Thursday, July 1, 2010

1,000 buruh asing lapor polis

2010/07/01

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pekerja kontrak warga asing terutama dari Indonesia yang terbabit dalam projek pembinaan Istana Negara di sini membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, di sini semalam selepas tidak berpuas hati kerana tidak mendapat gaji sejak Januari lalu.

Dalam laporan itu, mereka turut mendakwa menerima ugutan daripada anggota polis yang menjalankan serbuan di tempat mereka bekerja.


Wakil kumpulan pekerja terbabit, Fadiah Nadwa Fikri berkata, kegagalan kontraktor membayar gaji semua pekerja berkenaan secara tidak langsung menafikan hak dan kebajikan mereka sebagai pekerja.


Katanya, kebanyakan mereka mempunyai keluarga, dan memerlukan wang untuk membeli keperluan harian termasuk susu untuk bayi mereka.


“Mereka juga terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali atau dua kali sehari walhal mereka memerlukan tenaga yang banyak untuk melakukan kerja berat,” katanya kepada media selepas membuat laporan itu.


Beliau berkata, pekerja terbabit juga mendakwa mereka menjadi mangsa peras ugut polis yang sering menjalankan serbuan di tempat mereka bekerja.


“Setiap kali serbuan, seramai 100 orang akan ditangkap dan mereka diminta membayar RM1,500 setiap seorang sebagai jaminan supaya mereka dibebaskan. Mereka juga mendakwa diugut akan diberkas jika tidak membayar jumlah wang yang diminta pegawai polis itu,” katanya.


Selain Fadiah, semua pekerja itu turut diwakili empat peguam lain iaitu, N Surendran, Latheefa Koya, Syuhaini Safwan dan Murnie Hidayah.


Fadiah Nadwa meminta polis menjalankan siasatan segera terhadap laporan itu bagi menentukan kebajikan pekerja itu terbela.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Brickfields Superintendan Azri Abd Rahman berkata, pihaknya berharap dakwaan mengatakan anggota polis rasuah ketika melakukan operasi di tapak pembinaan itu disertakan dengan bukti dan saksi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/1_000buruhasinglaporpolis/Article

JKM tidak boleh bantu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
2010/07/01

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak dapat membantu pengurusan Rumah Titian Kasih (RTK) di Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, bagi mendapatkan premis mereka sendiri kerana ia di luar bidang kuasanya.

NASIB...penghuni Rumah Titian Kasih akan mula berpindah hari ini.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, sehubungan itu berharap pihak tertentu tampil memberi bantuan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan konsep masyarakat penyayang.


Bagaimanapun, katanya, jika RTK masih gagal mendapatkan mana-mana premis untuk beroperasi, JKM akan menyelamatkan penghuni RTK berkenaan sama ada mengembalikan mereka kepada penjagaan keluarga atau penempatan mengikut institusi di bawah jabatan bersesuaian.


“Sejak 2001, JKM sentiasa membantu pengendali RTK mengikut bidang kuasa jabatan seperti membantu mendaftarkan pertubuhan berkenaan mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 agar dapat beroperasi sebagai pertubuhan yang sah.


“JKM turut mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan pengecualian cukai untuk pertimbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya orang ramai lebih berminat untuk memberi sumbangan kepada RTK,”
katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 73 penghuni wanita termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di RTK yang kini sedang menghitung detik untuk ‘bersesak-sesak’ bersama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah lagi rumah perlindungan selepas diarah keluar dari kediaman itu.


Mereka terpaksa berpindah dalam tempoh 24 jam dari rumah yang disewa di Persiaran Titiwangsa selepas pemilik meminta mahkamah mengeluarkan arahan keluar dari rumah itu, April lalu.


Sementara itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali dengan Mak Pah, berkata semua penghuni berpindah mulai hari ini sebagai menghormati perintah mahkamah.


Beliau berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bersesak di rumah perlindungan lelaki yang menempatkan lebih 50 orang walaupun sedar tidak mungkin rumah berkenaan dapat menempatkan semua penghuni RTK.


