Friday, May 22, 2009

25 pelatih PLKN masih dirawat


ROSYATI YUSOF mengusap muka anaknya, Siti Nazlia Mohd. Nazir, 18, di Hospital Serdang semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 25 pelatih Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas, Semenyih masih menerima rawatan kerana disyaki mengalami demam selesema, berkurangan berbanding 30 pelatih kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata, lima pelatih lagi sudah dibenarkan keluar dari bilik isolasi kem berkenaan.

Beliau berkata, daripada 25 pelatih yang masih dirawat, 19 pelatih dirawat di bilik isolasi kem, manakala lima lagi di Hospital Serdang dan satu di Hospital Kajang.

Katanya, lima pelatih yang dirawat di Hospital Serdang merupakan dua pelatih yang dirujuk dari Hospital Kajang manakala baki tiga pelatih dirujuk dari Kem PLKN untuk tujuan isolasi dan rawatan lanjut.

Dr. Ismail berkata, semua pelatih berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan dua pelatih yang dirawat di hospital dijangkiti infeksi respiratori iaitu infeksi Adenovirus. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Tangguh balik jika demam

PUTRAJAYA - Sesiapa sahaja, daripada pelancong asing hingga kepada rakyat dan pelajar Malaysia di Amerika Syarikat dinasihatkan supaya menangguhkan rancangan ke negara ini jika mereka ada simptom influenza A (H1N1) seperti demam dan selesema.

Kebimbangan pihak berkuasa Malaysia mengenai penularan semula wabak itu ialah ekoran cuti musim panas yang mungkin menyaksikan ramai pelajar Malaysia pulang bercuti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, nasihat itu bukan bermakna pihak berkuasa tidak bersedia menghadapi kebanjiran masuk orang ramai terutama dari negara yang mempunyai banyak kes H1N1 seperti Amerika Syarikat.

"Kedatangan mereka ini dialu-alukan dan ia bukanlah satu masalah kerana kita ada persediaan yang cukup bagi mengawal penularan wabak itu.

"Cuma harapan kita sebaik-baiknya tangguhkan dulu jika demam, jika tidak mereka akan dikuarantin apabila tiba di Malaysia," katanya pada pemberita di sini semalam.

Beliau baru pulang daripada menghadiri persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Katanya, mesyuarat itu diberitahu mengenai kebimbangan bahawa virus penyakit itu boleh merebak dengan lebih cepat pada musim sejuk di negara-negara hemisfera selatan.

Mengenai status dalam negara, Tiong Lai berkata sehingga semalam, tiada kes baru yang disahkan positif virus influenza A walaupun terdapat 16 kes yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Terima bil telefon ‘hantu’

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas hanya dua bulan MyKadnya hilang, seorang pelajar tersentak apabila menerima bil telefon ‘hantu’ berjumlah ribuan ringgit yang dihantar sebuah syarikat telekomunikasi secara berterusan sehingga kini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa didakwa menggunakan empat nombor telefon bimbit berbeza disediakan syarikat itu sejak sembilan bulan lalu walaupun tidak pernah mendaftar talian berkenaan.

Lim You Sun, 20, yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota mendakwa masalah itu bermula Oktober tahun lalu apabila dia menerima empat penyata bil telefon meminta melunaskan pembayaran talian yang digunakannya sepanjang bulan berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat semua penyata bil berlainan nombor berjumlah lebih RM3,000 itu didaftar menggunakan nama saya serta dipos ke kampung halaman di Melaka. 

“Perkara itu dianggap tidak munasabah kerana saya hanya menggunakan satu nombor telefon bimbit dan ia kemungkinan didalangi seseorang yang menggunakan MyKad saya untuk pendaftaran semua talian berkenaan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, dompet miliknya berisi MyKad dan dokumen lain hilang selepas pulang dari sebuah pasar malam di Cheras pada 30 Julai tahun lalu.

Kata Lim, dia cuba menghubungi semua nombor itu dan mendapati dua daripadanya sudah ditamatkan perkhidmatan. 

“Saya seterusnya pergi ke syarikat telekomunikasi untuk menjelaskan perkara sebenar dan meminta membatalkan pembayaran bil telefon itu.

