Thursday, July 23, 2009

Ziana Zain selamat lahirkan kembar, akan berpantang 100 hari

Khamis Julai 23, 2009

Ziana Zain.

PETALING JAYA: Penyanyi Ziana Zain selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, sekitar pukul 10 pagi tadi.

Pengurus Ziana, Lisa Aryanti Tahir memberitahu mStar Online yang Ziana Zain telah melahirkan anak kembarnya secara pembedahan (caesarian).

Kata Lisa, "Menurut kata doktOr, Ziana sepatutnya melahirkan anaknya pada pertengahan Ogos tetapi terpaksa diawalkan kerana Ziana mengalami tekanan darah tinggi.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua anak Ziana sihat. Anak pertama adalah bayi lelaki yang beratnya 2.1kg dan yang kedua perempuan, 1.7 kg."

Lisa berkata, suami dan keluarga Ziana berada di sampingnya ketika pembedahan itu. Kebetulan suaminya, Armin sedang bercuti.

Ketika ditanya, adakah Ziana bersedia menunjukkan wajah bayinya kepada umum, Lisa berkata, "Ziana seorang yang cukup berdisiplin.

"Gambar baby tidak akan ditunjukkan bawa masa ini. Hanya apabila dia sudah bersedia, barulah dia akan tunjukkan babynya.

"Dan Ziana akan berpantang 100 hari. Selagi dia belum habis pantang, dia tidak akan tunjuk muka pada media."

Kata Lisa, Kak Ziana kemungkinan besar tidak akan menagndung lagi memandangkan usianya sudah 41 tahun.

"Ziana juga belum memikirkan nama anak kedua kembarnya."

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_hiburan/20090723140808&sec=mstar_hiburan

Akhil akui Waheeda terkena sihir!

Khamis Julai 23, 2009

Akhil akui lebih tenang menjalani kehidupan baru selepas bercerai dengan bekas isterinya - foto THE STAR oleh KEVIN TAN

DARI jauh, Akhil Hayy sudah mempamerkan senyuman, seolah-olah sudah dapat mengagak temubual ini pasti lebih berkisarkan kisah peribadinya.

Namun, tidak seperti sebelum ini, penyanyi nasyid dan penceramah bebas ini dilihat sudah lebih 'terbuka' membicarakan tentang kehidupan barunya setelah bercerai talak satu dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal, pada tanggal 15 Julai lalu.

"Inilah perjalanan kehidupan, yang telah tertulis. Buat masa ini saya rasa 'bebas'," ujar Akhil ketika ditemui pada rakaman program Mega Raya Astro, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Rock ini, memegang status duda dan kembali hidup bersendirian tidak langsung membuatkannya rasa janggal. Malah, tutur Akhil, segala yang berlaku sebenarnya adalah atas kekuasaan Allah dan dia sendiri akui, itu adalah yang terbaik buat dirinya pada masa ini.

"Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya. Ini adalah perjalanan hidup yang saya simpan selama 13 tahun. Bagi saya, dalam apa-apa hal rumahtangga, cukuplah saya katakan anak-anak lebih mengenali siapa ibu dan ayahnya.

"Dan saya sudah cukup kenal isteri saya dan mengapa saya menceraikannya. Saya tegaskan lagi di sini, bukan disebabkan orang ketiga, tetapi memang hubungan kami ada masalah peribadi," ujarnya dalam nada perlahan.

Tetapi, kata Akhil, apa yang cukup menyedihkannya tatkala isu rumahtangganya hangat diperkatakan ialah tindakan bekas isterinya sendiri.

"Saya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan olehnya. Sepatutnya, kita kena bermuhasabah diri. Seorang isteri solehah tidak akan mengaibkan suaminya walau seteruk mana pun suaminya itu.

"Bukannya pergi ke stesen televisyen dan mengadu. Dan sepatutnya stesen TV juga perlu tanya kebenaran suami sebelum minta isteri keluarkan kenyataan.

"Apapun, alhamdulillah, kami telah berpisah dengan cara baik. Dia mendapat hak jagaan anak-anak, tetapi tiga orang anak saya tinggal dengan saya sekarang. Yang bongsu berada di bawah jagaan ibunya," kata bapa kepada empat orang anak ini.

