Monday, August 8, 2011

Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi

(*Artikel lama, dicadangkan untuk pembacaan)

ZAKAT BERBAKI ATAU KITA KURANG BIJAK MEMBAHAGI

Mendengar cerita seorang anak yang hidup melarat dalam kemiskinan, tentulah menyanyatkan hati. Lebih menyayatkan hati jika kita ketahui bapanya masih hidup dan kaya raya pulak. Demikian mendengar dan menonton kisah-kisah kemiskinan dan derita kehidupan akibat kefakiran di negara kita yang disifat kaya dan senang amat menyanyatkan hati. Lebih menyanyatkan apabila kita mengetahui adanya pihak-pihak yang menguruskan zakat dengan mengumumkan lebihan zakat puluhan bahkan ada yang sampai ratusan juta saban tahun.

Akur Tapi Hairan

Sebelum saya meneruskan pena ini, saya terlebih dahulu ingin mengakui banyak hasil kerja dan usaha baik yang telah pun dibuat oleh pihak-pihak yang menguruskan zakat. Juga tulisan tidak ditujukan kepada pihak-pihak yang telah pun melaksanakan amanah mereka. Sebaliknya tulisan mewakili hati dan perasaan kehairanan sebahagian besar kaum muslimin yang tertanya-tanya terutama apabila melihat kisah-kisah duka kemiskinan yang dipaparkan oleh berbagai media. Ke mana perginya zakat dan pengurusannya?! Mengapakah masih ada lebihan zakat, sedangkan lebihan fakir miskin terus wujud?! Zakat tidak mengapa berlebihan jika semua asnaf sudah habis diberikan. Namun amat dukacita jika ramai yang menadah simpati dan tidak diberi, sedangkan zakat masih berbaki. Bahkan kadang-kala saya merasakan seakan program-program derita kemiskinan yang dipaparkan oleh sesetengah media adalah pukulan yang amat perit terhadap institusi zakat kita. Malulah kita hendak dibandingkan badan-badan kebajikan bukan Islam. Walaupun mereka tidak berkempen sakan untuk mengutip wang, tetapi selalu kita mendengar berita mereka memberi. Sedangkan kefarduan zakat yang ditetapkan oleh Allah mempunyai falsafah dan objektif yang amat hebat terhadap pembentukan masyarakat muslim. Nampaknya kita telah berjaya mengumpul, namun belum cukup berjaya membahagikannya.

zakat.jpg

Gambar Hiasan

Tidak Tahu

Saya pernah bertanya hal ini, ada yang menjawab; mana kita tahu, mereka tidak dapat meminta. Sebenarnya, tidak sepatutnya pengurusan zakat terlalu banyak bergantung kepada borang pemohonan. Usaha mencari adalah lebih utama. Ini kerana kebanyakan ‘mak cik-mak cik’ yang telah tua itu amatlah beban bagi mereka untuk mengisi borang. Bahkan dalam Islam, orang miskin yang tidak meminta itu lebih afdal untuk diutamakan. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 273:

(maksudnya) “(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak. dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.

Orang miskin dikenali dengan ciri-cirinya, sekalipun tidak meminta. Demikian penjelasan ayat ini. Malanglah bagi pengurusan zakat, jika stesyen televisyen dapat menemui mereka yang miskin melarat lagi menderita, tetapi yang diamanahkan untuk menguruskan zakat tidak berjumpa. Islam tidak suka budaya meminta. Ia suka budaya mencari untuk memberi. Menubuhkan badan penyiasat kemiskinan sebahagian dari tanggungjawab pengurusan zakat.

Beri Tanpa Fikir

Juga adalah mendukacitakan, jika wang zakat ini diberikan sekadar seratus atau dua ratus yang hanya cukup untuk setengah bulan atau sebulan. Kemudian terpaksalah si miskin menunggu tahun hadapan pula. Lebih malang lagi jika mereka terpaksa menunggu majlis yang dihadiri wartawan untuk mengambil hak zakat mereka. Sepatutnya zakat diberikan dengan kadar yang mengeluarkan si miskin dari daerah kemiskinan.

Dengarlah kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”.

Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)

Maka Saidina dalam kepimpinannya berusaha mengeluarkan mereka yang fakir dari daerah kefakiran dengan menggunakan harta zakat. Bukan sekadar memberi mereka beberapa suap makanan atau beberapa dirham wang. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, 2/568, Beirut: Muassasah al-Risalah).

wang_zakat.jpg

Gambar Hiasan

Untuk Kahwin

Ramai muda-mudi yang tidak mampu berkahwin disebabkan faktor kewangan. Bukan tidak mampu menyara isteri, tetapi kos perkahwinannya. Mereka berhak mendapat zakat di bawah peruntukan kemiskinan. Ini kerana perkahwinan adalah sebahagian dari keperluan insan dalam hidup. Justeru itu pada zaman ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz beliau memerintahkan agar diiklankan setiap hari:

“Sesiapa di kalangan orang yang miskin, yang berhutang dan yang ingin berkahwin sila dapatkan peruntukan dari Baitul Mal” (ibid, 2/569).

