Wednesday, October 6, 2010

Harga Minimum Rokok Kini 35 Sen Sebatang

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa 1 Oktober lepas, Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga minimum rokok ialah 35 sen sebatang, atau RM7 bagi sepaket 20 batang rokok.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok di kalangan pengguna, khususnya kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

"Rokok telah disahkan sebagai penyebab pelbagai masalah kesihatan dan penyakit-penyakit serius yang boleh membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Saya pasti, masyarakat sedar akan bahaya merokok.

"Generasi muda dinasihatkan agar tidak memulakan tabiat merokok yang amat merugikan dan merosakkan kesihatan ini,"
katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penetapan harga minimum itu juga selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan cukai rokok sebanyak 3 sen sebatang, yang turut berkuatkuasa Jumaat lepas, menyaksikan harga runcit rokok naik di seluruh negara bermula semalam, iaitu RM10 bagi sepaket 20 batang berbanding RM9.30 sebelum ini.

Sehubungan itu, Liow berkata, semua pengilang dan pengimport rokok dikehendaki memohon kelulusan harga baru jualan runcit bagi produk masing-masing kepada kementeriannya sebelum Jumaat ini, bagi menggelakkan ada pihak menjual di bawah harga minimum baru.

Beliau berkata, selain itu, mereka juga perlu mempamerkan notis harga minimum rokok secara jelas dan mudah dilihat di semua kaunter atau tempat jualan tanpa sebarang logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi mengenai rokok berkenaan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Liow berkata, kementeriannya turut menyediakan perkhidmatan seperti klinik berhenti merokok bagi membantu mereka yang terbabit menghentikan tabiat yang terbukti memudaratkan itu.

Berdasarkan statistik, setakat ini terdapat tiga juta perokok atau kira-kira 11 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/6/mstar_berita/20101005215637&sec=mstar_berita

Cuma berdua dalam rumah

Oleh Murni Wan Omar

2010/10/06

KAJANG: Seorang chef di sebuah hotel bertaraf lima bintang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, semalam, atas tuduhan berada bersama seorang wanita yang tidak mempunyai hubungan mahram dengannya, sehingga menimbulkan syak, pada September tahun lalu.

DJohan Mohd Radzi, 42, didakwa melakukan perbuatan itu dengan Rizana Ahmad Rithauddeen, 35, di sebuah rumah di Fawina Court Condo, Jalan Hilir, Taman Ampang Hilir, Ampang, pada jam 10.10 pagi, 15 April 2009.

DJohan didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Rizana dibuat mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama dan berhadapan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu, pendakwa syarie, Mohamad Nazri Basrawi memaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah dan pada tarikh semalam ditetapkan untuk perbicaraan.


Rizana bagaimanapun meminta mahkamah memberi tarikh baru berikutan peguam yang sepatutnya mewakili mereka berdua, tidak dapat hadir ke mahkamah.


Selain itu, Rizana juga meminta secara lisan untuk mahkamah memanggil pengadu kes itu untuk memberi keterangan berhubung perkara yang berlaku pada hari kejadian.


Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bagaimanapun menegur Rizana dan memaklumkan bahawa kes ini masih di peringkat pendakwaan dan perlu melalui perbicaraan dan mereka boleh melakukannya apabila dipanggil membela diri, jika disabitkan dengan pertuduhan itu.


“Mahkamah benarkan permohonan untuk menangguhkan kes kerana jika terdapat peguam pada tarikh akan datang, berkemungkinan perbicaraan perlu diadakan semula. Ini akan membazirkan masa mahkamah dan pihak terbabit.


“Mahkamah beri peluang terakhir kepada kamu berdua dan jika masih gagal mengemukakan peguam, prosiding akan diteruskan. Bon jaminan sebelum ini iaitu RM2,300 dinaikkan kepada RM2,500,”
katanya.


Mahkamah menetapkan 8 Februari 2011 pada jam 9 pagi untuk perbicaraan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cumaberduadalamrumah/Article

Kuli ladang sawit pakai kereta mewah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/10/06

GOMBAK: Seorang pendatang asing warga Indonesia dikesan mampu hidup mewah dengan memiliki kereta model Mercedes-Benz walaupun hanya bekerja sebagai pemetik tandan kelapa sawit di negara ini.

