Friday, July 17, 2009

Muhyiddin: Pekerja asing dibenar hanya 5 tahun

Jumaat Julai 17, 2009

PUTRAJAYA: Semua pekerja asing akan hanya dibenarkan berada negara ini untuk tempoh maksimum lima tahun berterusan bagi semua kategori pekerjaan kecuali pembantu rumah berkuat kuasa serta merta, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hari ini.

Selepas tempoh lima tahun itu, seseorang pekerja asing perlu mengemukakan permohonan baru untuk kembali bekerja di Malaysia dan permohonan itu akan dilayan sebagai permohonan baru dan melalui prosedur biasa.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin hari ini, di sini, yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu memberi fokus kepada dua isu utama iaitu memperkemaskan dasar-dasar sedia ada mengenai pekerja asing dan cadangan mengurangkan kebergantungan industri di Malaysia terhadap pekerja asing.

Mesyuarat itu juga bersetuju mengekalkan pembekuan pengambilan pekerja asing Bangladesh, memberi kebenaran semula pengambilan pekerja asing bagi sektor perkilangan elektrik dan elektronik serta tekstil.

"Jawatankuasa Kabinet ini telah memutuskan untuk mengekalkan pembekuan pengambilan pekerja asing sektor perkhidmatan kecuali sub sektor tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian dan pekerja resort pulau peranginan.

"Kita bersetuju untuk tidak memberi kebenaran baru bagi menjalankan perniagaan membekal dan mengurus pekerja asing.

"Pekerja asing juga tidak dibenarkan bekerja di barisan hadapan (frontline)," kata Muhyiddin.

Katanya, strategi pengurangan kebergantungan industri terhadap pekerja asing akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan ekonomi dan kesesuaian bagi mengelakkan ia memberi kesan negatif kepada industri dan ekonomi negara.

Beliau berkata, antara cadangan yang dipersetujui adalah memperkemaskan semua prosedur dan proses pengambilan pekerja asing sedia ada dan syarikat membekal dan mengurus pekerja asing hanya dibenarkan membekalkan pekerja kepada sektor perkilangan, perladangan dan pertanian sahaja.

"Kita juga akan mengalakkan industri beralih kepada industri berorientasikan modal melalui danadana bantuan modal kerajaan, insentif cukai dan lain-lain.

"Kita juga akan mengkaji dan memperkemaskan insentif-insentif perkhidmatan yang ditawarkan kepada pekerja tempatan seperti struktur gaji, kemudahan elaun, latihan dan lainlain," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, jawatankuasa itu turut memutuskan untuk mengalakkan lebih banyak perkhidmatan layan diri di sektor-sektor perkhidmatan diperkenalkan seperti restoran, stesen minyak, pasar mini dan lain-lain.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengalakkan penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) sehingga 70 peratus dalam semua kontrak pembinaan kerajaan dan pihak swasta juga digalakkan mengambil langkah yang sama.

"Kita juga akan mengambil lain-lain pendekatan yang sesuai secara berperingkat mengikut kesesuaian dan keperluan semasa," Muhyiddin berkata. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/17/mstar_berita/20090717140459&sec=mstar_berita

Tarif elektrik naik bulan depan?

Jumaat Julai 17, 2009

Peter Chin: Kertas kerja dibentang di Kabinet minggu depan

PUTRAJAYA: Kertas kerja mengenai kenaikan tarif elektrik akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu depan dan jika diluluskan ia dijangka akan dikuat kuasa mulai bulan depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, kenaikan tersebut yang melibatkan keseluruhan pengguna elektrik dalam negara termasuk pihak komersial dan pengguna biasa, telah mendapat kelulusan daripada Majlis Ekonomi Negara.

"Bagaimanapun peratus kenaikannya masih belum boleh diumumkan sehinggalah ianya diluluskan oleh Kabinet," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan warga kementeriannya serta pelancaran logo baru kementerian tersebut, di sini hari ini.

Ditanya sama ada kenaikan tersebut bakal menambah lagi beban rakyat yang baru diumumkan dengan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam semalam, Peter Chin berkata kenaikan tersebut tidak akan terlalu membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan kerana ia didorong oleh harga bahan api dan gas di pasaran antarabangsa yang menyebabkan kenaikan kos penyelenggaraan.

"Kalau kita tidak naikkan, pihak kerajaan atau Tenaga Nasional Berhad kena buat subsidi sebab ada pihak yang terpaksa membayarnya (kenaikan kos).

"Kita boleh jelaskan kenapa tarif perlu dinaikkan dan kalau kita dapat menjelaskan dengan kukuh dan jumlahnya tidak terlalu tinggi hanya bagi menyeimbangi kos, maka saya fikir rakyat boleh memahami keadaannya," kata beliau.

