Tuesday, October 26, 2010

Satu Kes Superbug Dikesan Di Malaysia

Selasa Oktober 26, 2010

GUA MUSANG: Satu kes "superbug", bakteria kebal kepada hampir semua antibiotik dikesan bulan lepas di Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata bagaimanapun pesakit itu telah sembuh sepenuhnya dan tidak berbahaya kepada orang luar, namun kementeriannya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kes ini tidak merebak.

"Pesakit itu seorang pesakit perempuan dan telah dirawat di Hospital Ampang...beliau sudah keluar tetapi masih berterusan menerima rawatan.

"Tetapi beliau mempunyai sakit lain, leukemia...superbug tidak menimbulkan ancaman bahaya kepada pesakit tertentu ini...kerana bakteria ini hanya colonize iaitu pembawa dan dia bukan mendatangkan kesan kepada tubuh, bakteria itu hanya hidup dalam tubuh pesakit itu," katanya kepada pemberita semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.

Beliau berkata, antara sebab berlakunya superbug ini adalah disebabkan pengambilan antibiotik berlebihan.

Kementerian Kesihatan telah memberi arahan kepada para doktor supaya mengikut prosedur ditetapkan dalam pemberian antibiotik dan tidak memberi dengan sewenang-wenangnya.

Kejadian jangkitan bakteria superbug mula dikesan pada 2008, dan direkodkan di seluruh dunia termasuk India, Pakistan dan United Kingdom. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_berita/20101026194826&sec=mstar_berita

Malaysia Kekal Di Tangga Ke-56 Dalam Indeks Rasuah

Selasa Oktober 26, 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lepas.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110).

"Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

"Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik).

"Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif telah dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkann masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekaligus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah.

Contohnya, kata beliau, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan "Tiada Tindakan Lanjut" oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal "Video Lingam", walaupun perkara itu merupakan hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja.

Selain itu, Low berkata amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010.

"Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan.

"Cadangan lain ialah membentuk semula kewangan politik dan peraturan parti politik serta pilihan raya, pengisytiharan aset ahli politik, mempromosi kebebasan maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan polisi sedia ada secara efektif serta bersungguh-sungguh, termasuk penggubahan dan pindahan wang haram oleh suspek dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Low berkata memandangkan aspirasi Malaysia ialah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, komitmen untuk memerangi rasuah perlu jelas dan tegas, kerana keputusan CPI secara konsisten telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara tahap rasuah dengan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada April lepas, namun hasilnya tidak boleh dilihat serta-merta kerana persepsi mengambil masa untuk berubah.

"Persepsi awam mungkin mengambil masa untuk berubah, dan kadangkala ia tidak berubah langsung. Persepsi awam boleh berubah jika mereka melihat peratusan yang tinggi dalam pendakwaan," katanya.

Low berkata, melalui inisiatif yang diambil oleh kerajaan pada masa ini, kedudukan Malaysia akan meningkat dalam masa dua tahun.

Dua negara yang berkongsi kedudukan dengan Malaysia ialah Turki dan Namibia. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_berita/20101026202514&sec=mstar_berita

Gunung Merapi Meletus


Letusan Gunung Merapi dapat dilihat dengan jelas dari Kampung Kali Tengah berhampiran Yogyakarta. Ribuan penduduk sekitar dipindahkan bagi menjamin keselamatan merkea berikutan letusan gunung tersebut merupakan antara yang terkuat sejak bebepara tahun lalu. Foto REUTERS


Selasa Oktober 26, 2010

YOGYAKARTA: Setelah meningkatkan aktivitinya sejak dua minggu lepas, Gunung Merapi akhirnya meletus Selasa pada pukul 5.02 petang waktu tempatan dengan menghembus abu vulkanik setinggi 1,500 meter dan menurunkan hujan debu.

Ribuan penduduk di kawasan radius 10 kilometer dari kaki gunung itu telah dipindahkan pihak berkuasa tempatan ke kawasan selamat. Setakat ini belum ada maklumat mengenai korban jiwa akibat bencana ini.

Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana, Badan Geologi, Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral, Surono yang dihubungi Bernama melalui telefon berkata sejak letusan pertama hingga sekarang, letusan masih berlaku namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana keadaan cuaca gelap.

Dalam siaran langsung televisyen kelihatan hujan abu yang pekat menyiram kawasan pusat pemindahan penduduk di Desa Hargobinangun, di daerah Sleman, Yogyakarta, yang berjarak 15 kilometer dari kaki gunung berapi teraktif di dunia itu.

"Saya harapkan pegawai daerah kawasan terbabit untuk mempercepat pemindahan penduduk setelah selesai prosedur yang telah disepakati," katanya.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia di sebuah pesantren di Secang, Magelang sedang dipindahkan ke kawasan selamat.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang dalam perjalanan untuk proses memindahkan pelajar terbabit telah ditimpa hujan abu gunung berapi itu semasa mereka di Magelang.

