Wednesday, November 3, 2010

'Wajib Rugi’ tipu ramai graduan

KUALA LUMPUR: Teruja dengan tawaran jawatan tinggi sebagai eksekutif pentadbiran menyebabkan puluhan graduan tempatan menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan ‘wajib rugi’ yang didakwa menjalankan perdagangan mata wang asing (forex) di luar negara.

Kebanyakan mangsa yang baru tamat pengajian dan terdesak mahu mendapatkan pekerjaan didakwa tanpa berfikir panjang terus menerima tawaran pekerjaan itu yang kononnya menawarkan gaji sehingga lima angka setiap bulan.


Bagi mencapai hasrat itu, semua mangsa dikehendaki keluar mencari pelanggan yang berminat melabur wang ke dalam syarikat berkenaan.

Pihak syarikat berjanji memberi komisen sehingga AS$60 atau RM186.80 kepada pekerja yang membawa seorang pelanggan melabur dalam syarikat itu.


Tertarik dengan tawaran gaji lumayan itu, menyebabkan ramai graduan lepasan ijazah bersetuju bekerja di syarikat itu yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng di sini.


Sumber polis berkata, bagi memastikan sasaran memperoleh komisen tinggi tercapai, ada graduan sanggup memujuk ahli keluarga dan rakan termasuk ibu bapa menjadi pelanggan mereka.

Beliau berkata, mangsa bersetuju melabur antara RM100,000 hingga RM200,000 selepas diyakinkan syarikat berkenaan mereka akan memperoleh keuntungan lumayan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WajibRugi__8217_tipuramaigraduan/Article/index_html

SAR terima RM2j


KUALA LANGAT – Kerajaan Negeri menyerahkan peruntukkan berjumlah RM2 juta kepada 51 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk memastikan pelajar menikmati suasana pembelajaran lebih selesa.

Menurutnya, Kerajaan Selangor akan memastikan setiap rakyat negeri ini diberi peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebagai sebuah negeri yang mengutamakan berkebajikan rakyat, Kerajaan Selangor akan mengagihkan hasil negeri kepada rakyat dengan seadilnya.

“Kita juga akan terus melabur dalam sektor pendidikan yang akan membawa pulangan besar pada masa hadapan,” katanya pada majlis penyerahan cek kepada wakil SAR di Madrasah Darul Mujahidin, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia, Dr Halimah Ali.

Abdul Khalid berkata, bantuan tersebut adalah fasa kedua yang berikan Kerajaan Pakatan Rakyat kepada SAR yang layak.

Katanya, bantuan terswebut membolehkan pentadbiran sekolah membaiki infrastruktur dan menyediakan suasaran pembelajaran yang selesa.

“Setiap SAR menerima jumlah peruntukan berbeza mengikut keperluan.

“Bagi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan hampir RM2.7 juta kepada 136 SAR yang memohon,” katanya.

Majlis penyerahan peruntukan Fasa Pertama telah diadakan di Maahad Tarbiah Islamiah An-Ansar, Bestari Jaya pada 10 Ogos lalu.

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8363509.asp

Penjenamaan BuraqOil lonjak jualan petrol luar bandar

2010/11/03

KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula stesen minyak luar bandar oleh BuraqOil berjaya melonjakkan jualan petrol dan diesel serta meningkatkan pendapatan pengusaha kecil sehingga lebih 100 peratus.

Pengerusi Konsortium Ikatan Pengedar Terus Bumiputera (IPTB) Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Sabaruddin Chik, berkata peningkatan itu diperoleh hasil keyakinan dan kepercayaan pengguna selepas stesen minyak lama dinaikkan taraf daripada segi reka bentuk, penampilan dan kemudahan lebih canggih.

“Imej baru stesen minyak memberikan pulangan tinggi kepada pengusaha dengan keupayaan menjual 10 juta liter sebulan kerana berjaya menarik lebih ramai pelanggan yang pada mulanya agak bimbang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan sebelum ini.
“Perubahan ini meyakinkan pengguna dari segi keselamatan mereka kerana kemudahan yang disediakan lebih teratur. Buraqoil amat mengutamakan keselamatan orang ramai ketika di stesen minyak,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan BuraqOil di sini semalam. Turut hadir, Pengarah IPTB, Mohd Khilmi Yusop dan Pengurus Besar BuraqOil, Mohd Nordin Idris.

Sabaruddin berkata, selain menerima sijil ISO 9001 pada 2009 yang menggambarkan sistem pengurusan dan keselamatan yang berkualiti, 32 lori tangki BuraqOil yang membawa petrol dan diesel dilengkapi sistem GPS bagi memastikan tiada penyelewengan subsidi petrol dan diesel berlaku.

“Sehingga kini, terdapat 198 stesen minyak yang menggunakan jenama BuraqOil di sembilan negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak. Sejumlah 32 stesen sedang dalam proses disiapkan.

“Pada 6 November ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan satu stesen BuraqOil di Kampung Temoyong, Langkawi,” katanya.

Selain menjual petrol dan diesel yang sama kualitinya dengan yang ditawarkan stesen minyak lain, pengguna boleh menikmati kemudahan seperti kedai mini atau BuraqMart yang menawarkan minuman dan snek untuk pengunjung.

