Wednesday, February 11, 2009

Detik "bersejarah", 2 pilihan raya kecil bulan depan?

Detik "bersejarah", 2 pilihan raya kecil bulan depan?

KOSONG... Kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang, Perak kini kosong ekoran keputusan ADUN V. Arumugam meletakkan jawatan manakala Roslan Shaharum pula meninggal dunia semalam. SPR dijangka bermesyuarat minggu ini untuk mengatur pilihan raya kecil.


[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat meninggal dunia manakala seorang lagi meletakkan jawatan secara mengejut.

Kedua-dua peristiwa itu terjadi dalam tempoh 12 jam semalam, sekali gus perkembangan tersebut - sesuatu di luar jangkaan - memberi ruang untuk diadakan pilihan raya kecil.

Kedua-dua peristiwa itu juga melibatkan negeri jiran - Perak dan Kedah.

Malah, sebab bagi kedua-dua pilihan raya kecil kali ini dilihat sebagai "sesuatu yang bersejarah" dalam sistem pilihan raya negara ini.

Sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, dua pilihan raya kecil sudah ada diadakan iaitu kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kedua-duanya dimenangi oleh wakil Pakatan Rakyat.

Sambil mengakui kematian Ahli Parlimen dan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meletakkan jawatan semalam sebagai sesuatu yang jarang berlaku secara serentak, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat secepat yang mungkin untuk mengambil tindakan susulan termasuk pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak sudah pasti berlangsung dan ia akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujudnya kekosongan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mStar Online malam tadi berkata, pihaknya akan meneliti segala dokumen sebelum menentukan tarikh pilihan raya.

Apabila ditanya sama ada akan mengadakan dua pilihan raya kecil serentak, beliau berkata: "Kami juga kena melihat Perlembagaan Negeri Kedah sebaik sahaja menerima notis kekosongan."

Beliau tidak menyatakan dengan lanjut.

Bagaimanapun difahamkan tindakan meneliti segala dokumen kemungkinan berkaitan dengan perkembangan membabitkan kerusi Changkat Jering dan Behrang di Perak minggu lalu.

Changkat Jering merupakan salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Bukit Gantang.

SPR tidak mengadakan pilihan raya kecil selepas mendapati ada keraguan dalam dokumen peletakan jawatan membabitkan kedua-dua ADUN kerusi terbabit dan notis makluman yang dikemukakan oleh Speaker.

Ketika ditanya sama ada SPR akan mengadakan pilihan raya kecil serantak, Wan Ahmad yang dihubungi menjelaskan, "banyak aspek dan perkara perlu dipertimbangkan."

Apabila ditanya bila kemungkinan kedua-dua pilihan raya kecil akan diadakan, Wan Ahmad menjelaskan, terlalu awal untuk diperkatakan.

"Lagi pun ia perlu dibincang bersama melibatkan tujuh anggota panel SPR," katanya lewat malam tadi, yang turut terkejut apabila dimaklumkan sama ada suruhanjaya akan mengadakan dua pilihan raya kecil.


KEPUTUSAN KERUSI PARLIMEN DAN DUN DALAM BUKIT GANTANG

P59 - BUKIT GANTANG : Jumlah Pemilih (55,471)

M. Morgan (Bebas) 872

Roslan Shaharum (PAS) 20,015

Abdul Azim Mohd Zabidi (BN) 18,449

Majoriti: 1,566

N13 - KUALA SAPETANG : Jumlah Pemilih (19,699)

Tai Sing Ng (PKR) 7,285

See Tean Seng (BN) 6,721

Majoriti: 564

N14 - CHANGKAT JERING : Jumlah Pemilih (24,864)

Mat Isa Ismail (BN) 8,309

Mohd Osman Mohd Jailu (PKR) 9,411

Majoriti: 1,102

N15 - TRONG : Jumlah Pemilih (10,908)

Norazli Musa (PAS) 3,296

Rosli Husin (BN) 4,212

Majoriti: 916


ADUN LETAK JAWATAN

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pula melibatkan tindakan ADUNnya meletakkan jawatan dan ia diketahui pukul 9 malam tadi.

Lewat malam tadi, Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak mengesahkan ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan kedua-dua jawatannya iaitu sebagai wakil rakyat kawasan itu dan Anggota Exco Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Februari dan diterima oleh beliau pada 5 petang semalam yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.

"Dukacita saya memaklumkan bahawa beliau (Arumugam) telah meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau dan juga Anggota Exco Kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta," kata beliau pada sidang media kedua di Alor Setar.

