada malam ini, saya nak bagi tahu, dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ saya beritahu Husam bahawa saya nak tinggalkan Anwar kerana ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Anwar secara peribadi dan politik yang saya tak boleh terima sebagai orang Islam.

“Saya bagi tahu kalau saya terus membantu beliau (Anwar) jadi pemimpin, saya berdosa besar. Saya tak nak bagitahu yang lain kerana tak mahu aibkan orang,”
ujar Ezam dalam ceramahnya sebelum mendedahkan kandungan surat ‘damai’ Anwar kepada bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Ezam, sebagai kawan dan pemimpin PAS yang dihormati, beliau bertemu Husam untuk memberitahu keputusannya keluar Keadilan.

“Nak tahu apa jawapannya?, Saya cabar dia nafikan. Anwar saya tak mahu cabar dia, kerana saya tahu, mana dia mahu. Tapi saya cabar Husam nafikan...nak tahu apa jawapannya, Husam kata “ kita pun tahu ( perangai Anwar) tapi sebab politik, kita nak pakai dia, kita nak tunggang dia,” katanya.

Ezam berkata, beliau terkejut kenyataan itu yang keluar daripada Naib Presiden PAS. Dalam ceramahnya itu beliau kemudiannya mencabar Husam menafikan kata-katanya pasal PAS nak tungang Anwar itu sebelum habis tempoh berkempen pada pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini. Cabaran itu ekoran kenyataan terbaru pemimpin kanan PAS itu semasa kempen pilihanraya kecil ini mendakwa Ezam masuk UMNO kerana hendak cari makan.

“Saya cabar Husam datang Kuala Terengganu jawab tuduhan kata saya masuk UMNO kerana nak cari makan. Di ada dua malam atau dua hari ( dari Rabu malam) jawab cabaran saya,” tegasnya. Menurut Ezam, sebelum ini beliau tidak mahu sentuh perkara itu tetapi beliau cukup terguris dengan tuduhan dibuat oleh Husam yang menjejaskan kredibilitinya.

“ Dia tahu sebab saya keluar Keadilan tetapi mungkin kerana terpengaruh janji Anwar nak bagi jawatan menteri atau apa, dia sanggup buat kenyataan saya masuk UMNO kerana nak cari makan. “Kerana Husam sudah mencabar maruah saya, dengan lafaz sumpah saya tadi, saya cabar beliau, dua malam lagi supaya turun Kuala Terengganu dan buat sumpah nafikan kenyataan saya ini,” ujarnya.

Katanya, kalau perkara itu tidak selesai selepas 17 Januari, beliau akan ‘ pusing keliling’ seluruh Kelantan selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk berdepan dengan Husam. “Kalau nak perang, kita perang. Kerana apa, kerana Anwar juga kata saya jadi alat pada UMNO. Saya bukan diperalatkan tetapi dulu Anwar peralat saya untuk bebaskannya,”. “Tetapi untuk agama dan bangsa saya, saya rela diperalatkan malah seluruh nadi, denyut jantung dan darah saya rela,” tegasnya.

Cabaran Ezam itu sekaligus membuka episod baru perang Ezam dengan pemimpin PAS itu selepas perangnya dengan Anwar sejak beliau keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sertai UMNO. Menurut Ezam lagi, selepas membaca kandungan surat Anwar kepada Dr Mahathir, beliau mencabar PAS menyatakan prinsip dengan membuat keputusan segera meninggalkan Anwar kerana daripada surat itu, jelas Anwar pemimpin paling hipokrit pernah dilahirkan dalam negara.

“Dan kalau PAS tak berani buat keputusan prinsip itu, rakyat dan pengundi Kuala Terengganu harus buat keputusan pada Sabtu ini buat keputusan tolak pemimpin hipokrit itu serta parti yang bersekongkol dengannya termasuk PAS,” katanya.

Mengenai surat Anwar yang diserah padanya pada 8 September,1998 itu untuk disampaikan kepada Dr Mahathir sebenar adalah untuk mendedahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu bersikap hipokrit dan munafik yang berbahaya kepada negara.