Katanya, ada beberapa pihak tampil untuk membantu, tetapi hanya berminat untuk mengambil anak yatim dan memindahkan ke pusat jagaan mereka sejak berita itu disiarkan.


“Saya hargai niat mereka, tetapi bukan bantuan sebegitu yang diharapkan kerana hubungan semua penghuni RTK sangat rapat dan tidak sewajarnya mereka dipisahkan apatah lagi rumah ini bukan seperti rumah anak yatim lain,” katanya.

Seorang anak setiap malam



Oleh Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my
2010/07/01

KOTA KINABALU: Pada pandangan luaran, dia dianggap seorang bapa bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu.

Namun, perbuatan jijik duda berusia 40-an itu terbongkar kelmarin apabila seorang daripada anak perempuannya mendedahkan episod hitam yang ditanggungnya bersama dua kakak sejak lebih enam bulan lalu kerana terpaksa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Lebih mengaibkan, tiga beradik berusia 11, 13 dan 14 tahun itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam.

Ketiga-tiga mangsa yang bersekolah di daerah ini bimbang mengadu perbuatan kejam bapa mereka kepada orang luar terutama pihak berkuasa kerana khuatir lelaki itu bertindak lebih kejam.

Bagaimanapun, tembelang bapa durjana itu terbongkar apabila anak bongsunya secara tidak sengaja menceritakan kejadian dialaminya kepada ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumah mereka, kelmarin.

Ibu saudara mangsa yang terkejut dengan pengakuan itu melaporkannya kepada ibu kandung mereka di Sandakan yang segera menghubungi anak sulungnya berusia 18 tahun yang bekerja di bandar raya ini supaya mengambil kedua-dua adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Ketiga-tiga mangsa hadir ditemani kakak, ibu dan ibu saudara mereka ketika membuat laporan di balai polis.

“Bagaimanapun, polis yang berkunjung ke rumah suspek sebaik menerima laporan hampa apabila mendapati lelaki berkenaan tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, tiga beradik itu mendakwa sering dirogol bapa mereka ketika nyenyak tidur dalam bilik sebelum ditarik ke biliknya seorang demi seorang bagi memuaskan nafsunya.

“Anak suspek berusia 14 tahun turut mengaku pertama kali dirogol pada Januari lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu.

“Mangsa yang berusia 13 tahun pula mendakwa dirogol pada pertengahan Mei hingga Jun lalu, manakala adik bongsu mereka berusia 11 tahun mengalami nasib sama bermula awal Jun lalu,”
katanya.

Menurut Mohd Isa, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain berikutan bimbang tindakan balas lelaki berkenaan.

“Berikutan itu, suspek mula melakukan sesuka hati termasuk merogol anak kandungnya seorang demi seorang apabila tiba waktu malam kerana hanya mereka saja tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Tumpuan penghijrah nusantara




LORONG-LORONG di setiap pelosok Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak pernah sunyi dengan hiruk-pikuk penghuni ibu kota yang bertandang tamu ke sana. Sudah tentu, tujuan utama rata-rata pengunjungnya adalah untuk memenuhi selera masing-masing.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini tidak akan berasa gusar untuk pulang dengan perut kosong. Ini kerana, pilihan makanan yang tersedia pelbagai kadangkala membuat sesiapa sahaja rambang mata. Apatah lagi bebeberapa nama kedai makanan seperti Nasi Lemak Antarabangsa turut berlokasi di situ.

Selain nasi lemak, pilihan makanan laut, ikan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih boleh didapati di satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Ia secara tidak langsung memaparkan sisi budaya yang semakin dicerap elemen antarabangsa.

Masakan tidak, menu tom yam malah stik dan spagheti tidak terkecuali boleh ditemui dengan mudah di Kampung Baru.

Biarpun desas-desus mengatakan bangsa asing tidak dialu-alukan di sini, barangkali faktor agama menjadi alasan yang kuat buat setiap pendatang beragama Islam memenangi hati penduduk di kampung itu.

