Sunday, March 29, 2009

Kisah misteri telah berakhir




SEBAIK saja Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria yang mengetuai lima panel hakim mengetuk tukul mengekalkan keputusan hukuman terdahulu, dua suasana berbeza dapat dilihat di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kelmarin.

Di pihak tertuduh, bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris, 33, tampak pasrah. Dia reda dan seolah-olah melihat perbicaraan rayuan itu sekadar formaliti bagi mengesahkan riwayat hidupnya bakal berakhir di tali gantung.

Ibunya, Rapiah Ahmad cuma mampu berduka sambil menghitung detik terakhir anaknya itu. Manakala di pihak orang awam yang mengikuti kes pembunuhan penganalisis komputer, Canny Ong Lay Kian, 28, mereka menyambutnya dengan kelegaan.

Mahkamah Persekutuan akhirnya ‘membenarkan’ roh si mati itu bersemadi dengan aman.

Walaupun Ahmad Najib masih boleh merayu kepada Lembaga Jemaah Pengampunan Selangor sebagai usaha terakhir, ia jarang dapat menyelamatkan pesalah daripada tali gantung.


IBU Canny mengaku tidak marah pada Ahmad Najib malah bersimpati terhadap keluarganya.


Menyingkap kes Canny, ia mendapat perhatian luar biasa dan menggemparkan rakyat negara ini. Barangkali kerana memiliki sensasi seksual dan elemen ‘hiburan’ apatah lagi wanita kacukan Cina dan India ini cantik dan berperwatakan menarik.

Kisah ini bermula dengan sebuah parti keraian tetapi berkesudahan dengan tragedi yang membingungkan. Apabila Canny menghadiri makan malam bersama kawan-kawannya pada hari Jumaat 13 Jun 2003, tiada siapa yang tahu ia sebenarnya menjadi majlis perpisahan mereka untuk selama-lamanya.

Seperti Canny, ibunya Pearley Viswanathan dan kakaknya Elsie tiba di tempat letak kereta dalam Pusat Beli-belah Bangsar dan bergegas ke restoran Monte.


LOKASI mayat Canny dibakar di Jalan Klang Lama.


Tiada seorang pun antara mereka yang sedar tiket parkiran tertinggal di dalam kereta - tiket yang menjadi permulaan kisah yang membawa kepada kematian Canny.

Bagi Canny, makan malam itu sungguh menyeronokkan kerana ia menghimpunkan semula keluarga dan rakan-rakan lamanya. Kebanyakan mereka tidak pernah Canny temui sejak dia berkahwin dengan Brendan Ong di Malaysia pada Disember 2000.

Pada pukul 10.30 malam, Canny terpaksa pulang kerana keesokan harinya dia akan terbang ke kediamannya di San Diego, Amerika Syarikat. Canny, Elsie dan Pearley berada di mesin pembayaran automatik di tingkat bawah apabila mereka menyedari tiket parkiran tidak dibawa bersama.

Canny bergegas ke kereta. Apabila dia tidak muncul-muncul selepas 30 minit, Pearley dan Elsie mencarinya.


AHMAD NAJIB mengakui mengacu pisau kepada Canny sebelum merogolnya.


Dibakar di lubang pembentungan

Mereka kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan dan selepas puas memujuk, mereka dibenarkan menonton rakaman daripada kamera litar tertutup di bangunan tersebut.

Apa yang dilihat amat memeranjatkan. Kereta Proton Tiara milik Pearley dipandu laju dan merempuh penghadang laluan keluar.

Pelbagai spekulasi muncul selama beberapa hari hinggalah mayat Canny dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembentungan di Kilometer 11.2 Jalan Klang Lama, Petaling Jaya dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada.

Kakinya pula terjuntai keluar dari lubang tersebut manakala tubuhnya dihimpit di bawah dua buah tayar besar berisi simen, empat hari selepas dia dilaporkan hilang. Mayat itu ditemui empat hari selepas kehilangan Canny.


SUAMI Canny, Brendon Ong menenangkan adik iparnya, Lee Shuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.


Semasa kemuncak kes itu, terdapat banyak persoalan timbul khususnya kenapa Canny tidak cuba menyelamatkan diri kerana dia telah mendapat dua peluang terbaik untuk berbuat demikian tetapi mendiang memilih untuk terus bersama Ahmad Najib.

Inilah tanda tanya yang terus menjadi misteri hingga kini. Persetubuhan Ahmad Najib dan Canny juga menimbulkan kesangsian.

Tertuduh dalam pengakuannya menganggap hubungan seks dengan Canny adalah atas kerelaan mangsa.

Malah wanita itu tidak menangis atau memarahinya – isu yang diutarakan barisan peguam belanya bahawa Canny mengizinkan dirinya disetubuhi Ahmad Najib.

Bagaimanapun, perbuatan Ahmad Najib mengeluarkan sebilah pisau ditafsir mahkamah sebagai tindakan mengugut bagi membolehkan Ahmad Najib merogol mangsa.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee Muhamad Ideres dalam penghakiman pada 23 Februari 2005 berkata, Ahmad Najib mengakui mengajak Canny melakukan persetubuhan tetapi wanita itu cuma berdiam diri.

“Seterusnya dia ambil pisau dari tempat duduk dan hanya selepas ini baru si mati menunjukkan kesediaan untuk disetubuhi.

“Tindakan itu dan dilakukan di tempat yang agak sunyi pada pukul 12 tengah malam ialah satu bentuk ugutan jenayah,” katanya.

