Saturday, July 3, 2010

Tembakau bencana untuk wanita


WANITA terdedah dengan lebih banyak penyakit apabila merokok berbanding lelaki.


SETIAP tahun, industri tembakau terpaksa mencari rekrut-rekrut baru bagi mengganti mereka yang telah 'meninggalkan' pasarannya.

Istilah 'meninggal' di sini merujuk kepada perokok yang telah meninggal dunia disebabkan penyakit-penyakit kronik yang dibawa oleh tabiat itu.

Industri ini sejak beberapa tahun lalu telah menemui satu kumpulan besar yang agak mudah dipengaruhi untuk menggantikan kekosongan tersebut iaitu wanita.

Usaha mereka nampaknya berjaya hinggakan statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan jumlah perokok wanita di negara maju dan membangun telah meningkat dibandingkan dengan angka bagi perokok lelaki yang semakin menurun.

Menurut WHO, kadar perokok wanita di seluruh dunia dijangka meningkat sekali ganda pada tahun 2025, berbanding hanya sembilan peratus pada tahun 2007. Bagi golongan lelaki dikatakan hampir 40 peratus kaum itu hari ini adalah perokok dan ia sudah sampai pada puncaknya. Malah, menariknya trend menunjukkan peratusan lelaki merokok semakin menurun.

Jurang antara remaja lelaki dan remaja wanita yang mula merokok juga semakin rapat dengan kadar tujuh peratus bagi remaja wanita dan 12 peratus remaja lelaki di seluruh dunia.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 menunjukkan remaja perempuan (13-18 tahun) mula merokok pada umur purata 14.1 tahun berbanding remaja lelaki yang mula merokok pada umur purata 13.6 tahun.

"Kita menyaksikan peningkatan trend perokok wanita di Malaysia dan apa yang membimbangkan adalah umur mereka yang mula merokok adalah semakin muda," kata Ketua Institut Perubatan Respiratori, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin pada perasmian majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Pelajar sekolah wanita mula merokok biasanya kerana pengaruh rakan sebaya dan adalah penting bagi kita menawarkan sokongan serta kepakaran bagi membantu mereka meninggalkan tabiat itu."

Menurut WHO, wanita merupakan 20 peratus daripada perokok di dunia yang berjumlah satu bilion. Ini bermakna jumlah perokok wanita adalah seramai 200 juta orang dan angka ini semakin meningkat kerana epidemik tembakau juga semakin meningkat di beberapa negara.

Kuasa membeli wanita

Menurut Aziah wanita adalah kumpulan sasaran terbesar industri tembakau pada hari ini kerana mereka dianggap sebagai potensi pasaran yang belum diterokai.

"Wanita pada hari ini adalah lebih maju secara sosial, berpelajaran dan berjaya dalam kerjaya mereka. Mereka mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi serta kebebasan dalam membuat keputusan jika dibandingkan dengan masa lampau. Jika kena dengan teknik pemasaran, mereka rasa boleh merokok tidak kira pada masanya," kata beliau.

Syarikat tembakau menyedari hakikat ini dan menghujani golongan wanita dengan iklan yang 'memujuk' kaum tersebut menganggap rokok adalah simbol bagi kebebasan, glamor dan tarikan seks.


TREND merokok dalam kalangan kaum wanita di seluruh dunia menyaksikan peningkatan ketara.


Sebenarnya strategi pemasaran menumpu pada rasa tidak yakin wanita seperti perlunya mereka mempunyai bentuk badan yang langsing, bergaya serta sepadan dengan rakan sejawat lelaki.

"Tiada keindahan serta kecanggihan dalam merokok. Hanyalah keburukan serta penyakit yang dibawanya," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia.

Katanya, wanita dihidangkan dengan iklan atau kepercayaan yang mempunyai kononnya merokok adalah satu cara 'mengawal' berat badan.

"Tetapi iklan-iklan ini tidak menyatakan kesan buruk yang mengiringi tabiat merokok," kata Rosnah.

Kesan buruk bagi wanita

Penekanan terhadap perokok wanita muncul dengan kebimbangan sejagat setelah didapati jumlah perokok daripada kumpulan ini meningkat begitu ketara dan kemudaratan yang menimpa adalah lebih berat daripada lelaki.

Aziah menambah, pendedahan kepada rokok membahayakan wanita lebih daripada lelaki. "Selain daripada kanser serta masalah jantung dan pernafasan, wanita juga akan mendapat masalah kesuburan dan akan menghadapi risiko semasa mengandung dan kelahiran," kongsinya.

Menurut Aziah lagi, risiko seperti keguguran, bayi tidak cukup umur atau bayi mati dalam kandungan adalah lebih tinggi bagi wanita yang merokok ketika mengandung. Merokok juga meningkatkan risiko bagi menghidap kanser payu dara dan kanser rahim sebelum mencapai menopaus.

Perokok wanita juga menghadapi risiko tinggi terhadap COPD (masalah pulmonari obstruktif kronik) yang menyebabkan kadar kematian lebih tinggi dibandingkan dengan HIV/AIDS setiap tahun di dunia.

