Saturday, August 22, 2009

Derita isteri 'jutawan'

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak tahan dengan penderaan seksual serta kelakuan liar suaminya yang sebelum ini mengaku sebagai seorang hartawan dari Lubnan, Farinnie Mohd Farid semalam memohon fasakh daripada Elli Youseff Najem.

Farinnie, 23, memohon fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini semalam, dengan Elli Youseff, 49, selepas hampir setahun mereka tidak tinggal bersama.

Tuntutan itu dibuat mengikut Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 dan difailkan pada 7 Ogos lalu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mamat Haizan Salleh, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu mahkamah saman penyampaian meminta Elli hadir di mahkamah tidak dapat disampaikan berikutan tiada orang di rumahnya.

“Pihak kami tahu defendan tinggal di situ. Kami menghantar saman itu di alamat itu kerana sebelum ini media ada melaporkan dia tinggal di rumah berkenaan bersama teman wanitanya, iaitu seorang warga Filipina.

“Mengikut laporan, defendan kini dalam siasatan polis berikutan wanita terbabit mati akibat terjatuh. Oleh itu kami memohon saman secara tampalan dilakukan,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 16 September depan sebutan semula.

Terdahulu, Fakhrul Azman memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir kerana tidak sihat manakala Elli tidak dapat dikesan.

Berdasarkan penyata tuntutan, Farinie mendakwa suaminya suka melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap orang gaji termasuk mencabul, seks oral, berjalan bogel dalam rumah serta memaksa pembantu rumah memandi dan mencukur bulu kemaluannya.

Katanya, jika perbuatan itu ditegur, defendan akan mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Farinie mendakwa defendan juga suka meliwatnya serta memaksa mengadakan hubungan kelamin walaupun ketika haid atau sedang berpantang dan jika enggan, Elli akan mengamuk dan memukulnya.

Dia juga mendakwa defendan bertindak zalim dan menganiayanya dengan menarik rambut, menengking dan bergaduh tanpa sebab.

Farinie juga mendakwa tidak tahan sikap Elli suka menipu untuk mendapatkan wang dengan menggunakan taktik orang lain perlu membayar wang pendahuluan terlebih dulu.

Elli juga didakwa sering menghalang isterinya menunaikan solat serta memaksanya makan di hadapan khalayak ramai ketika Ramadan.

Dalam penyata tuntutannya, Farinie seterusnya mendakwa Elli memaksanya memakai salib, tetapi gagal dan pada 20 Jun 2009 dia menerima beberapa keping gambar suaminya bersama seorang perempuan yang diakui sebagai isteri dan defendan memakai lambang itu.

Farinie berkata, dia menerima defendan sebagai suami kerana menyangka dia seorang yang baik, tetapi selepas pernikahan, barulah dia menyedari status bujang yang diikrarkan Elli sebenarnya palsu kerana mempunyai isteri di merata negara.

Wanita itu mendakwa Elli tidak mengaku anak yang dilahirkannya hasil perkahwinan mereka serta sering menuduh mereka anak luar nikah, menyebabkannya tertekan untuk meneruskan hidup bersama.

Farinie juga tertekan apabila sering menerima gambar menunjukkan suaminya bersama perempuan lain dan surat yang menghina serta membezakan dirinya dengan perempuan yang kini hidup bersama defendan.

Pasangan itu yang bernikah pda 6 Oktober 2005 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Price-Kovadis Elias, dua tahun dan Nur Analeeza Sofya, setahun.

Elli Youseff sebelum ini pernah menarik perhatian media dan rakyat negara ini dengan janji derma RM1.03 bilion kepada Majlis Kanser Malaysia serta membangunkan Lubnan dengan pelaburan lebih RM55.5 bilion.

http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20090822091557/Article

Dulu gemuk, kini menawan


BERAT badan Needham pernah mencecah 115 kilogram.




NEEDHAM kini mempunyai tubuh yang menawan.


LONDON - Ketika bergelar mahasiswi pada usia 18 tahun, berat badan Leanne Needham mencecah 115 kilogram (kg) sekali gus memaksanya ponteng kuliah kerana tiada kerusi yang sesuai untuk dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, Needham yang kini berusia 21 tahun dinobatkan sebagai gadis yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak pada tahun ini oleh pusat kecantikan Slimming World.

Dalam tempoh dua tahun, dia berjaya mengurangkan berat badan lebih 44 kg dengan kerap bersenam dan banyak memakan buah-buahan dan sayuran selain pasta serta telur.

