Monday, August 23, 2010

Ayam RM8 sekilogram

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/08/23

KUALA LUMPUR: Terdapat peniaga ayam di pasar dekat Jalan Ipoh dan Sri Petaling, di sini menjual ayam pada harga setinggi RM8 untuk setiap kilogram, sehingga membebankan pengguna apalagi ketika menjelang musim perayaan kini.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selva Raj, berkata selain itu hasil pemantauan, kaji selidik serta aktiviti turun padang pihaknya ke beberapa pasar di beberapa negeri pula, mendapati ada peniaga menjual ayam antara RM7 hingga RM7.50 untuk setiap kilogram.


Menurutnya, peniaga di beberapa negeri dikesan sewenang-wenangnya menaikkan harga ayam yang dijual di pasar sepanjang Ramadan ini, meningkat antara RM0.50 sen hingga RM0.70 sen untuk setiap sekilogram berbanding harga kebiasaan ia dijual iaitu sekitar RM6 dan RM6.50 sekilogram.


“Tindakan peniaga ini membebankan orang ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih.


“Daripada hasil pemantauan kita sejak bermulanya bulan puasa ini, kita dapati segelintir peniaga di Kuala Lumpur, Sungai Petani, Kedah selain Perak dan Johor menjual ayam pada harga tinggi dan ini sudah tentu membebankan pengguna.


“Kita kecewa dengan keadaan ini yang berlaku setiap kali musim perayaan walaupun acap kali usaha dijalankan bagi memastikan perkara ini tidak berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, lebih menyulitkan keadaan adalah apabila perkara itu dinyatakan kepada peniaga dan pembekal, mereka menyalahkan sesama sendiri hingga sukar untuk menyelesaikan kemelut terbabit.


Sehubungan itu, Paul menggesa pihak kerajaan khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) campur tangan dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang dinaikkan sesuka hati.


Katanya, Fama perlu menjadi orang tengah dengan membeli bekalan ayam dari pembekal kemudian jual kepada kepada peruncit bagi memastikan harga ayam sentiasa berpatutan.


“Dalam membantu meringankan beban pengguna, Fama boleh memainkan peranan apalagi tidak ada sebab kukuh mengapa harga ayam perlu dinaikkan setinggi itu sedangkan 100 peratus ayam yang dijual adalah keluaran tempatan.


“Bekalan ayam dalam negara tidak terjejas walau berlaku banjir atau musibah di luar negara seperti bekalan lain termasuk bawang putih yang terjejas harganya akibat faktor luar seperti banjir besar di Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga barang sepanjang bulan ini namun mengakui ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga juadah berbuka yang dijual di bazar Ramadan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AyamRM8sekilogram/Article

Kariah masjid nafi dakwaan

2010/08/23

PERMATANG PAUH: Kariah Masjid Jamek Al-Hidayah, Jalan Baru, di sini, menafikan pihaknya turut terbabit mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam doa khutbah solat Jumaat seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Pengerusinya, Ishak Mohd, berkata beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui akhbar utama dan berita di televisyen yang mengatakan masjid di bawah kendaliannya terbabit dalam kes berkenaan.


Katanya, pihaknya dukacita terhadap dakwaan berkenaan kerana perkara itu langsung tidak berlaku berikutan mereka sentiasa memantau pergerakan di masjid berkenaan dan setiap permasalahan yang timbul dibincangkan dalam kariahnya terlebih dulu.


“Saya menafikan perkara itu (doa kepada Lim Guan Eng) berlaku selain kami juga tidak pernah menjemput penceramah luar datang memberi ceramah di masjid kami sejak kami memegang pentadbiran masjid ini empat tahun lalu. “Kenapa kami perlu mengambil penceramah dari luar sedangkan kami sudah mempunyai empat khatib terdiri daripada kadi Bukit Mertajam dan tiga imam masjid ini bagi membacakan khutbah solat Jumaat.


