Saturday, October 4, 2008

Tiada usul Gerakan keluar BN



Oct 3, 08 5:36pm

Tiada usul dikemukakan untuk membincangkan kemungkinan Gerakan meninggalkan Barisan Nasional dalam persidangan perwakilan tahunannya minggu depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, tiada negeri mencadangkan usul itu dalam pertemuan parti itu pada 10-12 Oktober.

Ahad lalu, pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, sentimen 60 peratus ahli mahukan ia meninggalkan BN.

Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan satu mesyuarat agung khas (EGM) diadakan bagi membincangkan kehendak majoriti ahli parti itu.

Bagaimanapun Koh hari ini dilaporkan berkata isu tersebut akan dibincangkan secara dalaman.

Chia juga berkata, walaupun tanpa usul keluar BN, isu itu mungkin akan turut dibahaskan oleh beberapa perwakilan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90688

Tindakan Hindraf boleh gagal rundingan bebas tahanan ISA


Oct 3, 08 3:55pm

Tindakan Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) menyerbu rumah terbuka Aidilfitri Perdana
Menteri dan menteri boleh menggagalkan rundingan bagi membebaskan lima pemimpinnya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sambil melahirkan rasa kecewanya, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan kira-kira 1,000 penyokong Hindraf menyerbu rumah terbuka itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PwTC), Kuala Lumpur kelmarin boleh menyebabkan segala rundingan antara MIC dengan kerajaan bagi membebaskan lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di Kamunting gagal.

Katanya, kerana taksub untuk menjadi ketua, terdapat pihak yang sengaja menjadikan perkara itu sebagai isu dengan tujuan supaya kelima-lima tahanan
terbabit terus ditahan.

"Sebenarnya ada pemimpin yang akan tertekan sekiranya tahanan ini bebas, segala penipuannya yang dijalankan semata-mata ingin menjadi ketua yang
disanjungi dan dihormati akan berkubur.

"Saya mahu semua kaum India yang menganggotai kumpulan ini berhenti mendengar segala nasihat dan tohmahan yang dikeluarkan pemimpin kumpulan ini serta meninggalkannya," katanya seperti laporan Bernama.

Samy Vellu turut mencabar pemimpin Hindraf P Waythamoorty, yang berada di London, untuk kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan kepada pengikutnya mengenai semua persoalan
termasuk wang hasil kutipan Hindraf selama ini.

"Jelaskan kepada mereka (pengikut Hindraf), adakah permergiannya ke London untuk menuntut hak RM1 juta untuk semua pengikut Hindraf atau menghabiskan semua duit anggota kumpulannya yang dikutip dan lari ke sana," kata Samy Vellu.

Bagaimanapun Hindraf menafikan ia menyerbu atau menimbulkan kekecohan di majlis itu seperti laporan beberapa media.

Penyelarasnya RS Thanenthiran dilaporkan berkata mereka mengirim surat rasmi untuk hadir di majlis tersebut untuk mengucapkan Selamat Hari Raya.

Tambahnya pembantu peribadi kanan perdana menteri Datuk Ahmad Yaakob menerima surat tersebut dan memaklumkan bahawa sesiapa sahaja boleh hadir di rumah terbuka Abdullah.

http://www1.malaysiakini.com/news/90672

Siasat rakyat tanpa kad pengenalan

Oct 3, 08 2:51pm

Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas memantau masalah yang kian meningkat berhubung rakyat Malaysia yang tidak berstatus warganegara.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan pasukan itu memantau teras masalah itu, di samping masalah berkaitan dokumentasi dan mencari penyelesaiannnya.

Pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam berkata isu itu menjadi kebimbangan terutamanya kebelakangan ini dan perlu ditangani dengan segera, lapor Bernama.

"Adalah menyedihkan ada sesetengah rakyat Malaysia masih dinafikan dengan dokumen pengenalan diri pada masa ini.

"Ini adalah melanggari hak asasi manusia kerana tidak ada rakyat Malaysia yang layak dinafikan dengan hak kewarganegaraan," katanya kepada agensi berita nasional.

Minggu lepas, pekerja sambilan P Ragu menjadi perhatian negara apabila terpaksa ke Perak dari Johor untuk memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membantunya mendapatkan MyKad, setelah menggunakan dokumen pengenalan sementara sejak 1998.

Susulan itu, MIC menganggarkan sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Malaysia keturunan India masih lagi tanpa dokumen pengenalan diri.

Subramaniam berkata Suhakam juga mengendalikan banyak kes seperti itu tetapi setiap kali perkara itu dibangkitkan pada Jabatan Perdaftaran Negara (JPN), ia diberitahu proses mendapatkan dokumen pengenalan diri adalah rumit dan memakan masa yang lama.

Beliau mencadangkan JPN mengambil kakitangan dan mengerahkan lebih ramai pegawai yang boleh bertutur dalam dialek tempatan di estet dan kawasan pedalaman bagi membantu penduduk mendaftarkan diri dan memupuk kesedaran pentingnya ibu bapa mendaftar anak mereka.

Suhakam dilaporkan berhasrat menyiasat kes seorang penduduk Sino-Kadazan berusia 78 tahun di Penampang yang diberikan kad pengenalan diri merah dengan status pemastautin tetap setelah kad pengenalan birunya hilang.

http://www1.malaysiakini.com/news/90666
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...