Monday, March 30, 2009

Teh Guru Cap Masjid bukan milik orang Islam

15 MARCH 2009

Cop MASJID tapi Bukan ISLAM punya..!!

Teh Guru Cap Masjid bukan milik orang Islam
Oleh blalang

teh cap masjid @ isuhangatBaru ku tahu rupanya, Teh Cap Masjid adalah bukanlah pengeluaran Bumiputera. Nampaknya kita tertipu dengan penjenamaan. Selain menggunakan jenama cap Masjid, nama teh tersebut pun menggambarkan seperti ia adalah keluaran orang Islam iaitu dengan perkataan "Guru" iaitu Teh Guru Cap Masjid

Selain dari mengelirukan dari aspek penjenamaan, syarikat tersebut juga cuba menipu dengan menggunakan pewarna.

Umat Islam lambat sangat nak keluarkan produk sendiri sehingga bangsa lain mengambil kesempatan kerana prospek benefit yang diaorang dah nampak. Rakyat beragama Islam di Malaysia adalah yang tertinggi dan semestinya mempunyai permintaan yang tinggi juga terutama bab makanan.

teh cap masjid @ isuhangatKisah tasbih, sejadah, kopiah buatan China yang berada di Mekah mungkin boleh diterima lagi kerana kemungkinannya di buat oleh orang Islam China dan sudah semestinya ia bukannya makanan.

Ini dikenalpasti apabila pemilik syarikat pengeluar Teh Cap Masjid dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang 14 Feb atas dua tuduhan menggunakan bahan pewarna dalam serbuk teh yang dikeluarkan pada 13 Oktober 2005.

Teh Wangi Ros Sdn. Bhd. yang beralamat di No 371, Jalan 20, Taman Ehsan Jaya, Batu Caves dekat sini didakwa melanggar Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana serbuk teh tidak boleh menggunakan apa-apa bahan pewarna.

teh cap masjid @ isuhangatMengikut dakwaan, dua pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak membuat pemeriksaan ke premis kilang dan mengambil dua sampel iaitu Teh Guru Cap Masjid dan Teh Guru Cap Masjid (pek baru).

Pengurus syarikat, Lee Chooi Moi, 40, yang hadir membuat pengakuan tidak bersalah memohon masa perbicaraan untuk melantik peguam.

Entah berapa banyak lagi agaknya jenama yang seakan kemelayuan dan keislaman tetapi sebenarnya adalah kepunyaan orang bukan Islam di Malaysia.

Post asal: http://isuhangat.blogspot.com

Orang Politik! Berbaloikah ini semua?

Isnin Mac 23, 2009

MALAS rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua.

Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan.

Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri.

Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia. Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”.

Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut.

Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut.

‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa. Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas.

Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura

Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu.

Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian.

Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia?

Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya) “Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita.

Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan.

Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa. Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin.

Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh.

Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan.

Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid.

Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya) “Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik.

Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya.

Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya) “Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka". (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)".

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas.

Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita.

Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan.

Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan.

Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan.

Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila. Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/3/23/mstar_kolum_minda_mufti/20090323114024&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Tempelak pemimpin

GELAGAT perwakilan Kedah, Kamal Mohd Saidin, yang menyamakan politik wang dalam Umno seperti permainan bola sepak, mencuit hati perwakilan ketika Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pendang itu membahas usul Pendidikan dan Agama, semalam.

Kamal dalam ucapan penuh bersemangat yang diselang seli dengan nada sinis berkias, dalam permainan itu pemain yang tidak menendang bola bukan bermain bola sepak dan begitu juga dalam gejala politik wang yang berlaku dalam parti terbesar orang Melayu itu.

“Sekarang, memilih calon sama seperti memilih pemain bola sepak, tengok sama ada dia boleh lari atau tidak. Dalam permainan bola sepak pula, jika tidak sepak bola, jangan bermain bola,” katanya.

Ketika itu, Pengerusi Tetap, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin, mencelah dengan berkata: “Referee” (pengadil) yang membawa maksud pihak tidak bermain bola sepak di padang, yang kemudian disambut dengan jawapan terus terang daripada Kamal yang menyifatkan pengadil seperti Lembaga Disiplin Umno.

“Pengadil tidak bermain bola dan dia ibarat badan disiplin. Perlu diingat, dia ada dua kad iaitu kuning dan merah. Apabila dua pemain berlaga betis (kaki), seorang dikenakan kad merah dan seorang lagi kad kuning.

“Kad merah ini diminta tarik diri (daripada bertanding) manakala kad kuning masih boleh lagi (bertanding),” katanya sambil disambut sorakan gemuruh daripada perwakilan di dalam dewan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sindiran itu dipercayai ada kaitan dengan keputusan Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini yang melarang bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas didapati terbabit dalam politik wang manakala beberapa yang lain, termasuk Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin diberi amaran dan dibenarkan bertanding.

Wakil Kedah itu turut menempelak mereka yang mendakwa sebagai pejuang Umno hari ini yang lebih suka merebut jawatan berbanding pejuang Umno satu ketika dulu yang sanggup berhujan dan berpanas berjuang demi parti, termasuk menolak jawatan ditawarkan.

“Hari ini kita sibuk berkelahi dan kesannya golongan ulama tidak menyertai Umno. Jadi saya berharap dan meminta Umno kembali kepada dasar dan perjuangan Islam seperti mana zaman Rasullullah SAW yang berjaya menyatukan kaum yang berpecah-belah,” katanya.

Kamal dalam ucapannya turut menyentuh isu pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang disifatkan semuanya sudah termaktub dalam Perlembagaan negara ini.