Azizan berkata, sepucuk surat peletakan jawatan wakil rakyat itu turut diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Dr. Abd Isa Ismail.

Abd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbudin dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah Ahmad Kassim turut menghadiri sidang media itu.

Azizan berkata Arumugam, menerusi seorang wakilnya, telah menghantar dua pucuk surat iaitu sepucuk mengenai peletakan jawatan ADUN yang ditujukan kepada Speaker DUN dan sepucuk lagi kepada beliau untuk memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan iaitu Exco Kerajaan Negeri dan ADUN.

Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan ADUN itu kepada SPR untuk membolehkan pilihan raya kecil kawasan berkenaan diadakan.

Sementara itu, Abd Isa berkata, beliau akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau itu pagi ini.

Berdasarkan statistik pilihan raya umum 2008, Bukit Selambau mempunyai 34,977 pengundi dengan 50 peratus adalah pengundi kaum Melayu, hampir 30 peratus pengundi kaum India dan hampir 20 peratus kaum Cina.

Arumugam, 55, adalah pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas, beliau bertanding atas tiket bebas serta memenangi kerusi DUN Bukit Selambau setelah mengalahkan calon BN, S. Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Beliau muncul sebagai calon Bebas di saatsaat akhir hari penamaan calon setelah borang pencalonan wakil PKR, Saiful Izham Ramli ditolak oleh SPR atas masalah teknikal.

Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

AHLI PARLIMEN BUKIT GANTANG

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum pula meninggal dunia pagi semalam dipercayai kerana serangan jantung.

Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.

Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.

Roslan, 50, yang merupakan Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara dan Universiti Terbuka Malaysia.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.

Bahagian Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Changkat Jering, Kuala Sapetang dan Trong.

Di Perak, BN menguasai 13 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat pula 11 kawasan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, jentera pilihan raya parti itu bersedia untuk menghadapi sebarang pilihan raya, termasuk pilihan raya negeri sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

"Pengarah pilihan raya negeri PAS, Asmuni Awai telah memaklumkan kepada saya sebelum ini bahawa jentera parti telah dikerahkan di semua peringkat untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika DUN dibubar," katanya ketika dihubungi.

Nasaruddin yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, kematian Allahyarham Roslan adalah ketentuan Ilahi dan tiada kena-mengena dengan apa yang berlaku di Perak sekarang.

MB Kedah: Arumugam dakwa ditawar RM5 juta sertai BN

MB Kedah: Arumugam dakwa ditawar RM5 juta sertai BN

BERSAMA... MENTERI Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak bersama V. Arumugam pada majlis sambutan Deepavali di Alor Setar, Kedah pada Oktober lalu.

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam disebabkan beliau mendakwa tidak tahan dengan ugutan pelbagai pihak supaya meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ugutan itu termasuklah termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

"Saya hormati pendiriannya dan menolak habuan RM5 juta itu dan menurut surat itu, beliau (Arumugam) telah menerima pelbagai ugutan sejak Mac 2008 lagi dan disebabkan tidak lagi tahan dengan ugutan dan demi keselamatan keluarganya, beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya dalam sidang media di di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini malam tadi.

Terdahulu pada tengah hari tadi, Azizan mengesahkan Arumugam melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Arumugam merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Bagaimanapun sebelum ini peletakan jawatan Arumugam dikaitkan dengan masalah peribadi yang dihadapinya.

Baru-baru ini sekumpulan lelaki yang mendakwa mewakili 500 penduduk Taman Ria di Sungai Petani menghantar petisyen mengenai salah laku seorang anggota Exco kerajaan negeri kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mereka mendakwa Arumugam mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak.

Arumugam gagal dihubungi dan enggan menjawab sebarang panggilan telefon, termasuk daripada Menteri Besar dan wartawan manakala rumahnya di Sungai Petani telah kosong sejak dua hari lepas.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/10/mstar_berita/20090209225808&sec=mstar_berita

Jawatan Exco Perak dijangka dikurangkan

Jawatan Exco Perak dijangka dikurangkan

IPOH: Bilangan jawatan Exco kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dijangka dikurangkan kepada lapan orang berbanding 10 orang sebelum ini.

Sumber-sumber dalaman parti berkata, selain berharap angka lapan membawa tuah kepada BN, pentadbiran baru itu mahu memastikan kepakaran dan pengalaman mereka yang memegang jawatan itu benar-benar dapat berkhidmat kepada semua rakyat.

