Thursday, December 4, 2008

Taib Mahmud nafi pilihanraya negeri lebih awal



Rabu Disember 3, 2008

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menafikan kemungkinan mengadakan pilihanraya negeri lebih awal kerana ini adalah tidak munasabah terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.


Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata semua kerajaan di dunia mengatakan ekonomi yang tidak menentu bukanlah masanya untuk mengadakan pilihan raya.


"Jika ada orang yang cuba adakan formula berlainan kemungkinan dia tidak tahu mengenai ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Abang Salahuddin dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.


Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.


Pilihan raya negeri Sarawak yang lepas ialah pada Mei 2006 dan tempoh pilihan raya akan datang ialah pada 2011.


Bulan lepas, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Wan Zainal Abidin Wan Sanusi membayangkan bahawa pilihan raya negeri ke-10 akan diadakan pada pertengahan tahun depan.


Ramalan ini berikutan perkembangan politik terkini di negeri ini di mana Anggota Dewan Undangan Negeri Ngemah, Gabriel Adit Demong dan bekas anggota Parlimen Sri Aman Jimmy Donald bersama-sama hampir 12,000 penyokong menyertai PKR.


Minggu lepas, Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata parti itu akan memberikan tumpuan untuk merampas Sarawak daripada BN pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka diadakan pada suku kedua tahun depan.


Semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan berada di Sarawak mulai minggu kedua bulan ini untuk memulakan "perjuangan" bagi memenangi pilihan raya negeri ini, katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_mutakhir/20081203220900&sec=mstar_mutakhir

Nik Aziz tetap mahu bukan Islam sertai PAS


Rabu Disember 3, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi melontarkan cadangan membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam walaupun ia tidak dipersetujui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Katanya PAS perlu memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam yang mulai menerima baik parti itu sehingga ada yang telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS serta turut berkempen untuk calon parti itu pada pilihan raya umum lalu.


"Bukan Islam pun dah mula undi PAS, kenapa kita tak boleh beri peluang kepada mereka. Politik ini untuk semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Nngeri di sini hari ini.


Pada muktamar PAS yang lepas, Abdul Hadi menolak cadangan berkenaan dan berkata penerimaan golongan bukan Islam untuk menyertai PAS mungkin mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan perlembagaan parti yang antaranya menetapkan syarat keanggotaan seperti beragama Islam, berakal dan akil baligh.


Mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu nanti, Nik Aziz berharap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, dipilih semula menjadi calon parti itu.


"Saya nak benar dia. Dulu dia bertanding pilihan raya umum di situ, tak ada sebab kita tak boleh letak dia. Di parlimen ni kita nak orang macam Mat Sabu kerana dia lantang," katanya.


Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akibat serangan jantung pada Jumaat lepas.


Pada pilihan raya umum Mac lepas, Mohamad Sabu tewas kepada Razali dengan majoriti 628 undi. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203162035&sec=mstar_berita

Anwar alu-alukan penyertaan Zaid



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke dalam pakatan pembangkang itu selepas beliau dipecat keahliannya daripada Umno semalam.


Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid banyak berkongsi prinsip hak asasi rakyat dan menghormati jaminan hak dalam perlembagaan iaitu isu sama yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.


"Kenyataannya yang menghormati jaminan dalam perlembgaan dan menentang undang-undang zalim seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sama dengan apa yang diperjuangkan oleh kami dan kami selesa dengannya," katanya pada majlis penyerahan salinan memorandum daripada Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) kepada Menteri Kewangan berhubung bantahan penggunaan RM5 bilion wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) untuk Valuecap Sdn Bhd, di Parlimen, di sini.


Ditanya sama ada beliau akan menjemput Zaid menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar berkata, beliau turut mengalu-alukannya namun tidak mahu memaksa Zaid memandangkan beliau baru sahaja dipecat dan Zaid juga sering mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain termasuk PAS da DAP.


"Kita alu-alukan beliau tetapi itu pilihannya. Beliau telah berbincang dengan pemimpin PKR, PAS dan DAP.


"Kami selesa dengan pendiriannya dan mahu beliau melibatkan diri dengan lebih lagi memandangkan beliau kini sudah pun terlibat dengan Pakatan Rakyat,"
katanya.


Anwar berkata, pemecatan Zaid daripada Umno melambangkan sikap tidak bertoleransi parti itu kepada ahli yang mempunyai pendapat yang tidak sehaluan dengan parti.


"Kehadiran mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak itu tidak menjadi masalah...tapi itu isu Umno.