‘Saya mahu ke syurga’

Ironi pada saat-saat akhir hidupnya, Canny dilaporkan seperti merelakan kematiannya dengan berkata kepada Ahmad Najib: “Biarkan saya bersendirian, saya mahu ke syurga.” Sesungguhnya, cerita di sebalik pembunuhan Canny masih misteri.


HAKIM Datuk Muhamad Ideres turut meninjau lokasi mayat Canny ditemui.


Sepanjang prosiding selama 52 hari yang mendengar keterangan 44 saksi pendakwa, mahkamah diyakinkan melalui bukti amat mantap dan ‘berlebihan’. Ahmad Najib akhirnya didapati bersalah kerana merogol dan membunuh Canny.

Dia dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan membunuh dan penjara maksimum 20 tahun serta 10 sebatan kerana merogol.


Umno restui dan pilih pemimpin rasuah - Mahathir

Mohd Khalil Abdullah 
Sat | Mar 28, 09 | 9:22:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) - "Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah."

Demikian luahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nukilan peribadinya di blognya semalam.

"Ramai kenalan saya yang fikir saya tidak hadir pembukaan mesyuarat Perhimpunan Agung Umno kerana anak saya Mukhriz kalah pertandingan Ketua Pemuda.Memanglah saya terasa sedih kerananya.

"Tetapi sebab yang sebenar saya tidak hadir ialah oleh kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka merestui politik rasuah,"jelasnya.

Menurutnya, perwakilan pemuda memilih ketua mereka seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usahanya untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda.

"Sama ada dia dibenar bertanding atau tidak, tidak menidakkan dianya adalah perasuah.

"Hukuman yang dijatuhkan kepada orang ini tidak setimpal dan adil kerana orang lain yang didapati bersalah sama sepertinya tidak dibenar bertanding,"katanya.

Beliau juga menyindir, betapa tidak pernah terjadi orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin, oleh parti dan oleh orang ramai dipilih dan dijunjung tinggi sebagai ketua.

"Tetapi inilah yang dilakukan oleh Pemuda Umno yang dahulu terkenal sebagai barisan hadapan dalam perjuangan Umno,"ulasnya secara sinis.

Tambahnya, Pemuda Umno telah merosakkan imej Umno dan imej orang Melayu sendiri.

"Rupa-rupanya duit lebih utama daripada bangsa dan negara. Apakah rakyat akan terima dipimpin oleh tokoh rasuah yang terkenal? Perbuatan merestui rasuah adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia,"tegasnya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan mengenai proses pengiraan undi yang tidak masuk akal.

"Juga saya hairan kenapa untuk mengira hanya 790 undi mengambil masa lebih dari enam jam?

"Apakah pengira undi tidak tahu kira? Atau apakah sesuatu sudah diusahakan untuk menjayakan menantu Perdana Menteri. Ini menjadi soalan bukan daripada saya seorang tetapi oleh semua orang ramai.

"Tak usahlah Perdana Menteri bercakap berkenaan dengan menolak rasuah kerana menantu yang perasuah diberi keistimewaan luar biasa,"jelasnya lagi.

Dan katanya, "inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah." - mks. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020062&Itemid=85

Analisis: Barisan terkuat Umno, Pakatan perlu tukar strategi

27 Mar 2009 10:55AM

Oleh Mohd Sayuti Omar 

DI DALAM rumah sendiri (Umno), kini Mohd Najib Razak berada dalam keadaan selesa dan selamat. Beliau tidak perlu membuang masa berfikir untuk mententeramkan Umno dan menjaga keselamatan kuasa yang beliau miliki. Perwakilan Umno yang membuat pemilihan semalam benar-benar menterjemahkan keinsafan keinginan ahli mahu memperbaiki parti tersebut. Keperitan dialami semasa pilihan raya umum ke-12 lalu dijadikan pengajaran cukup baik. 

Tepat seperti mana ramalan dan analisa sebelum ini bahawa Najib memang mempunyai pengaruh yang kuat. Umno kini hampir 90 peratus dikuasai oleh Najib berdasarkan kepada orang-orang dan penyokongnya. Kemenangan orang Najib menjelaskan pengaruh Najib menyeluruh dalam Umno.

Justeru, Najib akan melangkah ke Putrajaya menjadi perdana menteri ke-6 yang kuat, penuh bersemangat dan penuh keyakinan bertitle sebagai seorang maharaja, Maharaja Jib. 
Ternyata isu-isu peribadi yang dilontarkan pembangkang terhadap Najib tidak dipedulikan perwakilan. Orang Umno tidak menerima dakwaan ke atas Najib, dan tetap menganggap sebagai anak dewa politik yang lahir dari sanggama orang tuanya di langit biru.
Atas semangat itu dan apa yang ditunjukkan para penyokongnya, maka Najib akan selamat dalam Umno, walaupun di luar masih simpang siur dan beliau disirami persepsi buruk dan hanyir!

Realiti ini tentu mengayatkan hati pembangkang. Bagi penyokong pembangkang yang berakal panjang dan tidak emosi dapat menebak sesuatu dan menimbulkan sedikit rasa bimbang. Nyata bayangan bahawa perhimpunan kali ini memberi kesan buruk kepada Umno silap.

Perpecahan yang diharapkan daripada hasil pemilihan ini juga tidak berlaku. Walaupun pemilihan Umno penuh dengan kotoran, rasuah dan sebagainya namun itu tidak menjadi masalah dan tidak mencacatkan Umno kerana budaya dan amalan itu sudah 'diijamkan' (konsensus) Umno sebagai halal.

