Thursday, June 18, 2009

Pesong akidah

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com. my

SEPANG: Umat Islam perlu berhati-hati dengan kandungan al-Quran dan terjemahan ‘al-Furqan al-Haq’ yang dimuatkan dalam Internet kerana dikesan mengandungi kesalahan teks serta maksudnya sengaja dilakukan pendakyah Barat untuk memesongkan akidah.

Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Tan Sri Harussani Zakaria, berkata golongan itu mengubah teks al-Quran secara halus tanpa disedari umat Islam.

“Ayat dalam ‘al-Furqan al-Haq’ salah sama sekali, malah maksudnya menyimpang jauh daripada maksud asal teks al-Quran berkenaan.

“Kami bimbang ada umat Islam terpengaruh, jadi kami mahu pihak berkuasa menghalang pengeluaran seperti ini yang didapati mengeliru dan menyesatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran Bil 58/2.2009 KDN di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi lembaga itu, Datuk Nooh Gadut; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz; Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Che Din Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Syeikh Mohamad Nor Mansor.

Sementara itu, Harussani berkata, selain kesalahan ejaan dan tanda bacaan, naskah al-Quran resam Imla’ei yang tidak diterima pakai di negara ini antara yang dirampas Bahagian Kawalan Penerbitan Teks dan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang tahun ini.

Katanya, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini KDN merampas 8,375 pelbagai bahan al-Quran termasuk perisian digital, blok cetakan dan hiasan dinding yang diimport dari luar negara bernilai RM103,945.50.

“Bahan al-Quran dirampas mempunyai pelbagai kesalahan seperti baris, huruf, teks terlalu kotor dan tulisan resam Imla’ei yang tidak digunakan di negara ini kerana Malaysia menggunakan al-Quran resam Uthmani,” katanya.

Beliau berkata, KDN sudah melupuskan 185 tan teks dan bahan al-Quran yang menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20090618071421/Article/index_html

4 kes baru H1N1

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan empat lagi kes baru yang disahkan positif influenza A (H1N1) hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini ialah 27.

Kesemua empat kes itu adalah kes import, kata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kesemua 20 kontak kepada kes penularan tempatan pertama pandemik influenza A (H1N1) sudah dikenal pasti dan diletakkan di bawah kuarantin rumah.

Kes penularan tempatan itu melibatkan seorang pelajar kolej swasta tempatan yang menpunyai hubungan rapat dengan pesakit kes ke-12, katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata daripada 27 kes yang dilaporkan, 12 pesakit sudah sembuh sepenuhnya manakala 15 kes yang terakhir masih dirawat dan kini beransur pulih serta memberi respon baik kepada rawatan antiviral yang diberikan.

Jerat bini muda

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

CHANGLUN: Keinginan segelintir warga emas merasai keseronokan atau nikmat beristeri dua dengan mencari wanita muda dari negara jiran sebagai isteri muda, akhirnya menjerat diri sendiri apabila wanita asing terbabit lebih berminat mengikis harta suaminya.

Kejadian suami ditinggalkan isteri kedua dari negara jiran selepas mengikis harta diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga dan dianggap perkara biasa, namun kesedaran masyarakat negara ini masih kurang menyebabkan mereka mudah diperdaya.

Nasib sama menimpa seorang lelaki warga emas di sini yang terjebak dengan cinta palsu wanita negara jiran sehingga terpaksa berputih mata selepas kerugian hampir RM50,000 sejak mengahwini wanita berkenaan pada 2003.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Bakar, 55, berkata dia mula mengenali bekas isteri keduanya yang berusia 33 tahun itu sekitar 2002 ketika makan di sebuah gerai di Danok, Selatan Thailand.

“Selepas berkenalan beberapa bulan, saya menyuarakan hasrat berkahwin dengannya pada 2003. Dia pun bersetuju dan saya menyuruh dia memeluk Islam bersama dua anak lelakinya.

“Saya berkahwin dengan ibu tunggal beranak empat itu yang pada mulanya disangka baik dan berbudi bahasa, tetapi beberapa tahun kemudian saya sedar dia mempunyai niat tidak baik di sebalik perkahwinan itu,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mangsa yang juga seorang peniaga makanan dan pemandu teksi sambilan berkata, beberapa tahun mengharungi kehidupan berumah tangga, dia tidak mengesyaki perbuatan buruk bekas isterinya kerana dia pandai menyembunyikan tingkah lakunya.

“Pada waktu itu saya ada mengusahakan perniagaan kantin di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sintok dan meminta isteri saya membantu menguruskannya.

“Selepas tiga tahun mengusahakan kantin itu, kontrak saya dengan IPT itu tidak disambung dan saya membuka pula kedai makanan laut dan tomyam di Jalan Kodiang bagi menambah pendapatan,” katanya.

Bakar berkata, dia menyerahkan segala urusan perniagaan itu kepada isterinya kerana terlalu yakin dengan kejujuran wanita berkenaan.

