Sunday, October 5, 2008

Lelaki disyaki merogol kena cekup

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun di sekitar Kempas, di sini, malam kelmarin, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir membabitkan seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Dahlia, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Che Yussof Che Ngah, berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara menahan dua lelaki terbabit yang berlegar-legar di sekitar Kempas, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Katanya, polis juga mengenal pasti baki lapan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka yang dipercayai berusia 20-an giat dijalankan.

“Dua lelaki itu kini ditahan reman hingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, sambutan Aidilfitri seorang gadis berusia 16 tahun berakhir tragedi apabila menjadi mangsa buas sekumpulan kira-kira 10 lelaki yang memukulnya hingga pengsan sebelum dipercayai merogolnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah kosong di Taman Dahlia, Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan di sebuah kafe siber di Bandar Baru Uda, di sini, sebelum tiba-tiba dihampiri sebuah Proton Waja berwarna putih yang dinaiki empat lelaki.

Empat lelaki itu kemudian mengarahkan remaja berkenaan menyerahkan wang dan telefon bimbitnya kepada mereka dan apabila remaja itu enggan, dia dicucuh menggunakan puntung rokok.

Disebabkan takut, remaja berkenaan menuruti arahan lelaki berkenaan sebelum seorang daripada empat lelaki itu menarik remaja berkenaan ke dalam kereta lalu membawanya ke sebuah rumah di Taman Dahlia.

Di rumah itu, ada lebih 10 lelaki menunggu dan gadis itu dipukul hingga pengsan sebelum dirogol bergilir-gilir.

http://www.hmetro.com.my/05102008

Angin solar kian lemah


TIUPAN angin banyak dipengaruhi daripada aktiviti sistem matahari.

-------------------------------------------------------------------

WASHINGTON - Buat julung kali dalam tempoh setengah abad, saintis Amerika Syarikat mendapati angin solar yang dijana oleh bayu matahari kini mencatat rekod paling lemah.

Penilaian terbaru itu berdasarkan kepada kajian rapi selama 18 tahun hasil analisis data daripada pemantauan satelit Ulysses yang membuat tinjauan di sekitar sistem solar pada bintang galaksi Bima Sakti.

Angin solar yang berasal daripada atmosfera luar panas matahari dikenali sebagai corona lazimnya kembali perlahan dan menjadi tenang dalam kitaran setiap 11 tahun.

"Pemantauan menunjukkan angin ini 13 peratus lebih sejuk akibat tiupan matahari jatuh 25 peratus," kata Dave McComas dari institut penyelidikan Ulysses di San Antonio. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/05102008

Rom bawa bawang ke Wales


BAWANG banyak digunakan masyarakat Rom kuno dalam masakan mereka.

-------------------------------------------------------------------

CARDIF - Selain memperkenalkan jalan raya, baik pulih paip, arak wain dan sistem terusan, penakluk empayar Rom kini dikenal pasti membawa satu lagi ikon terkenal ke Wales - bawang kebun.

Ia hasil kajian oleh Muzium Nasional Wales terhadap tinggalan masyarakat Roman yang pernah menduduki Britain sekitar tahun 43 Masihi dengan membawa bersama sistem kebun halaman rumah.

Menurut pengurus estet muzium itu, Andrew Dixey, tentera Rom yang menetap di Wales didapati gemar berkebun di belakang rumah dengan menanam bawang bagi berehat sambil berhibur.

"Orang Rom suka menanam sayur di dalam pasu sebagai hiasan di samping batu-batu kecil namun perubahan cuaca di Britain menyebabkan bawang lebih subur," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/05102008

Kura-kura pupus hidup semula


SPESIES kura-kura kepulauan Galapagos terkenal kerana memiliki jangka hayat amat lama.

-------------------------------------------------------------------

NEW YORK - Spesies kura-kura gergasi terkenal kepulauan Galapagos yang dikenal pasti pupus didakwa mampu dihidupkan semula, menurut saintis Universiti Yale New Haven.

Penemuan ditulis di dalam jurnal Proceedings terbitan terbaru Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat mendedahkan, misi mustahil itu boleh dijayakan melalui proses kacukan bersilang.

Penyelidik berkata, proses evolusi seperti klon ke atas kura-kura itu memakan masa 100 tahun melibatkan saudara terdekat spesies Geochelone elephantopus yang masih lagi hidup.

"Kita memerlukan sehingga empat generasi sebelum dapat melihat semula kura-kura Galapagos yang pupus lahir kembali ke dunia," kata penyelidik, Gisella Caccone. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/05102008

Dr. Asharuddin cipta sejarah politik - Calon Melayu pertama tanding jawatan naib presiden Gerakan


DR. ASHARUDDIN (kiri) bersalaman dengan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye selepas menyerahkan borang penamaan calon semalam.

KUALA LUMPURUntuk pertama kali sejak parti Gerakan ditubuhkan pada 1968, seorang calon Melayu dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden parti pada pemilihan parti itu akan datang yang dijadual 11 Oktober ini.

Dr. Asharuddin Ahmad, 49, Setiausaha Gerakan Bahagian Kuala Selangor, menjadi calon Melayu pertama untuk bertanding jawatan setinggi itu dalam parti yang didominasi kaum Cina, selepas pengasas Gerakan dan presiden parti yang pertama, Dr. Syed Husin Al-Alatas.

Bercakap pada pemberita selepas pencalonan ditutup pada tengah hari di Ibu Pejabat Gerakan semalam, Asharuddin berkata, beliau yakin untuk menang jawatan itu berdasarkan sokongan yang diperoleh daripada akar umbi dalam parti.

“Mungkin akar umbi mahu saya menarik lebih ramai anggota bukan Cina terutama Melayu untuk menganggotai Gerakan,” kata pengurus pemasaran yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (Ph.D) itu.

Menurut Asharuddin, beliau menyertai Gerakan untuk memberikan sumbangan kepada semua bangsa Malaysia dan bukannya menjadi jaguh untuk satu-satu kaum sahaja.

“Untuk saya, memang saya tak galakkan parti berteraskan satu kaum dan saya suka menyumbang kepada bangsa Malaysia dan bukan berteraskan kepada satu kaum sahaja,” kata beliau yang menyertai Gerakan pada 1998.

http://www.kosmo.com.my/05102008

Catatan perjalanan ‘hero’ - Nasrudin bayar tekong haram RM500 keluar Malaysia


RUMAH kedai milik Nasrudin di kampungnya di Lombok Timur dan keluarga Nasrudin turut mendiami sebuah rumah bersebelahan kedai itu.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) – Demi kasih sayang yang semakin subur di hati, pasangan kekasih Noor Fadilah Ahmad, 18, dan Nasrudin Dahrom, 24, sanggup mengharungi segala kepayahan untuk membawa gadis pilihannya ke kampung halaman.