Peguam Syarie Menulis: Akhlak dalam Islam pendidikan seks paling sempurna

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
2010/11/03

Adab pergaulan, batas aurat antara perkara asas boleh hindari seks bebas di kalangan remaja

KISAH rakaman seks yang tersebar meluas di internet adalah fenomena membimbangkan kerana zina dilakukan sewenang-wenangnya. Alasan rakaman untuk simpanan peribadi bukan alasan yang boleh diterima kerana perbuatan itu sendiri menyalahi syariat agama.

Bagaimana jika rakaman terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab seperti kerap dilaporkan sekarang ini. Malah, lebih menakutkan apabila rakaman seks mula disebarkan melalui telefon bimbit dan menjadi tatapan umum.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” – (Surah al-Isra’, ayat 32)

Melihat kepada situasi ini, sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah dan universiti yang suatu masa dulu dibincangkan secara hangat dipertimbangkan semula supaya dapat dilaksanakan menurut acuan pendidikan Islam.

Menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang luas, syumul serta mempunyai kedudukan yang tinggi.

Pendidikan seks di negara Barat menitikberatkan perilaku seks sihat, tetapi tidak mendidik anak supaya menghindari seks bebas sehingga tidak dapat mengurangi timbulnya penyakit kelamin dan kehamilan luar nikah.
Pendidikan seks menurut Islam adalah pengajaran dan penerapan mengenai masalah seksual dalam usaha menjaga anak daripada kebiasaan yang tidak Islamik serta menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang (zina).

Pendidikan seks sebenarnya bermula ketika anak mulai bertanya mengenai seks. Sejak kecil, anak perlu dididik dengan contoh teladan, kebiasaan akhlak yang baik, penghargaan terhadap anggota tubuh, menanamkan rasa malu apabila aurat terlihat orang lain ataupun malu melihat aurat orang lain.

Sejak seusia 10 tahun, anak lelaki dan perempuan perlu dipisahkan tempat tidur. Mereka juga perlu diajar mengetuk pintu dan meminta izin ibu bapa ketika hendak masuk ke bilik tidur ibu bapa terutama dalam tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, selepas Zuhur dan setelah waktu Isyak.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nur, ayat 58-59)

Pada usia menjejak umur mumayyiz (7 hingga 10 tahun), anak perlu diajar mengenali organ biologi mereka serta perbezaan antara lelaki dan perempuan, membantu mereka memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di depan khalayak.

Anak juga harus tahu bahawa ada bahagian daripada tubuhnya yang tidak boleh dilihat orang lain apalagi menyentuhnya. Selain itu mereka juga perlu dijelaskan mengenai tumbesaran tubuh serta fungsi anggota tubuh dalam bahasa mudah difahami. Contohnya, usia baligh apabila perempuan kedatangan haid dan anak lelaki mengalami mimpi basah.

Pada usia mencecah baligh (10 hingga 16 tahun), anak harus diberi penjelasan mengenai fungsi biologi secara ilmiah, batas aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dengan perempuan dan menjaga kesopanan serta harga diri.

Pada peringkat ini, anak perlu dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual, seperti buku porno, bahan lucah, rancangan televisyen atau internet yang berunsurkan seks.

Ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak perlu sentiasa menjaga dan memerhati perlakuan anak mereka di rumah mahupun luar, selain sentiasa mengingatkan mereka larangan mendekati zina.

Kurikulum pendidikan seks yang ingin diajar perlu tertakluk kepada nilai akhlak dan etika ditetapkan Islam melalui perbincangan munakahat yang merangkumi peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan hubungan lelaki dan wanita.

Dalam konteks masyarakat kita, mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah jika pendidikan munakahat diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru berkait masalah berlaku hari ini untuk disesuaikan dengan kepelbagaian kaum.

Walaupun Islam dijadikan sebagai garis panduan, namun sayugia dinyatakan bahawa dalam agama lain juga tidak membenarkan atau menghalalkan perlakuan zina sebelum berkahwin.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com

Pelajar UiTM Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan

2010/11/03

KANGAR: Lebih 8,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan, jika banjir yang melanda seluruh negeri sejak malam Ahad lalu terus berlarutan.

Keadaan itu memaksa pihak universiti mencatu bekalan makanan sedia ada untuk memastikan stok sedia ada mampu menampung keperluan semua pelajar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Pengarah UiTM Perlis, Prof Dr Khudzir Ismail, berkata ketika ini pihak universiti menggunakan sistem kupon untuk mengawal bekalan sedia ada bukan saja kepada lebih 6,000 pelajar yang kini menginap di kampus, malah turut membabitkan pelajar luar kampus.
"Sehingga kini, lebih 1,000 pelajar luar kampus sudah dibawa masuk untuk diberi perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga selepas banjir mula melimpahi sekitar negeri termasuk di Arau.

"Cuma, kita sekarang bimbang bekalan makanan akan terputus memandangkan banyak kedai di sekitar pekan Arau dan bandar Kangar tutup, apatah lagi bekalan sedia ada hanya mencukupi untuk tempoh dua hari saja," katanya.

