Tuesday, September 21, 2010

Kuasa Majlis Peguam Terhad – Ragunath

Published: Selasa September 21, 2010 MYT 5:59:00 PM

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mendakwa badan itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat kehidupan peribadi termasuk memantau kekayaan mahupun aset yang dimiliki oleh mana-mana ahlinya.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, sebagai sebuah badan berkanun majlis itu hanya boleh bertindak terhadap perkara-perkara yang melibatkan profesyen guaman sahaja.

“Kuasa kami amat-amat terhad kerana kami hanya boleh memantau hal-hal yang berkaitan dengan amalan guaman ahli-ahli yang berdaftar di Semenanjung Malaysia.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk memantau hal-hal peribadi seperti akaun bank persendirian atau tindakan-tindakan mereka yang di luar profesyen guaman mereka,”
katanya kepada pemberita di pejabat Majlis Peguam di sini pada Selasa.

Ragunath berkata, badan itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat salah laku jenyah yang dilakukan oleh mana-mana peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam membantu membanteras mengenai isu penyelewengan wang yang berlaku dikalangan peguam di negara ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa mana-mana ahli yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah maka nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai daftar peguam cara dan peguam bela yang berdaftar dengan kami,” katanya.

Mengenai isu pemilikan aset kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh suspek adik-beradik yang juga merupakan peguam, beliau berkata, badan itu turut tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat mengenai perkara berkenaan.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk memantau hal-hal peribadi seorang peguam sebaliknya badan-badan penguatkuasaan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh mengambil tindakan dan menjalankan ke atas perkara tersebut.

“Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa dalam memberikan maklumat mengenai peguam yang terlibat dengan kes-kes penyelewengan mahupun jenayah yang lain,”
ujarnya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan, Ragunath berkata, kira-kira 30 orang peguam telah dilucutkan daripada menjadi peguam cara dan peguam bela oleh Mahkamah Tinggi turut dipecat lembaga disiplin badan berkenaan kerana terlibat dengan kes penyelewengan.

“Kami memandang serius isu salah laku ahli-ahli dan kami sedia membantu pihak berkuasa dalam membanteras masalah ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Ragunath berkata, kedua-dua suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain telah pun dilucutkan keahliaan dan nama mereka telah dikeluarkan daripada senarai daftar peguam cara dan peguam bela yang berdaftar dengan Majlis Peguam sejak 5 November 2009.

“Bagaiamanapun, mereka masih lagi boleh melaksanakan profesyen guaman mereka kerana Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menangguhkan keputusan penggantungan keahliaan mereka yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Majlis Peguam selepas mereka membuat rayuan.

“Orang ramai boleh membuat semakan di laman web kami terhadap mana-mana peguam yang telah dilucutkan daripada senarai peguam cara dan peguam bela kerana salah laku jenayah,”
katanya.

Selain itu, Majlis Peguam turut merayu kepada pihak media dan orang ramai tidak membuat spekulasi dan andaian berbuhung kes pembunuhan tersebut.

“Pada hemat kami akan menjejaskan kes perbicaraan ini di mahkamah. Mana-mana orang kena tuduh (OKT) berhak mendapatkan pembelaan di bawah undang-undang jenayah berlandaskan konsep seseorang itu tidak akan bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Kami tidak akan membela mana-mana ahli kami yang terlibat dengan apa-apa salah laku jenayah. Kami juga mengalu-alukan tindakan tegas pihak polis terhadap mana-mana ahli kami yang terlibat dalam salah laku jenayah dan penyelewengan,” katanya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek telah mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

Dua daripada suspek utama kes pembuhuan tersebut merupakan peguam adik beradik yang mana salah seorang daripada mereka mendakwa dirinya bergelar Datuk.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/21/mstar_berita/20100921175623&sec=mstar_berita

Kertas Siasatan Kes Sosilawati Diserah Kepada Peguam Negara

Selasa September 21, 2010

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya memang rasakan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) sudah lakukan dengan cukup baik. Kerana dalam masa singkat bukan sahaja dapat kenalpasti tetapi juga menahan suspek.

"Saya juga dimaklumkan oleh Datuk Seri Bakri Zinin (Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman) bahawa kertas siasatan sudah diserah kepada Peguam Negara hari ini,"
katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Media dan Faecebook PDRM di Bukit Aman di sini.

