Tuesday, August 18, 2009

H1N1: 64 mati, jumlah kes 4,225

Ogos 17, 09 11:14am
Wabak selesema A (H1N1) memakan dua lagi korban, seorang kanak-kanak lelaki 7 tahun dan seorang nenek berusia 74 tahun, menjadikan jumlah kematian 64 kes, setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 384 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 4,225 kes, lapor laman web
The Star.

Selasa lepas, jumlah keseluruhan dicatat sebanyak 2,253 kes dengan 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari, waktu itu.

Pendedahan perangkaan terbaru itu menunjukkan peningkatan mendadak dan luar biasa - kira-kira 2,000 kes dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Bernamapula melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga 9 pagi ini, sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad.

Manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Daripada jumlah yang dirawat di ICU, 17 kes mempunyai risiko tinggi.

Dr Mohd Ismail dipetik berkata bayi tersebut yang menghidap asma dimasukkan ke ICU hospital pada 7 Ogos lepas kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.

"Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lepas disebabkan 'severe pneumonia with acute respiratory failure'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan 'severe pneumonia'.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularannya dan meminta agar perhatian wajar diberikan dalam hal ini.

"Mereka yang bersimptom influenza perlu memahami bahawa walaupun simptom yang dialami adalah ringan, virus H1N1 masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin," katanya.

Oleh itu, beliau berkata sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada di rumah atau tidak mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga pulih.

http://www1.malaysiakini.com/news/110696

Hadiah untuk ibu

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my


KANGAR: Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Alida Abdullah dari Machang, Kelantan, menganggap anugerah itu sebagai hadiah kepada ibunya yang banyak mendorongnya selepas kematian bapa.

“Ibu yang banyak mendorong saya belajar bersungguh-sungguh, selain tidak jemu berdoa untuk kejayaan saya. Allhamdullilah, saya dapat membalas pengorbanan ibu dengan memperoleh anugerah ini,” katanya selepas majlis konvokesyen berkenaan di Dewan 2020 di sini, semalam.

Alida, 23, antara dua graduan yang menerima anugerah berkenaan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Ibu saya, Che Mek Seman amat mengambil berat mengenai pendidikan serta kerap menghubungi saya bagi mengetahui perkembangan sepanjang tiga tahun saya berada di UniMAP.

“Lagi pula saya anak bongsu daripada 11 beradik. Justeru, ibu memberi tumpuan lebih terhadap saya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan itu.

Che Mek bersama sembilan abang dan kakak Alida hadir meraikan kejayaannya. Bapa Alida, Abdullah Ibrahim, meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Mengenai cita-citanya, Alida berkata, dia akan meneruskan program pengajian dalam bidang kejuruteraan bahan sehingga ke peringkat sarjana di UniMAP sebelum merealisasikan impiannya menjadi pensyarah.

“Saya mungkin menjadi pensyarah di UniMAP selepas tamat pengajian peringkat sarjana dan secara tidak lansung membalas jasa universiti ini yang banyak membantu,” katanya.

Terdahulu, Raja Muda selaku Canselor UniMAP berkenan berangkat menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,012 graduan sempena konvokesyen berkenaan. Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Laillatul Shareen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Husin.

Sementara itu, Kamarudin pula meminta graduan supaya tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang diperoleh di UniMAP untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah serta boleh mengundang kemudaratan kepada negara.

“Saya harap mereka tidak terbabit dengan kegiatan atau diperalatkan kumpulan penganas untuk membuat bahan letupan. Graduan perlu menggunakan kemahiran untuk kebaikan negara.

“Walaupun mereka berkemampuan mencipta bahan letupan, namun saya yakin graduan kami bebas daripada kumpulan ekstrimis atau mempunyai talian dengan kumpulan pengganas,”
katanya.

28 kes dikesan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


SERDANG: Tiga lagi korban baru termasuk seorang kanak-kanak sindrom down meninggal dunia berikutan dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat serangan wabak berkenaan di negara ini meningkat kepada 62 orang.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu yang turut menghidap penyakit jantung berlubang, dimasukkan ke hospital 9 Ogos lalu selepas dua hari dikesan mengalami simptom H1N1, namun meninggal dunia Khamis lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dua lagi mangsa membabitkan seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun dan lelaki (50 tahun).

“Kanak-kanak berusia tiga tahun itu meninggal dunia disebabkan pneumonia yang teruk, manakala lelaki 50 tahun berkenaan pula akibat septisemia dengan pneumonia yang teruk. Kedua-dua mereka meninggal dunia Jumaat lalu.

“Dengan tiga kematian terbaru itu menjadikan sebanyak 283 kes baru dikesan dan sejumlah 3,857 kes disahkan positif H1N1 setakat ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Sihat Sepanjang Hayat Kawasan Serdang, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Serdang Baru 1, semalam.

Mengulas lanjut, Liow berkata, setakat ini daripada 283 kes baru itu, sebanyak 213 pesakit masih dirawat di wad biasa dan 33 lagi di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sebanyak 16 kes mempunyai faktor berisiko membabitkan tujuh penyakit kronik, asma (tiga), obesiti (dua), kecacatan otak (dua) dan masing-masing satu yang sedang hamil serta lepas bersalin,” katanya.

Mengulas kerjasama di kalangan orang ramai terutama pesakit mengalami simptom H1N1 untuk mengawal penularan wabak berkenaan, beliau berkata, masih ramai yang mengabaikannya.