Sementara itu, lebih 7,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan cuti sehingga bencana banjir reda, manakala 34 pelajar antarabangsanya pula dipindahkan dari penempatan di taman Aman ke Wang Ulu di Kuala Perlis.

Selain itu, ratusan lagi penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Perlis juga dilapor turut terputus bekalan selepas laluan utama sekitar kawasan terbabit mula dinaiki air sehingga paras dada.
Usaha menghantar bekalan masuk ke kawasan terbabit oleh waris juga sukar kerana paras air yang tinggi dan arus deras. Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada di kalangan penuntut yang mengambil risiko keluar mengahrungi banjir untuk membeli bekalan makanan.

Difahamkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sejumlah 8,042 mangsa banjir membabitkan 2,050 keluarga di seluruh Perlis dipindahkan ke 42 pusat pemindahan yang dibuka, melebihi rekod dicatatkan pada banjir besar 2005 yang melanda Perlis lalu, membabitkan kira-kira 8,000 mangsa.

Berdasarkan tinjauan, paras air di sekitar negeri semakin meningkat dengan lebih banyak lokasi terutama di sekitar Kangar, mula dinaiki banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis, Nishad Mohamed Mohd Shaffy, ketika dihubungi, berkata paras air di sekitar Empangan Timah Tasoh kini semakin menurun ke paras 30 meter berbanding 30.49 meter kelmarin. Bagaimanapun, ia masih diklasifikasikan sebagai melepasi paras bahaya.

"Buat masa sekarang, satu daripada enam pintu di Empangan Timah Tasoh yang dibuka untuk melepaskan air keluar, sudah ditutup dan jika cuaca stabil, kemungkinan besar keadaan akan kembali pulih dalam tempoh dua hari," katanya.

2 individu saman syarikat kosmetik Sosilawati

2010/11/03



KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan memfailkan saman
terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya atas dakwaan melanggar perjanjian jual beli sebidang tanah yang mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di
sini pada 5 Ogos lepas itu, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan
Nouvelle Beauty sebagai defendan.

Media memperoleh writ saman itu melalui carian fail di mahkamah hari ini.
Saman itu difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47, ditemui mati bersama
pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru
Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lalu.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof.
Peguam S.H.Tang yang mewakili dua ahli perniagaan itu hadir ketika kes itu
disebut. Bagaimanapun tiada peguam yang hadir bagi mewakili Nouvelle Beauty.

Mahkamah menetapkan 1 Disember ini bagi mendengar permohonan Low dan Lim untuk
memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty kerana Nouvelle Beauty
gagal memfailkan balasan selepas 14 hari saman dikemukakan kepada mereka.
Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof.

Dalam writ samannya, Low dan Lim mendakwa mengikut surat tawaran yang
dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak atau wakil Nouvelle Beauty, pada 2
April lepas, defendan telah bersetuju untuk menjual sebidang tanah seluas 144.9
meter persegi bersama dengan kedai pejabat empat tingkat yang dibina di tanah
itu, milik Nouvelle Beauty, kepada mereka pada harga RM3 juta.

Low dan Lim berkata mereka telah membayar wang kesungguhan sebanyak RM60,000
semasa surat tawaran jual beli hartanah itu ditandatangani dan baki deposit
sebanyak RM240,000 akan dibayar semasa Perjanjian Jual Beli ditandatangani.
Baki sebanyak RM2,700,000 pula akan dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh
Perjanjian Jual Beli ditandatangani, kata mereka.

Mereka mendakwa terma dan syarat-syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli
telah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April,
2010.

Mereka berkata selepas sebulan surat tawaran jual beli hartanah itu
ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguamcaranya bertarikh 30 April,
2010, memaklumkan mereka tidak berniat untuk meneruskan transaksi jual beli
hartanah itu kerana mereka dikehendaki menunggu selama enam hingga 12 bulan
untuk mendapatkan kebenaran pindah milik kepada bukan bumiputera serta bagi
menyempurnakan seluruh transaksi jual beli untuk memperoleh harga belian
sebanyak RM3 juta berkenaan.

Low dan Lim mendakwa mereka, melalui satu surat bertarikh 3 Mei, menegaskan
Nouvelle Beauty terikat kepada terma-terma di dalam Perjanjian Jual Beli
hartanah memandangkan kedua-dua pihak bersetuju terhadap terma-terma penjanjian
tersebut.

Mereka mendakwa Nouvelle Beauty pada 25 Mei, 2010, telah memulangkan surat
Perjanjian Jual Beli, suratcara pindahmilik, borang permohonan untuk kebenaran
pindah milik beserta cek plaintif berjumlah RM240,000 kepada mereka.

Mereka berkata Nouvelle Beauty bagaimanapun gagal membayar wang sebanyak
RM60,000 yang dibayar mereka sebagai wang kesungguhan.

Mereka memohon satu perisytiharan bahawa terdapat satu perjanjian yang sah
di antara plaintif dan defendan di mana plaintif telah bersetuju untuk membeli
dan defendan bersetuju untuk menjual tanah itu berasaskan kepada terma-terma dan
syarat-syarat Perjanjian Jual Beli.

Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan
pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi
menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah tersebut kepada orang
lain selain daripada plaintif.

Mereka juga menuntut gantirugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian,
faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

Perbicaaran Ariel Akan Dikawal Ketat

Rabu November 3, 2010

JAKARTA:Tarikh perbicaraan berhubung kes video lucah vokalis Peterpan masih belum diperolehi biarpun sudah 13 hari penyanyi itu dipindahkan ke penjara Kebon Baru, Bandung.

Pihak kehakiman Indonesia masih lagi dalam proses menyiapkan surat dakwaan. Ia dilakukan secara teliti berikutan kes ini bakal mendapat liputan luas media Indonesia dan luar negara.

Ia juga akan melibatkan Persatuan Front Pembela Islam (FPI) yang bertindak mengawal kes ini sepanjang perbicaraan.

Ketua Kehakiman Negeri Bandung, Amir Yamto memberitahu sudah mendapatkan kerjasama daripada pihak polis negara itu agar membuat kawalan dengan ketat sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Kami sudah meminta kerjasama polis untuk menjaga keamanan dengan ketat dan memudahkan media untuk membuat liputan.

“Namun yang pasti kami sedang dalam proses menyempurnakan surat dakwaan terlebih dahulu,” ujarnya seperti dipetik dari portal berita KapanLagi.com, Isnin.

Tambahnya lagi, perbicaraan itu juga akan berlangsung secara tertutup.

“Ia akan berjalan secara tertutup, bagi pengunjung yang datang untuk mendengar atau mengikuti perkembangan kes ini, mereka hanya boleh menunggu di luar,”katanya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_hiburan/20101102140635&sec=mstar_hiburan

Seludup Rokok: Malaysia Tertinggi Di Dunia

Isnin November 1, 2010

Richard James

KADAR penyeludupan rokok haram di negara ini cukup membimbangkan berikutan satu kajian yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc. mendapati Malaysia kini berada pada tangga teratas di dunia berkaitan masalah itu.

Berada pada tahap 37 peratus pada tahun 2009, angka itu turut dijangka meningkat berikutan kenaikan harga rokok yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Philip Moris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James berkata, kenaikan itu akan menyebabkan pasaran rokok haram di negara ini semakin berleluasa.

Katanya, perkara itu dijangka berlaku kerana trend perokok di Malaysia tidak menunjukkan perubahan ketara antara tahun 2006 hingga 2009.

“Perokok sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun tidak mampu dan tempiasnya terkena kepada industri rokok kerana penyeludupan rokok haram tidak terkawal tambahan pula harga rokok telah meningkat,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Richard berkata, melalui satu kajian yang dilakukan menunjukkan dengan jelas bahawa walaupun kerajaan telah menaikkan harga rokok sebagai salah satu cara untuk rakyat negara ini berhenti merokok bagaimanapun penurunan peratusan untuk berhenti daripada tabiat itu amat kurang.

Jelasnya melalui statistik selama empat tahun daripada tahun 2005 sehingga 2009 penurunan perokok di negara ini hanya berlaku sekitar 2.9 peratus sahaja.

Katanya lagi, pada tahun 2008, sebanyak 24.4 peratus perokok dicatatkan di negara ini sebelum menurun sedikit kepada 24.1 peratus pada tahun 2009 selepas kerajaan menaikkan harga rokok.

“Melalui statistik ini jelas menunjukkan bahawa kenaikkan harga rokok tidak memberi kesan kepada perokok kerana mereka lebih terarah mencari rokok seludup yang banyak berleluasa di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Richard memberitahu rokok yang di seludup daripada negara jiran terutamanya daripada Indonesia tidak mempunyai piawaian terutamanya kawalan terhadap penggunaan nikotin dan tar di dalam rokok.

Katanya, tidak seperti kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah bahan tersebut diletak mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Rokok itu sendiri sememangnya membahayakan kesihatan dan pengambilan rokok seludup yang tidak mempunyai piawaian mengenai bahan kandungannya lebih membahayakan,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian, Richard berkata, kerajaan perlu membuat lebih banyak serbuan secara terus terhadap kedai-kedai yang menjual rokok seludup dan sentiasa membuat tinjauan bagi menghalang peniaga menjual rokok seludup.

Bagaimanapun katanya, badan kerajaan seperti Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan tanggungjawab dengan baik bagi membanteras masalah ini.

Beliau turut menyarankan supaya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung masalah penyeludupan rokok haram yang kini semakin membimbangkan.

Pendapatan negara terjejas hampir RM1.5 bilion setahun menerusi duti eksais rokok tidak berbayar berikutan masalah penyeludupan rokok haram.

“Justeru, kami menggalakkan LKTN meluaskan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan rokok seludup dalam negara ini,” katanya.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2010/11/1/mstar_mingguan/20101101124355&sec=mstar_mingguan

Kenapa Menteri Luar Amerika Digelar Setiausaha Negara...

Selasa November 2, 2010

BUNYINYA agak pelik tetapi semalam (Isnin, 1 Nov) ada orang bertanya penulis, kenapa isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia menyandang jawatan setiausaha negara seperti Tan Sri Sidek Hassan, ketua setiausaha negara kita.