Menurut Ezam, surat berkenaan adalah untuk menunjukkan betapa hipokritnya sikap Anwar yang pada ketika yang sama mengutuk Dr Mahathir kerana dipecat tetapi tanpa pengetahuan para penyokongnya menulis surat nak berdamai dengan Dr Mahathir. “Ini surat dibuat selepas dia dipecat dan kritik hebat Dr Mahathir. Daripada surat ini, seluruh rakyat boleh menilai jenis pemimpin apa Anwar Ibrahim ini,” katanya.

Menurut Ezam bekas bosnya itu adalah jenis yang boleh bercakap dengan Lim Kit Siang lain dan kemudiannya cakap lain dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang. Katanya, surat itu sudah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri selepas terlewat sampai untuk menyerahkan surat berkenaan.

Ezam menegaskan, selepas 17 Januari ini beliau akan ke seluruh negara melakukan perhitungan dengan Anwar bersama kawan-kawannya dengan surat ini dan beberapa kotak-kotak tersebut yang belum selesai. Menjawab soalan wartawan selepas ceramah itu, Ezam berkata, beliau menyimpan salinan surat berkenaan setelah mula timbul rasa curiga dengan tindak tanduk Anwar.

Beliau turut menjawab kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar kononnya Anwar akan membongkar surat Ezam kepada Perdana Menteri yang meminta jawatan politik sebelum masuk UMNO. Ezam menafikan ada membuat surat memohon jawatan atau secara lisan berbuat demikian.

Ezam turut mencabar Anwar meletakkan jawatan daripada politik jika selepas tujuh hari beliau gagal meunjukkan surat berkenaan. “Saya juga cabar dalam tempoh kempen pilihan raya Kuala Terengganu, Anwar tunjukkan surat itu. Kalau ada, saya akan berhenti politik. Tetapi selepas 7 hari jika dia tak buat juga, saya cabar dia lepaskan jawatan daripada politik,” katanya.

“Kalau dia ada maruah , dia mesti letak jawatan. Kalau dia tak buat, jatuhlah maruah dia kerana berbohong,” tegas Ezam yang percaya Anwar tidak pernah menjawab isu yang dibangkitkan termasuk ketika berkempen di Permatang Pauh.

http://www.klpos.com/news/2009/01/15/4.html

Ini isi 'surat rahsia' Anwar buat Mahathir

15 Jan 2009 1:11PM

YAB Datuk Seri Dr Mahathir.

Assalamualikum Warahmatullah.

Perkembangan beberapa hari ini kebelakangan ini sungguh merimaskan. Berita-berita yang mengaibkan peribadi saya secara berterusan oleh media tempatan nampaknya tidak berkesudahan. Saya dan Azizah harus tabah. Anak-anak saya mulanya agak sugul dan gundah. Hati mereka luka dan pelajaran mungkin terjejas.

Alhamdulillah, mereka kian teguh berkat sokongan keluarga besar kami, rakan-rakan rapat-khususnya Azizah yang sentiasa disamping mereka. Saya masih kebingungan, bertanyakan punca konspirasi untuk mengaib dan menjatuhkan saya. Harapan saya, ialah agar keadaan sedikit reda bagi membolehkan saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

Seperkara lainnya, ialah perihal keselamatan keluarga saya. Ibu bapa saya mengulangi pertimbangan Datuk Seri agar anak angkat mereka ( menurut Ezam, anak angkat dimaksukan adalah Sukma) tidak harus ditahan.

Memadailah, penderaan yang kami alami sebagai keluarga dengan menghadapi tuduhan yang amat berat. Betapa getir dan cemas kedudukan kami, saya dan Azizah tidak pernah melupakan curahan kasih sayang, bimbingan dan peluang yang Datuk Seri berikan.

Meskipun perhubungan diantara kita agak renggang, saya tidak mungkin melupakan jasa baik Datuk Seri. Semoga Allah S.W.T memberikan taufik dan hidayah, memelihara kesejateraan kita bersama.

Salam saya dan Azizah kepada Datuk Seri dan Kak Hasmah.

Anwar Ibrahim. 8 September 1998

http://www.klpos.com/news/2009/01/15/3.html

Undi Cina milik BN - Najib


15 Jan 2009 1:06PM

SUBANG: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata sokongan pengundi Cina bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan berlangsung Sabtu ini dilihat semakin baik.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya masih berusaha keras untuk memastikan sokongan itu terus bertambah.

