Thursday, May 13, 2010

Siapakah Yang Perintah Great Britain Sekarang?

Published: Isnin Mei 10, 2010 MYT 9:50:00 PM
Updated: Selasa Mei 11, 2010 MYT 9:01:19 PM

Muka depan beberapa akhbar British bertarikh 11 Mei 2010 memuatkan berita utama mengenai Perdana Menteri Gordon Brown. - Foto AFP

KHABARNYA, tidak ada mana-mana parti lagi di Great Britain dapat memberikan indikasi jelas siapakah yang bakal membentuk sebuah kerajaan campuran baru.

Selepas pilihan raya umum yang berlangsung minggu lalu, tidak ada satu parti pun yang berjaya memperolehi majoriti yang membolehkan mereka membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

Maka orang-ramai pun tertanya-tanya siapakah yang sebenarnya memerintah Britain sekarang.

Dari sudut tradisinya, Gordon Brown lah yang masih kekal di pejabat perdana menteri.

Perlembagaan tidak tertulis Britain menyebut, “Jika keputusan pilihan raya umum tidak memberikan mana-mana parti, majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan, maka kerajaan yang sedia ada akan terus kekal sehinggalah atau melainkan perdana menteri dan seluruh kabinetnya menyerahkan surat peletakan jawatan kepada raja. Kerajaan yang sedia ada sebelum pilihan raya berhak menunggu sehingga parlimen baru bersidang untuk melihat sama ada ia masih menerima sokongan daripada Dewan Rakyat atau untuk menyerahkan kuasa jika ia dengan jelas mendapati ia tidak akan mendapat mendapat keyakinan dewan untuk terus memerintah.”

Peraturan ini sebenarnya adalah peraturan yang tertulis dalam manual Pejabat Urusetia Kabinet (sama seperti pejabat Ketua Setiausaha Negara di Malaysia) bagi memastikan sebuah kerajaan masih terus wujud dan sistem pentadbiran awam tidak berada dalam kucar kacir jika situasi di mana tidak ada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan baru dengan majoriti yang jelas berlaku (sepertimana sekarang).

Ketua Pembangkang dari Parti Konservatif, David Cameron, meninggalkan rumahnya di London pada 11 Mei, 2010. - Foto REUTERS

Sehingga semua kerusi selesai dikira, parti Konservatif memperolehi 306 kerusi, Buruh (parti yang memerintah) 258 kerusi, Liberal Demokrat 57, lain-lain parti kecil dan nasional 28 kerusi.

Bagaimanapun nampaknya ketiga-tiga parti terbesar di Britain telah membuat tafsiran mengikut cara masing-masing.

David Cameron yang mengetuai parti Konservatif berpendapat oleh kerana partinya memperolehi kerusi terbanyak walaupun tidak cukup majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, maka mereka berhak diberikan opsyen pertama untuk membuka pintu rundingan dengan parti minoriti yang lain.

Sementara Gordon Brown pula percaya, berdasarkan nasihat Setiausaha Kabinet dan manual Pejabat Urusetia Kabinet, beliau berhak untuk terus kekal sebagai perdana menteri dan kerajaan yang memerintah untuk terus berunding dengan mana-mana pihak yang difikirkan sesuai sehinggalah parlimen baru bersidang 25 Mei ini.

Ini memberi ruang kepada Brown untuk terus kekal atas kapasiti kerajaan dan memberi kelebihan kepadanya untuk membeli masa dan juga ruang bagi membentuk kerajaan baru dengan parti yang lebih kecil.

Tetapi dari sudut realitinya Nick Clegg, pemimpin parti ketiga iaitu Liberal Demokrat lah yang sebenarnya memegang kuasa penentu iaitu sama ada hendak bergabung dengan Buruh atau Konservatif bagi membentuk kerajaan Great Britain yang seterusnya.

Clegg menggunakan kuasa tersebut untuk masuk berunding dengan pihak Konservatif terlebih dahulu dan itulah apa yang sedang berlaku sekarang tetapi pada masa yang sama Cameron pula bermain dengan masa untuk menentukan sama ada Konservatif berupaya atau tidak membentuk sebuah kerajaan parti tunggal minoriti.