Hishammuddin berkata polis kini menunggu laporan DNA yang ada ketikanya mengambil masa sedikit untuk disiapkan.

Bagaimanapun, tarikh dan tempoh untuk laporan lengkap itu telah ditetapkan iaitu dalam tempoh dua minggu lagi sebelum hasil siasatan lengkap kes itu diserah kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan, katanya.

Terdahulu di PUTRAJAYA, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menemui Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dipercayai bagi menyerahkan kertas siasatan itu.

Ku dilihat memasuki pejabat Abdul Ghani pukul 11.45 pagi ini sebelum keluar kira-kira empat jam kemudian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditemui pemberita.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Lapan lelaki termasuk dua peguam adik beradik kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

Abdul Ghani yang dihubungi enggan mengulas mengenai pertemuannya dengan polis, tetapi menyatakan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditanya mengenai laporan media berhubung kes pembunuhan itu, berkata pihak media tidak boleh disalahkan sepenuhnya walaupun terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki.

"Laporan media yang keterlaluan juga boleh mengganggu siasatan... apa kata jika disebabkan itu kita tidak boleh mengesan suspek lain atau suspek mungkin melarikan diri atau mereka tidak bersalah," katanya.

Ditanya mengenai pelbagai komen dan pendapat yang diberi melalui laman web sosial Facebook untuk membantu siasatan, Hishammuddin berkata semua pandangan diambil kira selagi ia tidak mengganggu siasatan.

Beliau yang berpuashati dengan siasatan polis berhubung kes itu berharap kes pembunuhan itu akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Terdahulu pada majlis itu Hishammuddin berkata penggunaan laman web sosial PDRM, www.facebook.com/pages/Polis-Diraja-Malaysia berfungsi sebagai saluran baru untuk masyarakat membuat aduan.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk mempelbagaikan kaedah dalam menyalurkan maklumat tepat bagi mengelak berlaku salah faham berhubung sesuatu kes di kalangan masyarakat.

"Ia penting untuk salurkan maklumat yang paling tepat sekali. Dengan ancaman baru (pemerdagangan manusia, keganasan, penyeludupan dadah dan jenayah siber) kaedah baru diwujudkan dengan menggunakan pendekatan di luar kotak," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya Datuk Hussin Ismail. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/21/mstar_berita/20100921184809&sec=mstar_berita

Penyelam Polis Temui Objek Seperti Gelang Emas Di Kunci Air

Selasa September 21, 2010

BANTING: Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin hari ini menemui satu objek seakan-akan gelang emas dalam operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang di sini, Selasa.

Empat anggota penyelam memulakan operasi pada 3.20 petang di kawasan kunci air itu yang terletak berhampiran pasar awam pekan tersebut dan operasi ditamatkan pada 5.05 petang tadi.

Turut berada di kawasan operasi menyelam itu ialah suspek utama kes pembunuhan empat individu itu yang mencuri perhatian umum semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Suspek, yang merupakan seorang peguam berumur 41 tahun, turut disiasat berhubung kes seorang lelaki ahli perniagaan warga India yang dikatakan hilang di Banting sejak awal tahun ini.

Kawasan operasi menyelam itu menjadi tumpuan orang ramai petang tadi dan mereka sanggup menunggu walaupun hujan turun pada masa itu bagi melihat sendiri bagaimana pasukan polis menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, pada 3.00 petang tadi kira-kira 15 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterina Negeri Selangor tiba di ladang ternakan milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Mereka tiba dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori satu tan di ladang itu yang dipercayai lokasi di mana Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh dan dibakar.

Kakitangan jabatan itu menghabiskan masa hampir satu jam 45 minit untuk menangkap empat ekor lembu dan lapan ekor kambing termasuk biri-biri yang berada di dalam ladang itu dan memuatkan haiwan tersebut ke dalam lori sebelum beredar daripada lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, mereka enggan mengulas lanjut mengenai operasi tersebut ketika diminta oleh pihak media.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk peguam terbabit bagi membantu siasatan kes itu. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/21/mstar_berita/20100921205108&sec=mstar_berita

Remaja Perempuan Hilang Di Kampar Ditemui Di Pulau Pinang

Selasa September 21, 2010

GEORGE TOWN: Remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, bersama teman sebaya, Suhaili Abd Razak yang dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lepas, ditemui di Pulau Pinang hari ini.

Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru, Kampar itu ditemui di sebuah flat di Paya Terubong di sini pada pukul 8 pagi.

Ketua Balai Polis Air Itam, Cif Inspektor Mohd Fadzil Napiah berkata, ketiga-tiga remaja perempuan itu ditemui bersama dua rakan lelaki mereka iaitu Mohammad Akmal Hakim Ismail, 19, dan Shahrizan Zakaria, 20.

Sebelum ini, pasangan kembar dan rakan mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pakaian di pekan Kampar pada hari raya kedua.

Polis akan memberi butiran lanjut mengenai penemuan remaja itu dalam satu sidang akhbar tidak lama lagi. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/21/mstar_jenayah/20100921150044&sec=mstar_jenayah

Wan Chik Elak Sengketa Tidak Ziarah Kematian M.Rajoli

Selasa September 21, 2010

Oleh KEMALIA OTHMAN




PETALING JAYA: Isteri kedua kepada pelakon M.Rajoli iaitu Wan Chik Daud (gambar) tidak hadir pada majlis pengkebumian suaminya pada Sabtu lalu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi sengketa diantara beliau dengan keluarga isteri pertama Allahyarham.

Wan Chik yang juga bekas juruhebah radio RTM itu berkata, dia juga kesal apabila tidak diberitahu mengenai kematian Allahyarham lebih awal termasuklah ketika arwah berada dalam keadaan nazak.

“Saya hanya mengetahui Allahyarham meninggal dunia selepas seorang rakan artis menghubungi saya. Malah seorang anak Allahyarham hanya memaklumkan kepada saya ketika jenazah sudah siap untuk dikebumikan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Pelakon M.Rajoli atau nama sebenarnya Mohd Rajoli Mohamed Zin, 65, meninggal dunia di Hospital Ampang pada 17 September lalu kira-kira pukul 10.45 malam akibat sesak nafas setelah menderita penyakit barah otak sejak tiga tahun lalu.

Akibat penyakit itu Allahyarham menjadi lumpuh satu badan sehingga terpaksa menggunakan sistem bantuan pernafasan.Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur keesokkan harinya tanpa kehadiran isteri kedua, Wan Chik.

Menurut Wan Cik, dia sudah lama berkecil hari dengan ahli keluarga isteri pertama Allahyarham sehingga dia merasa kehadirannya untuk majis pengkebumian itu tidak diperlukan selain tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

"Bukan saya tidak mahu pergi. Sebagai isteri saya amat merindui suami setelah setahun setengah tidak berjumpa, cuma saya tidak mahu mengeruhkan 'sengketa' dengan keluarga isteri pertama," jelasnya yang memberitahu sering termimpi Allahyarham sebelum kematiannya.

Jelasnya lagi, tiada gunanya dia pergi menjenguk jenazah suami yang sudah terbujur kaku sedangkan semasa hayat dia tidak dapat bertemu dengan Allahyarham.

"Kehadiran saya di majlis pengkebumian tidak dirasai oleh arwah. Bagi saya, tiada gunanya untuk menunjuk kasih sayang dengan menangis di kubur.

"Biarpun tidak dapat bertemu tapi kami berdua sudah berjanji untuk bertemu semula di akhirat. Saya pasrah dan reda dengan apa yang telah terjadi. Sebagai isteri saya hanya mampu menghadiahkannya bacaan doa dan surah Yasin kepada Allahyarham,"
ujarnya yang menafikan dia berada di Amerika Syarikat ketika majlis pengkebumian seperti dilaporkan media.

Namun begitu, dia akan menziarahi pusara Allahyarham selepas tempoh edah selama empat bulan 10 hari tamat.

"Insya-Allah saya akan datang menziarahi juga kubur arwah selepas tamat edah dan merancang untuk menunaikan umrah sekali lagi," katanya sambil menangis teresak-esak .

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/21/mstar_hiburan/20100920143545&sec=mstar_hiburan

Pin penyambung pelantar jeti patah

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


BEBERAPA pekerja pelabuhan Pulau Pinang menyambung semula pelantar feri yang rosak di terminal Pangkalan Raja Tun Uda semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


GEORGE TOWN - Pengguna perkhidmatan feri di negeri ini terpaksa menunggu lebih dua jam di dalam pengangkutan air tersebut ekoran sebatang pin penyambung pelantar di laluan masuk jeti Pangkalan Raja Tun Uda di sini patah.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu mengakibatkan 26 kenderaan dan 40 buah motosikal serta hampir 200 penumpang yang menghala ke tanah besar terperangkap di dalam feri terbabit.