"Cuma kita harap (Datuk) Zaid mengambilnya sebagai cabaran dan terjun dalam gelanggang,"
katanya.


Anwar berkata, pemecatan keahlian Zaid daripada Umno bukanlah satu perkara besar kerana kenyataan-kenyatan parti itu sebelum ini menunjukkan ia tidak mempedulikan prinsip asas hak asasi manusia dan hal ini tidak selari dengan pendirian Zaid.


"Pada saya, ia (pemecatan) bukan isu. Apa yang besar sangat jika dipecat?" katanya.


Ditanya sama ada Zaid pernah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, Anwar berkata, mereka pernah mengadakan siri perjumpaan tertutup dengan Zaid selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri Kabinet.


"Bagaimanapun, yang tertutup itu biarlah tertutup," katanya yang enggan mengulas lanjut.


Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, partinya bersedia menerima Zaid jika beliau berminat untuk menyertai parti itu.


"Kami sentiasa bersedia dan membuka pintu jika beliau mahu menyertai kami," katanya.


Lim berkata, Umno terlalu memperbesar-besarkan isu Zaid menghadiri majlis pembangkang sehingga membawa kepada pemecatan keahliannya sedangkan parti itu seharusnya memfokuskan kepada usaha membanteras politik wang dan rasuah yang semakin berleluasa di kalangan ahli.


"Pada mereka, kehadiran Zaid di majlis pembangkang merupakan isu besar yang menyebabkan Majlis Tertinggi (MT) mesti memecat beliau sedangkan mereka membiarkan rasuah dan politik wang berlaku dalam Umno," katanya.


Lim berkata, Umno tidak mampu lagi membendung politik wang sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berhasrat untuk mendedahkan nama pemimpin parti itu yang terlibat dalam gejala yang semakin berleluasa itu.


"Usaha membendung gejala inilah yang mahu dilihat oleh rakyat dan bukannya pemecatan Zaid," katanya.


Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno mengumumkan Zaid dipecat keahliannya serta merta daripada Umno kerana kesalahan melanggar etika parti termasuk yang terkini menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Abdullah memutuskan tindakan berkenaan berdasarkan beberapa tindakan Zaid sebelum ini khususnya apabila menghadiri sebagai tetamu jemputan ke majlis anjuran parti pembangkang.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203142445&sec=mstar_berita

Umno pecat Zaid Ibrahim



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipecat keahliannya serta merta daripada Umno kerana kesalahan melanggar etika parti termasuk yang terkini menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan tindakan berkenaan berdasarkan beberapa tindakan Zaid sebelum ini khususnya apabila menghadari sebagai tetamu jemputan ke majlis anjuran parti pembangkang.


"Penglibatan dia (Zaid) dilihat menyalahi etika parti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno hampir tiga jam di sini hari ini.


Ditanya sama ada Zaid boleh mengemukakan rayuan mengenai keputusan tersebut, Abdullah berkata: "Pecat dah tak boleh rayu".


Tambah beliau dengan pemecatan Zaid, Umno perlu konsisten dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan sebarang mengelakkan sebarang keraguan dan memastikan tidak wujudnya sikap pilih kasih apabila mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didapati melanggar disiplin parti.


Sementara itu Abdullah turut mengumumkan keputusan menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun.


Keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa kenyataannya sebelum ini yang mengkritik parti.


Abdullah turut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan juga telah membincangkan mengenai isu-isu sensitif terutamanya yang melibatkan perkauman dan agama.


Katanya Umno mahu mempertimbangkan beberapa saluran yang boleh digunakan bagi membincangkan isu-isu sensitif dalam suasana yang lebih terkawal.


"Semua itu penting difikirkan bersama, mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan datang kita putuskan apa yang boleh dilakukan.


"Tidak timbul keresahan atau cuit (perasaan) sensitif kaum-kaum lain,"
katanya.


Abdullah turut menasihatkan agar mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mengenai sensitiviti kaum dan agama perlu bertanggungjawab dengan tindakannya itu.


"Mengenai isu-isu sensitif ini, bagi sesiapa yang bercakap mesti berhati-hati kerana kenyataan yang dibuat akan mengundang reaksi banyak pihak.


"Reaksi akan timbulkan perkara-perkara yang tidak diingini dan mereka itu perlu bertanggungjawab bagi elakkan reaksi kaum-kaum lain,"
katanya.


Jelasnya isu sensitif yang dimaksudkannya tidak hanya yang melibatkan kaum Melayu sahaja sebaliknya turut melibat kaum-kaum lain di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum ini.


Abdullah berkata semua pihak perlu melatih diri daripada menimbulkan sebarang isu sensitif.