Namun, rahsia kemewahan dimiliki terbongkar selepas lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit dikesan menjalankan kegiatan mencuri motosikal secara besar-besaran di daerah ini Kegiatan jenayahnya itu terbongkar selepas sepasukan polis menyerbu tempat tinggalnya di sebuah rumah kongsi di Taman Tasik Puteri, Batu Arang, di sini, semalam.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis memberkas suspek semasa melakukan ‘Ops Lejang’ di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di kawasan terbabit.

Menurutnya, sebelum itu, polis mendapat maklumat kawasan rumah kongsi didiami suspek menjadi lokasi kumpulan pencuri motosikal warga asing menyembunyikan motosikal curi.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Mercedes-Benz dan enam motosikal curi yang dilaporkan hilang di Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

“Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casis pada enjin kenderaan terbabit sudah diubah suai bagi mengelakkan identiti asal kereta itu dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, selain kenderaan itu, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan jenayah. “Siasatan mendapati suspek adalah pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan namun pada masa sama turut terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kuliladangsawitpakaikeretamewah/Article

Tambang teksi sejauh 20km RM400

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang penjual ayam hanya mampu melopong apabila dipaksa membayar tambang teksi berjumlah RM400 walaupun jarak perjalanan cuma 20 kilometer (km), kelmarin.

Lebih perit apabila mangsa yang tidak mempunyai cukup wang untuk membayar tambang teksi terbabit turut dirompak pemandu teksi dan rakannya sebelum mangsa ditinggalkan di bahu jalan.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 28 tahun menahan sebuah teksi berhampiran hentian bas sementara Bukit Jalil, di sini kira-kira jam 6.15 petang.

Difahamkan, mangsa yang baru turun dari bas meminta pemandu teksi terbabit menghantarnya ke Flat Sri Murni, Selayang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tambangteksisejauh20kmRM400/Article

Terkejut diminta bayar hutang

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak yang menetap di luar negara dan pulang bercuti menjenguk keluarganya awal bulan lalu terkejut apabila diminta menjelaskan hutang sewa sebuah premis sebanyak RM3,600 yang kononnya tertunggak selama empat bulan daripada seorang wanita.

Bukan itu saja, lelaki terbabit, Chia Meng Kean, 32, turut menerima surat amaran dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memintanya menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM2,312.37 bagi bayaran bil elektrik premis wanita terbabit di Senawang, Negeri Sembilan.

“Selama 10 tahun saya menjadi tukang masak di restoran Jepun di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, England, Australia dan Singapura. Jarang sekali pulang ke tanah air kerana kesibukan bekerja.

“Namun, percutian saya selama dua bulan untuk melawat isteri dan anak-anak dikejutkan dengan hutang piutang yang saya sendiri tidak tahu, menyebabkan masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini,”
katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang kini menjadi tukang masak di sebuah hotel di Kepulauan Bermuda mengetahui mengenai hutang piutangnya apabila menerima surat perjanjian sewa dari pemilik premis itu yang dialamatkan ke kediaman di Cheras, di sini.

“Saya kemudian bersemuka dengan pemilik premis itu namun mereka mendakwa segala urusan penyewaan dilakukan menerusi ejen hartanah. Premis itu rupa-rupanya dijadikan kafe siber sejak setahun lalu.

“Ejen hartanah yang ditemui pula gagal mengecam wajah saya namun berkeras memberitahu dia membuat salinan kad pengenalan asal bagi surat perjanjian dan menafikan berlakunya penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sepanjang tahun ini pihaknya menerima 26 aduan daripada mangsa yang mendakwa kad pengenalan mereka disalahgunakan membabitkan kerugian sebanyak RM1.88 juta.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terkejutdimintabayarhutang/Article

KPDNKK tiada kuasa sekat kenaikan harga susu, kopi

2010/10/06

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak ada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan barang seperti susu dan kopi setakat ini, kecuali selepas Akta Anti-Keuntungan Berlebihan (AAKB) diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas akta itu diluluskan pada sesi Parlimen bulan ini, baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Kalau ada kenaikan seperti susu atau kopi kementerian tiada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan, kecuali selepas AAKB itu diluluskan baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Namun dengan adanya akta itu kita bukannya boleh menyekat terus. Kalau mereka ada sebab untuk menaikkan harga, misalnya barang itu diimport dari luar dengan harga yang tinggi, itu pun kita tidak anggap sebagai keuntungan berlebihan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKtiadakuasasekatkenaikanhargasusu_kopi/Article

10 kali tak hadir bicara

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam tetap akan meneruskan perbicaraan kes seorang peguam yang menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM120,000 berikutan kes itu sudah banyak kali tertangguh kerana tertuduh tidak hadir ke mahkamah sebanyak 10 kali, menyebabkan kes itu berlarutan selama lima tahun.