“Di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, sesiapa yang mengetahui sesuatu penyakit boleh merebak kepada orang awam dan sengaja tidak mengendahkan larangan dikuarantin hingga menyebabkan orang lain dijangkiti, boleh didenda sebanyak RM2,000 atau dikenakan penalti maksimum sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu, segeralah ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan jika didatangi simptom H1N1. Saya juga ingin nasihatkan doktor supaya tidak berlengah untuk memberi antiviral kepada pesakit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090817075051/Article/index_html

Setimpal pengorbanan isteri

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Biar nilainya tinggi (bayaran ganti rugi) kerana inilah harga pengorbanan seorang isteri,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai wanita yang membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami apabila berlaku perceraian sekali gus dipersoalkan sama ada menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak.

Noor Aziah berkata, masyarakat tidak wajar mempersoalkan tuntutan bernilai tinggi kerana mutaah atau merujuk kepada bayaran ganti rugi kerana dicerai tanpa sebab adalah hak seorang wanita.

Katanya, bekas suami sepatutnya sedar pengorbanan isteri yang diceraikan, malah jika dihitung ia tidak ternilai dengan kesanggupan wanita melahirkan anak dan memperhambakan diri pada rumah tangga.

“Sebenarnya pengorbanan isteri lebih mahal daripada apa yang mereka peroleh selepas bercerai, sebab itu mutaah penting apatah lagi ia hak wanita dengan akhirnya dibayar sebagai pengorbanan harta perkahwinan.

“Kalau diikutkan tidak ramai wanita tahu mengenai kepentingan mutaah ini, namun sekarang semakin berubah dan wanita makin sedar hak mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Metro Ahad semalam melaporkan sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal dan elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta.

Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan.

Noor Aziah yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata mutaah yang dibayar suami perlu seimbang dengan pengorbanan isteri.

“Ini termasuklah berapa lama mereka hidup bersama dengan tanggungan anak, semua kena seimbang supaya isteri diceraikan mampu memulakan hidup baru dengan lebih baik berdasarkan wang mutaah itu.

“Perundangan kita tidak menetapkan berapa wajib dikenakan mutaah, tetapi kalangan peguam syarie selalu berbincang supaya serendah-rendah mutaah biarlah RM3 sehari, apapun tertakluk hakim yang memutuskan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wanita yang menjadi mangsa bekas suami tidak membayar mutaah mengikut persetujuan, supaya merujuk kes berkenaan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sudah menjadi tanggung jawab bekas suami menjelaskan mutaah, bayaran edah dan nafkah anak apabila bercerai, justeru mereka tidak boleh lari daripada melunaskan tuntutan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090817075324/Article/index_html

Tujuh cedera gempa di Sumatera

JAKARTA - Sebanyak tujuh orang cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 6.9 pada skala Richter berlaku di Sumatera semalam, kata beberapa pegawai.

Ketua Pusat Krisis Kesihatan Sumatera Barat, Jasmarizal memberitahu, tujuh orang itu dirawat di hospital kerana cedera ringan di bandar Padang.

"Sebanyak lima orang cedera apabila lif di sebuah pusat beli-belah di utara Padang terjatuh. Dua lagi cedera selepas pagar di rumah mereka runtuh," katanya.

Menurutnya, setakat ini tidak ada laporan kecederaan dan kerosakan di Pulau Siberut.

"Namun, penduduk melarikan diri ke kawasan pergunungan demi keselamatan mereka," katanya.

Gempa bumi itu berlaku 56 kilometer Tenggara Siberut, Selatan Sumatera, Indonesia pada pukul 3.38 petang.

Gempa bumi itu diikuti dengan satu siri gegaran berukuran 5.9 pada skala Richter pada pukul 7.49 waktu tempatan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Gempa di sumatera, gegaran sampai ke Malaysia



Salah sebuah apartmen di Bandar Tasik Permaisuri di Cheras yang turut merasai gegaran semalam.


KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi kuat berskala 6.9 pada skala richter berlaku di 56 kilometer di Tenggara Siberut, Selatan Sumatera, Indonesia semalam.

Ekoran gempa bumi pukul 3.38 petang itu, gegarannya dirasai di sekitar perairan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi, gempa itu berpusat di latitud 1.6 darjah Selatan dan longitud 99.4 darjah Timur dan 541 km ke tenggara Melaka.

Jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini berkata, pihaknya menerima panggilan orang ramai mengenai gegaran yang dirasai di sekitar bandar raya sejak pukul 4 petang.

Antara lokasi gegaran ialah di kawasan Wangsa Maju, Desa Petaling dan Bandar Tun Razak.

Di Johor Bahru pula, beberapa bangunan tinggi di bandar raya itu termasuk Menara Landmark di Jalan Ngee Heng, Hotel Selesa di Jalan Datuk Abdullah Tahir dan Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Yahya Awal turut mengalami gegaran berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Larkin berkata, ekoran gegaran yang dirasai pada pukul 4.10 petang, semua orang awam dan kakitangan telah diarahkan keluar dari bangunan itu tetapi kemudian dibenarkan masuk semula selepas disahkan selamat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Gelombang kedua H1N1 belum tiba

KUALA LUMPUR - Kebimbangan orang ramai kononnya negara kini dilanda gelombang kedua selesema babi atau H1N1 sehingga menyebabkan kematian meningkat setiap hari adalah tidak benar.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, orang ramai perlu faham tentang penularan wabak H1N1 di dalam negara sekarang.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ialah penyebaran di dalam komuniti yang masih berada pada fasa pertama penyebaran.

"Kita belum sampai tahap tersebut (gelombang kedua)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, pemberitahuan berlakunya gelombang kedua bukan dibuat oleh kementerian tetapi sebaliknya akan diumumkan sendiri oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila gelombang itu melanda kelak.

"H1N1 merupakan wabak mengancam seluruh dunia dan bukan negara kita sahaja mengalaminya. Sehubungan itu, apa jua pemberitahuan akan dimaklumkan melalui WHO mengenai peringkat penyebaran semasa," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...