Friday, March 6, 2009

Hidup perlu diteruskan

Semangat Nadzirah dalam meneruskan kehidupan setelah patah dahan tempat bergantung harus dijadikan contoh. Lapor, NOOR HASLIZA NUSI.




BIARPUN pasrah dengan nasib yang menimpa, seorang ibu muda sanggup berkorban apa sahaja untuk membesarkan anak dengan kudrat yang dikurniakan Tuhan.

Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 22, pernah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa mengenai kisah layanan keluarga suaminya yang mahu memisahkan dia dan anaknya, Arman Khan, 2.

Konflik perebutan Arman bermula selepas Nadzirah mengambil keputusan pulang ke Malaysia kerana mendakwa tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya yang dikatakan hanya memberinya susu kerbau basi dan capati sebagai makanan harian sejak dia dibawa ke negara itu oleh suaminya, Fazal Azim Abdul Ahad, 26.

Bagaimanapun, Nadzirah berjaya membawa pulang anaknya ke Malaysia dari Pakistan melalui laluan sah pada 21 November 2007.


NADZIRAH kini selesa dengan kehidupan barunya bersama anak dan ibu bapa.


Episod duka perjuangannya merebut Arman akhirnya selesai setelah pihak Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan hak penjagaan kekal terhadap anaknya pada 14 Julai 2008.

"Kini, saya bahagia di samping anak dan ibu bapa. Merekalah pendorong dan pembakar semangat saya selama ini," luah Nadzirah menceritakan perkembangan terkininya.

Setelah lebih setahun bergelar ibu tunggal, status itu tidaklah menjadi beban kepadanya.

Mengakui begitu selesa dengan kehidupan barunya, Nadzirah menjalani rutin harian sebagai ibu dan bapa dan tekad mahu berdiri di atas kaki sendiri.

"Walaupun saya pernah menghadapi pelbagai masalah, namun saya harus kuat untuk membina kehidupan baru agar segala kisah lampau dapat dilupuskan dalam fikiran," jelasnya yang kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Perakaunan di sebuah kolej swasta di Rawang, Selangor.

Bakal menamatkan pengajiannya pada awal bulan April ini, Nadzirah mengakui hanya ilmu dapat menjamin masa depan dia dan anaknya.

Sebelum ini, dia pernah menuntut di kolej yang sama tetapi terpaksa menangguhkan pengajian untuk menyelesaikan proses membawa pulang anaknya dari Pakistan.


MARIAM ABDUL (kanan) mahu ibu-ibu tunggal berjaya dalam kehidupan.


Bagaimana penerimaan rakan-rakan sekelas dan tenaga pengajar? Nadzirah memberitahu, mereka sentiasa menyuntik semangat kepadanya untuk meneruskan pengajian.

Mungkinkah Nadzirah merancang untuk berkahwin pada masa akan datang? "Buat masa ini, saya belum terfikir soal jodoh, biarlah Tuhan yang menentukan," katanya.

Jangan malu dapatkan sokongan

Mengulas isu Nadzirah, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur, Mariam Abdul berkata, ibu tunggal yang menetap di bandar mempunyai kelebihan berbanding mereka yang tinggal di luar bandar.

Ini kerana katanya di bandar, golongan ibu tunggal mempunyai banyak persatuan yang sedia menghulurkan sumbangan dan bantuan pada bila-bila masa.

Menurutnya, kehadiran persatuan itu tentunya memberi cahaya dan harapan kepada ibu-ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan.

Tambahnya, selain dijadikan tempat berkumpul, persatuan tersebut berperanan mengeratkan hubungan sosial golongan ibu tunggal.


STATUS ibu tunggal tidak sesekali membebankan ibu muda ini.


Ditubuhkan pada tahun 2003, persatuan tersebut telah membariskan ibu-ibu tunggal yang berpengalaman dalam menggerakkan persatuan.

"Penyertaan ahli mungkin kecil tetapi ini memberi kelebihan kepada persatuan untuk menggerakkan aktiviti dalam apa jua perkara. Malah, kami lebih saling mengenali dan hubungan sesama kami juga rapat," katanya kepada Kosmo!.