Hakim Azizah Mahamud kemudian menetapkan 4 November ini sebagai tarikh akhir perbicaraan kes itu walaupun tanpa kehadiran tertuduh, Md Madzhar Mohd Sapuan, 48, dan ia dibuat mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah.

Md Madzar yang digantung daripada menjalankan amalan guamannya sejak 1999, tidak hadir pada perbicaraan yang ditetapkan bermula pada 3 Disember 2007 atas alasan sakit.

Pada 6 Januari 2005, Md Madzhar didakwa melakukan pecah amanah sekeping cek Bumiputra Commerce berjumlah RM120,000, berhubung pembelian sebuah rumah ketika menjadi ejen kepada seorang doktor, Abdul Rahman Samion.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/10kalitakhadirbicara/Article

Menangis dijel 2 hari denda RM2j

2010/10/06

KUALA LUMPUR: ‘Are you happy or sad?’, (awak gembira atau sedih), tanya Hakim S M Komathy Suppiah apabila seorang bekas pengarah urusan syarikat pembinaan menangis selepas dijatuhi hukuman bagi dua tuduhan menipu membabitkan pembelian saham bernilai RM15.5 juta, 13 tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Komathy mengenakan hukuman dua hari penjara dan denda RM2 juta bagi kesalahan itu selepas Ngu Tieng Ung, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini (semalam) dan turut membenar denda RM2 juta dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula sebelum atau pada 5 November ini. Sekiranya gagal menjelaskan denda pada tarikh ditetapkan dia boleh dipenjara 30 hari.

Mengikut pertuduhan pertama, Ngu didakwa memindahkan RM11 juta dari akaun syarikat Pancaran Ikrab (PIB) di Malayan Banking Berhad, ke akaun bank Amsteel Securities (M) Sdn Bhd di Hong Leong Bank.

Perpindahan wang itu bagi pembelian 3 juta unit saham PIB melalui akaun Task Avenue Sdn Bhd, yang mana tertuduh tahu wang terbabit bukan dimaksudkan untuk digunakan bagi pembelian saham itu antara 7 Oktober dan 13 Oktober 1997.

Bagi pertuduhan kedua, Ngu didakwa melakukan kesalahan sama, membabitkan pembelian 1.25 juta unit saham syarikat itu, bernilai RM4.5 juta melalui akaun North South Networking Sdn Bhd di OSK Securities Berhad antara 7 Oktober dan 20 Oktober 1997.

Ngu melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pancaran Ikrab Berhad, Tingkat 27, UBN Tower, 10 Jalan P Ramlee, di sini.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdijel2haridendaRM2j/Article

Bapa lepas geram

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Pasal dia tikam anak saya dekat dada. Saya kena tumbuk sekali badan dia.

“Hari ini saya dapat balas sekali pun jadilah,” kata bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang, Shohimi Shafie, 42, selepas Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas konstabel kerana didapati bersalah membunuh anaknya, Muhammad Nurosama, 2, dan pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di sebuah flet, di Klang, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nahar Abu Bakar, 34, selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Shohimi menumbuk pembunuh anaknya itu kerana didorong perasaan geram ketika berselisih dengan tertuduh di pintu mahkamah. Dia yang ketika itu kelihatan begitu emosional turut didengar menjerit ‘kurang ajar’ terhadap tertuduh.

Hadir sama isterinya, Hamidah Harun, 40. Shohimi berkata, selepas lebih enam tahun menanti, mereka kini boleh berasa lega kerana orang yang bertanggungjawab membunuh Muhammad Nurosama menerima pembalasan sewajarnya. “Penjenayah ini sudah membunuh dua nyawa termasuk anak saya yang masih kecil, hanya berusia dua tahun. Alhamdulillah... kami reda dengan keputusan mahkamah,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, dia turut mengucapkan terima kasih kepada polis dan pendakwaan yang berjaya menjejaki tertuduh dan membawa lelaki itu ke muka pengadilan walaupun kejadian itu sudah berlaku tujuh tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai empat anak. Muhammad Nurosama adalah anak ketiga mereka.