"Saya berazam melakukan perubahan kerana malu dengan keadaan diri saya. Apabila anda gemuk, keyakinan diri anda menjadi rendah dan perasaan anda mudah terganggu," katanya.

Needham menerima wang tunai £2,000 (RM11,687) dan sebuah pemain cakera video digital (DVD) selepas memenangi pertandingan itu yang terbuka kepada golongan berusia antara 15 dan 21 tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

H1N1 akan merebak

BEIJING – Kerajaan di seluruh dunia perlu menggandakan persediaan bagi menghadapi wabak selesema babi (H1N1), kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Menurut WHO, persediaan itu perlu berikutan penyebaran global selesema babi dikhuatiri berlaku dengan lebih cepat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengarah WHO Pasifik Barat, Shin Young-soo menjelaskan, virus influenza A diramal merebak lebih pantas diikuti dengan peningkatan dua kali ganda kes jangkitan selesema di kebanyakan negara.

“Pada satu peringkat, terdapat satu ‘le dakan’ jumlah kes,” kata Young-soo pada satu simposium pakar-pakar dan pegawai kesihatan di sini.

“Pastinya akan terdapat lebih banyak kematian dan kes,” tambahnya. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Pengguna Facebook pertama dipenjara


KEELEY tiba di sebuah mahkamah majistret di Worcester, England semalam.


LONDON – Seorang remaja, Keeley Houghton menjadi individu pertama yang dipenjara di Britain kerana membuli di alam siber selepas dia menyiarkan ancaman bunuh di laman jaringan sosial Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah mahkamah Britain menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Keeley, 18, kerana menulis dalam web peribadinya bahawa dia akan membunuh Emily Moore, remaja perempuan yang dibulinya sejak sekian lama.

“Keeley akan bunuh jalang itu (Moore),” menurut mesejnya di Facebook.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4 petang 12 Julai lalu dan membiarkan komen itu berada di laman Facebook miliknya selama 24 jam.

Mahkamah Majistret Worcester diberitahu bahawa Moore, 18, menjadi mangsa Keeley selama empat tahun dan pernah menghadapi serangan fizikal selain rumahnya turut dirosakkan.

“Sejak Moore berusia 14 tahun, anda (Keeley) berulang kali mengugut dan mengasarinya. Pembuli sebenarnya pengecut sama ada di sekolah atau di kalangan masyarakat,” kata Hakim Bruce Morgan.

Remaja itu menangis ketika hakim membacakan hukuman tersebut.

Selain itu, dia turut dilarang daripada menghubungi Moore secara langsung melalui Internet atau dalam apa cara sekali pun selama lima tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang aktivis, Emma Jane Cross menyatakan hukuman itu akan menjadi rujukan penting dalam kes buli siber di Britain.

“Hukuman itu menjelaskan bahawa perbuatan membuli sama ada di dunia nyata atau di Internet boleh menjurus kepada kesalahan jenayah dan tidak boleh dibiarkan,” katanya. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Hari kedua tanpa korban


ORANG ramai memakai topeng penutup hidung dan mulut sementara menunggu waktu menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara semalam.





BUKIT MERTAJAM - Kes kematian akibat jangkitan pandemik selesema babi terus memperlihatkan trend yang melegakan dengan tiada kematian dilaporkan semalam iaitu hari kedua berturut-turut tanpa mengorbankan nyawa.

Namun begitu, jumlah kes baru masih tinggi dengan 380 termasuk 220 yang kemudian disahkan H1N1, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 5,876 kes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 1,556 pesakit masih dirawat di 98 buah hospital seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 44 pesakit masih dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi),'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Penularan H1N1 di Klinik Desa Bukit Indra Muda di sini semalam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya kerap menggunakan bahan pencuci tangan dan memakai topeng mulut dan hidung khususnya semasa berada di kawasan sesak.

"Meskipun terdapat hanya 0.1 hingga 0.4 peratus kematian, kita mesti menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Hanya ada 400,000 dos vaksin


MAKMAL Sanofi Pasteur di Perancis memperhebatkan pengeluaran vaksin H1N1 selepas menjadi syarikat ketiga setakat ini membuat ujian suntikan terhadap manusia.


BANGI - Malaysia tidak dapat membuat tempahan yang banyak untuk vaksin selesema babi atau H1N1, malah stok pertama yang dijangka tiba Oktober ini hanya 400,000 dos disebabkan persaingan sengit untuk mendapatkannya.