"Kita akan lakukan yang terbaik, pihak kita sedang bekerja untuk meyakinkan mereka (pegundi Cina).

"Kita berharap pada akhirnya nanti, mereka sedar yang masa hadapan mereka adalah terletak di tangan BN (Barisan Nasional),"
katanya selepas majlis penyampaian cek bantuan kewangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) di bawah pakej rangsangan ekonomi negara tahun 2009.

Hadir sama ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hisahmuddin Tun Hussin Onn, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Pada pilihan raya 17 Januari ini, BN meletakkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala PAS diwakili Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas ialah Azharudin Mamat @ Adam. / Mstar

http://www.klpos.com/news/2009/01/15/2.html

Surat rahsia sudah didedahkan semalam


15 Jan 2009 1:05PM

RAHSIA besar yang akan didedahkan oleh Mohamad Ezam Mohd Noor iaitu surat Anwar Ibrahim kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah pun didedahkan semalam di ceramahnya di Kuang Ikan. Surat rahsia itu sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Sebelum ini orang ramai yang tidak sabar menanti apa yang hendak didedahkan Ezam sejak beliau menceritakan hal itu, mengingatkan ia rahsia besar yang boleh menghentikan deburan ombak laut Cina Selatan.

Orang ingat ia rahsia besar antara Anwar dengan Mahathir. Setidak-tidaknya surat itu mendedahkan satu skandal mereka berdua melibatkan kewangan berbillion ringgit dan menjejaskan negara dan bangsa.

Alih-alih surat itu hanya isi hati Anwar yang ingin berbaik dengan Mahathir setelah beliau merasa tertekan dengan keadaan selepas dipecat dari Umno. Itu saja, ia tak ubah tahi cicak saja.

Sedikit pun tidak mengejutkan. Anwar menulis surat merayu kepada Dr Mahathir ingin berdamai memandangkan keadaannya terjempit pada masa itu.

Surat itu wajar dilakukan Anwar dalam keadaan begitu. Beliau harus mencari apa saja helah untuk menyelamatkan dirinya. Itulah ikhitiar terakhir namanya. Pemimpin (politik) yang cekap yang dapat melepaskan dirinya dari yang terkandas dalam jaring atau jala wajar berbuat begitu.

Ia tidak salah. Kata Ezam surat itu menggambarkan Anwar tidak konsisten alias tidak ada prinsip dan cuba menggambarkan Anwar seorang yang hipokrit. Siapa sebenarnya siapa yang tidak konsisten dan munafik dalam hal ini. Anwar atau Ezam sendiri?

Siapa yang lari meninggal perjuangan Keadilan? Ezam atau Anwar? Dan siapa yang mendedahkan kebodohan diri sendiri kepada dunia dengan pendedahan rahsia bersifat tahi ciacak itu?

Apa yang Ezam dedahkan itu kononnya Anwar tidak konsisten sebenarnya mendedahkan kelemahan dirinya sendiri. Tidak fasal-fsal Ezam merendahkan intergritinya sebagai pemimpin. Baik orang tidak tahu kini orang semakin mengenali hati budi Ezam sebagai ahli politik. Pendedahan Ezam itu menunjukkan dia seorang yang boleh ikut telunjuk sesiapa saja demi meraih glamour sementara.

Kalau beliau ada wibawa beliau tidak akan ikut Anwar meninggalkan Umno dan menggerakan reformasi. Kalau Ezam hebat dan ada pengaruh dan integriti beliau harus melawan Anwar dari dalam, membina Keadilan (PKR) seperti mana yang beliau kehendaki dan hasratkan itu.

Surat rahsia Ezam semalam tidak memberi apa-apa kesan. Patutlah Anwar sendiri tidak memberi apa-apa respon. Inilah kebijaksana dan kelebihan Anwar tidak akan cuba bermain politik dengan isu berbentuk sampah sarap. Sesungguhnya integriti Anwar sebagai negarawan tidak terjangkau oleh Ezam.

Yang boleh dimusykilkan juga kenapa Ezam mendedah Anwar bukan mendedah keburukan calon Pas, Abdul Wahid Endut ataupun menjelaskan tentang keburukan perjuangan Pas. Kehadiran Ezam ke Kuala Terengganu semacam tidak relevan. Beliau sengaja mencari ruang untuk melepaskan berahi marahnya kepada Anwar.