Ketua Perkhidmatan Feri di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Fisnol Mahmud berkata, pihaknya menyedari kejadian itu sebaik sahaja semua kenderaan telah memasuki ke dek bawah feri iaitu di ruang kenderaan melalui penyambung laluan (pelantar) tersebut.

"Selepas Pin Bracket patah, kita tidak membenarkan feri tersebut bergerak dari situ kerana jika feri bergerak penyambung laluan akan jatuh dan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk.

"Pegawai bertugas juga segera mendapatkan bantuan daripada pihak penyelenggara dari Butterworth bagi kerja-kerja penyambungan sekali gus membantu mengeluarkan kenderaan yang terkandas tadi,"
katanya kepada pemberita di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Umpan Toyota Altis, beri tilam

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my



KHAIRUDDIN menunjukkan laporan polis mengenai kes penipuan ke atas bapa saudaranya di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR – Bayar RM12,000 untuk dapat sebuah kereta Toyota Altis baru tetapi yang dapat cuma tilam kesihatan.

Itulah pengalaman seorang pesara kerajaan berusia 69 tahun yang menjadi mangsa penipuan aktiviti gores dan menang yang masih berleluasa ketika ini.

Anak saudara mangsa, Khairuddin Karim, 50, berkata, kejadian berlaku pada 21 Ogos lalu apabila mangsa dan isterinya telah dihampiri seorang lelaki sebaik sahaja mereka keluar dari sebuah pasar raya di Selayang.

“Lelaki berkenaan meminta bapa dan ibu saudara saya menggores sekeping kad. Ibu saudara saya tidak memenangi apa-apa tetapi bapa saudara saya telah memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Toyota Altis berharga kira-kira RM118,000 dan dijemput datang ke pejabat untuk mengambil hadiah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Khairuddin, setiba di pejabat berkenaan, mangsa diminta membayar RM12,000 sebagai kos untuk insurans, cukai jalan dan kos penyimpanan kereta baru tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Permohonan MAWIP didengar 25 Nov.


VICTORIA JAYASEELE MARTIN memohon supaya diterima menjadi peguam syarie baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAWIP) untuk membatalkan permohonan seorang peguam wanita bukan Muslim untuk menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan pada 25 November depan.

Pada 19 Mei, Victoria Jayaseele Martin memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar satu keputusan bahawa hanya peguam Muslim dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh menetapkan tarikh itu dalam kamar setelah menemui peguam Martin, Ranjit Singh dan Sulaiman Abdullah bagi MAWIP.

Ranjit Singh memberitahu media bahawa MAWIP telah memfailkan permohonan itu untuk membatalkan semakan kehakiman tersebut atas alasan mahkamah sivil tidak ada bidang kuasa mendengar perkara berkenaan.

Dalam permohonan Victoria, beliau juga meminta satu perintah sertiorari untuk membatalkan keputusan tersebut oleh MAWIP melalui Jawatankuasa Peguam Syarie kerana penolakan permohonannya untuk diterima sebagai seorang peguam syarie.

Beliau menamakan MAWIP sebagai responden.

Victoria, 48, antara lain mahu satu perintah mandamus untuk memaksa MAWIP menerimanya sebagai peguam syarie.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Dua kawasan rekreasi ditutup

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my



Hutan Lipur Sungai Rambai di Bukit Perak ini didapati turut dicemari bakteria kencing tikus.

--------------------------------------------------------------------------------


ALOR SETAR - Dua kawasan rekreasi di Pendang diarah tutup sementara selepas pihak berkuasa mengesan kehadiran bakteria kencing tikus atau leptospirosis baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Marzukhi Md. Isa berkata, kawasan peranginan Bukit Perak yang menempatkan
Hutan Rekreasi Sungai Rambai ditutup sepenuhnya.

Katanya, bagi lokasi kedua iaitu Pendang Lake Resort, pihaknya hanya menghentikan sementara semua aktiviti rekreasi air.

Katanya, ujian ke atas sampel air di kedua-dua lokasi menunjukkan ia sudah dicemari bakteria maut itu.

