Tuesday, September 2, 2008

Sejarah lagi ! Usahawan ‘Ketum’ Pertama di Malaysia

Ditulis oleh Editor
Tuesday, 02 September 2008



Rumah yang didiami sebuah keluarga di Kampung Batangan, dalam daerah Marang di sini, sudah menjadi seperti sebuah 'kilang' bagi penghasilan air dan serbuk daun ketum.


Difahamkan, biarpun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, pemiliknya tetap berdegil dan terus menjalankan operasi seperti biasa bagi memenuhi permintaan terhadap bahan yang mengkhayalkan itu.


Jika sebelum ini pemiliknya sekadar memproses air rebusan daun ketum, kini mereka sudah 'maju' setapak lagi dengan menghasilkan serbuk ketum yang boleh dibancuh dan diminum dengan lebih mudah.


Seorang penduduk, Dol (nama samaran) mendakwa rumah kayu setingkat milik keluarga itu dikenali sebagai pusat utama pengeluaran air dan serbuk ketum bagi kawasan sekitar Marang dan daerah berdekatan.


Beliau mendedahkan bahawa semua ahli keluarga itu terlibat dalam menghasilkan bahan berkenaan dan ia sudah menjadi sumber pendapatan utama mereka sejak beberapa tahun lalu.


"Mereka anak-beranak bekerjasama dan ada 'tugas' masing-masing. Si ayah mencari bekalan daun, anak-anak tugasnya merebus, proses dan bungkus daun ketum.


"Malah anak perempuan keluarga itu diberi tugas uruskan penjualan air ketum kepada pelanggan yang datang ke rumah mereka," katanya yang mendapat maklumat daripada rakan-rakan yang menagih bahan itu.


Kosmo Online melaporkan, di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, mereka yang memiliki air dan daun ketum boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dengan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak melebihi empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Dol memberitahu, selepas diserbu pihak berkuasa beberapa kali sebelum ini, keluarga itu hanya menjual kepada pelanggan tetap mereka bagi menggelak kegiatan berkenaan dikesan.


Katanya, 'waktu operasi' rumah tersebut juga tidak menentu dan bergantung kepada bekalan daun ketum yang diperoleh pada hari tersebut.


"Saya difahamkan, daun ketum dibekalkan oleh seorang pembekal dari luar kawasan ini kepada keluarga berkenaan," katanya.


Namun ujarnya, yang paling membimbangkan apabila keluarga itu kini menemui cara mudah untuk mengedarkan bahan berkenaan dengan memprosesnya dalam bentuk serbuk.


Dol menjelaskan, ia dipercayai mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga RM5 dan RM10 sebungkus serta boleh digunakan untuk lebih 50 kali bancuhan


http://buletinonline.net/

Mengenang Perjuangan As Syahid Syed Qutb

Oleh: Mohd Hasbie Muda
Bendahari Agung PMIUM



Tanggal 29 Ogos 2008, genaplah 42 tahun kesyahidan Asy-Syahid Syed Qutb di tali gantung Regim Jamal Abdul Nasir. Syed Qutb digantung bersama 2 orang lagi rakan seperjuangannya dalam Ikhwan Muslimun pada pagi Isnin 29 Ogos 1966. Kebimbangan dan ketakutan yang melanda bukan sahaja buat Regim Jamal Abdul Nasir tetapi juga buat Imperialis Barat ketika itu.

Imperialis Barat amat takut dan bimbang terhadap pemikiran- pemikiran tajam Syed Qutb yang menghancur-leburkan Ideologi Sesat Barat dan Komunisme Timur, serta kemampuan beliau mengemukakan ‘Gagasan Islam’ dengan jelas dan mantap ke dalam Ummah. Kemampuan beliau telah menyeret Regim Mesir dengan desakan Imperialis mengambil tindakan ‘kejam’ menggantung Mujahid Agung Islam abad ini.

Sejarah Hidup Syed Qutb:-

(1) Tahun 1906:- Syed Qutb dilahirkan di Daerah Assyut, Mesir. Berkat didikan ibubapa, beliau telah menghafaz seluruh Al-Quran sejak kecil lagi. Beliau melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum (sekarang Universiti Qaherah) sehingga berjaya mendapatkan ijazah dalam bidang sastera (Pendidikan) . Selepas tamat pengajian, beliau ditawarkan mengajar di Darul Ulum. Selepas beberapa tahun di situ, beliau dilantik menjadi ‘Nazir’ sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Mesir.

Kementerian Pelajaran Mesir telah menghantar beliau ke Amerika Syarikat selama 2 tahun kononnya untuk mengkaji sistem pendidikan dan latihan moden yang ada di sana.Tujuan sebenar Kerajaan adalah untuk men’sekular’kan pemikiran beliau.Namun,Pengalaman singkat (ringkas) beliau berhubung dengan budaya Barat membolehkan beliau mendalami pemikiran-pemikiran dan sosio budaya orang-orang Amerika dan Barat sendiri.

Syed Qutb berpeluang melihat sendiri betapa runtuhnya pemikiran dan budaya Barat. Kembalinya dari Amerika, beliau mula berjinak-jinak dengan Ikhwan Muslimun dan akhirnya menyertai gerakan Islam itu pada tahun 1945.

(2) Tahun 1945:-

Syed Qutb menyertai gerakan Islam Ikhwan Muslimun.

(3) Tahun 1954:-

Ikhwan Muslimun melantik Syed Qutb sebagi Ketua Pengarang Majalah Al-Ikhwan Muslimun. Tetapi majalah ini hanya dapat dikendalikan oleh beliau selama 2 bulan sahaja kerana pada bulan September 1954, majalah itu diharamkan penerbitannya oleh Regim Jamal Nasir.

