Sunday, September 19, 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Luahan suami Wati

2010/09/19


MAJLIS tahlil di rumah Datuk Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, malam tadi.


'Bukan niat saya sembunyi daripada media'

KUALA LUMPUR: "Biasanya jika berlaku kematian ada jasadnya, ada kuburnya tetapi kami cuma ada bahan bukti mengaitkan dengan kematiannya...bayangkan perasaan kami sekeluarga dan bagaimana kami mahu menerima hakikat ini," kata suami jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang mahu pembunuhan kejam isterinya menerima hukuman setimpal.

Ahli perniagaan berusia 48 tahun yang meminta nama dan gambarnya tidak disiarkan, berkata kejadian tidak diduga itu menyebabkannya pilu kerana tiada jasad dapat membuktikan isteri sudah meninggal dunia. “Saya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Wati. Saya sayangkannya dan hubungan kami erat seperti pasangan lain dan tidak perlu saya gambarkan kepada umum.

“Anak juga amat sedih. Wati ibu penyayang dan sangat mengambil berat soal anak,” kata beliau yang mengenali isterinya lebih 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum menikahinya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas empayar produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammed, 38.

Mereka diikat, dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat dibakar dan abunya dibuang ke sungai di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.

Mengingat detik terakhir bersama isterinya, ahli perniagaan yang muncul pertama kali membuat kenyataan media itu, berkata beliau keluar bersama Sosilawati ketika menghantarnya menghadiri perbicaraan mahkamah pada 26 Ogos.

“Wati menggunakan telefon sepanjang perjalanan tetapi saya tidak tahu dengan siapa beliau bercakap. Daripada butirannya, beliau meminta bayarannya dipercepatkan, dipercayai mempunyai kaitan dengan pen-jualan tanah miliknya sebab beliau pernah meminta pandangan saya mengenai urus niaga itu.

“Saya mengingatkannya berhati-hati dan tidak ditipu kerana mengesyaki sesuatu tidak kena dalam urus niaga berkenaan. Ini semua sudah maklumkan ketika dipanggil memberi keterangan oleh polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, selepas pertemuan itu beliau tidak lagi menemui isterinya dan hanya berkomunikasi melalui telefon, dengan panggilan terakhir diterima kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos.

“Pada 30 Ogos, Wati menelefon saya antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari tetapi sekadar perbualan biasa suami isteri. Menjelang 10 malam, saya menerima panggilannya tetapi apabila dijawab tidak kedengaran apa-apa suara. Saya menghubunginya semula tetapi tidak dijawab.

“Memang saya tidak terlintas langsung perkara buruk akan berlaku ke atasnya sehinggalah anak perempuannya menghubungi saya bertanyakan di mana ibunya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini mereka masih menunggu keputusan rasmi ujian DNA ke atas semua bahan bukti, termasuk barangan peribadi yang ditemui di tempat kejadian sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Terima atau tidak (keputusan) itu soal lain, yang penting kita tunggu keputusan. Semua pihak harus menghormati pendirian waris untuk mengadakan ujian kedua di luar negara. Jika kedua-dua keputusan sama, saya reda dengan pemergiannya dan kita harus melakukan apa yang sepatutnya sebagai seorang Islam,” katanya.

Beliau yang juga rakyat Malaysia berketurunan Indonesia turut menjelaskan bukan niatnya mahu bersembunyi daripada media selepas kes itu terbongkar, sebaliknya tidak mahu dikenali dan meminta kehidupan privasinya dihormati.

“Selepas kes ini terbongkar, masyarakat tertanya-tanya status saya... siapa suami dia (Sosilawati) dan ke mana saya menghilang. Timbul macam-macam spekulasi sedangkan saya masih di dalam negara dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes ini, termasuk menyalurkan maklumat berkaitan.

“Saya berdiam diri dan tidak mengeluarkan kenyataan media kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan. Saya mengikut prosedur sepatutnya, malah pertemuan bersama Berita Minggu diatur, menjelaskan status saya bagi mengelak salah faham,” katanya.