Jika diperhati dan ditelitikan hampir semua mereka yang terpilih menganggotai Majlis Tertinggi (MT) terdiri daripada orang-orang Najib. Mereka yang menyokong Najib sejak zaman pemuda Umno lagi; yang kagum dengan Najib. Semua mereka yang dikatakan orang Abdullah tewas dan kalaupun ada yang menang mereka yang sempat menukar baju T berwajah Najib di saat-saat akhir.

Dua menteri yang dikenali pasti sebagai orang kuat Abdullah, Shahrir Abdul Samad, Azalina Othman Said tewas. Begitu juga menteri besar, Pahang, Adnan Yaacob dan menteri besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan tewas. Jarang MB tewas dan gagal menempatkan diri di kerusi MT atas kapastitinya selaku pengerusi perhubungan. Tetapi kelaziman itu kini dihanyutkan oleh pengaruh dan aura Maharaja Jib.

Hanya dua orang saja menteri yang dianggap sebagai orang Abdullah menang, iaitu Shaziman Abu Mansor dan Zulhasnan Rafique. Manakala yang lain seperti Ahmad Shaberi Cheek, Ismail Sabri Yaaob, Hamzah Zainuddin yang dikatakan orang Abdullah juga menang tetapi setelah mereka juga mula menunjukkan kesetiaan kepada Maharaja Jib.

Dengan Muhyiddin Yassin menjadi timbalan dan dibantu dengan tiga naib presiden, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafei Afdal kedudukan Najib bagaikan maharaja yang mempunyai hulubalang dan sang setia yang gagah perkasa dan akan sehidup semati. Mereka inilah yang akan memegang lembing dan tombak sepanjang masa sambil duduk, berdiri dan baring untuk mempertahankan Maharaja Jib.

Kalaupun Najib merasa sedikit teralat ialah dengan kemenangan Khairy Jamulddin sebagai ketua pemuda Umno. Itu pun tidak ada masalah, pengaruh Khairy tidak sampai ke mana dalam pemuda. Kahiry juga sebagai seorang yang sudah seronok berkecimpung dalam Umno selepas ini juga berikhtiar untuk menjadi hamba Maharaja Jib yang baik.

Manakala wanita pula, tidak usah ceritalah, mana ada wanita yang keras dan tegas. Shahrizat bukan serikandi persis Chut Nyek Din atau Kartini yang akan berani mengkritik Maharaja Jib. Shahrizat adalah wanita yang berhati wanita. Saya sering bermadah mengenai wanita, hanya satu perkara saja yang keras yang ada pada wanita iaitu mulutnya, yang lain semua lembik dan lembut.

Selepas ini Shahrizat Abdul Jalil akan 'bersujud sawi' kepada Maharaja Jib mengambil alih peranan tukang masak untuk menyiapkan juadah santapan presiden yang dipegang oleh Rafidah Aziz sebelum ini.

Dengan realiti itu Najib kini memperolehi sokongan kuat dalam Umno. Beliau tidak ada apa-apa masalah yang perlu dikhuatiri lagi. Keadaan ini akan ditambah dengan sokongan dari luar, daripada bekas PM, Mahathir Mohamad yang dari hari Jumaat sampai hari Khamis menghentam melanyak Abdullah untuk membolehkan Najib dimasyorkan sebagai Maharaja Jib.

Umno kini juga sudah tidak ada blok-bok tertentu. Tidak ada siapa yang akan menjadi ketua blok untuk berhadapan dengan blok dan kekuasan Maharaja Jib.

Apa yang hendak dibentangkan di sinilah ialah semoga senario yang ada dalam Umno kini diperhati oleh pembangkang atau mereka yang ingin mencari untung dengan berlakunya perpecahan dalam Umno dengan harapan dapat membina kerajaan baru.

Pembangkang yang ingin menangguk di air keruh dengan perbalahan Umno hendaklah mula berfikir mencari strategi baru. Laba diharap menerusi perbalahan dan perpecahan Umno nampaknya sudah tipis dan kabur.

Saya tidak mengira orang-orang yang kecewa, kalah, yang semuanya kalah bersama Abdullah akan bangkit membela diri dan menentang Najib secara diam. Tidak ada! Lagipun Abdullah sendiri sudah melafazkan ikrar dan taat setia kepada Najib dan beliau rela menurunkan maruahnnya dari bekas seorang general menjadi sang setia nombor satu bertaraf saldadu ‘kaki pekal’ = kaki bengkok.

Apabila general sudah mengaku kalah apa lagi dengan panglima dan para saldadu kaki pekal pun turut merapat sembah dan meniarap bila general baru melintas, atau mereka akan terus tabik bila terdengar saja batuk general walaupun bayangannya belum nampak.

Justeru, perkembangan dalam Umno kini memberi syarat jelas kepada pembangkang agar berhati-hati dan membuat perkiraan baru. Pembangkang perlu bertindak mengubah strategi daripada mahu mengambil kesempatan atas perpecahan Umno kepada pengukuhan diri sendiri. Pembangkang (Pakatan Rakyat) perlu perkemaskan ikatan pakatan. Pembangkang akan kecewa kalau masih terus mengharapkan peperpecahan dalam rumah tangga Umno.

Yang penting selepas ini serangan ke atas Umno, memomokkan kononnya Umno akan hancur dan sebagainya perlu dirihatkan sedikit dan tumpukan kepada mencuri masa mencari helah dan modal lain. Pembangkang lebih baik terus meracuni pemikiran umum dengan masa depan Umno yang sudah tidak diyakini kerana permasalahan, idealisme, budaya, tradisi dan juga iltizam perjuangannya yang tidak menentu itu, dan bukannnya terus bercerita mengenai perpecahannnya dan juga menghimpun segala macam masalah peribadi (termasuk fitnah) ke atas pemimpinnya.