Terdahulu, Mohd Yazid dalam alasan penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh pergi ke flet berkenaan, memasuki rumah Siti Rohana dan menikam pengasuh dan kanak-kanak berkenaan. Katanya, ini berdasarkan keterangan saksi yang melihat tertuduh naik ke flet, turun semula selepas mengambil pisau rambo dari but kereta. “Saya berpuas hati bahawa pisau itu adalah milik tertuduh dan dalam flet Siti Rohana, tertuduh adalah pihak yang menikam kedua-dua mangsa,” katanya.

Oleh itu katanya, keterangan tertuduh ketika membela diri tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di samping saksi yang melihat lelaki itu menikam kedua-dua mangsa di tempat kejadian.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nahar didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammad Nurosama Shohimi dan Siti Rohana, di rumah pengasuhnya itu di Flet Cempaka, Bandar Baru Klang, dekat sini, jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, bekas anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyari Mohd Tanusi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapalepasgeram/Article

Penjara seumur hidup

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Kamu sengaja memenjarakan diri sendiri dengan melakukan perbuatan ini.

“Kesalahan kamu ini seperti orang yang langsung tiada pegangan agama,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaki Mohd Yasin selepas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan terhadap tiga lelaki selepas mengaku salah menculik dan merogol pelajar berusia 18 tahun, di sini, lapan tahun lalu.

Juruteknik, Norazly Alias, 30, Norlizan Miswan, 29, (kerani) dan Arwin Ahmad, 35, (jurujual) sebelum ini meminta dibicarakan tetapi memilih untuk menukar pengakuan mereka selepas mahkamah mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, dalam prosiding semalam, mahkamah memerintahkan hukuman terhadap mereka bertiga bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 26 November 2002.

Mereka dihukum penjara seumur hidup dan lima rotan untuk kes culik.

Bagi kesalahan merogol, Norazly dan Arwin dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan, manakala Norlizan menerima hukuman 10 tahun dan lima sebatan. Mahkamah juga mengarahkan hukuman bagi kesalahan culik berjalan serentak dengan hukuman kesalahan merogol.

Zaki ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, tertuduh sepatutnya boleh dihukum gantung sampai mati kerana perbuatan mereka terlalu serius selain meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.

“Sebelum tidur, cuba kamu muhasabah diri kerana perbuatan kamu ini amat keji. “Semuanya (tertuduh) adalah anak sulung. “Saya tidak tahu apa yang kamu fikirkan (pada masa itu). Kamu patut fikirkan mengenai adik-beradik kamu,” katanya.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa menculik gadis berkenaan bagi mendapatkan wang tebusan RM250,000 di Bulatan Melawati, di sini, jam 6.15 petang, pada 20 November 2002.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Norazly dan Arwin turut didakwa atas dua tuduhan merogol pelajar itu di rumah nombor 25, Jalan Sri Perkasa 2/6, Taman Tampoi Utara, Tampoi, Johor Bharu antara 12.30 tengah malam dan 8 pagi pada 21 November 2002.

Sementara itu, Norlizan didakwa merogol mangsa di rumah nombor 23, Jalan Pertanian, Taman Desa Rahmat, Tampoi, Johor antara jam 4 dan 6 pagi, pada 25 November 2002.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik prosiding selesai. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin membantah rayuan mengurangkan hukuman oleh tertuduh kerana walaupun itu jenayah pertama perbuatan mereka, ia meninggalkan kesan buruk kepada fizikal dan emosi mangsa.

Pada prosiding semalam, Norazly diwakili peguam bela V Rajehgopal, Norlizan oleh V Ayasamy, manakala Arwin diwakili oleh Sreekant Pillai. Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik saja selesai prosiding kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjaraseumurhidup/Article

Kanser payudara meningkat

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes kanser payudara di kalangan rakyat Malaysia agak membimbangkan dengan jangkaan 39.3 orang mendapat kanser berkenaan daripada 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pendedahan Laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada 2006 itu turut menunjukkan sebanyak 3,525 kes baru dikesan dalam tempoh sama.

“Selain itu, laporan berkenaan juga mendapati majoriti pesakit kanser payudara dengan 64 peratus adalah wanita berusia antara 40 dan 60 tahun.

“Kanser payudara adalah ‘pembunuh’ dan menjadi punca utama kematian wanita di Malaysia, justeru kami minta semua pihak bekerjasama untuk mengatasinya,”
katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen ‘Wear It Pink 2010’ di Hospital Pantai, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kanserpayudarameningkat/Article

Suspek utama buat laporan

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Suspek utama dan adik lelakinya yang ditahan polis sejak 11 Sept berhubung dakwaan kaitan mereka dengan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, membuat laporan polis di balai polis Teluk Panglima Garang semalam.