"Saya bersama Ludinata (Atase Pendidikan) dan Dr Nazaluddin dalam perjalanan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar di Magelang.

"Setelah setengah jam perjalanan, tiba-tiba pandangan menjadi kabur dan gelap gelita. Rupa-rupanya hujan debu dan lumpur telah menimpa semua kenderaan dan di daratan.

"Jalan raya penuh dengan lumpur. Dan jarak pandangan menjadi pendek. Sesampai di stesen minyak, kami berhenti untuk meninjau keadaan kereta. Amat terkejut kerana badan kereta dipenuhi lumpur," katanya.

Setelah keluar dari kereta mereka terpaksa memakai topeng muka dan sesak nafas kerana udara bersih telah menipis.

"Tambahan saya ada asma. Hujan debu menimpa badan kami dan serta merta baju menjadi putih akibat lumpur. Kami meneruskan misi ke Magelang untuk bertemu para pelajar Malaysia," katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_berita/20101026220508&sec=mstar_berita

Gempa: 40 maut dalam tsunami di Sumatera

Okt 26, 10 6:17pm

Seramai 40 orang dilaporkan terkorban dan lebih 300 lagi hilang dalam bencana tsunami yang berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran
7.2 pada skala richter yang melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Isnin malam.

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja, lapor Bernama.

Sehingga pukul 2 petang ini, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti korban dalam kejadian itu.

Mereka yang hilang dipercayai melibatkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya.

Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Sementara itu AP pula memetik Mujiharto, yang mengetuai pusat krisis Kementerian Kesihatan Indonesia sebagai berkata, gelombang setinggi tiga meter menghanyutkan ratusan rumah di Pagai dan Silabu - yang merupakan sebahagian rangkaian pulau Mentawai.

"Kami ada 200 beg mayat dihantar ke sana, sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Indonesia sering dilanda gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana lokasinya dalam Lingkaran Api Pasifik.

Kawasan yang dilanda gempa bumi semalam, berlaku di sepanjang pantai barat Kepulauan Sumatera, yang dilantik gempa 9.1 skala Richter, yang mencetuskan tsunami besar di sekitar Lautan Hindi pada 2004 yang mengorban 230,000 orang di beberapa negara.

Mentawai merupakan pusat luncur popular 280km dari pantai Sumatra. Perjalanan ke pulau tersebut - hanya boleh sampai dengan menaiki bot - mengambil masa 12 jam.

Sekumpulan rakyat Australia berkata mereka berlindung di dek belakang kapal sewa mereka yang berlabuh di teluk berhampiran ketika berlaku gempa bumi itu.

Ia mengakibatkan ombak yang mengakibatkan mereka menghentam sebuah bot lain, dan mengakibatkan kabin mereka terbakar.

"Kami buang keluar apa sahaja yang boleh terapung dan kami terjun ke laut dan bergayut padanya," kata Rick Hallet kepada stesen TV Australia - Nine Network.

"Mujurlah, ada benda yang dapat kami bergayut... dan kami dihanyutkan dan kemudiannya bergantung pada pokok tinggi yang kami temui dan duduk di situ selama satu setengah jam."

Ade Edward, pegawai agensi pengurusan bencana berkata, mayat-mayat ditemui di kampung-kampung di pesisiran pantai - terutama di pulau yang paling teruk dilanda gempa - Pagai - dan 167 orang lagi masih hilang.

Air di beberapa tempat mencecah mencapai paras atap, dan di Muntei Baru - sebuah desa di Silabu - 80 peratus rumah rosak.

Kira-kira 3,000 orang mencari perlindungan di kem-kem kecemasan hari ini, kata Edward. Manakala nasib krew beberapa buah kapal di Lautan Hindi, masih belum diketahui.

Gempa bumi itu juga menggegarkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Sumatera - termasuk Padang - yang dilanda gempa sekuat 7.6 tahun lalu, yang mengorban lebih 700 orang. Masjid-masjid pula membunyikan amaran tsunami melalui pembesar suara.

"Semua orang bergegas keluar rumah mereka," kata Sofyan Alawi, sambil menambah, jalan-jalan menuju ke bukit-bukit di sekitar kawasan itu sesak dengan ribuan kereta dan motosikal.

"Kami sering menoleh ke belakang untuk melihat sama ada gelombang datang," kata seorang lagi penduduk Ade Syahputra.

http://malaysiakini.com/news/146471

KTMB catat kerugian RM1.45b sehingga 2008




Okt 26, 10 7:06pm

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM1.45 bilion sehingga 2008 dan kerugian yang ditanggung menyebabkan syarikat pengangkutan keretapi milik kerajaan berkenaan tidak mampu menanggung kos operasi sendiri dan hutang.

Dalam laporan dari 2006 hingga 2008 yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang dibentangkan di Parlimen semalam, prestasi kewangan KTMB mempamerkan tahap yang tidak memuaskan berikutan kerugian yang ditanggungnya untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata KTMB menanggung kerugian berjumlah RM118.91 juta pada tahun 2008 berbanding RM82.81 juta pada tahun sebelumnya.