“Bagaimanapun, kakitangan syarikat itu seolah-olah tidak mengendahkan permintaan saya dan masih menghantar bil sehingga ke hari ini yang mencecah RM9,000,”
katanya yang turut membuat dua laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521054731/Article/index_html

4 beranak tiada tandas, bekalan air



KUANTAN: Empat beranak di Kampung Sepat, di sini, bukan saja hidup dalam kedaifan, malah kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiami tidak dilengkapi sistem pembetungan najis menyebabkan mereka terpaksa menggali lubang di belakang rumah untuk membuang air kecil atau besar.

Lebih memburukkan keadaan, kediaman dibina kerajaan negeri untuk rakyat miskin itu turut tidak dilengkapi sistem paip untuk menyalurkan bekalan air bersih.

Ketua keluarga berkenaan, Abdullah Salleh, 55, berkata keadaan serba kekurangan itu terpaksa dilalui mereka sekeluarga sejak mendiami rumah itu tiga tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa menggali perigi bagi mendapatkan sumber air untuk kegunaan harian seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian.

“Mujur, adik-beradik membantu membelikan pam penyedut air bagi memudahkan saya sekeluarga menggunakan air perigi berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, dia hanya menyara keluarga dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil bekerja sebagai tukang sapu di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Hijrah, dekat Penor manakala isteri, Samsiah Ismail, 33, tidak bekerja menyebabkan mereka tidak mampu membina sistem pembetungan sendiri.

“Saya hairan mengapa kediaman PPRT yang dibina tidak dilengkapi sistem pembetungan najis.

“Walaupun, pemaju membina bilik air dan tandas yang dilengkapi mangkuk tandas tetapi apa gunanya jika tidak ada salur kumbahan dan paip,”
katanya.

Bukan Influenza A

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


SERDANG: “Saya dimaklumkan doktor anak perempuan saya mempunyai tanda-tanda awal menghidap penyakit Influenza A (H1N1).

Seluruh hidungnya bernanah dan dia akan ditahan selama seminggu,” kata Rosyah Yusof, 45, ibu kepada Siti Nadlia Mohd Nazir, 18, seorang daripada tiga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Setia Ikhlas, Semenyih, dekat sini, yang dikuarantin di Hospital Serdang (HS), sejak semalam.

Difahamkan, tindakan kuarantin itu dilakukan berikutan 30 pelatih terbabit disyaki menghidap penyakit influenza selepas mengalami demam panas, namun pihak kementerian menafikan mereka dijangkiti penyakit H1N1.

“Saya berharap dia tidak dijangkiti penyakit itu dan segera sembuh,” katanya ketika ditemui di HS, semalam.

Tinjauan Harian Metro di hospital itu mendapati dua pelatih wanita dan seorang lelaki ditahan di bilik khas untuk proses kuarantin.

Manakala 27 lagi pelatih yang dikuarantin di bilik isolasi Kem Setia Ikhlas hanya demam biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menasihatkan ibu bapa semua pelatih yang dikenal pasti mempunyai simptom influenza, tetapi tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1) tidak panik dan sentiasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai simptom itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih terbabit diberi rawatan dan pengawasan ketat oleh Kementerian Kesihatan dan Hospital Serdang.

“Doktor sedang menunggu keputusan ujian darah yang dijangka keluar selewat-lewatnya esok (bagi pesakit yang sedang dirawat).

“Dua pembantu perubatan sudah dihantar ke kem itu bagi mengawasi keadaan pelatih lain,”
katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, berkata semua pelatih terbabit disyaki mengalami simptom influenza, namun dipercayai tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Mereka mengalami gejala demam, batuk ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu sebelum diberikan rawatan susulan.

“Seramai 26 pelatih kini dirawat di bilik isolasi kem itu, manakala tiga lagi dirawat di Hospital Serdang dan seorang daripada mereka ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU),”
katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya akan membuat pengawasan dan kawalan bagi menangani situasi itu termasuk melakukan pengawalan vektor untuk memastikan virus berkenaan tidak menular.

“Antara tindakan diambil ialah semburan kabus, kajian aedes, pemantauan, pemeriksaan harian semua pelatih, merawat serta merujuk kes yang berisiko ke hospital berhampiran,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jenis influenza berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Kami baru menerima kes itu pagi ini (semalam). Sampel sudah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki menghidap demam denggi.

“Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061519/Article/index_html

104 pelatih PLKN keracunan lepas makan ‘ayam busuk’



PASIR MAS: Hidangan makan malam berlauk ‘ayam busuk’ dipercayai menjadi punca 104 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Cancun Park di sini, mengalami keracunan makanan, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 35 pelatih dihantar ke tiga hospital termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) dan Hospital Pakar Perdana untuk rawatan lanjut.

Kejadian kali ketiga membabitkan kem sama tahun ini menyebabkan seorang pelatih terpaksa ditahan di wad manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku selepas semua pelatih menikmati hidangan nasi goreng berlauk ‘ayam busuk’ yang disediakan kontraktor makanan kem itu untuk sajian makan malam.

Selepas 45 minit menikmati hidangan itu, pelatih mengadu sakit perut kepada jurulatih menyebabkan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan pelatih PLKN kem itu, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Malam tadi (kelmarin) berlaku satu lagi satu episod keracunan membabitkan pelatih PLKN. Berdasarkan siasatan, kami percaya kejadian itu berpunca daripada hidangan ayam busuk yang dinikmati bersama nasi goreng,” katanya pada sidang media di Hospital Pasir Mas di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan turut mendapati, pelatih kem sudah tiga kali i keracunan makanan berikutan kegagalan kontraktor menguruskan hidangan dengan baik dan bersih.

Kejadian pertama direkodkan pada 14 April lalu apabila 17 pelatih kem itu keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam diikuti kejadian kedua, pada 12 Mei lalu membabitkan menu sama.

“Keadaan itu menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri terpaksa menyita premis terbabit sebelum kerja penyediaan makanan diserahkan kepada pengusaha luar, namun keadaan tetap sama,”
katanya.

Beliau berkata, pihaknya menutup premis makanan itu serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga.

“Masalah ini (keracunan) boleh dielak jika pelatih dan jurulatih PLKN mengambil berat mengenai petunjuk keracunan seperti makanan berbau supaya tidak mengalami keracunan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061538/Article/index_html

Suspek miliki 3 rekod jenayah

IPOH: Siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan selepas menceroboh dalam kejadian samun bersenjata mengakibatkan tiga terbunuh di Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah semalam mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mencuri. 

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan polis semalam selepas suspek terbabit yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah diberkas pemilik rumah ketika dia cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas merompak rumah mangsa. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata suspek ditahan pada jam 2.45 petang selepas diikat suami mangsa di hadapan rumah teres setingkat berkenaan.

Beliau berkata, suspek kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan kawalan ketat polis kerana cedera di beberapa bahagian badan akibat pergelutan dengan pemilik rumah berkenaan selepas gagal melarikan diri. 

“Polis percaya berlaku pergelutan ketika kejadian dan sebaik tiba, polis mendapati ketiga-tiga mereka yang ditemui di ruang tamu rumah itu sudah meninggal dunia. 

“Mereka ditemui dengan kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat,” katanya. 

Katanya, ketika lelaki itu ditahan, suspek melarikan sebuah komputer riba milik mangsa malah, polis turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Daripada siasatan awal, kami mengesahkan hanya sebuah komputer riba yang dilarikan dari rumah mangsa dan suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau kerana kesalahan mencuri mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan. 

“Polis turut menemui sebilah pisau daripada beg suspek yang dipercayai digunakan sebagai senjata ketika kejadian,”
katanya.

Majikan pulang jengah anak bongsu

IPOH: “Ini bukan kali pertama rumah majikan saya dimasuki pencuri kerana sebelum ini pernah beberapa kali rumahnya menerima ‘kunjungan’ penjenayah, namun saya tidak menyangka tragedi ini akhirnya meragut nyawanya. 

“Malah, majikan saya sudah mengambil beberapa langkah keselamatan termasuk memasang alat penggera bagi mengelak berlakunya kecurian tetapi apakan daya, kejadian ini sudah ditakdirkan berlaku,” kata Mohd Zaid Tajuddin, 27, seorang pekerja kepada pemilik salun, Wah Yah Mat Zi, 42, yang mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni di sini, semalam. 