Pada mulanya penulis menyangkakan dia bergurau tetapi tidak lama kemudian penulis menyedari dia memang benar-benar tidak tahu dan soalannya itu lahir dari perasaan ingin tahu selepas dia membaca berita tersebut.

Ini dengan sendirinya membuktikan, tidak semua orang tahu atau dapat membezakan antara jawatan setiausaha negara Amerika dan ketua setiausaha negara kita. Tidak semua orang arif tentang hal ini.

Oleh yang demikian, penulis berasa bertanggungjawab untuk mengambil peluang di ruangan ini untuk menjelaskannya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton yang tiba di Terminal Skypark Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Lumpur malam Isnin untuk lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari, adalah seorang menteri luar bukanlah ketua pentadbir perkhidmatan awam sepertimana Tan Sri Sidek Hassan.

Kenapa jawatannya itu tidak dinamakan setiausaha luar negara Amerika atau menteri luar sahaja? Sejarahnya agak panjang tetapi biar penulis ringkaskan. Asalnya ia memang dipanggil setiausaha luar negara.

Jawatan ini diwujudkan pada 10 Januari 1781 iaitu setahun selepas Kerajaan Amerika mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Luar dan terus kekal seperti itu sehingga 15 September 1789 apabila Presiden Amerika yang pertama George Washington menandatangani satu undang-undang untuk menukar nama jabatan ini daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negara kepada Jabatan Hal Ehwal Negara.

Tujuannya adalah untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada jabatan itu mengendalikan beberapa urusan dan tanggungjawab domestik negara selain menguruskan hal ehwal diplomatik dan luar negara berkenaan.

Asalnya beberapa urusan domestik yang diletakkan di bawah tanggungjawab jabatan ini adalah seperti mengumpul, menerbitkan, mengedar dan memulihara undang-undang negara. Ia juga bertanggungjawab menyediakan dan merekodkan sebarang pelantikan yang dibuat oleh presiden negara itu. Jabatan berkenaan juga turut bertanggungjawab mengendalikan dan mengesahkan sebarang salinan rekod dan kesahihan dokumen di bawah jabatan berkenaan.

Dan yang paling dianggap terhormat ialah Jabatan Hal Ehwal Negara Amerika dipertanggungjawabkan sebagai penjaga jata atau lambang kebesaran negara iaitu the Great Seal of the United States.

Hari ini sebahagian besar daripada tanggungjawab domestik jabatan tersebut telah dipindahkan ke jabatan-jabatan lain yang dibentuk selepas negara itu mencapai kemerdekaan daripada Great Britain.

Namun tanggungjawab domestik yang masih dikekalkan di bawah seliaan jabatan ini ialah tanggungjawab memelihara jata negara, fungsi-fungsi protokol untuk kediaman rasmi dan pejabat rasmi presiden iaitu the White House, menderaf beberapa pengisytiharan negara serta mengendalikan urusan ekstradiksi di antara negeri-negeri dalam Amerika dengan negara luar.

Dalam konteks hari ini, setiausaha negara Amerika bukan sahaja ketua delegasi Amerika dalam sebarang urusan yang berkaitan dengan dunia luar tetapi juga merupakan penasihat presiden dalam hal ehwal luar negara.

Penyandang jawatan ini adalah anggota kabinet kerajaan persekutuan dan dari segi hirarki berkedudukan paling kanan dalam kabinet dan dari segi pewarisan takhta kerajaan, penyandangnya berada di barisan keempat untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara seandainya sesuatu terjadi ke atas presiden selepas naib presiden dan speaker dewan perwakilan rakyat (dalam konteks kita Dewan Rakyat).

Betapa berkuasa dan pentingnya kedudukan setiausaha negara Amerika ini dapat dilihat melalui peruntukkan undang-undang negara itu yang menyediakan satu klausa yang menyebut, peletakkan jawatan seorang presiden atau naib presiden negara itu hanya dapat disahkan atau dilaksanakan dengan mengisytiharkan peletakkan jawatan mereka dalam bentuk pernyataan bertulis kepada pejabat setiausaha negara.

Perkara ini pernah berlaku pada 9 Ogos 1974 iaitu apabila Presiden Richard Nixon meletakkan jawatannya dengan memaklumkan keputusannya itu secara bertulis kepada Setiausaha Negara, Henry A. Kissinger.

Amerika adalah satu-satunya negara di dunia ini yang memberikan kuasa yang sebegitu rupa kepada seorang menteri luarnya. Ini adalah kerana, sebarang polisi dalamannya akan memberi kesan kepada hubungannya dengan dunia luar.

Hillary Rodham Clinton, adalah setiausaha negara Amerika yang ke-67 dan wanita ketiga yang pernah menyandang jawatan ini.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/11/2/mstar_kolum_khabarnya/20101102093218&sec=mstar_kolum_khabarnya

Bicara Terhadap Benjy Tangguh 13 Disember

Published: Rabu November 3, 2010 MYT 1:28:00 PM
Updated: Rabu November 3, 2010 MYT 1:32:21 PM

Gambar fail ketika Benjy (tengah) ditahan di mahkamah pada Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan terhadap pelakon, Khaeryll Benjamin atau lebih dikenali sebagai Benjy di Mahkamah Majistret di sini Rabu, ditangguhkan kepada 13 Disember depan bagi menunggu keputusan representasi yang diusulkannya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Majistret Haffiza Sauni menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili anak seniwati Azean Irdawaty itu, Amer Hamzah Arsyad.