"Berikutan itu,bermula 1994 sehingga 2008, KTMB terpaksa mendapatkan bantuan kewangan dalam bentuk suntikan dana tunai berjumlah RM760 juta dari kerajaan," kata Tan Sri Ambrin lagi dalam laporan audit yang dibentangkan.

Laporan Ketua Audit Negara juga menyebut, peningkatan kerugian berjumlah RM36.60 milion iaitu sebanyak 44.5 peratus pada 2008 adalah disebabkan peningkatan mendadak kos operasi KTMB yang berjumlah RM49.03 juta.

Menurutnya lagi, peningkatan berkenaan adalah 9.6 peratus lebih tinggi daripada jumlah kos operasi bagi tahun 2007.

Laporan iu juga menyebut, KTMB masih belum membayar bayaran faedah yang sudah matang setakat Julai 2010 daripada lima pinjaman berjumlah RM880.5 juta yang diperolehi daripada kerajaan persekutuan sehingga Disember 2008.

Laporan audit berkenaan menambah, KTMB tidak membuat sebarang pembayaran balik kepadda hutangnya sejak dua hingga lapan tahun lalu.

Ini bermakna, pembayaran faedahi terhadap kelima-lima pinjaman terbabit perlu dibuat pada 2010 dan keadaan itu bakal menjurus kepada jumlah pembayaran faedah tertunggak meningkat kepada RM703 juta," sebut laporan Ketua Audit Negara berkenaan lagi.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran semula hutang-hutang terbabit yang berakhir selewat-lewatnya pada 2025 akan menyebabkan kepada pembayaran aliran tunai berjumlah RM1.43 bilion.

http://malaysiakini.com/news/146478

Audit: Pelajar tak layak juga dapat wang KWAPM




Okt 26, 10 6:15pm

Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan kelewatan dalam pengagihan bantuan.

Menurut laporan itu, kelemahan lain pula ialah tidak mematuhi beberapa peraturan mengenai pengurusan permohonan dan penyelenggaraan rekod berhubung bayaran juga kurang memuaskan.

Kelemahan-kelemahan itu antaranya berpunca daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan yang tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan, kekurangan Pembantu Tadbir serta latihan secukupnya tidak diberikan kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan KWAPM.

Menurut garis panduan KWAPM, wang bantuan perlu diserahkan kepada murid yang layak dalam masa tujuh hari bekerja selepas cek/tunai diterima oleh sekolah, bagaimanapun, semakan audit di 45 buah sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang dan Sarawak, mendapati sebanyak 29 sekolah telah lewat membuat pembayaran antara 12 hingga 152 hari dari tarikh cek/tunai diterima.

Semakan audit mendapati kelewatan itu antaranya disebabkan oleh kementerian tidak memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang telah dikreditkan ke dalam akaun sekolah.

Menurut laporan tersebut, ada juga sekolah yang memberikan bantuan KWAPM kepada murid yang tidak memenuhi kriteria.

"Seramai 12 murid di empat buah sekolah telah diluluskan bantuan walaupun pendapatan yang dicatatkan dalam borang permohonan tidak melayakkan murid tersebut mendapat bantuan," kata laporan itu.

Bagi memastikan kelayakan penerima bantuan tidak dipertikaikan, laporan itu mengsyorkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bantuan memastikan semua borang permohonan diisi dengan lengkap dan disokong dengan dokumen sokongan.

Kementerian juga dicadangkan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang mencatatkan maklumat pendapatan dan tanggungan yang tidak benar bagi tujuan melayakkan seseorang murid menerima bantuan.

Laporan itu juga mencadangkan kementerian supaya memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang bantuan dikreditkan ke dalam akaun sekolah dengan menggunakan medium elektronik seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas.

Selain itu, laporan itu turut mengsyorkan kementerian mewajibkan semua skolah mengkreditkan wang bantuan terus ke akaun penerima bantuan bagi engelakkan kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/146472

MARA lulus RM59.09 juta pinjaman tanpa peruntukan

Jimadie Shah Othman
Okt 26, 10
4:23pm

Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan pinjaman sejumlah RM59.09 juta kepada pejabatnya di peringkat negeri dan daerah di Wilayah Persekutuan dan lima negeri tanpa mengambil kira kedudukan peruntukan kewangan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009, selain Wilayah Persekutuan, kelulusan pinjaman itu diagihkan kepada Sabah, Kedah, Johor, Pahang dan Selangor untuk membiayai pinjaman berjumlah RM0.18 juta yang diluluskan pada 2007, RM10.11 (2008) dan RM48.80 (setakat Mac 2009).

"Semakan selanjutnya mendapati kelulusan pemberian pinjaman di peringkat pejabat MARA negeri dan daerah telah dibuat berdasarkan kelayakan pemohon tanpa mengambil kira kedudukan peruntukan kewangan MARA," laporan itu dipetik.