“Saya silap kerana terlalu percayakan dia sehingga dia sanggup menghabiskan duit hasil perniagaan untuk berjudi serta membeli barangan yang tidak sepatutnya.

“Bila saya tanya mana duit hasil perniagaan, dia kata hari ini tak ramai pelanggan pada hal saya tahu untung berniaga kedai makan di kawasan itu sepatutnya cukup lumayan,”
katanya.

Katanya, tembelang wanita berkenaan terbongkar selepas dia dan isterinya itu pulang ke kampung halaman bini mudanya itu di Bangkok untuk menziarahi keluarga dan dua lagi anaknya yang masih berada di sana.

“Di kampungnya dia kerap bermain judi seperti mahjong dan daun terup. Malah, saudara-maranya juga ada menceritakan perangai buruk bekas isteri saya yang gemar berfoya-foya dan baru saya sedar tertipu dengan lakonan wanita berkenaan.

“Sepanjang perkahwinan saya selama lima tahun, banyak duit saya ‘melayang’ kerana wanita ini dan dalam diam dia mengikis duit saya kira-kira RM50,000 termasuk kos sebelum kahwin dan sepanjang melayari alam rumah tangga dengan dia,”
katanya.

Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Bakar yang tidak tahan dengan perangai buruk isterinya menceraikan wanita itu.

“Dia yang menyedari saya akan berbuat demikian (menceraikannya) sempat meminjam duit along RM4,000 sebelum melarikan diri.

“Saya terkejut kerana along berjumpa saya dan meminta membayar wang yang dipinjam isteri kedua saya itu.

“Nasib baik along faham selepas saya menerangkan kedudukan sebenar. Kalau tidak saya tak tahu apa akan terjadi pada saya,”
katanya.

Berikutan itu, Bakar mengingatkan orang ramai terutama lelaki negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik licik wanita negara asing yang berpura-pura baik.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090618071227/Article

Pelajar 12 tahun hamil di Australia



GAMBAR menunjukkan pelajar perempuan yang hamil ketika berumur 12 tahun.


SYDNEY - Seorang pelajar perempuan yang berumur 12 tahun dipercayai menjadi antara ibu yang termuda di negeri New South Wales, Australia, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut bapanya, anak perempuannya itu akan melahirkan cahaya mata pada 20 Oktober depan manakala teman lelakinya kini ditahan di sebuah institusi juvenil.

Dia berkata, kehamilan anaknya itu diketahui pada Mac lalu selepas khidmat pesanan ringkas kekasih anaknya berjaya dipintas.

"Bapa bayi itu kini berada di sebuah institusi juvenil kerana menikam seseorang di bahagian kakinya.

"Budak lelaki itu turut mengancam untuk membunuh saya," katanya.

Menurutnya, anaknya berdepan dengan risiko kehamilan pada tahun lalu selepas mengetahui dia aktif dalam hubungan seksual.

Anaknya itu aktif dalam hubungan seks ketika berusia 11 tahun dan semasa tinggal bersama ibunya yang sakit mental dan seorang lelaki yang bertindak sebagai bapa tirinya.

Bapa sebenarnya kini berang kerana sebuah pertubuhan kebajikan milik kerajaan enggan menjaga anaknya yang akan melahirkan anak tanpa kehadiran kekasihnya itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Imej Obama bunuh lalat disiar


GAMBAR menunjukkan Obama cuba mengusir seekor lalat (kiri) sebelum dia menepuk tangan ke arah haiwan itu menyebabkannya mati.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sering dikritik kerana dilihat sering berlembut dengan beberapa buah negara musuh namun semalam beliau membuktikan tidak akan memberi belas kasihan terhadap provokasi 'musuh.'

Sebuah akhbar semalam melaporkan, Obama menjadi tidak selesa apabila beliau diganggu seekor lalat ketika diwawancara oleh stesen televisyen CNBC kelmarin.

Lalat berkenaan terus hinggap di kepalanya dan enggan terbang ke tempat lain walaupun Obama menghalaunya beberapa kali.

"Pergi dari sini," kata Obama.

Namun lalat itu terus berdegil sehingga menyebabkan Obama tidak dapat memberikan tumpuan terhadap wawancara tersebut.

Obama berhenti bercakap seketika sambil merenung lalat itu sebelum tangan kanannya menepuk serangga itu sehingga mati.

"Di mana kita berhenti tadi," kata Obama kepada wartawan CNBC, John Harwood.

Melihat Harwood dalam keadaan kehairanan, Obama berkata: "Itu merupakan sesuatu yang sedikit hebat, tidakkah begitu?"

Menyedari kamera merakam insiden di East Room di White House, Obama dengan berjenaka menuding ke arah lalat yang mati di lantai.