Istiadat mengangkat sumpah barisan Exco baru itu dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, pukul 10 pagi ini.

"Pucuk pimpinan tidak mahu rakyat melihat barisan exco itu dominan atau memihak kepada kelompok tertentu di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini.

Menteri Besar yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor membayangkan barisan exco baru akan menggabungkan muka lama dan baru selain mempunyai wakil parti komponen BN, sejajar dengan komposisi kaum di Perak.

Bernama difahamkan sekurang-kurangnya dua muka lama dijangka dilantik manakala enam lagi adalah muka baru, termasuk dua wanita.

Sumber itu berkata ADUN Chenderiang, Dr. Mah Hang Soon daripada MCA dijangka diberikan portfolio kanan seperti kerajaan tempatan, kesihatan atau pengangkutan sebagai imbangan kepada komposisi parti komponen dalam kerajaan negeri.

Dr. Mah yang juga Ketua Pemuda MCA Perak merangkap Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan merupakan satu-satunya ADUN bukan Melayu di kalangan 28 wakil rakyat BN.

Tidak diketahui sama ada tiga ADUN Bebas Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) turut disenaraikan.BERNAMA 09/02/2318MST


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/10/mstar_berita/20090210072747&sec=mstar_berita

Nizar patut bertanding di Bukit Gantang - DAP


Nizar patut bertanding di Bukit Gantang - DAP

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada PAS untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya di sini.

Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lepas oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian anggota Parlimen kawasan itu Roslan Shaharum, 50, daripada PAS semalam akibat sakit jantung. BERNAMA


200 saksi gerhana bulan penumbra

200 saksi gerhana bulan penumbra





KUALA LUMPUR: Hujan lebat petang semalam dan keadaan langit yang dilitupi awan tidak menghalang kira-kira 200 orang yang berkumpul di kawasan Planetarium Negara bagi menyaksikan gerhana bulan penumbra yang dapat dilihat di seluruh negara malam tadi.

Fenomena astronomi yang bermula jam 8.39 malam itu dapat dilihat jelas dengan mata kasar pada fasa maksimum pada jam 10.38 hingga jam 11.20 malam. 

Ia berakhir pada jam 12.38 awal pagi. 

“Gerhana bulan penumbra berlaku apabila bulan melintasi bayang penumbra bumi dan ia juga gerhana bulan yang paling sukar dilihat,” kata Pegawai Penyelidik Planetarium Negara, Lau Chen Chen dalam taklimatnya mengenai fenomena berkenaan.

Terdapat tiga jenis gerhana bulan iaitu gerhana bulan penuh, gerhana bulan separa dan gerhana bulan penumbra.

“Gerhana bulan penumbra kali ini mudah dilihat dengan mata kasar kerana 89.9 peratus daripada cakera bumi berada dalam bayang penumbra bumi semasa fasa maksimum,” katanya. 

Beliau berkata, fenomena gerhana bulan seterusnya diramal berlaku pada 1 Januari 2010 iaitu gerhana bulan separa yang juga dijangka dapat dilihat di seluruh negara. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210092820/Article/index_html

Guna tanah lapisan ketujuh

Syarikat Sinar Murni Enterprise menyediakan perkhidmatan yang jarang ditawarkan iaitu melakukan samak di bangunan atau rumah.


SARIMAH menunjukkan perbezaan tanah. Tanah di sebelah kiri yang lebih mudah hancur tidak boleh digunakan untuk menyamak manakala tanah liat (kanan) dibolehkan.


SEORANG peniaga telah membeli sebuah premis untuk memulakan bisnes perusahaan makanan halal. Premis tersebut terletak di dalam sebuah bangunan yang selama ini terbiar. Dia diberitahu terdapat banyak anjing liar yang bertandang ke bangunan tersebut. Dia juga dimaklumkan bahawa bangunan tersebut sebelum ini turut menempatkan sebuah restoran yang menyajikan daging babi.

Sebagai seorang Islam, peniaga tersebut tahu bahawa anjing dan babi ialah najis berat (mughallazoh) yang perlu disucikan dengan menyamak. Menyamak adalah perbuatan membasuh sesuatu sebanyak tujuh kali dengan air dan salah satu daripadanya ialah air bercampur tanah. Jika tidak melakukannya, bagaimana peniaga tersebut boleh meyakinkan orang ramai bahawa produknya halal?

Memandangkan perniagaannya masih di peringkat awal, banyak perkara perlu diuruskan menyebabkan dia tidak berupaya untuk menyamak sendiri premisnya. Kepada siapakah dia boleh dapatkan bantuan?