Pinjaman itu juga diluluskan sebelum peruntukan Pakej Rancangan Ekonomi Pertama (PRE1) pada bulan April 2009 bernilai RM150 juta - RM50 juta untuk penambahan premis perniagaan dan RM100 juta bagi program pembiayaan perniagaan.

Sehubungan itu, audit itu berpendapat, permohonan pembiayaan hendaklah diluluskan berdasarkan baki peruntukan kewangan sedia ada bagi memastikan pembiayaan dapat disalurkan kepada peminjam pada masa yang ditetapkan.

"Kelewatan pengeluaran pinjaman akan menyebabkan operasi perniagaan peminjam terjejas atau peminjam mengambil masa yang lama untuk memulakan perniagaan," laporan itu dipetik.

Sementara itu, dalam laporan maklum balas daripada perbendaharaan negara, MARA telah mengambil pelbagai tindakan untuk mengutip tunggakan pembiayaan tersebut seperti:

  • Pegawai MARA daerah mengeluarkan surat peringatan kepada peminjam yang tertunggak.
  • Kutipan melalui agen kutipan hutang yang dilantik.
  • Penubuhan jawatankuasa penguatkuasaan peringkat negeri yang bermesyuarat sebulan sekali.
  • Penubuhan jawatankuasa pemantauan.
  • Mulai Julai 2010, pembiayaan yang tertunggak empat bulan akan terus diambil tindakan penguatkuasaan.
"Tindakan tersebut di atas telah memberikan impak ke atas peningkatan kutipan pembiayaan bagi negeri Sabah yang didapati tunggakan berkurangan kepada RM0.86 juta (daripada RM21.57 juta) dikira setakat Jun 2010," penjelasan perbendaharaan itu dipetik.

http://malaysiakini.com/news/146452

Tabung Haji: RM 435,000 dikeluarkan secara tak sah




Okt 26, 10 6:25pm

Sejumlah RM435,850 telah dikeluarkan melalui 113 proses transaksi yang tidak sah melibatkan 56 akaun pendeposit Lembagai Tabung Haji (LTH) di lima buah negeri bagi tahun 2007 hingga tahun lepas, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Sabah mencatatkan kes pengeluaran tidak sah tertinggi melibatkan 46 akaun dan jumlah pengeluaran RM355,100, diikuti Wilayah Persekutuan, Terengganu, Melaka dan Selangor.

Menurut laporan itu, antara punca kes pengeluaran wang tidak sah adalah wujudnya pakatan antara juruwang dan penyelia bagi membuat pengeluaran wang tanpa pengetahuan atau kehadiran pendeposit serta kecuaian penyelia untuk mengesahkan kehadiran pendeposit.

Selain itu, maklumat pendeposit seperti nombor akaun, nama dan baki akaun juga dapat diakses oleh juruwang walaupun LTH telah mengeluarkan arahan kerahsiaan maklumat akaun pendeposit pada 2008.

Justeru, LTH diingatkan agar memastikan kawalan dalaman dipatuhi dan beroperasi dengan baik untuk mengelakkan penyelewengan pada masa hadapan, selain melakukan penambahbaikan secara berterusan supaya pengurusan akaun pendeposit dilaksanakan dengan cekap dan teratur.

Laporan itu juga menyatakan sebanyak 100 kes pengeluaran melebihi baki akaun telah berlaku dari 2001 hingga 2009 yang melibatkan sejumlah RM115,191.

"Analisis audit mendapati 55 kes disebabkan kesilapan maklumat potongan gaji oleh majikan, cek ditolak bank (15 kes), perbelanjaan haji (15 kes) dan punca lain seperti simpanan dan pengeluaran di Mekah dan Jeddah (15 kes)," kata laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa bilangan pendeposit baru Tabung Haji telah meningkat kepada 617,614 orang pada 2009 berbanding 310,739 orang pada 2008.

Ini menjadikan bilangan pendeposit terkumpul seramai 5.36 juta orang pada 2009.

Dengan itu, Kumpulan Wang Pendeposit mencatatkan peningkatan dari RM20.58 bilion pada 2008 ke RM23.59 bilion pada tahun lalu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/146474

ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina




Andrew Ong
Okt 26, 10
3:03pm

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:

  • Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
  • Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
  • Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.

http://malaysiakini.com/news/146435

M'sia ambil langkah kesan bakteria 'superbug'

Okt 26, 10 12:28pm

Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan kes jangkitan yang melibatkan bakteria 'superbug', kata menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Berikutan itu, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah diarah menjalankan ujian bagi mengenal pasti serta pengesahan kehadiran bakteria yang membawa gen NDM-1 di Malaysia.