Justeru, Mariam menasihatkan supaya ibu-ibu tunggal tidak malu menampilkan diri bagi mendapatkan sokongan agar mereka tidak terus dibelenggu pelbagai masalah atau tertekan dengan tohmahan masyarakat sekeliling.

"Jangan takut atau malu untuk keluar dan mendapatkan khidmat nasihat. Ada ibu-ibu tunggal yang tidak dapat menerima status sebagai ibu tunggal, dan ada yang masih meratapi kesedihan akibat ditinggalkan suami.

"Kesannya, mereka akan berkurung di dalam rumah dan enggan bercampur dengan orang di sekeliling mereka. Tindakan ini hanya memudaratkan diri dan anak-anak," kata Mariam.

Menurutnya, ibu tunggal tidak seharusnya memendam segala masalah yang dihadapi. Mereka seharusnya berkongsi masalah dengan ibu-ibu tunggal yang lain.

"Selain berkongsi kisah sedih, kumpulan ini juga berkongsi kejayaan dan pencapaian. Dengan cara tersebut, ibu-ibu tunggal dapat memantapkan diri dari segi psikologi dan mental," ujar Mariam.

Mariam turut menjelaskan bahawa melalui persatuan itu juga, segala usaha yang dirancang dapat direalisasikan berbanding jika diusahakan secara peribadi atau persendirian.

"Jika dahulu, usaha untuk mendapatkan pinjaman modal, penubuhan kelas atau aktiviti tidak mendapat perhatian pihak atasan. Kini, dengan menggunakan nama persatuan, ibu-ibu tunggal tidak lagi terabai," kata Mariam yang bangga dengan pencapaian persatuan itu setakat hari ini.


PERSATUAN Ibu Tunggal memberi harapan baru kepada golongan ini.


Melalui perhimpunan tersebut, ibu-ibu tunggal dididik untuk tidak bergantung harap kepada pihak lain. Sebaliknya, mereka diajar untuk mencari sendiri peruntukan yang diperlukan keluarga dan anak-anak.

Mariam turut mengingatkan ibu-ibu tunggal lain agar belajar memahami kehidupan masa kini dan didik diri menjadi seorang yang berdisiplin.

"Menjadi ibu tunggal bermakna seseorang perlu mempunyai jati diri, berhati waja dan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain,"ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm

Cinta di bangku sekolah

Kata orang cinta di bangku sekolah, hanyalah cinta monyet, tetapi dua tokoh agama ini membuktikan cinta yang disulam dengan kasih sayang berlandaskan agama akhirnya sampai ke jinjang pelamin.




SEINDAH Semanis Kurma yang menjadi judul program televisyen yang dikendalikan bersama, semanis kurma jugalah senyuman dan bicara yang terpancar dari wajah pasangan yang saling melengkapi ini, Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

Selain kebahagiaan hati dan perasaan, keluarga serta anak-anak, dalam lingkaran hidup pasangan ini, dakwah mengenal Allah dan ceramah ke arah pembangunan insan menjadi rutin hidup mereka.

Melabuhkan pertemuan pertama bersama dua nama bergelar ustaz dan ustazah ini, hati jadi terusik dek kemesraan dan keramahan mereka walaupun jam di tangan ketika sesi wawancara dimulakan sudah menunjukkan pukul 11 malam.

"Bulan Februari, kami sibuk sikit. Minta maaflah kerana tak dapat memenuhi permintaan anda untuk berkunjung ke rumah. Nantilah, ada masa, kita jumpa di Kajang," ujar Akashah lembut persis memujuk.


HIMPUNAN surat-surat cinta Akashah dan Nor Bahyah, 20 tahun lalu masih disimpan sehingga hari ini.


Walaupun hanya bertemankan dekorasi ala Inggeris di studioSeindah Semanis Kurma, rasanya isi cerita yang terluah dari bibir personaliti agama ini sudah cukup untuk menyempurnakan kekurangan lain.