Justeru, sejak sekian lama, ramai pendatang dan orang luar berhijrah ke sini untuk turut sama membina perniagaan di celah-celah kehidupan Kampung Baru yang didiami sepenuhnya oleh orang Melayu, biarpun hanya menyewa tanah yang sekangkang kera.

Tujuan mereka sama, mencari punca rezeki yang melimpah ruah di tanah bertuah di Kampung Baru yang sudah menjadi satu lokasi yang dipaparkan dalam peta pelancongan negara.


MASAKAN tom yam di Kampung Baru dikatakan lebih enak dan lazat kerana dihasilkan daripada air tangan orang Thailand sendiri yang berhijrah ke perkampungan itu.


Restoran Nang Kam Seafood yang terletak di Jalan Raja Uda, Kampung Baru merupakan salah sebuah restoran yang dibangun pasangan berasal dari Thailand. Mereka sudah menyewa tanah di situ sejak lapan tahun lalu.

Menurut anak kepada pasangan pengasas restoran berkenaan, Norwidah Abdullah, 27, sebelum mereka sekeluarga menjejak kaki ke Kampung Baru, mereka terlebih dahulu mencuba nasib berniaga di sekitar Kampung Pandan dan Pandan Indah Ampang.

"Perniagaan keluarga ini sudah berpindah randah akibat kekurangan sambutan lantaran pembangunan di Kampung Pandan dan Pandan Indah. Lapan tahun lalu kami membuka restoran di sini dan sambutannya sangat menggalakkan.

"Kampung Baru menjadi lokasi paling baik untuk kami membuka perniagaan makanan berbanding di kawasan lain," jelas anak pasangan Abdullah dan Azizah yang dilahirkan di Hatyai itu.

Bercerita lanjut, Norwidah memberitahu nama restoran mereka pada asalnya menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan segelintir penduduk kerana tidak menggambarkan nama berunsur islamik.

"Ada penduduk minta kami turunkan papan tanda restoran dan tukar dengan nama lain tetapi lama-kelamaan masalah itu selesai dengan sendirinya apabila kami semakin rapat dengan penduduk kerana sama-sama beragama Islam," katanya.

Norwidah menambah, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Ahmad yang juga berasal dari Thailand terlebih dahulu meneroka rezeki di Kampung Baru dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab memperkenalkan masakan tom yam di perkampungan itu.

"Bapa saudara saya berhijrah ke sini 30 tahun lalu dan membuka gerai tom yam. Masakan tom yam di restoran kami pula diperkenalkan ibu saya sendiri yang bertindak sebagai tukang masak utama ketika restoran ini mula-mula dibuka dulu," katanya.

Sewa tanah lot

Sementara itu, pemilik pasar raya mini Rina Mini Market, Adi Zainal, 36, yang berasal dari Acheh, Indonesia juga sudah lapan tahun menetap di Kampung Baru dengan menyewa rumah seorang penduduk di situ.


PASAR Raya mini Rina menjadi punca pendapatan utama Adi dan keluarganya yang menyewa lot kedai di flat PKNS Kampung Baru sejak lapan tahun lalu.


"Pada asalnya, saya datang ke Malaysia 12 tahun lalu untuk bekerja di sebuah kilang di Perak. Pada masa itu saya berkenalan dengan isteri yang merupakan penduduk tempatan dan kami berkahwin.

"Selepas beberapa tahun, hasil perbincangan dengan keluarga, kami membuat keputusan untuk berhijrah ke sini dan membuka perniagaan pasar mini. Tetapi kami hanya menyewa lot kedai kerana orang luar tidak boleh memiliki tanah di sini," jelasnya.

Katanya lagi, berniaga di Kampung Baru memberi rezeki yang baik buat mereka sekeluarga. Kerana itu juga Adi tidak bercadang untuk berpindah walaupun sudah membeli sebuah rumah di Puchong, Selangor.