Akhil enggan berbicara lanjut tentang mencari 'pengganti' dan menyerahkan hal jodoh pada Allah

Henti aibkan Waheeda!

Pergolakan rumahtangga Akhil dan Maizawati cukup hangat diperkatakan tidak lama dulu apabila bekas isterinya itu mengaku Akhil memang mempunyai hubungan dengan penyanyi popular Waheeda.

Penafian demi penafian telah dibuat oleh Akhil dan Waheeda sendiri, namun pelbagai spekulasi terus dibuat apatah lagi bila kedua-duanya dilihat cukup 'akrab'.

Menurut Akhil, dia sendiri cukup sedih melihat Waheeda menerima tohmahan yang cukup hebat, sedangkan apa yang berlaku di dalam rumahtangganya sebelum ini tiada langsung kena-mengena dengan penyanyi itu.

"Saya sedih bila lihat orang tuding jari dan labelkan dia perampas. Siapa mereka untuk bercakap seperti itu? Sampaikan impaknya turut tempias kepada ahli keluarganya juga.

"Saya sudah jelaskan pada ibu Wawa (Waheeda) dan mohon maaf kerana dia dibabitkan dalam hal ini. Tolong berhenti aibkan dia. Saya agak risau kerana dia juga tengah sakit akibat tekanan banyak benda dan saya tidak menolak ada unsur ghaib atau sihir yang dibuat terhadapnya.

"Saya rasa ini adalah perbuatan pihak-pihak tertentu, tapi saya tidak mahu menuduh sesiapa. Cuma saya ingin katakan, perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah," kata Akhil.

Ditanya adakah selepas ini dia akan mencari pengganti dan mungkinkah wanita itu adalah Waheeda, sambil tersenyum Akhil menjawab:

"Jodoh pertemuan di tangan tuhan. Saya perlu teruskan hidup sebagai lelaki. Kita lihat sajalah apa yang akan berlaku. Sejujurnya, saya masih lagi berkawan dengan Wawa dan rapat dengan ahli keluarganya.

"Kami masih menghubungi antara satu sama lain. Saya nampak Wawa adalah seorang wanita yang sentiasa mencari dan ingin dekat dengan agama. Sebab itulah saya intim dengan dia dan ibubapanya."

Mengulas mengenai kariernya pula, kata Akhil, dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus walaupun hebat dilanda dengan kontroversi.

"Alhamdulillah, saya masih dipanggil mengadakan ceramah. Album juga sedang di dalam proses pembikinan. Saya juga masih diberi kepercayaan menjadi ikon Astro Oasis. Walaupun program Cafe Akhil Hayy dihentikan seketika kerana ingin beri laluan kes mahkamah tempoh hari, tetapi saya tidak kisah.

"Malah, saya terharu Astro Oasis memberi ruang untuk saya selesaikan dulu kes tersebut. Lagipun, saya bukannya melakukan jenayah. Namun saya sedar, imej saya sedikit sebanyak telah tercalar, tapi saya kenalah terima perkara ini.

"Cafe Akhil Hayy juga sedang dalam perbincangan untuk diteruskan. Mungkin kita akan 'rebranding' semula program itu...tengoklah macam mana, sebab saya pun sekarang sudah bina hidup yang baru," katanya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_hiburan/20090722103905&sec=mstar_hiburan

Waheeda: Saya sedang berehat

Khamis Julai 23, 2009

SEJAK tercetusnya kontroversi yang mengatakan dia menjadi 'orang ketiga' di dalam rumahtangga penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy dan Maizawati Zainal, Waheeda dilihat lebih banyak 'mengalah' dan kurang mengeluarkan kenyataan.

Bagi penyanyi berusia 30 tahun ini, tujuannya untuk tidak lagi mengeruhkan keadaan, lebih-lebih lagi dikecam sebagai perampas suami orang dan pemusnah rumahtangga.

Dalam temubual bersama mStar Online pada akhir Mei lalu, Waheeda akui apa yang berlaku cukup menyedihkannya, apatah lagi tohmahan seperti itu dilemparkan oleh pihak-pihak yang belum hujung pangkal kebenarannya.