Sangkaan penulis mereka bertemu atas jodoh pilihan keluarga ataupun ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Apa yang disangka jauh meleset apabila kisah cinta di bangku sekolah terlontar dari bibir Nor Bahyah atau sering dipanggil Ustazah Bahyah.

"Paling tak dapat saya lupakan semasa pertemuan yang tak disengajakan di bilik guru. Dia cakap pada saya: 'Siti Nor, saya tertarik dengan Siti Nor, Siti Nor pula bagaimana?'.

"Saya malu dan terus berlalu tanpa cakap apa-apa. Saya anggap pertanyaan dia serius, balik rumah dan buat solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk," cerita Nor Bahyah tersenyum yang mendapat lampu hijau daripada ibu bapanya ketika mula hendak menerima salam perkenalan daripada Akashah.


AKASHAH dan Nor Bahyah yang saling melengkapi menjadi paksi kecemerlangan yang diraih bersama.


Ketika itu, Akashah di tingkatan enam manakala Nor Bahyah pula di tingkatan empat, masing-masing pelajar popular di Maktab Mahmood, Alor Setar, Kedah.

"Pelajar perempuan dan lelaki diasingkan. Walaupun tak pernah jumpa, saya selalu dengar pasal ustaz, selaku Ketua Umum Pelajar Lelaki manakala saya pula, Ketua Umum Pelajar Perempuan.

"Kami cuma kenal antara satu sama lain apabila sama-sama naik pentas dalam satu majlis anugerah. Kebetulan kami sama-sama dapat anugerah pelajar terbaik.

"Kemudian dalam satu mesyuarat pengawas sekolah, ketika saya memberikan ucapan, dia berdiri dan mengedarkan kertas kepada pelajar lain. Dalam hati, saya fikir dia tak suka saya tetapi rupa-rupanya, dia minta setiap pelajar catat apa yang saya ucapkan," sambung ibu kepada empat cahaya mata itu panjang lebar.


POTRET keluarga, 'harta' yang tiada ternilai milik pasangan penceramah popular, Nor Bahyah dan Akashah.





Apabila soal hati Akashah sampai ke telinga bapa Nor Bahyah, dia diselidik seperti si tertuduh yang mahu didakwa. Bukan sahaja dicari di asrama tempat menginap, bahkan bapa Nor Bahyah sanggup merentas jalan tanah merah untuk ke Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang di Alor Setar, Kedah dari Bayan Lepas, Pulau Pinang semata-mata mahu mengenali latar belakang pemuda yang mencuri hati anak gadisnya yang masih bersekolah.

"Keluarga saya memang begitu. Syukur hubungan kami direstui. Selepas habis tingkatan enam, ustaz menyambung pelajaran ke Mesir. Dua tahun dia di sana, sedangkan saya masih bersekolah.

"Sebelum saya juga menyambung pelajaran ke universiti yang sama di Mesir, kami bernikah. Tujuannya bukan untuk keseronokan tetapi lebih selamat wanita di perantauan berada di sisi suami," ujar Nor Bahyah lagi.

Dari pandangan suaminya sendiri, perkahwinan dalam tempoh pengajian sebenarnya banyak kebaikan. Selain menutup diri daripada perkara menjurus ke arah melakukan maksiat, perkahwinan juga boleh menjadikan diri lebih berdisiplin dan menghargai masa.

"Kalau belum kahwin, gaya berseronok tentulah lain. Melancong atau keluar bersama kawan-kawan adalah perkara biasa bagi pelajar bujang. Tetapi apabila sudah kahwin, kami jadi cepat matang. Masa belajar lebih banyak sebab kami lebih banyak duduk di rumah. Lagipun ketika di sana, hidup kami susah," jelas Akashah sedikit terharu.

Tambah Akashah, hidup mereka ketika di Mesir tidak ubah seperti yang berlaku terhadap P. Ramlee dan Sarimah dalam filem Ibu Mertuaku.

"Mula-mula, kami sewa rumah besar, kemudian pindah ke rumah lebih kecil dan semakin kecil. Sudahnya, kami hanya mampu menyewa bilik sahaja.

