Wednesday, January 12, 2011

TV3 Serah 20 Pita Drama 'Sakti Delima' Kepada LPFM

Rabu Januari 12, 2011

Sheila Rusly

PETALING JAYA: Pihak TV3 telah menyerahkan 20 episod pita rakaman drama bersiriSakti Delima kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) selepas agensi tersebut melarang penyiaran drama berkenaan di stesen televisyen itu berkuat kuasa Isnin selepas empat episod penyiarannya.

TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin berkata, pihaknya mematuhi arahan LPFM dan terpaksa memberhentikan tayangan drama terbitan J.S Pictures itu yang dikatakan mempunyai unsur-unsur syirik dan tahyul.

“Pihak TV3 akur dengan arahan LPFM dan membuat keputusan untuk tidak menayang drama berkenaan menerusi slot Legenda berkuat kuasa serta-merta dan menyerahkan 20 episod pita rakaman kepada mereka untuk dibuat pemantauan.

“Ia untuk memastikan jalan cerita dan elemen yang dipaparkan tidak mengandungi sebarang unsur syirik ketara yang boleh memesongkan akidah Islam,” kata kenyataan itu.

Drama yang diadaptasi daripada filem klasik Pancha Delima yang pernah dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Saadiah pada tahun 1957 itu mengisahkan tentang kesaktian seutas kalung yang menjadi rebutan ramai.

Ia diberi nafas baru oleh pengarah Jinggo dan penulis skrip Sofia J.Rhyland di samping barisan pelakon-pelakon bertudung Bienda, Safura, Aida Khalida dan Catriona Ross.

Stesen televisyen itu berkata, pihaknya akan menyiarkan drama tersebut semula pada bulan April akan datang selepas ia mendapat kelulusan LPFM.

Dalam sebuah laporan akhbar Isnin, penerbit J.S Pictures yang turut berlakon drama tersebut Sheila Rusly mempersoalkan LPFM kerana melarang penyiaran drama berkenaan sedangkan ia merupakan 30 peratus adaptasi daripada filem asal Pancha Delima.

Kata Sheila, kenapa pihak LPFM perlu ada “double standard” terhadap drama berkenaan.

Sakti Delima disiarkan menerusi slot Legenda yang menemui penonton bermula Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang sejak 3 Januari lalu.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/1/12/mstar_hiburan/20110111171458&sec=mstar_hiburan

Nazri Cabar Anwar Debat Isu Apco

Rabu Januari 12, 2011

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" pakatan pembangkang berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

"Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu," kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide (APCO), sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan gagasan 1Malaysia dan kempen 'One Israel', walaupun kerajaan mendedahkan dokumen yang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lepas, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong. Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

"Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

"PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Selasa.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

"Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam," dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

Di IPOH, Pergerakan Pemuda Umno Perak menyifatkan cabaran Anwar itu merupakan taktik murahannya untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap krisis peribadinya sendiri.

Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata sekiranya Anwar benar-benar mahu berdebat, beliau sewajarnya menerima pelawaan Ketua Pergerakan Umno Khairy Jamaluddin.

Pergerakan Pemuda Umno Perak menyokong penuh cabaran Khairy untuk berdebat mengenai isu pelaksanaan pendekatan ekonomi yang termaktub dalam Pelan 100 Hari pakatan pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno Hishamudin Yahya pula berkata pelawaan Anwar itu tidak perlu dilayan sebaliknya Najib perlu terus memastikan semua program yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Daripada segi pendekatan ekonomi, beliau berkata walaupun Anwar telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, namun beliau masih gagal mempamerkan 'kehebatan' menarik pelabur luar negara ke negeri itu.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/12/mstar_berita/20110111224842&sec=mstar_berita

Rashid Kongsi Pesanan Terakhir Misbun

Isnin Januari 10, 2011

Rashid (kanan) turut terkejut dengan peletakan jawatan abangnya.