Pada masa yang sama juga Setiausaha Kabinet telah menghantar sepasukan kakitangan tinggi awam kepada kedua-dua parti Konservatif dan juga Liberal Demokrat untuk memberi taklimat mengenai apa yang terkandung di dalam manual Pejabat Urusetia Kabinet mengenai status kedudukan kerajaan buat masa ini.

Secara teori, berdasarkan manual tersebut, Gordon Brown mempunyai tempoh sehingga 25 Mei ini untuk membentuk kerajaan baru dengan Liberal Demokrat atau mana-mana parti kecil yang memenangi kerusi.

Tetapi menurut bekas pegawai tinggi perkhidmatan awam Britain, Sir Richard Wilson yang kini mengajar subjek pentadbiran awam di Cambridge, Cameron dan Clegg sebenarnya silap apabila mereka mempertikaikan hak Brown untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

"Mereka sebenarnya salah kerana pada hakikatnya ialah Gordon Brown adalah perdana menteri. Anda tidak boleh mengubah fakta itu. Ratu Britain telah melantik beliau sebagai perdana menteri dan sehinggalah beliau meletakkan jawatannya, beliau adalah perdana menteri yang sah.

"Kita semua harus sedar bahawa di negara ini kita tidak memilih seorang perdana menteri. Apa yang setiap seorang daripada kita lakukan ialah memilih ahli parlimen. Dan ahli parlimen itulah yang memutuskan siapa yang mereka akan sokong untuk menjadi perdana menteri, itulah faktor terpenting yang perlu kita semua lihat," ujarnya.

Oleh yang demikian, tegas Wilson, sebagai penyandang jawatan, Brown berhak untuk memperolehi opsyen pertama untuk membentuk kerajaan dalam situasi mana-mana parti pun gagal memperolehi majoriti yang jelas bagi membentuk sebuah kerajaan baru.

Ketua Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg bercakap kepada media di luar rumahnya di London pada 11 Mei 2010. - Foto REUTERS

Maka Brown boleh menjemput Liberal Demokrat membentuk kerajaan baru seandainya parti itu bersetuju untuk menyokong beliau sebagai perdana menteri. Sehingga itu menjadi realiti, Brown berhak terus kekal sebagai perdana menteri yang sah.

Berdasarkan fakta ini, percubaan Clegg untuk membuka pintu rundingan dengan Cameron terlebih dahulu boleh dilihat sebagai percubaan untuk menafikan semangat ini. Dan ini berlaku kerana tidak ada halangan perlembagaan yang melarang mana-mana pihak daripada membuka pintu rundingan dengan sesiapapun yang dirasakan sesuai.

Brown nampaknya menerima hakikat ini dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkannya dan Clegg pula secara teorinya boleh berunding dengan Cameron dan Brown serentak dan sekaligus menjadi king maker dalam menentukan masa depan kerajaan baru Britain.

Cameron pula berharap kegagalan mana-mana parti membentuk kerajaan campuran akan membuka peluang kepada partinya untuk membentuk sebuah kerajaan tunggal minoriti di dalam dewan dan memaksa Brown menyerah kalah dan meletakkan jawatannya apabila parlimen bersidang 25 Mei ini.

Pada tahun 1974, Harold Wilson berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan sokongan parti-parti minoriti yang lain selepas kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Ted Heath gagal mencapai kata sepakat dengan parti Liberal atau Kesatuan Ulster.

Empat hari kemudian Wilson mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru Britain tetapi tidak sampai lapan bulan, kerajaan pimpinannya runtuh.

Kegagalan mana-mana pihak membentuk sebuah kerajaan campuran yang kukuh dalam tempoh beberapa hari lagi akan menyaksikan sejarah 1974 berulang kembali dan memaksa rakyat sekali lagi ke peti undi.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/5/10/mstar_kolum_khabarnya/20100510213752&sec=mstar_kolum_khabarnya

Tuntut Cerai: Aida Akui Kesilapan Sendiri...

Rabu Mei 12, 2010

TIADA siapa yang meminta untuk mahligai perkahwinan yang dibina runtuh di tengah jalan. Begitu juga dengan aktres terkenal Aida Radzwill yang tanpa ada angin dan ribut, tiba-tiba sahaja memohon fasakh daripada suaminya, penyanyi dan pelakon, Joe Radzwill.

Aida, atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 52, memfailkan fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 27 April lalu.