Amer Hamzah berkata, pihaknya telah mengusulkan representasi pada awal Oktober lalu bagi membolehkan penahanan Benjy mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan dan Kawalan Khas) dipertimbangkan semula oleh KDN.Benjy kini menjalani tahanan mengikut akta tersebut di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor.

Sehubungan itu, Haffiza menetapkan supaya kes itu disebut semula pada 13 Disember ini untuk mengetahui keputusan representasi sebelum perbicaraan bersambung.

Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat yang mengendalikan pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan walaupun telah bersedia dengan lapan saksi pendakwaan hari ini.

Azean turut menghadiri prosiding dan memberitahu ada menyediakan tetel masak lemak cili padi, nasi putih dan cucur ikan bilis untuk diberikan kepada anak lelaki tunggalnya.

Benjy, pelakon Kerana Cintamu Saerah sedang dibicarakan atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu sebanyak 0.14 gram di rumah C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru pada pukul 3 petang, 11 Mac lalu.

Dia juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memiliki 0.24 gram dadah yang sama pada pukul 4 petang hari yang sama di rumah bernombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_hiburan/20101103132701&sec=mstar_hiburan

N45 Galas: TPM Yakin Perubahan Bakal Berlaku

Rabu November 3, 2010

GUA MUSANG: Tinggal kurang 12 jam sebelum proses berkempen tamat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sudah bersedia untuk membuat perubahan demi masa depan mereka dengan mengundi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, menerusi maklumat yang diperoleh, perubahan positif jelas berlaku hampir di kesemua 13 peti undi termasuk peti undi yang BN tewas pada pilihan raya umum 2008.

"Daripada zahir yang kita saksikan hampir di semua kawasan, saya pun dimaklumkan oleh Tengku Razaleigh (Hamzah) bahawa hampir semua peti-peti undi mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

"Malahan bagi peti-peti undi yang kita kalah dahulu, nampak perubahan yang jelas berlaku di bawah," katanya di sini, Rabu.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, keadaan sebenar tahap keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN hanya akan dapat diketahui esok.

"Harap suasana esok baik, kita berdoa selepas kita berusaha dengan tidak mengira penat lelah... tak cukup tidur dan dengan niat yang ikhlas untuk tolong rakyat, tuhan akan makbulkan," katanya.

Selain itu Muhyiddin turut berharap agar semua pengundi di DUN Galas keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin dan parti yang terbukti berupaya membela nasib rakyat.

Pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz Yusoff daripada BN manakala PAS diwakili Dr Zulkefli Mohamed.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_berita/20101103160406&sec=mstar_berita

Kenaikan Harga Petrol RON 97 Bukan Isu - Ismail Sabri

Rabu November 3, 2010

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol gred RON 97 sebanyak 5 sen kepada RM2.15 seliter semalam bukan satu isu yang patut dimanipulasi pihak tertentu kerana harganya sudah diapungkan mengikut pasaran minyak dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penetapan harga itu tidak lagi dilakukan oleh kerajaan dan ia tidak memerlukan sebarang pengumuman.

"Pembangkang kata kerajaan naikkan harga. Bukan kerajaan naikkan harga tetapi (kenaikan) berlaku mengikut harga pasaran. Ini berbeza dengan harga petrol RON 95 dan diesel yang masih diberi subsidi dan dikawal kerajaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif sistem laluan Identiti Korporat Malaysia (MyCoID) di sini hari ini.

Katanya rakyat juga tidak perlu rasa panik kerana lebih 90 peratus penggunaan minyak di negara ini menggunakan RON 95 selain menjangkakan tidak ada kenaikan sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berkata demikian berikutan pembangkang yang didakwa menggunakan isu kenaikan harga minyak RON 97 sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan.

Katanya, kebanyakan stesen minyak di kawasan kampung, termasuk Gua Musang dan Batu Sapi juga tidak menyediakan petrol jenis RON 97.

"Kenapa kita nak bimbang kepada perkara yang tidak memberi kesan kepada kita. Rakyat tak perlu bimbang," katanya.

Beliau berkata kenaikan harga petrol RON 97 itu juga tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang kerana tidak membabitkan kenaikan harga diesel.

Ismail berkata harga petrol RON 97 boleh berubah naik atau turun pada hari pertama setiap bulan, berdasarkan kiraan purata hari pertama hingga hari ke-28 bulan sebelumnya.

Harga seliter RON 95 ialah RM1.85 manakala diesel RM1.75 seliter.

Katanya, kerajaan tidak meletakkan harga lantai kepada pengusaha stesen minyak yang meletakkan harga rendah berbanding saingan mereka namun sebarang harga jualan dirujuk kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata ia bagi memastikan harga RON 97 tidak dimanipulasi dan dijual dengan harga tinggi berbanding dengan harga minyak pasaran dunia.