Semuanya bermula pada dinihari, 3 September lalu apabila mereka bertindak nekad menaiki bot haram dari satu jeti di Kota Tinggi untuk menyusup keluar dari Malaysia ke destinasi yang dituju.

Dalam suasana yang agak gelap pada pukul 4 pagi, bermulanya detik sebuah perjalanan bersejarah bagi pasangan kekasih ini biarpun Fadilah terpaksa meninggalkan keluarga tercinta.

Itulah pengakuan Nasrudin kepada wartawan Kosmo! Ahad ketika ditemui di rumah keluarga Nasrudin di Desa Kesik, Lombok Timur dengan Fadilah turut berada di sisinya ketika menceritakan perjalanan mereka ke Lombok Timur yang dianggap detik-detik manis untuk dikenang sepanjang hayat.

Biarpun begitu, pendedahan tersebut agak mengejutkan kerana dia tidak dibantu sesiapa untuk menyeludup kekasihnya itu.

Tanpa sebarang dokumen perjalanan, Nasrudin dan Fadilah hanya perlu membayar tambang bot kepada tekong sebanyak RM250 seorang untuk sampai ke Batam melalui satu kawasan perairan di Kota Tinggi.



-------------------------------------------------------------------

Malah dakwa pemuda Lombok itu lagi, kawasan di Kota Tinggi memang menjadi pusat untuk semua warga Indonesia berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal mereka.

“Semua orang Indonesia tahu tempat itu dan saya sendiri tidak perlu bertanya sesiapa untuk ke situ pada hari tersebut.

“Mudah sangat. Sebaik sampai di jeti tersebut, kami terus pergi jumpa tekong bot yang sedia menunggu dan bayar tambang untuk ke Batam.

“Tidak ada sebarang pemeriksaan oleh mana-mana pihak sehinggalah kami selamat sampai di Batam setelah melalui pelayaran selama kira-kira tiga jam,” ujarnya.

Menurut Nasrudin, keadaan di dalam bot tersebut memang tidak selesa memandangkan terlalu ramai warga Indonesia lain yang turut menaikinya pada hari tersebut.

“Memang Fadilah tidak selesa di atas bot kerana agak ramai orang ketika itu dan aspek keselamatan tidak disediakan pada mulanya tetapi sepanjang perjalanan, saya mententeramkannya.


“Tetapi perjalanan kami lancar dan tidak ada pihak berkuasa yang menghalang bot tersebut sepanjang perjalanan,” ceritanya lagi.

Bagaimanapun menurut Nasrudin, setibanya di Teluk Mata Ikan di Batam, dia sudah kehabisan wang untuk meneruskan perjalanannya ke kampungnya di Desa Kesik dan meminta bantuan daripada keluarganya.

http://www.kosmo.com.my/05102008

Tok Su minta Kak Yong segera pulang


Oleh KUMARA SABAPATTY
dan TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
berita@kosmo.com.my


JURU Kasih Abdullah atau dikenali sebagai ‘ Tok Su’.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI – “Bila hang nak pi ambik dia? Cepatlah sikit takut Tok Su tak sempat melihat wajah dia”.

Itulah luahan hati Juru Kasih Abdullah, 66, atau ‘Tok Su’ yang kini amat tertekan selepas mengetahui kehilangan Noor Fadilah Ahmad, 18, atau Kak Yong yang dikatakan ingin berkahwin dengan seorang pemuda dari Lombok Timur, Indonesia.

Tok Su yang menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menghidapi penyakit lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis dikatakan pengsan beberapa kali selepas mengetahui cerita mengenai cucunya, Kak Yong yang seolah-olah tidak mahu melepaskan lelaki itu.



Fadilah

-------------------------------------------------------------------

“Dia tak macam tu, saya bela dari kecil sampai besar dengan penuh didikan agama... takkan dia berani buat macam tu.

“Kak Yong bukan jenis yang suka keluar rumah tanpa kebenaran ataupun yang melawan... dia budak baik... Tok Su yang besarkan dia... dari tapak kaki besar ibu jari sampai besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

http://www.kosmo.com.my/05102008

Bisnes tepi pantai



RESTORAN Aroma Ikan Bakar yang dibuka sejak Julai 2004 oleh pasangan guru-polis, Hazura Kusman, 41, dan suami, Mohd. Naim Omar, 43, semakin hampir kepada sasaran untuk menjenamakan Pantai Jeram, Kuala Selangor, sebagai destinasi makanan laut.

"Dulu orang teragak-agak untuk masuk (ke sini) sebab kawasan ini dilitupi hutan. Tapi sekarang sudah ada dua restoran makanan laut di sini yang dapat memuatkan sehingga hampir 500 orang pada satu masa.

"Orang ramai datang sejauh dari Subang Jaya, Rawang, Kajang dan Klang. Sampaikan ada sekumpulan veteran yang datang untuk makan di sini dengan kain pelikat," kata Mohd. Naim.


MOHD Naim dan Hazura berani meneroka industri makanan laut kerana percaya pada potensi Pantai Jeram.

-------------------------------------------------------------------

Daripada tujuh orang pekerja, perkembangan perniagaan itu telah membolehkan mereka menggaji 42 pekerja termasuk lima tukang masak, tiga orang pembantu dan selebihnya pekerja separuh masa.

Pengalaman menjemput pelanggan yang tidak jumpa jalan masuk ke sini juga memberi mereka ingatan yang menarik.

"Mereka telefon dan tanya di mana letaknya restoran kami. Setelah gagal mencari, kami minta dia tunggu di satu tempat dan kami pergi menjemput mereka," kata Mohd. Naim, tersenyum mengenangkan variasi pengalaman mereka melayan kerenah pelanggan.


KERANG BAKAR

-------------------------------------------------------------------

Tidak kurang juga pelanggan yang terkejut menemui restoran makanan laut di sini semasa mereka tersesat jalan.

Pasangan ibu bapa kepada empat orang anak yang berumur antara 10 hingga 17 tahun ini juga amat berterima kasih kepada para pelanggan, terutamanya yang menyenaraikan hidangan mereka dalam blog masing-masing, yang sekali gus membantu mengembangkan lagi pasaran perniagaan mereka.

"Testimoni yang seperti itu mungkin lebih meyakinkan kerana mereka tidak dibayar. Mereka buat ikut pandangan sendiri. Yang suka, mereka sertakan nombor telefon.


IKAN SIAKAP TIGA RASA

-------------------------------------------------------------------

"Bila pelanggan telefon dan bertanyakan lokasi kami, kami pun tertanya-tanya juga dari mana mereka dapat nombor telefon kami sedangkan kami tidak pernah membuat iklan sehingga sejauh Rawang," ujar Mohd. Naim.

Makanan laut yang dihidangkan termasuklah ikan bakar jenis siakap, kerapu, jenahak, pari, udang, sotong, dan kerang.