Dalam senario seperti itu, mungkin peniaga itu boleh mendapatkan khidmat yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pembersihan, Sinar Murni Enterprise (SME). Syarikat itu bukan sahaja menawarkan kerja-kerja pembersihan biasa, perpaipan dan pembuangan sampah, malah ia juga menawarkan perkhidmatan menyamak bangunan dan rumah. SME dipercayai syarikat pertama yang menyediakan perkhidmatan seumpama itu di negara ini. Syarikat itu ditubuhkan pada 2005.

Pengurus Operasi Sinar Murni Enterprise, Sarimah Othman, 43, berkata, syarikat itu mula menawarkan khidmat menyamak apabila dilantik sebagai kontraktor bahagian pembersihan projek Perbadanan Industri Halal Berhad (PIHB), kompleks Hab Halal. Hab Halal merupakan kompleks yang menjual produk halal 100 peratus.

SME ialah syarikat yang bertanggungjawab melakukan proses menyamak bangunan lima tingkat kompleks Hab Halal di Selayang, Selangor pada Ogos lalu. Pengerusi PIHB, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengarah Urusan Kumpulan PIHB, Datuk Norashikin Shahrom turut hadir pada majlis menyamak bangunan tersebut.


Hasarrudin membancuh tanah untuk menyamak bangunan Kompleks Hab Halal Selangor pada Ogos lalu.


Kompleks Hab Halal yang merupakan bangunan asal pasar raya Warta Selayang milik bukan Bumiputera itu dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini.

"Tidak ramai yang tahu tentang perkhidmatan kami. Setakat ini kami hanya mempunyai empat pelanggan untuk khidmat menyamak. Selain bangunan, kami juga menyediakan khidmat menyamak rumah kediaman," kata Sarimah ketika ditemui Kosmo! di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi memastikan proses menyamak menepati syarak, Sarimah memberitahu, pihaknya melakukan samak seperti yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Bahkan, setiap kerja-kerja menyamak akan diselia oleh ustaz-ustaz daripada kedua-dua jabatan tersebut.

"Sebelum mengambil tanah, kami perlu maklumkan kepada jabatan berkenaan tempat terletaknya tanah tersebut. Ustaz-ustaz itu juga akan menentukan sama ada tanah itu sah atau tidak untuk menyamak.

"Mereka akan membaca doa selamat sebelum proses menyamak dilakukan. Mereka juga memantau apabila proses menyamak selesai sama ada ia sempurna atau tidak," kata Sarimah sambil memberitahu dirinya juga perlu menghadiri kursus menyamak dengan jabatan tersebut sebelum menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Adakalanya kami diarah membasuh sehingga lebih tujuh kali untuk memastikan ia benar-benar sempurna. Walaupun tujuh kali sudah memadai tetapi sebagai ustaz, mereka lebih terang hati dan biasanya dapat merasakan sama ada ia sudah sempurna atau tidak," tambahnya.

Ditanya apakah ciri-ciri tanah yang dibolehkan untuk proses menyamak, Sarimah berkata, tanah yang dipilih itu mestilah betul-betul suci.

"Kami tidak mengambil sebarangan tanah. Kami perlu pastikan tanah diambil dari kawasan yang diyakini tidak dicemari najis. Kami juga perlu mengorek tanah dalam-dalam, adakalanya sehingga dua meter untuk menemui tanah yang liat," katanya sambil memberitahu kebiasaannya mereka mengorek tanah lombong.

"Tanah yang liat berada pada lapisan ketujuh tanah. Tanah ini kurang daya resapan dan dipercayai paling bebas najis," jelasnya.


LIMA pekerja sedang menyamak bangunan Kompleks Hab Halal Selangor.


Menurut Sarimah, pihaknya menggunakan khidmat jengkaut untuk mengorek tanah dan lori untuk membawa tanah ke lokasi yang hendak dibersihkan.

Syarikat itu dan jabatan agama Islam juga perlu mendapatkan keizinan atau membeli tanah daripada pemilik tanah terlebih dahulu.

"Kos mendapatkan jengkaut dan lori sahaja sudah RM1,500. Disebabkan faktor-faktor itu jugalah, bayaran minimum untuk khidmat menyamak ialah RM2,500," katanya sambil memberitahu harganya turut dipengaruhi saiz bangunan atau rumah yang hendak disamak dan jarak kemudahan mendapatkan tanah.