Malah, ketika itu, Waheeda akui, dia lebih ingin memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak tercetusnya kisah panas tersebut.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujar Waheeda dalam temubual tersebut, sambil enggan mengulas lanjut tentang penyakitnya itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu kemudiannya lebih gemar mendiamkan diri walaupun terus 'diburu' media. Malah, sehingga Akhil dan bekas isterinya sah bercerai dengan talak satu pada 15 Julai, Waheeda tetap 'membisu'.

Namun, Akhil yang ditemui baru-baru ini mendedahkan keadaan kesihatan penyanyi itu yang tidak begitu baik buat masa ini.

"Saya agak risau kerana dia tengah sakit akibat tekanan banyak benda dan saya tidak menolak ada unsur ghaib atau sihir yang dibuat terhadapnya.

"Saya rasa ini adalah perbuatan pihak-pihak tertentu, tapi saya tidak mahu menuduh sesiapa. Cuma saya ingin katakan, perbuatan ini amat dilaknat oleh Allah," kata Akhil.

Waheeda yang dihubungi untuk mendapatkan penjelasan tentang kesihatannya bagaimanapun hanya memberi komen ringkas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar.

"Sekarang ini saya sedang berehat untuk pulih. Terima kasih kerana memahami," katanya tanpa sebarang komen lanjut.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_hiburan/20090722183026&sec=mstar_hiburan

Sakit jantung punca kematian pertama mangsa H1N1 di Malaysia

Khamis Julai 23, 2009

PUTRAJAYA: Kematian seorang lelaki warga Indonesia yang dijangkiti Influenza A (H1N1) pada Selasa lepas bukan disebabkan oleh penyakit tersebut tetapi berpunca daripada denyutan jantung tidak terkawal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bedah siasat awal mendapati mangsa mempunyai badan yang gemuk serta terdapat tandatanda pneumonia pada paruparu dan kelainan pada tisu jantung serta cairan seperti nanah.

"Sebanyak 20 pelbagai jenis spesimen telah diambil untuk ujian virologi, bakteriologi, histopatologi, biokimia dan toksikologi. "Oleh sebab keputusankeputusan ujian bedah siasat belum diketahui sepenuhnya, penyebab kematian untuk kes ini belum dapat dimuktamadkan lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Liow berkata faktor kegemukan, tempoh sakit yang berlanjutan juga perlu diambil kira dalam perkara itu.

Beliau berkata siasatan mengenai kes itu, yang pertama melibatkan pesakit H1N1, masih dijalankan dan keputusan rasmi mengenainya hanya akan dapat diumumkan pada Sabtu ini. "Daripada maklumat diperolehi, lelaki itu bercuti ke Indonesia dan kembali ke Malaysia pada 5 Julai dan dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom adalah ringan. "Pada 20 Julai mula demam panas, batuk serta letih dan pada 21 Julai pergi mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata lelaki berusia 30 tahun, pelajar tahun pertama di International Center for Education in Islamic Finance, Kuala Lumpur kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi pada hari yang sama.

Mengenai kes terbaru, sejumlah 18 kes baru Influenza A (H1N1) dilaporkan, 17 adalah kes jangkitan tempatan dan satu kes import. Liow berkata kes import adalah dari seorang warga negara Malaysia yang baru kembali bercuti dari London.

"Daripada 17 jangkitan tempatan, 13 kes yang dilaporkan adalah daripada empat kluster manakala empat kes adalah keskes 'sporadic' atau terpencil," katanya. Jumlah kes terkumpul setakat ini ialah 939 yang terdiri daripada 573 kes import dan 366 kes jangkitan tempatan. Dari jumlah itu hanya 11 kes sedang menerima rawatan antiviral di hospital, lima kes menerima rawatan pesakit luar di rumah masingmasing dan selebihnya telah sembuh. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_berita/20090723144911&sec=mstar_berita

Individu awam buat petisyen protes hukuman sebat model

Khamis Julai 23, 2009

PETALING JAYA: Hukuman enam sebatan terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai kira-kira dua tahun lalu terus menerima respon negatif daripada pelbagai pihak.