"Duit biasiswa yang diterima cukup-cukup sahaja, seganlah nak minta dari orang tua di kampung. Daripada kesusahan itulah, kami belajar tentang hidup, tabah dan sabar. Apabila tengok orang susah, kami teringatkan zaman susah dahulu," tutur Nor Bahyah yang masih mesra membahasakan dirinya ustazah walaupun sudah bergelar Datuk.

Bertamu depan mata, rugilah kalau perintis teknik Urutan Cakar Harimau dan Urutan Labah-Labah ini tidak diusik dengan persoalan popular itu. Kena benar dengan bingkisan cinta mereka ini, Nor Bahyah dan Akashah diajak berkongsi kemujaraban. Apa benar petua itu antara rahsia kebahagiaan mereka sejak lebih 20 tahun hidup berkelamin.

"Itu cuma satu pendekatan untuk merapatkan hubungan suami isteri melalui sentuhan dan urutan. Dari situlah nanti akan timbul motivasi," ujar Akashah.

Menyambung intro sang suami, Nor Bahyah bersedia dengan penjelasan yang terperinci. Katanya, sebagai wanita dan isteri, dia sendiri suka disentuh dan menyentuhi. Amalan itu bukan hanya terhad untuk suami isteri, bahkan antara ibu dan anak ataupun sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar batasan agama.

"Saya memang suka disentuh, ustaz juga begitu. Sentuhan itu amat penting kerana dari situlah emosi kasih sayang akan terjalin erat. Anak-anak juga begitu.

"Mulanya, ia sekadar satu daripada teknik urutan tetapi saya perlukan istilah yang kuat dan boleh beri impak jika berceramah. Idea cakar harimau timbul kerana dari segi teknik dan cara, urutan itu hampir menyamai sifat harimau mencakar atau gerakan labah-labah. Tak sangka pula boleh meledak dan jadi fenomena," ujar Nor Bahyah menafikan teknik tersebut semata-mata bersifat adegan ranjang.

Manfaat teknik yang diperkenalkan, bukan sahaja perkongsian ilmu yang merentasi jarak bahkan profesion penceramah bebas menjadi lubuk rezeki buat Nor Bahyah sendiri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_03.htm

Janji lelaki beristeri

Berhati-hati dengan segala janji manis lelaki yang sudah beristeri, takut nanti anda pula terjerat dengan penipuan cinta keduanya.




Seperti pasangan yang belum berkahwin, mereka akan berusaha menyakinkan kekasih hati dengan godaan janji manis. Justeru, lelaki yang beristeri sanggup berbuat apa sahaja untuk memujuk rayu cinta keduanya dengan janji manis bagi menjerat wanita kedua yang bertahta di hatinya.

Benar apa yang diungkapkan, setiap bicara kata manis lelaki mampu melenturkan hati kekasihnya. Namun, anda harus berhati-hati dengan janji manis mereka, takut nanti anda dijerat masuk ke lubuk percintaan kali keduanya. Berikut kata-kata manis lelaki yang sudah beristeri untuk memikat wanita kedua yang hadir dalam hidupnya.

"Saya akan menceraikan isteri"

Janji itu seringkali dilafazkan oleh lelaki yang bergelar suami. Adakah janji itu akan ditunaikannya? Sayang sekali, kebanyakannya tidak mahu mengotakan janji. Pelbagai alasan diberi termasuk kes perceraiannya masih di peringkat penyelesaian di Mahkamah Syariah. "Sabar ya... sayang, proses perceraian itu akan selesai tidak lama lagi," begitulah antara kata-kata manis yang dilontarkan lelaki setiap kali anda menagih janji.

Bercerai bukannya satu perkara yang mudah bagi seorang lelaki. Umumnya, mereka akan memilih untuk kekal dengan perkahwinan pertama berbanding perceraian walaupun kebahagiaan yang dicari selama ini gagal. Apatah lagi, sekiranya lelaki itu telah dianugerahkan cahaya mata.

Ini kerana, lelaki seringkali bimbang kehilangan anak-anak apabila bercerai.