Pertemuan itu turut diatur selepas beliau mendapat keyakinan mengenai perkembangan terkini siasatan, selain atas nasihat pihak tertentu.

“Kepantasan polis menyelesaikan kes ini amat dihargai. Saya turut menghargai keprihatinan rakyat Malaysia, sama ada yang terbabit secara langsung atau tidak dalam kes ini hingga pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_LuahansuamiWati/Article/

Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung

Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my


Sarina

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM - Seorang pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar, 43, yang juga rakan Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam.

Kejadian itu disedari oleh anak bongsu Sarina yang berusia 16 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi ketika masuk ke biliknya.

Bagaimanapun sehingga semalam polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menolak sebarang kaitan dengan unsur jenayah.

Menurut anak sulung mangsa, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang sebaik mendengar mengenai berita kematian ibunya itu.

Tambahnya, sebelum ini ibunya pernah menyatakan rasa terkilan dengan nasib malang yang menimpa rakannya, Sosilawati yang dibunuh dengan kejam baru-baru ini.

"Ibu dan Datuk Sosilawati memang sudah berkawan lama kerana mereka sama-sama terlibat dalam bidang produk kecantikan dan sejak kebelakangan ini ibu sering memberitahu dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa Sosilawati," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Lima Remaja Hamil Akan Daftar Masuk Sekolah Harapan Isnin

Ahad September 19, 2010

JASIN: Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.

"Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.

"Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang,"
katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut, Ahad.

Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama.

Mohd Ali menjelaskan kesemua remaja itu memasuki sekolah tersebut melalui bantuan ibu bapa masing-masing dan bukan datang secara sukarela.

"Seorang daripada lima pelajar perempuan berkenaan adalah berbangsa Cina.

Ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan atau had demi memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan bantuan,"
katanya.

Beliau berkata peraturan yang ditetapkan di sekolah itu adalah sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa yang lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang sama.

"Bagaimanapun, orang ramai tidak dibenarkan memasuki sekolah ini tanpa kebenaran dan indentiti serta gambar pelajar dirahsiakan bagi menjaga kepentingan pihak berkaitan," katanya.

Mengenai tindakan undang-undang Syariah terhadap pelajar terbabit di atas kehamilan mereka tanpa hasil pernikahan yang sah, Mohd Ali berkata perbincangan lanjut akan diadakan bersama dengan keluarga remaja terbabit dan terpulang kepada Mahkamah Syariah untuk mengambil tindakan lanjut. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/19/mstar_berita/20100919225536&sec=mstar_berita

Pelajar IPTA Ditahan Kes Buang Bayi Di Jitra

Published: Ahad September 19, 2010 MYT 7:42:00 PM

JITRA: Seorang pelajar perempuan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang berumur 20 tahun ditahan malam semalam kerana dipercayai membuang bayi di belakang rumahnya di Taman Rasa Sayang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu DSP Ibrahim Mohd Yusoff berkata pelajar itu ditahan kira-kira 8.30 malam selepas polis membuat siasatan setelah menerima maklumat orang awam berhubung penemuan bayi di belakang rumah tersebut pada sebelah petang.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam tentang penemuan bayi tersebut kira-kira 5.30 petang semalam dan apabila kita ke tempat kejadian, bayi seberat 2.8kg yang masih bertali pusat itu telah dibawa ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata selepas membuat siasatan, pihaknya menemui uri bayi tersebut dalam longkang di belakang rumah suspek.

Katanya berdasarkan siasatan lanjut, polis berjaya mengesan pelajar yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut dan menghantarnya ke Hospital Jitra untuk rawatan.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Berdasarkan maklumat, suspek pulang ke kampung sempena hari raya dan ibu bapanya tidak mengetahui suspek mengandung.

"Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah suspek sebelum diletakkan di belakang rumah suspek," katanya. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/19/mstar_jenayah/20100919194004&sec=mstar_jenayah

Pengasas Kosmetik Aveer Bunuh Diri Kerana Masalah Keluarga

Published: Ahad September 19, 2010 MYT 7:52:00 PM

BUKIT MERTAJAM: Kematian pengasas Kosmetik Aveer, Sarina Jaafar, yang ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam, tiada kaitan dengan kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh secara kejam bersama tiga individu lain baru-baru ini.