“YOU all jaga diri baik-baik, jangan fikir hal lain dan try improve untuk jadi champion. Itu pesanan terakhir jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek kepada anak buahnya selepas selesai sesi latihan pada Khamis minggu lalu.

Amanat itu dikongsi ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang juga adik Misbun kepada Mingguan mStar ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Misbun mengejutkan ramai pihak apabila menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa pada 31 Disember lalu menerusi email kepada Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh tanpa memberikan sebarang alasan.

Menurut Rashid, dia yakin abangnya akan kembali melatih pemain senior dan luar negara bersama Kelab Badminton Nusa Mahsuri yang ditubuhkan sejak 1997 andai beliau tetap dengan keputusannya untuk mengundur diri.

“Kami adik-beradik kenal dengan perangai Misbun. Jika dia tidak suka sesuatu perkara, dia tetap dengan pendiriannya walaupun cuba dipujuk dengan apa jua cara sekalipun. Dia seorang yang tegas dan sukar diramal.

“Dia mungkin akan kembali ke Nusa Mahsuri jika tidak bersama BAM. Walaupun kami menerima tawaran dari BAM untuk menjadi jurulatih, hubungan dengan kelab badminton profesional itu tidak pernah putus. Kami masih ada perjanjian bersama Nusa Mahsuri,” katanya.

Rashid mengakui Nusa Mahsuri sering menjadi tumpuan pemain dari Jepun, England, Norway, Finland, Denmark dan Vietnam tiap-tiap tahun untuk menjalani latihan.

“Pemain No.1 Vietnam, Nguyen Tien Minh, Shoji Sato dan Sho Sasaki dari Jepun antara pemain yang pernah berlatih bersama Nusa Mahsuri. Mereka akan datang berlatih selama satu atau dua bulan di sini kemudian kembali ke negara asal untuk kejohanan tertentu,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mahu mengikut jejak langkah Misbun, Rashid berkata, jika itu keputusan beliau ia bukan lahir daripada paksaan atau pujukan abangnya.

“Kalau Chong Wei nak keluar dari BAM, itu atas kehendak dia sendiri. Isu peletakan jawatan itu tiada kena mengena dengan Chong Wei malah Misbun tiada perancangan untuk mempengaruhi anak buahnya itu mengikut jejaknya,” tegas Rashid.

Katanya, Misbun tidak pernah terfikir untuk menghasut atau memujuk Chong Wei untuk meninggalkan BAM sebaliknya mahu anak didiknya itu fokus dalam setiap kejohanan dan segala persediaanya tidak terjejas.

Meskipun soalan demi soalan diajukan kepada Rashid untuk mengetahui punca sebenar peletakan jawatan Misbun, anak bongsu daripada lima beradik itu sekadar menjelaskan abangnya ada menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sistem pengurusan BAM.

“Saya tidak tahu sama ada dia terguris hati dengan pihak pengurusan. Namun isu itu bukan punca sebenar dalam masalah ini, ia cuma sebahagian daripadanya. Saya pun tidak sangka Misbun akan letak jawatan,” katanya.

Kini, tugas yang ditinggalkan Misbun diambil-alih oleh Rashid dan Teh Seu Bock buat sementara waktu sejak awal minggu ini sehingga pengumuman dari BAM diketahui dalam tempoh terdekat.

Sehingga hari ini, punca sebenar di sebalik kemelut itu masih mengundang seribu satu persoalan.

Bagaimanapun, kontroversi itu menunjukkan tanda-tanda akan selesai secepat mungkin selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan akan mengatur pertemuan tiga pihak bersama-sama dengan Misbun dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh sekembalinya dari lawatan ke Sarawak.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2011/1/10/mstar_mingguan/20110110144141&sec=mstar_mingguan

Pihak berkuasa diminta pantau pernjualan produk kecantikan melalui MLM

MELAKA: Persatuan Pelindung Pengguna Melaka meminta pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih tegas terhadap penjualan produk kecantikan melalui 'pemasaran pelbagai aras' (MLM) kerana ada antaranya memudaratkan pengguna, seperti pemutih kulit yang menyebabkan kulit muka rosak.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata persatuan itu turut menerima aduan terdapat syarikat MLM yang menjual produk yang diharamkan walaupun mengetahui ia berbahaya.