Statistik membimbangkan

Menurut Aziah, NHMS 2006 melaporkan daripada 2.7 juta perokok pasif di Malaysia yang berumur dari 18 tahun ke atas, 24 peratus terdiri daripada golongan wanita.

Katanya, satu lagi ancaman terhadap wanita adalah asap daripada perokok lain terutama lelaki.

Statistik WHO memberi gambaran yang lebih suram. Di seluruh dunia terdapat 600,000 kematian setahun disebabkan pendedahan terhadap asap rokok dan 64 peratus daripada angka tersebut adalah wanita.

Seperti kata Ketua Pengarah WHO Dr. Margaret Chan: "Melindungi dan menjaga kesihatan wanita adalah penting bagi pembangunan, bukan hanya bagi generasi hari ini malahan masa akan datang." - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Pengantin baru bakal dipenjara kerana merogol

Pengantin baru bakal dipenjara kerana merogol


MOHD. FADZIL (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka semalam.


MELAKA – Baru sebulan bergelar suami, seorang lelaki bakal meringkuk di dalam penjara selama tujuh tahun jika rayuan terhadap kes merogol remaja bawah umur tiga tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Kamal Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Fadzil Hamid, 25, selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman.

“Selepas meneliti dan mendengar keterangan kes, saya melihat terdapat perbezaan antara rogol dalam erti kata sebenar dengan rogol disebabkan mangsa bawah umur “kata Hakim”.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol remaja perempuan yang berusia 15 tahun ketika itu di sebuah rumah di Padang Temu, di sini pada 14 Ogos 2007, pukul 4.30 petang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Saya lemas dalam pujuk rayu Man - Rosmida


ROSMIDA (dua dari kiri) meminta maaf daripada ibunya, Zuraini Saad (kiri) sambil diperhatikan oleh bapanya, Rosli di Kuantan semalam.


KUANTAN - Rosmida Roslan, 15, memberitahu, dia bagaikan lembu dicucuk hidung apabila hanya menurut kehendak teman lelakinya dikenali sebagai Man ketika diajak melarikan diri pada 21 Jun lalu.

Katanya, dia mempercayai Man kerana lelaki itu yang dipercayai sudah berkahwin dan memiliki empat orang anak pandai memujuk rayu dirinya.

"Dia bercerita pelbagai kisah melanda hidupnya ketika itu seperti dia telah dihalau oleh ibu saudaranya. Kerana kasihan saya rela mengikut kehendaknya termasuk melarikan diri bersama Man," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas di sini semalam.

Dalam pada itu, dia memberitahu, Man turut mengajar dirinya untuk membalas khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh bapanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Peragut dipenjara tiga tahun, denda RM12,000

2010/07/02

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang mekanik meragut rantai emas bernilai RM700 milik seorang pembantu rumah, tiga tahun lalu, membawa padah apabila dia didapati bersalah dan dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan tidak wujud keraguan munasabah terhadap pertuduhan terhadap Mohd Fareez Muhd Fauzi, 25.


Zaki dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh bahawa dia bukanlah lelaki yang berada di tempat kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.


Katanya, sewaktu dia ditangkap Lans Koperal Hussin Ahmad telah membuktikan Fareez berada di tempat kejadian.


Terdahulu, peguam bela tertuduh K Komagen memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan mengambil kira latar belakangnya.


“Dia hanya berpendapatan RM800 sebulan dan perlu menyara seorang isteri dan tiga anak berusia satu, dua dan enam tahun,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Hussin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kejadian ragut yang semakin meruncing kini. Mengikut pertuduhan, dia didakwa meragut rantai milik pembantu rumah warga Indonesia, Sri Munilawati, di 79A, Jalan 1/5A, Taman Melati Setapak di sini, pada jam 9 malam, 2 Mac 2007.


Dia melakukan kesalahan mengikut Akta 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh yang menunggang motosikal cuba meragut rantai emas pengadu yang sedang berjalan kaki.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutdipenjaratigatahun_dendaRM12_000/Article

'Ini salah berat'

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

2010/07/02

KUANTAN: “Memandangkan kesalahan ini berat dan hukuman diperuntukkan juga berat, saya memberi peluang kepada kamu berfikir mengenai pengakuan bersalah yang kamu buat,” kata Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus kepada dua pesalah minum arak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menangguhkan hukuman terhadap dua lelaki yang mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan minum arak pada Februari lalu sebelum menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.


Dalam prosiding semalam, Abdul Rahman berkata, dia membuat keputusan itu bagi memberi peluang kepada tertuduh Mohd Saifulnizal Zulkifli, 29, dari Sungai Isap, di sini, dan Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, dari Pasir Putih, Kelantan, membuat rayuan dan menukar pengakuan bersalah dibuat mereka pada kali pertama kes berkenaan didengar pada 24 Mei lalu seterusnya melantik peguam.


Mengikut fakta kes, Mohd Saifulnizal yang bekerja sebagai buruh didapati melakukan perbuatan berkenaan di Kelab Malam Horoscope di Sri Dagangan, Jalan Tun Ismail, di sini, kira-kira jam 1.05 pagi pada 7 Februari lalu.


Tertuduh ditahan dalam Ops Taubat dilakukan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki meminum minuman keras.