Sebutan kes tersebut akan disambung pada 22 Jun ini selepas Joe atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill, 39, gagal hadir ke mahkamah seperti ditetapkan semalam.

Selepas lapan tahun berkahwin, Aida akui kini dia gagal menyelamatkan perkahwinan yang dibina itu.

Masih ingat lagi sewaktu menemuramah Aida sekitar Ogos tahun lalu, dia berkata mereka masih berpegang kuat kepada kasih-sayang antara satu sama lain dan menjadi kebiasaan apabila ada pasang surut dalam menghadapi cabaran berumah tangga.

Disangkakan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah gambaran situasi yang melanda Aida dan Joe sekarang. Kata Aida, dia sudah cukup bersabar dan memberikan ruang kepada suaminya untuk memulihkan perkahwinan mereka.

Dalam permohonannya, Aida mendakwa suaminya gagal memberikan nafkah lebih dari tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.

Selain itu, defendan didakwa berperangai keji kerana tidak mengikut hukum syarak serta wujud perbalahan berpanjangan antara mereka berdua.

“Sebelum ini, takkan saya nak dedahkan tentang cerita tidak elok dalam rumah tangga kami. Saya dah banyak bagi peluang kepadanya.

“Tapi saya rasa tak perlulah ceritakan. Mungkin dua-dua pernah buat silap,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama 26 episod Kalau Tidak Kerana Puan selama dua bulan setengah di Kelantan.

Pada 3 September 2009 pasangan itu mengesahkan pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Pasangan itu bernikah di Yala, selatan Thailand pada 6 November 2002. Mereka tidak dikurniakan anak sepanjang perkahwinan mereka bagaimanapun masing-masing mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan terdulu.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/5/12/mstar_hiburan/20100512125211&sec=mstar_hiburan

Bawa dadah kerana cinta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmettro.com.my
2010/05/12

KUALA LUMPUR: Berkorban demi cinta tidak kena tempat apabila seorang lelaki sanggup ‘menjual nyawa’ sendiri semata-mata mahu memenuhi permintaan kekasih hati yang memintanya membawa dan menyeludup syabu.

Walaupun menyedari hukuman berat menanti sekiranya diberkas, suspek yang berusia 27 tahun langsung tidak memikirkan risiko terbabit selepas diarah kekasihnya membawa dadah ke Indonesia.


Sumber Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, suspek yang dikenali sebagai Chuin Hwa, 27, bagaimanapun diberkas pihak berkuasa lapangan terbang Antarabangsa Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta sebaik tiba dengan pesawat Jumaat lalu.


Menurutnya, suspek sebelum itu menaiki penerbangan dari Shenzen, China menuju ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Jakarta.


“Ketika kejadian, suspek ditemani seorang lagi rakannya, Kuong Yee, 26, yang juga rakyat Malaysia dan suspek yang menjalani pemeriksaan bagasi ditahan pihak keselamatan lapangan terbang selepas disyaki membawa bahan terlarang.


“Berikutan itu, beg suspek diperiksa menggunakan alat imbasan x-ray sebelum pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan kecil disembunyikan di ruangan sulit di dalam beg terbabit,”
katanya.


Difahamkan, dadah itu dianggarkan seberat 5.6 kilogram dan boleh mencecah harga pasaran melebihi RM100,000.


“Siasatan mendapati, suspek sudah dua kali ke Indonesia,” katanya.


Berdasarkan siasatan, seorang suspek mendakwa dadah berkenaan adalah milik kekasihnya bernama ‘ L’ dan dia hanya mengikut permintaan kekasihnya itu untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta.

Difahamkan sepanjang tahun ini, pihak berkuasa Indonesia sudah memberkas enam warga negara Malaysia selepas dikesan cuba menyeludup lebih 100 kilogram dadah ke negara berkenaan.


Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang warga Malaysia dari Bukit Pasir, Muar, Johor ditahan pihak berkuasa Rokan Hulu di daerah Riau, Indonesia selepas memiliki 27 paket kecil dipercayai syabu.


Terdahulu, kedua-dua ‘keldai dadah’ warga Malaysia turut ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan cuba menyeludup dadah methamphetamine seberat 2.2 kilogram (kg) berharga lebih AS$200,000 (RM688,000) mengikut harga pasaran negara berkenaan. Kedua-dua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Denpasar, Bali, selepas menyembunyikan dadah terbabit yang sengaja dibalut ketat sebelum diikat pada perut.