Sebagai seorang maharaja yang berkuasa, ada wang dan segalanya, Najib sudah tentu akan menyediakan makanan dan juadah harapan indah kepada orang Umno yang bertaraf pemimpin. Najib tidak akan membiarkan mereka, akan diberi makan dan dikurung agar tidak mencakar mukanya. Dan orang Umno sangat jinak diperlakukan begitu.

Kesimpulannya hasil pemilihan Umno telah berjaya meletakan parti itu dalam satu pasukan yang kuat dan bersemangat. Pastinya juga mereka akan mula berfikir mengubah corak perjuangan parti itu serta menyesesuaikan dengan tuntutan semasa rakyat yang kini makin ghairah disangkutkan ke bahu Pakatan Rakyat. Sekiranya Umno dan Najib dapat merubah ia memberi impak yang buruk kepada pembangkang untuk pilihan raya akan datang. Strategi kena ubah!
* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari dimsomelayu.blogspot.com - Pengarang

Pasukan mantap 'Maharaja Jib' - Perkembangan dalam Umno kini memberi syarat jelas kepada pembangkang agar berhati-hati dan membuat perkiraan baru

Yang menang dan yang 'terkalah'

27 Mar 2009 9:25AM

 
Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung Khamis memperlihatkan beberapa kejutan apabila dua Menteri dan empat Menteri Besar serta tiga Timbalan Menteri kecundang. 

Mereka ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu. 

Manakala Timbalan Menteri yang mencuba nasib tetapi gagal ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom, bekas Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad serta Timbalan Menteri di JPM, Datuk Hassan Malek. 

Sebaliknya 11 calon yang tidak mempunyai jawatan dalam pentadbiran kerajaan terpilih menduduki kerusi pembuat dasar UMNO itu. 

Mereka ialah Ketua UMNO bahagian Ipoh Timur Datuk Azian Osman, bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Zainal Abidin Osman, Ahli Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi , Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Rahman, bekas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Norraesah Mohamad, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Mahadzir Khalid, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek, bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Pengerusi Biro Putera UMNO Datuk Abdul Azeez Abd Rahim. 

 
Berdasarkan pengumuman dibuat hanya seorang sahaja daripada enam calon wanita yang bertanding melepasi halangan iaitu Datuk Norraesah Mohamad yang sebelum ini merupakan Ahli MT dilantik. 

Pengumuman rasmi keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Onn Ismail yang dibuat kira-kira jam 10.45 malam. Bagaimanapun beliau sendiri tewas kepada pencabarnya yang juga Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin. 

Pada pengumuman itu, seperti dijangka Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diisytihar sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baru apabila menewaskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan majoriti 659 undi . 

Muhyiddin memperolehi 1,575 undi manakala Muhammad pula 916 undi. 

 
Bagi jawatan Naib Presiden, nama-nama yang disebut-sebut selama ini sebagai calon popular mengesahkan kedudukan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendahuluipencabar lain. 

Zahid memperolehi 1,592 undi diikuti oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (1,515) dan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memperolehi 1,445 undi. 

Selain kemenangan itu beberapa nama besar yang tewas pada pemilihan kali ini ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Tan Sri Jins Shamsuddin. 

Lain-lain yang tewas ialah Datuk Raja Roopiah Raja Abdullah, Datuk Sazmi Miah, Datuk Azimi Daim, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Ishak Ismail, Datuk Azhar Ibrahim, Datuk Dr Abdullah Md Zin, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Halimah Sadique, Datuk Astaman Abd Aziz, Datuk Dr Hilmi Yahya dan Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman. / Agendadaily

Keputusan Pemilihan UMNO 2008-2011

 

Pengerusi Tetap 
Datuk Paduka Badruddin Amiruldin – 2272 undi 

Timbalan Pengerusi Tetap 
Datuk Mohamad Haji Aziz 

Presiden 
Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak (Menang tanpa bertanding) 

Timbalan Presiden 
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin – 1575 undi 

Naib Presiden 
1. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – 1592 undi 
2. Datuk Seri Hishammuddin Hussein – 1515 undi 
3. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – 1445 undi 

Ahli Majlis Tertinggi 
1. Datuk Mustapa Mohamad – 2259 undi 
2. Datuk Noh Omar – 2084 undi 
3. Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman – 2084 undi 
4. Datuk Azian Osman – 2060 undi 
5. Datuk Zainal Abidin Osman – 2054 undi 
6. Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed – 1854 undi 
7. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – 1838 undi 
8. Datuk Seri Panglima Lajim Ukin – 1804 undi 
9. Datuk Shaziman Abu Mansor – 1705 undi 
10. Dr. Mohd. Puad Zarkashi – 1700 undi 
11. Datuk Tajuddin Abdul Rahman – 1685 undi 
12. Datuk Idris Haron – 1658 undi 
13. Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad – 1624 undi 
14. Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis – 1622 undi 
15. Datuk Saifuddin Abdullah – 1619 undi 
16. Datuk Dr. Norraesah Mohamad – 1611 undi 
17. Datuk Seri Mahdzir Khalid – 1580 undi 
18. Datuk Ahmad Husni Mohd Hanadzlah – 1529 undi 
19. Datuk Hamzah Zainuddin – 1518 undi 
20. Datuk Bung Mokhtar Radin – 1517 undi 
21. Datuk Dr. Awang Adek Hussin – 1481 undi 
22. Datuk Seri Zulhasnan Rafique – 1431 undi 
23. Datuk Ahmad Shabery Cheek – 1377 undi 
24. Datuk Seri Idris Jusoh – 1275 undi 
25. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim – 1265 undi

 


Umno di persimpangan jalan

27 Mar 2009 9:15AM
Oleh Suhana A. Samat

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam memberi amaran bahawa Umno kini berada di persimpangan jalan dan mungkin terkubur jika gagal melaksanakan perubahan berani.