"Adakah anda mahu merakamkan gambar lalat itu?" soal Obama.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

12 hari dikurung jadi hamba seks tujuh lelaki


DI rumah inilah didakwa seorang remaja perempuan dikurung selama 12 hari sebelum berjaya melepaskan diri semalam.

PERHENTIAN bas di hadapan Kompleks Teruntum, Kuantan ini seorang remaja perempuan dibawa pergi oleh teman lelakinya dengan sebuah kereta.


KUANTAN - Akibat percayakan teman lelaki, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun terpaksa melalui peristiwa hitam selama 12 hari dikurung dan dirogol oleh tujuh lelaki dalam sebuah rumah di sebuah taman di sini sebelum berjaya melarikan diri kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, remaja terbabit telah menerima tawaran teman lelakinya untuk menghantarnya pulang selepas menonton wayang di Kompleks Teruntum kira-kira pukul 11 malam 5 Jun lalu.

"Selepas selesai menonton wayang, remaja perempuan tersebut dipercayai telah menunggu bas di tempat menunggu bas di hadapan kompleks itu.

"Tiba-tiba, datang sebuah kereta yang dinaiki oleh teman lelakinya lalu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah kakaknya," kata beliau ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini semalam.

Ketika dalam perjalanan, lelaki itu dipercayai tidak membawa remaja perempuan itu terus pulang ke rumah kakaknya, sebaliknya mengajak dia ke rumah abangnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Deposit kereta RM10,730 lesap


NUR ZAIDATUL menunjukkan laporan polis dan resit pembelian kereta di pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi terpaksa berputih mata apabila impiannya untuk memiliki sebuah kereta Perodua Viva tidak tercapai selepas wang deposit RM10,730 yang dibayar dilarikan oleh seorang jurujual palsu.

Mangsa, Nur Zaidatul Hafizah Ab. Ghani, 26, tidak menyangka jurujual yang ditemui untuk melakukan urusan pembelian kereta baru itu rupa-rupanya sudah lama diberhentikan daripada syarikat tempat dia bekerja ekoran dakwaan telah melakukan banyak penipuan.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengurus besar syarikat tersebut di Bandar Seri Permaisuri di sini ketika mangsa datang mencari jurujual yang berusia lingkungan 30-an berdasarkan alamat yang diberi.

Cerita mangsa, beliau mengenali suspek menerusi seorang kenalan yang pernah berurusan dengan lelaki tersebut dalam satu pertemuan di Gombak pada awal tahun lalu.

Pada pertemuan tersebut, suspek telah meminta mangsa membayar wang pendahuluan sebanyak RM3,000 dan berjanji akan menghubunginya semula pada satu tarikh yang akan diberitahu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Tak pasti boleh tumbuh atau tidak - Mahani



KERATAN Kosmo! semalam.


KANGAR - Hasil ujian diagnosis yang dilakukan terhadap Muhammad Nabil Mustaqim Rodzake di Hospital Tuanku Fauziah di sini mendapati, masalah fizikal yang dialami bayi tersebut termasuk ketiadaan alat kelamin merupakan kecacatan semula jadi dan bukannya disebabkan masalah lain.

Pengarah Kesihatan Perlis, Dr. Mahani Yusof berkata, kecacatan itu tidak dapat dielakkan tetapi kecacatan fizikal selain ketiadaan alat sulit yang dihadapi oleh bayi berkenaan mungkin boleh dirawat.

"Saya tidak boleh memberi jawapan tepat mengenai alat sulitnya sama ada akan tumbuh atau tidak kerana bayi berkenaan masih kecil dan kita serah kepada kuasa Tuhan," katanya.

Media semalam melaporkan mengenai penderitaan bayi lelaki, Muhammad Nabil yang hanya mempunyai dua buah zakar tetapi tiada alat kelamin setelah 10 bulan dilahirkan.

Ekoran masalah itu, bayi terbabit menghadapi kesukaran untuk kencing sehingga memaksa doktor menebuk lubang saluran kencingnya melalui saluran najis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

IC hijau sukarkan hidup


AZMAN menunjukkan sijil kelahiran dan kad pengenalan hijau yang menimbulkan masalah kepadanya di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Warganegara Malaysia bukan, Indonesia pun bukan.

Begitulah dilema yang dihadapi Azman Abdullah, 29, gara-gara memiliki kad pengenalan hijau yang mempunyai tarikh luput pada 2013 sekali gus menyukarkannya membuat segala urusan.

Azman yang merupakan seorang pendandan rambut berkata, dia hanya memperoleh kad pengenalan hijau tersebut sekitar Oktober tahun lalu walaupun memiliki sijil kelahiran.

Kad pengenalan itu pun katanya, hanya diperoleh selepas penat 'turun naik' ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor sejak empat tahun lalu.

"Lebih teruk saya diperlakukan seperti 'bola' apabila ditendang ke sana ke mari. Sudah bertahun saya dihantui masalah ini dan tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan.