“Apa yang saya kesalkan, dakwaan itu mencemarkan nama baik masjid ini. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana masjid adalah tempat untuk beribadat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Sementara itu, Imam Ketiga masjid berkenaan, Dalba Dansa Merican @ Nazir Ishak Merican pula berkata, beliau terkejut apabila membaca laporan akhbar pada 13 Ogos lalu mengenai kes mendoakan kesejahteraan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di masjid berkenaan.


Menurutnya, beliau pelik dan kecewa terhadap laporan berkenaan yang disifatkan tidak benar dan tidak tahu siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan cerita tidak betul itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kariahmasjidnafidakwaan/Article

Nyaris diculik



Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
2010/08/23

TELUK INTAN: Dua murid sebuah sekolah rendah, di sini, nyaris menjadi mangsa culik dalam satu kejadian di pekarangan sekolah mereka di sini, Jumaat lalu.

RAKAM ...gambar suspek yang berjaya dirakam kamera litar tertutup  di kawasan berdekatan pagar sekolah.
RAKAM ...gambar suspek yang berjaya dirakam kamera litar tertutup di kawasan berdekatan pagar sekolah.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an menghampiri murid darjah enam dan lima sebuah sekolah rendah di Jalan Padang Tembak di sini dan memberitahu mereka bahawa datuknya cedera parah, patah tangan dan kaki selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.

Mangsa yang terkejut kemudian bersetuju mengikuti suspek dan rakannya yang bersimpati memutuskan untuk menemaninya.

Namun ketika berjalan ke luar pagar sekolah, kedua-dua murid itu tiba-tiba sangsi dengan cerita suspek dan tindak tanduknya yang mencurigakan.

Selepas berbisik sesama sendiri, kedua-duanya bertindak melarikan diri secara tiba-tiba dan memberitahu perkara itu kepada seorang guru mengenai kehadiran suspek.

Guru itu kemudian bergegas ke pintu sekolah tetapi gagal menemui suspek yang dipercayai sudah melarikan diri selepas menyedari tembelangnya pecah.

Tindakan pengurusan sekolah memasang kamera litar tertutup berdekatan pintu pagar sekolah berjaya merakamkan aksi suspek yang berjalan bersama dua murid terbabit.

Bagi mengelak suspek mencari mangsa baru selepas gagal dalam cubaan culik dua murid itu, ibu bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggu ibu bapa mereka untuk pulang.

Katanya, polis kini memburu suspek yang cuba melakukan penculikan itu dan pada masa sama, turut memuji tindakan pihak sekolah memasang kamera litar tertutup.

Gadis sunti bermukah

Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/08/23

KULIM: Usianya baru menjengah 12 tahun, namun gelora nafsu seorang gadis sunti yang juga murid tahun enam, tidak dapat membendungnya daripada melakukan maksiat.

Lebih mengejutkan, ketika umat Islam menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, murid sebuah sekolah rendah di Kuala Ketil, dekat sini, bertindak di luar dugaan apabila berkhalwat bersama dua lelaki sekali gus pada siang hari.

Malah, ketika operasi mencegah maksiat dilakukan, remaja terbabit didapati sedang melakukan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki berkenaan dalam sebuah rumah di Taman Desa Aman, Karangan, dekat sini.

Dalam operasi dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, murid perempuan berkenaan didapati sedang bersetubuh dengan lelaki terbabit, manakala seorang lelaki lagi turut berada dalam rumah itu.

Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai perbuatan terkutuk remaja terbabit pada jam 10.35 pagi sebelum pegawai PADK, diketuai Sheikh Radzi Abdul Mutalib bersama tujuh anggota, membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, melalui intipan sebelum melakukan serbuan, pihaknya mendapati remaja perempuan itu bersama seorang lelaki berusia 23 tahun dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi lelaki turut berada dalam rumah sama.

“Gadis sunti itu baru mengenali lelaki berusia 23 tahun terbabit sebelum mereka melakukan hubungan seks,” katanya.