Kepada Ezam berhentilah berpolitik secara tadika dengan mendedahkan hal-hal remeh temeh dan buang masa. Saya bimbang selepas ini sekiranya ada pilihan raya kecil di tempat lain Ezam akan mendedahkan hal-hal yang lebih sampah daripada itu misalnya memberi tahu kepada publik berapa kali beliau tolong hulurkan timba (bekas) kepada Anwar untuk basuh berak kerana pam untuk plush air ke dalam tangki rosak atau berapa kali beliau diminta membeli pad untuk Wan Azizah semasa menjadi Ketua Pemuda Keadilan dulu.

http://www.klpos.com/news/2009/01/15/1.html
Janganlah sampai ke tahap itu Ezam, malu! / msomelayu.blogspot.com

Azilah dakwa diarah bantu Razak Baginda

Khamis Januari 15, 2009


ANGGOTA polis mengiringi Cif Insp Azilah Hadri (kanan) dan Koperal Sirul Azhar ketika keluar dari mahkamah selepas menghadiri pembelaan diri atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.



SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, memberitahu perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa dia telah diminta oleh seorang pegawai atasan polis untuk membantu penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang menjadi mangsa ugutan seseorang.


Dalam keterangan membela diri, Azilah memberitahu mahkamah bahawa DSP Musa Safri telah memberikan nombor telefon bimbit Abdul Razak dan memintanya untuk menghubungi Abdul Razak bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai masalah dan bantuan yang diperlukan oleh rakannya itu.


"DSP Musa memberitahu saya bahawa kawannya iaitu Encik Razak ada masalah kerana diugut seseorang.


"DSP Musa minta saya jumpa Encik Razak untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah Encik Razak dan memperkenalkannya dengan DSP Idris Abdul Karim. DSP Musa sendiri tidak tahu apa masalah sebenar Encik Razak,"
kata Azilah pada hari pertama pembelaan kes itu.


Azilah, 32, dan Koperal Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.


Abdul Razak, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Okt tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.


Dalam pemeriksaan utama oleh peguam belanya Datuk Hazman Ahmad, Azilah berkata dia telah menghubungi Abdul Razak pada 18 Okt 2006 melalui telefon bimbit dan setelah memperkenalkan dirinya dan memberitahu tujuan panggilan itu dibuat, Abdul Razak memberikan alamat pejabatnya dan memintanya datang ke situ.


Azilah berkata, bahawa dalam pertemuannya dengan Abdul Razak di pejabat itu, dia memberitahu mahkamah Abdul Razak kelihatan tertekan dan telah menceritakan tentang ugutan yang diterimanya dari seorang perempuan Cina dan seorang lelaki Cina.


"Encik Razak menceritakan seorang lelaki Cina dan seorang perempuan Cina telah mengugut minta duit tapi jumlah wang Encik Razak tak beritahu, atas alasan apa, Encik Razak tidak beritahu.


"Encik Razak beritahu dia tidak mahu mengikut kehendak lelaki Cina dan perempuan Cina itu.


"Encik Razak beri saya dengar satu pesanan suara dari telefon Encik Razak. Saya dengar suara seorang lelaki Cina dalam pelat Cina berkata 'saya kasi pecah lu punya muka',"
katanya.


Azilah berkata Abdul Razak juga memberitahunya disebabkan ugutan itu, Abdul Razak telah mengupah seorang pengawal keselamatan untuk mengawal kediamannya serta mengupah seorang penyiasat persendirian.


Selain ugutan itu, katanya, Abdul Razak turut memberitahu beliau bahawa lelaki Cina dan perempuan Cina itu juga pernah membuat kecoh di hadapan rumahnya di Bukit Damansara.


Azilah berkata, setelah mendengar cerita Abdul Razak, dia mencadangkan supaya Abdul Razak membuat laporan polis supaya polis boleh membuat tindakan sewajarnya tetapi Abdul Razak enggan berbuat demikian.


Dalam keterangannya, Azilah berkata, Abdul Razak telah memintanya untuk menasihati lelaki Cina dan perempuan Cina tersebut supaya jangan membuat kecoh di depan rumah serta memintanya untuk membuat rondaan di sekitar kawasan kediamannya itu.


