Friday, July 31, 2009

H1N1: 69 kes baru transmisi tempatan dicatatkan hari ini

Jumaat Julai 31, 2009

KUALA LUMPUR Sebanyak 69 kes baru transmisi tempatan influenza A (H1N1) dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes di negara ini 1,371 kes termasuk empat kematian.

Enam puluh lapan kes yang dilaporkan hari ini melibatkan rakyat tempatan manakala seorang lagi rakyat China yang belajar di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata 1,341 kes telah sembuh dan hanya 21 kes masih menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan antiviral di rumah.

Sembilan kes berada di unit rawatan rapi iaitu dua remaja obes, seorang wanita hamil dan seorang imuniti rendah, katanya.

Beliau berkata tiga daripada tujuh kes yang berada di unit rawatan rapi pada hari sebelumnya telah dipindahkan ke wad isolasi.

Dr Ismail berkata lima kes sporadik yang baru disahkan positif influenza A (H1N1) adalah keskes yang berkomplikasi dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Beliau berkata daripada keseluruhan 1,371 kes yang dilaporkan di negara ini, 574 adalah kes import manakala 797 lagi kes jangkitan tempatan.

Merujuk situasi global, Dr Ismail berkata sehingga hari ini sejumlah 177,248 kes dengan 1,173 kes kematian dilaporkan di 163 negara, meningkat sebanyak 526 kes dengan tujuh kematian berbanding hari sebelumnya.

Di KUCHING, kesemua tujuh kes baru H1N1 di negeri itu merupakan jangkitan tempatan dan membabitkan pelajar sekolah iaitu enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Kedit, Betong, manakala seorang lagi ialah murid lelaki berusia lapan tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Lutong, Miri.

Sehingga kini, Sarawak mencatat 123 kes H1N1, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tiada penutupan baru sekolah sejak semalam.

Enam pesakit masih menerima rawatan di hospital, termasuk seorang wanita yang baru melahirkan bayi pada 20 Julai lepas yang masih berada di unit rawatan rapi Hospital Miri, manakala empat dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching dan seorang lagi di Hospital Miri. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/31/mstar_berita/20090731212627&sec=mstar_berita

H1N1: Tujuh dirawat di ICU

Jul 30, 09 5:08pm

Tujuh orang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan selesema A (H1N1) dan 11 lagi dirawat di rumah, kata ketua pengarah kesihatan.

Jumlah ini kira-kira 1 peratus yang masih dirawat, sementara selebihnya daripada 1,302 kes - termasuk empat kematian - telah berjaya disembuhkan, kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 728 kes atau 56 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

Sejumlah 36 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan - semuanya kes tempatan yang melibatkan rakyat tempatan. Seramai 32 orang dari tujuh gugusan baru penularan wabak, sementara tiga lagi kejadian dari satu gugusan sedia ada.

Hanya satu kes merupakan kes terpencil - wanita 22 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sg Buloh kelmarin selepas didapati mengidap radang paru-paru. Kes disahkan dijangkiti virus tersebut semalam.

Sementara itu, menurut Dr Mohd Ismail lagi dalam kenyataan hariannya berkenaan wabak itu, 89 pertanyaan diajukan kepada Kementerian Kesihatan semalam.

Dua persoalan utama yang ingin diketahui orang ramai:

Tempat-tempat yang dikenakan arahan penutupan kerana penularan influenza A(H1N1) dan kementerian mengingatkan mereka bahawa wabak itu cenderung merebak di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi seperti di sekolah, kolej dan institusi pengajian.

Kementerian itu menyarankan supaya orang ramai agar mengamalkansocial distancing atau tindakan merenggangkan dari orang lain dan mengurangkan aktiviti pergaulan di kawasan wabak, termasuk pengajaran dan pembelajaran.

Dr Mohd Ismail juga mengingatkan bahawa vaksin influenza A (H1N1) belum dihasilkan lagi dan hanya dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

"Cara yang paling berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza A (H1N1) adalah mengamalkan kebersihan diri yang baik, adab batuk dan mengamalkan social distancing seperti yang sering disarankan oleh kementerian," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/109619

6 sekolah, 1 maktab , 11 kem PLKN ditutup kes H1N1

Jul 30, 09 12:07pm
Enam buah sekolah dan sebuah maktab perguruan di Pahang dan Pulau Pinang ditutup hari ini bagi membendung penularan wabak selesema A (H1N1).