Berucap di majlis itu, Peter Chin berkata, kerajaan sedang mengambil tindakan proaktif mengenai mitigasi bagi mengatasi jangkaan kekurangan air akibat fenomena El Nino.

Beliau berkata, beberapa siri perbincangan yang melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi dan operator air di seluruh negara telah diadakan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Orang ramai juga perlu segera melaporkan kepada operator air jika terdapat sebarang kebocoran air dan insiden paip pecah bagi mengelakkan pembaziran air, katanya.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/17/mstar_berita/20090717130240&sec=mstar_berita

Jenazah Khairil Khamis selamat dikebumikan

Jumaat Julai 17, 2009

KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi dan pelakon Khairil Khamis, 53, telah selamat dikebumikan selepas sembahyang Jumaat kira-kira pukul 2 petang tadi di Tanah Perkuburan kampung Malaysia Tambahan, Salak Selatan, Cheras.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 6.20 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit jantung.

Allahyarham yang merupakan abang kepada penyanyi Azizul Khamis itu dikatakan mengadu sakit dada dan sesak nafas, sebelum dibawa ke HKL oleh anak angkatnya, Aril, 21.

Arwah belum berumahtangga dan hanya tinggal bersama anak angkatnya itu.

Azizul yang dihubungi hari ini berkata, dia sendiri agak terkejut dengan berita kematian abangnya itu.

"Arwah memang ada darah tinggi dan sakit jantung. Tapi, selama ini tidak pula dia mengadu apa-apa pada saya. Awal pagi tadi, anak angkatnya kata dia mengadu sakit dada dan sebaik tiba di hospital, dia disahkan meninggal dunia.

"Saya agak terkilan tidak dapat bersama dengan arwah pada saat-saat akhirnya ini. Tapi nak buat macam mana, ajalnya sudah tiba," kata Azizul cuba menahan kesedihan.

Menurut Azizul lagi, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu ialah kira-kira dua minggu lalu di sebuah majlis anjuran Persatuan Karyawan di Finas. Allahyarham adalah ahli jawatankuasa Biro Pelakon Karyawan.

"Pada waktu itu, dia nampak gembira seperti biasa. Tapi baru-baru ini ketika saya berada di Sarawak, dia ada menghubungi saya.

"Ketika berbual, saya sempat suruh dia jaga kesihatan dan jangan lupa makan ubat. Waktu itu dia menangis sepanjang kami berbual di telefon," luah Azizul yang turut menyifatkan abangnya itu seorang yang peramah dan periang.

Allahyarham merupakan anak kelima daripada tujuh beradik.

Dalam pada itu, presiden Karyawan, Freddie Fernandez menyifatkan Khairil seorang staf Karyawan yang dedikasi dan bertanggungjawab dalam melakukan setiap kerja yang diberikan.

“Kami di Karyawan merasakan kehilangannya kerana dia merupakan seorang yang jujur dan rajin bekerja serta sentiasa berusaha membantu artis lain.

“Kalau ada masalah artis, dia akan beri bantuan untuk selesaikan masalah. Dia juga akan hadiri semua mesyuarat.

“Dia seorang yang sentiasa bekerja keras dan rajin walaupun turut menjalankan tugasnya sebagai penyanyi, pelakon dan pengurus produksi TV.

“Kami pasti akan merinduinya pada masa akan datang,” katanya yang terkejut apabila mendengar berita kematian Khairil.

Kata Freddie, dia melihat Khairil sihat dan masih sempat menghadiri beberapa mesyuarat AJK dalam beberapa minggu ini.

Tambahnya, dia mengetahui Khairil pernah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, saya ingatkan dia sudah kembali sihat sepenuhnya selepas kali terakhir dimasukkan ke hospital sejak setahun lepas,” ujar Freddie.

Sementara itu, penyanyi Nash yang menyampaikan berita kematian Allahyarham kepada mStar pagi tadi turut melahirkan rasa sedih dengan kehilangan rakannya itu.

"Saya mengetahui berita sedih ini melalui pelakon Liza Abdullah pagi tadi. Saya mengucapkan takziah atas pemergian allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya.

Kesemua ahli keluarga, saudara mara, anak angkat, adik angkat serta rakan-rakan artis arwah, hadir pada upacara pengebumian.

Antara rakan artis yang menghadiri upacara pengebumian arwah Khairil ialah Datuk Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Fareez, N.D Lala dan Ibnor Reza.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/17/mstar_hiburan/20090717090728&sec=mstar_hiburan

Disyaki perkosa anak 3 tahun

KUALA LUMPUR: Sangsi selepas anaknya mengadu sakit di bahagian kemaluan, seorang ibu membuat laporan polis Isnin lalu kerana mengesyaki dia mungkin menjadi mangsa rogol bekas suaminya yang juga bapa kandung kanak-kanak itu.