Seorang individu awam yang juga merupakan bekas kapten tentera, Datin Malina Su Malik hari ini turut tampil melahirkan rasa tidak puas hati dan ingin membuat petisyen sebagai tanda bantahan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas model kelahiran Sungai Siput, Perak itu.

"Apa yang dilakukan oleh Kartika memang salah, tetapi hukuman sebatan itu tidak adil dan amat melampau. Saya pernah terlihat gambar orang-orang Islam sedang minum arak yang disiarkan di dalam majalah. Tapi mengapa tiada tindakan?

"Jika benar ia dibuat untuk menyedarkan orang lain juga, tidak adakah hukuman lain yang boleh dibuat selain sebatan? Dia sudah sedar kesilapannya dan apa yang menyedihkan, dia sudah pun mempunyai anak.

"Saya memang tidak puas hati dengan hukuman tersebut. Saya sedang mula membuat petisyen untuk dihantar kepada pihak yang berkenaan dan setakat ini sudah ramai kenalan saya juga bersetuju untuk turut sama sertai petisyen ini.

"Buat masa ini, saya hanya mampu melakukannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya hantar kepada rakan-rakan dan akan mendapatkan khidmat nasihat golongan profesional termasuk peguam mengenai petisyen ini," ujar Malina.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr.Lo'Lo Mohd.Ghazali juga tidak bersetuju dengan hukuman tersebut.

20 Julai lalu, Kartika, yang kini bekerja di Singapura, dijatuhkan hukuman sebatan enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas menolak rayuan model yang berasal dari Sungai Siput, Perak itu.

Hakim tersebut juga memerintahkan Kartika Sari Dewi menjalani hukuman penjara tiga tahun jika gagal membayar denda.

Menurut Malina lagi, sebagai seorang manusia dan ibu, Kartika sepatutnya perlu cuba pertahankan dirinya habis-habisan, memandangkan dia sendiri sudah insaf tentang perlakuan tersebut.

"Mungkin dia memang rasa amat bersalah dan lantaran itu, ingin hukuman tersebut terus dipercepatkan. Salah tetap salah, apa yang dilakukan Kartina adalah kesalahan dirinya dan juga pada Allah. Tetapi, hukuman yang dikenakan itu tidak masuk akal.

"Kalau dilihat, banyak lagi kes-kes lain seperti khalwat dan juga mat-mat rempit yang sepatutnya dikenakan hukuman berat," tegasnya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_berita/20090723124827&sec=mstar_berita

Syarikat terbesar di dunia: Petronas makin kukuh, tangga ke-80

Khamis Julai 23, 2009

PETALING JAYA: Gergasi petroleum nasional, Petronas memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara 100 syarikat terbesar di dunia dengan pendapatan AS$74,965 juta.

Dalam senarai terbaru Global 500 terbitan majalah Fortune, Petronas menduduki tempat yang ke-80.

Pada tahun lalu ia menduduki tempat yang ke-95.

Kedudukan itu disenaraikan dalam majalah tersebut keluaran bertarikh 20 Julai.

Ia adalah satu-satunya syarikat dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara diletakkan dalam ranking 100 pertama syarikat terbesar senarai Global 500.

Malah Petronas juga tersenarai antara 40 syarikat paling tinggi catat keuntungan.

Daripada 40 syarikat disenaraikan, Petronas menduduki tangga ke-13 dengan keuntungan tahun 2008 cecah AS$15,308.9 juta tahun lalu.

Petronas memulakan operasinya pada 1974 dengan hanya 18 pekerja. Ia kini mempunyai lebih 30,000 pekerja.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/23/mstar_berita/20090723121634&sec=mstar_berita

Kematian pertama berkaitan H1N1

Kematian pertama berkaitan H1N1
Jul 23, 09 2:21pm
Seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1) di Malaysia walaupun punca kematiannya bukan disebabkan oleh virus itu sendiri.

Pelajar itu yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mati akibat serangan jantung, kata menteri kesihatan hari ini.

Dalam kenyataan rasminya mengenai wabak tersebut, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata si mati telah pulang bercuti ke republik itu dan kembali ke negara ini pada 5 Julai lalu dan dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak kembali bercuti tetapi simptom itu ringan.