Beliau berkata selain itu, pihaknya banyak menerima aduan mengenai produk perubatan tradisional, terutama membabitkan ubat perangsang seks yang menggunakan steroid sebagai bahan sehingga boleh memudaratkan pengguna.

"Steroid digunakan untuk menguatkan dan mempercepatkan rangsangan bahan itu, selain ubat perangsang seks, kita juga banyak menerima laporan steroid ini digunakan dalam ubat sakit sendi," katanya kepada pemberita di pejabat persatuan itu di Ayer Keroh hari ini.


Dr Saharuddin berkata terdapat juga pengusaha yang meniru produk ubatan pengusaha tempatan dan dijual pada harga sama, namun tidak memiliki kesan serupa dengan produk asal, malah memudaratkan.


Beliau berkata ada juga sesetengah pengusaha yang mahu mengaut keuntungan cepat bertindak mengambil produk ubatan syarikat lain dan membungkusnya semula sebelum dijual pada harga lebih tinggi.

Katanya, persatuan itu juga menerima banyak aduan mengenai beberapa pusat perubatan yang mengenakan bayaran sesuka hati, dan pesakit hanya dimaklumkan mengenai jumlah kos terbabit selepas menerima rawatan.

Dr Saharuddin berkata pusat perubatan berkenaan sepatutnya memaklumkan kos
yang terlibat sebelum pesakit dirawat sebagaimana diarahkan oleh Kementerian
Kesihatan.

"Pengguna yang merasakan dirinya tertipu, boleh menghubungi persatuan kami
di talian 1-700-800-444 atau 06-2324228, dan pihak persatuan ini boleh membantu
mereka menuntut pampasan," katanya.
- Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/PihakberkuasadimintapantaupernjualanprodukkecantikanmelaluiMLM/Article

Mayat bayi perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah

KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tempat pembuangan sampah di Jalan Hamzah, Kampung Baru di sini hari ini.

Mayat bayi yang lengkap berpakaian itu ditemui pada 10 pagi oleh seorang suri rumah, Supik Satun, 43, dalam sebuah kotak di hadapan rumahnya, ketika beliau hendak membuang sampah.

"Pada mulanya saya ingatkan dalam kotak itu sampah tetapi selepas membukanya saya dapati mayat seorang bayi perempuan. Terkejut dengan keadaan itu saya lantas memanggil jiran saya yang berada di dalam rumah untuk menentukan sama ada ia bayi atau anak patung," katanya kepada Bernama.

Jiran Supik, Suntari Manaf, 46, berkata beliau segera ke tempat pembuangan sampah itu selepas dipanggil oleh wanita berkenaan.


"Saya yang diberitahu ada bayi pada mulanya tidak percaya dengan perkara tersebut, namun selepas melihatnya akhirnya saya terkejut dan segera menelefon polis," kata Suntari, yang bekerja sebagai pemandu teksi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai kes tersebut.

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Mayatbayiperempuanditemuiditempatpembuangansampah/Article

3 remaja hamil lepas lari ikut kekasih

KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila tiga gadis termasuk dua antaranya masih di bawah umur dikesan mengandung selepas melarikan diri kerana mengikut teman lelaki masing-masing.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 16 kes aduan membabitkan remaja perempuan meninggalkan rumah selepas terpedaya dengan ajakan teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sembang, sepanjang tahun lalu.