Suspek berusia 41 tahun itu dan adiknya berusia 38 tahun membuat laporan pada kira-kira 5 petang berhubung dakwaan mereka dinafikan hak representasi yang sah dan lawatan oleh anggota keluarga.

Adik beradik itu yang juga peguam kini ditahan polis Selangor sejak Sabtu lepas, mendakwa rayuan awal mereka untuk mendapatkan representasi sah dinafikan ketika dalam tahanan polis Kuala Lumpur.

Dalam laporan itu, mereka juga mendakwa ketika dalam tahunan polis di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur selama hampir tiga minggu, mereka dipaksa menandatangani satu dokumen.

Mereka juga mendakwa disoal siasat berterusan oleh pegawai polis menyebabkan mereka rasa “teruk tertekan dan diseksa”. Mereka menyatakan bahawa mereka ingin menemui peguam sebelum tarikh tamat perintah reman mereka pada Khamis (7 Oktober).

Dalam pada itu, peguam Ravi Neeko menggesa polis mendakwa suspek termasuk anak guamnya jika mereka mempunyai ‘banyak’ bukti sebagaimana mereka dakwa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suspekutamabuatlaporan/Article

Produk mata RM3j dirampas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Sejumlah lebih 10,000 produk didakwa mampu mengatasi masalah penglihatan bernilai RM3 juta yang sedang dipromosi sebuah syarikat dirampas Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ops Mata di seluruh negara sejak Ogos hingga kini.

Difahamkan, lebih 30 rangkaian produk syarikat berkenaan diserbu dalam operasi berkenaan.

Sumber Bahagian Penguat kuasa Farmasi berkata, sehingga kini pihaknya sudah melakukan operasi dan rampasan bersepadu di seluruh negara membabitkan nilai hampir RM3 juta.

“Rampasan demi rampasan terpaksa dilakukan selepas beberapa mangsa mengadu terpedaya dengan janji manis penjual produk berkenaan yang mendakwa mata mereka akan pulih atau bertambah baik selepas menggunakan produk itu.

“Malangnya produk yang dibeli dengan harga ratusan ringgit terbabit gagal memberikan kesan positif seperti yang diingini. Malah, penjualan produk terbabit jelas tidak mempunyai asas saintifik bagi membuktikan ia berkesan untuk mengubati penyakit mata,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi terbaru, pihaknya menyerbu lima premis menjual produk terbabit yang terletak di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Keramat, di sini. “Sebelum ini, serbuan turut dilakukan di Kelantan, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

“Tindakan merampas produk itu bukan kali pertama berikutan pihak pengedar pernah diambil tindakan sama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Eisah A Rahman sebelum ini pernah menasihati pengguna supaya tidak mempercayai sebarang kaedah alternatif atau bentuk iklan yang mendakwa boleh merawat penyakit mata.

Menurutnya, rangkaian produk itu dianggap tidak lebih sebagai produk kosmetik dan tidak boleh untuk kegunaan di dalam biji mata.

“Produk kosmetik dalam konteks ini semata-mata untuk digunakan di bahagian muka dan sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika. Ia tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis mahupun sebagai ubat semburan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan iklan melalui media elektronik, cetak dan risalah diedarkan dalam kempen promosi beberapa syarikat mendakwa produk keluarannya dapat merawat penyakit mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana kencing manis, mata berselaput, glaukoma dan sebagainya.

“Dakwaan sebegini tidak mempunyai asas dan bukti saintifik dari segi sains perubatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProdukmataRM3jdirampas/Article

Ugut bakar isteri kedua


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Rahsia perkahwinan pertama yang terbongkar dan perebutan anak menyebabkan seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak di luar kawalan apabila menyimbah petrol serta mengugut mahu membakar isteri keduanya hidup-hidup, kelmarin.

Difahamkan, suspek mendirikan rumah tangga dengan wanita itu sejak dua tahun lalu, namun sepanjang setahun pertama perkahwinan mereka, mangsa yang berusia 26 tahun tidak tahu suaminya sudah mempunyai isteri serta enam anak.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila perkahwinan mereka memasuki tahun kedua selepas wanita itu mengetahui dia isteri kedua.