Dalam ucapan dasar terakhirnya sebagai Presiden Umno di Perhimpunan Agung parti itu semalam, Datuk Seri Abdullah berkata semakin ramai anggota Umno yang menyertai parti itu kerana mengharapkan projek, gelaran dan kepuasan duniawi.

'Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini,' tegasnya kepada 2,519 perwakilan yang bersidang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Datuk Seri Abdullah menggesa agar anggota Umno hidupkan kembali semangat berkorban, dedikasi, kesederhanaan dan semangat berkhidmat.

'Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul - yang merasakan diri kita sahaja yang pandai, jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu,' katanya.

Dalam ucapannya yang bertajuk 'Masa depan dan survival parti', Datuk Seri Abdullah antara lain menyarankan agar Umno menetapkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan dalam parti sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan Umno.

Beliau juga berkongsi pendapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak agar hak memilih calon bagi jawatan-jawatan utama parti diberi kepada semua ahli Umno bagi mengatasi amalan politik wang.

Umno turut digesa beliau agar tidak mengamalkan fahaman ekstremis kaum dan agama serta bersifat perkauman kepada warga Malaysia bukan Melayu.

Datuk Seri Abdullah, 66 tahun, yang tidak mempertahan jawatan Presiden Umno, menyerahkan teraju parti itu kepada Datuk Seri Najib semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau berikrar akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib di samping tidak akan menderhaka dan tidak akan bersifat gunting dalam lipatan kepada Umno.

Beliau tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya.

Sebelum ini, Dr Mahathir lantang membidas Datuk Seri Abdullah yang didakwa gagal mentadbirkan negara dengan baik, termasuk tindakan beliau membatalkan projek jambatan bengkok bagi menggantikan Koswe.

Seakan menjawab segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, Datuk Seri Abdullah dengan penuh rendah diri semalam berkata:

'Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya mengakui bahawa saya tidak sepi dari melakukan kesilapan. Saya juga mungkin tidak dapat memenuhi semua perkara yang pernah saya janjikan. Walau apa pun kesilapan - walau apa pun kekurangan yang telah berlaku, adalah tekad saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga dan negara ini.'

Beliau turut memohon maaf ke atas kelemahannya sebagai 'insan yang tidak sempurna' sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003.

Sesuai dengan latar belakangnya yang berasal daripada keluarga ulama, ucapan Datuk Seri Abdullah diselitkan dengan beberapa ayat suci Al-Quran.

Dengan kemelut politik yang melanda Malaysia sekarang, Datuk Seri Abdullah meninggalkan pesanan terakhir yang begitu bermakna dengan memetik surah Al-Fatir, ayat-10 yang bermaksud:

'Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), akan beroleh azab yang berat. Rancangan jahat mereka akan rosak binasa.' / BHS


Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul - Bekas presiden Umno, Abdullah

'Setel' kan hutang kita, pangkah Hishamuddin esok! - Arahan pertama KJ

26 Mar 2009 1:05AM

Ketua Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin Abu Bakar minta perwakilan pemuda beri undi kepada bekas boss mereka, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

“Saya ada hutang yang belum selesai. Arahan pertama saya pada semua (perwakilan pemuda), esok pagi masuk Dewan Merdeka, kita kena pastikan dia menang. Saya tak boleh terima kalau dia kalah atau kurang undi,” katanya.

Katanya, amanah atau tugas yang diserahkan bekas Ketua Pemuda itu cukup berat.

“Besar tanggungjawab ini. Kalau silap, wajib tegur saya dan yang lain. Kita bukan pemimpin atau manusia terbaik. Pada bila-bila masa, kita perlu sedia ditegur,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun mengakui kemenangannya bukan majoriti dan itu jelas tanda barisan dalam Pemuda perlu dirapatkan antara setiakawan, pemuda berani dan berani berubah.

“Dalam barisan baru ini perlu ada pemuda yang berani untuk sama-sama masuk ke kubu lawan, perlu ada yang berani berubah untuk membawa perubahan kepada UMNO atau parti akan rebah,” ujarnya.

Dalam persaingan tiga penjuru itu, Khairy memperolehi 304 undi manakala Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebanyak 254 undi dan Datuk Mukhriz Mahathir, 232 undi.

Katanya, kemenangan ini catat sejarah kerana pertandingan tersebut menunjukkan semangat demokrasi yang cukup tinggi dan matang oleh semua perwakilan. / Agendadaily


Milik Shahrizat, KJ, Rosnah

26 Mar 2009 12:28AM

WANITA

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz dengan memperoleh 507 undi.

Rafidah yang telah mengetuai pergerakan itu selama 30 tahun meraih 280 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Tetap, Tan Sri Napsiah Omar.

PEMUDA

Khairy Jamaludin berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti yang berlangsung hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu menang menewaskan dua lagi calon, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dengan mendapat 304 undi.

Sementara itu, Datuk Razali Ibrahim pula memperoleh 417 undi menewaskan Datuk Rizal Merican Naina Merican bagi jawatan Naib Ketua Pemuda.