UDANG MENTEGA

-------------------------------------------------------------------

Boleh juga dimasak pedas atau kari, hidangan pelengkap yang lain yang boleh didapati di sini ialah tomyam, nasi lemak, nasi goreng, kerabu mangga dan banyak lagi.

Satu hidangan istimewa yang menarik perhatian kami ialah kepah anak daranya yang menyamai kerang tetapi berkulit licin dan rasa seperti lala.

Dimasak cili, keenakannya membuatkan kami terkenangkan rasanya sehingga hari ini biarpun kunjungan dibuat hampir dua bulan yang lalu.

Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan, terutamanya untuk makanan laut yang dipastikan sentiasa segar dan diambil dari Bagan Pasar Penambang setiap hari, iaitu bermula serendah RM25 untuk set seorang, RM3.50 untuk nasi, RM2.50 untuk jus. - FATIMI NADIAH ZAINUDEEN



-------------------------------------------------------------------

AROMA IKAN BAKAR
Pantai Jeram, Kuala Selangor, Selangor
017-3163117


http://www.kosmo.com.my/04102008

Raja semut sebesar tiga sentimeter


RAJA semut ini mempunyai saiz sebesar syiling 50 sen.

-------------------------------------------------------------------

RAJA SEMUT? Seekor semut gergasi berukuran 3 sentimeter mengejutkan penduduk di Jalan Abidin, George Town dekat sini.

Ia ditemui seorang peniaga, Rashid Asrol, 35, di kedai makannya baru-baru ini dan dipercayai keluar dari sarangnya yang terletak berhampiran surau di situ.

Menurutnya, beliau tidak pernah bertemu semut sebesar itu dan menyangka ia adalah seekor tebuan yang menjadi habuan semut.

Selepas melihat ia bergerak berkumpulan dan diiringi oleh semut-semut lain katanya, ia mungkin raja semut yang keluar dari sarangnya.

Rashid berhasrat menyerahkan serangga

tersebut kepada mereka yang sudi mengkaji spesiesnya yang jarang ditemui di negara ini.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Derita gadis misteri tiga tahun berakhir


KUALA KEDAH - "Syukur, kini anak saya dah pulih dan dapat pergi sekolah semula."

Demikian luah Che Siah Harun, 56, ibu kepada gadis misteri, Nur Atikah Abdullah, (gambar) 14, yang telah pulih daripada mengalami penyakit misteri apabila didakwa mampu mengeluarkan pelbagai barangan seperti garam kasar, paku payung, skru, butang besi, jarum dan butir-butir beras daripada badannya.

Jelas Che Siah, setelah tiga bulan jenuh berubat bermula Jun lalu di Kuala Sanglang dekat sini, anaknya itu kini tidak lagi mengeluarkan barangan aneh itu dari badannya.

"Saya lega dan bersyukur apabila anak saya juga boleh ke sekolah seperti remaja lain dan sikapnya selepas berubat itu turut berubah menjadi lebih manja.

"Dulu sikapnya panas baran dan suka memberontak apabila ada barang keluar dari badan tapi semua itu dah berlalu dan saya bersyukur kerana deritanya selama tiga tahun sudah berakhir," tambahnya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Kota Nelayan di sini semalam.

Kata Che Siah lagi, anaknya kini sudah boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan Nur Atikah turut menunjukkan minat mendalam terutama dalam subjek bahasa Inggeris.

Ditanya punca Nur Atikah menderita penyakit misteri dan aneh sehingga boleh mengeluarkan barang-barang dari badan, beliau memberitahu:

"Apabila jumpa dengan pengamal perubatan tradisional macam-macam mereka cerita tapi mak cik tak percaya, mak cik hanya percaya semua itu kerja Allah, kita hanya mampu ikhtiar untuk pulihkannya.

"Walaupun telah lebih 30 pengamal perubatan datang berubat akhirnya Nur Atikah serasi dan pulih dengan seseorang di Kuala Sanglang, saya betul-betul bersyukur."

http://www.kosmo.com.my/04102008

Arman penyeri Aidilfitri Nadzirah


Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my



ARMAN mencium tangan neneknya, Siti Abdullah sambil diperhatikan ibunya, Siti Nadzirah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri di Rawang, Selangor semalam.

-------------------------------------------------------------------

RAWANG - Jika sambutan hari raya tahun lalu Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 21, sentiasa berlinangan air mata apabila terkenangkan anaknya, Arman Khan Fazal Azim yang ketika itu berada beribu kilometer di Pakistan, kini ibu muda itu boleh tersenyum gembira.

Apa tidaknya, sambutan Aidilfitri tahun ini beliau dapat bersama-sama meraikannya dengan Arman yang kini sudah hampir mencecah usia dua tahun.

Menurut Siti Nadzirah, sambutan Aidilfitri kali ini amat bermakna kepadanya kerana Arman sah menjadi miliknya melalui prosedur mahkamah setelah berjuang untuk mendapatkan anaknya itu semula apabila dilarikan oleh suaminya, Fazal Azim Abdul Ahad ke Pakistan sebelum ini.

"Aidilfitri tahun lalu saya sering menangis mengenangkan Arman. Masa tu Arman berada di Pakistan. Jadi nak beraya pun tak semangat tapi saya anggap tahun ini sebagai sambutan yang paling bermakna kepada saya serta keluarga.

"Ini kerana Arman kini dah jadi hak milik saya sepenuhnya dan dia juga sudah serasi bersama-sama saya dan ayah. Jadi tentu hari pertama raya nanti lebih meriah dengan kehadiran sanak-saudara yang nak lihat Arman dengan lebih dekat," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kisah penderitaan Siti Nadzirah disiarkan secara eksklusif oleh Kosmo! setelah pulang ke tanah air pada 14 Julai tahun lalu apabila sudah tidak tahan lagi dengan layanan keluarga suaminya setelah dia dan Arman dibawa ke Pakistan.

Tambah Siti Nadzirah, beliau mengakui hidupnya kini lebih bermakna setelah melalui pelbagai rintangan sebelum ini dalam usaha untuk mendapatkan Arman semula.

http://www.kosmo.com.my/04102008

'Datanglah jenguk saya mak'

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
dan SUHANA YUSOP
berita@kosmo.com.my


ASRAF meluahkan isi hatinya kepada wartawan Kosmo! dalam satu temubual di Penjara Kajang baru-baru ini.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya amat rindukan mak. Setiap saat lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, hati saya bagai dirobek ingin bertemu dengannya."

Itulah luahan pilu seorang pesalah juvenil, Asraf, 20-an, (bukan nama sebenar) di Penjara Kajang yang ditahan sejak awal 2006 yang merasakan dirinya bagai dibuang keluarga kerana tidak pernah dijenguk ibu tersayang.