"Saya sekeluarga akan tetap tinggal di sini kerana di sinilah rezeki kami. Rumah yang sudah dibeli pula akan disewakan untuk keperluan anak-anak pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengembara yang berasal dari negeri di Bawah Bayu, Sabah turut mengambil peluang mencari rezeki di Kampung Baru. Takdir Azhar, 21 dibawa ke perkampungan berkenaan oleh kedua orang tua sejak kecil lagi.

"Saya sekeluarga menyewa di Kampung Baru dan sudah lama bekerja di sini. Malah kami sudah terbiasa dengan cara kehidupan di sini berbanding di Sabah.

"Walaupun ibu saya sudah berhijrah ke Pulau Pinang, saya dan abang masih selesa bekerja di sini kerana lokasi yang strategik untuk menjalankan perniagaan," katanya yang bekerja di sebuah kedai pelbagai produk, Stable Steak House yang terletak di bawah bangunan flat PKNS, Kampung Baru itu.

Tanah orang Melayu

Penghijrahan orang luar yang menyewa tanah di Kampung Baru selari dengan kenyataan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi, bahawa tanah Kampung Baru tidak boleh diwariskan kepada orang luar.


NORWIDAH berdiri di hadapan restoran keluarganya yang diusahakan sejak lapan tahun lalu.


Menurut beliau, undang-undang itu termaktub selepas Kerajaan Negeri Selangor memberi hak milik tanah kepada penduduk Kampung Baru bagi 940 lot sedia ada, tidak termasuk tanah yang ditetapkan untuk pembangunan surau, masjid, sekolah dan padang permainan pada tahun 1965.

"Orang luar tidak boleh memiliki tanah di Kampung Baru walaupun mereka berkahwin dengan penduduk asal di sini. Tanah hanya akan diwariskan kepada anak-anak pasangan yang berkahwin campur.

"Bahkan, di bawah akta penubuhan Kampung Baru menghendaki sesiapa sahaja yang ingin menetap di Kampung Baru mestilah berketurunan Melayu, beragama Islam, berbahasa Melayu dan membudayakan adat orang Melayu atau diisytiharkan Melayu oleh Lembaga MAS," katanya.

Katanya lagi, Kampung Baru bukan sebarang kampung kerana sejak penjajahan British sehingga Jepun dan selepas mencapai kemerdekaan, akta sedia ada tidak berubah, malah Lembaga MAS yang ditubuhkan pada Januari 1900 masih bertanggungjawab terhadap segala urusan pentadbiran sehingga kini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Aktor Winter Sonata Bunuh Diri

Published: Rabu Jun 30, 2010 MYT 5:39:00 PM
Updated: Rabu Jun 30, 2010 MYT 6:07:40 PM

Park Yong-Ha

SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan Park Yong-Ha, 33, ditemui tidak bernyawa dan dilaporkan membunuh diri pagi tadi.

Tubuhnya ditemui di kediamannya di Nonhyung-dong, Seoul oleh ibunya sendiri.

Laporan Yonhap News hari ini melaporkan sebelum membunuh diri, pelakon Winter Sonata itu sempat mengirimkan SMS kepada ayahnya yang sedang bertarung dengan sakit kanser perut.

SMS yang dihantar itu berbunyi: "I'm Sorry. I'm Sorry". Namun begitu dia tidak meninggalkan sebarang surat perpisahan.

Menurut pihak polis Metropolitan Seoul, Park membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan kabel charger telefon bimbit.

Bagaimanapun, motif tindakannya membunuh diri itu masih tidak diketahui lagi. Pihak polis masih lagi melakukan penyelidikan lebih lanjut tentang tragedi tersebut.

Park memulakan kerjaya seninya bermula pada tahun 1994. Namun, namanya mula melonjak di Korea dan Jepun setelah membintangi drama bersiri Winter Sonata pada 2002.

Selepas itu, Park turut membintangi tiga buah filem. Yang terakhir adalah The Scam yang telah ditayangkan pada 2009.