PUTERI

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berjaya memenangi jawatan Ketua Puteri UMNO dengan menewaskan lima lagi calon pada pemilihan agung UMNO 2008 hari ini.

Beliau memperoleh 245 undi menewaskan Ismalina Ismail, Shahaniza Shamsuddin, Ida Rahayu Md. Noor, Saarah Ali Bashah dan Bibi Sharliza Mohd. Khalid.

Keputusan lengkap

Berikut senarai lengkap pemegang jawatan utama tiga pergerakan Umno bersama jumlah undi yang diperolehi masing-masing seperti diumumkan malam ini.

WANITA

Pengerusi tetap    
Tan Sri Napsiah Omar (tanpa bertanding) 
    
Timbalan pengerusi tetap
Datuk Sharifah Aminahbi Syed Mohd (306 undi)  
    
Ketua
Datuk Seri Shahrizat Abdil Jalil (507 undi)

    
Naib ketua
Datuk Kamilia Ibrahim (tanpa bertanding)

    
Ahli jawatankuasa

1. Hasnah Salam (520 undi) 
2. Datuk Maznah Abdul Hamid (509 undi)
3. Datuk Rosni Zahari (480 undi)
4. Datuk Armani Mahiruddin (463 undi)
5. Datin Paduka Norhayati Onn (463 undi)
6. Datuk Norhayati Omar (432 undi)
7. Datuk Rusnah Kassim (430 undi)
8. Marlia Abd Latiff (416 undi)
9. Noriah Mahat (412 undi)
10. Ros Suryati Alang (405 undi)
11. Jamelah A Bakar (400 undi)
12. Suraya Yaacob (388 undi)
13. Azihani Ali (385 undi)
14. Norliza Abdul Rahim (377 undi)
15. Sharifah Azizah Syed Zain (375 undi)
16. Datuk Maznah Mazlan (374 undi)
17. Datuk Azizah Mohd Dun (371 undi)
18. Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin (367 undi)
19. Norliza Hj Ahmad (347 undi)
20. Wan Hazani Wan Mohd Nor (344 undi)


PEMUDA

Pengerusi tetap
Datuk Abdul Fattah Abdullah (460 undi)
    
Timbalan pengerusi tetap 
Muhammad Yadzan Mohammad (202 undi)
    
Ketua
Khairy Jamaluddin Abu Bakar (304 undi)
    
Naib ketua
Datuk Razali Ibrahim (417 undi)
    
Ahli jawatankuasa
1. Mohamed Suffian Awang (653 undi)
2. Shafiqurrahman Haji Shamsuddin  
3. Sohaimi Shahadan (541 undi)
4. Mohamad Nazim A Samad (534 undi)
5. Mohd Afandi Yusoff (503 undi)
6. Jamawi Jaafar (471 undi)
7. Wan Amizan Wan Abdul Razak (471 undi)
8. Tengku Azman Tengku Zainol Abidin (455 undi)
9. Ahmad Darus (446 undi)
10. Ahmad Zaki Zahid (446 undi)
11. Ali Mazat Salleh (437 undi)
12. Megat Zulkarnain (436 undi)
13. Zuber Zabidi 
14. Nazir Hussin Akhtar Hussin (419 undi)
15. Lokman Noor Adam (406 undi)
16. Syahrin Md Jamaluddin (404 undi)
17. Tun Faisal Ismail Aziz (402 undi)
18. Muhammad Khairun Aseh (389 undi)
19. Mohd Hisamudin Yahaya (388 undi)
20. Mohamad Iruan Zulkefli (387 undi)


PUTERI

Pengerusi tetap
Azlieza Azizan (445 undi) 
    
Timbalan pengerusi tetap
Hasspalela Mohammed Hassan (499 undi)
    
Ketua
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (245 undi)

    
Naib ketua
Shahanim Mohamad Yusoff (353 undi)

    
Ahli jawatankuasa
1. Mas Ermieyati Samsudin (604 undi) 
2. Hasrunizah Hassan (514 undi)
3. Azlinda Zubir (510 undi)
4. Zahida Zarik Khan (501 undi)
5. Asmaiza Aahmad (498 undi)
6. Norhasmizah Mat Tahir (482 undi)
7. Fahariyah Md Nordin (474 undi)
8. Wan Salwati Abdullah (465 undi)
9. Dg Maimunah Sidek (453 undi)
10. Isfarina Mohd Ali (444 undi)
11. Wan Zawiyah Wan Halim (433 undi)
12. Norsabrina Mohd Noor (426 undi)
13. Nor Azita Abdul Rahman (414 undi)
14. Fatimah @ Nik Fatimah Nik Salleh (400 undi)
15. Seriwani Sabtu (395 undi)
16. Jamilah Hanim Othman (388 undi)
17. Idamoerni Zakaria (384 undi)
18. Anita Murad (379 undi)
19. Zauyah Zainuddin (377 undi)
20. Rina Mohd Harun (375 undi)


Aura KJ.. (Keputusan penuh didalam)

"Jat (Shahrizat), kita ada bermusuh ke?" Tanya Rafidah

25 Mar 2009 6:10AM

"Jat (Shahrizat), kita ada bermusuh ke?"

Itulah soalan balas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika diminta oleh media supaya menjelaskan mengenai hubungan mereka berdua yang dikatakan kurang baik.

Shahrizat pula lantas menjawab: "Tak ada musuh-musuh".

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Praperhimpunan Wanita UMNO di sini hari ini, Rafidah sekali lagi memberi amaran supaya pihak luar tidak sewenang-wenangnya membuat tafsiran dan tanggapan yang tidak benar mengenai hubungannya dengan Shahrizat.