"Kalau tak jelas tentang sesuatu perkara (isu) yang berlaku, tak payahlah (perlu) timbulkan perkaraya yang sensitif," katanya yang menganggap tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat.


Ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan dan kritikan parti-parti komponen BN lain, Abdullah berkata perkara itu sentiasa diberi perhatian oleh Umno.


"Kita bukan tak tahu tindakan parti-parti komponen itu, kita bertanggungjawab, tak bermakna kita berdiam diri," katanya.


Menyentuh mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata pada mesyuarat berkenaan MT Umno masih belum memutuskan calon yang akan dipilih bertanding bagi kerusi berkenaan mewakili BN.


"Berkaitan dengan calon, kita belum tentukan pada waktu ini," katanya.


Ditanya sama ada MT Umno akan mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan calon yang akan bertanding, Abdullah berkata perkara itu tidak semestinya diputuskan oleh MT.


"Tak semestinya panggil MT, jawatankuasa pengurusan pun boleh pilih calon dan maklumkan kepada saya," katanya.


Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong apabila penyandangnya yang juga bekas Timbalan Menteri Pejaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu.


Dalam pada itu Perdana Menteri berkata MT Umno memutuskan supaya semua persiapan bagi menghadapi pilihanraya berkenaan disegerakan termasuk bantuan daripada badan perhubungan Umno negeri.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203014223&sec=mstar_berita

Arif Shah kekal di Umno - PM


Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah tidak berminat menyertai parti lain selain Umno, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Perkara itu disahkannya selepas memberitahu bahawa beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Arif Shah bagi membincangkan mengenai kedudukan sebenar isu yang ditimbulkan.


"Semalam Arif Shah datang jumpa saya dan kebetulan memang saya pun nak jumpa dia...dia dah jelaskan semuannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini.


Isu ini timbul apabila Arif mendakwa umno Bahagian Permatang Pauh yang diterajui Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sudah mula mengetepikan haknya sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.


Arif turut dilaporkan menerima tawaran Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dikatakan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya jika menyertai parti itu kelak.


Abdullah berkata Arif Shah memaklumkannya bahawa beliau akan tetap menjadi ahli Umno.


"Beliau akan tetap sebagai ahli Umno dan kekal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN)," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203021035&sec=mstar_berita

Krisis ekonomi dunia beri kesan minima kepada Malaysia

Rabu Disember 3, 2008

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih kukuh dan kesan yang diterima dari krisis kewangan dunia adalah minima, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.


"Malaysia tidak terdedah kepada krisis kewangan secara langsung dan menerima kesan secara tidak langsung dan minimum dari krisis gadaian subprima tersebut disebabkan kekuatan domestik ekonomi," katanya semasa sesi soaljawab di Dewan Negara di sini hari ini.


Beliau berkata jumlah tabungan negara masih berada pada paras yang kukuh iaitu 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mencerminkan negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi.


Negara juga mempunyai sistem perbankan yang stabil dengan tahap hutang tak berbayar yang rendah iaitu 2.4 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko sebanyak 12.6 peratus, jauh melebihi paras 8.0 peratus menurut piawaian antarabangsa, katanya.


Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga berada dalam keadaan kukuh berjumlah RM343.8 bilion setakat 14 November dan pencapaian lebihan dagangan yang besar sebanyak 51.6 peratus bagi tempoh Januari-September, menunjukkan ekonomi negara di tahap yang baik.


Bagaimana pun, Kong berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, tidak terkecuali dari merasai tempias keadaan ekonomi global yang tidak menentu yang mana eksport bersih barangan dan perkhidmatan bagi suku ketiga tahun ini didapati merosot 14.8 peratus berbanding 20 peratus pada suku kedua.


Sementara itu, beliau berkata kerajaan yang selama ini banyak bergantung kepada pendapatan Petronas, tidak bimbang dengan penurunan harga minyak dunia yang sedikit sebanyak menjejaskan keuntungan Petronas.


"Bila harga minyak turun memang keuntungan Petronas juga akan turun, tetapi langkah Petronas melabur di 37 buah negara dapat memastikan keuntungannya berterusan dan ia juga pada jangka masa panjang akan membantu pendapatan negara," katanya.


Kong berkata kerajaan tidak akan semata-mata bergantung kepada pendapatan minyak dan sedang merancang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara melalui sektor seperti perkhidmatan dan pertanian.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Maijol Mahap yang bertanyakan bagaimana kerajaan menangani pertumbuhan ekonomi negara kerana harga minyak dunia yang terus menurun akan menjejaskan pendapatan negara.


