Tuesday, July 20, 2010

Jerat godaan 'Nurul Gersang'

Oleh Zulfa Mohamad

2010/07/20

KEPALA BATAS: Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Nurul Gersang’ dikesan menggunakan laman sembang sosial menawarkan diri untuk dijadikan teman tidur sebelum menjerat mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya.

Wanita berusia 20-an itu turut memuatkan nombor telefonnya dalam laman sosial popular itu serta mempamerkan gambar seorang wanita seksi bagi menawan ‘mangsa’ tetapi dipercayai bukan dirinya.


Apabila ada individu menghubunginya, wanita berkenaan akan bertanya ‘nak booking ke’ sebelum meminta ‘bakal’ pelanggan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun miliknya sebagai syarat untuk bertemu.


Bagaimanapun, wanita berkenaan memberi pelbagai helah apabila tempoh temu janji ditetapkan walaupun wang sudah dimasukkan dalam akaunnya.


Seorang peniaga yang cuba ‘menjerat’ wanita terbabit, Azahar Omar, 32, berkata dia melihat maklumat peribadi wanita itu dalam laman sembang berkenaan pada 10 Julai lalu menggunakan nama ‘Nurul Gersang’.


“Saya menghubunginya pada 16 Julai lalu dan wanita itu menawarkan diri menjadi teman tidur sebelum kami berbalas SMS.


“Dia mendakwa berada di Alor Setar, Kedah dan sedia berjumpa saya dengan syarat memasukkan RM150 dalam akaun bank miliknya,”
katanya kepada Harian Metro, semalam. Pada keesokan hari, wanita berkenaan menghubungi semula mangsa dan meminta dimasukkan tambahan RM100 lagi ke akaun sebuah lagi bank sebagai syarat untuk bertemunya di Bandar Perda, Bukit Mertajam.


Azahar berkata, dia kemudian pergi ke Bandar Perda seperti diminta, namun wanita terbabit memaklumkan dia perlu memasukkan RM100 lagi ke akaunnya, namun dia tetap tidak muncul selepas memasukkan wang diminta.


“Terbaru, saya cuba memerangkap wanita itu kelmarin dan dia meminta saya memasukkan RM100 lagi dalam akaunnya, namun tetap tidak muncul di tempat dijanjikan.


“Saya membuat laporan di Balai Polis Teluk Air Tawar selepas kehabisan RM450 untuk memerangkap wanita itu,”
katanya. Difahamkan, beberapa lelaki lain turut menjadi ‘mangsa’ dan kerugian ratusan ringgit tetapi enggan membuat laporan polis kerana malu.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan berkata, taktik digunakan wanita berkenaan ialah satu bentuk penipuan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JeratgodaanNurulGersang/Article

2 remaja ikut teman lelaki

2010/07/20

KUALA LUMPUR: Angkara cinta dihalang keluarga, dua remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah untuk mengikut teman lelaki masing-masing dalam dua kejadian berasingan di Brickfields, di sini dan Batang Kali, Selangor.

Dalam kejadian pertama, seorang remaja, Katherine Chin, 14, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada teman lelakinya, kira-kira jam 12 tengah hari, 12 Julai lalu.


Datuk mangsa, Leong Kwok Sun, 81, berkata cucunya itu dipercayai menghilangkan diri selepas ditegur ibunya mengenai hubungannya dengan teman lelaki yang baru dikenali kurang sebulan lalu.


“Katherine tinggal bersama saya selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai sejak 10 tahun lalu. Dia adalah seorang cucu yang aktif dan rajin belajar.


“Cucu saya itu sudah 10 kali melarikan diri dari rumah sepanjang tahun ini,”
katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


Kejadian kedua, seorang lagi remaja, Fong Xiann Zhi, 16, dilaporkan hilang dipercayai mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Jazz kira-kira jam 11 pagi, 9 Julai lalu.


Ibu saudara mangsa, Foong Nyet Hwa, 50, berkata, anak saudaranya itu tinggal bersamanya sejak dilahirkan kerana ibunya mengalami masalah kesihatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2remajaikuttemanlelaki/Article

2 beradik hilang

Oleh Hai Rozzaman Jalal

2010/07/20

LEDANG: Seorang ibu merayu dua anak perempuannya yang melarikan diri sejak pagi Ahad lalu kembali ke pangkuan keluarga kerana risaukan keselamatan mereka.

