Wednesday, September 8, 2010

Kita Cuba Gambarkan Seakan Tiada Rahmah Antara Muslim dan Bukan Muslim

Isnin Ogos 30, 2010

SAYA amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya.

Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam. Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis.

Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak.

Firman Allah: (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar.

Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!

TAMBAH KELIRU

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media.

‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan.

Tetapi dalam masyarakat kita agak terbalik iaitu ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas. Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan.

Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!

MASUK MASJID

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat.

Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Athal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w.

Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?” Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”. Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya.

Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”. Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”. Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi.

"Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Athal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam.

Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut: “Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Athal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

LUASKAN FUNGSI MASJID

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan bukan muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan.

Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/8/30/mstar_kolum_minda_mufti/20100830181227&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Tangisan tepi tong sampah



Oleh Zulfa Mohamad

2010/9/08

KEPALA BATAS: “Orang yang buang bayi ini bukan manusia, tapi binatang,” kata Norhaidah Abu Ahmad, 42, yang menemui bayi lelaki bersama anaknya di tepi tong sampah dekat Sungai Korok, di sini, semalam.

DI SINI..Norhaidah menunjukkan tempat bayi ditemui, semalam.
DI SINI..Norhaidah menunjukkan tempat bayi ditemui, semalam.
Sebelum menemui bayi berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi, Norhaidah dan anaknya, Nordiana Halidan, 21, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke Pinang Tunggal untuk membeli arang.

Norhaidah berkata, dia memberhentikan motosikal untuk membuang bungkusan sampah dibawanya ke dalam tong di tepi jalan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tangisan bayi.

“Saya terkejut apabila anak saya mengatakan ada bayi dalam bungkusan plastik merah berbalut kain batik dengan uri masih bersamanya.

“Mulanya saya takut kalau orang salah sangka menuduh saya yang buang bayi itu. Oleh kerana kasihan melihat keadaannya, saya membawanya pulang ke rumah dan memberinya minum susu,” katanya yang menghantar bayi berkenaan ke Pondok Polis Kampung Selamat jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki dekat tong sampah sebelum diserahkan kepada polis di Kampung Selamat.

Katanya, bayi berkenaan seberat 2.9 kilogram dipercayai dilahirkan dalam tempoh satu jam sebelum dibuang dekat tong sampah.

“Dia dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan baik,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangisantepitongsampah/Article


Penemuan beri petunjuk


ANGGOTA polis membuat pemeriksaan ke atas kereta Sosilawati yang ditemui di Subang Jaya malam tadi.


SUBANG JAYA - Tanda tanya mengenai kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakan semakin terurai misterinya apabila polis menemui dua buah kereta milik mereka yang menjadi petunjuk baru dalam siasatan pihak berkuasa itu.

Kereta milik Sosilawati jenis BMW X5 menggunakan nombor pendaftaran WTL 11 berwarna hitam ditemui di kawasan letak kereta Flat Angsana USJ1 di sini pukul 9.45 malam tadi oleh orang awam.

Mereka kemudian terus menghubungi polis selepas menonton berita mengenai kehilangan wanita itu di televisyen.

Ketika ditemui, kereta tersebut berada dalam keadaan baik dan tiada sesiapa di dalamnya. Pasukan forensik yang tiba sejam kemudian terus melakukan siasatan bagi mencari bukti-bukti dan cap jari yang terdapat di dalam kereta tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, sejam selepas itu polis menerima satu lagi maklumat mengatakan kereta jenis BMW M5 milik peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, ditemui di tempat letak kereta depan Hotel Dorsett di sini.