"Janganlah buang saya mak. Memang saya bersalah tetapi saya sangat perlukan mak. Saya memang berdosa tetapi janganlah biarkan saya mati tanpa mendapat keampunan dari mak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Melihatkan air mukanya yang tenang, seolah-olah terpancar raut keinsafan dan dahagakan kasih sayang ibu sebagai sokongan biarpun bergelar banduan atas kesalahan samun dan membunuh.

"Kalau mak datang melawat saya di sini, saya akan cium kakinya agar dia sudi mengampunkan dosa yang saya buat sehingga memalukannya di kampung," ujarnya.

Air matanya sesekali mengalir setiap kali diajak berbual tentang kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya yang kini berada di sebuah kampung di Negeri Sembilan sebelum hidup di sebalik tembok besi di Sungai Jelok, Kajang.

"Di sini memang ramai yang sebaya saya tetapi masing-masing ada keluarga yang datang menjenguk setiap bulan.

"Berlainan dengan saya, sejak dimasukkan ke sini, keluarga langsung tidak ambil peduli seolah-olah mereka mahu saya terus kekal dan mati di dalam penjara ini," ujarnya sambil mengesat air mata.

Bercerita tentang bagaimana dia boleh melakukan jenayah itu, kata Asfar, ketika itu dia berumur 18 tahun dan terjebak dalam jenayah atas pengaruh rakan-rakan.

"Saya tak pernah menyamun dan malam itulah pertama kali saya melakukannya dan demi mempertahankan diri, saya telah menikam orang dan kerana takut, saya menyembunyikan diri sebelum ditangkap dua hari kemudian di Ampang," ujarnya.

Menurutnya, keluarga memang terkejut apabila diberitahu kesalahannya tetapi pada masa sama, dia ingin keluarganya tahu apa yang telah dilakukan bukan atas kerelaannya.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Salwanis tak sabar ke Pakistan


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
berita@kosmo.com.my



SALWANIS menunjukkan gambar anaknya yang dilarikan oleh suaminya.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya harap pemergian ke Pakistan kali ini memberi petunjuk bagaimana mahu mendapatkan semula Bilal".

Itu luahan Salwanis Ma'az, 31, yang sedang menghitung hari untuk berjumpa dengan keluarga suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, untuk berbincang mengenai kehilangan anak dan suaminya.

"Saya asyik teringatkan Bilal sampai tidur malam pun sering mimpikan dia, tak sabar nak ke Lahore lepas raya nanti," ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun dia tidak mengetahui tarikh sebenar pemergiannya ke sana kerana ia diuruskan oleh Badan Pembelaan Sekretariat Pemuda UMNO.

Dia memberitahu, kehilangan Bilal nyata meninggalkan kesan mendalam pada dirinya sehingga dia membuat keputusan untuk tidak pulang beraya ke kampungnya di Pulau Pinang.

"Kalau saya balik raya, saudara mara akan berkumpul dan pasti mereka akan tanya pasal Bilal dan suami saya, ia hanya akan menambahkan kesedihan saya, lebih baik beraya di sini bersama teman-teman," katanya.

Kepayahan Salwanis yang pernah dilaporkan Kosmo! sebelum ini mendapat perhatian Badan Pembelaan Sekretariat Pemuda UMNO yang turut mengumpulkan dana khas untuk membiayai perbelanjaan Salwanis menjejaki anaknya.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Mungkinkah Fadilah dianggap anak derhaka?


KUALA LUMPUR - Meskipun Islam mengharuskan Noor Fadilah Ahmad bernikah dengan pasangannya, Nasrudin Dahrom dari Lombok Timur, Indonesia, namun perbuatannya itu boleh dianggap derhaka sekiranya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.

Tokoh agama, Datuk Haron Din berkata, anak derhaka yang dimaksudkan itu merujuk kepada perbuatan anak gadis 18 tahun itu yang didakwa melarikan diri dari rumah.

Menurutnya, walaupun Noor Fadilah dibolehkan menikahi pasangannya kerana jaraknya dengan wali (bapanya) melebihi dua marhalah (93 kilometer) tetapi dia wajib mematuhi hukum syarak.

Ia termasuk perlunya adanya wali, saksi dan ijab kabul dalam sesuatu perkahwinan.

"Mengikut hukum syarak, wali hakim yang akan menikahkan pasangan itu mesti di kalangan wali yang berdaftar dan dilantik oleh pemerintah dan tiada halangan lain seperti kufu (taraf wanita dan lelaki sama)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! sebelum ini mengenai Noor Fadilah Ahmad yang didakwa dilarikan ke Lombok Timur, Indonesia oleh Nasrudin dan kini merayu kepada bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, untuk berkahwin dengan pemuda itu.

Ahmad pula menegaskan yang beliau tidak akan merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad membawa pulang anaknya itu.

Tambah Haron lagi, antara jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan merestui pernikahan Fadillah.

Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berpendapat, pernikahan tersebut sah sekiranya Fadilah sendiri bersetuju untuk bernikah atas kerelaannya sendiri dan bukan atas dasar paksaan.

"Memang sah sebab dia dah 18 tahun dan wali hakim yang menikahkan itu pula mesti dari kalangan orang tempatan dan dilantik secara sah bukan macam sindiket yang nikah bawah pokok.

"Akan tetapi, Fadilah sewajarnya bersimpati dengan perasaan kedua ibu bapanya dan fikir matlamatnya untuk berkahwin adalah untuk eratkan silaturahim dan luaskan hubungan," katanya.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadut menasihatkan kedua-dua pihak berbincang secara terbuka.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Tok Su sakit Fadilah mahu kahwin

Oleh KUMARA SABAPATTY dan
TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
berita@kosmo.com.my



AHMAD (tengah) serta saudara mara terkejut melihat pengakuan Noor Fadilah yang disiarkan Kosmo! di rumahnya dekat Bagan Serai semalam.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI - "Tok Su terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong yang menyakitkan hati kami sekeluarga.''

Itu cerita ayah gadis berkenaan, Ahmad Abdul Hamid, 46, mengenai keadaan Tok Su atau nenek saudara kepada Kak Yong atau Noor Fadilah, 18, sebaik sahaja mendapat tahu gadis itu tetap mahu berkahwin dengan lelaki warga Lombok, Nasrudin Dahrom.

Tok Su atau nama sebenarnya Jurukasih Abdullah, 66, kini tinggal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan emak saudara kepada Ahmad yang menjaga Noor Fadilah dari kecil sehingga berusia 12 tahun.

Beliau kini dikatakan sering menangis seharian dan enggan makan apabila terkejut melihat kenyataan yang memeritkan hatinya menerusi kenyataan Noor Fadilah dalam Kosmo! semalam.