Pada 20 Julai, pelajar itu mula demam panas, batuk serta letih, dan keesokannya mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Selepas menjalani pemeriksaan dan semasa menunggu mengambil ubat, kes tiba-tiba jatuh pengsan. Kes telah diberi bantuan kecemasan di pusat perubatan berkenaan, tetapi tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 11.50 pagi," katanya.

Liow berkata, pusat perubatan berkenaan merekodkan penyebab kematian sebagai "cardiac arrest due to ventricular fibrillation."

Bedah disiasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama mendapati si mati mempunyai badan yang gemuk, terdapat tanda-tanda radang paru-paru dan kelainan pada tisu jantung serta cairan seperti nanah pada bahagian bawah salur pernafasan.

"Ujian virologi dan bakteriologi mendapati spesimen daripada tisu paru-paru dan salurannya (si mari) adalah positif untuk virus influenza A (H1N1)," kata Liow.

"Oleh sebab keputusan-keputusan ujian bedah siasat belum diketahui sepenuhnya, penyebab kematian untuk kes ini belum dapat dimuktamadkan.

"Faktor kegemukan, tempoh sakit yang berlanjutan perlu diambil kira dalam perkara ini."

http://www1.malaysiakini.com/news/109107

H1N1: Empat kolej ditutup di Melaka

Jul 23, 09 3:59pm
Empat lagi institusi pengajian, semuanya di Melaka, ditutup serta-merta selama seminggu mulai hari ini susulan penularan tempatan yang kian serius wabak jangkitan influenza A(H1N1).

Sebanyak 13 kes direkodkan dari empat gugusan penularan wabak itu, menjadikan 18 kes terbaru hari ini, termasuk satu kes import.

Jumlah terkumpul kes wabak tersebut sehingga kini 939 kes, termasuk 366 kes jangkitan tempatan.

"Hanya 11 kes atau 1 peratus sahaja sedang menerima rawatan anti-virus di hospital. Baki 922 kes atau 98 peratus telah sembuh dan lima kes atau 1 peratus menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut kenyataannya di laman web rasmi wabak itu, empat gugusan kejadian wabak seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka. Maktab ini mempunyai seramai 1,878 pelatih dan sejumlah 130 kes bergejala penyakit seakan-akan selesema (ILI) dikesan sejak 20 Julai lalu.

Empat kes di kalangan 1,258 pelajar Kolej Yayasan Mara, Melaka. Seramai 33 pelajar telah dilaporkan menghidap jangkitan ILI dan dari pada lima sampel rawak yang diambil, empat disahkan positif dijangkiti influenza A(H1N1).

Susulan itu, 32 pelajar kes ILI telah dikuarantin di bilik pengasingan di asrama kolej tersebut sejak 21 Julai lalu, sementara seorang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan sedang menerima rawatan antivirus.

Tiga kes di kalangan pelajar penghuni asrama Kolej Profesional Mara, Melaka. Asrama ini mempunyai 161 orang penghuni, iaitu 153 pelajar dan lapan kakitangan dilaporkan mempunyai 41 kes ILI.

Tiga sampel rawak yang diambil mendapati semuanya positif jangkitan influenza A (H1N1).

Pelajar yang terlibat dikuarantin di salah sebuah blok penginapan mulai 21 Julai. Tiada kes baru dikesan di kalangan pelajar lain.

Satu kes di Sekolah Latihan Jururawat Nilam di Bachang yang mempunyai 326 pelatih jururawat dan 20 kakitangan.

Seramai 27 orang menunjukkan gejala ILI dan daripada 2 sampel yang diambil, satu disahkan positif dengan jangkitan influenza A (H1N1). Kes-kes berkenaan diasingkan di asrama kolej.

"Kesemua 4 fasiliti (kemudahan) yang dimaksudkan telah diarahkan ditutup serta-merta mulai 23 Julai selama tujuh hari untuk membendung penularan di institusi berkenaan," kata Liow lagi.

http://www1.malaysiakini.com/news/109129

Kami tak hutang Roslin

KUALA LUMPUR: Tidak mahu memanjangkan isu yang sudah selesai, itu jawapan ringkas diberikan anggota keluarga bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim, 34, berhubung rancangan pemain berkenaan mengemukakan saman serta tuntutan ganti rugi.