Tempoh melakukan samak bagi rumah kecil biasanya tiga hari manakala rumah besar selama seminggu. Bagi Kompleks Halal Hab yang berupa bangunan lima tingkat, ia mengambil masa hampir dua minggu.

"Secara peribadi, saya tidak merasakan amalan menyamak sebagai membebankan, sebaliknya ia benar-benar membuatkan kita yakin dalam menunaikan amal ibadat," katanya.

Baru-baru ini, wartawan Kosmo! turut ditunjukkan demonstrasi menyamak. Melihat ada di antara pekerjanya yang terdiri daripada orang bukan Islam, Sarimah berkata, untuk mengharapkan orang Melayu tempatan dalam pekerjaan seperti itu amat susah.

"Syarikat saya ialah syarikat pembersihan. Orang Melayu dan Islam tidak suka terlibat dalam kerja-kerja ini. Saya terpaksa mendapatkan khidmat pekerja bukan Islam dan warga asing untuk tujuan ini termasuk menyamak. Tetapi, pekerja bukan Islam itu tidak memegang peranan utama dalam kerja-kerja menyamak, Mereka hanya melakukan tugasan bilasan. Lagipun, proses menyamak 'dirasmikan' dahulu oleh seorang ustaz," katanya yang mempunyai hampir 20 pekerja.

Seorang pekerja bukan Islam, M. Jayanthi, 37, berkata, dia amat memahami keperluan umat Islam untuk membersihkan diri daripada najis.

"Saya tahu keperluan orang Islam. Menantu saya juga beragama Islam. Saya tahu tentang makna najis anjing dan babi bagi orang Islam," katanya sambil dicelah rakan sekerjanya yang merupakan warga Indonesia, Faizatul Abrar,24.

"Di Surabaya, Indonesia, kami tidak memanggilnya samak, tetapi kami memanggilnya 'dikasi suci'," ujar Faizatul.


TANAH diangkut menggunakan jengkaut untuk dipindahkan ke lori.


Sementara itu, Ustaz Hasarrudin Musa yang bertindak memimpin kerja-kerja menyamak kompleks Hab Halal Selangor berkata, cara terbaik untuk melakukan samak adalah dengan melalukan air terlebih dahulu bagi membolehkan ain atau fizikal najis dihilangkan.

"Basuhan kali kedua kemudian dimulakan dengan air bercampur tanah, diikuti dengan lima bilasan air suci," katanya yang kini tidak lagi bertugas di JAWI.

Hasarruddin menerangkan, tidak diharuskan menyamak seluruh bangunan, sebaliknya pada tempat yang dipercayai boleh terkena najis. Perhatian lebih diberikan kepada tandas dan dapur bagi rumah dan premis perniagaan tidak halal di sesebuah bangunan.

"Tanah pula tidak semestinya perlu dikorek dalam-dalam, memadai jika anda yakin yang ia bersih dan suci. Tetapi, bagi mereka yang menjadikannya sebagai perkhidmatan, semestinya mereka perlu bersumberkan tanah yang paling diyakini kesuciannya," katanya.

Hasarruddin mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil ringan tentang perkara itu.

"Walaupun terdapat beberapa pandangan tentang najis anjing, misalnya, namun ulama sependapat bahawa air liur anjing ialah najis. Jika najis tidak dibersihkan dan kita terkena najis itu, ibadat kita tidak sah," katanya.

Untuk mendapatkan khidmat Sinar Murni Enterprise, bolehlah hubungi talian 012-3472412.


TANAH yang telah diambil akan dilindungi dengan plastik bagi memastikan ia tidak dicemari najis.


Sabun untuk menyamak

MEMANDANGKAN adakalanya kita sukar untuk mendapatkan tanah yang suci untuk menyamak najis mughallazoh (anjing dan babi), syarikat Taharah Global (M) Sdn. Bhd. mengambil inisiatif memperkenalkan sabun tanah liat Taharah. Langkah syarikat itu boleh diberikan pujian.

Sabun Taharah yang bermaksud suci itu telah berada di pasaran sejak tahun 2004. Ia boleh dilakukan untuk bersuci dan menyamak dengan syarat menggunakan kaedah syarak iaitu sekali dengan air sabun Taharah diikuti dengan enam kali basuhan air bersih. Ini bermakna anda tidak perlu menggunakan tanah yang dikorek.