Katanya, kereta yang menggunakan nombor pendaftaran AAJ 5 itu diletakkan dalam keadaan tergesa-gesa tetapi tiada sesiapa di dalamnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Sosilawati dilihat kunjungi kedai perusahaan kerepek

Oleh Wan Faizal Ismayatim, Suhana Roslan, Sukhairi Abdul Thani dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08

KEDAI perusahaan kerepek yang dikunjungi Sosilawati di Kampung Sungai Lang, Banting, kira-kira jam 4 petang 4 Ogos lalu.
KEDAI perusahaan kerepek yang dikunjungi Sosilawati di Kampung Sungai Lang, Banting, kira-kira jam 4 petang 4 Ogos lalu.
Jutawan kosmetik belanja RM200 beli pelbagai jenis kuih raya

BANTING: Seorang pekerja Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang di sini mengesahkan melayan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, ketika jutawan kosmetik itu mengunjungi kedai kerepek berkenaan kira-kira jam 4 petang, 30 Ogos lalu.

Pekerja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 26, berkata Sosilawati datang bersama seorang lelaki yang dipanggil sebagai `Kamal' dipercayai pemandu peribadi jutawan kosmetik itu, Kamarudin Shansuddin, 44.

Difahamkan, pengasas Nouvelle Visages itu mengunjungi kedai berkenaan untuk membeli pelbagai jenis kuih raya dan kerepek yang hendak dihadiahkan kepada kakitangannya sempena Aidilfitri.

"Saya melihat Sosilawati menaiki kereta BMW X5 berwarna hitam bersama seorang lelaki yang dipanggil Kamal dan kenderaan itu diletakkan betul-betul di hadapan kedai.

"Sepanjang lebih sejam berada di dalam kedai, saya ditugaskan melayannya untuk memilih beberapa jenis kerepek dan biskut raya,"
katanya yang bertugas secara kontrak selama sebulan di kedai itu.

Ina berkata, antara kerepek dan biskut dibeli jutawan kosmetik itu ialah kerepek jejari bilis, pisang, bawang, biskut Almond London, Dam dan sanggul Mak Dara.
"Beliau (Sosilawati) berbelanja lebih RM200 dengan membeli semua jenis kerepek dan biskut. Sebelum beredar, beliau sempat membeli 10 cawan jeli kelapa yang turut dijual di sini," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Ina turut dimaklumkan oleh Sosilawati yang pada Aidilfitri kali ini beliau tidak mahu memberikan duit raya sebaliknya mahu menghadiahkan kerepek dan kuih raya kepada semua pekerjanya.

"Sepanjang berada di kedai ini, Sosilawati ada meminta pendapat saya mengenai kerepek dan biskut mana yang sedap dan patut dibeli dan beliau juga ada meminta pendapat Kamal.

"Selepas selesai membuat pembayaran di kaunter, saya menolong beliau (Sosilawati) mengangkat semua barangan yang dibeli hingga ke hadapan kedai dan Kamal memunggahnya ke dalam kereta," katanya yang melihat Sosilawati memakai baju blaus berwarna merah jambu dan pic, kasut sukan berwarna hitam dengan jahitan kuning serta memakai seluar 'legging' hitam.

Lelaki bernama Kamal itu pula dikatakan memakai kemeja lengan pendek dengan warna seakan-akan warna blaus Sosilawati dan berseluar gelap.

"Saya juga sempat melihat mereka beredar meninggalkan kawasan kedai dan tiada kenderaan lain beredar bersama kenderaan dinaiki mereka,” katanya.

Sementara itu, pemilik Fazz Enterprise Kerepek House, Mahmudin Abas, 55, berkata ketika Sosilawati datang ke kedainya, beliau berada di kediamannya yang terletak kira-kira 20 meter dari kedai.

"Bila dimaklumkan Sosilawati datang, saya terus datang ke kedai untuk melihat dan memastikan beliau dilayan sewajarnya. Saya juga nampak kereta BMW X5 bernombor WTL 11 diletakkan di hadapan kedai,” katanya.

Belum Ada Perkembangan Terbaru Kes Kehilangan Sosilawati

Selasa September 7, 2010

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Sabtu Osman berkata masih belum ada perkembangan terbaru mengenai kes kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

"Polis sedang giat menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa keterangan dari keluarga dan rakan-rakannya.