Intan Paimin, 37, berkata, dia pulang ke rumahnya di Taman Cempaka, Bukit Gambir untuk menghantar makanan tengah hari, namun terkejut mendapati kedua-dua anaknya tiada di rumah.


Siti Nabila Mohd Najib, 13, dan Siti Shazaemalina, 10, yang ditinggal berdua ketika dia keluar bekerja di pasar raya berhampiran tidak mempunyai masalah keluarga atau perselisihan faham.


Intan menghubungi suaminya, Mohd Najib Md Amin, 37, dan adiknya, Mohd Sairan Paimin, 34, bagi menjejaki kedua-dua beradik itu di rumah saudara atau rakan sekolahnya.


Menurutnya, sebelum ini anak-anaknya tidak pernah keluar rumah tanpa pengetahuannya dan dia cuba menghubungi mereka melalui telefon bimbit namun tidak berjawab.


Mohd Sairan pula berkata, rakannya ada ternampak Nabila dan adiknya menaiki bas ekspres di pekan Bukit Gambir menghala ke Johor Bahru dan menurut penjual tiket di kaunter bas berkenaan seorang remaja lelaki membelikan dua keping tiket untuk dewasa dan kanak-kanak.


Dia berharap Nabila dan Emalina pulang ke pangkuan keluarga kerana ibu bapanya bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas diri mereka.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka diminta menghubungi talian 012-3995803 (Mohd Najib) dan 017-6349654 (Mohd Sairan) atau memaklumkan balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2beradikhilang/Article

Kekasih naik minyak

2010/07/20

AMPANG: Hanya kerana bertanya mengenai wang dalam akaun yang dikeluarkan teman lelakinya, seorang wanita menerima padah apabila dia dipukul dengan termos oleh lelaki terbabit di rumahnya di Ampang, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, muka mangsa turut ditumbuk.


Malah, lelaki terbabit yang bagaikan naik minyak mencampakkan bayi mangsa yang berusia tujuh bulan sebelum dia ke dapur mengambil pisau dan mengugut mencederakan mangsa.


Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika pasangan terbabit yang masing-masing berusia 20-an berada di rumah mangsa.


“Ketika itu berlaku pertengkaran selepas mangsa bertanyakan sama ada teman lelakinya mengeluarkan wang dalam akaun miliknya,” katanya.


Katanya, mangsa yang tidak tahan akibat dibelasah cuba melarikan diri.


“Mangsa meminta kunci kereta, namun lelaki terbabit enggan memberikannya sebelum dia menahan teksi dan ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.


Berikutan itu, polis kini mencari teman lelaki wanita terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kekasihnaikminyak/Article

Wang percutian RM250,000 lesap

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Suraya Roslan

2010/07/20

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan air liur, seorang lelaki bertindak licik apabila mendakwa memiliki agensi pelancongan untuk memperdayakan 678 mangsa dengan melarikan wang percutian mereka ke Bandung, Indonesia dan Kota Kinabalu, Sabah bernilai lebih RM250,000.

Menawarkan pakej percutian serendah RM350, lelaki terbabit menjadikan kakitangan beberapa klinik kesihatan sebagai orang tengah bagi mempromosikan pakej terbabit.


Namun, sebaik saja jumlah keseluruhan pembayaran berkenaan dibuat, lelaki terbabit mereka pelbagai alasan untuk membatalkan percutian itu kononnya mengalami masalah teknikal sebelum ghaib hingga gagal dihubungi.


Menurut wanita dikenali sebagai Rohaya, 33, dia bersama 94 mangsa buntu apabila diberitahu percutian mereka ke Kota Kinabalu, Sabah yang dijadualkan Jumaat ini dibatalkan tanpa alasan munasabah.


“Ia bermula apabila rakan sekerja, Azhan mendakwa menerima panggilan daripada wakil agensi pelancongan dikenali sebagai Imran, 40 yang mendakwa beralamat di Pandamaran, Klang yang ingin menawarkan pakej pelancongan ke beberapa destinasi dalam dan luar negara.


“Memandangkan pakej ditawarkan agak munasabah dan murah, saya membantu mempromosikan kepada jiran dan rakan sekerja pada April lalu dan mendapat sambutan kerana mereka terlalu teruja untuk melancong,” katanya yang mengumpul kira-kira RM24,500 bagi 94 peserta termasuk dewasa dan kanak-kanak.