"Sejak kejadian jangkitan bakteria 'superbug' mula dikesan pada tahun 2008, lebih banyak kes melibatkan 'superbug' mula direkodkan di seluruh dunia atau secara lebih spesifik di India, Pakistan dan United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, langkah pengawasan telah dimulakan di mana semua hospital di seluruh negara diarah menghantar sampel bakteria yang menunjukkan corak kerintangan tinggi terhadap kebanyakan antibiotik yang diuji, kepada kepada IMR, untuk ujian lanjut.

"Sehingga ini, tidak ada pesakit yang dijangkiti oleh 'superbug' tersebut yang dirawat di negara ini.

"Pihak IMR telah menyaring 18 isolat bakteria yang menunjukkan corak kerintangan yang tinggi dan hanya satu isolat yang positif terhadap gen NDM-1 yang dikesan di Malaysia.

"Isolat yang positif tersebut hanyalah merupakan 'colonizer' iaitu ia tidak menyebabkan penyakit dalam seseorang pengidap penyakit barah tetapi hanyalah pembawa.

"Ujian susulan terhadap sampel dari pengidap barah tersebut adalah negatif," tambahnya.

Liow berkata, kementerian kesihatan akan terus menjalankan pemantauan bagi mengesan awal dan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan kejadian kes jangkitan bakteria ini, tidak merebak di Malaysia.

Adik ipar Tony Blair peluk Islam

Harakahdaily

LONDON, 26 Okt: Adik ipar Tony Blair, Lauren Booth, memeluk Islam selepas menziarahi makam Fatimah al-Masumeh di bandar Qom, Iran sekembalinya ke Britain enam minggu lalu.

Booth, 43, wartawan penyiaran di Press TV, saluran berita bahasa Inggeris Iran adalah adik kepada Cherie Blair, isteri bekas perdana menteri Britain itu.

"Setelah menziarah makam Fatimah Al-Masumeh itu, saya merasa suatu kejutan spiritual, nyaman dan tenteram," katanya kepada akhbar The Mail Ahad lalu.

Beliau berkata, "sekarang ini saya tidak lagi makan babi dan saya membaca Al Quran setiap hari. Kini saya sedang membaca pada muka surat ke 60.

"Saya juga tidak minum alkohol dalam 45 hari ini, satu tempuh masa yang terpanjang dalam 25 tahun. Peliknya sejak saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam, saya tidak mahu lagi menyentuh alkohol," katanya.

Sebelum memeluk Islam, Booth sangat simpati dengan Islam dan menghabiskan masa yang lama di Palestine. Beliau juga menentang keras peperangan yang dipaksakan ke atas Iraq.

"Saya selalu kagum dengan kekuatan dan keselesaan yang diberi (oleh Islam)," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29178:-adik-ipar-tony-blair-peluk-islam&catid=1:utama&Itemid=50

Mentera Dibolehkan Asalkan Tidak Bercampur Syirik

Published: Selasa Oktober 26, 2010 MYT 11:48:00 AM

Hadith :

Dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i r.a katanya:”Kami biasa melakukan mantera pada masa jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang mentera ?” Jawab baginda:”Peragakanlah (bacalah) menteramu itu di hadapanku. Mentera tidak ada salahnya selama tidak mengandungi syirik.”

(Muslim)

Huraian:

Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan sehingga terjebak ke dalam dunia syirik. Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram dan amalan-amalan berdamping dengan makhluk halus yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik serta amat dilarang dalam Islam.

Islam meletakkan bahawa apa-apa perubatan sekalipun sama ada tradisional mahupun perubatan moden semuanya hendaklah bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit.

Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira sama ada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata.

Dalam perkataan lain, segala kaedah dan ubatan yang digunakan hanyalah sebagai ´al-asbab´ dan kita wajib percaya bahawa makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu melainkan segalanya terletak pada ketentuan dan keizinan Allah S.W.T jua.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://www.mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_agama/20101026114528&sec=mstar_agama

Gempa Bumi Kuat Di Padang, Indonesia

Selasa Oktober 26, 2010

JAKARTA: Kota Padang di Sumatera Barat sekali lagi dilanda gempa bumi, kali ini dengan kekuatan 7.2 pada skala Richter menyebabkan penduduk panik dan bertempiaran keluar daripada rumah mereka untuk menyelamatkan diri.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisikal (BMKG) Indonesia berkata gempa yang berpusat di 78 km Barat Daya Pagai Selatan Mentawai, Sumatera Barat itu, telah mengeluarkan amaran ancaman tsunami, tetapi menarik balik amaran itu pada pukul 10.50 malam tadi.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) Padang Mohd Ekhwan Darus yang dihubungi malam ini memberitahu Bernama kesemua 120 pelajar Malaysia yang berada di Padang selamat.

Gegaran yang berlaku selama kira-kira satu minit itu telah menyebabkan orang ramai keluar menyelamatkan diri dari rumah masing-masing, katanya.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 11 malam ini, para pelajar Malaysia telah pulang ke rumah masing-masing. -BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_berita/20101026094203&sec=mstar_berita

Guru BI dipantau 370 pakar luar


PENGAJARAN Bahasa Inggeris di sekolah bakal dipantau oleh pakar bahasa itu yang dibawa dari luar negara mulai tahun depan. - Gambar hiasan


MELAKA – Seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil bekerja untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah bagi merealisasikan pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pakar tersebut akan memantau pengajaran bahasa Inggeris khususnya untuk pelajar tahun satu sekolah rendah di seluruh negara.