"Jadi kami tidak membenarkan Tok Su dihubungi kerana masalah kesihatannya yang kian meruncing disebabkan penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi..harap beri ruang kepadanya.

"Orang tua itu sudah sakit hati dan terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong," kata Ahmad kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya semalam.

Bagaimanapun, Ahmad yakin pengakuan anaknya semalam bukanlah satu pengakuan jujur Noor Fadilah dan menganggapnya terpaksa meluahkan demikian demi keselamatan dirinya.

"Bayangkan kalau sesiapa saja yang bersendirian di tempat asing dan tidak mempunyai wang, dokumen perjalanan dan sebagainya..apa yang harus dilakukan? Itulah situasi yang dihadapinya sekarang.

"Sebagai bapanya, saya tahu sifat dan sikap anak saya dan kami sekeluarga langsung tidak yakin dan mempercayai kata-katanya itu," tegasnya.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai pengakuan anak sulungnya yang dikatakan sanggup mati dan meninggalkan keluarga yang disayangi kerana tidak mahu berpisah dengan lelaki yang dicintainya itu.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Geng Mastika hati kering, ganas

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


KERATAN Kosmo! 30 Ogos 2008.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasikan enam penjenayah warga Indonesia dikenali sebagai Geng Mastika yang mati ditembak baru-baru ini merupakan antara kumpulan samun bersenjata berhati kering dan ganas.

Ini berdasarkan keterangan yang diambil daripada setiap mangsa samun kumpulan tersebut yang mengatakan suspek-suspek tidak akan teragak-agak untuk mencederakan mereka jika melawan arahan.

Antara mangsa yang pernah 'dianiaya' ahli Geng Mastika ialah mereka dilaporkan kehilangan jari dan tangan akibat ditetak atau dicederakan dengan menggunakan parang.

Kumpulan tersebut yang terlibat dalam kes pecah rumah akan mengikat kesemua mangsanya dan jika terdesak baru mangsa akan dicederakan.

Suspek-suspek banyak bersenjatakan parang, pisau dan pemutar skru.

Difahamkan, sehingga kini, polis percaya, kumpulan tersebut telah mengaut RM300,000 hasil pecah rumah terhadap berpuluh rumah mangsa di sekitar Kuala Kubu Baru, kawasan Bukit Beruntung dan Seremban.

Sasaran kumpulan tersebut pula membabitkan rumah-rumah mewah termasuk rumah VIP.

Jurucakap polis berkata, setiap kali selepas menyamun, hasilnya yang merupakan barang kemas dan wang akan dikumpul sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong selama beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka akan melakukan samun bersama rakan senegara.

"Selepas menyamun, kumpulan ini akan membuang atau menyembunyikan senjata seperti parang, pisau dan pemutar skru di dalam hutan dan akan mengambilnya semula sekiranya ingin menyamun lagi,'' katanya di sini baru-baru ini.

Pada 26 Ogos lalu, dua daripada sembilan suspek Geng Mastika ditembak mati di Jalan Pinggiran Tasik Kiambang Serendah.

Tiga hari kemudian, empat lagi ahli kumpulan tersebut turut mengalami nasib sama di sebuah tapak pembinaan di Bukit Hatamas, Taman Segar Perdana, Cheras di sini.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Salwanis perlu RM10,000 ke Pakistan


Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my


SALWANIS menunjukkan gambar anaknya yang dilarikan suami beliau ke Pakistan di Kuala Lumpur semalam.
-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Ibu malang, Salwanis Ma'az, 31, kini mengharapkan ehsan orang ramai untuk mengumpul dana bagi membolehkannya meneruskan usaha mencari anak kesayangan, Muhammad Bilal di Pakistan.

Beliau yang ditemui semalam memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 daripada ehsan orang ramai untuk perbelanjaannya ke Pakistan selepas Hari Raya nanti.

Kata Salwanis, beliau telah bertekad untuk ke Pakistan dengan hasrat untuk menemui keluarga suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya memang dah bertekad nak ke sana (Pakistan) sebab andai dapat jumpa keluarga suami, sekurang-kurangnya saya boleh berbincang dengan mereka dan berkongsi masalah yang saya hadapi.

"Di samping itu, saya juga akan cuba menjejaki Bilal. Manalah tahu mungkin dia ada di Pakistan ke. Oleh itu, sumbangan daripada orang ramai amat saya perlukan untuk menanggung segala macam perbelanjaan di sana nanti,"
katanya ketika ditemui semalam.

Kosmo! sebelumnya melaporkan tentang usaha Salwanis untuk mencari Bilal yang baru berusia tiga bulan walaupun menjelang Hari Raya kerana beliau benar-benar merindui anaknya itu yang dilarikan suaminya ke destinasi yang tidak diketahui sejak 26 Julai lalu.

Tambah Salwanis, masalah kewangan yang dihadapinya bukan sekadar mengenai perbelanjaan untuk ke Pakistan sahaja, malah ujar Salwanis, beliau turut dihimpit dengan tunggakan hutang sewa kedai serta perbelanjaan harian.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Angkara dukun ‘karut’ - Suami isteri mati dipukul guna topi keledar untuk pulih

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my



ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa di Flat Seri Sarawak, Jalan Hang Tuah kelmarin.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR – Angkara terlalu yakin dengan amalan karut, sepasang suami isteri maut dipercayai akibat dipukul seorang dukun yang juga anak saudaranya sendiri ketika mendapatkan rawatan secara tradisional di Flat Seri Sarawak, Jalan Hang Tuah, di sini kelmarin.

Mangsa Mohd. Ibrahim Kadar Mydin, 47, dan isterinya, Rosina SM Mydin, 41, mati di tempat kejadian selepas dipukul berkali-kali dengan topi keledar dan batang penyapu.

Mohd. Ibrahim yang menghidap penyakit sukar untuk berhenti merokok dan isterinya, menghidap penyakit hati dikatakan datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan penyakit tersebut.

Semuanya gara-gara mereka mempercayai cakap-cakap dukun dukun ‘karut’ tersebut yang dikatakan mendapat mimpi untuk mengubati penyakit bapa dan ibu saudaranya itu dengan memukul mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah berkata, selepas kedua-dua mangsa datang, upacara rawatan dimulakan pukul 2 petang dan berakhir kira-kira sejam kemudian.

‘’Dalam tempoh itu kedua-dua mangsa dipukul oleh suspek yang berusia 23 tahun dengan topi keledar sehingga menyebabkan kedua-duanya mati,’’ katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Chin Wah, sangkaan suspek yang juga bekas pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kedua-dua mangsa itu pengsan seketika selepas mendapat ‘rawatannya’ bertukar tragedi apabila kedua-dua mangsa sebenarnya sudah mati.

Beliau memberitahu, ketika kejadian, rumah tersebut dihuni adik beradik suspek berusia antara 15 dan 21 tahun termasuk bapanya berusia 50 tahun serta ibunya berusia 44 tahun.