"Saya berjanji akan mengahwini anda"

Ramai daripada kita seringkali tertipu dengan janji-janji sebegini. "Tenang ya... sayang, tidak lama lagi saya akan menikahi anda." Inilah ucapan berulang kali yang akan dilontarkan lelaki sebagai satu cara untuk menunjukkan keseriusan dan ketaatan kepada anda.

Janji mengahwini kekasih terpaksa dibuat supaya si dia tidak berpaling arah pada cinta lain. Soalnya, bagaimana lelaki itu harus memberikan komitmen kepada anda, sedangkan dia terikat pada komitmen terhadap isteri dan anak-anaknya. Anda perlu menerima hakikat bahawa hanya segelintir lelaki yang benar-benar akan menceraikan isterinya semata-mata untuk menikahi kekasihnya.

"Saya akan bawa anda ke rumah"

Janji itu biasanya dilafazkan sebelum anda mengetahui tipu helahnya bahawa dia adalah hak kepunyaan orang lain. Dia berjanji akan menceraikan isterinya dalam masa terdekat tetapi tidak mungkin itu dapat ditunaikannya. Sekiranya anda bertanya bilakah dia akan menetapkan tarikh perkahwinan, biasanya lelaki itu akan mencipta pelbagai alasan termasuk terlalu sibuk dengan kerjaya. "Saya memerlukan masa yang sesuai" atau "saya semakin sibuk sejak kebelakangan ini," adalah antara alasan yang kerap bermain di bibirnya.

"Saya pasti datang ke rumah anda"

Bagi lelaki yang beristeri, bertemu dengan kedua-dua ibu bapa kekasihnya akan mengundang risiko yang besar. Pertama, ia menandakan keseriusan hubungan anda dengan dia, sedangkan dia sudah mempunyai komitmen lain. Kedua, dia belum bersedia berhadapan dengan pelbagai pertanyaan yang akan dilontarkan oleh ibu bapa anda. Dia berasa takut apabila statusnya terbongkar. Maka, dia akan menghindari segala perkara yang tidak diingini. Dengan itu, dia akan memberi janji manis untuk bertemu dengan ibu bapa anda, tetapi tidak sedikitpun berniat untuk berjumpa dengan mereka.


JANGAN terpedaya dengan janji-janji manis lelaki yang telah berkahwin. - Gambar hiasan


"Cuma kamu yang ada di hatiku"

Ucapan ini akan membuatkan anda terawang-awang. Dia tahu bahawa kata-kata seperti itu akan membuatkan perasaan anda cair. Tetapi, sebaiknya jangan mudah percaya dengan kata-kata itu. "Hanya kamu yang ada di hatiku?" Ah, itu satu pembohongan besar. Selain anda, di hatinya masih ada anak-anak dan isterinya. Malah, anda juga perlu tahu, merekalah yang mendapat tempat terbesar di hatinya.

"Aku akan membahagiakanmu"

Kalimat ini hanyalah janji-janji manis untuk dirinya. Dia tidak mampu membahagiakan anda, selain isteri dan anak-anaknya. Bagaimana dia mampu membahagiakan anda, sekiranya keinginan anda tidak mampu ditunaikan. Walaupun dia sering memberi hadiah mahal kepada anda, namun sebenarnya bukan itu yang anda harapkan. Anda menginginkan hubungan yang stabil dan mampu hidup bersamanya. Sayangnya, hal itu tidak mampu ditunaikan atas alasan komitmen lain yang perlu diutamakan.

"Selalu berada di sisi saat memerlukan"

Ini merupakan janji-janji bisa yang seringkali diucapkan lelaki yang beristeri bagi merayu kekasihnya. Padahal, dia tidak mampu memenuhi janji itu. Bagaimana dia boleh menemani anda saat memerlukan, jika anda dan dia hanya bertemu pada waktu bekerja. Ketika anda memerlukan nasihatnya, anda tidak mungkin menghubunginya di rumah atau pada waktu cutinya. Anda mungkin akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar jika menghubunginya ketika itu. Oleh itu, berhati-hati dengan kata-kata manis seorang lelaki, takut nanti anda pula yang terjerat dalam penipuan cinta suami orang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...