"Pinjaman di beberapa bank juga ditolak gara-gara kad pengenalan," ceritanya di sini semalam.

Azman mendakwa, akibat masalah yang sama, dia terpaksa melupakan hajat untuk membuat pinjaman bagi membeli kereta dan rumah gara-gara status kad pengenalan hijau miliknya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Kes tempatan pertama Influenza H1N1 dikesan

Rabu Jun 17, 2009

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mencatatkan kes penularan tempatan pertama influenza A(H1N1) melibatkan seorang pelajar perempuan 17 tahun warga Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hari ini berkata pelajar perempuan itu, yang merupakan kes ke19 positif influenza A, tidak mempunyai sejarah melawat negara yang telah diisytiharkan berlaku wabak itu.

Katanya pelajar itu menunjukkan simptom batuk dan selsema pada 14 Jun lepas, jam 9 malam dan mula demam keesokan harinya dan pada pagi 15 Jun pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada jam 10 pagi.

"Semasa penyiasatan, kes ke-19 ini melaporkan bahawa beliau adalah kontak kepada kes ke12 iaitu pelajar perubatan yang telah disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 13 Jun lepas. Namun sebelum ini beliau tidak pernah diisytiharkan sebagai salah seorang kontak kepada kes ke-12.

"Ini menyebabkan pengawasan dan kurantin awal ke atas kes ke19 ini gagal dilakukan dan menyebabkan 20 orang lagi (kontak) terdedah kepada jangkitan influenza A(H1N1)," katanya.

Justeru itu, Dr Mohd Ismail berkata adalah penting semua kes yang disahkan positif wabak ini memberikan kerjasama dan maklumat lengkap agar pengawasan dan kuarantin awal dapat dilakukan kepada semua kontak mereka dan seterusnya mengelakkan risiko penularan kepada orang lain.

Beliau berkata lima lagi kes influenza A(H1N1) dikesan termasuk kes penularan tempatan tersebut dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 23.

Kes ke20 merupakan seorang pelajar lelaki universiti awam tempatan berumur 23 tahun yang membuat lawatan sambil belajar bersama 12 orang pelajar dan pensyarah selama tujuh hari di Melbourne sejak 7 Jun lepas.

Beliau pulang dari Melbourne dengan penerbangan Air Asia X D7 2723 dan sampai di LCCT pada 14 Jun jam 7.15 pagi.Kes ke21 adalah pelajar perubatan sebuah universiti di Melbourne berusia 20 tahun yang pulang bercuti ke Malaysia dengan penerbangan Malaysia MH 128 dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 16 Jun, jam 6 pagi.

Kes ke-22 pula seorang lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Manila atas urusan perniagaan pada 9 Jun lepas.Beliau pulang melalui penerbangan Malaysia MH 705 dan tiba di KLIA pada 12 Jun lepas, jam 8.25 malam.

Kes ke-23 seorang pelajar perempuan warga Malaysia, 22, tiba dari Melbourne melalui Air Asia X D7 dan sampai di LCCT pada 14 Jun, jam 7.15 pagi.

Dr Mohd Ismail berkata bagi mengesan kontak kesemua kes positif, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang, anak kapal dan kontak kepada keskes yang terlibat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memaklumkan sehingga 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan adalah sebanyak 36,346 kes dengan 163 kematian di 76 negara. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/17/mstar_berita/20090617164954&sec=mstar_berita

Raisuddin diperintah 'faraq' (berpisah sementara) dengan isteri kedua

Rabu Jun 17, 2009

Raisuddin dan Fatimah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini. -foto mStar

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini memutuskan aktor Raisuddin Hamzah, 52, faraq perkahwinan (berpisah sementara) dengan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi, 22, sehingga keputusan rayuan pengesahan perkahwinan disebut pada 8 Julai depan.

Menurut peguam syarie Nor Azmi Mohd. Arif yang mewakili Raisuddin dan Fatimah, kes faraq itu dipohon oleh bapa Fatimah, Suberi Abdullah, 48, kerana perkahwinan mereka diragui walaupun ia telah disahkan oleh pihak mahkamah.

Permohonan faraq ini menghalang Raisuddin dan Fatimah daripada melakukan hubungan suami isteri.

“Perkahwinan mereka sah tetapi bapa Fatimah yang kata tidak sah kerana dia tidak menjadi wali anaknya.

“Oleh itu, bapanya telah memfailkan rayuan untuk mengesahkan perkahwinan mereka pada 17 Mac lalu di mahkamah ini.

“Ikutkan, rayuan telah dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur tetapi disebabkan Hakim Syarie tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan kes ini, jadi kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah.

“Selepas permohonan faraq perkahwinan sementara itu dibuat, anak guam saya perlu failkan jawapan sama ada bersetuju atau tidak dengan permohonan itu dalam tempoh 14 hari dari hari ini,” kata Nor Azmi.