Mohamed Rezzal pula yang juga seorang penganggur turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama yang dilakukan kira-kira jam 5.30 petang di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah, di sini, pada 13 Februari lalu.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).


Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara dan enam kali sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Ketika kali pertama mereka dihadapkan ke mahkamah pada Mei lalu, kedua-duanya merayu hukuman diringankan disebabkan faktor kewangan kerana masing-masing tiada pendapatan tetap sebelum Abdul Rahman menetapkan semalam sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.


Akhbar ini pada 25 Mei lalu melaporkan Mohd Saifulnizal memaklumkan kepada mahkamah bahawa gerak hatinya sendiri menyebabkan dia mengaku melakukan kesalahan berkenaan walaupun ditanya berulang kali selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada tertuduh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Inisalahberat/Article

Pijak kepala isteri

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

2010/07/02

MUAR: Seorang lelaki membelasah isterinya bagaikan dirasuk apabila wanita berkenaan meminta cerai, menyebabkan mangsa bukan saja dipijak kepala di lantai, malah wanita berkenaan juga ditumbuk dan ditendang bertalu-talu selain dimalukan apabila rambutnya digunting serta diugut bunuh.

Wanita yang berkerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu sudah lama makan hati dengan perangai suami yang kerap memukulnya tanpa sebarang sebab mahupun alasan yang munasabah kerana panas baran.


Namun episod malang wanita berusia 32 tahun itu sampai ke kemuncaknya pada 23 Jun lalu, apabila mangsa ditumbuk di muka beberapa kali oleh suspek yang tidak berpuas hati dengan permintaannya untuk berpisah.


Akibat ditumbuk serta takut perkara itu bakal berulang pada masa depan, mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis menyebabkan suspek berusia 33 tahun itu melarikan diri dari rumah mereka di Jalan Daud di sini, pada hari yang sama.


Mangsa yang mulanya menyangkakan hidupnya tidak akan diganggu lelaki itu lagi selepas membuat laporan terbabit, ketakutan apabila suspek datang semula ke rumah itu keesokannya.


Difahamkan, mangsa yang baru saja pulang dari tempat kerja menyedari kehadiran individu yang menaiki motosikal di hadapan rumahnya kira-kira jam 3.30 petang, tetapi tidak menyangka orang itu adalah suaminya.


Lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah lalu menyerang mangsa dengan memijak kepada wanita itu di lantai manakala tubuhnya disepak bertalu-talu.


Bukan itu saja, suspek yang tidak bekerja turut mengambil gunting lalu memotong rambut wanita berkenaan dan dalam masa sama turut mengugut membunuh mangsa.


“Aku bunuh kau, baru kau tahu aku siapa,” itulah kata-kata yang dikeluarkan suspek sebelum melarikan diri dan membiarkan mangsa terlantar di lantai kesakitan.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa diselamatkan ahli keluarga yang dihubungi selepas itu sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.


“Mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk lebam di muka akibat ditumbuk dan ditempatkan di sebuah wad di hospital itu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Berikutan itu, sepasukan anggota polis diarah mengesan suspek dan hasilnya dia ditahan beberapa jam selepas itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Muar di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakkepalaisteri/Article

Pejuang merdeka disemadi

2010/07/02

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin dikebumikan pada kira-kira jam 6.15 petang semalam di Makam Pahlawan dengan penuh penghormatan negara.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibalut dengan Jalur Gemilang dibawa dari kediamannya di Persiaran Duta ke Masjid Negara dan ditempatkan di Dewan Syarahan Utama pada jam 3 petang bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.


Jenazah Allahyarham diusung perlahan-lahan oleh anggota tentera daripada ketiga-tiga cabang Laut, Udara dan Darat ke Dewan Solat Utama sejurus selepas solat Asar untuk upacara solat jenazah yang diimamkan wakil imam besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Yusni. Turut sama menunaikan solat jenazah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa bekas menteri Kabinet. Selepas selesai, jenazah diusung perlahan-lahan ke Makam Pahlawan untuk upacara pengkebumian.


Turut menyaksikan upacara pengkebumian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah serta isteri Allahyarham Toh Puan Aishah serta anak bongsunya, Mohamad Taufik.


Omar, 92, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya pada 8.15 semalam dan jenazah dikebumi di Makam Pahlawan.


Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah, Malaysia kehilangan pejuang kemerdekaan dan anggota terakhir Kabinet pertama negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.


Allahyarham seorang daripada pengasas MCA dan pada 1952 bersama-sama Datuk Yahya Razak dari Umno membentuk Perikatan MCA-Umno membawa gabungan parti pelbagai kaum dan pelopor Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sehingga kini.


“Ong Yoke Lin dan Datuk Yahaya yang memutuskan membentuk perikatan bagi bertanding pada pilihan raya ini,” kata almarhum Tunku Abdul Rahman dalam bukunya pada 1977 bertajuk “Looking Back”, bagi mengimbas pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 ketika negara masih di bawah pemerintahan British.


Perikatan memenangi sembilan daripada 12 kerusi pada pilihan raya itu. -Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pejuangmerdekadisemadi/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...