Menurut Rohaya, setiap kali menerima bayaran peserta rombongan itu, dia akan menyerahkan kepada Azhan yang akan membayarnya kepada suspek.


Namun, kegembiraan mereka untuk melancong ke negeri bawah bayu selama tiga hari tidak lama apabila dimaklumkan Azhan, suspek membatalkan percutian itu kerana agensinya mengalami masalah dalaman.


“Berita mengejutkan itu diterima pada Khamis lalu sedangkan rombongan tiga hari dua malam yang dirancangkan sejak tiga bulan lalu sepatutnya bertolak pada Jumaat ini. Saya cuba meminta penjelasan, namun dimaklumkan suspek enggan menjawab panggilan telefon.


“Saya meminta Azhan mencari lelaki terbabit untuk memulangkan wang itu, namun suspek memberi pelbagai alasan serta berjanji akan menggantikan dengan percutian lain,”
katanya ketika ditemui semalam.


Episod penipuan itu bertambah malang apabila Azhan mendakwa dia menganjurkan sembilan lagi rombongan percutian termasuk satu ke Bandung, Indonesia membabitkan peserta yang juga kakitangan klinik kesihatan di Lembah Klang membabitkan wang RM206,909.

Rohaya berkata, dia cuba memberi penjelasan kepada rakan serta jiran tetangga yang menjadi mangsa, namun diserang hingga menimbulkan kekecohan di kawasan rumahnya di Pantai Dalam di sini.


“Saya bukan saja mengalami kerugian dan malu, malah turut menerima ancaman jiran tetangga yang mendakwa saya melarikan wang itu. Kini mereka menuntut saya membayar hutang terbabit yang di luar kemampuan saya. “Selain menerima cacian dan hinaan kami juga menerima ugutan untuk membakar rumah serta mencederakan keluarga dan anak-anak menyebabkan mereka enggan ke sekolah. Kerana tidak mahu dicederakan, saya kini meminta bantuan saudara-mara untuk meminjam wang untuk dipulangkan kepada mereka semua,” katanya yang membuat tiga laporan polis berhubung kes itu.


Sementara itu, bekas presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd. Razif Syed Yasin menasihati orang ramai supaya berurusan dengan ejen pelancongan yang mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan.


“Sesiapa yang ingin membeli pakej percutian dinasihatkan membeli daripada syarikat berlesen kerana perlu mematuhi syarat ditetapkan selain mesti berurusan di pejabat agensi pelancongan berkenaan bagi mengelakkan sebarang penipuan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WangpercutianRM250_000lesap/Article

Dianggap bawa sial



Oleh Mary Victoria Dass

2010/07/20

JOHOR BAHRU: Umpama hidup di neraka. Begitulah derita seorang anak kecil dianggap sebagai ‘pembawa sial’ sehingga dilayan umpama hamba abdi oleh bapa saudara termasuk dirantai seperti anjing, didera dan dipaksa makan nasi berlauk cili padi serta serbuk kunyit hampir setiap hari.

SELAMAT...anggota polis menyelamatkan kanak-kanak menjadi mangsa dera  bapa saudara.
SELAMAT...anggota polis menyelamatkan kanak-kanak menjadi mangsa dera bapa saudara.
Lebih memilukan, akibat perbuatan zalim itu, kanak-kanak perempuan terbabit, S Thilagawati, 10, mengalami lebih lima kesan melecur di bahagian kiri dan kanan tangan, kesan tumbukan di muka, pergelangan tangan bengkak selain dipercayai mengalami keretakan tulang.

Penderitaan kanak-kanak perempuan itu bermula selepas ibu kandungnya melarikan diri bersama teman lelaki sejurus kematian bapanya mengakibatkan mangsa mendapatkan ihsan bapa saudaranya yang juga adik kandung ibunya.

Bagaimanapun, perbuatan kejam bapa saudara terbabit terbongkar pagi semalam apabila kanak-kanak itu membuka rantai berkenaan dan meminta bantuan keluarga jiran untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak berdasarkan maklumat orang ramai, beberapa anggota polis dari Balai Permas Jaya menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah teres di Jalan Permas 1/11, Taman Permas Jaya, dekat sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui tidak bermaya di bahagian dapur dan hampir semua anggota badannya mempunyai kesan kecederaan lama dan baru.