Pada 7 April lalu, Fatimah secara sukarela mengaku bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah di Songkhla, Thailand dengan Raisuddin pada 2 Januari 2007.

Siti Fatimah ketika di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 7 April lalu.

Pada 6 Februari lalu, hasrat Raisuddin untuk mengesahkan perkahwinannya dengan Siti Fatimah terbantut apabila mahkamah menolak permohonannya itu.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad juga menolak permohonan bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk membubarkan perkahwinan anaknya dengan penyanyi dan pelakon tahun 1980-an itu secara farakh.

Beliau bagaimanapun memerintahkan Raisuddin dan Siti Fatimah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla Thailand dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi untuk diputuskan kerana ia melibatkan isu poligami.

Dalam penghakimannya, Wan Mahyuddin menjelaskan bahawa Mahkamah Rendah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kedua-dua kes itu.

Beliau berkata, proses farakh (pemisahan) hanya boleh bermula selepas pasangan itu didakwa kerana berkahwin di luar kawasan tanpa kebenaran serta pernikahan tersebut disahkan terlebih dahulu.

"Tindakan plaintif memfailkan permohonan farakh sebelum perkahwinan pasangan ini disahkan adalah menyalahi proses mahkamah.

"Bagaimanapun, mahkamah tidak menafikan hak plaintif sebagai bapa dan wali mujbir yang mana beliau boleh mengemukakan isu farakh semasa bicara pengesahan nikah nanti kerana ada peruntukan yang mengkehendaki wali hadir," katanya.

Raisuddin berkahwin dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Bapa Siti Fatimah, Suberi, 48, kemudiannya memfailkan permohonan untuk memfarakhkan perkahwinan pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.

Raisuddin ketika di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 7 April lalu.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.

Suberi diwakili peguam syarie, Roshdan Rafie dan Salwila Abdullah manakala Raisuddin dan Siti Fatimah diwakili peguam syarie, Nor Azmi Mohd Arif dan Mohd Ridhwan Husin.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/17/mstar_hiburan/20090617124237&sec=mstar_hiburan

Diperdaya teman lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tidak menyangka teman lelakinya yang bersopan-santun sanggup menggunakan ilmu pukau untuk memperdayanya bagi mendapatkan wang mudah.

Difahamkan, wanita berusia 20-an yang juga kakitangan kerajaan yang dilamun asmara itu sanggup menyerahkan salinan kad pengenalan dan wang simpanannya lebih RM4,000 kepada lelaki terbabit kononnya bagi perbelanjaan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, wanita itu menyedari ditipu apabila gagal menghubungi lelaki terbabit selepas memberikannya wang berkenaan sebelum membuat laporan polis, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang tinggal di Bukit Kerinchi di sini mengenali lelaki berusia 28 tahun itu yang dikatakan kacak dan budiman melalui rakannya beberapa bulan lalu.

“Mangsa yang tidak mengesyaki niat buruk lelaki itu mula ‘cair’ apabila lelaki terbabit menghubunginya dan sering menghantar SMS untuk meluahkan perasaan cinta,” katanya di sini, semalam.

IPU KL menurun

KUALA LUMPUR: Tahap jerebu yang melanda negara ini menampakkan sedikit penurunan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga jam 5 petang semalam menunjukkan hanya 31 kawasan berada di tahap baik sementara 20 kawasan lagi pada tahap sederhana.

Bacaan itu menunjukkan keadaan jerebu berada di paras kurang stabil dengan peningkatan dan penurunan kualiti udara beberapa kawasan berbanding bacaan pada jam 5 petang kelmarin.

Antara kawasan yang menampakkan peningkatan bacaan IPU termasuk Pasir Gudang pada paras IPU 61 berbanding 50 kelmarin, dan Perai IPU 42 berbanding 28 pada hari sebelumnya.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Kuala Lumpur menurun kepada IPU 54 berbanding hari sebelumnya iaitu 55, bagaimanapun, keadaan jerebu di Pelabuhan Klang menunjukkan sedikit peningkatan dengan bacaan IPU 57 berbanding 52 kelmarin.

Satu lagi kes H1N1 dikesan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes positif Influenza A H1N1, menjadikan jumlah kes berjaya dikesan di negara ini sehingga semalam meningkat kepada 18 kes.

Kes ‘import’ terbaru ini membabitkan lelaki warganegara Filipina bekerja sebagai kelasi dengan syarikat perkapalan negara ini berpangkalan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata lelaki terbabit datang di negara ini menerusi penerbangan MH 705 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.05 petang, Ahad lalu.