Azmi berkata, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun menjemput remaja berkenaan di Kuala Ketil sebelum membawanya ke rumah sewa lelaki itu di sini.

“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 20 tahun itu turut mengaku tidur bersama remaja perempuan terbabit pada malam sebelum itu.

“Mereka mengakui tidak mempunyai hubungan mahram dan ketiga-tiganya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan,”
katanya.

Menurutnya, gadis berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut manakala kedua-dua lelaki terbabit ditahan di lokap Balai Polis Kulim.

Difahamkan, polis mengklasifikasikan kes sebagai rogol kerana membabitkan remaja perempuan bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata sedikit kekecohan berlaku apabila ibu gadis terbabit dipanggil ke pejabat PADK berikutan ketidakpuasan hati wanita berkenaan terhadap tindakan anaknya dan pasangan.

“Ibu remaja itu memukul kepala, muka serta badan lelaki yang ditahan menggunakan kasut kerana tidak puas hati selepas anaknya didapati bersekedudukan, namun kekecohan berjaya dileraikan pegawai bertugas,” katanya.

Nyaris diculik depan sekolah


DUA orang murid nyaris menjadi mangsa culik ketika menunggu ahli keluarga mereka di depan sekolah ini di Teluk Intan kelmarin.


TELUK INTAN – Tindakan bijak dua orang murid sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini yang memaklumkan kepada pihak pengurusan selepas curiga dengan dakwaan seorang lelaki mengatakan datuk salah seorang daripada mereka terlibat kemalangan dapat menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada diculik.

Kejadian pukul 4 petang kelmarin itu berlaku ketika kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun tersebut didatangi seorang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan ketika mereka sedang menunggu ahli keluarga masing-masing untuk pulang.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika itu kanak-kanak tersebut berada di pekarangan sekolah dengan suspek terus datang dengan wajah cemas mengatakan datuk salah seorang mereka terlibat kemalangan berdekatan sekolah.

“Suspek mengatakan yang dia sanggup membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk menemani datuk mereka hingga membuatkan salah seorang mangsa mempercayainya.

“Bagaimanapun, selepas berfikir sejenak, rakannya telah mencadangkan supaya hal itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan sekolah dan mereka kemudian telah menemui seorang guru di pejabat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Pembantu rumah Timor Leste



KERAJAAN bercadang untuk mengambil pembantu rumah dari Timor Leste berikutan pembekuan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia sejak Jun tahun lalu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Pengambilan pembantu rumah dari Timor Leste merupakan satu daripada pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

"Ini merupakan satu daripada pilihan yang dipertimbangkan pihak kami (kerajaan).

"Kami ada bincangkannya tetapi kami masih belum buat sebarang keputusan mengenainya," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mempertimbangkan pengambilan pembantu rumah dari Timor Leste yang berjiran dengan Indonesia.

Ia berikutan pembekalan pembantu rumah dari republik itu dibekukan sejak Jun tahun lepas.

Terdahulu, Subramaniam yang merupakan seorang daripada Naib Presiden MIC menghadiri upacara "kumbhabhishekam" atau mentahbiskan Kuil Sri Maha Mariamman yang berusia 127 tahun di Jalan Bandar, di sini.

Beliau memberitahu, buat masa ini tumpuan kerajaan adalah terhadap negara-negara yang boleh menghantar pembantu rumah ke Malaysia seperti Kemboja, Sri Lanka dan Filipina.

Katanya, jumlah pembantu rumah dari Kemboja telah meningkat daripada 9,000 kepada lebih 30,000 dalam tempoh tiga hingga empat bulan lepas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Pondan tak peduli

Oleh SHAMRAN SARAHAN

2010/08/22

KUALA LUMPUR: Tak kenal dosa. Itu perbuatan sebilangan pondan beragama Islam yang berpeleseran menjaja maruah mereka di Lorong Haji Taib, Chow Kit, yang sangat mengaibkan.