"Sesetengah mufti dari negeri Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan turut menyatakan sokongan terhadap produk ini. Kami mengambil masa selama empat tahun untuk penyelidikan dan pembangunan manakala satu setengah tahun untuk memperoleh fatwa," kata pengarah syarikat Taharah Global, Azian Mahmud ketika dihubungi Kosmo!.

"Kandungan sabun yang mengandungi 90 peratus tanah liat ini boleh digunakan untuk menyamak," kata Azian.


SABUN Taharah diperbuat daripada 90 peratus tanah liat.


Azian berkata, produk yang diperbuat daripada tanah liat itu juga baik untuk memperbaiki kulit bermasalah seperti panau, kurap, cacar air, kudis, ruam, gatal-gatal kulit, kelemumur dan rekahan tumit kaki.

"Khasiat tanah amat baik untuk manusia. Hikmahnya, manusia sendiri berasal dari tanah. Tanah juga mempunyai fungsi pembasmi kuman semula jadi," katanya.

Sabun Taharah sesuai untuk semua jenis kulit dan sesuai untuk kulit bayi. Ia juga mampu melembapkan kulit yang kering dan memperbaiki sel-sel kulit yang mati.

Menurut Azian, sabun itu juga boleh mencerahkan dan menghaluskan kulit.

Sabun itu dijual pada harga RM5.90 setiap satu buku. Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 03-62763416 atau 012-243 1110.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Alicia jalani lebih 100 pembedahan

LONDON - Seorang model terkenal, Alicia Douvall mendedahkan buat pertama kali punca dia melakukan lebih 100 kali pembedahan plastik, lapor sebuah akhbar semalam.


WAJAH Alicia kini.



ALICIA ketika berumur belasan tahun.


Menurutnya, pada zaman kanak-kanak, dia kerap didera menyebabkan dirinya berasa perlu menjadi seorang lain.

Dia melakukan pembedahan pembesaran payu dara ketika berumur 17 tahun, mengubah nama dan menjadi seorang gadis glamor.

Nama asalnya ialah Sarah Howes dan dia pernah menjalani 15 pembedahan payu dara, punggung, pipi, gigi, rahang, mata selain menanam implan di bahagian dagu.

"Peraturan di rumah (keluarganya) adalah ketat dan kami tidak membaca akhbar menyebabkan saya tidak mengetahui kewujudan gadis glamor (model).

"Apabila saya meninggalkan rumah, dunia terbuka luas dan saya berpendapat mahu menjadi sebahagian daripadanya (model)," katanya.

Alicia menjadi terkenal menerusi kerjaya model dan dia mula popular ketika menjalin hubungan dengan pemain bola sepak terkenal, Dwight Yorke pada 2000.

Kini Alicia yang berumur 28 tahun menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan sikap dan berikrar tidak akan melakukan sebarang pembedahan plastik.

"Orang yang mendera saya ialah seorang yang rapat dengan keluarga saya. Ia amat menyakitkan. Saya tidak pernah mendedahkan perasaan saya berhubung penderaan itu," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Doktor buang tumor paling berat di dunia

Doktor buang tumor paling berat di dunia


GAMBAR menunjukkan wajah Devi sebelum dan selepas pembedahan membuang tumor.



NEW DELHI - Sekumpulan doktor berjaya membuang tumor sebesar saiz bola sepak di bahagian muka seorang wanita India, Lakhmani Devi.

Wanita itu berhadapan dengan masalah tumor yang kian membesar sejak 25 tahun lalu sehingga beratnya mencecah dua kilogram.

Ia dianggap sebagai tumor paling berat pernah dibuang.

"Tumor itu dihasilkan oleh tisu yang pejal dan merupakan yang paling besar pernah saya temui dalam bidang perubatan," kata doktor yang mengendalikan pembedahan itu di Institut Sains Perubatan India di sini, K.K. Handa.

"Pesakit itu diberitahu oleh doktor-doktor di kampungnya bahawa dia akan meninggal dunia menyebabkannya 'menyimpan' tumor itu selama berdekad-dekad," katanya.

Anaknya, Lallan Singh berkata, pembedahan itu akan memberi satu bentuk kehidupan baru kepada ibunya kerana dia selama ini berkurung di rumah kerana malu dengan tumor tersebut. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Obama rayu sokongan rakyat

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam memberitahu orang awam secara terbuka supaya menyokong pelan penyelamat ekonominya.

Menurutnya, satu bencana akan berlaku jika pelan itu tidak diluluskan sebelum beliau membuat sidang akhbar pertamanya di White House.