Kong berkata kedudukan bank-bank perdagangan juga masih kukuh berikutan langkah positif yang telah diambil selama ini dan pengalaman negara dari krisis ekonomi 1997/98.


"Bank-bank komersil kita masih lagi boleh memberi pinjaman atas nama dari bank-bank di Amerika Syarikat dan Eropah kerana bank di negara kita masih mempunyai duit dan keuntungan masih meningkat serta pinjaman tak berbayar juga masih rendah," katanya.


"Peminjam yang mempunyai masalah dengan bank juga boleh berunding di mana penstrukturan pinjaman boleh dibuat kepada mereka yang kredit kad tidak boleh bayar atau pun pinjaman perumahan boleh dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun dan sebagainya," katanya lagi semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Osman Bungsu yang ingin mengetahui sama ada bank-bank tempatan dapat melonggarkan syarat-syarat pinjaman. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203172609&sec=mstar_berita

Henti ulas isu kaum dan agama - Rafidah



Rabu Disember 3, 2008

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



KUALA LUMPUR: Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Rafidah Aziz mahu semua pemimpin parti komponennya tidak bercakap mengenai isu perkauman dan agama sama ada kepada publik mahupun melalui media.


Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak akan memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya hanya akan membawa perpecahan kepada parti.


"Saya minta semua pihak selesaikan apa-apa masalah yang timbul melalui mesyuarat...buat di dalam (mesyuarat).


"Jangan guna media siarkan apa-apa pun tentang parti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita BN di sini semalam.


Tambah beliau, jika wujud sebarang masalah berbangkit yang melibatkan parti ia perlu dibincangkan melalui mesyuarat untuk diputuskan tindakan lanjut bagi mengelakkan sebarang provokasi.


Katanya lagi perkara utama yang menjadi tumpuannya ialah untuk memperkukuhkan BN sebagai parti pemerintah.


"Tanpa BN apa lagi yang lebih penting? BN adalah kerajaan. Jadi masalah parti komponen tidak seharusnya dilibatkan dalam hal ini," katanya.


Rafidah berkata demikian bagi mengulas sama ada pertandingan jawatan tertinggi Wanita Umno antara beliau dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan memberi kesan kepada BN.


Jelas beliau isu-isu dalaman setiap parti komponen tidak seharusnya dibawa ke dalam BN sebaliknya perlu diselesaikan di peringkat parti masing-masing.


"Tak ada apa yang boleh dibuat antara Rafidah dan Shahrizat, sebenarnya bila kita bercakap mengenai memperkukuhkan BN...saya lupa dia (Shahrizat) nak lawan saya (pemilihan Ketua Wanita Umno).


"Walau apa pun, perjuangan parti mesti diutamakan. Pemimpin sentiasa datang dan pergi...sama ada kami pergi atau mati, parti mesti diteruskan.


Dalam pada itu, mengulas mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Rafidah berkata Wanita BN bersedia dengan merangka pelbagai strategi untuk menghadapinya.


"Wanita BN memfokuskan di kawasan-kawasan yang ada kekuatan mengikut peti undi.


"Sebagai contoh di kawasan peti undi yang pengundinya lebih Melayu, Umno akan mengetuainya, jika kawasan itu banyak pengundi Cina, MCA akan ketuainya dan begitu juga dengan kaum India," katanya.


Mengenai peluang untuk BN memenangi pada pilihanraya kecil berkenaan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata BN akan cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik dalam pilihanraya berkenaan.


Rafidah turut diajukan soalan mengenai dakwaan yang mengatakan beliau akan menarik diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno kerana menghadapi masalah kesihatan pada lututnya, beliau menganggap perkara itu sebagai 'sampah'.


"Saya masih sihat, malah lebih sihat dari anda kerana saya baru sahaja jalani pembedahan...minggu depan saya nak main golf," katanya sambil menyifatkan perkara berkenaan hanya sebagai cerita rekaan.


Sementara itu Rafidah turut mengumumkan penubuhan lima biro dalam Wanita BN yang bertujuan memperkukuhkan parti.


Lima biro berkenaan ialah yang berkaitan dengan latihan dan kepimpinan, perpaduan, perundangan, ekonomi serta pendidikan dan modal insan.