"Saya beritahu Encik Razak sekiranya Encik Razak mahu MPV meronda di kawasan rumah Encik Razak, saya boleh tolong tanya pada kawan saya iaitu DSP Idris untuk dapatkan peti polis di depan rumah Encik Razak sebagai checkpoint untuk polis yang meronda.


"Oleh kerana untuk mendapatkan khidmat anggota polis bagi meronda kawasan rumah Encik Razak mengambil masa yang lama, Encik Razak minta saya meronda kawasan rumahnya dan minta saya pergi ke Hotel Malaya untuk menasihati perempuan Cina itu kerana menurut Encik Razak, perempuan Cina itu menginap di Hotel Malaya bilik 512,"
kata Azilah.


Beliau berkata, Abdul Razak telah membekalkannya dengan alamat rumahnya di Bukit Damansara selain alamat Hotel Malaya dan nombor telefon bimbit perempuan Cina tersebut.


Azilah berkata, selepas pulang dari pejabat Abdul Razak, dia berjumpa Koperal Sirul Azhar dan menceritakan pertemuannya dengan Abdul Razak.


"Saya beritahu Sirul bahawa tadi saya jumpa Encik Razak iaitu kawan DSP Musa kerana Encik Razak ada masalah diugut lelaki Cina dan perempuan Cina dan Encik Razak minta bantuan untuk menasihatkan mereka dan meronda kawasan rumah Encik Razak.


"Saya dan Sirul pergi ke alamat rumah Encik Razak kerana saya beritahu Sirul kalau saya tak boleh tolong Encik Razak jika ada tugas lain, saya boleh minta tolong Sirul hantar bantuan pada Encik Razak,"
katanya.


Azilah berkata, bahawa selepas ke rumah Abdul Razak, dia dan Sirul telah pergi ke Hotel Malaya di Kuala Lumpur untuk menemui perempuan Cina yang dikatakan oleh Abdul Razak.


"Kami sampai ke bilik 512. Saya takut nak ketuk kerana takut salah orang dan takut mengganggu privasi penghuni bilik itu," katanya.


Azilah berkata, dia juga telah memberitahu DSP Idris tentang masalah yang dihadapi Abdul Razak dan bertanyakan kepada pegawai itu mengenai prosedur untuk meminta kebenaran meronda di kawasan kediaman dan cara mendapatkan peti polis.


Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/15/mstar_berita/20090115181722&sec=mstar_berita

DEB tidak ditentang jika semangatnya diamalkan



Khamis Januari 15, 2009

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan untuk menyusun semula masyarakat, tidak akan ditentang jika dilaksanakan sebagaimana yang disebut di dalam rancangan tersebut, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini.


Titah baginda, tiada orang akan menentangnya jika tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu dari diri mereka.


Hari ini, DEB dipertikaikan, dasar yang pada asasnya baik dan murni ini telah dipersalahkan dan dituntut untuk dikuburkan kerana digelincirkan di peringkat pelaksanaan, titah baginda semasa menutup Kongres Islam Ketiga Ke-I3 di sini.


DEB dicetuskan dengan niat ikhlas untuk menyusun semula masyarakat supaya berlaku perimbangan ekonomi antara kaum dan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.


Baginda bertitah ia merupakan formula perancangan pembangunan ekonomi yang dilahirkan secara kolektif oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.


Titah baginda dua arkitek utama yang melakarkan DEB, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman, tidak menyebut bahawa dasar tersebut digubal dengan tujuan mahu memperkayakan kumpulan tertentu, tidak juga bertujuan mahu menindas kumpulan tertentu.


Baginda bertitah, dasar yang dirangka dengan teliti, digubal dengan baik, bertujuan murni dan dilaksanakan secara adil akan terus mendapat sokongan untuk dikekalkan.


"Kepimpinan negara perlu memperlihatkan kebijaksanaan untuk memastikan bahawa dalam melaksanakan keutamaan, tetap tercermin kesaksamaan dan dalam melaksanakan kesaksamaan tidak meminggirkan keutamaan," titah baginda.


Baginda bertitah DEB dapat ditafsirkan sebagai manifestasi yang lahir dari himpunan tuntutan ummah bermula dari suara yang digemakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada tahun 1965.