"Siasatan ini juga merangkumi pemeriksaan terhadap dua buah kereta yang ditemui semalam termasuk cap jari yang terdapat pada kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Semalam, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sosilawati, 44, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak Isnin lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan bekerjasama dengan IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman dalam menyelesaikan kes itu.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Kempen Balik Kampung Dengan Selamat bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, beliau berkata keseluruhan kontinjen bersiap sedia membantu IPK Kuala Lumpur jika telah menemui sebarang petunjuk baru daam kes itu. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/7/mstar_berita/20100907205527&sec=mstar_berita

Noorhisham Beritahu Isteri Tidak Balik Rumah Tiga Hari

Selasa September 7, 2010

Suzana ditemani anak-anaknya ketika sidang media eksklusif di kediamannya di Kuala Lumpur, Selasa.

KUALA LUMPUR: "Tolong faham, abang tak balik rumah tiga hari dan abang minta maaf. Nanti balik abang akan cerita," itulah kata-kata terakhir Noorhisham Mohammad kepada isterinya Suzana Radim Pangat menerusi telefon sebelum beliau dilaporkan hilang.

Noorhisham, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru dilaporkan hilang bersama-sama juwatan kosmetik Sosilawati Lawiya, 44, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak Isnin lepas semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Suzana, 38, berkata kali terakhir beliau bercakap dengan Noorhisham ialah melalui panggilan telefon kira-kira 8.15 malam Isnin minggu lalu dalam keadaan tergesa-gesa.

"Saya rasa sangat pelik. Apabila saya tanya kenapa, dia cuma jawab yang dia suruh saya faham, nanti balik dia akan cerita semuanya, dan ketika itu dia hanya sehelai sepinggang.

"Jadi, saya tak buat apa-apa tindakan kepada polis walaupun saya rasa apa yang berlaku ini pelik sebab bila suami cakap dia akan balik tiga hari lagi, fahaman saya dia akan balik," katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Seria, Ampang, Selasa.

Beliau berkata pada hari kejadian, suaminya ada memberitahu bahawa beliau akan ke Banting atas urusan kerja bersama-sama Sosilawati, Kamaruddin dan Ahmad Kamil.

"Dan apa yang saya tahu pada masa itu, suami saya menaiki kereta dengan (Ahmad) Kamil sebab sebelum bertolak ke Banting dia ada telefon bagi tahu yang dia nak bertolak," katanya.

Suzana yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan Noorhisham, berkata sejak 31 Ogos hingga kini beliau tidak dapat menghubungi suaminya.

"Pada hari berikutnya itu, saya risau kenapa dia tak hubungi. Petang saya hubungi dan SMS suami saya guna telefon saya dan anak, tetapi tak dapat," katanya.

Menurutnya beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 5 petang pada Khamis lepas selepas tiga hari suaminya tidak pulang ke rumah.

"Saya risau sebab dah tiga hari dia tak balik, sebelum ini dia tak pernah buat macam ni. Kalau pergi out station pun dia akan balik," katanya sambil menambah Sosilawati merupakan pelanggan Noorhisham sejak dua tahun lalu.

Menurut Suzana, hari ini beliau dapat mengenal pasti kereta suaminya yang berada di Seksyen 7, Shah Alam.

"Anak Datuk Sosilawati beritahu kereta (Proton Perdana) Noorhisham ada di Seksyen 7. Nasib baik kunci spare ada dan saya terus ke sana untuk bawa kereta itu balik ke rumah," katanya.

Mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi, Suzana berdoa agar suaminya dapat pulang untuk meraikannya bersama mereka sekeluarga.

"Kali ini saya tak ada apa-apa persiapan. Hanya saya harap suami saya balik sebelum hari raya. Sebelum suami saya hilang dia dah belikan baju raya untuk anak-anak kami.

"Yang paling menyedihkan ialah 13 September ini adalah ulang tahun kelahiran suami saya," katanya.