Regim Mesir ketika itu mengambil langkah kekerasan terhadap gerakan Ikhwan dan menangkap ribuan pendukungnya termasuk Syed Qutb. Penyeksaan yang ‘teruk’ terhadapnya menyebabkan Syed Qutb menderita penyakit yang ‘teruk’ di dalam penjara.

(4) Tahun 1955:-

Pada Julai 1955, Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara dengan ‘kerja berat’ oleh Mahkamah Rakyat Mesir. Semasa di dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nasir telah menawarkan pembebasan terhadap beliau dengan syarat Syed Qutb menulis ‘pernyataan’ memohon maaf kepada Regim Jamal Abdul Nasir. Tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Syed Qutb dengan kata-kata yang amat bermakna dan berharga buat setiap pendukung Islam di sepanjang zaman.

Kata Syed Qutb: “Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun dengan perkataan itu dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sesekali aku tidak akan mengucapkannnya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Ia meredhai aku dan aku meredhaiNya”

(5) Tahun 1964:-

Syed Qutb dibebaskan apabila Jamal Abdul Nasir memenuhi permintaan Presiden Iraq yang meminta supaya Syed Qutb dibebaskan. Pembebasan itu dilakukan oleh Jamal Abdul Nasir kerana beliau ingin menjalin hubungan baik dengan Iraq.

Tetapi tidak sampai 1 tahun dari pembebasan itu, Syed Qutb ditahan kembali dengan tuduhan ingin merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dengan mengggunakan kekerasan. Turut ditangkap bersama beliau ialah adik-adiknya Muhammad Qutb, Hamidah Qutb, Aminah Qutb dan puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimun yang lain.

(6) Tahun 1966:-

Syed Qutb bersama rakan-rakan seperjuangannya iaitu Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fatah Ismail telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera Mesir.

Pagi Isnin 29 Ogos 1966,

Asy-Syahid Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati..

Al Fatihah.

Sumber: http://hasbiemuda.wordpress.com/

http://kampusnegara.net/

Kenyataan Prof Ibrahim didakwa berbaur perkauman


Sumber: Mahasiswakini


Shah Alam,28 Ogos 08- Wanita MCA hari ini menuduh Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof Ibrahim Abu Shah menjadikan pendidikan sebagai isu perkauman.


Timbalan Ketuanya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, akhbar Sin Chew Daily telah melaporkan semalam bahawa Ibrahim mendakwa pihak swasta enggan mengambil graduan UiTM bekerja.


“Artikel itu juga melaporkan beliau tetap dengan pendiriannya yang enggan membuka kuota 10 peratus tempat di UiTM kepada bukan bumiputera,” kata Chew sambil melahirkan kekecewaannya terhadap kenyataan naib canselor UiTM itu.


“Jika ada orang yang cuba menghasut majikan supaya jangan menerima graduan UiTm, kita mesti mengecamnya,” katanya.


Beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan ahli-ahli pendidikan yang didakwanya memainkan isu-isu perkauman.


“Walaupun Prof Ibrahim adalah naib canselor sebuah institusi pengajian tinggi, tetapi kerangka pemikiran beliau nampaknya masih mempunyai unsur-unsur perkauman.


“Beliau nampaknya telah menukar pendidikan menjadi isu perkauman,” kata Chew sambil menambah, Ibrahim juga telah membangkitkan sentimen perkauman pelajar yang boleh menjejaskan keharmonian negara.


‘Kerangka pemikiran sempit’


Tidak ragu lagi, tambahnya, kenyataan Ibrahim itu telah membangkitkan kemarahan ramai orang.


Sebaliknya, kata Chew, lebih ramai rakyat Malaysia yang telah mengikis kerangka pemikiran perkauman dan berusaha ke arah keterbukaan, ketelusan dan pengalaman demokrasi.


“Kita kini berdepan dengan keadaan di mana seorang naib canselor universiti menggunakan kerangka pemikiran yang sempit untuk menguruskan universiti.


“Ini bercanggah dengan langkah kerajaan untuk mempromosi perpaduan nasional di kalangan pelajar universiti,” katanya sambil menggesa kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya memandang berat perkara itu.


“Bila kemasukan ke sebuah universiti dinafikan untuk bangsa-bangsa lain kerana kepentingan politik dan dasar kerajaan, ini mengakibatkan pelajarnya hanya terdiri daripada satu kaum sahaja,” katanya.


Chew berkata, kekurangan nilai-nilai sejagat dan pluralisme mungkin mengakibatkan graduan dari universiti seumpama itu kurang berdayasaing.


Menurutnya, jika naib canselor berkenaan berpegang kepada kerangka pemikiran yang sempat dan ditambah pula dengan protes pelajar UiTM, maka ia akan menggalakkan sentimen perkauman di universiti berkenaan.


Perpaduan nasional


Sehubungan itu, Chew meminta kerajaan supaya mengkaji perkara itu secara serius.


Beliau juga menekan bahawa perpaduan nasional perlu bermula dengan dasar pendidikan yang adil dan terbuka.


Menurutnya, jika kakitangan awam mempunyai kerangka pemikiran ‘xenophobic’ (gerunkan orang asing), maka ia akan mengakibatkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang berat sebelah.


Tambahnya, tidak harus ditoleransi sikap dan pengaruh seumpama itu.Chew juga mencadangkan, dalam pengambilan kakitangan kerajaan, terutama guru dan pengetua, kerajaan mesti tegas dalam menentukan pandangan pemohon terhadap perpaduan nasional.


“Kerajaan juga mesti terus menganjurkan kursus-kurus perpaduan nasional bagi memastikan para pendidik dan kakitangan kerajaan bersikap saksama dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

http://kampusnegara.net/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...