Mohd Zaid berkata, dalam kejadian samun sebelum ini, majikannya pernah terserempak dengan penjenayah yang baru keluar dari rumahnya selepas melakukan jenayah itu hingga memaksanya memasang alat keselamatan.

Katanya, kebiasaannya majikannya itu jarang pulang ke rumah, tetapi pada hari kejadian semalam dia mengambil keputusan pulang ke rumahnya kerana ingin melihat anak bongsunya yang ditinggalkan dengan seorang pembantu rumah warga Indonesia. 

“Sebelum ini, anak bongsunya, Ermin Denish, 5, dijaga neneknya tetapi majikan saya itu mengambil pembantu rumah untuk sementara waktu bagi menjaga anaknya. 

“Difahamkan, pembantu rumah berkenaan baru saja tiba dari Indonesia dan mula bekerja dengan majikan saya sejak minggu lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. 

Mohd Zaid berkata, Wah Yah majikan yang baik dan ceria malah sentiasa mengambil berat kebajikan pekerja.

“Masih terngiang-ngiang pesanan yang ditinggalkannya supaya menikmati makanan yang dibawanya sebelum dia meninggalkan salun. 

“Saya sama sekali tidak menyangka itu pesanan terakhir daripadanya dan lebih menyayat hati kerana dia meninggal dalam keadaan yang trajis,”
katanya. 

Sementara itu, seorang lagi pekerja mangsa, Norhaslinda Ibrahim, 37, berkata mangsa menawarkan pekerjaan kepadanya apabila dia membuka cawangan salunnya yang baru di Greentown Mall pada Disember lalu. 

“Wah Yah mengajak saya bekerja dengannya kerana dia baru saja membuka cawangannya yang baru di Greentown Mall dan kekurangan pekerja,” katanya.

Penyeluk saku keluar duit ATM

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir yang menjadi mangsa seluk saku terkejut apabila penjenayah terbabit turut mengeluarkan wang RM5,000 dari akaun bank menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dalam masa kurang 30 minit.

Lebih membingungkan, penjenayah terbabit mampu mengetahui nombor pin rahsia kad ATM miliknya bagi membolehkan wang berkenaan dikeluarkan dengan mudah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa mendakwa dompetnya diseluk ketika dia membeli-belah di sebuah kedai tekstil terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Menurutnya, mangsa yang sebelum itu memasukkan dompetnya dalam bungkusan plastik hanya menyedari kehilangannya selepas melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan.

“Difahamkan dalam dompet mangsa ada kad pengenalan, wang tunai RM160 dan sekeping kad ATM.

“Sejurus menyedari kehilangan kad ATM berkenaan, mangsa yang berasal dari Subang Jaya segera ke bank berhampiran untuk memastikan kad ATM miliknya tidak disalah guna,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sampai ke bank pada jam 2.15 tengah hari terkejut apabila semakan bank mendapati wang tunai berjumlah RM5,000 di dalam akaunnya sudah dikeluarkan.

“Penjenayah itu mungkin menggunakan peralatan khas untuk peroleh nombor pin rahsia kad ATM saya sebelum mengeluarkan wang.

“Polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian gagal mengesan identiti suspek berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di lokasi berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang eksekutif wanita berusia 24 tahun menjadi mangsa ragut ketika berjalan ke keretanya yang diletakkan di Jalan Ceylon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa yang bekerja di sebuah bank dikatakan berjalan kaki sebelum tiba-tiba dihampiri dari arah belakang oleh motosikal ditunggang seorang lelaki.

Difahamkan, suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh kemudian meragut beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521062136/Article/index_html

Jeritan maut

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz 
am@hmetro.com.my 

IPOH: “Mana bini aku, mana bini aku...,” jerit Jafri Tajul Aripin, 47, kepada seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan bunuh dua beranak dan seorang pembantu rumah di Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Jafri yang menangkap lelaki terbabit dengan bantuan seorang rakan berkata, dia mulanya bergegas pulang ke rumah apabila mendengar jeritan isterinya, Wah Yah Mat Zi, 42, ketika berbual menggunakan telefon bimbit sebelum talian itu terputus.