"Kedua-dua kawasan ini ditutup sementara waktu dan pemantauan akan dibuat sehingga ia bebas daripada bakteria itu.

"Orang ramai yang pernah mengunjungi kawasan berkenaan dan terdapat simptom-simptom penyakit kencing tikus perlu segera mendapatkan rawatan,"
katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun mengesahkan setakat ini belum ada mangsa dilaporkan terkena jangkitan di dua kawasan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kertas siasatan siap

2010/09/21

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, kertas siasatan itu kini di peringkat akhir dan akan dihantar ke pejabat peguam negara selewat-lewatnya minggu depan.

“Kita di peringkat akhir menyiapkan kertas siasatan termasuk laporan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mengetahui identiti mangsa.


“Keputusan DNA juga akan diketahui keputusannya selewat-lewatnya minggu ini,”
katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka JSJ Bukit Aman di sini, malam tadi.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kematian rakan mangsa di Pulau Pinang Sabtu lalu, tiada kaitan dengan kes kematian Sosilawati.


Bakri berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.


Menurut beliau, sehingga hari ini, hanya lapan suspek direman pihaknya berkaitan kes pembunuhan ini, manakala dua individu lagi berkaitan kes ugut isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang awal tahun lalu dipercayai ada kaitan dengan suspek pembunuhan Sosilawati.


Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang hadir pada majlis berkenaan mengucapkan ribuan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kertassiasatansiap/Article

Wanita disyaki mangsa perkosa ditemui dibunuh

2010/09/21

HULU SELANGOR: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan semak berhampiran Jalan Kasturi, Bukit Sentosa, di sini, Jumaat lalu.

Mayat terbabit ditemui seorang pengumpul besi buruk yang sedang mengutip barangan lusuh di kawasan timbunan sampah berhampiran lokasi mayat itu dibuang kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat mangsa yang sudah mula reput ditemui dalam keadaan tertiarap ditutupi dengan kepingan papan dan kotak di kawasan pembuangan sampah di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tagar, Jalan Kasturi, di sini, Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh kerana mendapati seluar jean berwarna biru yang dipakai mangsa dalam keadaan terlucut hingga ke bahagian bawah paha.


“Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati akibat dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepalanya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.


“Tiada kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa namun, kepala dan muka mangsa didapati sudah berulat. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa dipercayai sudah mati dalam tempoh kira-kira tiga hari,”
katanya. Menurutnya, polis gagal mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.


“Ketika ditemui, wanita terbabit hanya memakai kemeja-T berbelang putih dan kuning. Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dan 30-an.


“Mangsa berambut panjang dan berkulit cerah namun polis belum dapat mengenal pasti identiti termasuk bangsanya kerana tidak menemui dokumen pengenalan diri bersama mayatnya,”
katanya.


Menurut Norel Azmi, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui dua kayu beluti yang mempunyai kesan darah dan rambut mangsa dipercayai digunakan sebagai senjata oleh suspek untuk membunuhnya.


Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.


“Kami masih menunggu hasil laporan bedah siasatan daripada hospital untuk mengenal pasti sama ada benar mangsa dirogol dan punca kematiannya. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian pembunuhan itu atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi kita atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan membuat pengecaman,” katanya.


Difahamkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Polis juga turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis dalam menyelesaikan kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitadisyakimangsaperkosaditemuidibunuh/Article

Keluarga suspek mahu bela bayi dibuang anak mereka

2010/09/21

JITRA: Bayi perempuan yang ‘ditemui’ ibunya sendiri selepas dibuang di belakang sebuah rumah, dekat sini, Sabtu lalu, akan dipelihara sepenuhnya keluarga ibu bayi malang berkenaan.

Hasrat itu dimaklumkan ibu bapa kepada remaja berusia 20-an itu kepada pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam yang mahu menjaga sendiri bayi yang dilahirkan anak mereka di Taman Rasa Sayang, di sini.

Pegawai JKM Jitra, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya akan memantau perkembangan ibu serta bayi berkenaan hingga mereka keluar dari hospital dan akan terus memberi sokongan kepada mereka.


Semalam, akhbar ini melaporkan seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor ditahan polis selepas disyaki membuang bayinya yang cukup sifat dan masih hidup.