Roslin dalam kenyataannya semalam berkata, dia berhasrat mengemukakan saman kira-kira RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad, 32, dengan alasan untuk mendapatkan haknya kembali.

Bagaimanapun, kenyataan terbabit disangkal ahli keluarga Faizah yang menganggap kes perceraian terbabit sudah diputuskan di mahkamah dan tiada apa yang perlu dipanjangkan lagi.

Abang Faizah, Zulkifli Mohamad, 35, berkata kenyataan Roslin itu membuatkan mereka sekeluarga sekali lagi terkejut dan tidak menyangka pemain badminton itu masih mempunyai ‘urusan’ belum selesai dengan mereka.

Menurutnya, dia dan keluarga yang baru saja menarik nafas lega selepas konflik perceraian itu berakhir di Mahkamah Syariah, Mei lalu, tidak menyangka kini terpaksa berhadapan pula dengan saman.

“Apa sekalipun yang ingin dilakukannya (Roslin) adalah kehendaknya, tapi kami sekeluarga tidak berhutang apa-apa dengannya. Wang hantaran perkahwinan yang diberikan sebelum ini tidak pun sampai jumlah saman yang dituntut.

“Malah, tiada harta atau apa-apa barang berharga milik bersama Roslin dan Faizah yang masih disimpan adik saya. Semuanya hanya tinggal kenangan dan kami cuma mahu melupakan apa yang pernah berlaku,”
katanya.


Zulkifli berkata, perceraian yang dialami adiknya itu meninggalkan kesan mendalam sehingga menyebabkan Faizah malu untuk bersemuka masyarakat.

“Dia lebih senang duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya kesal.


Ditanya sama ada Faizah merancang mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat, Zulkifli memberitahu semua itu belum terfikir oleh adiknya berikutan dia perlu menenangkan perasaannya yang runsing.

Akbar ini semalam melaporkan, Roslin merancang mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya selama 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Saman berkenaan akan difailkan sejurus dia memperoleh surat pembatalan pernikahan yang kini belum dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Tinggi selepas tulang dilurus



GAMBAR X-ray menunjukkan tulang McFadden (bawah) sebelum dan selepas dilurus.





LONDON - Seorang jururawat pelatih, Koryn McFadden tidak menyangka ketinggiannya bertambah lebih dua sentimeter setelah menjalani pembedahan untuk meluruskan tulang belakangnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Selama beberapa tahun tulang belakang McFadden, 18, bengkok sebanyak 58.6 darjah ke bahagian kiri selepas dia menghidap penyakit tulang belakang yang dikenali sebagai scoliosis.

Sebatang logam titanium sepanjang 40 sentimeter bersama 10 pin logam dilekatkan bagi meluruskan tulang belakang remaja itu dalam satu pembedahan di sini pada 17 Jun lepas.

"Saya gembira kerana menjadi lebih tinggi manakala kawan-kawan saya sukakan bentuk badan saya yang lurus," kata McFadden

Sebelum ini, saya takut menjalani pembedahan itu tetapi kini semuanya berbaloi," tambahnya.

Remaja itu menghidap scoliosis pada 2006 selepas tulang belakangnya cedera dalam satu kemalangan kereta. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Hilang ingatan selepas dihempap kura-kura


CHENG CHENG hilang ingatan selepas dihempap seekor kura-kura.


CHONGQING - Seorang budak perempuan di China iaitu Cheng Cheng hilang ingatan dan terpaksa dibawa ke sebuah hospital setelah dia dihempap seekor kura-kura yang sedang bunting, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut ibu saudaranya iaitu Ling Lang, ketika berjalan, dia mendengar Cheng Cheng menjerit dan apabila menoleh ke belakang budak perempuan itu terbaring dan kepalanya dilumuri darah.

"Terdapat seekor kura-kura dekat tubuhnya," katanya.

Dr. Zhuo Xuan yang merawatnya berkata: "Dia tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku kepadanya.

"Kami percaya, dia menghidap amnesia bagi tempoh jangak pendek."

Menurut seorang anggota polis, kura-kura itu dicampak dari sebuah flat.