Menurut sumber, sejak rahsia itu terbongkar pasangan terbabit sering bertengkar dan suspek sering memukul wanita itu menyebabkan dia membawa anak tunggalnya berusia setahun keluar dari rumah serta tinggal di rumah kakaknya di Cheras, di sini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, suspek pergi ke rumah kakak iparnya dan meminta mangsa menyerahkan semula anak mereka.

“Akibatnya, berlaku lagi pertengkaran. Kali ini suspek seperti hilang kawalan mengugut membakar semua barang di rumah itu dan mangsa ditampar beberapa kali,”
katanya.

Menurutnya, apabila kakak mangsa dan ahli keluarganya campur tangan bagi mengelakkan mangsa terus dikasari, suspek semakin berang, lantas mengugut untuk membakar isteri keduanya itu.

“Suspek pergi ke kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah kakak mangsa sebelum berpatah balik dengan memegang sebuah botol. Suspek menyimbah cecair dipercayai petrol ke arah mangsa sambil berteriak mahu membakar isterinya hidup-hidup,” katanya.

Sumber itu berkata, keadaan tegang itu bagaimanapun berjaya ditenangkan ahli keluarga mangsa selepas mengancam hendak menghubungi polis jika suspek berkeras untuk meneruskan niatnya.

Menurutnya, suspek meninggalkan kawasan itu, namun mengugut tidak akan membiarkan isteri keduanya itu hidup tenang.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields semalam, sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutbakaristerikedua/Article

Isteri kedua suspek


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Wanita dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosila wati dan tiga individu lain dikatakan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Dia yang juga isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam itu dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Sumber polis berkata, wanita terbabit adalah individu yang mengetahui mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan kejam itu.

“Dia (Jesyntha) yang mengetahui dirinya sedang diburu pihak berkuasa meninggalkan rumahnya di Banting dan bersembunyi di lokasi yang masih belum diketahui,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterikeduasuspek/Article

Wanita 107 tahun masih dara





CORNWALL - Seorang anak dara berusia 107 tahun, Clara Meadmore mengakui dia tidak pernah melakukan hubungan seks, lapor sebuah akhbar semalam.

Perawan warga emas itu meraikan hari jadinya yang ke-107 pada Ahad lepas.

Ditanya bagaimana dia mengekalkan daranya sejak sekian lama, wanita itu menyatakan, dia terlalu sibuk dan percaya seks cuma mengganggu kehidupannya.

Menurut Clara yang berasal dari sini, England, semasa usianya remaja pada tahun 1920-an dan 1930-an, seks adalah untuk wanita yang telah berkahwin.

Dia tidak berhasrat untuk berumah tangga dan pernah menolak beberapa lamaran sebelum ini.

"Orang pernah bertanya sama ada saya homoseks dan jawapannya adalah tidak," kata Clara.

"Saya mempunyai ramai kenalan lelaki tetapi tidak berminat dengan seks atau perkahwinan," tambahnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Didakwa perkosa remaja lari rumah

2010/10/05

GEORGETOWN: Selepas seorang pengawal keselamatan dari Kampung Gajah, Perak, didakwa atas kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang gadis berusia 14 tahun pada 28 September lalu, seorang lagi rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas kesalahan merogol.

Dua pengawal keselamatan itu adalah suspek yang ditemui bersama pasangan kembar serta seorang lagi remaja perempuan iaitu teman sebaya mereka yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar beraya pada 11 September di pekan Kampar, Perak dan mereka ditemui, di sini pada 21 September lalu.

Kedua-dua suspek ditemui bersama mangsa di sebuah rumah pangsa di Taman Green Garden, Paya Terubong kira-kira jam 8 pagi.


Tertuduh, Shahrizan Zakaria, 19, dari Sungai Nibong Setia, Kota Setia Perak didakwa atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada masa berlainan iaitu pertuduhan pertama mangsa dirogol antara jam 5 petang hingga 6 petang di dalam bilik bernombor 14, Mallog Budget Hotel, Lorong Muda pada 17 September lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Didakwaperkosaremajalarirumah/Article

Pengacara disoal Jais

2010/10/05

KAJANG: Pengacara program komedi, Ahmad Azahari Mohamad Ali yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu lalu selepas disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, di sini, semalam.

Ahmad Azahari adalah pengacara program Bang Bang Boom hadir ke pejabat agama ditemani seorang rakannya selepas dipanggil untuk disoal siasat berhubung dakwaan yang dikenakan terhadapnya itu.