Anak saudara mangsa, Naimah Said, 32, berkata Sarina, 45, dipercayai membunuh diri akibat tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lepas dan wanita itu juga pernah cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan.


"Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak ada masalah dalam pernigaaan. Jadi, kematiannya mungkin lebih berpunca daripada masalah keluarga kerana sebelum ini, Mak Anjang (panggilan mesra Naimah kepada Sarina) juga pernah beberapa kali menceritakan masalah keluarganya, dan kami percaya tiada unsur-unsur lain dalam hal ini (kematiannya)," katanya ketika ditemui di kediaman Sarina, Ahad.

Beliau berkata Sarina pernah menyuarakan hasratnya untuk mengunjungi rumah Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan seperniagaan lain sebaik mengetahui berita kematian jutawan kosmetik itu melalui media.

"Arwah memberitahu hendak ke sana untuk menyertai kenduri tahlil dan membacakan Yaasin untuk rakan baiknya itu (Sosilawati), dan hanya menunggu panggilan daripada rakan-rakannya.

"Tetapi mereka (rakan-rakan Sarina) tidak menghubunginya, dan arwah tidak sempat menunaikan hasratnya itu,"
kata beliau yang akrab dengan mangsa.

Naimah berkata Sarina sempat menghubunginya sebelum ditemui mati dan berpesan supaya beliau menjaga anak mangsa serta membantu urusan perkahwinan Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, yang dijadualkan berlangsung Januari depan.

"Mak Anjang pesan suruh jaga anak serta minta uruskan perkahwinan anaknya nanti, sebelum panggilan antara saya dan dia terputus," katanya.

Sementara itu, anak kedua Sarina, Siti Badryah Jakaria, 23, berkata keluarga beliau masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa ibunya itu.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, laporan bedah siasat menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu, dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sarina yang mengusahakan perniagaan kosmetik sejak lebih lima tahun lepas, ditemui mati tergantung oleh anaknya yang berusia 16 tahun dan ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumahnya.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/19/mstar_berita/20100919195026&sec=mstar_berita

Polis Siasat Kematian Sarina Tentukan Kaitan Dengan Kes Sosilawati

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat kematian pengasas Aveer Cosmetics, Sarina Jaafar bagi memastikan sama ada kes tersebut berkait dengan pembunuhan rakan baiknya Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan melihat kes yang berlaku di Pulau Pinang itu daripada semua sudut.

"Apa-apa yang kita dengar, yang berkaitan, kita akan siasat. Kita akan tentukan, bukan sahaja lihat dari satu sudut tapi semua sudut kita akan lihat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Parlimen Ahad..

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi semalam, dan media melaporkan wanita itu ada memaklumkan kepada anggota keluarga tentang keinginannya menggantung diri.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan kejadian yang menimpa Sosilawati yang telah disahkan dibunuh bersama tiga individu lain, sebelum mayat mereka dibakar dan abu ditabur ke dalam sungai di Banting, Selangor.

Sementara itu ditanya mengenai desas-desus polis telah melakukan pemeriksaandi pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah dan klinik milik isterinya, Ismail berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

"Siasatan masih lagi berjalan kerana kita mendapat perkembangan baru tentang gambaran yang lain. Apa yang penting, dalam masa terdekat ini kita boleh selesaikan segalanya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pemeriksaan tersebut yang dipercayai dilakukan semalam.

Jumaat lepas, Murugiah telah membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengaitkan beliau dengan seorang peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Murugiah sebelum itu memberitahu media bahawa suspek merupakan penyumbang utama hamper dan pelbagai barangan lain yang disampaikan beliau kepada masyarakat Orang Asli pada satu majlis di Banting pada 8 Sept. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/19/mstar_berita/20100919152000&sec=mstar_berita

Patmanaban simpan wanita asing


KUALA LUMPUR - Peguam K. Patmanaban yang tahanan remannya dilanjutkan sehingga 25 September ini didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dua wanita terbabit ialah seorang wanita warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina berusia lingkungan 30-an.