“Umno Kedah memohon dan mencadangkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan seperti bahasa dan agama dibincangkan dalam Majlis Tertinggi sebelum dilaksanakan. Namun ini yang tidak berlaku apabila sesuatu dasar itu terus diputuskan dan pembangkang, termasuk Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), hanya mencari salah kerajaan. Sudah enam tahun ia dilaksanakan, tetapi kenapa baru sekarang dipertikaikan,” katanya.

Kamal turut mencadangkan pegawai kerajaan diisi ahli Umno yang berkelayakan dan berkebolehan supaya dapat meng‘Umno’kan orang ramai, sekali gus memantapkan parti.

“Hari ini, apabila bantuan hendak diberi kepada masyarakat, akan timbul pertanyaan orang itu Umno ke, Pas ke atau siapa. 

“Jadi, apabila ahli Umno diletakkan sebagai ketua jabatan, pengetua atau guru besar, kita akan lebih kukuh dan parti lebih mantap,”
katanya.

Dalam pada itu, Perwakilan Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom, turut menarik perhatian ramai apabila mendendangkan lirik lagu Ramli Sarip, Kalam Kasturi iaitu ‘Andai kasturi hilang harum, mawar tak berkuntum, kasih tak bersambut’.

Menurutnya, orang Melayu atau Umno yang boleh diibaratkan seperti kasturi, jika hilang kuasa, apa yang akan berlaku kepada masyarakat dan parti.

“Jika orang Melayu tiada kuasa lagi, apa yang boleh diharapkan. Untuk itu Umno mesti diperbetulkan, jika tidak berubah, kita musnah,” katanya.

Sementara itu, wakil Pemuda, Syahrin Jamaluddin, mencadangkan kerajaan menubuhkan satu panel syariah untuk stesen televisyen swasta supaya tiada lagi siaran rancangan televisyen yang ‘pelik’ dan tidak bersesuaian dengan agama serta budaya penduduk negara ini.

Syahrin dari pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Johor, berkata usaha itu penting bagi menzahirkan semula imej agama Islam yang diperjuangkan Umno.

Katanya, rancangan televisyen yang banyak memaparkan perkara tidak sesuai diperbetulkan kerana televisyen ‘cerminan Umno’.

“Apa salahnya kerajaan wujudkan panel syariah untuk televisyen swasta supaya jangan banyak sangat cerita Indonesia yang ‘pelik-pelik’ datang (disiarkan). Kadangkala budaya pemakaian terdedah pusat.

“Tengok, pusat, tak nak tengok, pusat... pening kita! Kadangkala ada yang terbonjol,”
katanya ketika berucap membahas usul pendidikan dan agama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Menurut Syahrin, penubuhan panel syariah untuk stesen televisyen swasta bukan mustahil dilakukan kerana sektor perbankan turut menubuhkan panel syariah bagi memastikan pelaburanmenepati kehendak syarak.

“Bagi saya, televisyen juga pelaburan. Ia untuk memulihkan persepsi Umno dan pelaburan bagi membina modal insan untuk anak kita pada masa depan,” katanya.

Syahrin berkata, beliau turut mencadangkan perubahan yang bakal dibuat Datuk Seri Najib Razak perlu mempunyai pengisian yang ada pengaruh agam Islam.

“Kalau Tun Mahathir (Mohamad) dengan penerapan nilai murni, Pak Lah dengan Islam Hadhari, saya yakin Datuk Seri Najib pasti ada sesuatu untuk agama kita.

“Apapun ia perlu dibuat dengan teliti dan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar supaya tidak dimanupilasi oleh musuh kita yang gemar mempermainkan isu agama,”
katanya.

Menurut Syahrin, seperti yang pernah disuarakan pada Perhimpunan Agung Umno 2004, beliau sekali lagi meminta rancangan berbentuk keagamaan yang disiarkan di televisyen kerajaan, RTM, disiarkan pada waktu sesuai dan bukan ketika penonton mengantuk.

Berkawan untuk berdakwah

KUALA LUMPUR: Bukan mudah menyelesaikan masalah atau membantu mualaf, termasuk yang murtad, tetapi demi persaudaraan Islam ia tetap dilakukan walaupun banyak rintangan terpaksa ditempuhi.

Aktivis Masyarakat Sabak Bernam, Mohd Hisham Surgi, 35, atau lebih mesra disapa Ustaz Hisham berkata, bantuan diberinya kepada mualaf yang murtad bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya sebagai cara berdakwah selain menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

“Dalam satu kejadian, saya pernah ditahan lebih 10 lelaki kira-kira pada jam 11 malam di sebuah rumah ibadat bukan Islam ketika mahu membantu mengeluarkan seorang murtad keluar dari sana.

“Lelaki berkenaan yang mahu kembali kepada Islam memencilkan diri di sana bertahun-tahun dan bekerja sebagai penjaga di situ selepas dipinggirkan masyarakat yang tidak ‘gembira’ dengan saudara baru,”
katanya.

Untuk memastikan misinya berjaya, Hisham memberi alasan lelaki berkenaan mendapat bantuan rumah daripada pihak tertentu kerana bertaraf miskin tegar dan dengan alasan itu beliau ‘dibebaskan’ oleh kumpulan terbabit.

Dalam masa sama, bagi mengembalikan keyakinan tauhid seorang mualaf yang murtad, Hisham mengambil pendekatan berkawan dan berdakwah dengan harapan hati individu berkenaan terbuka kembali untuk menerima cahaya Islam.