Dia tiba pada jam 10 pagi sebelum beredar pada jam 12 tengah hari.


Sabtu lalu, Harian Metro menyiarkan laporan berhubung seorang pengacara rancangan televisyen berusia 27 tahun ditahan Jais kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita berusia 27 tahun serta masih berstatus isteri orang.


Dalam laporan itu, pengacara itu mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar hukum agama sebaliknya hanya membantu wanita itu mengemas barang kerana mahu ke Kota Kinabalu, Sabah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PengacaradisoalJais/Article

Maklumat kekayaan AC melalui media

2010/10/05

KAJANG: Bekas isteri kepada pelakon dan pengacara popular AC Mizal mengaku dia mengetahui lelaki itu menerima pendapatan yang tinggi selepas media massa memberi liputan berhubung kekayaan dimiliki termasuk mempunyai beberapa kereta dan rumah mewah serta perniagaan.

Shafnie atau nama sebenarnya Shafnie Zainudin, 35, (plaintif) berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, dalam perbicaraan kes permohonan penggubahan tuntutan nafkah dua anaknya daripada RM300 kepada RM3,770 sebulan daripada AC Mizal atau Mizal Zaini, 39.

Menjawab soalan balas peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal (defendan), plaintif juga mengaku mengetahui berhubung kemampuan AC Mizal hanya bersandarkan liputan media yang disiarkan serta Internet.

SITI: Dalam ikatan dokumen dikemukakan, kamu mendakwa AC Mizal mendapat kontrak Akademi Fantasia selama dua musim, adakah kamu lihat isi kandungan kontrak itu?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Kamu kata pendapatan AC Mizal sebanyak RM5,000 bagi setiap episod, bagaimana kamu tahu?


SHAFNIE: Saya diberitahu.

SITI: Siapa?

SHAFNIE: Oleh orang Astro juga.

SITI: Maksudnya kamu hanya mengetahui melalui apa diberitahu orang sahaja?

SHAFNIE: Ya.

SITI: Adakah orang yang beritahu itu adalah orang melaksanakan kontrak itu?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Setuju saya katakan dakwaan RM5,000 adalah melalui ‘dengar cakap’ sahaja?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Berapa episod kemunculan AC Mizal?

SHAFNIE: Saya tidak tahu.

SITI: Oleh kerana kamu tidak pasti berapa kali dia muncul, kamu tidak tahu berapa yang dia (AC Mizal) perolehi?

SHAFNIE: Tidak tahu.

SITI: Dalam keterangan, kamu mendakwa defendan mengalami peningkatan pendapatan kerana berlakon dalam 11 filem. Adakah dia berlakon watak utama?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Adakah kamu tahu berapa jumlah pendapatan yang defendan peroleh daripada filem dilakonkan?

SHAFNIE: Tidak.

SITI: Kamu mengatakan tidak tahu, jadi bagaimana kamu tahu dia (AC Mizal) mempunyai pendapatan yang tinggi?

SHAFNIE: Dia (AC Mizal) sering ‘menyiarkan’ di media mengatakan dia mempunyai kereta mewah, rumah mewah dan perniagaan. Cuma mereka yang benar-benar kaya mempunyai semua itu.

SITI: Adakah kereta dan rumah itu atas nama defendan?

SHAFNIE: Saya tidak tahu.

Dalam keterangannya juga, Shafnie yang diwakili peguam syarie Mohd Ridhuan Husin tegas mengatakan bahawa insurans pendidikan dan dana pendidikan dituntut untuk dua anaknya adalah keperluan asasi dan wajar dibayar oleh AC Mizal.

SITI: Setuju saya katakan bahawa dalam Islam, bekas suami hanya wajib menyediakan tempat tinggal, makan dan minuman, pendidikan serta pakaian?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Setuju bahawa hiburan dan cuti bukan nafkah dituntut dalam Islam?

SHAFNIE: Setuju.

SITI: Insurans pendidikan dan dana pendidikan juga bukan keperluan asasi malah jika tidak diambil anak-anak masih boleh belajar?

SHAFNIE: Ya saya setuju anak-anak masih boleh belajar tetapi saya tidak setuju ia bukan keperluan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 12 Oktober ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MaklumatkekayaanACmelaluimedia/Article

Usah babit Watie

Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my
2010/10/05


KUALA LUMPUR: “Talak sudah jatuh. Saya sudah melafazkan cerai di depannya dan saksi, cuma sedang menanti tarikh memfailkannya ke mahkamah. Hentikanlah spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung,” kata penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, menjawab semula dakwaan bekas isterinya, Noraini Nasir, 44.