Suzana meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suaminya agar segera tampil ke balai polis membuat laporan.

"Saya minta semua doakan suami saya pulang tak kira dia berada dalam keadaan macam mana sekalipun," katanya sambil menambah suaminya tidak pernah meluahkan sebarang masalah baik dari segi pekerjaan mahupun dengan Sosilawati.

Keluarga Sosilawati pula berkata mereka tidak menerima sebarang surat amaran termasuk ugutan berhubung kehilangan jutawan itu.

Adiknya Masturi, 42, berkata sebarang surat atau panggilan telefon termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diterima keluarganya dari mana-mana pihak berhubung misteri kehilangan kakaknya itu.

Masturi yang ditemui pemberita di hadapan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata beliau yang datang dari Johor, berada di rumah itu untuk menjaga anak-anak kakaknya sejak kakaknya dilaporkan hilang.

"Semua keterangan telah diberikan kepada polis. Sebarang perkembangan tentang kakak saya akan diberitahu oleh anak sulungnya melalui kenyataan yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Saya minta pada semua agar mendoakan keselamatan kakak saya, tambahan Hari Raya akan menjelma tidak lama lagi," katanya.

Anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 24, pula berharap kerjasama berterusan daripada masyarakat akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar lagi selepas ini seterusnya merungkaikan segala permasalahan berhubungan kehilangan ibunya.

"Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu mengenai ibu kami sehingga membawa kepada penemuan kenderaan ibu kami semalam.

"Penemuan terbaru ini menunjukkan kerjasama, keprihatinan yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat masyarakat Malaysia terhadap dugaan yang sedang kami sekeluarga hadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Beliau meminta seluruh masyrakat berdoa agar ibunya ditemui dalam keadaan selamat agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan suasana yang meriah.

"Kami harap dapat menyambut Hari Raya bersama ibu seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kami juga memohon kerjasama semua pihak agar memahami situasi kami adik-beradik khususnya adik-adik saya yang masih mencari kekuatan untuk menghadapi situasi yang cukup mencabar ini," katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/7/mstar_berita/20100907210727&sec=mstar_berita

Sosilawati: Polis Ada Petunjuk, Yakin Dapat Temui Jutawan Kosmetik Itu

Selasa September 7, 2010

SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada Selasa berkata pihaknya telah mempunyai maklumat berhubung kehilangan pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sejak 30 Ogos lepas.

Beliau berkata berdasarkan maklumat itu pihaknya yakin dapat menemui keempat-empat mereka.

"Kita ada maklumat-maklumat tertentu. InsyaAllah kita akan dapat jumpa mereka ...kita ada maklumat," katanya pada sidang media semasa lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sempena persaraannya, di sini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini berhubung kehilangan Sosilawati, 47, dan tiga lagi iaitu peguamnya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu peribadinya Kamarudin Shansudin, 47 dan pegawai CIMB Bank Norhisham Mohammad, 38.

Mengulas lanjut, Musa berkata polis kini menyoal siasat semua anggota keluarga mereka yang hilang bagi mengesan jejak terakhir keempat-empat individu berkenaan termasuk siapa yang mereka bercadang untuk berjumpa pada hari tersebut.

"Buat masa ini kita sedang mencari orang yang nak berjumpa dengan dia (Sosilawati), yang dipercayai seorang peguam yang mengatakan nak menjalankan kontrak penjualan hartanah," katanya.

Musa juga berkata tidak ada tanda mencurigakan ditemui polis pada kereta Sosilawati yang dijumpai di Subang Jaya semalam.

Sosilawati dilaporkan gagal pulang ke rumahnya sehingga hari ini selepas keluar untuk ke Banting, Selangor dipercayai bagi menguruskan jual-beli tanah di sana pada 30 Ogos lepas.

INFO:

Nama: Datuk Sosilawati Lawiya

Umur: 47 tahun

Tempat kelahiran: Sri Medan, Batu Pahat Johor.