“Pengambilan pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris agak mencabar dan mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Kegiatan maksiat atas bumbung berakhir tragedi


ANAK panah menunjukkan arah seorang budak perempuan berusia 12 tahun terjatuh dari tingkat enam ketika cuba turun melalui dinding sebuah apartmen di Petaling Jaya kelmarin. Gambar kecil menunjukkan keadaan mangsa selepas terjatuh.


PETALING JAYA – Seorang gadis sunti berusia 12 tahun yang menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat enam Blok E dekat Apartmen Lestari di Damansara Damai di sini kelmarin dikatakan selalu berada di situ untuk melakukan perbuatan sumbang.

Perkara tersebut didedahkan oleh penduduk di situ yang sebelum ini sering melihat mangsa bersama beberapa remaja lelaki naik ke bumbung bangunan itu.

Menurut mereka, remaja perempuan berkenaan bukan penduduk di situ. Selain itu, dia juga sering dilihat terhendap-hendap setiap kali hendak ke bumbung bangunan tersebut.

Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, penduduk kemudian bersepakat untuk memasang perangkap bagi mengetahui aktiviti mereka.

“Alangkah terkejutnya kami apabila melihat mangsa sedang berasmara dengan tiga remaja lelaki di situ.

“Kami kemudian menyergah mereka menyebabkan mereka terkejut dan cuba melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba turun dengan memanjat dinding tetapi dia gagal lalu terjatuh ke tanah,” ceritanya ketika ditemui semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Ibu maafkan dosa Siti Faezah


DARI kiri: Siti Faezah, Hazmain dan Siti Rohani bersama Siti Norafida (di atas pangkuan) kelihatan ceria setelah dipertemukan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ibu kepada Siti Faezah Abu Baka bertekad untuk membawa keluarga anaknya yang sebelum ini hidup merempat di bawah jambatan di sebatang lebuh raya di sini pulang ke rumahnya di Segamat, Johor bagi memulakan hidup baru.

Siti Rohani Abdullah, 52, berkata, dia gembira kerana selepas enam tahun berpisah dengan anak keenam daripada 10 adik-beradik itu, mereka akhirnya dipertemukan dengan bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO.

Siti Rohani telah dibawa ke sini oleh ahli-ahli biro itu dari rumahnya di Ladang Sungai Selarut, Segamat kira-kira pukul 11 pagi semalam untuk dipertemukan semula dengan Siti Faezah, 27.

Pertemuan itu adalah rentetan daripada usaha membantu keluarga Siti Faezah, suaminya, Hazmain Abdul Jalil, 28, dan anaknya yang baru berusia setahun, Siti Norafida yang ditemui merempat di kolong jambatan Lebuh Raya Maju Expressway di sini sejak empat bulan lalu.

“Kami terputus hubungan selepas telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Saya pun selalu berharap dia menelefon saya kerana dia tahu nombor saya.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah pada bulan puasa tahun 2004,” ujar Siti Rohani selepas dipertemukan dengan Siti Faezah di sini semalam.

Sebelum ini, menurut Siti Rohani, dia sudah lama mencari anaknya itu termasuk cuba mendapatkan maklumat daripada rakan rapatnya di Johor, namun tidak berhasil.

Pada pertemuan itu, Siti Faezah dan ibunya tidak dapat menahan kesedihan dan mereka saling berpelukan dan menangis teresak-esak selama lebih 10 minit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Habis RM17,000 rawat rambut


MAHATHIR menunjukkan pakej rawatan rambut yang ditawarkan oleh pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Berhabis sehingga RM17,000 bagi merawat masalah rambut, namun hasil yang diperoleh mengecewakan.

Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care, juruteknik sebuah kilang di sini, Mahathir Taib, 24, memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada bulan lepas.

Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Datuk A. Mutalib Mohd. Razak mengarahkan pusat rawatan rambut itu membayar ganti rugi RM1,500 serta memberikan 12 rawatan rambut percuma kepada Mahathir.

Dua wakil Yun Nam Hair Care turut hadir pada perbicaraan itu.

Dalam tuntutannya, Mahathir dari Sungai Petani, Kedah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak diberi penerangan yang jelas berhubung rawatan yang diterimanya.

Mahathir memberitahu, semasa pertama kali dia berkunjung ke pusat rawatan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam dekat sini pada Oktober tahun lalu, dia diberitahu masalah rambutnya boleh dirawat lalu jururunding di situ menawarkan pakej rawatan berharga RM1,500.