“Sebaik ibu bapa gadis terbabit membuat aduan di pejabat kami dan kemudian disiarkan akhbar, sebahagian gadis berusia antara 14 hingga 19 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun, tiga daripada gadis itu disahkan mengandung menyebabkan ibu bapa mereka terpaksa melaporkan kejadian itu kepada polis. Lebih mengejutkan lagi, dua daripadanya masih bawah umur begitu juga teman lelaki mereka,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.


Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit mudah terpedaya dengan pujukan lelaki walaupun baru dikenali melalui laman sembang.


Dalam kes terbaru, pihaknya menerima dua lagi aduan membabitkan kehilangan gadis berusia 17 dan 23 tahun berasal dari Perak dan Johor.

Menurutnya, seorang remaja berusia 17 tahun dikatakan hilang di Tapah, Perak, dekat sini, 30 Disember lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui sebuah laman sembang.


Mangsa, dipercayai keluar rumah selepas menerima kunjungan seorang lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada hari berkenaan.

Ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Bee Poh, 48, berkata anaknya ada menelefon memaklumkan lelaki terbabit yang berasal dari Johor hendak datang ke rumahnya untuk berjumpa anak bongsunya itu.


“Saya tidak kisah dan membenarkan lelaki itu berjumpa dengan anak saya. Bagaimanapun, selepas anak saya menghantar lelaki itu ke sebuah perhentian bas berhampiran, anak saya itu kemudian bertindak mengambil beg pakaiannya sebelum bergegas keluar rumah,” katanya.


Difahamkan, ketika kejadian, dia yang menjalankan perniagaan keranda tiada di rumah dan hanya mengetahui kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu sebaik dimaklumkan anak keduanya.


“Saya segera pulang ke rumah dan mendapati satu nota ditinggalkan anak saya memberitahu mahu keluar bercuti untuk beberapa hari dan akan pulang semula ke rumah. “Selepas membaca nota berkenaan, saya segera menghubungi anak saya itu namun gagal dan masih tidak pulang sehingga sekarang,” katanya.


Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Ulu Bernam, di sini kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.


Dalam kes berasingan, seorang lagi gadis, Tan Mei She,23, dirayu pulang selepas dipercayai hilang sejak tiga tahun lalu.


Michael berkata, mangsa dipercayai mendapat pekerjaan di Melaka, namun masih tidak pulang sehingga kini dan ibu bapa mangsa sudah membuat laporan di sebuah balai polis di Skudai, Johor pada 10 November lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3remajahamillepaslariikutkekasih/Article/index_html

Jemaah khurafat tarik emas

Jemaah khurafat tarik emas

Oleh Asmah Rusman dan Hamizah Badiran

TERTIPU...Ramli menunjukkan emas sadur dan dua botol air mawar.
TERTIPU...Ramli menunjukkan emas sadur dan dua botol air mawar.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an untuk dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat menarik emas dari alam ghaib.

Wanita berkenaan yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, jumlah pemuda tampan yang menjadi pengikutnya mencecah 20 orang.

Mendedahkan kegiatan wanita terbabit, pemuda mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia menjadi pengikut jemaah tarik emas itu selama lebih enam bulan sebelum melarikan diri.

Ramli, 24, berkata, selepas termasuk dalam perangkap Ibu, amat sukar melepaskan diri kerana dia bukan saja mengumpan pengikutnya dengan wang ringgit serta seks, tapi turut bersikap agresif kepada sesiapa yang cuba berpaling tadah.


“Sesiapa bersetuju menjadi pengikutnya, disyaratkan mentaati dan menyayanginya dengan cara bersalam dan mencium kedua-dua pipinya setiap kali berjumpa.


“Lebih menjelekkan, selepas menjadi pengikut, kami dikehendaki tinggal di rumah ibu dan setiap malam kami tidur beramai-ramai di ruang tamu bersama-sama dengannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menceritakan pengalamannya pada beberapa malam pertama tidur di rumah Ibu, Ramli berkata, dia terperanjat apabila melihat bomoh wanita itu dengan selamba memeluk rakannya secara bergilir-gilir sepanjang malam.