"Saya tak tahu nak bermusuh dengan orang. Jauh sekali. Hubungan saya dengan Shahrizat, macam biasalah. Apa yang susah ialah apabila orang lihat dan tafsir macam-macam fasal kami berdua.

"Jangan sesiapa di luar sana nak anggap macam-macam, seolah-olah kita ini nak pergi berperang. Kita bukan Israel dengan Palestin. Banyak sangat ramalan dan analisis, dah sebabkan Wanita UMNO tercemar," katanya.

Kata Rafidah, tanggapan negatif seperti itu sesungguhnya tidak baik untuk Wanita UMNO kerana hakikatnya pergerakan itu sebuah kumpulan yang berjuang untuk matlamat sama.

Jelasnya, apa yang lebih penting bagi Wanita UMNO sekarang ialah menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memulihkan parti dan bekerja untuk kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di beberapa negeri selepas Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Mengulas mengenai pertandingan jawatan nombor satu Wanita UMNO antara beliau dan Shahrizat, Rafidah berkata, sudah menjadi adat pertandingan 'ada yang menang dan ada yang kalah'.

"Menang kalah itu di tangan Tuhan... di tangan perwakilan (yang memilih). Nak berebut, menang ketua apa dapat? Dapat beban kerja, bukan harta karun. Orang dah tengok Wanita UMNO ni macam main poker pula, menang dapat kaut semua... tak ada macam itu.

"Ini soal menunaikan proses demokrasi dalam parti (pemilihan). Anggaplah kami Wanita UMNO ini sebagai pasukan yang menunaikan kehendak demokrasi dalam pemilihan," katanya.

Mengenai pemilihan, Rafidah menasihatkan para perwakilan supaya memilih calon pemimpin dalam suasana muhibah dan dengan hati terbuka.

Katanya, beliau yakin semua perwakilan sudah mengenali calon yang hendak dipilih dan telah membuat keputusan masing-masing dengan baik.

"Harapan saya pada pemilihan ini, menang kalah kita tetap dalam kumpulan yang sama iaitu Wanita UMNO," katanya.

Ditanya mengenai perasaan beliau untuk berhadapan pemilihan Wanita UMNO kali ini, Rafidah berkata:

"Saya tidur dengan baik, makan pun baik, cuma saya bimbang baju tak muat sebab makan banyak," katanya.

Sementara itu, Shahrizat ketika ditanya mengenai persaingannya dengan Rafidah berkata, semuanya berjalan baik.

"Saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan mengenai siapa yang akan menerajui Wanita UMNO," katanya./Utusan


Bukan hendak berperang

Najib akui UMNO perlu berubah jika tidak mahu 'rebah'

25 Mar 2009 5:55AM

Ahli-ahli UMNO dituntut menggilap semula idealisme perjuangan supaya parti keramat itu dapat kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Presiden yang disifatkannya sebagai 'hiba rasanya' berkata, demi mencapai matlamat itu, UMNO mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah.

Beliau yang akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 ini, menjelaskan, bagi memastikan UMNO maju ke depan, parti itu perlu memperbaiki kelemahan serta memperkukuh dan memantapkan kekuatan sedia ada.

"Jika kita tidak melakukan proses ini, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian.

"Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan," katanya dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, TV9 dan Astro di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ucapan bertajuk Menakhoda Zaman yang memaparkan UMNO sebagai parti memimpin negara sepanjang zaman disambut dengan tepukan daripada 796 perwakilan Wanita, 791 perwakilan Pemuda dan 789 perwakilan Puteri.

Berikutan perhimpunan kali ini melibatkan pemilihan kepimpinan ketiga-tiga sayap parti, Najib mengingatkan tugas para perwakilan merupakan paling berat dalam sejarah UMNO.

Katanya, berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri.

"Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah," katanya.

Beliau yang memetik tiga ayat al-Quran menekankan bahawa perhimpunan malam ini adalah atas satu tujuan iaitu untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan UMNO.

Katanya, pencapaian UMNO lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng yang tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang.

"Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman," tegasnya.

Bagaimanapun kata Najib, waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO hari ini perlu berpijak di bumi nyata kerana landskap politik negara telah berubah sama sekali.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan UMNO terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka.

"Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat," katanya.

Kesimpulannya kata Najib, untuk kekal lestari, UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu.

"Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.

"Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah," tambahnya./Utusan


Najib enggan jadi nahkoda kapal karam

Bekas menteri lancar buku 'Saya Pun Melayu'

23 Mar 2009 11:18PM

KL: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini melancarkan buku keduanya bertajuk "Saya Pun Melayu" yang mengisahkan perjalanan politiknya sebelum dan selepas dipecat daripada Umno.

Buku setebal 311 muka surat yang diterbitkan oleh ZI Publications Sdn Bhd itu merupakan sebuah catatan peribadi beliau yang turut mengupas pelbagai isu lain seperti Raja dan Perlembagaan, maruah serta ketuanan Melayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Sebuah buku bertajuk "Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat" oleh Abdul Shukur Haron dan Annual Bakri Haron turut dilancarkan pada majlis berkenaan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Zaid yang dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri acara yang dianjurkan parti pembangkang, berkata beliau akan mengumumkan hasratnya untuk memasuki mana-mana parti politik pada masa yang bersesuaian.