Helah remaja wanita berkenaan yang berpura-pura konon menemui seorang bayi perempuan di belakang rumahnya selepas mandi tidak menjadi berikutan keadaan dirinya yang tidak bermaya dan lesu ketika diambil keterangan oleh polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargasuspekmahubelabayidibuanganakmereka/Article

Bayi dikandung remaja mati ditendang

2010/09/21

KUALA LUMPUR: Satu keluarga terkejut apabila mendapati anak remaja perempuan yang tiba-tiba pengsan selepas terjatuh di dalam bilik mandi di rumahnya di Batang Kali, di sini awal pagi semalam, rupanya hamil tujuh bulan.

Lebih memeranjatkan apabila bayi di dalam kandungan remaja terbabit didapati tidak lagi bernyawa dipercayai selepas perut remaja perempuan itu ditendang seseorang yang dikenali mangsa.

Penemuan mengejutkan itu menyebabkan doktor terpaksa menjalankan pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan mayat bayi yang dibimbangi boleh meragut nyawa mangsa.


Sumber polis berkata, mangsa sebelum itu ditemui terbaring kira-kira jam 4 pagi oleh ahli keluarganya.


Menurutnya, mangsa yang sudah tidak lagi bersekolah kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan apabila disangka mangsa pengsan akibat jatuh sakit.


“Semasa tiba di hospital, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan doktor kemudian mendapati dia hamil tujuh bulan, tetapi bayi dalam kandungannya sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini.


Katanya, pihak hospital turut mendapati ada kesan lebam seperti dipijak pada perut mangsa. Demi menyelamatkan nyawa remaja terbabit, doktor terpaksa menjalankan pendedahan untuk mengeluarkan bayinya yang sudah mati itu.


Beliau berkata, mengesyaki kecederaan dialami mangsa mempunyai unsur jenayah, pihak hospital kemudian membuat laporan polis.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab mencederakan mangsa. Kita turut merujuk kes itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana ia turut mempunyai kaitan dengan agama,” katanya.


Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pemuda berusia 19 tahun diberkas polis selepas didapati memperkosa teman wanitanya berusia 14 tahun yang sengaja dibawa pulang ke rumah sewa ketika rakan-rakan serumahnya pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri minggu lalu.


Dalam kejadian Khamis lalu, suspek mengambil kesempatan untuk memperkosa mangsa yang masih bersekolah terbabit di rumah sewanya di Kelana Jaya, di sini.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, perbuatan sumbang mereka bagaimanapun diketahui oleh keluarga mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayidikandungremajamatiditendang/Article

Tak boleh beri tempoh

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee, Shamsul Munir Safini, Suraya Roslan, Hamizah Badiran dan Abdullah Wahab

2010/09/21

KUALA LUMPUR: Penggunaan analisis Asid Deoksiribonukleik (DNA) dalam mengenal pasti mangsa dalam sesuatu kes jenayah kadangkala menghadapi kesukaran dari segi pengesahan identiti mangsa.

Antara kesukaran dihadapi adalah tempoh masa diperlukan menjalankan profiling DNA ke atas bukti ditemui, termasuk cebisan tulang dan sampel rambut yang ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Jabatan Kimia, N Hithaya Jeevan, berkata ini termasuk pengesahan menggunakan DNA dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga rakannya, baru-baru ini.


“Kita menjangkakan profil DNA (kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya) itu akan disiapkan dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan tempoh tertentu untuk menyerahkan profil DNA terbabit kepada polis.


“Jangka masa profil (DNA) untuk disiapkan bergantung kepada berapa banyak bahan bukti serta penemuan ditemui di lokasi kejadian,”
katanya.


Beliau berkata, jabatan itu sebelum ini pernah mengendalikan kes rumit dan mengambil masa lama memperoleh keputusan profil DNA seperti kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu serta kes bunuh, rogol dan bakar penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong.


“Kedua-dua kes itu juga mempunyai kerumitan untuk mendapatkan keputusan DNA tepat (bagi setiap kes). Kami perlu mengikut protokol antarabangsa digariskan,” katanya.


Menurutnya, dengan enam tenaga pakar forensik terlatih di jabatannya, beliau berharap ia dapat mempercepatkan keputusan profil DNA kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain sekali gus dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu.


“Jika keputusan ini sudah diperoleh, kita akan rujuk kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Polis kemudian mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar manakala abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting dekat sini.