Mengimbau perkembangan lepas, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, Allahyarham Tun Dr. Ismail di Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Islam Kedua, 37 tahun yang lepas, memberikan peringatan agar mereka yang mendapat nikmat dari hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera hendaklah mengamalkannya menurut susila dan peraturan yang memelihara maruah masyarakat Melayu dan Islam.


Kata-kata tersebut adalah kata-kata keramat, satu amanat berharga satu wasiat bernilai, amanat yang sepatutnya menjadi pantang larang; wasiat yang harus dipatuhi setiap masa wasiat yang wajib dihormati sepanjang waktu.


Wasiat itu bagaikan turut sama terkubur di Masjid Negara; hilang dari ingatan, padam dalam amalan, titah baginda.


"Bila pantang larang diabaikan, bila wasiat diketepikan, maka ternodalah kehormatan bangsa tercemarlah kesucian agama; maka bangsa dan umat ditimpa bala ditimpa petaka," jelas baginda. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/15/mstar_berita/20090115151418&sec=mstar_berita

MIC belum tetapkan tarikh pemilihan Presiden parti


Khamis Januari 15, 2009

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) belum menetapkan tarikh pemilihan presiden parti, yang kemungkinan besar akan diadakan pada April atau Mei tahun ini.


Pengerusi jawatankuasa pemandu pemilihan Datuk K. Vijayanathan berkata, enam anggota jawatankuasa itu belum mendapat mandat daripada CWC untuk mengadakan pemilihan.


"Kami kini menunggu mandat daripada CWC. Kami tidak membuat keputusan mengenai tarikh. Kami hanya mempunyai kuasa untuk mengendalikan pemilihan berdasarkan undangundang kecil dan peraturan MIC," katanya ketika dihubungi Bernama.


MIC akan mengadakan pemilihan untuk kepimpinan tinggi parti itu tahun ini.


Pemilihan presiden dijangka pada awal tahun manakala pemilihan untuk jawatan lain timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC kemungkinan besar diadakan pada September.


Sehingga hari ini penyandang jawatan presiden Datuk Seri S. Samy Vellu, yang menerajui parti sejak 30 tahun lepas, mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatannya. Bekas naib presiden MIC Datuk M. Muthupalaniappan turut menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan itu.


Bagaimanapun, pertandingan untuk jawatan tertinggi parti masih tidak pasti kerana jawatankuasa disiplin MIC telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Muthupalaniappan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti.


Jawatankuasa disiplin belum membuat keputusan mengenai perkara itu.


Jika keanggotaan Muthupalaniappan dalam MIC digantung, beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding dan ini akan memberi laluan kepada Samy Vellu untuk menang jawatan bagi penggal ke-11.


Vijayanathan, ketika ditanya sama ada Tan Sri M. Mahalingam, yang dipecat daripada jawatan bendahari agung parti oleh Samy Vellu tiga minggu lepas, akan digantikan dalam jawatankuasa pemandu pemilihan, berkata pemimpin veteran itu tidak perlu diganti.


"Kami ada lima yang lain dalam jawatankuasa, dan kami boleh membuat kerja. Kami boleh mengendalikan pemilihan presiden dan jawatan lain. Tidak ada masalah mengenai perkara itu," katanya.


Sementara itu, sumber memberitahu bahawa CWC telah menetapkan 9 Feb hingga 28 Feb untuk semua 4,600 cawangan MIC mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan.


Ia juga menetapkan 7 Mac hingga 31 Mac untuk pemilihan bahagian.


Memandangkan pemilihan bahagian dijangka selesai hanya pada akhir Mac, pemilihan presiden dijangka diadakan selepas tarikh itu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/15/mstar_berita/20090115182330&sec=mstar_berita

Harga minyak kekal - Shahrir

Khamis Januari 15, 2009

PUTRAJAYA: Harga petrol dan diesel tidak akan turun buat masa ini walaupun harga minyak mentah mengalami penurunan di pasaran dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad semalam.


"Ini kerana purata sehingga semalam masih di atas AS$43.2 setong," katanya selepas mengumumkan harga maksimum borong dan runcit skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina di sini.


Beliau berkata sekiranya harga minyak di pasaran dunia terus turun dalam tempoh dua tiga hari lagi di bawah AS$30 atau AS$35 setong mungkin penurunan sebanyak dua sen atau lima sen boleh dipertimbangkan.