Kedua-dua wanita itu dipercayai diambil bekerja oleh Patmanaban sebagai pembantu rumah yang menguruskan semua kerja rumah di ladang ternakan ayam dan kambing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Ladang Gadong ialah lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya dibunuh.

Tugas kedua-dua wanita itu termasuklah melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan membasuh pakaian semua pekerja ladang selain membantu menguruskan adik Patmanaban dan Patmanaban sendiri.

Mereka juga dibayar gaji namun belum diketahui berapa jumlahnya.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu diambil bekerja di situ kerana isteri dan anak-anak Patmanaban tidak tinggal di rumah ladang tersebut, sebaliknya menetap di rumah lain di Puchong.

"Kita percaya pembantu Indonesia yang berbadan gempal, rendah dan berkulit sawo matang serta wanita warga Filipina yang berketinggian 150 sentimeter dan berkulit cerah itu mula bekerja dengan Patmanaban sejak ladang itu dibuka di antara dua hingga tiga tahun lalu," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Pembunuhan paling kejam

Oleh MANAN SAMAD dan RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
metahad@hmetro.com.my
2010/09/18

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam gembira meraikan kedatangan Syawal, negara digemparkan dengan berita penemuan bukti berkaitan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga individu lain di Banting, Selangor, Sabtu lalu.


Cara digunakan penjenayah berkenaan untuk menamatkan riwayat mangsa mungkin langsung tidak pernah difikirkan manusia normal dan di luar batas perikemanusiaan.

Berikut adalah lima kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara sejak 1982.


KES 1
PEMBUNUHAN DATUK MAZLAN IDRIS


KES pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris hampir 17 tahun lalu disifatkan jenayah paling ngeri dalam sejarah negara dan memeranjatkan ramai pihak.

Penemuan mayat Mazlan yang dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di dalam sebuah lubang sebelum disimen membawa kepada penahanan pasangan bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin.


Mazlan dibunuh pada 2 Julai 1993 di bilik air sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang selepas mengadakan pertemuan dengan pasangan bomoh itu.

Hajat membunuh ahli politik itu dirancang awal berdasarkan persiapan rapi dengan mengorek lubang di dalam sebuah stor bagi mengebumikan jasad Mazlan seminggu sebelum hari kejadian.

Juraimi yang dinamakan sebagai tertuduh pertama mengaku menetak leher Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali sehingga putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi.

Dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan setelah mendapat arahan lanjut daripada Affandi.

Tulang dan daging yang dikerat kepada 18 bahagian itu diletakkan di dalam besen sebelum dicurahkan ke dalam lubang stor rumah sedalam 1.8 meter dan ia dilakukan dalam masa tiga jam setengah.

Difahamkan, Mazlan ke rumah yang didiami pasangan bomoh itu untuk melakukan proses mandi bunga kira-kira jam 10 malam.

Ketika perbicaraan, berlaku beberapa percanggahan pernyataan daripada ketiga-tiga suspek, yang mana Juraimi memberitahu bahawa Affandi dan Mona membuat rancangan membunuh Mazlan sebulan sebelum kejadian dan dia diminta memberi kerjasama.

Affandi dan Mona pula mengatakan, pada malam kejadian ketika mereka menjalankan upacara mandi bunga ke atas Mazlan, Juraimi dengan tiba-tiba seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan.

Namun pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kejadian itu berlaku hasil perancangan ketiga-tiga tertuduh.

Perbicaraan itu mendapat perhatian segenap masyarakat yang mengikuti perjalanan perbicaraan itu sehingga hukuman dijatuhkan.

Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 memutuskan ketiga-tiganya bersalah membunuh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan rayuan mereka untuk mengurangkan hukuman juga ditolak.