Pada Sabtu lalu, Obama menyambut baik tanda-tanda bahawa satu persetujuan sudah dicapai di kalangan anggota-anggota Dewan Senat selepas perangkaan menunjukkan 598,000 pekerja diberhentikan pada Januari lalu.

"Jika kita tidak bergerak dengan pantas untuk menjadikan pelan itu sebagai usul, krisis ekonomi akan menjadi satu bencana kebangsaan," kata Obama di bandar Elkhart, Indiana.

Lawatannya ke Indiana sebelum kunjungannya ke Florida pada hari ini menunjukkan kesungguhan Obama untuk meningkatkan sokongan berhubung pakej rangsangannya yang bakal mencecah AS$800 bilion (RM4.2 trilion). - AFP

Olmert harap Livni jadi PM baru Israel

Olmert harap Livni jadi PM baru Israel




TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berharap Menteri Luar, Tzipni Livni (gambar) akan menggantikannya selepas beliau memenangi pilihan raya yang berlangsung pada hari ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Pengumuman secara terbuka itu dilakukan selepas spekulasi tercetus bahawa Olmert melakukan kerja di belakang tabir bagi menentukan kemenangan saingan Livni, Benjamin Netanyahu daripada Parti Likud.

"Saya mengenali semua parti dan calon, mungkin lebih daripada seorang," kata Olmert.

"Saya berpendapat calon yang lain mempunyai peluang dan tidak lulus ujian.

"Livni merupakan seorang calon yang mampu mengetuai Israel menuju ke arah proses kemanan.

"Beliau menunjukkan keazaman ketika perang (dengan Hamas yang berakhir 17 Januari lalu) dan kebijaksanaan dalam proses diplomatik," katanya.

Sementara itu, Netanyahu ketika melawat Bukit Golan di sempadan Syria berikrar akan memastikan ia menjadi milik Israel.

"Golan akan kekal berada dalam tangan kita jika Parti Likud memenangi pilihan raya," kata Netanyahu.

"Jika Parti Kadima (diketuai Livni) menang, kita tidak akan kekal berada di Golan," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kematian meningkat 171 orang


API membakar satu kawasan hutan dekat Kinglake semalam.





WHITTLESEA - Sejumlah anggota bomba dan penyelamat semalam mengeluarkan puluhan mayat daripada bangunan yang musnah menjadikan angka kematian akibat kebakaran hutan di Australia meningkat kepada 171 orang.

"Mereka semua mati di dalam rumah di sana. Setiap orang mati," kata seorang mangsa yang terselamat, Christopher Harvey di bandar Kinglake.

Polis percaya sebahagian daripada kebakaran itu yang memusnahkan bandar-bandar di kawasan pedalaman dekat bandar raya Melbourne dilakukan dengan sengaja.

"Tidak ada perkataan lain untuk menggambarkannya selain daripada pembunuhan besar-besaran," kata Perdana Menteri Kevin Rudd kepada stesen televisyen tempatan.

Satu kebakaran besar yang berlaku pada Sabtu lalu di negeri Victoria memusnahkan apa sahaja menyebabkan kebanyakan orang terbunuh dalam kereta.

Sebahagian orang terjun ke dalam kolam renang dan kawasan tadahan air di ladang untuk menyelamatkan diri.

Api menjulang setinggi bangunan empat tingkat pada satu peringkat dan keluasan kawasan merebak sehingga 40 kilometer.

Keluasan kebakaran itu adalah lebih 330,000 hektar di negeri Victoria.

Lebih 750 buah rumah musnah dan puluhan orang lagi dirawat di hospital kerana melecur.

Kebakaran hutan merupakan satu fenomena biasa di Australia tetapi kombinasi cuaca panas terik, kemarau dan belukar yang kering menyebabkan api merebak dengan pantas.

Sebelum ini tragedi kebakaran paling buruk di negara itu berlaku pada 1983 apabila 75 orang terbunuh.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Komet beracun menuju ke bumi

ARIZONA - Sebuah komet yang melepaskan gas beracun di angkasa sedang menuju ke arah bumi, lapor sebuah akhbar semalam.

Komet itu yang dikenali dengan nama Lulin yang memancarkan cahaya hijau telah ditemui setahun lalu

Ia ditemui oleh seorang pelajar meteorologi, Quanzhi Ye yang berumur 19 tahun ketika melakukan pemerhatian di balai cerap Lulin di Taiwan pada 2007.

Gambar komet itu berjaya dirakam dengan jelas oleh seorang jurugambar amatur, Jack Newton dari sebuah balai cerap beberapa hari lalu.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), komet itu akan mendekati bumi pada 24 Februari ini.