Wanita berusia 39 tahun itu pelik apabila anaknya yang berusia tiga tahun mengadu mengalami kesakitan di kemaluan selepas bekas suaminya menghantar kanak-kanak terbabit kira-kira jam 11 malam, Ahad lalu di rumahnya di Bandar Tun Razak, di sini.

Menurut sumber polis, ibu mangsa terkejut apabila anaknya memaklumkan bapanya memasukkan 'sesuatu' ke kemaluannya.

"Ibu mangsa membuat laporan polis," katanya.

Sumber itu berkata, pasangan terbabit berpisah sejak beberapa tahun lalu dan bekas suaminya mendapat kebenaran mengambil anak perempuan tunggal mereka pada cuti hujung minggu untuk dibawa bersiar-siar.

Faizal Tahir kandas ke APM kerana hutang PTPTN

Faizal Tahir kandas ke APM kerana hutang PTPTN




KUALA LUMPUR - Artis dan komposer terkenal, Faizal Tahir (gambar) gagal menaiki pesawat untuk menghadiri majlis Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 di Jakarta semalam dipercayai akibat tidak menjelaskan hutangnya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kosmo! difahamkan, Faizal sepatutnya menaiki pesawat bersama beberapa rakan artis seperti Ayu, Dafi dan Aizat pada pukul 3.55 petang menerusi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang semalam.

Namun, Faizal satu-satunya artis yang gagal melepasi saringan Imigresen kerana PTPTN sebelum ini telah mengenakan perintah sekatan keluar negara kepada hampir 78,000 peminjam yang tidak menjelaskan hutang.

Usaha mendapatkan komen Faizal, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bagaimanapun gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

H1N1: UiTM tutup kampus Lendu


PELAJAR UiTM Lendu, Melaka meninggalkan kampus malam tadi selepas ia ditutup sehingga 24 Julai ini ekoran wabak selesema babi.


MELAKA - Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa menutup kampus mereka di cawangan Lendu, di sini mulai hari ini berikutan perkembangan wabak selesema babi atau H1N1 yang setakat ini sudah menjangkiti 13 pelajarnya sejak Sabtu lalu.

Notis penutupan kampus yang membabitkan kira-kira 4,000 pelajar itu akan berkuat kuasa mulai tengah hari ini hingga 24 Julai.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah ketika dihubungi malam tadi mengesahkan tindakan tersebut selepas mereka mendapat arahan Kementerian Kesihatan.

"Kita akur dengan arahan itu dan mulai hari ini, semua aktiviti dalam kampus ditunda buat sementara waktu.

"Pihak universiti akan mengikut garis panduan yang diberikan kementerian bagi menangani situasi tersebut sehingga tempoh penutupan itu berakhir,'' katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihak universiti tidak akan menyekat ibu bapa yang datang untuk membawa pulang anak masing-masing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'

Wabak H1N1 di UiTM 'amat membimbangkan'
Jul 16, 09 1:51pm
Penularan wabak selesema A (H1N1) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu "amat membimbangkan", kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Daripada 10 kes yang direkodkan hari ini, semuanya tempatan, sembilan daripadanya daripada kampus cawangan Melaka institusi pengajian tersebut.

"Saya kecewa keadaan di Melaka semakin menular dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican untuk meneliti sendiri perkara tersebut," Liow dipetik berkata.

"Kampus UiTM di Melaka mesti dipantau, dan jika perlu, beberapa fakulti mungkin perlu ditutup buat sementara," katanya seperti laporan laman web The Star.

Semalam, lapan lagi mahasiswa disahkan positif diserang virus selesema A (H1N1), semuanya pernah berhubung dengan mereka yang dijangkiti wabak di UiTM Melaka.

Bagaimanapun Dr Mohd Ismail menyifatkan keadaan di situ "terkawal dan Pusat Kesihatan UiTM sedang mengambil langkah kawalan dan pencegahan."

Kelmarin, enam daripada pelajar institusi pengajian itu disahkan positif, sementara beberapa puluh yang lain masih dikuarantin sejak hujung minggu lalu.

Liow waktu itu berkata satu pasukan kakitangan kesihatan dikerahkan ke UiTM untuk membuat saringan terhadap pelajar untuk mengawal penularan dalam komuniti.

Dengan 10 kes terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan virus A (H1N1) meingkat kepada 835 kes, termasuk 273 kes tempatan.

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail petang ini, daripada 10 kes tersebut, lapan kes menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala dua kes sedang dirawat di hospital, iaitu masing-masing satu kes di Hospital Melaka dan di Hospital Sungai Buloh.

"Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini," katanya.

"Jumlah pesakit influenza A (H1N1) yang sedang dirawat di hospital seramai 25 orang (atau 3 peratus) manakala sejumlah 105 (13 peratus) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

"Baki 705 (84 peratus) telah sembuh dari jangkitan influenza A (H1N1)."

http://www1.malaysiakini.com/news/108615

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...