Berdasarkan pemerhatian bermula jam 10 pagi, kegiatan itu aktif selepas jam 11 pagi. Difahamkan, ia berlanjutan hingga larut malam dan mereka hanya menghentikan operasi seketika pada waktu berbuka puasa antara jam 7 hingga 8 malam.


Kehadiran mereka dengan mudah dilihat di antara Lorong Haji Taib 1 dan 2 dan akan cuba menggoda lelaki yang lalu lalang di sekitar kawasan terbabit untuk mendapatkan pelanggan.


Melalui penyamaran, seorang pondan yang hanya mahu dikenali sebagai Bella cuba menawarkan khidmat seks, termasuk melakukan seks oral sebanyak RM50.


“Tak payah nak malu-malu, jomlah. Sini line clear (selamat),” katanya kepada wartawan Metro Ahad.

Beberapa pondan yang ditemui turut menawarkan harga yang sama untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu, bahkan ada yang menawarkan harga serendah RM30.


Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Razman, 51, berkata dia naik muak dengan perbuatan jijik pondan yang menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan sejak 10 tahun berniaga di kawasan terbabit.


“Lihatlah apa yang mereka lakukan, di bulan puasa begini pun mereka masih aktif melakukan aktiviti menjijikkan. Yang menyedihkan, tiada pantauan tegas dilakukan terhadap mereka.


“Jika ada pun, hanya bermusim. Sepanjang Ramadan perkara begini sepatutnya tidak berlaku, perlu ada tindakan tegas untuk menanganinya,”
katanya.


Bagi Adisman Dahlan, 48, pihak berkuasa sepatutnya peka dengan gejala tidak bermoral itu daripada berleluasa, lebih-lebih lagi ketika Ramadan.


“Cukup sedih kerana ia berlaku di depan mata kita, tetapi tidak ada apa-apa dapat dilakukan untuk menghalang mereka melakukan kerja terkutuk itu.


“Dalam hal ini pihak bertanggungjawab, termasuk masyarakat sendiri, perlu bersama membasminya. Ia menggambarkan imej teruk dalam masyarakat kita yang majoriti beragama Islam,
katanya yang juga peniaga dari Gombak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pondantakpeduli/myMA/myArticle/

Abai puasa Ramadan



Oleh FIRDAUS SAHAT dan MIOR AZLAN MIOR KAMARULBAID

2010/08/22

KUALA LUMPUR: Tua tidak sedar diri! Itulah yang boleh diibaratkan terhadap segelintir lelaki hidung belang beragama Islam yang sanggup berjoli di sebuah kelab dangdut di ibu kota pada bulan mulia ini semata-mata untuk melayan nafsu dengan pelayan pelanggan (GRO) yang rata-rata seksi dan gebu.

BUKTI... kelab dangdut masih mendapat perhatian pengunjung beragama Islam meskipun pada bulan puasa.
BUKTI... kelab dangdut masih mendapat perhatian pengunjung beragama Islam meskipun pada bulan puasa.


Mereka yang tidak mempedulikan Ramadan ini tanpa segan silu meneguk air kencing syaitan sambil rebah dibelai GRO terbabit.

Tinjauan Metro Ahad baru-baru ini mendapati, hampir setiap malam dianggarkan 50 pengunjung memenuhi pusat hiburan itu.


Malah, golongan lelaki berkenaan langsung tidak mempedulikan kesucian Ramadan dan mengabaikan ibadat Tarawih hingga sesetengah daripada mereka sanggup melakukan maksiat bersama pasangan masing-masing.

Tarian poco-poco yang popular sebagai aktiviti senaman turut dieksploitasikan golongan GRO itu bagi mewujudkan gerak tarian yang memberahikan bagi menarik perhatian pelanggan.

GRO terbabit juga bukan saja berpakaian seksi dan mempersembahkan aksi tarian mengghairahkan, malah turut tidak kisah jika bahagian tertentu tubuh mereka dipegang serta diraba pengunjung.