Berkuat kuasa 15 Dis lepas, harga petrol RON97 turun kepada RM1.80 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing RM1.70 seliter. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/15/mstar_berita/20090115103153&sec=mstar_berita

Boleh kurang lagi

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


KAWAL...Shahrir menunjukkan ikan bawal putih antara barang
terkawal sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel hanya akan diturunkan lagi jika harga purata minyak mentah dunia dalam tempoh dua minggu berada di bawah paras AS$40 (RM140) setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata penurunan itu boleh dipertimbangkan kerajaan jika harga bahan api itu berada di paras AS$39.59 (RM138.56) setong.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga purata minyak mentah dunia dari 1 hingga 13 Januari lalu, berada pada paras AS$43 (RM150.50) setong.

Sebaliknya, Shahrir berkata, harga bahan api itu hanya akan dinaikkan jika harga minyak mentah dunia mencapai paras harga AS$78.73 (RM275.55) setong.

“Saya rasa jika ada sebarang penurunan pada paras AS$39.59 setong, mungkin kita boleh lihat sebarang penurunan.

“Ini bermakna harga purata mesti berada di bawah AS$40 (RM140) setong tetapi setakat ini ia belum mencecah paras berkenaan,”
katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang harga terkawal Skim Kawalan Harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2009.

Shahrir berkata, bermula awal bulan ini, harga minyak mentah dunia berada pada paras AS$46 (RM161) setong, kemudian menurun kepada AS$41 (RM143.50) dan AS$40 (RM140) setong, sebelum menurun lagi kepada AS$37.59 (RM131.56) setong pada 12 Januari dan AS$37.78 (RM132.23) setong sehari kemudian.

“Sebenarnya jika dilihat harga petrol dan diesel belum habis tempoh dua minggu.

“Mengikut mekanisme yang digunakan, kita akan lihat harga purata sepanjang tempoh dua minggu baru kita tetapkan harganya

“Saya tidak boleh tahu harga purata sebenar kerana kita belum sampai 15 Januari ketika ini,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115091508/Article/index_html

Lafaz cerai 2 kali


Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang perunding teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, dia melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap isterinya melalui percakapan dan SMS pada November tahun lalu.

Dino Rais, 31, yang juga anak Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, mendakwa dia melafazkan cerai berikutan isterinya, Riza Ainurin Ramlan, 25, keluar rumah tanpa mendapat keizinannya.

Menurutnya, lafaz cerai kali pertama dilakukan di rumah bapa saudara isterinya di Taman Keramat pada 12 November tahun lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

“Lafaz yang pertama itu berbunyi ‘Sekiranya Riza keluar rumah ini dengan anak tanpa izin suami kerana sengaja mahu menyakiti hati suami, keluar malam karaoke dan tinggalkan Iman (anak) dengan saya serta ingkar maka jatuhlah talak’.

“Ketika saya melafazkan cerai di ruang tamu rumah berkenaan, bapa saudara serta ibu saudara Riza turut berada berdekatan mereka tapi tidak masuk campur,” katanya.

Dino berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan peguam syarie Roslizam Rahim.

Dino turut mendakwa, lafaz kedua melalui SMS di rumah yang sama dengan mengatakan ‘Salam buat isteriku Riza, tarikh 25 November 2008 jam 10 malam. Selepas berbagai usaha dibuat untuk menyelamatkan rumah tangga demi anak dan berkali-kali minta cerai sekiranya Riza keluar rumah dan membawa Iman tanpa izin suami memang sengajalah Riza mencari jalan berpisah. Maka terbubarlah perkahwinan ini. Wassalam’.

Sementara itu, Riza Ainurin mendakwa tidak pasti dia berada di mana ketika lafaz cerai pertama dilakukan suaminya.

Riza memberitahu mahkamah dia pernah meminta cerai daripada suaminya tapi bukan berkali-kali.

Dia turut mengaku menerima SMS daripada suaminya pada 25 November lalu selepas dia keluar dari rumah di Taman Keramat dan ketika itu sudah hampir dengan rumah keluarganya di Taman Tun Dr Ismail.

Hakim Syarie Mohd Yunos Mohamad Zin menetapkan 3 dan 4 Februari depan untuk Dino dan Riza mengemukakan dua saksi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090115092344/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...