Mangsa pula membawa tiga anaknya berumur antara 14 dengan 21 tahun yang turut melihat proses rawatan tersebut.

Chin Wah berkata, selepas kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri pada pukul 9 malam, ahli keluarga suspek telah menghubungi ambulans untuk menghantar mangsa ke hospital.

Turut cedera dalam upacara ‘rawatan’ itu adalah anak perempuan suspek yang berusia 15 tahun dipercayai turut dipukul.

“Namun selepas ambulans datang, mereka mendapati kedua-dua mangsa tidak bernyawa dan telah menghubungi polis untuk siasatan lanjut,’’ katanya lagi.

Polis yang tiba ke tempat kejadian, mendapati suspek dan ahli keluarganya cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Ahmad nekad bawa balik anak ke Malaysia


BAGAN SERAI - "Walau apa pun yang berlaku, saya tetap akan pergi ke Lombok untuk membawa pulang anak gadis saya".

Itulah pendirian Ahmad Abdul Hamid, (gambar) 46, terhadap anak gadisnya, Noor Fadilah Ahmad, 18, yang kini berada di Desa Kesik, Lombok kerana mengikut teman lelakinya sejak awal bulan lalu.

Katanya, dia kini hanya menunggu pengesahan untuk bertolak ke sana antara 6 Oktober dan 10 Oktober ini.

"Kami menyambut Aidilfitri dalam keadaan tertekan memikirkan tindakan Noor Fadilah yang disifatkan sebagai di luar dugaan oleh seluruh kaum keluarga," katanya ketika dihubungi di rumahnya semalam.

Menurut beliau, keluarganya menerima panggilan telefon daripada Noor Fadilah pada pukul 4.30 petang kelmarin tetapi dia enggan melayan panggilan tersebut selepas melihat kenyataan anaknya yang disiarkan Kosmo! baru-baru ini.

"Kami memang mengenali Nasrudin sejak empat tahun lalu ketika dia tinggal di rumah yang terletak berhadapan rumah kami.

"Kerana mengenali sifatnya luar dan dalam secara menyeluruh, kami sekeluarga tidak akan merestui hubungan mereka berdua dalam apa jua keadaan sekali pun walau pun dia melamar dengan cara baik," katanya.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Fadilah tak mahu berpisah


NOOR FADILAH menghidang makanan kepada tetamu di rumah bakal ibu mentuanya di Lombok Timur semalam.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - "Tolonglah abah, benarkan kami berkahwin, saya benar-benar sayangkan Nasrudin, saya lebih sanggup mati dari pulang ke Malaysia."

Demikian rayu Noor Fadilah Ahmad, 18, ketika wartawan Kosmo! mengunjungi rumah keluarga Nasrudin Dahrom untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Desa Kesik, Lombok Timur kelmarin.

Menurut Fadilah, dia sedar apa yang dilakukannya itu sudah pasti akan melukakan hati ibu bapanya namun dia yakin sudah membuat keputusan untuk menentukan masa depannya.

"Saya sudah dewasa dan saya mula mengenali Nasrudin sejak berumur 15 tahun.


NOOR FADILAH mencium pipi ibu Nasrudin, Meme Romini selepas menunaikan solat Aidilfitri di Lombok Timur, Indonesia kelmarin. Turut memerhati kekasihnya, Nasrudin.

-------------------------------------------------------------------

"Sejak itu saya sudah mengenali hati budinya dan sekarang saya sudah berusia 18 tahun, benarkan saya buat keputusan untuk diri saya sendiri," jelasnya yang sehingga kini masih belum berkahwin kerana tidak mendapat izin wali.

Pasangan kekasih ini masih belum bernikah yang sepatutnya dijadualkan sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu kerana permohonan mereka untuk bernikah masih belum diluluskan.

Mereka dijangka diijabkabulkan dalam tempoh seminggu selepas hari lebaran ini.

Pada 1 Oktober lalu, bapa Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, menegaskan bahawa dia tidak merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad mahu membawa pulang anaknya itu.

Ketika ditanya mengenai reaksi bapanya yang tidak bersetuju dengan hasratnya untuk berkahwin dengan Nasrudin dan tekad untuk membawa anaknya pulang, Fadilah memberitahu, dia akan tetap tinggal di sini walaupun dipaksa untuk pulang.

"Saya tetap ingin tinggal di sini, jangan paksa saya dan kalau ada rezeki saya akan pulang juga ke sana tetapi sebagai isteri Nasrudin yang sah dan mencari rezeki yang halal untuk kami," ujarnya dengan nada sedih.

Sementara itu, Nasrudin ketika ditemui menjelaskan, dia berharap dapat berunding dengan bapa Fadilah terlebih dahulu dan sekiranya gagal, dia akan mempertahankan Fadilah walau dengan cara apa pun.

"Saya mahu bapa Fadilah lihat keadaan kami di sini dan benarkan kami berkahwin dan jika diizinkan, kami akan berkahwin dengan segera tetapi jika sebaliknya, saya akan pertahankan Fadilah walau dengan apa cara sekalipun, saya sudah membawa dia lari jadi saya harus bertanggungjawab sepenuhnya," jelas beliau.

Malah Nasrudin turut merayu kepada keluarga Fadilah agar membenarkan mereka berkahwin dan bertekad untuk memberikan kehidupan yang baik kepada Fadilah.

"Saya merayu supaya keluarga Fadilah faham dengan niat ikhlas saya untuk memperisterikan Fadilah, tolong jangan pisahkan kami," ujarnya ringkas.

Wartawan Kosmo! turut difahamkan, Nasrudin memiliki tanah untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam tembakau dan padi, dia juga turut memiliki empat ekor lembu.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Vitamin C halang kesan ubat kanser


WASHINGTON – Pengambilan vitamin C mungkin mengurangkan keberkesanan beberapa ubat melawan barah, menurut satu kajian terbaru yang disiarkan kelmarin.

Beberapa ujian berasingan terhadap sel barah di makmal, para saintis mendapati hanya 30 hingga 70 peratus sel tersebut mati sekiranya vitamin C digunakan terlebih dahulu sebelum ubat melawan barah.

Kajian yang dijalankan pada tikus juga mendapati sel barah tumbuh dengan lebih cepat sekiranya haiwan itu dirawat dengan ubat melawan barah dan juga diberi vitamin C. – AFP

http://www.kosmo.com.my/03102008

Not £1 juta gagal raih nilai muka


WANG kertas £1 juta yang dikenali sebagai Nombor Lapan berjaya dilelong dengan harga RM474,750 di London kelmarin.

-------------------------------------------------------------------

LONDON - Sebuah rumah lelongan di London, Britain menjual satu not kertas £1 juta (RM6.06 juta) dengan harga yang lebih rendah daripada nilai muka wang kertas berkenaan.