Sebelas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Semenanjung turut ditutup selama seminggu berikutan terdapat pelatih
menunjukkan tanda-tanda jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI).

Empat buah sekolah di Pahang yang berkenaan: SMK Seri Jengka, Maran; SM Abdul Rahman Talib, Kuantan, SM Sains Tengku Abdullah, Raub dan SMK Clifford, Kuala Lipis diarah tutup sehingga 7 Ogos.

Tindakan itu diambil setelah pemeriksaan Jabatan Kesihatan mendapati lapan pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan disahkan positif H1N1, lapor Bernama.

Sementara di Pulau Pinang pula, dua buah sekolah berkenaan SMK Permatang Pasir dan Sekolah Agama Al-Iqwan, Teluk Kumbar serta Maktab Perguruan Tuanku Bainun ditutup sehingga 7 Ogos.

Sebelas kem PLKN di Semenjung - daripada 83 buah di seluruh negara - diarah tutup susulan wujud tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1) di kalangan pelatihnya, lapor agensi berita itu lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata kem yang terlibat ialah:

> Kem PLKN Bina Semangat YPJ di Mersing, Johor;
> Kem PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak;
> Kem PLKN Jiwa Murni, Semanggol, Perak;
> Kem PLKN Sri Impian, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang;
> Kem PLKN Merang Suria, Terengganu;
> Kem PLKN Peladang, Setiu, Terengganu;
> Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka;
> Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka
> Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson, Negeri Sembilan; dan
> Kem PLKN Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Penutupan itu melibatkan 2,478 pelatih setelah kira-kira 450 orang pelatih dikesan dijangkiti ILI.

"Kebanyakan pelatih menunjukkan tanda-tanda dijangkiti ILI selepas pulang daripada bercuti selama empat hari bermula 24 Julai lepas dan dalam masa yang singkat jumlah pelatih yang mempunyai tanda-tanda ini bertambah dengan banyak," Abdul Hadi dipetik berkata hari ini.

Tambahnya, mengikut prosedur Kementerian Kesihatan, sesuatu tempat yang mempunyai simptom influenza A (H1N1) akan diarah tutup sekiranya 5 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuninya didapati mengalami demam sehingga mencecah 38 darjah Celcius.

http://www1.malaysiakini.com/news/109570

123 demam, sakit tekak

ALOR STAR: Penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan sehingga memaksa Kolej Pembantu Perubatan, di sini, menangguhkan aktiviti selama seminggu mulai semalam selepas 123 daripada 480 pelajarnya dikesan demam dan sakit tekak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata berikutan itu, seramai 357 lagi pelatih kolej berkenaan dikuarantin bagi mengelakkan penularan virus berkenaan daripada pelajar itu.

“Jabatan Kesihatan sudah mengarahkan sebarang bentuk aktiviti termasuk kuliah di Kolej Pembantu Perubatan Alor Star, ditangguh selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan 123 daripada pelajarnya dikesan menghidap demam dan sakit tekak.

“Arahan penutupan kolej dibuat selepas lima peratus daripada jumlah pelatih mengalami demam, batuk dan sakit tekak.

“Kami sudah mengkuarantin semua pelatih,” katanya di sini, semalam.

Famili sisih, suami buang

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sudahlah disisih keluarga sejak 22 tahun lalu kerana memeluk Islam tanpa restu, kini hidup seorang wanita yang juga anak kepada bekas penjaga gol bola sepak kebangsaan, bagai jatuh ditimpa tangga apabila digantung tidak bertali oleh suaminya.

Perbuatan tidak bertanggungjawab suami yang diharapkan menjadi pembimbing dan pelindung selepas wanita berkenaan memeluk Islam itu, sekali gus menghancurkan ‘mahligai’ yang mereka bina sejak 18 tahun lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah, 40-an, menyifatkan kehidupannya kini seperti pelarian yang memaksa dia menghilangkan diri bersama enam anak berusia sembilan hingga 15 tahun.

Ini semata-mata bagi mengelak diburu ahli keluarganya yang sememangnya tidak pernah merestui rumah tangga dibinanya dengan seorang lelaki Islam.