“Dalam satu lagi kes hampir serupa iaitu seorang mualaf murtad dan tinggal di rumah ibadat bukan Islam, saya mengambil masa hampir dua tahun untuk berkawan dengannya sebelum berjaya mengislamkannya semula.

“Kini saya bangga dan terharu kerana dia pula membantu saya mengesan mualaf murtad dan membantu membawa mereka ke pangkuan Allah SWT,”
katanya.

Tanpa niat menyalahkan pihak tertentu, Hisham kecewa dengan sikap kakitangan di agensi kerajaan di Sabak Bernam yang mempunyai kuasa dalam bidang agama tetapi tidak menggunakannya dengan betul apabila berdepan masalah mualaf.

“Saya pernah membuat beberapa aduan berkaitan mualaf tinggal di rumah ibadat bukan Islam, tapi sepanjang hampir dua tahun tiada tindakan diambil.

“Kali terakhir saya bertanyakan perkara itu, seorang kakitangan yang mempunyai kuasa berkaitan agama Islam menjawab tidak dapat mengambil lelaki itu di tokong kerana di sana ada banyak anjing. Bukankah alasan itu terlalu remeh?”
katanya.

Jujur tunai amanah

KUALA LUMPUR: Kelalaian segelintir pihak dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik dan menjaga kebajikan golongan mualaf mengundang persepsi negatif, sekali gus memberi nama buruk kepada agensi berkaitan seperti jabatan agama Islam.

Pensyarah Jabatan al-Quran al-Sunnah, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata kes membabitkan mualaf yang terbiar memang sering kedengaran, tetapi jumlahnya tidak membimbangkan.

“Memang ada mualaf yang tercicir dan barangkali terlepas pandang, tetapi ia masih terkawal. Negara ini serius dalam menjaga kebajikan golongan berkenaan.

“Sesiapa yang diberi tanggungjawab menjaga mualaf perlu menunaikan amanah itu dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, hanya kerana segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, pihak lain yang berkaitan seperti jabatan agama Islam dipandang negatif dan mendapat nama buruk,”
katanya.

Menurut Mohd Farid, tiada alasan untuk pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga golongan berkenaan mengabaikan tugas mereka.

“Jika seseorang mualaf masuk Islam, pantau mereka dan jangan dibiar tanpa dijenguk. Tugas sudah diberi dan laksanakanlah tanggungjawab.

“Jika benar tanggungjawab itu diabaikan, tindakan boleh dikenakan. Ini soal etika,”
katanya.

Mohd Farid berkata, permasalahan berkenaan tidak akan selesai jika masing-masing menuding jari meletakkan kesalahan kepada orang lain.

“Sepatutnya kedua-dua pihak (mualaf dan pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga mereka) bekerjasama dalam membantu satu sama lain. Bagi mualaf, jangan masuk Islam semata-mata mahukan bantuan dan jangan jumpa pihak berkenaan untuk mengharapkan bantuan segera.

“Walaupun berhak mendapat zakat, mereka perlu bersabar. Masalah seperti ini memang wujud, tetapi ia membabitkan segelintir mualaf saja,”
katanya.

Menurut Mohd Farid, ketika baru masuk Islam dia turut berdepan pelbagai masalah, antaranya ada yang melihatnya dengan pandangan sinis.

“Bagaimanapun, itulah lumrahnya dan kita perlu menempuhinya. Buktikan kita masuk Islam kerana mendapat hidayah daripada Allah SWT dan bukan sebab lain,” katanya.

Perjalanan penuh liku

SABAK BERNAM: Buta, sebatang kara dan hanya menumpang di sebuah bilik kecil di bawah sebuah surau. Begitulah peritnya kehidupan dilalui Muhammad Balan Abdullah, 38, yang memeluk Islam sejak Februari 1992.

Namun dalam apa jua keadaan sekalipun, dia tidak akan sekali-kali menggadaikan akidah dan kemurnian agama Islam yang kini dianutinya.

Cuma, katanya, dia mahu meluahkan pengalaman yang dilaluinya sepanjang bergelar mualaf.

“Walau macam mana susah sekalipun, saya akan sentiasa berusaha mendalami ajaran Islam. Saya hanya fikir, saya beruntung sebab mendapat hidayah Allah SWT yang membuka hati saya untuk memeluk Islam.

“Kalau nak diikutkan, perjalanan saya sebagai mualaf penuh berliku, tetapi saya tenang selepas memilih Islam,” katanya.

Menurut Balan, asalnya bukan dia seorang yang mahu memeluk Islam, malah ibu dan adik beradiknya turut berminat, tetapi ketika berkunjung ke sebuah pejabat agama di Kedah, layanan mereka terima sangat menyedihkan.

“Mereka kata nak masuk Islam, fikir dulu. Mereka suruh kami balik ke rumah memikirkan kembali keputusan kami sedalam-dalamnya. Kesudahannya, tiga kali kami pergi mereka suruh buat benda sama.

“Kami turut dituduh masuk Islam semata-mata mahukan bantuan. Akhirnya, ibu dan adik beradik saya tidak jadi masuk Islam. Hanya saya meneruskan hasrat memeluk Islam,”
katanya.

Bagaimanapun, kata Balan, keputusannya memeluk Islam menyebabkan dia dipinggirkan keluarga sehingga terpaksa membawa diri dengan meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya ditempatkan sementara waktu di rumah orang tua. Alhamdulillah, saya mendapat bantuan RM150 sebulan daripada JKM,” katanya.