Berdasarkan pemantauan, kelab dangdut berkenaan dibuka seawal 8.30 malam setiap hari sepanjang bulan ini dan menyediakan hampir 30 GRO manakala pada hari biasa, kelab ini dibuka seawal jam 3 petang.

Tanpa rasa curiga, seorang ‘Mami’ yang mendekati wartawan menawarkan gadis sebagai peneman dengan bayaran hanya RM40 untuk satu jam, malah GRO berkenaan juga boleh dijadikan teman ‘geli-geli’.

Pada masa sama, golongan GRO itu boleh ditempah dengan bayaran RM200 serta dibawa keluar sehingga pagi sebagai pemuas nafsu, tetapi semua itu atas perbincangan bersama GRO terbabit.

Dalam perbualan wartawan bersama seorang GRO, dia mendakwa kelab dangdut itu jarang diserbu pihak berkuasa tempatan.

GRO itu juga mendakwa dia tidak risau dengan kehadiran pihak berkuasa kerana kelab berkenaan berada di luar ‘pandangan’ mereka.

Seorang pengunjung tegar yang ditemui wartawan berkata, sama ada puasa atau tidak, kelab dangdut berkenaan menjadi tempat persinggahannya.

“Di sini kita tidak perlu risau apa-apa. Jarang sekali pihak polis datang membuat serbuan, malah tiada aktiviti luar biasa diadakan.

“Paling kurang, saya mendapatkan khidmat bersuka ria dengan GRO, menari dan geli-geli. Malah, jika suka sama suka, saya perlu membayar GRO berkenaan, kemudian membawanya ke hotel untuk memadu kasih.


“Saya kerap datang ke kelab ini untuk mendapatkan khidmat sama selain melupakan penat lelah bekerja seharian,” katanya.

Sementara itu, mengulas aktiviti golongan lelaki berkenaan, penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, kebanyakan individu yang melakukan dosa terang-terangan seperti ini mengalami krisis keimanan.

“Bayangkan, kenapa seseorang itu sanggup membelanjakan wang ringgit ke pusat hiburan daripada datang ke masjid yang dipenuhi pelbagai juadah berbuka percuma?

“Malah, melangkah ke masjid juga menjadi pahala percuma kepada mereka daripada mengutip dosa besar ke tempat maksiat.


“Itulah yang kita gelar krisis keimanan. Benteng iman pada diri masing-masing luntur dan rapuh hinggakan tergamak melakukan maksiat pada bulan mulia ini.

“Pada masa sama, meskipun sudah berumur dan kebanyakannya boleh digelar ‘senja’, mereka mengalami kerosakan akhlak dan sukar meninggalkan kemungkaran. Malah kelakuan mereka turut menghina dan menjatuhkan maruah islam,”
katanya.

Menurut Hassan, golongan itu sesuai digelar lebai malang kerana sukar meninggalkan larangan-Nya, malah Nabi Muhammad SAW turut menamakan budaya berkenaan sebagai budaya lubang biawak.

“Budaya lubang biawak sama seperti individu yang gemar mencari keseronokan di pusat hiburan. Lepas satu pusat hiburan, dia mencari keseronokan di tempat lain pula.

“Ini sebenarnya penghalang dalam Islam. Perkara ini harus dibendung pihak berkuasa dan seharusnya mereka yang gemar melakukan kemungkaran ini disedarkan daripada terus terjerumus,”
katanya.

Ibu, bapa hilang



Oleh MOHD SABRAN MD SANI

2010/08/22

KUALA KRAI: Perasaan sedih menyelubungi jiwa sembilan beradik kerana sanggup bersusah payah menghasilkan sekeping kad hari raya semata-mata menagih kepulangan ibu bapa yang menghilangkan diri tanpa berita sejak setahun lalu.