Katanya, saringan peringkat awal yang dilakukan di KLIA mendapati lelaki terbabit mempunyai simptom batuk, selain disahkan demam menyebabkannya terpaksa ditahan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Enam direman empat hari

KUANTAN: Seorang lelaki mendakwa 'Datuk' yang ditahan di ibu negara, kelmarin, selepas didapati cuba menghidupkan semula pertubuhan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM), yang diharamkan enam tahun lalu, direman empat hari hingga 19 Jun ini oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Perintah reman sama yang dikenakan terhadap lelaki berusia 41 tahun itu yang dikeluarkan Majistret Nordiana Abdul Aziz turut dikenakan kepada lima lagi pegawai pertubuhan haram itu berusia antara 32 hingga 52 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kes membabitkan semua enam tertuduh itu dibawa ke mahkamah di sini, selepas satu laporan dibuat seorang pengadu pada 24 Mei lalu yang mendakwa cuba direkrut untuk menyertai PKPM yang cuba meluaskan pengaruhnya.

Pengadu terbabit turut mendakwa PKPM sedang merekrut ribuan ahli termasuk lebih 400 orang di Pahang bagi menyiasat satu kes pembunuhan membabitkan seorang kenamaan (VIP).

Akhbar ini kelmarin melaporkan, polis menumpaskan cubaan menghidupkan semula PKPM yang diharamkan enam tahun lalu apabila menahan 42 lelaki termasuk ketuanya dalam serbuan di Taman Gombak Jaya, dekat ibu negara.

Pasang ratusan ejen

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Beroperasi tidak ubah seperti agensi risikan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) selain mendakwa dilantik pihak kerajaan dipercayai menjadi punca ribuan mangsa terpedaya menyertai pertubuhan haram Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang cuba diwujudkan semula sejak setahun lalu.

Malah PKPM didakwa sengaja mengada-adakan cerita kononnya individu dipilih akan diberikan tugas penting sebagai perisik diamanahkan menjalankan tugas besar membabitkan isu keselamatan negara.

Sumber polis berkata, gaya berpakaian hebat lengkap lambang jati Malaysia ditampilkan pertubuhan berkenaan meyakinkan orang ramai supaya menyertai pertubuhan haram itu.

“Bagi memudahkan semua urusan, PKPM dikesan turut melantik ratusan ejen seluruh negara bagi memujuk dan memerangkap orang ramai.

“Malah, sasaran mereka juga menjadikan golongan berpengaruh di sesebuah kawasan kediaman sebagai ejen dipercayai bagi memudahkan urusan merekrut dilakukan.

“Bagi menarik minat, kumpulan itu dikatakan menawarkan pendapatan lumayan mencecah RM2,000 sebulan selain imbuhan setiap kali menarik individu menyertai pertubuhan berkenaan,” katanya.

Seorang individu mendakwa didesak menyertai program berkenaan, Ghazali, 50-an, berkata beberapa orang kanan kumpulan terbabit berulang-kali memujuknya menjadi ejen, sejak enam bulan lalu.

“Saya menolak permintaan berkenaan kerana musykil dengan pertubuhan itu. Bagi menarik minat, mereka mendakwa akan membayar gaji bulanan RM2,000 tidak termasuk imbuhan sekiranya membawa masuk ahli baru.

“Pada mulanya saya berminat, namun selepas melihat cara mereka bekerja selain dakwaan pangkat diperoleh peserta melebihi kuasa dimiliki polis dan tentera menyebabkan saya berubah fikiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Ghazali, mereka mengarahkannya memujuk semua penduduk sekitar di Batu 6, Gombak, di sini, menyertai program berkenaan.

“Mereka bukan saja mengarahkan merekrut kakitangan kerajaan dan swasta, malah pelajar baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Ghazali berkata, dia yang sering berada di kawasan pejabat mendapati setiap hari lebih daripada 20 calon akan pergi ke pejabat berkenaan untuk menduduki temu duga.

“Biasanya, semua peserta akan berkumpul seawal jam 9 pagi dan sesi temu duga itu akan berakhir kira-kira jam 6 petang.

“Apa menghairankan saya, beberapa pegawai kanan kumpulan itu akan memakai pakaian lengkap beserta topi beret ala tentera,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan peserta yang datang mengikuti temu duga itu berasal dari Johor, Kelantan dan Perlis.

Ghazali berkata, dia berharap orang ramai berhati-hati bagi mengelakkan menjadi mangsa kumpulan berkenaan.

“Saya cukup gembira apabila pihak berkuasa berjaya melumpuhkan kumpulan itu dengan memberkas dalang di sebalik pertubuhan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Tajuddin Md Isa ketika dihubungi berkata, enam lelaki termasuk Nor Azami Ahmad Ghazali dan pegawai kanan PKPM akan direman selama tiga hari bermula hari ini (semalam).

“Kita akan melengkapkan siasatan dan mendakwa mereka secepat mungkin. Pihak polis juga percaya markas lama mereka di Pantai Dalam, di sini, sudah tidak beroperasi sejak beralih ke pejabat baru di Batu 6, Jalan Gombak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090617070001/Article/index_html

Keluarga daif dapat perhatian


di rumahnya, semalam." title="IKHLAS ...Wan Harujan hulur sumbangan kepada Hamdan
di rumahnya, semalam." height="194" width="300" border="0">
IKHLAS ...Wan Harujan hulur sumbangan kepada Hamdan
di rumahnya, semalam.