Pada 2 November 2001, mereka menjalani hukuman itu di Penjara Kajang dan jenazah Mona dan Mohd Affandi dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11.05 dan 11.30 pagi, manakala jenazah Juraimi dimandi dan dikebumikan di kampungnya iaitu di Teluk Gong, Klang, pada 11.15 pagi hari sama.

KES 2
PEMBUNUHAN DATUK DATUK S KRISHNASAMY

BELIAU ditembak di dalam lif sebelum menghadiri mesyuarat perhubungan MIC di tingkat dua bangunan MIC Johor di Jalan Segget, Johor Bahru.

Satu das tembakan yang dilepaskan di belakang leher oleh individu tidak dikenali menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, 62, mati serta-merta di tempat kejadian.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2 petang pada 11 Januari 2008 itu disedari oleh kerani di Ibu Pejabat MIC negeri, V Kamala dan Ketua Puteri MIC negeri, Vitayah Mohan, sebaik pintu lif terbuka di tingkat lima bangunan berkenaan.

Siasatan awal mendapati Krishnasamy keluar dari keretanya di depan bangunan itu dan ditembak ketika dalam perjalanan naik ke tingkat dua menggunakan lif.

Beberapa minggu sebelum kejadian, mangsa pernah mengadu menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon tetapi tidak menganggapnya sebagai serius.

Namun keluarganya tidak menyangka ugutan itu benar-benar terjadi dan lebih menghairankan, kejadian berlaku di dalam bangunan yang menempatkan pejabatnya.

Polis menubuhkan satu pasukan khas membabitkan pegawai kanan bagi menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan hingga membawa kepada penahanan seorang suspek yang dilihat tergesa-gesa meninggalkan premis itu sejurus kejadian.

Kejadian itu menyebabkan majlis perkahwinan anak lelaki mendiang, S Raj Kumar, 32, terpaksa ditangguh.

Menurut anak saudaranya, pada kali terakhir dia bertemu mendiang beberapa minggu sebelum kejadian, mangsa lebih banyak mendiamkan diri dan kurang bercakap berbanding biasa.

Mendiang sememangnya seorang yang kuat bekerja dan sentiasa memastikan rakyat di kawasannya tidak tercicir dengan pembangunan.

Bagaimanapun, sehingga kini, pembunuh mangsa masih bebas walaupun pihak berkuasa menjalankan pelbagai operasi bagi memburu mangsa.

Malah anggota forensik juga membuat siasatan di tempat kejadian dengan teliti sejurus kejadian berlaku dan hasilnya 13 orang ditahan secara berperingkat bagi membantu siasatan.

Namun, semua suspek berkenaan dibebaskan berikutan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan kes terbabit.

KES 3
PEMBUNUHAN DATUK MOHAMED TAHA TALIB


CUKUP menggemparkan apabila bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, dituduh membunuh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohamed Taha Talib 28 tahun lalu.

Beliau ditangkap polis dekat rumahnya di Jalan 16/5 Petaling Jaya dalam bulan puasa, kira-kira jam 1.30 pagi 10 Julai 1982 atas tuduhan berkenaan.

Pada 5 Mac 1983, Mahkamah Tinggi mendapati Mokhtar bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Rayuan Mokhtar ke Mahkamah Persekutuan pada 23 Julai 1983 ditolak. Pada 3 Mac 1984, Yang di-Pertuan Agong meringankan hukuman ke atasnya kepada penjara seumur hidup selepas bekas perdana menteri, Tuanku Abdul Rahman menulis surat peribadi dengan disertai sokongan petisyen orang ramai.

Kes itu mencatatkan sejarah sebagai perbicaraan kedua paling lama di Malaysia iaitu 75 hari, selepas kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika dalam tahanan, Mokhtar diberi tugas sebagai pendaftar di klinik Penjara Pudu.

Beliau yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Pudu, bagaimanapun, dibebaskan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 15 April 1991.

Mokhtar yang sepatutnya menamatkan tempoh hukuman itu pada 1995, dibebaskan jam 10.15 pagi itu.

KES 4
PEMBUNUHAN HASLEZA ISHAK

KES pada 2002 ini menggemparkan negara dan menarik minat ramai kerana ia turut dikaitkan dengan kerabat diraja.

Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah ketika merumuskan kes itu berkata, satu perkara yang menyerlah, tindakan keempat-empat tertuduh membuang Hasleza (Ishak) dari jambatan setinggi bangunan lima tingkat nyata perbuatan kejam, tidak kira sama ada ketika itu mangsa masih hidup atau sudah mati.

Beliau berkata, rumusan itu satu daripada alasannya untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bermula dari tarikh ditangkap terhadap empat tertuduh dalam perbicaraan kes bunuh Hasleza yang juga isteri kedua Raja Dihilir Perak.

Perbicaraan itu diadakan di Mahkamah Tinggi Taiping pada 25 April 2003 yang keseluruhannya berlangsung 41 hari sejak 21 Januari tahun itu.

Empat tertuduh ialah tukang kayu, Sabarudin Non, 34; nelayan, J Manimaran, 25; bomoh, Rahim Ismail, 47, dan pekerja istana Raja Dihilir Perak, Tengku Aristonsjah Tengku Mohd Ansary, 40.

Sabarudin dan Manimaran pada asalnya dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh Hasleza dengan niat pada 6 Oktober 2002 di Kilometer 63 Jalan Sumpitan, dalam daerah Larut Matang dan Selama, Perak, antara jam 6 petang dan 11 malam.

Rahim dan Tengku Aristonsjah pula dituduh bersubahat dengan Sabarudin dan Manimaran. Keempat-empat mereka menghadapi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Noor meminda pertuduhan ke atas Sabarudin dan Manimaran kepada Seksyen 304 KK iaitu menyebabkan homisid atau membunuh tanpa niat ke atas Hasleza.

Pertuduhan ke atas Rahim dan Tengku Aristonsjah juga dipinda kepada bersubahat dengan Sabarudin dan Manimaran mengikut seksyen sama.

Sebelum ini, seorang lagi tertuduh, Mat Saad Mat Isa, 50, dituduh bersama Sabarudin dan Manimaran, namun mengaku bersalah pada 28 Januari lalu sejurus menerima tuduhan membunuh tanpa niat yang ditawarkan kepadanya. Dia dikenakan hukuman 14 tahun penjara.

Mat Saad yang juga tertuduh pertama kemudian menjadi saksi pendakwa ke-34 dan memberi keterangan untuk menyokong kes pendakwaan. Dalam keterangannya, dia mengaku menetak leher Hasleza di jambatan Jalan Sumpitan.


KES 5
PEMBUNUHAN CANNY ONG LAY KIAN

DIROGOL, dibunuh dan dibakar. Itulah azab yang terpaksa ditanggung penganalisis teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah lubang di Batu 7, Jalan Klang Lama pada 17 Jun 2003.

Empat hari sebelum itu, Canny diculik ketika pergi ke Pusat Beli-Belah Bangsar bersama ibunya untuk meraikannya pulang ke Malaysia selepas berada lama di Amerika Syarikat kerana mengikut suaminya, Brandon Ong.

Dia bagaimanapun hilang ketika mengambil tiket letak kereta yang ditinggalkan dalam keretanya di tingkat bawah kompleks itu.

Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu, Canny dilihat menaiki Proton Tiara milik ibunya, V Pearly. Ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur.

Canny menjadi mangsa lelaki ‘gila seks’. Tertuduh yang juga pembersih kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris didakwa menikam perut mangsa selepas melampiaskan nafsunya antara jam 1 dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.

Lebih kejam, tubuhnya disumbat ke dalam lubang dan Ahmad Najib membakar mayat mangsa dengan minyak.

Malah, Ahmad Najib menutup mayat mangsa dengan papan tanda jalan sebelum meletakkan dua biji tayar yang bersimen dan seterusnya menutup lubang dengan papan.

Ketika dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), mayat mangsa didapati putus antara bahagian badan dan kakinya.

Bahagian luar kemaluan mayat itu juga didapati terbakar, bagaimanapun tiada kesan seluar dalam ditemui.