Untuk pakej itu, dia menerima 10 kali sesi rawatan rambut menggunakan formula herba termasuk empat botol produk berharga RM216.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Bawa 370 pakar BI

Oleh Ahmad Saufi Mansor dan Amir Mamat

MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 tenaga pakar dalam Bahasa Inggeris (BI) dari luar negara bagi melakukan pemantauan terhadap pengajaran dan penguasaan bahasa berkenaan di peringkat sekolah rendah pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini berikutan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan kepada murid Tahun Satu kelak.


Menurutnya, pengenalan dasar terbaru berkenaan dibuat selepas mendapati Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sebelum ini didapati gagal mencapai matlamat yang disasarkan kepada pelajar.


“Daripada kajian kita buat, ia (PPSMI) tidak kesampaian matlamatnya, bukan tidak mahu, tetapi tiada kemampuan sedangkan Sains dan Matematik adalah mata pelajaran penting.

“Sebab itu saya mengambil tekad berani dan membuat keputusan untuk memperkenalkan dasar MBMMBI. Bukan kita menolak PPSMI kerana ia sedikit sebanyak membantu, tetapi dilihat dalam jangka masa panjang mungkin tidak mampu mencapai sasaran.


“Inilah yang kita hendak jelaskan... memang perancangan banyak, (bagaimanapun) maklumat terperinci akan diberikan tidak lama lagi supaya rakyat tahu bahawa mereka (juga) dapat membantu menjayakan dasar MBMMBI, sekali gus melaksanakannya secara terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berdialog dengan kira-kira 2,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, di sini, semalam.


MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 selepas mendapati dasar itu gagal mencapai matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat sudah terlatih dalam bahasa kebangsaan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bawa370pakarBI/Article/index_html

Ayah rindu sampai mati

Oleh Asmah Rusman

KUALA LUMPUR: Hanya linangan air mata dan ratapan sendu dapat menggambarkan kesedihan hati seorang ibu malang selepas mengetahui anak gadisnya yang hilang enam tahun lalu hidup dalam kedaifan dan tinggal merempat di bawah jambatan.

Wanita terbabit, Siti Rohani Abdullah, 52, dari Ladang Sungai Selarut, Segamat, Johor, hanya mengetahui nasib malang anaknya, Siti Faizah Abu Bakar, 27, dan suami, Hazmain Abdul Jalil, 28, bersama anak mereka, Siti Norafidah, setahun lima bulan selepas menonton televisyen, kelmarin.


“Saya tak sangka sampai begitu kesusahan dan kepayahan yang dialami mereka sekeluarga. Sejak dia keluar rumah kerana berlaku sedikit perselisihan faham antara kami, saya tak pernah terima khabar berita walaupun berusaha menjejaki mereka melalui rakan dan telefon bimbit Siti Faizah,” katanya ketika ditemui di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia di sini, semalam.


Semalam, Harian Metro melaporkan tiga beranak berkenaan terpaksa tinggal di bawah jambatan Lebuh Raya Timur Barat (Metramac) bersama dua rakan Hazmain, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 30 dan Chan Che Wah, 44, sejak lima bulan lalu. Menurut Hazmain, mereka tiada pilihan lain, selain daripada tinggal di bawah jambatan selepas dihalau pemilik rumah yang disewanya dengan harga RM200 di Sungai Besi, di sini, lima bulan lalu. Pertemuan yang diatur Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno Seputeh dan Segamat serta Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno (Sheb) itu bertambah syahdu apabila Siti Rohani memaklumkan kepada anaknya mengenai berita kematian bapanya Julai lalu akibat serangan sakit jantung.

Katanya, arwah suaminya, Abu Bakar Sulaiman, 54, pernah menyuarakan hasrat mencari dan bertemu dengan anak keenamnya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.


“Arwah ada cakap dengan saya nak jumpa dengan Siti Faizah dan berazam untuk menjejaki anak kami ini walau dengan apa cara sekalipun, namun, saya tak sangka dia pergi bersama kerinduan itu,” katanya.

Siti Faizah berkata, dia sedih kerana tidak sempat menemui arwah bapanya untuk memohon keampunan atas kesilapan lalu, namun bersyukur masih diberi kesempatan untuk bertemu ibu kandungnya.


“Syukur kerana emak sudi berjumpa. Saya mahu mohon ampun dan maaf atas kesalahan dan kesilapan lalu dan berharap emak bersama keluarga terutama adik beradik yang lain dapat menerima kami semula. Terima kasih kepada Pemuda Umno dan pihak media yang banyak membantu kami,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, selepas menerima panggilan daripada Siti Rohani, pihaknya terus merancang pertemuan itu bagi memastikan hajat si ibu tertunai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ayahrindusampaimati/Article/index_html

Suami patut hargai pengorbanan isteri

KUALA LUMPUR: Golongan isteri yang menyedari bibit perubahan negatif sikap baran pasangan hingga mula rasa tidak selamat perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan nasihat ahli keluarga sebelum membuat aduan kepada mahkamah bagi mengelak menjadi mangsa dera ‘suami Firaun’.