Menurutnya, polis menemui rantai dan mangga dipercayai digunakan bagi mengelakkan kanak-kanak itu melarikan diri, selain kunci serta salur paip plastik.

“Siasatan mendapati, kanak-kanak itu tidak diberi makan penjaganya. Ketika tindakan menyelamat mangsa dilakukan, kakinya tidak dirantai tapi terdapat kesan luka baru dan lama di tubuh mangsa,” katanya.

“Polis masih menjalankan siasatan dan setakat ini, tiada tangkapan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak berkenaan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, doktor mengenal pasti kesan melecur di bahagian kiri serta kanan tangan dan pergelangan tangannya bengkak.

Beliau berkata, pemeriksaan X-Ray terhadap kanak-kanak itu mendapati dia mengalami keretakan tulang dipercayai akibat kesan penderaan terhadapnya.

Katanya, maklumat diperoleh kanak-kanak berkenaan tidak mengalami masalah mental dan dia pernah bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Tun Aminah, sebelum ini.

“Ibu kanak-kanak berkenaan bekerja sebagai pembersihan mengunjunginya di wad kanak-kanak di HSA dan tidak menyangka anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami nasib malang,” katanya.

Anak durjana



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/07/20

KUALA LUMPUR: Seorang anak durjana sanggup menumbuk kepala bapanya menggunakan ‘buku lima’ sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan hanya kerana ‘rimas’ dengan nasihat bapanya yang mahu dia mencari pekerjaan dan berubah sikap menjadi orang baik.

SAKIT...Mustaffa menunjukkan kepalanya yang cedera.
SAKIT...Mustaffa menunjukkan kepalanya yang cedera.
Malah, anak sulung daripada enam beradik itu turut cuba memukul bapanya menggunakan tukul besi berhampiran rumah mereka di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam Off Jalan Istana di sini, tengah malam kelmarin.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mustaffa, 44, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, dia yang baru pulang bekerja menegur isterinya berhubung sikap anak sulung lelaki mereka yang gemar melepak dan membuang masa bersama rakan sebaya.

Mustafa yang bekerja sebagai penyiasat dalaman di sebuah pusat beli-belah meminta isterinya menasihati anak mereka itu supaya mencari pekerjaan dan membantu enam adiknya.

Ketika itu, anak mangsa yang berusia 21 tahun melepak dalam rumah.

“Sebaik mendengar saya berkata demikian, dia menerkam ke arah saya dan memukul kepala saya dengan buku lima hingga kepala saya berdarah. Saya langsung tidak menyangka anak saya sanggup berbuat demikian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mustafa, akibat kehilangan banyak darah, dia hampir pitam, namun cuba menahan diri daripada terjatuh.

“Anak saya melarikan diri, namun beberapa minit kemudian, dia muncul kembali sambil menjerit dan cuba memukul saya menggunakan tukul besi. Mujur beberapa jiran yang melihat kejadian itu sempat menahannya. Ketika itu terdetik hati dia berniat untuk membunuh bapa kandungnya,” katanya.

Mustaffa berkata, dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan oleh dua rakannya yang juga pemandu teksi sambil ditemani seorang anak perempuannya.

“Berdasarkan kecederaan, saya percaya anak sulung saya itu menggunakan buku lima. Namun, saya bernasib baik kerana lukanya tidak terlalu dalam,” katanya yang membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, sebelum ini anak sulungnya itu yang berhenti sekolah sejak berusia 16 tahun pernah beberapa kali menggertak mahu memukulnya setiap kali dinasihatkan supaya berubah sikap.

“Dia hanya gemar tidur di rumah atau melepak di pusat beli-belah bersama rakan sebaya. Tidak tahan dengan sikapnya itu, saya menasihatinya berubah walaupun ada kalanya dibalas maki hamun dan kata-kata kesat.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah memukulnya berikutan percaya ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan hubungan kami sekeluarga. Namun, selepas bersabar hampir lima tahun, sikapnya kian sukar dikawal, malah pernah diberkas polis kerana terbabit aktiviti tidak sihat,”
katanya.

Mustafa berkata, dia juga pernah diugut anak kandungnya itu yang mahu mencederakannya jika terus menerus mengganggu hidupnya.