Jika hal ini dilakukan dengan baik, tentulah banyak gejala sosial dapat diatasi dan barangkali zakat pun tidak berbaki lagi.

Sempit

Antara perkara yang mendukacita juga tentang zakat kita ialah, fokus pemberian zakat kepada para pelajar yang tidak berkemampuan banyak tertumpu kepada bidang agama. Sedikit pula perhatian atau jumlah zakat yang dikeluarkan kepada para penuntut ilmu yang bukan pengkhususan agama. Bidang-bidang perubatan, persenjataan, ekonomi dan seumpamanya kurang diberikan perhatian. Ini berlaku atas beberapa sebab. Antaranya; sempitnya konsep ilmu dan kefahaman tentang keperluan umat di zaman ini. Pada hal bidang-bidang itu adalah kritikal dan antara penentu kepada survival umat. Mungkin juga ada yang menganggap, mereka itu telah mendapat bantuan. Sebenarnya, jumlah umat Islam yang diperlukan untuk sesetengah bidang tersebut amat tinggi. Sementara kuota bantuan kerajaan adalah terhad. Ramai yang tidak dapat menyambung pelajaran ke bidang-bidang tersebut disebabkan tidak mampu kerana tiada bantuan. Ke mana perginya wang lebihan zakat?! Pelajar-pelajar yang mendapat habuan zakat untuk jadi ustaz sudah ramai. Mungkin kita dah terlebih ‘ustaz’. Tapi kita masih kurang pakar-pakar perubatan dan teknologi yang lain. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu menyebut:

“Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata. Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti mana yang diputus oleh para penganalisa hukum. Maka tidak hairan kita dapati para ahli fekah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa, dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa, seperti mana yang diperlukan oleh ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seorang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fekah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya. Kita mendapati pula ahli-ahli fekah mazhab Hanafi membolehkan dipindahkan zakat daripada satu negeri ke negeri yang lain –menyanggahi kaedah biasa- sekiranya pemindahan itu untuk penuntut ilmu yang memerlukan” (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570).

Jikalau kefahaman kita diluaskan sehingga sebegini, maka banyak peluang akan terbuka kepada anak-anak kaum muslimin meneruskan pengajian dalam berbagai bidang. Tidak ada lagi cerita insan yang tidak mampu ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran. Juga tidak ada lagilah kisah pelajar kita yang tidak mampu membeli buku rujukan dalam bidang-bidang yang tinggi kosnya seperti perubatan, sedangkan zakat kita berlebihan.

Mazhab Terbuka

Di negara kita ini, dalam masalah muamalah nampaknya –alhamdulillah- kita sudah mula mesra berbagai mazhab. Banyak pandangan agama kita sudah mula terbuka. Kita mesti terus melihat lebih dari satu mazhab dalam masalah fekah selagi mana ia berteraskan dalil-dalil yang diiktiraf oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Apa sahaja pandangan yang boleh menyempitkan fungsi zakat, mestilah dielakkan. Melainkan ada dalil yang jelas. Dahulu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah mengkritik fahaman kita tentang zakat. Katanya dalam tulisannya Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir :

“Aku masih teringat, beberapa tahun dahulu aku telah melawat negera-negara Asia Tenggara. Antaranya Indonesia dan Malaysia. Di sana antara soalan penting yang berulang kali ditanyakan kepadaku, khas di Malaysia, oleh Canselor Universiti Malaya, para pensyarah dan pelajarnya ialah: “Adakah wajar siasah ekonomi Islam yang tidak mewajibkan zakat kepada peladang-peladang besar yang memiliki ratusan, bahkan ribuan hektar tanaman getah, atau teh, atau kelapa, atau mangga dan lain-lain, dalam masa yang sama mewajibkan zakat ke atas petani-petani kecil yang bertani gandum atau padi dalam kawasan yang kecil? Mereka mungkin juga tidak memiliki tanah pertanian tersebut, sebaliknya hanya menyewa?!!.Bentuk dan cara soalan ini bukan sekadar khayalan atau rekaan. Bahkan ia menggambarkan keadaan yang berlaku di sana. Keadaan yang digunakan kesempatan tersebut oleh golongan komunis dan seumpamanya untuk memburukkan gambaran dan hakikat zakat bagi mempengaruhi golongan muslim yang berpendidikan…sebab hal ini berlaku ialah kerana majlis-majlis agama Islam mereka terikat dengan mazhab yang diamalkan di sana iaitu mazhab al-Syafi’i r.a. Ia adalah sesempit-sempit mazhab empat dalam mewajibkan zakat tumbuhan dari bumi. Mazhab al-Syafi’i tidak mewajibkan melainkan apa yang menjadi makanan asasi sahaja, dan tidak selain itu. Bukan di sini untuk di bincangkan pandangan tersebut. Aku telah bincangkannya dalam bukuku Fiqh al-Zakah, sila rujuk. Apa yang ingin aku katakan di sini ialah; sesungguhnya pendapat al-Imam al-Syafi’i atau imam-imam yang lain (r.ahum) hanyalah ijtihad. Empunya diberikan pahala, samada salah ataupun betul. Maka menjadi hak kita untuk meninggalkan pendapat tersebut apabila ternyata kepada kita ia lemah dan selainnya lebih kuat” (Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir, m.s. 15-16, Beirut : Muassasah al-Risalah 1994).