Rumah lelongan Spink memberitahu bahawa wang kertas Bank of England itu merupakan satu daripada sembilan keping yang dikeluarkan bersempena dengan Pelan Marshall selepas Perang Dunia Kedua.

Pelan yang hanya dijalankan selama enam minggu itu bertujuan untuk menjejak aliran dana-dana dalam negeri berikutan peperangan tersebut.

Menurutnya, not kertas yang berukuran 20 sentimeter lebar itu mempunyai nombor siri 000008 dan hanya dua keping wang kertas seperti itu masih wujud.

Wang kertas istimewa tersebut telah berjaya dilelong kelmarin dengan harga hanya £78,300 (RM474,750).

Spink memberitahu bahawa satu lagi not kertas seperti itu yang mempunyai nombor siri 000007 berjaya dilelong pada 1977. - AP

http://www.kosmo.com.my/03102008

Taiwan haramkan produk Nestle


SEORANG pekerja sebuah pasar raya mengalihkan semua produk yang dipercayai mengandungi melamin di Taipei semalam.

TAIPEI - Sebanyak enam produk susu syarikat Nestle diharamkan untuk jualan selepas ujian mendapati ia mengandungi melamin, kata Menteri Kesihatan Taiwan, Yeh Ching-chuan semalam.

"Ujian mendapati produk tersebut positif melamin dalam jumlah yang sangat rendah," katanya.

Menurutnya, produk tersebut yang dihasilkan di daerah Heilongjiang, China telah ditarik balik daripada jualan di Taiwan.

Produk tersebut yang dihasilkan oleh Shuangcheng Nestle Co. dijual di bawah label Nestle dan Klim, termasuk susu formula bayi serta produk susu untuk orang dewasa.

Bagaimanapun, jabatan kesihatan memberi jaminan bahawa paras melamin yang rendah dalam produk itu tidak mencetuskan risiko kesihatan.

Bagaimanapun, syarikat Nestle Taiwan semalam menegaskan bahawa melamin tidak ditambah pada produknya dan menuduh bahan kimia yang dikesan oleh kerajaan itu sebenarnya wujud dalam persekitaran semula jadi.

Syarikat itu dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa jumlah melamin yang dijumpai pada produknya sangat rendah dan bahan kimia itu hampir pasti wujud dalam semua produk makanan di dunia.

"Nestle tidak faham mengapa pihak berkuasa Taiwan mengharamkan produk ini walaupun ia diiktiraf selamat oleh standard antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu di Seoul, pihak berkuasa Korea Selatan mengharamkan import produk susu dari New Zealand yang digunakan dalam susu formula selepas satu ujian mendapati kehadiran melamin.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan menyatakan kejadian tersebut merupakan kes pertama membabitkan susu tercemar selain dari China. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/03102008

Berdiam demi keselamatan krew kapal

Oleh ATIKAH DALI
berita@kosmo.com.my



MOHD. HASSAN

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Selepas mengambil sikap berdiam diri, Malaysian International Shipping Corporation (MISC) tampil memberi penjelasan berhubung dua kapal tangki miliknya yang telah dibebaskan lanun.

Menurut Pengerusi MISC, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, tindakan berdiam itu adalah yang terbaik bagi memberi keutamaan kepada nyawa anak-anak kapal yang menjadi tebusan lanun.

Beliau berkata, kesemua anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 kini melepasi separuh perjalanan menuju ke Djibouti, Timur Afrika.

Jelasnya, kedua-dua kapal tersebut akan melakukan pertukaran anak kapal di Djibouti sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada 4 Oktober.

"Bukan untuk sembunyi (maklumat), tetapi keadaan krew kapal yang ditawan serta keluarga mereka di sini menjadi keutamaan kami.

"Ini adalah kejadian sebenar yang berlaku selain tekanan ketika membuat rundingan dengan lanun-lanun terbabit,'' katanya yang memberitahu dua buah kapal dirampas lanun itu merupakan kejadian pertama dalam sejarah MISC.

Hassan memberitahu, buat masa ini, perjalanan kedua-dua buah kapal terbabit belum melepasi kawasan lanun tersebut dan mereka diiringi serta dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembebasan kedua-dua kapal tangki itu dilakukan hasil rundingan pihak MISC, Majlis Keselamatan Negara dan TLDM selepas sejumlah wang tebusan dibayar kepada lanun tersebut.

MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada pukul 4.14 pagi kelmarin, manakala MT Bunga Melati 5 pula dibebaskan Sabtu lalu.

Mohd. Hassan bagaimanapun enggan mengulas berapa jumlah wang yang dibayar kepada lanun berkenaan dengan alasan menjaga keselamatan anak-anak kapal lain.

"Wang tebusan itu telah diserahkan kepada lanun tersebut melalui tentera kita yang berada di sana,'' katanya.

Kesemua anak kapal selamat, kecuali seorang kelasi warga Filipina yang mati akibat terkena peluru yang tersasar ketika kapal itu dirampas lanun pada 19 Ogos lalu.

Menjelas lanjut, kata Hassan, pihak MISC akan mengendalikan urusan kepulangan anak-anak kapal tersebut secepat mungkin dan ia akan memakan masa beberapa hari lagi sebelum mereka tiba di Malaysia.

"Kita berharap agar semua krew kapal akan pulang dengan selamat dan kita akan maklumkan pada keluarga masing-masing secepat mungkin.

"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga krew kapal yang banyak bersabar dan menghadapi kejadian ini dengan tenang,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/01102008

‘Saya tak restu’

Oleh AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my



AHMAD tetap tidak akan merestui perkahwinan Noor Fadilah (gambar kecil) dengan pemuda Lombok.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI – “Remuk hati dan menggigil badan saya apabila mengetahui anak saya (Noor Fadilah Ahmad) akan berkahwin juga dengan pemuda dari Lombok (Nasrudin Dahrom) itu dalam masa terdekat.

“Tak terfikirkah dia betapa derita kami sekeluarga di sini semenjak kehilangannya. Sampai mati pun saya suami isteri tidak akan merestui perkahwinan itu sekiranya ia benar-benar terjadi.

Demikian luahan Ahmad Abdul Hamid, 46, apabila mengetahui anak sulungnya, Noor Fadilah, 18, atau digelar keluarga sebagai Kak Yong membuat pengakuan rela mengikut Nasrudin, 24, lari ke Desa Kesik, Lombok Timur seterusnya mahu mengahwini lelaki itu.

Beliau yang kelihatan kusut dan agak berserabut ketika ditemui berkata, sukar untuk menerima hakikat perbuatan Noor Fadilah dan Nasrudin yang disifatkan telah menconteng arang ke muka keluarganya.