"Kami sudah menyoal siasat penghuni flat yang menafikan melakukan perbuatan itu,"katanya.

Bagaimanapun, kura-kura itu mati selepas dibuang dari ketinggian tinggi dan bangkainya dibekukan bagi tujuan pemeriksaan forensik. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Zirafah makan di meja makan


GAMBAR menunjukkan seekor zirafah menjulurkan tengkuknya ke dalam rumah milik Carr-Hartley.


NAIROBI - Sebuah keluarga di sini, berkongsi makan dengan sembilan ekor zirafah Rothschild, lapor sebuah akhbar semalam.

Setiap hari pada pukul 9 pagi, haiwan itu akan berjalan ke rumah tersebut dan menjenguk mukanya ke dalam kediaman keluarga berkenaan untuk makan.

Rumah itu dimiliki oleh pasangan Mikey Carr-Hartley dan Tanya. Kediaman mereka itu turut menjadi daya tarikan kepada tetamu asing yang mahu menginap serta melihat haiwan tersebut.

Pasangan itu tidak asing dengan haiwan liar kerana mereka sudah menginap di rumah berkenaan sejak di zaman kanak-kanak lagi.

"Keluarga Mikey sudah terlibat dengan kerja-kerja pemuliharaan haiwan sejak beberapa generasi lalu," kata Carr-Hartley. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Jacko ada anak berusia 25 tahun?


GAMBAR menunjukkan Bhatti bersama Jacko di Tunisia pada 1996.


LOS ANGELES - Seorang lelaki Omer Bhatti akan menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dakwaannya bahawa dia ialah anak kandung Michael Jackson, lapor sebuah akhbar semalam.

Bhatti, seorang warganegara Norway, dipercayai anak pertama Michael selepas ibunya Pia didakwa bermalam dengan Raja Pop itu pada 1984.

Spekulasi Bhatti, 25, merupakan anak keempat penyanyi bergelar Jacko itu tersebar luas selepas dia dilihat duduk di barisan hadapan bersama-sama tiga anaknya pada majlis memperingati penyanyi itu di sini dua minggu lalu.


BHATTI (dalam bulatan) duduk paling kiri bersama anggota keluarga Jacko pada majlis memperingati penyanyi itu Pusat Staples, Los Angeles pada 7 Julai lalu.


Bhatti yang bekerja sebagai penari tinggal beberapa tahun di kediamannya di Neverland Ranch dekat sini bersama-sama tiga anak Jacko.

Pia turut mengapi-apikan spekulasi itu berhubung kenyataannya kepada media di Oslo pada Selasa lepas.

"Jacko diiktiraf sebagai Raja Pop. Namun, bagi kami (dia dan anak lelakinya) Michael lebih daripada itu," katanya.

Bhatti yang memiliki wajah menyerupai anak bongsu Jacko, Prince Michael II tinggal di Neverland Ranch selepas penyanyi itu membawa dia dan ibunya berpindah dari Oslo pada 1997. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Majikan rugi RM150j setahun

KUALA LUMPUR - Majikan di negara ini mendakwa akan mengalami kerugian kira-kira RM150 juta setahun apabila 15,000 pekerja asing yang berkemahiran dihantar pulang ke negara asal mulai hujung tahun ini.

Angka itu didedahkan oleh K.S. Chong yang mewakili seramai 85 majikan tempatan di negara ini. Katanya kerugian itu akan berlaku sekiranya peraturan yang menetapkan pekerja asing dihantar pulang ke negara mereka selepas berkhidmat selama 10 tahun dilaksanakan.

"Kos yang ditanggung majikan bagi seorang pekerja asing termasuk kos melatih mereka kira-kira RM10,000 setahun. Ini bermakna dalam 10 tahun, setiap majikan rugi kira-kira RM100,000 bagi setiap pekerja asing yang terpaksa dihantar pulang," katanya pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri 85 wakil majikan tempatan di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

15,000 cuti seminggu - Dua lagi kampus UiTM ditutup kerana wabak selesema babi


PELAJAR UiTM Permatang Pauh terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing semalam selepas kampus mereka ditutup seminggu ekoran wabak selesema babi.