“Saya lihat dia peluk rakan di sebelah saya ketika saya terjaga di tengah malam untuk membuang air. Esoknya, saya bertanya kepada Ibu mengenai perbuatannya itu.

“Ibu menjelaskan dia perlu tidur bersama-sama kami semua kerana bilik tidurnya digunakan Tuan Puteri untuk beradu. Kata ibu, Tuan Puteri itulah yang membantu usaha kami untuk menarik emas,” katanya.

Menurut Ramli, dia mengesyaki rakannya yang sudah lama menjadi pengikut jemaah khurafat itu turut melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan.

“Apabila ada antara kami yang minta izin untuk pulang ke rumah, Ibu akan jatuh sakit secara tiba-tiba dan memberi pelbagai alasan termasuk dia sakit dada, pening kepala dan demam, sambil menagih simpati,” katanya.

Menceritakan tugas sebagai ejen menarik emas, Ramli berkata, setiap pemuda yang tinggal bersama dan menjadi pengikut Ibu dikehendaki mencari pelanggan yang berminat dengan khidmat mereka.

Menurutnya, setiap pelanggan perlu membayar RM1,350 sebagai kos perbelanjaan membeli keperluan pemujaan termasuk satu kotak kayu berukir, sebotol minyak candu hitam, dua botol air mawar dan satu bilik khas di rumah masing-masing.

“Kotak kayu itu akan disiram dengan minyak candu hitam dan dua botol air mawar akan disimpan di dalam kotak sebelum diletakkan dalam bilik khas yang dihiasi dengan taburan bunga melur dan bunga mawar.

“Kotak kayu perlu itu disimpan dalam bilik khas selama sekurang-kurangnya 40 hari sebelum boleh dibuka. Sepanjang tempoh itulah, Tuan Puteri kononnya turun menarik emas,” katanya.

Ramli berkata, dia sempat menyediakan seorang pelanggan untuk Ibu menjalankan khidmat menarik emas, namun selepas hampir dua bulan, barulah dia menyedari semua yang dijanjikan wanita itu hanya pembohongan belaka.

“Selepas kira-kira 40 hari, Ibu masuk ke bilik seorang diri mengambil kotak kayu yang disimpan di situ dan dia keluar semula dengan memegang enam uncang pelbagai jenis barang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Jemaahkhurafattarikemas/Article

Anak bertindak agresif

KUALA LUMPUR: “Sehingga kini usaha saya untuk mengeluarkan anak saya daripada menjadi pengikut wanita itu gagal kerana dia begitu agresif dengan menyerang saya di rumah selepas saya melarang anak saya mengikutnya.”

Demikian kata wanita yang mahu dikenali Maimunah, ibu kepada seorang pemuda berusia 20-an yang menjadi anggota jemaah atau pengikut Ibu.


Maimunah, berkata, anaknya, Ashraf, memberitahu dia bekerja bersama seorang bomoh wanita yang handal dalam kerja menarik emas sambil mendalami ilmu agama.

“Bila saya halang anak saya daripada menyertai kumpulan itu, wanita berkenaan menyerang saya di rumah. Dia mengugut dan mengancam keselamatan kami sekeluarga,” katanya.


Maimunah berkata, dia bimbang anaknya terjebak dengan aktiviti khurafat dan terpesong daripada ajaran Islam jika terus menjadi pengikut wanita itu.


“Ini kerana saya difahamkan, wanita itu membawa anak saya melawat ke tanah perkuburan lama untuk menghantar minyak mawar kepada ‘jin’ kubur yang kononnya tahu lokasi emas tertanam,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata aktiviti ‘tarik emas’ atau ‘tarik duit’ dari alam ghaib sebenarnya satu perbuatan mustahil.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakbertindakagresif/Article/index_html

Dilarikan bapa

MERSING: Nur Dania Qistina Nurafizan, 3, yang dipercayai mati akibat didera ibu tirinya, didakwa dilarikan bapanya hampir tiga bulan lalu dan ibu kandungnya juga tidak dibenarkan bertemu mangsa serta dua adiknya yang lain.