Harian Metro semalam memaparkan kenyataan Noraini kononnya Joey lupa tanggungjawabnya terhadap anak tunggal mereka yang berusia empat tahun, Zidani Zulkifli dan tidak menghormatinya kerana mengaku sudah bercerai sedangkan tiada hitam putih serta keputusan mahkamah untuk mengesahkan perkara tersebut.

Malah, nama dramatis terkenal, Norwati Sadali (Watie), 34, turut dikaitkan kerana dikatakan punca pergolakan rumah tangga mereka.

Noraini yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang juga vokalis kumpulan Exists itu pada 4 Mei 2005 turut menyifatkan Joey tidak pernah takut bermain dengan sumpah kerana menafikan tindakannya yang pernah merujuk selepas tiga hari menceraikannya di ruang meletak kereta.

Bagaimanapun Joey yang popular menerusi drama bersiri Blues Pasar Tani, Ejen 2x5 dan filem Crayon itu ketika dihubungi menegaskan kemelut rumah tangganya ini memberikan tekanan kepadanya serta mengundang persepsi negatif masyarakat semata-mata.

“Jujurnya saya tertekan kerana kenyataan dia (Noraini) seperti meludah ke langit. Lambat-laun, ia akan memakan diri sendiri. Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan. Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tidak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tidak pernah wujud sejak awal lagi.

“Kenyataannya lebih bersifat peribadi dan tidak mampu menerima kenyataan sebenar. Hakikatnya talak itu sudah jatuh di depannya sendiri. Saya bukan jahil soal agama dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Itu adalah sewajarnya dan sebagai lelaki, saya perlu bertanggungjawab atas keputusan saya sendiri.

“Apabila emosi sudah menguasai diri lengkap dengan perasaan marah, semua cerita boleh keluar. Apa yang menyedihkan dan sangat memalukan, tindakan itu ibarat membuka pekung di dada sendiri. Mungkin apa yang tersirat di sebalik semua fakta yang diberi hanyalah perasaan seseorang yang tidak mampu menerima hakikat perpisahan,” katanya.

Joey bagaimanapun menegaskan berkali-kali agar nama Watie tidak terus terheret dalam masalah ini.

“Usah mudah menuding jari dan mencari punca dengan mengaitkan nama Watie dalam masalah ini. Perceraian ini tidak langsung disebabkan soal orang ketiga sebaliknya antara kami sudah tiada persefahaman lagi.

“Saya kecewa dan tertekan kerana nama Watie pula dibabitkan. Hubungan kami memang baik dan keluarga kedua-dua pihak juga merestuinya. Saya tidak mahu masalah rumah tangga saya memberikan tekanan kepada orang lain.

“Saya mengaku ada membawa Watie bertemu keluarga pada Aidilfitri yang lalu dan alhamdulillah mereka juga menerima Watie dengan baik. Jika ada jodoh dan keizinan, saya tidak mampu menolaknya namun apa yang penting, kami berdua mendoakan sesuatu yang baik,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UsahbabitWatie/Article

Buruan baru




Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Abdullah Wahab, Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/05

KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.


KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.


Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.

Kedua-dua suspek yang diiringi beberapa anggota polis berpakaian preman memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.

Bagaimanapun, kenderaan Unit Forensik tidak dilihat memasuki kawasan itu dan hanya sebuah kenderaan Volvo dipercayai membawa pegawai penyiasat mengekori kenderaan membawa suspek bagi mendapatkan seberapa banyak bukti kejadian itu.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kes terbaru membabitkan kehilangan ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Anpalagan yang mempunyai modus operandi sama dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Selain itu, kes itu hampir sama dengan kejadian kehilangan saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja pada Januari lalu.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Hasil siasatan, Unit Forensik menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik beberapa mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Sehingga ini, polis menahan lapan suspek, termasuk dua peguam adik-beradik bagi membantu siasatan.

Tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober dan lima yang lain sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.

Di Bukit Aman pula, isteri S Anpalagan, S Jayanty menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) bagi meminta mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya pada Ogos tahun lalu.

Wanita itu berkata, memorandum yang diserahkan mengandungi kronologi kehilangan suaminya dan butir pemilikan harta sebelum dilaporkan hilang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buruanbaru/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...