Bilangan anak: 6 orang (4 perempuan), (2 lelaki)

- Membuka produk kecantikan Nouvelles Visage pada tahun 1990-an.

- Syarikat beroperasi di Jalan Raja Bot, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

- Berkahwin pada usia 21 tahun (1984) dan berpisah pada usia 34 (1994).

- Memulakan kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan RM400.

- Pernah bernikah dengan penyanyi Nash pada 16 November 2006 dan bercerai talak satu pada 16 Mei 2009.

- Ditangkap khalwat pada 1 Januari 2010 tetapi beliau mendakwa sudah berkahwin dengan pasangannya di luar negara. Mereka ditahan oleh pihak masjid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh JAIS.

- Ibu bapanya berasal dari Indonesia dan menetap di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

- Produk kecantikan Nouvelles Vissages terdiri daripada produk penjagaan kulit seperti pembersih muka, krim kecantikan dan sebagainya.

- Beliau mengembangkan rangkaian perniagaannya sehingga ke Brunei, Singapura dan Thailand serta mempunyai lebih 300 rangkaian stokis seluruh negara.

- Beliau dikatakan mempunyai kekayaan RM 100 juta.

- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/7/mstar_berita/20100907140408&sec=mstar_berita

Ular teman bayi enam bulan


SIDHI SIDDHARTH SINUNE menggigit ekor seekor ular sawa yang menjadi rakan permainannya di Maharashtra, India baru-baru ini.


NEW DELHI, India - Akibat terlalu miskin dan tidak mampu untuk membeli barang permainan, Sidhi Siddharth Sinune yang baru berusia enam bulan diberi seekor ular sawa oleh ibu bapanya untuk dijadikan rakan bermain, lapor sebuah akhbar semalam.

Sinune akan merangkak di belakang ular sawa itu dan ketawa apabila reptilia itu bergerak di kakinya di sebuah kampung di Maharashtra.

Apabila ibu bapanya pergi bekerja, bayi perempuan itu akan bermain dengan ular tersebut dan dia tidak takut untuk menggigit ekornya.

Ular yang tidak berbisa itu tiada masalah untuk membelit Sinune atau menelannya.

Menurut bapanya, dia tidak mempunyai wang untuk membeli mainan untuk anaknya itu menyebabkan dia menjadikan ular yang ditangkap sebagai ganti alat permainan.

Bapanya yang merupakan seorang penangkap ular memberitahu: "Sinune mempunyai hubungan istimewa dengan ular. Lebih mengejutkan, ular itu juga suka bermain dengannya." - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sindiket penipuan SMS aktif semula


SEORANG wanita menunjukkan SMS hadiah wang tunai yang diterimanya di Seremban semalam.


SEREMBAN – Baru beberapa bulan terkubur, namun satu sindiket penipuan menerusi peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) kini aktif semula. Sindiket itu dipercayai bergiat kembali selepas pihak polis berjaya menumpaskan sindiket serupa yang berpangkalan di Tawau, Sabah pada awal Jun lalu.

Lebih menarik lagi, modus operandi sindiket itu tetap sama iaitu cuba memperdaya mangsa dengan menggunakan nama pelbagai syarikat ternama.

Sindiket berkenaan yang dipercayai didalangi oleh warga asing menghantar SMS kepada orang ramai memberitahu bahawa sim kad mereka memenangi hadiah wang tunai daripada syarikat ternama.

Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Hisham, 30, berkata, dia hampir terpedaya selepas menerima satu SMS yang mendakwa sim kad miliknya memenangi wang tunai berjumlah RM17,000 daripada sebuah syarikat minuman antarabangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Miky kecewa dituduh fitnah TMJ dalam Facebook



KERATAN Kosmo! 1 September 2010.


JOHOR BAHRU - Setelah sekian lama mendiamkan diri, seorang pondan yang hanya mahu dikenali sebagai Miky, 31, tampil dengan dakwaan dia telah menjadi mangsa fitnah kerana kononnya menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim Sultan Ibrahim dalam laman sosial Facebook.