Hasil bedah siasat pakar patalogi serta ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Canny dan berita itu menghancurkan hati keluarganya yang sebelum ini yakin Canny masih hidup.

Hasil siasatan menerusi imej CCTV, polis akhirnya menahan Ahmad Najib di rumahnya di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam pada 20 Jun 2003 dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, 13 hari kemudian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi jenayah rogol dan Seksyen 302 kanun sama bagi jenayah membunuh yang boleh membawa hukuman mati.

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap tuduhan merogol dan membunuh selepas perbicaraan selama 52 hari itu dilakukan.

Pada 23 Februari 2005, Ahmad Najib dihukum gantung sampai mati atas tuduhan membunuh dan penjara maksimum 20 tahun serta 10 sebatan atas tuduhan merogol Canny.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pembunuhanpalingkejam/myMA/myArticle/

Kes bunuh Sosilawati: Ikut cakap emak

2010/09/18

GOMBAK: “Ada hikmahnya Rita ikut cakap emak supaya terus balik dari United Kingdom (UK) untuk menguruskan perniagaannya. Kalau ikutkan, Rita mahu bekerja dulu di sana untuk cari pengalaman selepas tamat pengajian,” kata Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, atau lebih dikenali sebagai Rita.

Pemegang ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham Trent, UK itu berkata, operasi Nouvelles Visages akan berjalan seperti biasa dan dia mengambil alih tanggungjawab menerajui empayar perniagaan ibunya dengan dibantu empat beradiknya yang lain serta kakitangan berpengalaman.


“Rita masih ingat kata-kata emak supaya segera pulang dari UK dan meminta tidak membazir waktu, sedangkan dia boleh memberi tunjuk ajar selok-belok dunia perniagaan.


“Sejak mengambil alih perniagaan enam bulan lalu, banyak yang Rita pelajari. Emak banyak membimbing Rita dan adik lain menguruskan perniagaan,”
katanya yang juga Pengarah Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd kepada Metro Ahad, di sini, semalam.


Selain memasarkan produk kosmetik dengan beratus rangkaian termasuk stokis dan cawangan, Nouvelle Beauty Centre membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.


Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya. Nouvelle Development pula membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.


Menurut Rita, sebagai anak sulung, cabaran berat harus dipikul mengambil alih perniagaan dan menguruskan keluarga yang selama ini digalas ibunya.


Bagaimanapun, dia akan mendapatkan pandangan daripada orang berpengalaman serta berbincang dengan adik beradik sebelum membuat sesuatu keputusan membabitkan perkara penting.


“Sejak kes ini berlaku, Rita tidak sanggup menonton televisyen dan membaca surat khabar kerana terlalu sedih. Walaupun terlalu pahit, Rita boleh menerima kenyataan. Kami sekeluarga harap rakyat Malaysia sama-sama mendoakan roh emak dan tiga yang lain dicucuri rahmat.


“Rita juga tidak berniat untuk tidak memberi kerjasama dengan pihak media, tetapi buat masa ini masih belum bersedia. Kami masih bersedih dan harap mereka faham situasi sekarang ini,”
katanya yang turut memperketat kawalan keselamatan untuk keluarga sebagai langkah berjaga-jaga.


Bekas suami Sosilawati yang juga vokalis Lefthanded, Jamaluddin Elias atau Nash, turut menziarah rumah Allahyarham Sosilawati di Taman Harmonis, di sini.


Dia yang berada hampir sejam di situ dilihat bertemu ibu Sosilawati, Yatmi Abdul Rahman, 80, selain memberi kata perangsang kepada bekas anak tirinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Ikutcakapemak/myMA/myArticle/

Kes bunuh Sosilawati: Reman tiga suspek utama dilanjut tujuh hari lagi

2010/09/18

PETALING JAYA: Bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci, tempoh tahanan reman peguam dua beradik dan seorang lelaki suspek kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati bersama tiga rakannya dilanjutkan selama tujuh hari.