Mengenai MyCOID, beliau berkata lebih banyak agensi kerajaan persekutuan akan dibabitkan pada fasa ketiga inisiatif itu selain cadangan untuk mengambil kira pembabitan agensi kerajaan negeri pada masa akan datang. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/3/mstar_berita/20101103161204&sec=mstar_berita

Ratusan beratur di panas terik untuk dapat RM100

Ratusan beratur di panas terik untuk dapat RM100
Joseph Sipalan
Nov 3, 10
3:14pm

Lebih 300 orang beratur di pejabat MCA di Sandakan awal pagi ini apabila mendapat tahu bahawa wang RM100 akan diagihkan kepada setiap pengundi di Batu Sapi.

Kebanyakan yang beratur hari ini adalah masyarkat Cina yang terdiri daripda golongan berusia dan wanita. Mereka berkumpul di sekitar tangga menuju ke pejabat MCA di tingkat empat di Greenview, di pinggir Sandakan.

NONEBarisan itu bergerak agak perlahan dan ramai yang terpaksa beratur di bawah panas terik sementara menunggu giliran mereka.

Antara mereka yang beratur itu mendakwa ada beberapa kes di mana golongan tua pengsan kerana panas terik.

"Kalau nak beri duit, buatlah secara teratur. Macam mana orang tua nak berdiri dan beratur sebegitu lama?” soalnya.

Bagaimanapun menjelang jam 3 petang, pengumuman dibuat bahawa tidak ada lagi wang untuk diagihkan.

Keputusan itu dipercayai ada kaitan dengan lawatan ADUN Sri Tanjung, Jimmy Wong ke pejabat MCA itu.

Namun masih ada orang ramai yang berkeliaran sekitar pejabat MCA itu mengharapkan keputusan itu ditukar semula.

http://malaysiakini.com/news/147224

Takkan beri zakat pun rasuah

Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 3 Nov: Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mempertikai laporan yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi wang kepada masyarakat Orang Asal yang diislamkannya sebagai rasuah.

Abdul Halim berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenarnya menyampaikan wang zakat kepada tiga masyarakat Orang Asli selepas mengislamkannya di perkampungan Orang Asli, Sandrop.

“Bukan rasuah tapi zakat kepada tiga Orang Asli. Saya sudah mengesahkan perkara ini. Wang itu diberi kepada tiga Orang Asli selepas Tok Guru mengislamkan mereka.

“Zakat boleh dibayar di mana-mana atau pada bila-bila masa. Apatah lagi kepada saudara baru yang memeluk Islam. Takkanlah beri zakat kepada tiga orang itu rasuah,” katanya dalam sidang media di markas PAS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa Mursyidul Am PAS memberi wang kepada mereka yang terbabit sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

Akhbar berkenaan hari ini menyiarkan gambar Mursyidul Am PAS menyampaikan wang kepada Orang Asli selepas diislamkannya di perkampungan Orang Asli Sandrop.

Visual yang sama turut disiarkan berita TV3 malam tadi.

Ekoran itu, Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu melanggar seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Mursyidul Am PAS itu sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.

Justeru, Abdul Halim meminta SPR perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut kerana ia boleh mencemar kredibiliti badan bebas itu selain dipandang sebagai berpihak.

“SPR biarlah terbuka, jangan melihat bila Tok Guru beri duit sikit lalu dikatakan rasuah. Kalau ia meragukan buatlah laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysaia (SPRM).

“Jangan keluar kenyataan yang seolah-olah SPR boleh dilihat sebagai memihak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim yakin pemberian ‘wang ihsan’ akan berleluasa di kawasan Dun Galas menjelang tempoh pilihan raya yang berbaki tidak sampai 24 jam lagi.

“Saya yakin ‘wang ihsan’ akan melebar di sini pada pilihan raya ini yang dikeluarkan kepada golongan-golongan tertentu yang dikelaskan sebagai golongan miskin terutama golongan atas pagar,” katanya.

“Walaupun sekarang ini ia diberi di tempat-tempat lain tapi akan diberi juga di sini kerana di sini juga ramai orang miskin. Ini menampakkan ‘wang ihsan’ itu diberi seolah sogokan untuk menarik undi,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29305:takkan-beri-zakat-rasuah&catid=1:utama&Itemid=50

SPR: Bayaran RM20 bukan rasuah


Aidila Razak
Nov 2, 10
4:46pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin bahawa bayaran RM20 yang ditaburkan kepada orang ramai sebelum majlis jamuan makan malam anjuran Wanita Umno di Batu Sapi, Sabah bukan bertujuan membeli undi.

Ketika dihubungi hari ini, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dakwaan seumpama itu sukar dibuktikan.

“Kita banyak dengar perkara ini, ada orang bagi basikal dan makanan. Mereka boleh beri pelbagai alasan. Lihat contoh PAS, kata mereka bayaran RM250 untuk pengundi luar supaya pulang mengundi di Galas bukan rasuah tetapi sebagai elaun pengangkutan,” katanya dengan panjang lebar melalui telefon.

Lagipun, kata Aziz kesalahan seumpama itu sukar dibuktikan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mereka perlu menunjukkan bahawa penerima habuan berkenaan telah mengundi parti yang memberi.