Balan berkata, selepas dua minggu di rumah orang kebajikan itu, dia dibawa oleh pendakwah, Mohd Hisham atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hisham ke Sungai Besar. Sejak itu bermulalah kehidupan barunya di Selangor.

Katanya, di Selangor dia mendalami Islam dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sehingga mendapat bantuan sebuah rumah dan wang RM150 sebulan daripada Pusat Zakat Selangor.

“Saya hanya menduduki rumah itu dalam tempoh dua bulan. Ini kerana jiran yang saya minta bantuan memasak makanan harian saya dengan bayaran tertentu, tidak lagi mahu berbuat demikian.

“Puncanya mungkin kerana kecil hati sebab pada satu ketika saya bertanya mahu menumpang pergi sembahyang Jumaat, tetapi dia tidak pergi. Sejak itu isterinya tidak lagi mahu menyediakan makanan untuk saya,”
katanya.

Muhammad Balan berkata, kerana sukar meneruskan kehidupan di rumah itu, dia berpindah ke sebuah surau di Kampung Pekan Selasa Lama, Sungai Besar.

Katanya, di surau berkenaan dia dibenarkan menetap di sebuah bilik kecil di bawah surau.

“Di surau ini bolehlah saya belajar agama, meminta bantuan untuk mendapatkan makanan dan beberapa bantuan lain. 

“Alhamdulillah, saya tenang di sini walaupun dalam serba kekurangan,”
katanya yang kini kembali menjalin hubungan baik dengan keluarganya.

Muhammad Balan berkata, dia akan menziarahi ibunya, R Sinama, 63, setahun sekali walaupun berbeza agama kerana tanggungjawab sebagai anak tidak terputus walaupun dia kini bergelar mualaf.

Dia yang buta sejak kecil selepas mengalami demam panas berminat dengan agama Islam sejak remaja dan sering mengikuti rancangan soal jawab agama di radio serta mendengar khutbah Jumaat tetapi hasrat memeluk Islam dipendamkan dalam hati.

Namun, hasratnya tidak dapat disekat lagi apabila pada satu hari bapa rakannya muncul dalam mimpi dan membaca surah Al- Iqra’ sebelum dia mengambil keputusan memeluk Islam pada 1992 ketika berusia 23 tahun.

Bagai lepas batuk di tangga

KUALA LUMPUR: “Kepada agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), jangan jalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.

“Ambil perhatian serius berkaitan masalah mualaf kerana mereka tanggungjawab kita. Jika kerana kesilapan kita mereka murtad, kita juga berdosa,”
kata Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri.

Kata-kata bernada keras itu bukan mahu menyalahkan pihak berkenaan, tetapi sekadar mahu memperbetulkan keadaan supaya tiada lagi kes seumpama itu berlaku.

Menurut Abdul Rahman, ada program dilakukan pihak berkenaan tetapi ia dianggap tidak mencukupi.

“Ada program dijalankan seolah-olah bermusim seperti setahun sekali atau dua kali saja. Kemudian, mualaf seolah-olah dibiarkan terkapai-kapai hilang arah. Mualaf perlu diberi perhatian, didikan serta bimbingan setiap masa.

“Beri masa untuk mereka faham berkaitan Islam dan selepas beberapa tahun, baru lepaskan mereka sedikit demi sedikit dan bukan seolah-olah melepaskan mereka terus tanpa tujuan,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, beliau akan berbincang dengan jabatan agama untuk mengadakan lebih banyak program jangka panjang kepada mualaf dan melakukan pemantauan secara berterusan supaya ia berjaya.

Beliau turut menggesa masyarakat Islam tidak meminggirkan mualaf kerana berdasarkan beberapa kes diterimanya, ada yang mengadu disisihkan dan kurang diterima sebagai saudara baru.

“Ini satu sikap masyarakat kita yang sukar diubah seperti biarlah mereka pandai-pandai mendapatkan sendiri ilmu berkaitan Islam, pandai-pandailah hendak hidup dan pelbagai lagi perkara negatif.

“Sepatutnya kita membantu saudara baru dengan memberi mereka bimbingan dan bantuan kebendaan jika perlu dan bukan mengeji. Mereka kini saudara kita. Bukankah setiap orang Islam itu bersaudara?”
katanya.

Berkaitan bantuan kepada mualaf, Abdul Rahman memaklumkan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga perlu mengambil perhatian perkara berkenaan kerana ramai saudara baru tergolong dalam golongan miskin, merempat dan sebagainya.

Menurut beliau, bukan LZS tidak menjalankan tanggungjawab, tetapi masih ada yang kurang. Jika sebelum ini agensi berkenaan memberi bantuan wang saraan bulanan selain makanan, mereka juga perlu melihat aspek bantuan lain dirasakan sesuai.

“Benar ada yang menerima bantuan bulanan, tetapi mungkin perlu dilihat aspek lain seperti tempat tinggal dan sebagainya. Ada yang menerima rumah, tetapi ramai juga yang merempat dan menumpang di kediaman saudara lain.

“Jika boleh, jika ada yang tiada tempat berteduh, carikan mereka lokasi sesuai seperti rumah murah. Jangan dibiarkan mereka begitu saja kerana wang zakat juga banyak jadi tolong bantu mualaf yang benar-benar memerlukannya,”
rayunya.

Bagi golongan mualaf pula, beliau meminta mereka tetapkan hati dan kuatkan iman kerana apa yang menimpa adalah satu ujian.

Linda akui hadir kursus kahwin

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Linda Onn mengakui mengikuti kelas praperkahwinan di sebuah pusat kursus perkahwinan bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur, sekitar dua tiga minggu lalu.