Bilangan dos itu dipercayai hanya mencukupi untuk para petugas barisan hadapan wabak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, persaingan untuk mendapatkan vaksin H1N1 cukup sengit selepas wabak itu menyerang banyak negara.

Namun, katanya, kementerian sedang berusaha membuat tempahan susulan daripada syarikat-syarikat pengeluar.

"Kita tidak dapat buat banyak tempahan pada peringkat pertama ini kerana hakikatnya semua negara kini berebut-rebut membelinya untuk rakyat masing-masing,'' katanya kepada pemberita pada majlis Syarahan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Tiong Lai berkata, pihaknya perlu memantau keberkesanan vaksin itu terlebih dahulu sebelum digunakan.

"Jika ia berkesan, baru kita akan membuat lebih banyak tempahan,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

H1N1: Tiada kematian baru, 310 telah didiscaj keluar hospital


KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan Influenza A(H1N1) didaftarkan Sabtu ini, manakala seramai 230 pesakit dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke wad.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata seramai 310 pesakit telah didiscaj keluar dari hospital menjadikan baki yang dirawat setakat ini seramai 1,476 pesakit di 102 buah hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 316 kes disahkan positif H1N1, di mana 40 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kemasukan baru manakala lapan kes dipindah keluar dari unit itu.

"Daripada 40 kes yang sedang dirawat di ICU, 25 kes (63 peratus) mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak/bayi (tujuh), diabetes (lima), penyakit kronik (lima), asma/COAD (tiga), obesiti (tiga) mengandung/postnatal (satu) dan kanak-kanak istimewa (satu)," katanya dalam kenyataan media mengenai situasi semasa wabak H1N1 di negara ini Sabtu ini.

Dr Mohd Ismail berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dan melibatkan 182 negara.

Sehingga pukul 8 pagi ini, menurut WHO peningkatan kes jangkitan H1N1 dicatat sebanyak 1,227 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 234,569 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 34, menjadikan keseluruhan kematian sehingga kini sebanyak 2,433, katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Ismail menasihatkan individu yang mempunyai gejala ILI supaya bertanggungjawab tidak menyebarkan jangkitan dengan tidak mengunjungi tempat-tempat awam yang sesak termasuk Bazar Ramadan, Masjid dan rumah-rumah ibadat lain.

"Ini adalah kerana anda masih boleh menyebarkan penyakit walaupun mengalami gejala demam dan batuk ringan. Sekiranya terpaksa mengunjungi tempat awam, pemakaian mask (topeng mulut dan hidung) menjadi kemestian sepanjang masa," katanya.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/22/mstar_berita/20090822141729&sec=mstar_berita

Kartika akan berpakaian penuh, melutut dan disebat di belakang dengan rotan nipis


SUNGAI SIPUT: Wanita Islam Malaysia pertama yang akan dikenakan hukuman sebat minggu depan kerana meminum arak akan berpakaian penuh dan melutut, disebat di bahagian belakang badan dengan rotan kecil yang nipis dengan sebatan sederhana, demikian menurut laporan sebuah agensi berita antarabangsa hari ini.

Agensi berita Reuters dalam satu temuramah dengan Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, di kediaman bapanya di sini memetik wanita itu sebagai berkata yang dia masih belum menerima maklum balas berhubung permintaannya untuk menjalani hukuman itu di khalayak ramai.

Hukuman ke atas Kartika dijadualkan berlangsung minggu depan di sebuah penjara di Selangor selama seminggu bermula Isnin ini.

Reuters juga melaporkan, perbicaraannya yang panjang di mahkamah memaksanya berhenti kerja sepenuh masa di sebuah hospital dan sejak itu hanya bergantung kepada kerjaya sebagai model sambilan.

"Saya memberitahu yang saya seorang model untuk menyelamatkan kerjaya sepenuh masa saya...tetapi saya rasa malu kerana orang menggunakan status saya sebagai model untuk menghebahkan kes saya," katanya.

Tambah wanita itu lagi, pengalaman pahit selama 20 bulan sejak insiden ditahan meminum arak pada 2007 itu menambah rasa gementarnya, namun dia menghormati undang-undang yang mengharamkan umat Islam meminum dan membuat keputusan untuk menjalani hukuman enam sebatan itu.

Ibu kepada dua anak ini turut membayar denda RM5,000 atas kesalahan itu dan meminta hukuman yang sepatutnya dijalankan di penjara itu dilaksanakan di khalayak ramai. Bagaimanapun pihak berkuasa penjara sehingga kini tidak memberi maklum balas kepada permintaannya.