“Undi kita rahsia, jadi bagaimana kita nak tahu parti mana yang dipangkah oleh orang yang menerima wang itu? Saya tidak dapat melihat hubungan itu.

“Terdapat ramai peguam hari ini dan mereka boleh memutar daripada hitam kepada putih, jadi kamu kena ada bukti yang jelas dan pasti 100 peratus perkara itu berlaku. Jika tidak, usaha itu jadi sia-sia.”

Malaysiakinisebelum ini telah melaporkan bahawa Wanita Umno dikesan menyerahkan wang RM20 kepada mereka yang sanggup memberikan butiran peribadi dan juga mendedahkan parti mana yang disokong mereka.

Malah, perkara itu juga berjaya dirakamkan oleh seorang wartawan. Seseorang yang perlu menunjukkan myKad mereka bagi membuktikan mereka adalah pengundi di kawasan itu.

Menurut seorang wanita yang berbaris: “Ini untuk pengundi. Tunjukkan myKad untuk buktikan kamu pengundi dan mereka akan berikan wang.”

Kebanyakan yang beratur pada hari berkenaan adalah rakyat Malaysia keturunan Cina meskipun majlis berkenaan didakwa untuk sayap pekerja Wanita Umno.

Malah, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sendiri mengesahkan wang itu adalah untuk pekerja parti yang ke Sabah untuk membantu kempen BN.

Bagi membuktikan perkara itu, wartawan Malaysiakini juga beratur dan juga diberikan wang RM20 itu. Malah identiti pengenalan juga toidak lagi diminta.

Aziz kemudian diminta membaca laporan berkenaan dan melihat klip video tersebut. Selepas berbuat demikian pengerusi SPR itu menghantar mesej teks kepada Malaysiakini bahawa beliau yakin bahawa wang RM20 itu adalah hanya untuk pekerja parti dan bukannya untuk pengundi.

“Selepas baca (laporan berita) saya percaya bahawa pekerja parti adalah dari seluruh Sabah dan yang penting mereka bukan pengundi Batu Sapi.

“Wang tunai RM20 diberikan sebagai bayaran pengangkutan dan malah wartawanMalaysiakini juga dapat, baiknya...Apa ini?”

Namun, katanya, beliau akan menyerahkan laporan dan video berkenaan untuk penasihat undang-undang SPR supaya mengjkajinya dan mengambil tindakan jika perlu.

Malaysiakini akan menyerahkan wang tersebut kepada pihak SPR bagi membantu siasatan.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/147142

PAS: Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh rasuah

PAS: Nik Aziz beri wang zakat tapi dituduh rasuah
Salhan K Ahmad
Nov 3, 10
11:29am
Pengarah pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman hari ini menafikan laporan Utusan Malaysia dan menjelaskan bahawa pemberian wang oleh menteri besar kepada sebilangan masyarakat Orang Asli yang diislamkannya sebenarnya adalah wang zakat dan bukannya rasuah seperti didakwa.

Katanya, beliau telah menyemak dengan setiausahapolitik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendapatkan penjelasan sebenar berhubung isu itu.

"Saya diberitahu ia adalah wang zakat. Tok Guru mengislamkan tiga Orang Asli ini dan bagi wang zakat.

"Takkan zakat ini rasuah?" katanya dalam sidang media di markas jentera PAS di Gua Musang hari ini.

Katanya lagi, Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) perlu bersikap terbuka dalam isu tersebut.

"Jangan kalau Tok Guru ada beri duit sikit, dianggap rasuah, jangan rakyat tengok SPR ini memihak.

"Ini zakat bukan rasuah. Utusan itu suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.

"Tapi saya rasa ia beri kelebihan kepada PAS, kerana bila orang baca mereka akan marah dan anggap ia bohong," katanya.

Tok Guru Islamkan 3 Orang Asal

IT PAS GUA MUSANG, 2 Nov:- "Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," demikian kalimah syahadah yang telah dilafazkan oleh tiga orang penduduk asal Kampung Sandrop dalam Program Muhibbah Menteri Besar Kelantan bersama Masyarakat Orang Asal semalam.


Majlis pengislaman mereka yang dihadiri lebih daripada 300 orang penduduk asal menjadi lebih bermakna apabila ucapan lafaz syahadah mereka dipimpin oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dan disaksikan oleh calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan turut hadir pada majlis itu adalah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ketiga-tiga saudara baru itu, Hashim Along, 32, Ramle Sabri, 20 dan Asot Jeli adalah berasal dari Kampung Sandrop juga.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diiringi calon PAS juga sempat meluangkan masa menziarahi Keluarga arwah Salmah Bt. Uda, 43 tahun yang meninggal pada Jumaat lalu.

Suami arwah, Alim Akai, 49 tahun yang terkejut dengan ziarah itu menyambut baik kunjungan Tok Guru dinasihati agar bersabar dan turut diberi sumbangan peribadi oleh beliau.

Calon PAS yang merupakan seorang doktor, sempat memberi penerangan ringkas mengenai bahaya penyakit stroke dan darah tinggi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29293:tok-guru-islamkan-3-orang-asal&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...