Berita ini dikesan Metro Ahad selepas gambarnya tersiar di laman web pusat berkenaan sebelum ia ditarik oleh pihak pengurusan kursus itu tidak lama kemudian.

Menurut penyampai radio Sinar FM ini, kursus dua hari itu sebagai persediaan, tetapi tidak bermakna dia akan menamatkan zaman bujangnya dalam waktu terdekat ini.

“Kalau saya kahwin esok lusa pun tak salahkan, sebab saya ada sijil kursus itu. Apapun, melalui kursus itu saya dapat belajar sedikit sebanyak mengenai perkahwinan dan hubungan suami isteri dan yang penting, ada sijil supaya senang untuk saya kahwin bila-bila masa.

“Kalau ikutkan hati dan izin Allah, saya mahu kahwin secepat mungkin. Namun semuanya dalam perancangan lagi,” kata Linda.

Walaupun tidak berniat merahsiakan hal berkenaan, Linda tetap keberatan memberi komen lanjutan mengenai perancangan dan siapa lelaki yang bertakhta di hatinya sekarang selepas hubungan cintanya dengan pelakon, Fahrin Ahmad, terputus baru-baru ini.

Bagaimanapun Linda menjelaskan, dia masih dalam proses mengenali hati budi lelaki itu.

Selepas Fahrin, selebriti tinggi lampai ini pernah dikaitkan dengan Hans Isaac tetapi Linda berkata, hubungan mereka sekadar teman, tidak lebih daripada itu.

Malah, ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan Mawi dan Ikin di Palace of Golden Horses tidak lama dulu, Linda muncul bersama jejaka mat saleh bernama James Gibbs.

“James kawan lama yang saya kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran di sini satu ketika dulu. Dia ahli perniagaan dan yang saya boleh katakan, hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, saya dapati dia lemah-lembut, menghormati wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan,”
kata usahawan nasi ayam terkenal ini.

Adakah James lelaki bertuah itu? Linda tidak mengiyakan dan tidak menidakkan persoalan itu, tetapi mahu masyarakat menunggu perkembangan selanjutnya.

“Saya belum berani memberi komen,” katanya.

Namun Linda pernah memberitahu media baru-baru ini: “Yang boleh saya katakan, diri ini juga macam wanita lain yang ada hati nak berkawan. Lagi pun, tiada benda yang saya nak selindungkan.

“Ada jodoh saya dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, saya minta jodoh dengan sesiapa pun nanti berpanjangan.”

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090329045703/Article/index_html

Murtad 30 tahun


Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

KUALA LUMPUR: Siapa patut dipersalahkan apabila ada mualaf kembali kepada agama asal mereka selama puluhan tahun kerana gagal mendapat bimbingan serta perhatian sewajarnya selepas memeluk Islam?

Itulah realiti pahit yang perlu difikirkan semua pihak.

Mujur, di celah kepahitan itu masih ada insan prihatin yang gigih menghulur bantuan dan bimbingan untuk mengislamkan semula sebahagian daripada mualaf terbabit, biarpun berdepan seribu kesukaran.

Wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN mencungkil kisah dan pengalaman lima mualaf terbabit yang kini dibimbing pendakwah dan aktivitis sosial, Mohd Hisham Surgi, 35, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hisham.


YUSUF ABDULLAH, 50:

“SAYA masuk Islam ketika berumur 20 tahun dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor pada 1977.

“Saya menjangka akan menerima bantuan dan bimbingan, tetapi tiada siapa pedulikan saya. Akhirnya saya tidak mengamalkan ajaran Islam biarpun selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak,”
katanya.

Apabila tiada siapa peduli, Yusuf yang berasakan kurang kasih sayang daripada masyarakat Islam di sekelilingnya terus murtad dan mengamalkan hidup lamanya kira-kira 30 tahun hinggalah dia didekati Ustaz Hisham, dua tahun lalu.

Selepas diambil perhatian dan diberi didikan serta bimbingan Ustaz Hisham, Yusuf kembali mengucap kalimah syahadah.

“Yang saya kesalkan, ada di kalangan masyarakat Islam sendiri memandang serong pada mualaf hingga akhirnya individu seperti saya kembali kepada agama asal.

“Saya bukan mahu bantuan kewangan atau apa-apa imbuhan. Saya memeluk Islam secara ikhlas berkat hidayah Allah SWT,”
katanya yang kini mengikuti kelas fardu ain dan fardu kifayah setiap minggu.

Yusuf enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agensi berkaitan serta masyarakat tidak meminggirkan mualaf atau mereka yang mahu memeluk Islam kerana ia bukan saja ‘membunuh’ sifat Islam itu yang menyayangi umatnya tanpa mengira kaum, malah menjadi penyebab mualaf tidak teragak-agak untuk murtad.



WAHAB ABDULLAH, 80-an:

Warga emas ini memeluk Islam sejak puluhan tahun lalu, tetapi akhirnya tinggal di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar kerana tiada siapa mempedulikannya, selain dipandang serong agensi kerajaan yang sepatutnya membantu orang sepertinya.

Akibatnya, dia menjadi jahil mengenai Islam dengan tidak melakukan amalan diwajibkan. Lebih teruk lagi, kerana tiada bantuan mana-mana pihak, dia terpaksa bekerja di sebuah rumah ibadat bukan Islam kerana disediakan penginapan di sana.

“Saya bekerja sebagai mekanik ketika muda dan masuk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT. Namun saya sukar mendapat didikan serta bimbingan kerana ramai tidak peduli.