“Siapa sangka selepas hampir tiga bulan bekas abang ipar melarang kakak bertemu ketiga-tiga anak kerana masalah rumah tangga, akhirnya kakak (Nur Aquilla, 27) kehilangan seorang cahaya matanya.

“Hatinya luluh kerana meratap jasad kaku Nur Dania dalam keadaan menyayat hati termasuk luka dan lebam di seluruh badan,” kata bapa saudara Nur Dania, Mohd Kamaruzzaman Razali, 25, ketika ditemui di Felda Tenggaroh 6, di sini, semalam.

Kamaruzzaman berkata, keluarganya terkilan dengan nasib menimpa anak kedua daripada tiga beradik selepas dilarikan bapa mereka pada Oktober lalu.


Menurutnya, kakak sulungnya itu terlalu merindui Nur Dania serta kakak mangsa berusia lima tahun dan adik lelaki berusia setahun, selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dilarikan bekas abang iparnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dilarikanbapa/Article/index_html

Ibu tiri dusta

Ibu tiri dusta

Oleh Mary Victoria Dass dan Sahlina Sahkirin

SAYU...jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 6, semalam.
SAYU...jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 6, semalam.
PILU...Nur Aquilla (tengah) tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...Nur Aquilla (tengah) tidak dapat menahan kesedihan.

JOHOR BAHRU: Tujuh puluh tiga kesan cedera pada seluruh tubuh menjadi petunjuk punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun akibat didera dan bukan disebabkan lemas seperti didakwa ibu tirinya.

Nur Dania Qistina Nurafizan yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya yang berusia 25 tahun di Kampung Sungai Tiram di sini, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pagi kelmarin, selepas dibawa ke hospital oleh bapanya yang memberitahu dia lemas dalam baldi.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat dilakukan, pihak hospital mengesyaki punca kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan kejam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima polis, tengah hari semalam.


Menurutnya, laporan menunjukkan mangsa mempunyai 73 kesan penderaan fizikal selain lebam di dada.


“Doktor juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan menolak dakwaan ibu tiri mangsa yang menyatakan kanak-kanak itu lemas.

“Dalam laporan, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan daripada isterinya pada jam 8.30 pagi ketika berada di tempat kerja dan wanita itu menyatakan anak kedua suaminya hasil perkahwinan pertama lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dan lemas di dalam baldi.

“Lelaki terbabit membawa mangsa dari rumah mereka di Kampung Sungai Tiram di sini ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, lelaki itu menyatakan anaknya tidak dapat diselamatkan dan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Roslan berkata, mengikut laporan bedah siasat, dakwaan ibu tiri mangsa bahawa mangsa lemas tidak benar kerana tiada tanda lemas dikenal pasti sebaliknya ada 73 kesan penderaan dan pendarahan dalaman di paru-paru.

Menurutnya, polis sudah menahan ibu tiri terbabit bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ibutiridusta/Article

Sheila menangis

Sheila menangis

Oleh Ramlah Zainal

KECEWA...Sheila terkejut dengan arahan LPF.
KECEWA...Sheila terkejut dengan arahan LPF.

KUALA LUMPUR: Baru empat episod ke udara di TV3, drama bersiri 20 episod, Sakti Delima terbitan JS Pictures Sdn Bhd terpaksa dihentikan siarannya, berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Produser drama itu, Sheila Rusly mengesahkan, perkara ini atas arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mendakwa drama arahan Azman Yahya atau Jinggo itu mengandungi unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam.

Sambil menangis, Sheila ketika menghubungi Harian Metro, petang semalam sangat kecewa dan kesal dengan arahan mengejut daripada LPF itu.