Pindah Zakat

Pandangan-pandangan yang lebih luas patut dilihat. Antara masalah kita ialah sesetengah pihak terikat terlalu ketat dengan anggapan bahawa zakat sesuatu negeri tidak boleh dipindahkan ke negeri lain. Walaupun pendapat itu mempunyai alasan dari segi nas dan kepentingan setempat, namun ada kelonggarannya. Ada yang kata negeri kami semua dah cukup, sebab itu lebih. Lagi pun zakat tidak boleh pindah ke negeri lain. Inilah barangkali sebab berlakunya lebihan zakat. Sebenarnya anggapan ini salah. Para mujtahid Islam (ahli ijtihad) berijmak (sepakat) bahawa zakat boleh dipindahkan ke negeri lain jika ahli negeri zakat tersebut sudah mencukupi atau tidak memerlukan lagi. Lihatlah perbahasan hal ini dalam kitab-kitab fekah. Pemerintah atau pengeluar zakat itu sendiri boleh membawa zakat ke negeri atau tempat yang lain, jika berdasarkan keyakinan adanya keperluan atau kemaslahatan yang patut diutamakan di tempat atau negeri yang lain. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/820). Bahkan pendapat al-Imam al-Bukhari mengharuskan secara mutlak dipindahkan zakat ke negeri lain di atas keumuman dalil Surah al-Taubah ayat 60 yang hanya menyebut asnaf yang layak menerima zakat tanpa dikhususkan tempat. (lihat: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 3/357, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Zakat Untuk Dakwah

Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya, Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf. Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam. Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah. Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka. Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan ‘saudara baru’ yang sedia ada pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam.

Amanah Allah

Banyak perkara jika hendak bincangkan tentang kesan zakat jika ia berfungsi dengan baik. Amanah Allah kepada pengurusan zakat dalam ayat 60 Surah al-Taubah itu hendaklah dipandang berat. Firman Allah:

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Wang zakat bukan milik pihak pengurusan. Sebaliknya amanah yang mesti diserah dengan sebaiknya kepada yang berhak. Janganlah jadikan golongan yang berhak itu bagaikan peminta sedekah yang menagih simpati pengurusan zakat. Janganlah pula kereta para pegawai zakat sudah berulang tukar, sedangkan si miskin masih dengan rumahnya yang hampir roboh, anak yang sakit tidak berubat, yuran pengajian yang tidak mampu dibayar dan segala kesedihan yang lain. Janganlah pula si fakir terpaksa mencari tambang untuk datang ke pejabat zakat, sedang pegawai zakat hanya tersandar di kerusi cantik menunggu peminta datang.

Jika zakat benar-benar berfungsi, tentulah nasib umat tidak sebegini. Namun hanya kepada Allah kita mengadu. Umat kehairanan. Mereka kadang kala bertanya: adakah pengurusan zakat hanya bijak mencari, tapi tidak bijak memberi dan membahagi. Saya tidak tujukan tulisan untuk semua pihak yang menguruskan zakat. Bagi yang telah menepati pengurusan yang baik, hal ini tiada kaitan dengan mereka. Jika yang belum, tulisan patut diberi perhatian. Jangan sampai dituntut pada Hari Mahsyar kelak. Biarlah ada yang membantah hari ini. Jika kita sudah menepati, al-hamdulillah. Jika belum, baikilah.


http://drmaza.com/home/?p=1256

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah

Artikel lepas dicadangkan untuk bacaan bersempena Ramadhan

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.


Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.”(Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya:“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata:“Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir(riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.


http://drmaza.com/home/?p=75

Sahur Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya

Soalan: Dr Asri yang dihormati, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan. Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah Dr Asri nasihatkan kami apa yang terbaik?

Mizan, KL.

Jawapan Dr MAZA: Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar. Adapun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;

1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi s.a.w:

“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

Maka, kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.

2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w :

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.

3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar. Nabi s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.

4. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

5. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.

6. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

7. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.

8. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.

9. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.


http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=64

Adab Berbuka Puasa – Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.

Artikel lepas dicadangkan untuk bacaan bersempena Ramadhan

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

  2. Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

    “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

    (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  3. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

    “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

    (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

  4. Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

    “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

    (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

  5. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

  6. Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

    “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Riwayat di atas juga menambah:

    Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

    (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

    Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

    “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

    (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

    Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

    Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

    “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

    (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  7. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

    Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

    (Surah al-`Araf:31).

  8. Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

    “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

    (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

    Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

  9. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

    “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

    (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

  10. Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

    ”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

    (Faidh al-Qadir, 2/500).

    Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

    “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

    (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

    Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

  11. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

    “Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

    (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

**Artikel yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini ialah “Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah”. Sila klik di sini untuk artikel tersebut.


http://drmaza.com/home/?p=391

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...