“Saya mengharapkan ada pihak hadir dan memberi saya semua itu tetapi selepas puluhan tahun, saya hampa hinggalah akhirnya terpaksa tinggal di rumah ibadat bukan Islam,”
katanya yang mempunyai seorang isteri serta seorang anak lelaki berpenyakit mental.

Menurut Wahab, walaupun hidupnya susah dan terpaksa makan semangkuk nasi dibahagi dua dengan isterinya sekali sehari, dia tetap bersyukur kerana akhirnya muncul Ustaz Hisham yang mengambil berat masalah dihadapinya.

Katanya, dia cuma mahu menjadi penganut Islam yang baik, tetapi jika tiada siapa mahu atau mampu memberi didikan serta bimbingan, bagaimana dia mahu melakukannya.

“Saya dibawa keluar oleh Ustaz Hisham dari rumah ibadat itu dan ditempatkan di sebuah kediaman usang di Sungai Burung, Kuala Selangor. Biarpun di situ saya hidup serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tetap bersyukur kerana ada juga insan yang prihatin.

“Saya terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan hidup kerana saya sudah tua dan tidak mampu bekerja. Saya bukan mengemis atau mahukan kemewahan, tetapi berilah apa yang patut saja,”
katanya dengan linangan air mata.



HARUN ABDULLAH, 80-an:

BELIAU mendakwa diberi gelaran Datuk ketika era almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri atas sumbangannya mengislamkan ratusan penduduk kampung di sekitar Sungai Besar.

Bagaimanapun, beliau akhirnya murtad selepas turut gagal diberi didikan serta bimbingan, malah dituduh mengamalkan ajaran agama asalnya sejak lima tahun lalu.

Harun yang kecewa akhirnya menetap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar sebelum Ustaz Hisham mengetahui perkara itu dan berjaya memujuknya kembali ke pangkuan Islam.

Sejak lebih setahun lalu, Harun turut giat membantu aktivis Islam mengesan beberapa mualaf yang murtad sebelum diberi didikan selain bimbingan. Sehingga kini beliau berjaya menarik semula empat individu murtad untuk kembali ke jalan Allah SWT.



SALIM CHIA ABDULLAH, 69:

“AWAK boleh makan babi ketika bersarapan. Itu tidak salah. Apabila selesai sembahyang Zuhur, dosa itu diampunkan Allah SWT,” itu antara yang diajar oleh seorang lelaki bergelar ustaz dalam kelas fardu ain.

Bagi Salim yang memeluk Islam sejak 33 tahun lalu, perkara terbabit sangat menyedihkan kerana mualaf seperti mereka dilayan seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu langsung berkaitan Islam.

Dia yang berkahwin dengan wanita Muslim dan mempunyai enam anak memaklumkan, mualaf lain yang turut belajar dalam kelas itu terkejut dengan kata-kata lelaki terbabit.

“Kami terus maklumkan ustaz itu, kami tidak mahu dia mengajar kami lagi kerana kami tahu dia tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana ada masanya dia menuduh kami minum arak dan masih mengamalkan ajaran agama asal.

“Mengapa itu berlaku? Kami bukan masuk Islam kerana mahukan wang, menerima taraf Bumiputera atau keistimewaan lain, tapi kami ikhlas. Kami mahu belajar berkaitan keindahan Islam, ajarannya dan pelbagai lagi yang baik dan bukan sindiran atau tuduhan tidak berasas,”
katanya geram.

Menurut penternak kambing itu, kadangkala ada masanya mereka perlu mendapatkan bantuan individu lain yang ikhlas memberi didikan dan bimbingan kerana tidak mahu terpesong akidah dan berlaku pelbagai lagi perkara buruk.

Katanya, jangan kerana mereka mualaf, masyarakat atau agensi berkaitan tidak memberi walau sedikit peluang untuk belajar atau menjadi sebahagian daripada komuniti Islam kerana ia bukan saja tidak adil, malah boleh dianggap zalim.

“Yang kami mahu ialah keredaan di dunia dan akhirat. Beri kami panduan dan sayangi kami sebagai saudara Islam, bukan mualaf yang mahukan kemewahan hidup atau wang zakat,” katanya.



ABDUL RAHMAN CHIA ABDULLAH, 43:

“SAYA kenal beberapa mualaf yang juga rakan akhirnya murtad kerana tidak menerima didikan serta bimbingan pihak berkaitan.

“Lebih teruk lagi, mayat beberapa mualaf tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan tidak tahu mereka meninggal dunia. Bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku?”
soalnya.

Menurut nelayan itu, dia mengetahui beberapa kes kematian mualaf yang mayat mereka tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan gagal melaksanakan kewajipan sepatutnya.

“Tolong lakukan sesuatu. Jangan hanya sibuk bercakap mengenai halal haram atau agama saja, tetapi dalam masa sama membiarkan mualaf terkapai-kapai tanpa bimbingan sempurna.

“Kepada pegawai agensi berkaitan di Sabak Bernam, jangan hanya memarahi mualaf, sebaliknya lakukan sesuatu untuk kebaikan. Tidak perlu marah-marah menyatakan mahu terus dalam Islam atau murtad kepada mualaf. Kita mahu dikasihi dan disayangi, bukan dijadikan musuh,”
katanya tenang.

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090329044303/Article

Apa dosa golongan HIV/AIDS?

Ada yang mendesak penghidapnya dikuarantin, manakala yang lain mahukan nama mereka didedahkan kepada umum. Sebenarnya, kes jangkitan HIV/AIDS bukan hanya berlaku di kalangan pekerja seks atau penagih dadah.