Tidak hanya setakat itu, Park juga popular sebagai penyanyi. Selain melancarkan beberapa album di Koria dan Jepun. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Japan Gold Disc Awards bagi kategori Artis Asian Terbaik, Lagu Sepanjang Tahun serta Anugerah Istimewa Japan-Korea Friendship Year 2005.

Disebabkan kematian mengejut itu, banyak pihak telah menyuarakan rasa khuatir mereka terhadap kes bunuh diri di Korea Selatan.

Negara tersebut telah mencatatkan kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebekalakangan ini.

Pada 2 Oktober 2008, artis terkenal Choi Jin-Sil juga ditemui telah menggantungkan diri di bilik mandi rumahnya. Sebelum itu, pada 8 September 2008, suaminya, Ahn Jae-hwan yang merupakan pelawak terkenal ditemui mati di dalam keretanya.

Tubuh Choi Jin-Sil telah ditemui oleh adik lelakinya, Choi Jin-yeong. Dia yang turut melibatkan diri sebagai aktor dan penyanyi kemudian telah mengambil keputusan untuk membunuh diri pula pada 29 Mac lalu.

Kematian Choi Jin-yeong itu dipercayai berpunca akibat daripada rasa tekanan dan depresi setelah kematian kakak tersayangnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/30/mstar_hiburan/20100630173540&sec=mstar_hiburan

Balu dapat ganti rugi RM1.4 juta

KUALA LUMPUR - Seorang balu berjaya mendapat ganti rugi RM1.4 juta setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati berlaku kecuaian pihak polis apabila suaminya yang disyaki penagih dadah mati ketika dalam tahanan lokap Balai Polis Rawang 11 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan perkara itu ketika membenarkan rayuan Suzana Md. Aris berhubung taksiran ganti rugi yang diberikan terlebih dahulu kepadanya sebanyak RM137,220.

Suzana selaku plaintif memfailkan saman pada tahun 2000 terhadap Deputi Supritendan Ishak Hussin, yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak dan Asisten Komisioner Massari Hashim selaku Ketua Polis Daerah.

Selain mereka sebagai defendan pertama dan kedua, suri rumah itu turut menamakan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga dan keempat.

Plaintif menuntut ganti rugi RM1.7 juta setelah mendakwa polis cuai dalam menjalankan tugas sehingga suaminya Mohd. Anuar Sharip, 31, meninggal dunia di dalam lokap pada 19 Ogos 1999 kerana menghidap radang paru-paru.

Suzana yang mempunyai dua anak berusia 19 dan 13 tahun bagaimanapun tidak hadir dan diwakili peguam P. Uthayakumar.

Swee Seng dalam keputusannya hanya semalam memerintahkan supaya bekas Ketua Polis Negara itu (kapasiti peribadi) dan kerajaan bertanggungjawab membayar ganti rugi tersebut.

Mahkamah menetapkan ganti rugi tanggungan bagi dua anak plaintif berjumlah RM400,000, ganti rugi am dan teruk berjumlah RM1 juta dan kadar faedah lapan peratus dari tarikh kematian sehingga selesai saman.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Wan Roslan Wan Ismail.

Sementara itu Suzana bersyukur dengan keputusan mahkamah dalam menuntut keadilan atas kematian suaminya 11 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Wanita lari separuh bogel elak diperkosa 10 lelaki

2010/06/30

GERIK: Seorang remaja perempuan terpaksa lari dalam keadaan separuh bogel sejauh kira-kira satu kilometer bagi menyelamatkan diri daripada diperkosa 10 lelaki sebaik selesai mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah ladang kelapa sawit, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, remaja berusia 18 tahun dari sebuah kampung di sini, pada mulanya dibawa bersiar-siar oleh teman lelakinya berusia 20-an dengan motosikal.


Sumber berkata, remaja itu dibawa sejauh kira-kira 40 kilometer sebelum memasuki sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Belum Baru dan mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya itu.