ISI HATI...tujuh daripada sembilan beradik melukis kad hari raya  merayu kepulangan ibu bapa sempena Aidilfitri tahun ini.
ISI HATI...tujuh daripada sembilan beradik melukis kad hari raya merayu kepulangan ibu bapa sempena Aidilfitri tahun ini.
TIADA BERITA...Kasmaliza dan Mahadi melarikan diri.
TIADA BERITA...Kasmaliza dan Mahadi melarikan diri.


Hanya perkataan ‘Selamat Hari Raya Mama dan Papa’ menghiasi sekeping kad manila berwarna kuning, manakala tujuh tapak tangan menjadi simbolik rayuan kepulangan ibu bapa mereka, selain menjadi saksi pengikat silaturahim mereka adik beradik.

Biarpun tidak dapat merungkai isi sebenar kad terbabit, namun jauh di sudut hati sembilan beradik terbabit ingin menatap wajah ibu bapa di depan mata, apatah lagi kemuncak lebaran yang semakin hampir tidak lama lagi.


Wartawan Metro Ahad yang berkunjung ke rumah sembilan beradik terbabit di Kampung Tengah, di sini, petang kelmarin, terharu dengan kesungguhan anak kecil terbabit menghasilkan kad raya untuk ibu bapa mereka.

Walaupun sedar impian bertemu kembali ibu bapa yang ‘ghaib’ belum pasti, mereka tetap berusaha menghasilkan dengan sekreatif mungkin dengan matlamat unk bertemu kembali pada Aidilfitri tahun ini.

Kesungguhan mereka terbukti kerana mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghasilkan kad hari raya terbabit dan teruja menulis bait perkataan mengandungi 1,001 mesej kasih sayang dengan diselangi cap tapak tangan.

Sembilan beradik terbabit iaitu Nor Hidayah Mahadi, 13, Amirul Rizal, 11, Afiq Asyraf, 10, Natasha Emilia, 9, Arif Hafizi, 7, kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4, Naqiuddin, 3, dan Nia Khalisa, 2, hanya mampu tersenyum di sebalik kad terbabit.

Namun, kesayuan hati mereka tidak siapa tahu kerana masing-masing seperti membisu seribu bahasa dan enggan meluahkan isi hati, walaupun sedar sudah lama kering air mata menanti saat paling terindah dalam hidup mereka untuk bertemu kembali dengan ibu bapa.

Sebaik selesai menghasilkan kad terbabit, Amirul Rizal yang juga anak kedua pasangan Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansur, 31, berkata mereka lima beradik teruja untuk bertemu kembali dengan ibu bapa sempena Aidilfitri.

Namun hanya beberapa perkataan terkeluar daripada mulut kanak-kanak terbabit apabila meluahkan isinya; ‘mama dan papa baliklah, kami adik beradik rindukan kamu. Raya tahun ni kami nak raya bersama mama dan papa’.


Datuk mereka, Kassim Mat Diah, 55, berkata hatinya terlalu sedih mengenangkan nasib sembilan cucunya selepas ditinggalkan anak dan menantunya tanpa mengutuskan sebarang surat atau khabar berita sejak menghilangkan diri setahun lalu.

“Raya tahun ni genap setahun Ija (nama samaran Kasmaliza) dan Pudin (nama samaran menantu) meninggalkan anak mereka tanpa khabar berita. Perasaan cucu tidak siapa tahu kerana teringin bertemu dengan ibu dan ayah mereka.

“Setiap kali menatap wajah mereka, hati saya sebak. Manakan tidak, orang lain ada mak dan pak, demo ni (mereka) tak dok (tidak ada) kedua-duanya,”
katanya sambil melihat wajah cucunya yang tekun menghasilkan kad raya terbabit.

Kassim yang bekerja sebagai pemandu jentolak berkata, dia mengharapkan kepulangan anak dan menantunya selain melupakan perselisihan faham yang berlaku sebelum ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibu_bapahilang/myMA/myArticle

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...