KUALA LUMPUR - Dua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing di Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Seri Iskandar, Perak diarah tutup seminggu berikutan penularan wabak selesema babi (H1N1).

Kampus UiTM Permatang Pauh yang mempunyai 5,000 pelajar ditutup mulai semalam ekoran 10 kes H1N1 membabitkan kumpulan pelajar yang telah dikuarantin sejak lima hari lalu.

Bagi kampus Seri Manjung, sebahagian besar daripada 10,000 pelajarnya mula balik ke kampung masing-masing semalam selepas Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan ia dikosongkan selama seminggu mulai hari ini.

Sebelum ini kampus UiTM Lendu, Melaka diarah tutup selama sembilan hari mulai 8 Julai lalu selepas 13 pelajarnya dijangkiti H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua 10 mangsa H1N1 dari kampus UiTM Permatang Pauh kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Beliau berkata, mereka telah dikuarantin bersama 300 pelajar lain yang mengadu demam, selesema dan batuk sebelum diambil sampel darah masing-masing untuk diuji.

"Buat masa ini seramai 280 lagi pelajar diarah menjalani kuarantin di asrama atau rumah," kata Boon Koh pada sidang akhbar di sini semalam.

Di Seri Iskandar pula, Exco Kesihatan Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan menutup kampus UiTM itu diambil selepas 280 pelajar disahkan menghidap penyakit seperti influenza (ILI).

"Kita sudah menghantar sampel darah masing-masing dan keputusan sama ada mereka dijangkiti H1N1 atau tidak akan diketahui dalam tempoh 24 jam," jelasnya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, sebanyak 44 kes baru H1N1 dikesan semalam dengan tiga kes import dari Brunei manakala 41 kes jangkitan tempatan.

Menurutnya, ia menjadikan keseluruhan 921 kes wabak itu diMalaysia dengan 572 (62 peratus) adalah kes import manakala 349 (38 peratus) kes jangkitan tempatan.

"Seorang mangsa masih dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Sungai Buloh dengan keadaannya beransur pulih," ujarnya.

Wabak H1N1 di peringkat global sudah menjangkiti 143,726 mangsa di 153 negara dengan 812 kematian.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Bapa Kartika reda dengan hukuman Mahkamah Syariah


KARTIKA SARI DEWI mengesat air mata pada sidang akhbar di Ipoh semalam yang turut dihadiri oleh anaknya dan bapanya, Shukarnor.


IPOH - Biasanya seseorang pesalah itu sedaya upaya mahu menangguhkan atau mengelak daripada menerima hukuman, tetapi lain pula halnya dengan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Wanita berusia 32 tahun yang dijatuhi hukuman enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang Isnin lalu atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating meminta ia dilaksanakan secepat mungkin.

"Hukuman dunia saya akan terima, hukuman di akhirat biar Allah tentukan.

"Ia bukan sahaja memalukan saya tetapi menghina seluruh keluarga.

"Saya harap hukuman dapat dijalankan secepat mungkin agar memberi pengajaran kepada orang lain,'' katanya dengan linangan air mata pada sidang akhbar di Yayasan Perak di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, 60, dan anak bongsunya yang berusia lima tahun.




Biarpun ada pihak mempertikaikan hukuman tersebut, Kartika pula pasrah dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah.

"Tiada siapa paksa (meminum arak), saya rela dengan hukuman sebat yang dijatuhkan,'' katanya.

Anak kelahiran Sungai Siput yang menetap selama 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan rakyat republik itu didapati bersalah meminum arak kira-kira dua tahun lalu di sebuah pusat peranginan di Pahang.

Kartika yang juga ibu kepada dua orang anak telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus itu mengikut Seksyen Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Kartika juga sempat berpesan kepada umat Islam khususnya generasi muda supaya jangan mencontohi kesilapannya dengan melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan aib kepada diri sendiri serta ahli keluarga.

Shukarnor pula menyifatkan hukuman ke atas anaknya itu wajar dan tepat mengikut undang-undang Islam.

Beliau juga mengakui itu adalah kecuaian anaknya sendiri yang sebelum ini telah diberi pendidikan agama termasuk pengajian sekolah pondok.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...