“Jika benar Nasrudin mahu anak saya, kenapa dia tak minta (melamar) dengan cara baik kepada saya, sedangkan tempat tinggalnya cuma berhadapan dengan rumah saya.

“Bagaimanapun saya mahu bertemu sendiri dengan Kak Yong dan Nasrudin untuk mendengar penjelasan daripada mulut mereka sendiri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Ladang Sungai Gedong dekat sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan pengakuan Noor Fadilah yang rela hati mengikut Nasrudin ke kampung halaman kekasihnya kerana mencintai lelaki itu dan tekad mahu mengahwininya.

Sebelum itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berhasrat membantu membawa pulang gadis tersebut ke pangkuan keluarganya setelah bersimpati dengan keluhan Ahmad yang mendapat berita anak gadisnya menderita setelah dilarikan ke Kepulauan Lombok oleh Nasrudin.

Ahmad yang telah menyediakan segala persiapan untuk ke Lombok Timur termasuk mendapatkan pasport antarabangsa kelmarin memberitahu, beliau masih mahu membawa Kak Yong pulang semula ke rumahnya.

Sehubungan itu, beliau merayu Pengerusi Sekretariat Pengaduan dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim agar membantunya mempercepatkan misi untuk ke Lombok Timur yang tertangguh sebelum ini.

Difahamkan pemergian ke kampung halaman Nasrudin yang dirancang esok terpaksa ditangguhkan kira-kira seminggu lagi bagi membolehkan Abdul Azeez bertemu dengan Ketua Polis Indonesia pada 6 Oktober ini bagi merancang strategi membawa pulang Noor Fadilah.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Hasrat Ahmad tidak dapat dipenuhi

KUALA LUMPUR - Hasrat keluarga Ahmad Abdul Hamid, 46, untuk mempercepatkan usaha membawa pulang anaknya dari Lombok, tidak mampu dipenuhi Sekretariat Pembelaan Masyarakat dan Pemuda UMNO yang telah terikat dengan rundingan bersama pihak berkuasa Indonesia.



-------------------------------------------------------------------

Pengerusi sekretariat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (gambar) ketika dihubungi berkata, pihaknya memang bersimpati terhadap keluarga Ahmad lebih-lebih lagi setelah mendapat berita Noor Fadilah, 18, mahu mengahwini jejaka Lombok itu.

"Untuk mempercepatkan perjalanan itu kemungkinan tidak boleh kerana rundingan dengan pihak berkua- sa di Indonesia sudah menetap- kan tarikh antara 6 dan 10 Okto- ber ini.

"Semua yang diputuskan itu adalah atas faktor keselamatan dan pihak sekretariat harus menghormati keputusan yang telah digariskan dan kita akur dengan arahan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rayuan Ahmad yang mahu mempercepatkan usaha membawa pulang anaknya dari Lombok setelah Kosmo! semalam melaporkan bahawa Fadilah sebenarnya mencintai Nasrudin dan akan mengahwininya.

Menurut Abdul Azeez, pihaknya tidak boleh ke Lombok jika tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Indonesia dan misi itu juga dirujuk dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia serta Ketua Polis Indonesia.

Tambahnya, misi itu akan lebih selamat jika ia diiringi dan dipantau oleh wakil-wakil di sana selain beberapa ahli rombo- ngan dari Malaysia.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Nikah ditangguh


NOOR FADILAH menyiapkan juadah hari raya untuk bakal suaminya, Nasrudin menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lombok semalam.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Usaha untuk mengahwinkan Noor Fadilah Ahmad, 18, dengan Nasrudin Dahrom, 24, tidak dapat dilakukan semalam ekoran masalah permohonan untuk berkahwin masih belum diluluskan.

Bagaimanapun, pasangan tersebut menjangka dapat meneruskan hasrat mereka dalam tempoh seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri yang turut disambut oleh umat Islam di sini hari ini.

Menurut Nasrudin, dia tidak bercadang untuk melakukan majlis kenduri kahwin seperti yang lazim dilakukan sama ada di Malaysia atau di sini.

"Tiada majlis perkahwinan, biasa sahaja, cincin kahwin sudah tempah dan akan diambil selepas hari raya nanti. Majlis pernikahan pula saya cadang dalam tempoh seminggu selepas hari raya.

"Persediaan hari raya pula sama seperti tahun-tahun yang lain, tidak ada bezanya walaupun tahun ini agak istimewa kerana keluarga saya bakal menerima menantu baru," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kesediaan Noor Fadilah untuk berkahwin dengan pemuda dari Desa Kesik, Lombok Timur.

Malah, dia yang sebelum ini didakwa dilarikan oleh pemuda tersebut tidak sedikitpun menunjukkan rasa kecewa atau tertekan seperti yang dilaporkan.

Dia yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai, Perak nekad mengikut Nasrudin pada 3 September lalu ketika bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor.

Ekoran itu, Kosmo! 24 September lalu melaporkan keluhan ayahnya, Ahmad Abdul Hamid, 46, setelah mendapat tahu anaknya sudah dilarikan oleh pemuda tersebut.

Sementara itu, Noor Fadilah ketika ditemui memberitahu, dia turut membantu keluarga Nasrudin membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya ini dengan menyediakan juadah mengikut adat budaya di sini.

"Tetapi ibu Nasrudin yang banyak buatkan makanan seperti ketupat dan kuih yang dipanggil jajan pulut dan tapai, saya tengok sahaja dan belajar macam mana kuih tu dibuat.

"Masih banyak yang saya perlu tahu mengenai adat di sini, insya-Allah saya akan jadi seorang isteri yang baik," katanya.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Produk teh susu Lipton ditarik balik



HONG KONG - Pengeluar produk makanan Belanda, Unilever semalam mula menarik balik beberapa serbuk teh susu jenama Lipton di Hong Kong dan Macau.

Tindakan itu dilakukan selepas pihak pengurusan syarikat tersebut mendapati sejenis bahan kimia terdapat dalam serbuk berkenaan.

Menurut satu kenyataan Unilever Hong Kong Ltd, arahan menarik balik empat produk serbuk teh susu Lipton tiga dalam satu itu dikeluarkan selepas syarikat berkenaan menemui bahan kimia melamin dalam beberapa produk tersebut.

Pengarah Pemasaran Unilever Hong Kong, Sharon Hwang berkata, produk yang mengandungi bahan tercemar itu menggunakan tepung susu keluaran China sebagai bahan mentah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jenama dari China yang digunakan oleh syarikat itu.

"Bagi mematuhi arahan penguat kuasa tempatan dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami menarik balik semua produk daripada pasaran Hong Kong dan Macau," katanya.

Minggu lalu, Unilever turut mengeluarkan produk teh susu hijau Lipton dari pasaran Taiwan kerana produk tersebut menggunakan susu keluaran China. - AP

http://www.kosmo.com.my/01102008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...