Sebelum itu, seorang wanita Malaysia turut ditahan di Kepulauan Riau, Indonesia Selasa lalu, selepas disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk bahan membuat pil khayal yang dianggarkan bernilai RM2 juta ke republik itu. Suspek yang berusia 45 tahun ditahan di Pelabuhan Karimun, Tanjung Balai sejurus tiba dari Pelabuhan Kukup, Pontian menggunakan bot ekspres, MV Marina Baru 5, selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dalam bagasi dibawanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bawadadahkeranacinta/Article

Polis tahan 3 tentera

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my
2010/05/12

TAMPIN: Tindakan tiga anggota tentera berusia 20-an yang disyaki merogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Taman Clonlee di sini mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sebuah kem di Melaka, kelmarin.

Sumber berkata, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu baru mengenali seorang daripada suspek sebelum diajak keluar bersiar-siar menaiki kereta di sekitar negeri itu pada Ahad lalu.


“Dia (mangsa) pada mulanya enggan kerana mendapati lelaki itu turut membawa dua rakan, namun bersetuju selepas dipujuk pelbagai janji manis.


“Selepas bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka, mangsa kemudian dibawa ke sebuah kolam air panas di Gadek, Alor Gajah menaiki sebuah kereta dengan alasan untuk menyegarkan badan,”
katanya di sini, semalam.


Sumber itu berkata, selepas itu mangsa dibawa ke sebuah rumah di Taman Clonlee di sini kira-kira jam 2.30 pagi dan dipaksa menanggalkan pakaian termasuk diugut untuk dicederakan.


“Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terpaksa mengikut kehendak suspek dan dirogol bergilir-gilir beberapa kali.


“Dia dapat melarikan diri ketika suspek tidur dan pergi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui mengesahkan pihaknya sudah menahan suspek di kem berkenaan kira-kira jam 5 petang.


“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polistahan3tentera/Article

Masih sah suami isteri

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/05/12

PETALING JAYA: “Alhamdulillah semua sudah selesai. Mahkamah pun sudah sahkan kami masih lagi suami isteri. Doakan jodoh kami berpanjangan,” kata Mohd Fauzi Che Ros, 45, yang juga ahli perniagaan dan suami kepada pelakon serta peragawati terkenal, Aleeza Kassim, 39, ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas mahkamah mengesahkan mereka masih pasangan suami isteri. Sementara Aleeza pula yang kelihatan ingin cepat beredar dari situ hanya tunduk dan enggan memberikan sebarang komen mengenai perasaannya selepas mendengar keputusan itu.

Hakim Syarie Fazil Che Hassan dalam keputusannya memutuskan pasangan itu masih suami isteri berikutan lafaz ‘kita bercerai esok’ yang didakwa dilakukan Mohd Fauzi terhadap Aleeza selepas dikatakan bertengkar di rumah mereka jam 9 malam, 24 Januari lalu adalah hasrat dan bukan bersifat lafaz cerai.


Mohd Fauzi yang ragu dengan status perkahwinan mereka mengambil keputusan merujuknya ke mahkamah dan ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Daerah Petaling di Shah Alam, dua hari selepas kejadian itu. Dalam prosiding semalam, Hakim Syarie Ghazali Ahmad yang membacakan keputusan bagi pihak Mohd Fauzi berkata, mahkamah berpuas hati lafaz plaintif itu hanya hasrat dan tidak jatuh talak. Menurutnya, lafaz itu tidak mendatangkan kesan sehingga jatuh talak kerana ia terhenti ketika kejadian itu saja.


Katanya, pasangan itu juga tidak pernah membuat permohonan untuk bercerai di mahkamah. “Plaintif dan defendan masih suami isteri sah dan mahkamah memerintahkan sijil nikah asal plaintif dan defendan dikembalikan kepada mereka,” katanya. Model tinggi lampai yang hadir berbaju kurung putih dan berselendang hijau dan suaminya kelihatan lega selepas mahkamah memberikan keputusannya.


Pasangan itu bernikah pada 15 Julai 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan belum dikurniakan cahaya mata.


Mohd Fauzi bagaimanapun mempunyai dua anak menerusi perkahwinan pertamanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Masihsahsuamiisteri/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...