Bimbang kejadian buruk menimpa keluarganya, Jafri segera memasuki rumahnya lalu mendapati mayat Wah Yah dan pembantu rumah terbujur di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Dalam keadaan terkejut itu, dia terus mencari anak bongsunya, Ermin Denish, 5, sebelum mayatnya ditemui di dalam bilik air.

Dia kemudian terserempak seorang lelaki dipercayai suspek yang terburu-buru cuba melarikan diri dari rumahnya dengan melompat pagar sambil membawa sebuah beg menuju ke sebuah motosikal.

Berang dengan kejadian kejam itu, kata Jafri, dia mencapai sebilah parang dalam keretanya sebelum mengejar suspek di hadapan rumah.

Dengan bantuan rakan, Ahmad Hanafiah, 38, yang kebetulan ternampak lelaki terbabit dikejar Jafri, mereka berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri dengan menggunakan kereta.

“Lelaki terbabit terjatuh sebelum saya menangkapnya dengan dibantu rakan yang kebetulan berada di kawasan rumah.

“Kami mengikatnya dengan hos getah sementara menunggu ketibaan polis,”
katanya ketika ditemui di rumahnya. 

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Wah Yah yang juga pemilik salun, Ermin serta pembantu rumah mereka dikenali sebagai Dani, 18, ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan kelar di beberapa bahagian badan dalam kejadian samun bersenjata.

Harian Metro difahamkan, Wah Yah baru saja mengeluarkan wang RM4,000 dari bank berdekatan sebelum dia dipercayai diekori penjenayah terbabit sehingga ke rumah. 

Saksi kejadian yang juga kenalan Jafri, Ahmad Hanafiah, 38, berkata dia hairan apabila melihat rakannya berlari masuk ke rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya cemas sebelum berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku. Apabila tiba di tempat kejadian, saya melihat seorang lelaki melompat keluar dari pagar rumah mangsa dengan membawa sebuah beg dan bergegas menaiki motosikalnya. 

“Saya dan Jafri menghalang suspek dengan menggunakan kereta dan terus keluar menangkap lelaki terbabit yang terjatuh sebelum sempat dia melarikan diri,”
katanya. 

Ahmad berkata, ketika kejadian, dia baru saja mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran rumah mangsa sebelum ternampak rakannya itu kelihatan cemas. 

“Sebelum itu, saya baru saja selesai melakukan kerja mengecat pagar di Jabatan Penerbangan Awam dan kebetulan melalui kawasan kediaman mangsa,” katanya. 

Sementara itu, Jafri terpaksa ditenangkan saudaranya dan lebih menyayat hati apabila anak perempuan mangsa berusia 10 tahun berlari sambil meraung “Mami, Mami” sebelum mendapatkan ayahnya selepas mengetahui kejadian menimpa ibu. 

Keadaan di sekitar rumah mangsa juga sesak dengan kehadiran 300 orang menyebabkan polis mengeluarkan arahan supaya orang ramai beredar. 

Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa keluar dari rumah berkenaan jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090521052904/Article

Terjatuh dari tingkap ketika mengigau


RACHEL terjatuh dari tingkap bilik rumahnya di Chichester, Britain.


CHICHESTER, England - Seorang remaja yang mengigau berjalan dalam tidurnya terjatuh dari tingkap bilik rumahnya setinggi 7.62 meter di West Sussex, lapor sebuah akhbar semalam.

Remaja perempuan itu, Rachel Ward, 18, bangun dari katil dan memakai baju sejuk sebelum melompat keluar dari tingkap biliknya di sini

Namun, dia tidak mengalami patah tulang dan kecederaan serius selepas terjatuh dari tingkat satu.

Remaja itu menjerit meminta tolong daripada ibu bapanya yang kemudian bergegas membawa Rachel ke Hospital Royal Sussex County di Brighton untuk mendapatkan rawatan.

Namun, doktor yang merawatnya terkejut kerana berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan Rachel didapati sihat dan tidak cedera.

Ibu remaja itu, Sue Ward, 48, yang merupakan seorang pramugari, terjaga daripada tidur sejurus terdengar jeritan anaknya itu.

"Saya melihat keluar tingkap bilik dan terlihat anak perempuan saya sedang terbaring di atas rumput berdekatan kereta," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...