“Saya tidak berani pulang ke rumah berikutan bimbang dia bertindak di luar kawalan termasuk membunuh saya. Buat sementara waktu ini, saya berehat di rumah rakan di Ampang sehingga sembuh.

“Saya mahu dia berubah dan menjadi insan baik,”
katanya.

Dayah bagai lupa keluarga



Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/07/20

BANGI: Kisah gadis tempatan dilarikan ke Lombok, Indonesia bagaikan tiada berkesudahan. Kali ini, seorang lagi remaja berusia 18 tahun menjadi mangsa selepas terpedaya dengan pujuk rayu jejaka Lombok sebelum dilarikan dari kediamannya di Semenyih, di sini, Jumaat lalu.

PULANGLAH... Noraini merayu anaknya Nurhidayah supaya pulang ke pangkuan keluarga.
PULANGLAH... Noraini merayu anaknya Nurhidayah supaya pulang ke pangkuan keluarga.
Gadis itu, Nurhidayah Sahari, dilaporkan hilang dari rumah pada hari jadinya selepas ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Bandar Baru Bangi, di sini.
Sebelum itu, dia dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki warga Indonesia dari Lombok, sejak dua bulan lalu.


Kehilangannya disedari ibunya, Noraini Adnan, 44, selepas anaknya itu tidak pulang ke rumah pada hari berkenaan sebelum mengetahui anaknya itu mengikut seorang lelaki berusia 20-an dari Lombok bernama Ronny.

Susulan itu, Noraini membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu.
“Sehari sebelum kehilangannya, perangai Dayah (Nurhidayah) agak pelik kerana lebih banyak berdiam diri dan tidak mahu memandang kami sekeluarga apabila bercakap. Malah menantu saya juga pernah melihat muka Dayah berubah warna kekuningan dan matanya merah seperti biji saga,” katanya ketika ditemui di Pejabat Ikatan Relawan Rakyat (Rela), di sini, semalam.

Noraini berkata, dia percaya anaknya sudah ‘diguna-gunakan’ jejaka Lombok itu hingga dia lupa kepada keluarga dan bertindak mengikutnya lari.

“Saya tidak percaya anak saya akan mengikut lelaki itu kerana dia begitu tidak menyukai pemuda dari negara jiran itu. Ini kerana anak saya itu yang juga seorang anggota Rela dan sering mengikut operasi bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di sekitar daerah ini,” katanya.

Noraini berkata, selama ini dia tidak menyedari anaknya itu membawa sedikit demi sedikit pakaiannya sebagai persiapan melarikan diri bersama kekasihnya itu.

“Saya percaya, lelaki itu yang mempengaruhi Dayah kerana anak saya itu seorang anak yang baik dan bertanggungjawab membantu keluarga dari segi kewangan. Saya tidak percaya Dayah yang mahu melarikan diri.

“Khabarnya, anak saya itu akan dilarikan ke Lombok pada jam 8 malam ini (tadi) dan saya berharap pihak berkuasa dapat membantu menghalangnya,”
kata ibu kepada tujuh anak itu.

Katanya, dia juga merayu kepada Ronny agar memulangkan semula Dayah ke pangkuan keluarga.

Sementara itu, Pegawai Rela Daerah Hulu Langat, Musa Mohd Yunus berkata, pihaknya sudah mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Maritim untuk memantau perairan negara bagi menghalang lelaki terbabit daripada membawa keluar mangsa.

“Mangsa anggota saya yang pernah bertugas di Depoh Tahanan Semenyih selain melakukan kawalan pada acara tertentu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan masih dijalankan.

Taek Jho Low jutawan Malaysia bersama selebriti Paris Hilton


GAMBAR yang beredar di Internet menunjukkan Taek Jho Low (kanan) bersama penyanyi Usher pada parti sambutan Tahun Baru pada 31 Disember 2008 di Las Vegas.


NEW YORK – Beberapa laman web selebriti mendedahkan bahawa jutawan yang bersama dengan selebriti Paris Hilton di Paris ialah Taek Jho Low.

Beberapa laman web termasuk majalah OK! melaporkan Jumaat lalu, Paris menjalani sesi fotografi di atas sebuah bot di Paris dengan memakai baju seksi berwarna merah jambu.

Selebriti itu berada di Paris bersama adiknya, Nicky Hilton semasa sesi fotografi tersebut.