KUALA TERENGGANU: Kedaifan hidup Hamdan Mohd Zain, 47, yang tinggal di pondok kecil bersama isteri serta tujuh anak berusia antara tiga bulan hingga 12 tahun mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menghulurkan bantuan segera kepada keluarga berkenaan, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman, berkata sumbangan itu dihulurkan selepas pihaknya membaca laporan Harian Metro berhubung kesusahan hidup dilalui Hamdan yang menetap di Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini.

Menurutnya, bantuan berbentuk makanan dan wang tunai itu diserahkan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban mereka dalam jangka pendek.

Katanya, bagi jangka panjang, pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan susulan kepada keluarga terbabit sama ada kewangan atau barangan.

Katanya, sebagai permulaan, sumbangan RM250 dan barangan keperluan asas disalurkan terlebih dulu kepada keluarga itu.

“Kita ada berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE) negeri kerana keluarga terbabit menetap di tanah kerajaan dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi membantu meringankan bebanan ditanggung,” katanya ketika melawat dan memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan, semalam.

Hamdan ketika ditemui berterima kasih dengan sumbangan Maidam meringankan beban ditanggungnya.

“Sumbangan ini begitu bermakna kepada saya untuk menyara keluarga terutama menampung perbelanjaan sekolah anak-anak, saya berbesar hati jika ada pihak sudi membantu untuk membolehkan saya bekerja tetap mencari rezeki membina kehidupan baru,” katanya.

Isterinya, Zaharah Ismail berkata, dia bersyukur kerana ada pihak sudi menghulurkan sumbangan.

‘Usah ganggu kami’

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Biarlah masalah ini saya selesaikan dengan cara yang terbaik,” kata pelakon, Shah Hassan mengenai hubungannya dengan dramatis Haleeda yang timbul selepas insiden serangan dan kekecohan di lokasi penggambaran drama pada 5 Jun lalu.

Shah, 37, berkata apa yang penting baginya sekarang ialah tumpuan terhadap kerjaya dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

“Biarlah polis menjalankan siasatan mengenai apa yang berlaku kerana masing-masing sudah membuat laporan,” katanya yang dihubungi, semalam.

Shah bagaimanapun turut menegur tindakan individu bergelar Datuk yang menjadi pencetus kepada kekecohan itu yang disifatkan mencemar imej orang korporat.

“Saya harap perkara ini menjadi iktibar kepadanya supaya tidak mengambil tindakan melulu sehingga menjejaskan banyak pihak.

“Dia sepatutnya menjaga imej sebagai ahli korporat dan menjaga hubungan keluarganya sendiri,” katanya.

Menurutnya, di peringkat keluarganya, biarlah dia yang menguruskannya sendiri.

“Saya tidak mahu lagi perkara ini berlarutan kerana kami masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya.

Sementara itu, sebuah portal hiburan melaporkan Haleeda atau nama sebenar, Halida Mazlin Badaruddin, 37, berkata hubungannya dengan Shah masih baik.

“Kami tidak ada masalah berlakon bersama atau berjumpa ketika di lokasi,” katanya.

Haleeda turut berkata, dia mahu masalah itu diselesaikan secara baik dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan.

Selain itu, Haleeda menegaskan mahu memberi tumpuan kepada lakonan serta memperbaiki lakonannya.

“Saya bukanlah pelakon yang belajar lakonan secara formal. Apa yang saya lakukan selama ini ialah menerusi pengamatan serta pengalaman.

“Jadi, saya kena berusaha lebih sedikit untuk belajar dan mahu lakukan yang terbaik dalam lakonan saya dengan mengamati lakonan daripada beberapa pelakon yang saya kagumi,”
katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, 5 Jun lalu, Haleeda dan Shah masing-masing membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam sejurus insiden serangan dan pergaduhan ketika penggambaran drama bersiri di sebuah rumah di situ.

Haleeda menjelaskan kejadian mungkin berlaku kerana meminjam kereta milik seorang pelakon lelaki tetapi disebabkan salah faham serta campur tangan pihak lain, ia bertukar serius.

Kes itu kini disiasat polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090617070236/Article/index_html

Jual adik tukar dadah

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

ALOR STAR: Ketika pusara ibu masih ‘merah’, seorang lelaki durjana sanggup menjual adik kandungnya kepada pengedar dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan bahan haram itu bagi melepaskan ketagihannya.

Lelaki berusia lewat 20-an itu yang tinggal di Jalan Langgar di sini dipercayai berbuat demikian kira-kira dua minggu selepas kematian ibu mereka pada pertengahan bulan lalu, apabila berada dalam keadaan gian kronik, tetapi tidak mempunyai wang untuk membeli dadah.