Aisyah yang memeluk Islam ketika berusia 21 tahun sebelum bernikah empat tahun kemudian berkata, suaminya menghilangkan diri ketika anak bongsu mereka masih dalam kandungan. Kanak-kanak itu kini berusia sembilan tahun.

Menurutnya, walaupun harapan menggunung didambakan terhadap suami untuk menjadi pembimbing dan pelindung dalam kehidupan baru, namun ia hanya tinggal harapan apabila ditinggalkan begitu saja tanpa diceraikan.

Bagi menyara anak yang semuanya masih bersekolah, Aisyah yang bertekad tidak akan meninggalkan Islam biar apapun terjadi berkata, dia terpaksa menagih simpati melakukan kerja dari rumah ke rumah selain membuat kuih di sebuah restoran di ibu kota.


Mengimbau kejadian selepas memeluk Islam, Aisyah berkata, dia terus disingkir keluarga dan hanya bergantung hidup atas belas ihsan masyarakat setempat.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila lelaki yang dikahwini bukan saja tidak memberikan nafkah, tetapi malas bekerja.

“Saya terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga, tapi suami hanya goyang kaki dan memeras wang yang saya peroleh sebelum meninggalkan saya,” katanya.

Aisyah berkata, walaupun ditimpa pelbagai keperitan hidup, kesungguhan mendalami Islam tetap menebal dalam hati biarpun perkahwinannya tidak bahagia dan kini hidup dalam serba daif.

“Saya tahu risiko bakal dialami jika memeluk Islam, namun saya nekad kerana pintu hati sudah terbuka terhadap keindahan Islam dan sanggup menghadapi apa juga dugaan.

“Hingga sekarang keyakinan dan komitmen saya terhadap Islam tetap utuh serta menerima apa juga dugaan dengan hati terbuka tanpa sedikitpun rasa kecewa dan tertekan,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, ketika mula-mula memeluk Islam, keluarga sering memujuknya meninggalkan agama Allah itu dan paling menyedihkan apabila dia dikurung serta didera supaya akur dengan kehendak mereka.

“Saya melalui saat menakutkan ketika itu, malah ada satu ketika ahli keluarga tergamak membotakkan kepala serta memukul dengan batang kayu semata-mata mahukan saya kembali kepada agama asal.

“Akibat tidak tahan dengan seksaan itu, saya nekad melarikan diri dan hingga sekarang bimbang pulang ke rumah berjumpa ahli keluarga kerana tidak mahu peristiwa buruk itu berulang,”
katanya.

Dia berkata, keinginan mendalami Islam terbit dari hatinya sendiri kerana sejak berusia sembilan tahun, dia amat suka mendengar takbir Aidilfitri, malah akan turut sama bertakbir.

“Ada ketika saya akan menitiskan air mata hanya dengan mendengar takbir. Waktu itu saya sendiri tak pasti apa yang menyebabkan saya berkelakuan demikian.

“Apabila dewasa, saya nekad dan mengambil keputusan menukar agama walaupun secara sembunyi-sembunyi,”
katanya.

Buat masa ini, Aisyah berkata, kehidupannya sekeluarga begitu sukar, ditambah pula keadaan kesihatannya yang tidak menentu selepas menghidap penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Malah, katanya, paling menyedih dan menguji ketabahannya apabila disahkan menghidap kanser darah.

“Keadaan ini membataskan pergerakan saya, malah tangan kiri tidak mampu menggenggam dengan kuat mungkin kesan pengambilan ubat akibat penyakit dihadapi selama ini,” katanya.

Aisyah berkata, walaupun bergelut dengan masalah kesihatan, dia tetap berusaha mencari rezeki dengan tulang empat keratnya bagi menyara dan memastikan anak mendapat pendidikan sewajar.

“Saya sanggup berhempas pulas mencari rezeki untuk memastikan pelajaran anak tidak terabai. Saya tidak kisah bersengkang mata mencari duit halal dan mengabaikan penyakit dihadapi asalkan mampu terus menyekolahkan anak.

“Saya reda dengan apa yang lalui dan tidak mungkin menukar agama hanya kerana dugaan sebegini. Hidup mati saya dalam Islam dan tiada siapa mampu menggugat kepercayaan saya,”
katanya yang berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggungnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090731084827/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...