Pakar motivasi dan penceramah terkenal, Zawawi Yusof berkata, wanita perlu tahu hak mereka serta mendapatkannya melalui rujukan ke mahkamah supaya nasib mereka terbela dan tidak terus-terusan menjadi mangsa dera suami yang tidak berperikemanusiaan.


Beliau berkata, di sebalik kes yang dipaparkan di dada akhbar, masih ramai suami di negara ini yang mendera isteri masing-masing walaupun tanggungjawab sebenar mereka menjaga isteri dengan baik.


“Tugas sebenar suami menyelamatkan isteri masing-masing dan menjaganya bukan menganiaya isteri hingga memperlakukan pasangan dengan kejam.

“Sepatutnya suami perlu bersyukur jika isteri menjaga makan minum mereka kerana tugas itu tidak wajib untuk dilaksanakan isteri, tetapi ia dilakukan sebagai pengorbanan isteri berkhidmat kepada suaminya.


“Dalam Islam, suami yang mampu perlu menyediakan pembantu untuk memasak dan sebagainya tetapi jika tidak mampu, maka isteri boleh berkorban dengan melakukannya untuk suami dan suami sepatutnya menghargainya,” katanya.

Zawawi berkata, suami yang mendera isteri terutama jika ia berkaitan perkara kecil seperti masakan tidak sedap, itu menunjukkan suami terbabit sakit jiwa dan mati hati sekali gus membuka ruang kepada isteri merujuk perkara itu ke mahkamah bagi tindakan selanjutnya.


Katanya, walaupun haram untuk meminta cerai tetapi jika isteri dianiaya, Islam memberikan ruang yang luas kepada isteri untuk berpisah demi kebaikannya melalui tuntutan fasakh.


“Golongan wanita perlu berhati-hati memilih pasangan dengan menggunakan konsep Islam iaitu melihat kepada keluarga, harta, rupa dan agama tetapi jika memilih yang beragama, dia akan selamat iaitu suami yang bukan saja selamat malah mampu menyelamatkan,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya dikencing suaminya hanya kerana masakannya tidak menepati selera. Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamipatuthargaipengorbananisteri/Article/index_html

Lari ikut cikgu pengkid


Oleh Alias Abd Rani


CARI...Abu Kassim (kiri) dan Faridah menunjukkan gambar Khalilah yang hilang.
CARI...Abu Kassim (kiri) dan Faridah menunjukkan gambar Khalilah yang hilang.


KUCHING: Sepasang suami isteri terpaksa ‘terbang’ ratusan kilometer dari Melaka, semalam, selepas mendapat tahu anak gadis mereka berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak 23 hari lalu sedang bercuti di bandar raya ini bersama gurunya yang dipercayai seorang pengkid.


Abu Kassim Ismail, 58, dan isterinya, Faridah Hassan, 56, mendakwa membuat keputusan untuk datang ke Kuching sebaik mendapat tahu anaknya, Khalilah yang menghilangkan diri sejak 8 Oktober lalu, kini dipercayai berada bersama guru wanita berusia 24 tahun itu.

Abu Kassim yang bingung mengenai nasib Khalilah berkata, sebelum ini anaknya memiliki sifat baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapanya selain cemerlang mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.


Katanya, sebaik anaknya yang bersekolah agama di Melaka mengenali guru yang juga penyelia asrama berkenaan, pada April lalu, dia mengesyaki sesuatu pelik berlaku ke atas anaknya sehingga mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Khalilah tinggal di asrama.


“Guru itu pernah datang dan tidur di rumah, malah saya langsung tidak mengesyaki niat buruknya. Saya mula sangsi selepas mendapat tahu anak saya sudah lama tidak ke sekolah tapi berada di rumah guru terbabit,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu hanya disedari selepas Khalilah dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan di sebuah sekolah agama di Melaka pada 8 Oktober lalu.

“Pada hari kejadian, saya menghantarnya ke sekolah dan pada hari itu jugalah dia menduduki ujian. Namun, sehingga petang saya menunggunya, namun kelibatnya tidak muncul, sehingga saya membuat laporan di Balai Polis Jasin, Melaka,” katanya.

Abu Kassim berkata, dia hanya mengesyaki Khalilah berada di Sarawak selepas menemui keratan tempahan yang dibuat di sebuah agensi pelancong di kediaman guru terbabit di asrama sekolah anaknya.

“Kami kemudiannya ke agensi terbabit dan mengesahkan dia dan Khalilah bercuti di Sarawak,” katanya.

Katanya, kehadiran mereka ke Sarawak diperkuatkan lagi selepas guru berkenaan dikatakan memberitahu rakan kepada anaknya menerusi laman Facebook pada Jumaat lalu.

Usaha Abu Kassim menghubungi guru berkenaan bagaimanapun gagal selepas telefon bimbit dimatikan.


http://www.hmetro.com.my/articles/Lariikutcikgupengkid/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...