Berikutan itu, Unit Forensik Polis menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut yang dipercayai bahan bukti bagi kes pembunuhan itu dan menghantar sampel terbabit Jabatan Kimia untuk analisis minggu lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takbolehberitempoh/Article

Mayat ditemui tanpa telinga

2010/09/21

HULU SELANGOR: Perbalahan berhubung isu teman wanita dipercayai menjadi punca remaja lelaki dibunuh dalam keadaan kejam apabila kedua-dua telinga, jari telunjuk dan ibu jari tangan mangsa putus akibat ditetak dengan parang.

Mangsa disyaki diserang sekumpulan lelaki dikenali kemudian dicampak ke dalam lombong di padang golf di Serendah, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, bapa tiri mangsa sebelum itu membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah.


Katanya, lelaki terbabit membuat laporan polis kira-kira jam 8.30 malam apabila mendapati anak tirinya tidak pulang dan gagal dihubungi selepas keluar rumah bersendirian. “Berdasarkan laporan dibuat itu, mangsa berusia 18 tahun dikatakan memakai baju-T berkolar hitam tertera perkataan ‘Club Chelsea’ dan seluar jeans berwarna biru.


“Selepas tiga hari dilaporkan hilang, polis dimaklumkan orang awam yang menemui mayat lelaki di dalam lombong,”
katanya, Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa remaja dilaporkan hilang Selasa lalu berikutan pakaian dipakai menyamai gambaran diberikan bapa tirinya.


“Keadaan mayat mangsa mengerikan apabila kedua-dua telinga, jari telunjuk dan ibu jari tangan kirinya putus sama sekali. Mangsa dipercayai diserang dengan senjata tajam sekumpulan penyerang yang berniat membunuhnya.


Selain itu, katanya, siku tangan kiri, mulut dan muka mangsa ditetak, manakala pinggang ditikam dipercayai menggunakan senjata tajam.


Beliau berkata, polis menemui kesan bukti darah, kulit kepala bersama rambut dan subang kira-kira 50 meter dari tempat mayatnya ditemui.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mayatditemuitanpatelinga/Article

Teguk arak sambut raya




Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/09/21


KUALA LUMPUR: Hampir 100 remaja punk dan skinhead menyertai gig atau ‘Pesta Mabuk Raya’ anjuran mereka di Desa Pandan di sini, Sabtu lalu, kononnya bagi melepaskan ketagihan selepas sebulan berpuasa.


BERHIBUR...sebahagian peserta menonton persembahan dalam gig terbabit.

Peserta gig itu yang kebanyakannya remaja Melayu tanpa segan silu meneguk arak di khalayak ramai sambil melayan lagu didendangkan kumpulan ‘underground’ yang bermula seawal jam 4 petang hingga 11 malam.

Apabila semakin ramai yang mabuk, pada kira-kira jam 9 malam berlaku pergaduhan termasuk ada yang membaling botol arak.

Menurut sumber, kekecohan itu menyebabkan segelintir penonton lari keluar dari bangunan berkenaan kerana bimbang terkena balingan botol.

“Pergaduhan itu berlaku hampir 30 minit sebelum dileraikan penganjur, namun tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya.

Sumber itu berkata, gig terbabit dianjurkan sempena menyambut Aidilfitri dan terbuka kepada kumpulan punk dan skinhead saja.

“Selain jemputan melalui pengedaran poster, penganjur juga menjemput mereka melalui laman sembang di Internet,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai perhimpunan haram itu dan menghantar sekumpulan anggota ke tempat kejadian pada kira-kira jam 11 malam.


“Dalam pemeriksaan itu, 10 peserta berusia 18 hingga 25 tahun yang disyaki berada dalam pengaruh dadah dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan.

“Namun, hanya seorang disahkan positif dadah jenis methamphetamin dan akan ditahan untuk tindakan lanjut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tegukaraksambutraya/Article

Teguk arak sambut raya

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/09/21

KUALA LUMPUR: Hampir 100 remaja punk dan skinhead menyertai gig atau ‘Pesta Mabuk Raya’ anjuran mereka di Desa Pandan di sini, Sabtu lalu, kononnya bagi melepaskan ketagihan selepas sebulan berpuasa.


BERHIBUR...sebahagian peserta menonton persembahan dalam gig terbabit. Peserta gig itu yang kebanyakannya remaja Melayu tanpa segan silu meneguk arak di khalayak ramai sambil melayan lagu didendangkan kumpulan ‘underground’ yang bermula seawal jam 4 petang hingga 11 malam.