"Saya tidak menangis apabila hakim menjatuhkan hukuman itu. Saya memberitahu diri saya, tidak mengapa, teruskan dengan hukuman itu," kata Kartika.

Kartika ditahan pada 11 Disember 2007 di sebuah hotel di Kuantan, Pahang ketika sedang meminum arak.

Katanya, dia meminum tiga gelas minuman keras sebelum hotel itu diserbu pihak berkuasa agama sambil menambah, itu adalah kali kedua dia meminum arak.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/22/mstar_berita/20090821192254&sec=mstar_berita

Insurans tidak lindungi pesakit H1N1?

Ogos 22, 09 1:34pm
Persatuan Insurans Nyawa Malaysia (LIAM) berkata kesemua 16 syarikat insurans nyawa anggota persatuan itu akan membayar tuntutan yang dikemukakan akibat kematian dan kemasukan hospital
berikutan rawatan jangkitan
influenza A (H1N1).

"Meskipun majoriti polisi perubatan tidak memasukkan penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina oleh undang-undang, syarikat insurans hayat bertindak kepada keperluan mendesak negara berikutan peningkatan jumlah mereka yang dijangkiti wabak itu," menurut kenyataan LIAM di Kuala Lumpur semalam.


Menurut LIAM, syarikat insurans akan terus memantau situasi dan akan memaklumkan kepada pemegang polisi sebarang perubahan keputusan.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata perlindungan dan polisi kesihatan berbeza antara satu syarikat dengan syarikat lain.

"Ia bergantung kepada syarikat berkenaan sama ada mahu memasukkan Influenza A(H1N1) dalam polisi mereka. Kami tidak boleh memaksa mereka mengubah polisi," kata penasihat teknikal PIAM Tan Eng Leong kepada Bernama.

Menurut laman web PIAM, polisi kesihatan umumnya tidak mengecualikan rawatan kemasukkan ke hospital bagi jangkitan atau penyakit berjangkit seperti H1N1.

"Namun, beberapa polisi ada menyatakan pengecualian perlindungan bagi penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina mengikut undang-undang.

Ini bermakna jika H1N1 diklasifikasikan sebagai satu penyakit berjangkit memerlukan kuarantina oleh undang-undang Malaysia, maka polisi sedemikian tidak meliputi perlindungan seperti perbelanjaan perubatan,"
kata beliau.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr David Quek Kwang Leng meminta syarikat insurans supaya lebih bermurah hati dan lebih memahami krisis seumpamanya.

"Kami menghadapi beberapa masalah dengan syarikat insurans kesihatan. Ini terutamanya berhubung kes-kes di hospital swasta di mana banyak syarikat insurans enggan membayar semula rawatan kerana telah termaktub dalam kontrak insurans perubatan, pengecualian rawatan wabak penyakit," kata beliau.

Beliau memuji insurans kesihatan Etiqa yang mengumumkan bahawa rawatan jangkitan H1N1 adalah penyakit yang boleh dibayar tuntutannya.

"Kami meminta syarikat insurans lain untuk mencontohinya. Jika tidak, kami berada dalam keadaan sukar untuk memberikan rawatan terbaik," katanya. BERNAMA

http://www1.malaysiakini.com/news/111162

H1N1 kini cecah 5,876 kes

Ogos 21, 09 4:14pm
Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini hari ini, yang menyaksikan 380 kes baru dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 5,876.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 1,556 pesakit masih berada di wad di 98 hospital di seluruh negara, dengan sejumlah 220 disahkan positif virus A (H1N1).

Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan bahan pencuci tangan bagi membersihkan tangan dan menutup mulut dan hidung dengan penutup semasa berada di kawasan sesak bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

"Meskipun terdapat hanya 0.1 hingga 0.4 peratus kematian, kita mesti menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen pencegahan A (H1N1) di klinik Bukit Indera Muda di Permatang Pasir di Bukit Mertajam.

Liow, yang juga naib presiden MCA, bagaimanapun menasihatkan pengundi di Permatang Pasir tidak bimbang apabila keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi itu pada 25 Ogos.

"Kami telah mengambil langkah drastik bagi mencegah penularan virus itu dan orang ramai tidak perlu begitu khuatir," kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendidik semua petugas pilihan raya mengambil tindakan berjaga-jaga semasa pengundian Selasa ini.

"Kami juga akan mengedarkan penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan di semua pusat pengundian," kata Liow.

http://www1.malaysiakini.com/news/111117
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...