TERKEJUT dengan perbahasan Parlimen tentang isu HIV/AIDS, Danisha (dari kiri), Fauziah dan Rina tampil memperjelas salah tanggapan itu.


BERGEGAR lagi rumah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan mereka yang berada di bawah naungannya. Kali ini kerana cadangan daripada beberapa ahli Parlimen yang mengatakan bahawa golongan yang hidup dengan HIV/AIDS ‘sengaja mencari’ jangkitan itu.

Kalau itu belum cukup menyinggung, ada pula yang mencadangkan usul polisi sulit identiti penghidap HIV/AIDS didedahkan agar dapat mengurangkan keresahan awam.

Tanpa membuat rujukan, ‘tuduhan’ seterusnya menghala ke satu arah sahaja iaitu menyalahkan dunia pelacuran dan dadah semata-mata.

Sebelum ini, ada seorang pemimpin politik yang lain mencadangkan golongan ini ditempatkan di sebuah pulau yang terpencil.

“Apa yang disebutkan mereka ini adalah contoh sikap tidak ambil peduli. Sungguh luar biasa apa yang dikatakan itu kerana kekecohan yang ditimbulkan tidak berasaskan fakta dan situasi sebenar,” tegas Pengurus Program di Yayasan Pink Triangle (YPT), Danisha Monish.

Menurut statistik Pusat Sumber MAC tentang jumlah kes HIV/AIDS, sehingga Jun tahun lalu hanya sebanyak 43 kes jangkitan berlaku di kalangan pekerja seks, sementara 127 kes lagi melibatkan suri rumah.




“Ini belum mengambil kira kes yang berlaku di kalangan pelajar, pekerja industri hinggalah kepada kakitangan kerajaan,” ujarnya.

Statistik itu jelas menunjukkan bahawa peratusan kes jangkitan kini lebih cenderung terjadi di kalangan individu yang menjadi mangsa jangkitan dalam senyap, dan bukan daripada golongan berisiko tinggi seperti pekerja seks dan penagih dadah.

“Kita perlu terima hakikat bahawa golongan penghidap HIV/AIDS hidup di sekeliling kita, sama ada mereka yang sudah terdaftar dalam statistik ini ataupun yang masih tersembunyi,” tambahnya yang mahukan pemahaman mesej dan maklumat HIV/AIDS diperkasa.

Malah, menurut Danisha, banyak kes jangkitan dilaporkan terjadi di kalangan pekerja profesional.

“Adakah adil jika orang yang sama-sama berkhidmat dan menyumbang untuk masyarakat dan negara dihukum sebegitu?” kata Pengurus Program Kanan di YPT, Yusmar @ Mitch.

“Apa rasionalnya mereka ini dipinggirkan dan dimalukan lagi dengan pendedahan identiti mereka kepada umum? Negara pastinya akan kerugian banyak tenaga profesional jika golongan HIV/AIDS dinafikan hak untuk hidup bermasyarakat,” tegasnya.

Danisha dan Yusmar menekankan, kalau usul meminggirkan golongan HIV/AIDS dibuat kerana takut akan ancaman jangkitan atau menimbulkan keresahan, perkara yang sama juga perlu dibuat kepada pesakit hepatitis. Penyakit itu sebenarnya lebih berbahaya dan mudah dijangkiti.

“Walau apa pun, pencegahan lebih penting daripada rawatan. Sebab itulah pentingnya proses pendidikan yang berterusan,” tambah Danisha yang hairan projek pendidikan seks masih belum dilaksana sepenuhnya.

Sedangkan melaluinya, generasi muda boleh didedahkan dengan perkara penting seperti sistem reproduksi, soal gender dan seksualiti, jangkitan penyakit dan pengurusannya, seks selamat dan seterusnya selok-belok hidup bersosial.

“Semua itu malangnya tidak dapat mereka dalami, lebih-lebih lagi kerana kongkongan budaya dan institusi keluarga yang menganggapnya tabu,” rumus Yusmar.

Koordinator Pusat Sehenti YPT yang dikenali sebagai Rina pula menambah, isu HIV/AIDS sering digembar-gembur tanpa matlamat sedangkan ia perlu diberi tumpuan secara adil dan bersama.

“Kami sudah berusaha bertahun-tahun untuk menyedarkan orang ramai tentang perkara ini.

“Golongan yang hidup dengan HIV/AIDS juga sudah ramai yang diberi semangat untuk meneruskan hidup dan terus berbakti dalam bidang yang mereka boleh sumbangkan,” ujarnya.

“Alangkah sia-sia semua usaha kami itu kalau saat melangkah ke dunia luar, golongan ini ditekan dengan diskriminasi, konfrontasi, penghinaan sosial dan juga stigma yang tidak berakhir,” rumus Yusmar.

Keresahan awam tentang isu ini sebenarnya terjadi apabila kita ‘malas’ untuk mengambil tahu perkembangan di sekeliling kita hinggakan mendapat gambaran yang kurang tepat tentang HIV/AIDS.

Hanya apabila semua sensitiviti ini sudah diambil kira, langkah seterusnya adalah dengan membincangkan isu ini dengan lebih intelek di dalam masyarakat kita, baik di rumah ataupun di Parlimen.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Tidak berhenti melawan

Kemahiran seni mempertahankan diri dan anjing Labrador masih gagal menyelamatkan Meredith Emerson daripada diculik dan dibunuh lelaki tua.


HILTON cuma mahukan kad ATM Emerson sebelum tiba-tiba dia membunuh wanita itu.