Ketika ditanya mengenai pelancaran buku itu yang hampir dengan tarikh perhimpunan Agung Umno yang berlangsung esok, Zaid berkata itu hanyalah kebetulan. / Bernama


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim

Bagi saya peluang, jangan nilai sebelum jadi PM - Najib

Sabtu Mac 28, 2009

GANDINGAN MANTAP..Datuk Seri Abdullah Amad Badawi bersalam dengan Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal menerajui negara sebagai Perdana Menteri, dipercayai Jumaat depan, mahu beliau diberi peluang membuktikan kepimpinannya tanpa "dilemparkan prapenilaian yang tidak adil."

Malah Presiden Umno itu berharap tuduhan-tuduhan tidak berasas dilemparkan pembangkang terhadapnya tidak dijadikan kayu pengukur terhadap kepimpinannya dalam Umno dan kerajaan.

Ia merupakan reaksi pertama beliau pada sidang media rasmi diadakan, pukul 3.30 petang tadi, selepas dinobatkan sebagai Presiden Umno dan bakal menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya menilai kredibilitinya berdasarkan khabar angin dan tuduhan yang tidak berasas.

"Saya sudah beri kenyataan dan penjelasan namun mereka masih tetap lemparkan tuduhan berniat jahat dan tidak berasas, apa nak buat... mereka adalah pembangkang.

"Tapi saya tahu apa yang nak dilakukan, beri saya peluang dan nilai saya berdasarkan tindakan saya... jangan nilai saya berdasarkan khabar angin," katanya.

Sidang media itu diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-59 yang berakhir tengah hari tadi.

Pembangkang sebelum ini mendakwa Najib terlibat dengan pelbagai tuduhan termasuk terlibat dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaaribuu.

Malah dalam ucapannya penerimaan jawatan sebagai Presiden, Najib berkata, fitnah adalah racun berbisa menghancur bangsa.

Tambah beliau, akhir-akhir ini fitnah disembur dan dilempar merata-rata dengan niat penuh nista.

Katanya, "janganlah keadilan itu ada dua standard, satu untuk kerajaan satu untuk pembangkang."

"Jika mana-mana pembangkang dituduh dibawa ke mahkamah, kata pembangkang, hakim tidak adil, pendakwa menganiaya, polis pula tidak betul.

"Namun, jika mana-mana tokoh kerajaan...baru...sahaja dituduh, belum apa-apa sudah dianggap bersalah oleh mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri seolah-olah menggambarkan keruntuhan sistem demokrasi di Malaysia, beliau berkata, dakwaan sedemikian merupakaan satu pandangan yang tidak adil.

"Mengapa anda buat penilaian terhadap saya? Ini penilaian yang tidak adil sebelum peralihan kuasa berlaku.

"Beri saya peluang ambil alih dahulu sebelum apa-apa penilaian dibuat," katanya.

Abdullah dijangka menyerahkan jawatannya kepada Najib minggu depan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Najib bagaimanapun berkata, beliau komited untuk melakukan perubahan untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Saya komited untuk buat perubahan... saya akan buat perubahan.

"Saya sedar mahu saya buat sesuatu (perubahan)," katanya.

Najib juga berkata, beliau yakin untuk memimpin negara berdasarkan mandat yang diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun lalu.

"Ya saya yakin dengan mandat itu, kami (BN) ada majoriti selesa.

"Pak Lah juga telah sediakan platform yang baik sembelum menyerahkan kepimpinannya kepada saya," kata beliau sambil menambah, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menyatakan sokongan dengan hadir perhimpunan hari ini.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/3/28/mstar_berita/20090328185741&sec=mstar_berita

Pak Lah letak jawatan PM Khamis, Najib minta sabar

Sabtu Mac 28, 2009

GANDINGAN MANTAP.. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghadap YDPA Agong, Khamis ini untuk mendapat perkenan Baginda untuk melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai PM keenam. Abdullah juga merestui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru.


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Mizan Zainal Abdin untuk memaklumkan hasratnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, pada 2 April, Khamis depan.

Kata beliau jika diberi perkenan Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

"Saya akan menghadap YDPA untuk memaklumkan peletakkan jawatan saya dan jika diberi perkenan, Datuk Seri Najib akan menjadi Perdana Menteri," katanya semasa mengulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan Najib yang dipilih menjadi Presiden Umno akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Jumaat depan.

Abdullah memegang jawatan Perdana Menteri sejak tahun 2003.

Pada Selasa lalu Abdullah yang juga Presiden Umno meminta mana-mana pihak "jangan mengganggu" beliau dengan mendesak mengumumkan tarik serah jawatan Perdana Menteri.

Dalam ucapan Dasar Presidennya kelmarin, Abdullah berkata, beliau akan memberi sokongan padu kepada Presiden Umno yang baru, Najib yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Difahamkan Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir Rabu depan.

Dalam pada itu pada sidang media yang turut dihadiri Najib dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Abdullah berkata:

"Saya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong...saya tidak mahu kata apa-apa yang lain."

Berhubung soalan sama ada perlu ada usul undi tidak percaya bagi Najib di Parlimen, Abdullah memberitahu, soal tersebut tidak perlu sama sekali.

"Saya tidak faham mengapa perlunya usul sedemikian.

"Pemimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak akan mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Najib ketika ditanya mengenai tarikh beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri berkata, biar Abdullah menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu depan.

"Biar Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuang Agong dulu dan kemudian proses penyerahan dan pelantikan akan berjalan sebagaimana disaksikan masa dulu.

"Biar Perdana Menteri menghadap dan semuanya akan diselesaikan kemudian," kata beliau.

Mengenai barisan Kabinet baru, "tunggu dulu. Saya belum ambil alih jawatan... belum pun saya duduk (sebagai Perdana Menteri)."

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/3/28/mstar_berita/20090328131956&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...