Apabila semakin ramai yang mabuk, pada kira-kira jam 9 malam berlaku pergaduhan termasuk ada yang membaling botol arak.

Menurut sumber, kekecohan itu menyebabkan segelintir penonton lari keluar dari bangunan berkenaan kerana bimbang terkena balingan botol.

“Pergaduhan itu berlaku hampir 30 minit sebelum dileraikan penganjur, namun tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya.

Sumber itu berkata, gig terbabit dianjurkan sempena menyambut Aidilfitri dan terbuka kepada kumpulan punk dan skinhead saja.

“Selain jemputan melalui pengedaran poster, penganjur juga menjemput mereka melalui laman sembang di Internet,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai perhimpunan haram itu dan menghantar sekumpulan anggota ke tempat kejadian pada kira-kira jam 11 malam.


“Dalam pemeriksaan itu, 10 peserta berusia 18 hingga 25 tahun yang disyaki berada dalam pengaruh dadah dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan.

“Namun, hanya seorang disahkan positif dadah jenis methamphetamin dan akan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tegukaraksambutraya/Article

Hati berdetik




Oleh Iskandar Shah Mohamed

2010/09/21


SEREMBAN: Persoalan menyelubungi keluarga bayi perempuan berusia tiga bulan yang meninggal dunia selepas dihantar ibu bapanya ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Paroi di sini, semalam.




HIBA...Zadariah yang sebak ditenangkan ahli keluarga, semalam. Gambar kecil, mangsa.

Difahamkan, bayi malang yang juga cucu kepada Timbalan Pengerusi Tetap Wanita Umno Bahagian Seremban, Zadariah Ismail, 57, itu dikatakan ditemui pengasuh dalam keadaan sejuk dengan seluruh tubuhnya kebiruan dalam buaian di pusat asuhan terbabit.

Menurut Zadariah, sebelum pergi mengajar di dua sekolah berasingan sekitar daerah ini, ibu bapa bayi berkenaan, pasangan guru, Airul Anuar Abdul Aziz, 30, (anak Zadariah) dan Nurhida Md Nor, 26, menghantar bayi mereka ke pusat berkenaan, kira-kira jam 7 pagi.

“Saya yang sedang mengemas rumah tersentak apabila menerima panggilan daripada kakitangan pusat asuhan itu memaklumkan keadaan luar biasa cucu yang terlalu lemah dengan tubuhnya kebiruan, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Berikutan itu, saya dan suami, Abdul Aziz Ismail, 59, bergegas ke situ dan membawa cucu ke sebuah klinik berdekatan untuk rawatan.

“Namun, selepas doktor bertugas gagal membantu cucu melalui bantuan pernafasan selama lebih 30 minit, saya diminta segera ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,”
katanya ditemui di Bilik Mayat HTJS, di sini.

Menurutnya, dia amat terkejut dengan kejadian berkenaan kerana cucunya itu dilihat riang dan ceria ketika kali terakhir bertemu pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Taman Paroi Jaya, di sini, kelmarin.

“Hati ini bagaimanapun seolah-olah sudah terdetik akan kehilangan seorang cucu disayangi ketika mendukungnya keluar dari pusat asuhan terbabit.


“Selain keadaan badan yang sejuk, beberapa kesan lebam di tangan dan hitam di kedua-dua telinga turut dilihat pada bayi berkenaan,”
katanya.

Kata Zadariah, ibu bapa Nur Azwa yang menetap di sekitar Sikamat di sini, mendirikan rumah tangga Jun tahun lalu dan jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Paroi Jaya, hari ini.

Airul Anuar yang kelihatan sugul pula berkata, dia tidak pasti punca sebenar kejadian itu dan menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, seorang pengasuh pusat berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya turut kecewa dengan insiden berkenaan yang pertama kali berlaku sejak 10 tahun beroperasi.

Menurutnya, kira-kira jam 10 pagi, dia menyusukan bayi berkenaan sebelum meletakkannya semula ke dalam buaian.

“Bagaimanapun, ketika mahu memandikannya dua jam kemudian, saya terkejut melihat tubuh bayi itu kebiruan dan segera menghubungi hospital serta ahli keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat, dan kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hatiberdetik/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...