Ketika itu jaraknya dengan bumi adalah sejauh 60.8 juta kilometer. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Puteri Amira sedia pandu kereta di Arab Saudi

Puteri Amira sedia pandu kereta di Arab Saudi




RIYADH - Puteri Amira (gambar) iaitu isteri salah seorang putera diraja Arab Saudi yang merupakan antara lelaki terkaya dunia, Putera Alwalled bin Talal menyatakan kesediaannya untuk memandu kereta di negara berkenaan.

Bagaimanapun, dia hanya akan melakukannya sejurus wanita dibenarkan memandu kenderaan di Arab Saudi.

Puteri Amira memberitau akhbar Al-Watan, dia kerap memandu kereta ketika berada di luar negara.

"Pastinya saya bersedia untuk memandu kereta," katanya yang berkahwin dengan lelaki ke-13 terkaya dunia berdasarkan perangkaan majalah Forbes.

"Saya mempunyai lesen memandu antarabangsa dan saya memandu kereta di semua negara yang saya kunjungi," tambahnya.

Suaminya itu ialah anak saudara kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.

Arab Saudi merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengharamkan wanita memandu kereta. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Israel lancar serangan maut


BEBERAPA lelaki Palestin menyaksikan kerosakan sebuah pos polis yang menjadi sasaran serangan jet Israel di Khan Yunis, Gaza semalam.


GAZA - Seorang pejuang Palestin maut ketika bertempur dengan askar-askar Israel manakala sebuah jet Israel menyerang dua sasaran di Gaza semalam.

Kumpulan pejuang Jihad Islam dalam satu kenyataan mengesahkan seorang pejuangnya terbunuh kelmarin dalam satu serangan udara Israel.

Tentera Israel berkata, askar-askarnya terserempak dengan seorang pejuang bersenjata yang cuba melintas sempadan Gaza-Israel lewat kelmarin dan mereka melepaskan tembakan selepas dia meletupkan bom tali pinggang yang dipakainya.

Jet-jet Israel kemudian menyerang dua kedudukan pejuang Palestin semalam dalam serangan balas terhadap bedilan roket dari Gaza.

Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan di dua lokasi serangan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Palestin, Riad Malki menuduh Hamas cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya umum Israel hari ini dengan melancarkan bedilan roket ke selatan wilayah Yahudi.

"Hamas mahukan ketidakstabilan di rantau ini," katanya.

Beliau memberitahu, Hamas tidak mahu kerajaan Israel yang prokeamanan kerana bimbang ia akan menyambung proses damai dengan seterunya, Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Presiden Mahmoud Abbas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Dulu Arab pukau, kini Arab merompak


KERATAN Kosmo! 28 Januari lalu.





SUBANG JAYA - Selalunya kumpulan Pak Arab dikaitkan dengan ilmu pukau bagi mengebas barang berharga milik mangsanya tetapi perkara sebaliknya berlaku di Jalan Dagang Taman Sungai Besi di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, sekumpulan lima lelaki dipercayai berketurunan Arab telah menyamun dua pembekal barang kemas yang diekori mereka.

Sebelum kejadian, kumpulan suspek itu menaiki sebuah kereta Toyota Camry berwarna emas menggunakan nombor pendaftaran BHY 6786.

Suspek-suspek itu dipercayai mula mengekori dua mangsa bermula dari Kajang.

Sebelum kejadian, kedua-dua pembekal emas yang berusia 20-an telah pergi ke Kajang bagi mengambil sejumlah barang kemas bernilai RM400,000 yang baru sampai daripada pembekal di Klang.

Barangan kemas itu mahu diedar kepada pengusaha-pengusaha kedai barang kemas di Lembah Klang.

Bagaimanapun, sebelum menghantar barang kemas tersebut, mereka berhenti minum di sebuah restoran di situ.

Mereka meletakkan kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier di tempat letak kereta tidak jauh dari restoran tersebut.

"Selepas minum mereka berjalan ke arah kenderaan dan ketika itulah muncul empat daripada lima lelaki yang telah mendekati mangsa sebelum memaksa mereka menyerahkan beg berisi barang kemas yang dibawa," kata jurucakap polis.

Kedua-dua mangsa yang terkedu takut dengan perwatakan suspek-suspek yang didakwa sasa dan bengis walaupun mereka tidak nampak sebarang senjata. Mereka terus menyerahkan beg tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...