“Bagaimanapun, selepas masing-masing keletihan dan berehat di bawah pokok kelapa sawit, tiba-tiba datang 10 lelaki dengan beberapa motosikal dan cuba merogol remaja itu.


“Disebabkan ketakutan kerana melihat ramai lelaki cuba merogolnya, mangsa meronta dan melarikan diri dengan mencapai seluar dan telefon bimbitnya,”
katanya.


Katanya, mangsa hanya sempat memakai seluarnya ketika lari menyelamatkan diri dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer sebelum menghubungi talian 999.


Menurut sumber, 10 minit kemudian, sepasukan anggota polis tiba dan menyelamatkan remaja itu daripada menjadi mangsa rogol beramai-ramai.


Mangsa kemudian membuat laporan polis pada malam kejadian sebelum dibawa ke Hospital Gerik (HG) dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.


“Mangsa mengaku kenal teman lelakinya sebulan lalu dan kali pertama melakukan hubungan seks,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitalariseparuhbogelelakdiperkosa10lelaki/Article

Buang atas daun pisang



Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/30

RAWANG: Malang sungguh nasib seorang bayi lelaki yang baru beberapa jam dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan bogel dengan hanya beralaskan daun pisang oleh ibu kandungnya sendiri di belakang sebuah rumah di Jalan Mawar 6, Taman Mawar, Rawang di sini, pagi semalam.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kain di bandar ini bagaimanapun menjerat dirinya sendiri apabila dia ditahan polis selepas seorang penduduk membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan yang masih bertali pusat sejam selepas bayi itu ditinggalkan di belakang rumahnya, kira-kira jam 10 pagi.

Ketika ditahan, remaja berkenaan berada dalam keadaan lemah dan letih dipercayai kerana baru melahirkan anak dalam sebuah bilik di rumah ibu saudaranya di kawasan sama.

Difahamkan, remaja terbabit menumpang di rumah ibu saudaranya di sini selepas dia didapati mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak Oktober tahun lalu dan sepanjang perkenalan itu, mereka dikatakan sudah dua kali melakukan persetubuhan haram.

Bagaimanapun, sejurus mengetahui remaja itu mengandung, teman lelakinya yang selama ini dikatakan hanya mengambil kesempatan selepas menabur janji dan ungkapan cinta, menghilangkan diri.

Difahamkan, teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkan kehidupan remaja terbabit terumbang-ambing sebelum dia mengambil keputusan menumpang di rumah ibu saudaranya.

Remaja dari Taman Puchong Permai, Puchong, dekat sini itu terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya untuk mengelak jiran mengetahui dia mengandung.

Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang penduduk selepas dia mendengar tangisan ketika melalui kawasan berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan laporan itu, anggota Unit Peronda Polis (MPV) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.

“Hasil siasatan dan beberapa maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi terbabit kira-kira jam 11 pagi.

“Suspek ditahan di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an,”
katanya.
Menurutnya, ketika ditemui bayi malang itu dalam keadaan sihat dan tidak ada kesan lebam atau luka di badannya kecuali hanya sedikit kesan gigitan serangga.

“Kami percaya bayi itu hasil hubungan terlarang suspek bersama teman lelakinya yang dilahirkan di rumah saudaranya itu dan polis tidak menolak kemungkinan ada individu lain membantu membuang bayi terbabit.

“Polis akan mengambil keterangan ibu saudara suspek yang berkemungkinan besar bersubahat dalam kes pembuangan bayi itu dan gerakan mengesan teman lelakinya dijalankan bagi membantu siasatan,”
katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, manakala bayi dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan berikutan bimbang terdapat kecederaan dalaman pada bayi terbabit.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan remaja terbabit kurang bergaul dengan penduduk di kawasan itu dan beberapa jiran memaklumkan mereka pernah ternampak suspek, namun tidak mengetahui yang dia mengandung hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Bayi menggigil



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30

SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,”
katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,”
katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,”
katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...