KUALA LUMPUR – Seorang pakar ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin harga petrol boleh diturunkan di bawah paras RM1.92 seliter dalam tempoh sebulan ini jika harga komoditi itu di pasaran antarabangsa jatuh sehingga AS$60 setong.
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UKM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani menegaskan, harga minyak mentah dunia dijangka terus susut ekoran kelembapan ekonomi di negara-negara maju.
“Saya yakin harga bahan bakar itu akan terus turun dalam masa sebulan lagi sampai lebih rendah daripada AS$72 (RM252) setong.
“Berdasarkan pasaran dunia sekarang, pertumbuhan ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah lembab dan permintaan untuk minyak akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna, Datuk Shahrir Abdul Samad baru-baru bahawa harga runcit petrol mungkin kembali kepada RM1.92 seliter jika harga komoditi itu turun kepada AS$72 setong.
Namun, keputusan berhubung penurunan bahan bakar itu hanya akan diketahui pada mesyuarat kabinet akhir bulan ini.
Mohd. Fauzi memberitahu, penurunan harga petrol itu akan membantu menjana semula ekonomi sambil memberi kelegaan kepada orang ramai.
“Bila harga diturunkan, kos pengangkutan menurun dan yang secara tidak langsung akan berlakunya penurunan kadar inflasi yang beberapa bulan ini berada di peringkat sekitar lapan peratus,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia, Datuk Ibrahim Saidun pula berpendapat, harga minyak dunia dijangka meningkat semula ketika ekonomi pasaran dunia pulih.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.