Peguam berkenaan yang juga ahli perniagaan berusia 41 tahun dan disyaki dalang utama kes pembunuhan kejam dan ngeri itu dibawa bersama adiknya dan juga seorang lagi suspek ke perkarangan balai polis terbabit.


Tinjauan Harian metro mendapati suspek utama itu terlebih dulu dilihat tiba di balai polis terbabit, kira-kira jam 10 pagi dengan iringan dan kawalan empat anggota polis berpakaian preman.


Kira-kira setengah jam kemudian, dua lagi suspek berbaju oren dipercayai adik peguam terbabit bersama seorang pekerjanya masing-masing berusia 38 dan 45 tahun, turut dibawa memasuki perkarangan balai polis sama dengan kawalan ketat anggota polis bertugas. Mereka kemudian dibawa ke bilik mahkamah tertutup bagi mendapatkan tempoh tahanan reman yang berakhir semalam untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dan lebih terperinci membabitkan kes pembunuhan kejam itu.


Ketika dibawa, suspek utama terbabit sempat berkata: “Don’t do this, I’m not involved,” (Jangan buat begini, saya tidak terbabit) ketika dia cuba mengelak gambarnya daripada dirakam ketika berada di pusat tahanan sementara terbabit.


Bagaimanapun, kata-kata amaran itu tidak diendahkan petugas media yang menunggu sejak jam 8 pagi untuk terus merakam wajah semua suspek walaupun mereka dilihat cuba menutup wajah dengan baju.


Semua mereka dilihat berada di dalam bilik mahkamah tertutup itu selama satu jam diawasi lebih 10 anggota polis bertugas sebelum dibawa keluar secara berasingan, kira-kira jam 11 pagi.


Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam sidang medianya berkata, laporan lengkap siasatan kes bunuh jutawan kosmetik dan tiga rakannya dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu depan selepas pihaknya yakin polis berjaya mengumpul bukti kukuh untuk mengheret suspek ke muka pengadilan.


Dalam kejadian 30 Ogos lalu itu Sosilawati, 47, pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Morib sebelum abu mayat mereka dibuang ke Sungai Panchau.


Semua mangsa dilaporkan hilang selepas bertemu suspek utama yang juga peguam dan ahli perniagaan di Banting. Berikutan itu suspek bersama adik lelakinya, juga peguam dan enam pekerja mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Remantigasuspekutamadilanjuttujuhharilagi/myMA/myArticle/

Kes bunuh Sosilawati: Dua ditahan kes ugut

2010/09/18

SEPANG: Mahkamah Majistret Litar, semalam membenarkan permohonan polis untuk menahan reman dua suspek kes ugut isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang di Banting, di sini, sejak awal tahun ini.

Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta yang kononnya bagi membebaskan suaminya, Allal Kathan Muturaja. Jutawan berumur 34 tahun itu dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini.


Kedua-dua lelaki itu dibawa ke mahkamah pada kira-kira jam 9 pagi dan perintah reman itu dikeluarkan kira-kira sejam kemudian. Seorang daripada yang direman itu ditahan di Kampung Laksamana, Batu Caves dekat sini tengah malam semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan. Tangkapan itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun di Taman Wilayah, Selayang petang semalam bagi kes yang sama.


Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Facebooknya berkata lelaki berusia 21 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam.


Ahli perniagaan yang dikenali sebagai A Muthuraja itu dilaporkan hilang sejak tiba di negara ini dari Chennai, India pada 18 Januari lalu selepas dikatakan berjumpa dengan seorang peguam yang juga rakannya di Banting.


Isterinya, S Usharani membuat laporan polis di Banting pada 8 September lalu. Kedua-dua lelaki yang ditahan itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam terbabit yang juga adalah suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesbunuhSosilawati_Duaditahankesugut/myMA/myArticle/

Remaja ditemui mati

2010/09/18

SERENDAH: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang keluar rumah sejak 14 September lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan ngeri di sebuah kelab golf di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa masih berpakaian baju kemeja berkolar hitam dan berseluar denim biru seperti dilaporkan bapa tiri mangsa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajaditemuimati/myMA/myArticle/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...