“Saya baru dapat tahu arahan ini dari TV3 yang memaklumkan perkara ini semalam. Saya difahamkan, LPF berkata, Sakti Delima boleh mengelirukan penonton kerana kalung Sakti Delima yang ditonjolkan berbaur syirik. Saya juga diberitahu, wakil LPF bertanya kepada pihak TV3, adakah orang bunian dalam cerita ini Islam ke tidak?” katanya.


Sheila berkata kisah Sakti Delima sebenarnya adalah adaptasi kira-kira 30 peratus dari filem klasik, Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pancha Delima lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin.


“Ia menceritakan mengenai kesaktian seutas kalung yang jadi rebutan ramai. Ia cerita epik berdasarkan fantasi dan khayalan penulis Sofia J Rhyland dan 'team' produksi kami.

“Saya tertanya-tanya juga, apa bezanya cerita Sakti Delima dengan filem Pancha Delima yang banyak kali diulang tayang siarannya di TV? Bezanya, cerita Sakti Delima dihasilkan pada zaman ini tapi kita sendiri tidak tahu zaman berlakunya kisah fantasi itu,” katanya.

Dengan apa yang berlaku, Sheila melihat pihak LPF seolah-olah bersikap 'double standard' terhadap syarikatnya.

“Bagaimana LPF menilai Sakti Delima cerita syirik sedangkan ia baru disiarkan empat episod? Mereka belum tahu bagaimana penghujung cerita ini yang terselit pengajaran. Justeru, saya merayu kepada pihak LPF agar mempertimbang semula arahan menghentikan siaran Sakti Delima,” kata Shiela.

Dia berkata, pihaknya menghasilkan cerita Sakti Delima kerana ingin beri peluang kepada pelakon wanita bertudung di luar sana.

“Kalau LPF menghentikan siaran Sakti Delima, hasrat kami ingin membantu pelakon bertudung yang kurang tawaran berlakon, tidak kesampaian.

“Sebenarnya, ramai pelakon bertudung mengeluh kerana susah mendapat tawaran berlakon dan watak mencabar kredibiliti mereka. Peluang yang saya buka kepada pelakon bertudung untuk beraksi dalam produksi saya itu atas rasa tanggungjawab sebagai produser, sekali gus menyemarakkan bidang seni tanah air,” katanya.

Sheila berkata, pihaknya tetap menyelitkan nilai-nilai keislaman dan keindahan bahasa Melayu klasik dalam siri itu

“Kalau orang kata cerita ini tahyul banyak lagi cerita legenda yang lain yang buat cerita yang sama dan lulus tapisan LPF,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang mahu sabotaj Sakti Delima, Sheila tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Entahlah, itu saya tak pasti,” katanya.

Drama bersiri Sakti Delima menceritakan mengenai pengusaha chalet, Talib di pusat peranginan di tanah tinggi yang juga ayah tunggal kepada tiga anak perempuan iaitu Siti Anggerik, Siti Tanjung dan Siti Melur.

Siti Melur adalah anak bongsu yang kerap dibuli dua kakaknya (hasil perkahwinan pertama ayahnya). Taib juga sedih melihat sikap Siti Anggerik dan Siti Tanjung yang bukan saja asyik bertelagah sesama sendiri tapi sering membuli adik mereka, Siti Melur.


Satu malam, Siti Melur bermimpi berjumpa arwah ibunya yang memberitahu mengenai kehebatan kalung di lehernya yang digelar Sakti Delima yang mampu membawa tuah.

Barisan pelakon yang menjayakan Sakti Delima adalah Bienda, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross, Ungku Ismail, Iqram Dinzly, Yalal Murai dan Sheila sendiri.


Ia menelan kos kira-kira RM500,000 dan sepatutnya ke udara di slot Lagenda TV3, jam 4.30 petang, mulai 3 Januari lalu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sheilamenangis/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...