Miky yang enggan mendedahkan nama sebenar mengakui telah membuka akaun atas nama TMJ di laman web itu tetapi niatnya adalah untuk memberi sokongan moral kepada Tunku Ismail dan bukan menyamar sebagai kerabat diraja itu.

"Sebenarnya kandungan laman itu adalah berkaitan komuniti Johor Bahru serta menggambarkan TMJ sebagai ikon,'' jelasnya ketika mengunjungi pejabat Kosmo! di sini semalam.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff mengenai penahanan dua suspek di Taman Seri Amar, Majidee di sini bagi membantu siasatan kes itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Polis percaya jutawan kosmetik masih selamat





SHAH ALAM - Polis percaya Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan hilang bersama tiga lelaki pada 30 Ogos lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua buah kereta yang dijumpai di Subang Jaya dekat sini malam kelmarin tidak menemui sebarang unsur mencurigakan.

"Kita sudah temui kereta mangsa dan setakat ini tiada tanda-tanda mencurigakan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan dan Perjumpaan Polis Selangor sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Musa memberitahu, pihaknya juga yakin dapat menemui keempat-empat mereka yang hilang berdasarkan maklumat-maklumat tertentu yang sudah diperoleh.

Ditanya sama ada mangsa diculik atau sebaliknya, Musa menjelaskan kemungkinan itu masih disiasat.

Menurut Musa, pihaknya sedang mencari individu yang dipercayai berjumpa jutawan kosmetik tersebut atas urusan jual beli hartanah sebelum mangsa dilaporkan hilang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Rayuan menjelang hari raya


YATEMI menangis setiap kali ditanya mengenai Sosilawati ketika ditemui di rumahnya di Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT – “Wati tak balik lagi ke? Dah nak raya ni.”Itulah persoalan yang acap kali bermain di bibir Yatemi Abdul Rahman, 80, ibu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang masih gagal dikesan bersama tiga lelaki lain sejak keluar dari pejabatnya di Jalan Raja Bot, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Adik ipar mangsa, Azizah Ahmad, 37, berkata, ibu mertuanya yang sudah ingat-ingat lupa itu sering menangis setiap kali teringatkan Sosilawati yang setiap tahun tidak pernah ketinggalan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di sini.

Katanya, sudah menjadi amalan Sosilawati untuk membungkus kuih raya buat 10 adik beradiknya di sini seminggu sebelum raya.

“Apabila dia pulang beberapa hari sebelum raya, dia akan membawa kami ke pekan Batu Pahat untuk membeli baju raya. Ibu juga dapat apa yang kami dapat dan kadang-kadang lebih lagi.

“Walaupun ibu (Yatemi) tahu Sosilawati kini hilang entah ke mana, dia sering terlupa dan kembali bertanyakan soalan yang sama kepada kami sebelum menangis,” ceritanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Menanti, Seri Medan di sini semalam.BATU PAHAT - "Wati tak balik lagi ke? Dah nak raya ni."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Rasidi terlepas hukuman gantung


ZAHARAH memeluk Rasidi sebaik hakim melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Mahkamah Tinggi Seremban 2 semalam.


SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan Rasidi Ismail yang menghadapi tuduhan membunuh empat ahli keluarganya pada 5 Januari lalu atas alasan dia tidak siuman.

Dengan keputusan itu Rasidi, 32, terlepas hukuman gantung dan diperintahkan ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu kira-kira pukul 10.30 pagi selepas mendapati Rasidi disahkan menghidap penyakit paranoid schizophrenia iaitu halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu oleh Hospital Permai, Johor.

Rasidi yang memakai kemeja berwarna hitam dan duduk di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan oleh Ahmad Nasfy.

"Walaupun di peringkat awal pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, bagaimanapun pada akhir kes saksi dari Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi'ah Yahya memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengalami paranoid schizophrenia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...