Berikutan itu, lelaki terbabit mengambil jalan mudah dengan menyerahkan adik perempuannya yang berusia 20 tahun untuk menjadi pemuas nafsu ‘tokan’ atau penjual dadah sebagai tukaran untuk mendapatkan dadah berharga kurang RM100.

Bagaimanapun, gadis yang ‘lurus bendul’ akibat tidak pernah bersekolah itu bernasib baik apabila menyedari niat buruk abangnya yang mahu menyerahkannya kepada lelaki tidak dikenali yang kemudian membawanya ke sebuah rumah, tetapi mengambil keputusan untuk melarikan diri.

Gadis berkenaan kini hidup merempat dengan tidur di kaki lima bangunan atau pondok yang didirikan di kawasan rekreasi di sekitar bandar raya ini, selain mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan sesuap makanan.

Sumber berkata, gadis itu dikesan tidur di kawasan rekreasi bersebelahan Sungai Kedah di sini sejak seminggu lalu sebelum ‘dijaga’ sekumpulan lelaki agak berusia yang boleh digelar pak cik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, walaupun kumpulan lelaki itu hidup merempat dengan berteduh di kaki lima bangunan dan menjalankan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir, namun mereka menjaga gadis berkenaan dengan baik.

“Berdasarkan perbualan dengan gadis itu, masalah utamanya sekarang ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan.

“Dia mengaku ibunya warga Thailand yang meninggal dunia baru-baru ini, manakala bapanya rakyat tempatan, tetapi sudah lama meninggal dunia.

“Arwah ibunya pulang ke kampung di Thailand ketika melahirkannya dulu sebelum kembali semula ke sini, tetapi tidak pernah mendaftarkan kelahirannya menyebabkan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan,” katanya yang enggan mendedahkan identiti atas faktor keselamatan.

Menurut sumber itu, beberapa peniaga seperti pemilik restoran sebelum ini berminat mengambil gadis berkenaan bekerja, tetapi membatalkan hasrat apabila mengetahui yang dia tidak mempunyai dokumen pengenalan.

“Mereka bimbang sekiranya premis mereka diserbu pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen, mereka akan menghadapi masalah apabila dituduh menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya.

Saksi berkenaan membawa wartawan Harian Metro berjumpa gadis itu yang bagaimanapun tidak mahu dirakam gambar berikutan bimbang diketahui dan membangkitkan kemarahan abangnya yang mungkin akan memburunya.

“Saya kini sebatang kara. Bagaimanapun, hidup sekarang jauh lebih baik daripada menjadi pemuas nafsu hanya untuk membolehkan abang kandung melepaskan giannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkifli Ramli, ketika dihubungi berkata, berikutan gadis itu berusia di atas 18 tahun, jabatan berkenaan perlu menghantar pegawai termasuk kaunselor untuk menemuinya bagi mencari kaedah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Mutakhir/20090617064752/Article

Suami hantu

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 32 tahun mendakwa diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum badannya dibelasah suami sendiri, seorang peniaga kecil di rumah mereka di Bukit Setongkol di sini, Sabtu lalu.

Si suami dipercayai seorang yang cepat panas baran, sebelum itu membuat tuduhan melulu dengan mendakwa wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan bapa saudara lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di seluruh badan selepas diseksa termasuk kepala dihentak ke dinding selain diugut bunuh lelaki berusia 41 tahun itu sepanjang dikurung tiga hari.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa cuba mempertahankan diri dan menafikan melakukan hubungan sulit seperti didakwa, namun suaminya yang berang enggan mempercayainya sebelum menyeksa wanita berkenaan.

Mangsa diseksa selepas pakaiannya ditanggalkan sebelum dipukul dalam keadaan hanya memakai pakaian dalam. Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit kemudian mengarahkan anak lelakinya berusia 14 tahun yang juga anak tiri mangsa, mengambil tali untuk mengikat tangan dan kaki mangsa.

Dua lagi anak pasangan itu, masing-masing seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun, hanya mampu menangis selepas diberi amaran supaya diam.

Bagaimanapun, mangsa berpeluang membebaskan diri apabila suaminya tidur dan membuka ikatan pada kakinya, kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan lagi, mangsa terpaksa menggunakan ibu jari kaki untuk mendail talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan sebelum menceritakan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang tiba di rumah mangsa terpaksa memecahkan pintu rumah apabila lelaki terbabit enggan membukanya.

Katanya, polis menemui mangsa dalam keadaan lemah selain bengkak di muka serta luka pada pergelangan tangan sebelum menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, polis menahan suami mangsa yang sedang bersembunyi dalam bilik dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis ganja.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

“Lelaki terbabit kini direman 14 hari di IPD Kuantan selain akan mengambil keterangan tiga anak mangsa bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek dipercayai dalam pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu selain dilakukan kerana bermotifkan cemburu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090617064212/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...