Menurut majalah OK!, jutawan Malaysia itu dilabelkan sebagai seorang lelaki misteri dan dia dilaporkan membelanjakan sejumlah besar wang di kelab-kelab di seluruh dunia.

Sebelum ini, Paris menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan dengan menaiki sebuah jet peribadi dari London dengan rombongan jutawan Malaysia.

Siapakah jutawan Malaysia itu yang mendapat perhatian majalah dan laman-laman selebriti di Barat?

Pada 8 November 2009, akhbar New York Post melaporkan kehadiran Low, berusia 20-an, yang merupakan lulusan Sekolah Perniagaan Wharton di Philadelphia, AS di kelab-kelab malam di New York dengan membelanjakan ribuan dolar dalam tempoh tiga bulan.

Low mendapat tumpuan akhbar itu apabila dia bersama dengan beberapa selebriti seperti penyanyi P. Diddy berada di sebuah lokasi terkenal di bandar raya ini.

Akhbar itu turut melabelkan Low sebagai seorang lelaki misteri dari Malaysia.

Menurut akhbar itu, Low yang bertubuh gempal dan berkaca mata dilaporkan pernah menghantar 23 botol minuman keras Cristal kepada pelakon Lindsay Lohan bagi meraikan hari lahirnya.

Pemilik kelab Pink Elephant di 27th Street, New York, David Sarner berkata kepada akhbar itu, Low selalunya membelanjakan AS$50,000 (RM161,150) hingga AS$60,000 (RM193,380) semalam.

Menurutnya, Low pernah menerbangkan lapan pelayan kelab itu untuk menghadiri satu parti di Malaysia.

Menurut akhbar itu, Low pernah meraikan ulang tahun kelahirannya dalam satu parti mewah di Las Vegas manakala pelakon Megan Fox dilaporkan diterbangkan untuk menghadiri parti tersebut.

Akhbar New York Post melaporkan, adalah amat ganjil kerana tidak banyak maklumat mengenai lelaki yang mendapat perhatian meluas itu.

Menurut akhbar itu, berdasarkan biografi rasmi lelaki tersebut, dia berkhidmat sebagai penasihat untuk beberapa syarikat antarabangsa.

Namun, apabila pihak New York Post cuba menemu bual pakar-pakar Malaysia seperti kumpulan pemikir Majlis Hubungan Asing, nama Low tidak pernah didengari.

Menurut sumber-sumber akhbar itu, Low tinggal di sebuah apartmen yang mempunyai kadar sewa AS$100,000 (RM322,300) sebulan di Park Imperial yang merupakan lokasi penginapan pelakon James Bond, Daniel Craig dan P. Diddy.

Dia tidak akan pergi ke mana-mana kecuali ditemani oleh seorang pengawal keselamatan.

Pada 24 Mac lalu, akhbar New York Post melaporkan Low membayar AS$33 juta (RM106.35 juta) untuk sebuah penthouse di 1 Central Park West yang mencatatkan rekod jualan di New York.

Bilionair AS, Donald Trump membeli apartmen itu pada harga AS$5 juta (RM16.11 juta) pada 1997 sebelum menjualnya setahun kemudian pada harga AS$10.4 juta (RM33.51 juta) kepada penerbit filem Itali, Vittorio Checchi Gori.

Akhbar itu melaporkan Low membeli penthouse itu menerusi sebuah syarikat.

Pada 1 Julai lalu, akhbar New York Post melaporkan bahawa lelaki misteri itu telah meninggalkan apartmen di Park Imperial menuju ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.

Namanya itu kemudian mendapat tempat sekali lagi di majalah dan laman selebriti Hollywood selepas dia dilaporkan berada bersama dengan Paris. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0720&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

2 wanita didakwa lacur pelajar


Normaslinda (kiri) dan Roslina dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh semalam.


MELAKA - Selepas dua minggu terbongkar kisah pelacuran membabitkan pelajar sekolah di negeri ini, dua wanita akhirnya dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melacurkan dua pelajar.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Siti Normaslinda Mohamad Masrol, 22, dan Roslina Md. Snor, 23, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama selepas Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd. Asrar membacakan fakta kes.

Dalam pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa telah memperdagangkan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun bagi maksud eksploitasi pelajar itu di Hotel Everyday, 312 A.B.C di Jalan Tun Ali pada Mei lalu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0720&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...