LELAKI yang dinamakan pihak polis Georgia, Amerika Syarikat, sebagai ‘orang dalam perhatian’ berikutan kehilangan seorang wanita dan anjing Labradornya di Blood Mountain pada 1 Januari 2008 telah tampil ke mata awam.

Pada mulanya pihak polis melabel kehilangan Meredith Emerson, 24, sebagai kes orang hilang. Bagaimanapun wujud tanda-tanda bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada wanita muda itu.

Sebuah botol air, kolar si anjing bernama Ella dan sebatang baton boleh laras ditemui pada jejak itu.

Malah, Emerson juga dikatakan dilihat pada kali terakhir oleh orang ramai berbual dengan seorang lelaki tua yang telah beruban, memakai sarung yang mencurigakan pada tali pinggangnya, dan mengikat baton boleh laras pada kakinya.

Saksi mengatakan Emerson dan lelaki tua itu membiarkan anjing mereka bermain bersama sepanjang laluan hutan itu sebelum mereka hilang ke dalam hutan.

Pegawai polis mengesan Gary Michael Hilton, 61, lelaki yang berketinggian 180 sentimeter dan seberat 73 kilogram, empat hari selepas itu di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ashford-Dunwoody. Dia kemudian disoal siasat tentang kehilangan Emerson.

“Emerson tidak ada bersamanya,” kata Penyiasat dari Union County, Kimberly Verdone.

Kenyataan itu telah melanjutkan pencarian mereka.




Penyiasat Union County, Kimberly Verdone, berkata sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat profesional telah terlibat dalam usaha menjejak Emerson, antara selatan Georgia dan beberapa bahagian selatan Carolina.

Sebenarnya, Emerson tidak ada sebab untuk risau akan keselamatannya. Dia bukan saja penduduk asal Colorado, malah memiliki pengalaman yang luas dalam merentas hutan.

Dia juga membawa bersama anjing labrador hitamnya, Ella. Jika Ella tidak memadai untuk menjamin keselamatannya, Emerson juga mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri peringkat tali pinggang biru yang sudah cukup untuk menewaskan penyerang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripadanya.

Si anjing, Ella, ditemui berkeliaran di dalam sebuah kedai runcit di Cumming, kira-kira 100 kilometer dari tempat Emerson dilihat kali terakhir dan dikenal pasti melalui mikrocip yang tertanam dalam tubuhnya, kata Verdone.

Hilton, yang dipercayai merupakan orang terakhir dilihat bersama Emerson, dibawa ke Ibu Pejabat Biro Siasatan Georgia (GBI) di Atlanta untuk disoal siasat.

Hilton kemudiannya mengaku bersalah atas dakwaan membunuh Emerson dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan berkemungkinan mendapat parol selepas 30 tahun.




Dia telah bersetuju untuk membawa penyiasat kepada mayat Emerson sekiranya pendakwa raya tidak mencadangkan hukuman mati ke atasnya.

Hilton turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati tanpa kepala di hutan Florida pada 15 Disember 2007.

Seketika sebelum diculik dan dibunuh, Hilton telah menjejak laluan hutan Appalachian Trail di Union County bersama-sama Emerson pada 1 Januari 2008. Bagaimanapun lelaki berusia 61 tahun itu tidak mampu bergerak pada kelajuan yang sama.

Apabila Emerson turun semula ke kaki bukit, lelaki itu sudah menunggu di bawah dengan sebilah pisau gaya tentera di tangannya.

Tumbuk hingga patah tangan

Hilton meminta kad pengeluaran wang tunai (ATM) daripada Emerson. Emerson sebaliknya cuba mempertahankan diri, merampas pisau dan baton boleh laras daripada tangan Hilton dan cuba menyerangnya semula.

Hilton memberitahu penyiasat: “Dia tidak mahu berhenti melawan dan menjerit. Jadi saya perlu mengawal dan mendiamkannya.”

Hilton berkata dia telah menumbuk Enerson berkali-kali, menyebabkan kedua-dua belah matanya lebam dan mungkin juga telah mematahkan hidungnya.

Hilton mengakui tumbukan-tumbukan itu telah menyebabkan tangannya sendiri patah.

Apabila dia menyangka dia sudah berjaya melemahkan Emerson, wanita itu pula melawan balik.

Hilton menenangkan wanita itu dengan memberitahunya bahawa dia hanya mahukan kad kredit dan nombor identifikasi peribadinya (PIN). Kemudiannya, Hilton memandu Emerson dan anjingnya melalui laluan yang tidak pernah diikuti sesiapa ke arah van mininya yang berwarna putih.

Emerson memanjangkan hayatnya selama tiga hari dengan memberikan Hilton nombor PIN yang salah untuk kad ATMnya.

Pada hari Hilton membunuh Emerson, Hilton memberitahunya bahawa hari itu dia akan ‘pulang ke rumah.’ Hilton mengikat Emerson pada sebatang pokok, berjalan ke arah vannya untuk menguatkan semangat dan membancuh kopi.

Apabila Hilton kembali, Hilton berjalan di belakang Emerson dan memukulnya beberapa kali menggunakan hendal daripada sebuah jek kereta, sehingga mati.

Hilton tidak mempunyai kekuatan (semangat) untuk membunuh Ella. Apabila Bridges bertanya sekiranya Hilton mempunyai perasaan yang sama terhadap Emerson, dia menggambarkannya sebagai ‘seperti dalam mimpi.’

“Ia sesuatu yang sukar. Anda perlu ingat kami ada menghabiskan masa bersama selama beberapa hari,” kata Hilton kepada pegawai penyiasat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...