Sunday, September 28, 2008

2,000 sertai perarakan aman anti-ISA



Andrew Ong & Rahmah Ghazali Sep 27, 08 8:15pm

Kira-kira 2,000 menyertai perarakan aman di ibunegara malam ini, mendesak supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan dibebaskan tahanan di bawah akta tersebut.

Pada mulanya, dua kumpulan - Barisan Bertindak Hak Hindu (HIndraf) dan gabungan NGO yang diketuai oleh Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) - merancang untuk mengadakan majlis memasang lilin di Dataran Merdeka pada kira-kira jam7.30 malam.

Apabila polis mengawal Dataran Merdeka, kumpulan Hindraf yang berjumlah kira-kira 500 orang, berarak menuju ke kuil yang terletak di depan pusat perhentian bas Puduraya kira-kira 1 km dari situ.

Ketika berarak ke sana, orang ramai turut menyertai mereka dan jumlahnya kemudian bertambah mencecah kira-kira 2,000 orang, dengan ramai yang membawa lilin.

Satu lagi kumpulan, yang berarak sambil membawa tanglung, kemudiannya turut menyertai kumpulah Hindraf tersebut.

Sambil berarak, mereka melaungkan “Mansuhkan ISA”, “Bebaskan Raja Petra” and “Hindraf Valga (Hidup Hindraf)”.

Akhirnya, mereka berkumpul di kawasan kuil berkenaan di mana beberapa individu menyampaikan ucapan.

Penyelaras pusat Hindraf, R Thanenthiran menggesa kerajaan memenuhi tuntutan peserta perarakan tersebut supaya membebaskan tahanan ISA.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak boleh memutuskan seorang diri apakah yang terbaik untuk negara.

"Malam ini, kita rakyat, menjadi hakim," tambahnya.

Kemudian, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu hadirin bahawa perhimpunan tersebut diadakan untuk mengingati ulangtahun pertama penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dan kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Kita akan terus mengadakan perhimpunan sehinggalah tahanan ISA dibebaskan," katanya.

Suasana meriah

Sementara itu, perarakan itu berjalan dalam suasana meriah. Beberapa penyokong Raja Petra Kamaruddin turut menyanyikan lagu selamat jadi kerana hari ini merupakan hari jadi penulis blog tersebut.

Menjelang jam 9 malam, mereka bersurai dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Thanenthiran kemudiannya memberitahu pemberita bahawa perarakan malam ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman untuk menyuarakan isi hati mereka.

“Jika pihak polis mematuhi undang-undang, kita pun juga boleh berbuat demikian," katanya.

Dalam satu kenyataan selepas orang ramai bersurai, pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengucap terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan perarakan tersebut diadakan.

"Kerajaan kini seharusnya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah menghantar satu mesej yang kuat dan jelas menolak penggunaan ISA," katanya yang kini tinggal di luar negara.

Sementara itu, dua peserta buta memberitahu Malaysiakini mengapa mereka turut menyertai perarakan tersebut.

Ramli Abu Bakar, 51, berkata beliau menyokong gerakan anti-ISA sejak ia dimulakakan kerana "negara telah mencapai kemerdekaan".

"Kita telah merdeka selama 51 tahun, jadi mengapa kita perlukan lagi undang-undang itu sekarang," kata Ramli.

Rakannya, Kamal Abdu Bakar, 48, turut menyokongnya dengan berkata ISA tidak relevan lagi sekarang.

Manakala seorang penyokong Raja Petra - Sampa Lee, 60 - berkata pembebasan penulis blog itu serta tahanan ISA yang lain, akan merupakan hadiah hari jadi terbaik yang boleh diberikan oleh kerajaan.

"Ia akan merupakan hadiah terbaik untuk Raja Petra dan semua rakyat Malaysia kerana kita semua menentang undang-undang yang zalim itu," kata Sampa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis mendapat maklumat bahawa perhimpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Tetapi kita telah menempatkan anggota polis di beberapa jalan masuk menuju ke Dataran Merdeka dan ini menyebabkan peserta perhimpunan bertukar lokasi menuju ke kawasan berhampiran Puduraya.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam laporan Bernama.

http://www1.malaysiakini.com/news/90508
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...