Jelas beliau, Wanita BN sentiasa berusaha untuk meningkat prestasi parti itu terutamanya selepas pilihanraya umum Mac lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081202194922&sec=mstar_berita

Pendapatan negara mungkin terjejas dengan penurunan harga minyak

Rabu Disember 3, 2008

KUALA LUMPUR: Pendapatan negara mungkin akan terjejas sekiranya harga minyak dunia turun dengan mendadak berikutan krisis ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


"Sekiranya harga minyak turun mendadak, pendapatan akan terjejas kerana peratusan pendapatan dari minyak adalah tinggi," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini.


Jika pendapatan negara terjejas ia akan membawa kesan-kesan lain, kata beliau tanpa memberi perincian.


Minyak merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.


Beliau berkata ahli MT UMNO juga telah diberi taklimat muktahir mengenai keadaan ekonomi Amerika Syarikat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Najib juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO.


Harga minyak telah jatuh ke bawah paras US$50 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) untuk melengahkan keputusan menurunkan kuota pengeluaran walaupun berpendapat bekalan melebihi permintaan di pasaran dunia sekarang. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203021814&sec=mstar_berita

Wednesday, December 3, 2008

ISA tidak akan dipinda atau dihapus walau ada ugutan

Rabu Disember 3, 2008

PUTRAJAYA: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetap tidak akan dipinda atau dihapuskan walaupun terdapat ugutan daripada sesetengah pihak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar. Beliau berkata akta itu sekarang digunakan dengan penuh berhemah, adil dan tidak disalahguna.


ISA hanya digunakan bila dianggap ada keperluan bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam, katanya.


"Saya menegaskan sekali lagi bahawa akta itu juga tidak digunakan untuk citarasa politik," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas yang akan keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang pindaan ke atas ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Menurut Syed Hamid kini terdapat 48 tahanan ISA berbanding 75 sebelum ini dan tahanan itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa jika mendapati mereka benar-benar sudah pulih dan tidak mengancam keselamatan negara.


Terdahulu, beliau menerima kunjungan delegasi dari Singapura yang diketuai oleh Menteri Undang-undang negara itu K.Shanmugam dan dalam pertemuan itu isu ISA turut menjadi antara agenda perbincangan. "Keduadua negara tidak kesal mempunyai ISA sebagai undang-undang pencegahan kerana ia dapat mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.


Selain itu, isu berhubung kebebasan dan peranan media serta hak asasi manusia turut dibincangkan kedua-dua pemimpin berkenaan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081202215146&sec=mstar_berita

Derita ditinggal suami di Jawa Timur


MAHU PULANG...Hawa menunjukkan gambar Norlizawati yang
menderita di Jawa Timur.


GRIK: “Tolonglah bawa saya pulang, saya sudah tidak tahan tinggal di sini.”

Begitu rintihan seorang wanita rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air selepas tiga tahun berhijrah ke Jawa Timur, Indonesia kerana berkahwin dengan rakyat negara jiran itu pada 2005.

Lebih memilukan, Norlizawati Mat Nor, 26, mendakwa hanya melalui saat indah perkahwinannya dengan Sutiknor Nizam, 29, selama beberapa bulan sebelum ditinggalkan suami yang kembali ke Johor untuk bekerja sejak 28 bulan lalu.

Penderitaan wanita berasal dari Kampung Seterus di Sauk, dekat sini, diceritakan kakaknya, Hawa, 41, yang menerima panggilan daripada adiknya itu pada Ogos tahun lalu selepas terputus hubungan dengannya sejak 2005.

“Saya begitu terkejut apabila menerima panggilan Norlizawati Ogos lalu, selepas kami sekeluarga terputus hubungan dan gagal mengesannya hampir tiga tahun sejak 2005.

“Sebaik mendengar suara saya, dia menangis teresak-esak,”
katanya ketika ditemui Harian Metro di Kampung Pelang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, hasil perkahwinan dengan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Sutiknor Nizam, dia dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang diberikan nama Musmaulidul Maulana.

“Dia merayu kepada saya untuk mencari jalan membawanya pulang ke tanah air kerana tidak tahan hidup menderita di Jawa Timur, Indonesia.

“Saya tidak sangka dia berada di Indonesia sejak menghilangkan diri pada awal 2005,”
katanya.

Menurutnya, Norlizawati yang juga anak keenam daripada sembilan beradik meninggalkan kampung pada 2002 untuk bekerja di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor sebelum menghilangkan diri dan gagal dihubungi keluarga pada 2005.

Hawa berkata, adiknya bersama anak lelakinya kini tinggal bersama mentuanya di alamat RT-004-RW004, Desa Kadungbang Teng, Kecamatan Bakung, Blitar, Jawa Timur, Indonesia.

“Suaminya juga merahsiakan tempat dia bekerja dan paling menyedihkan apabila saya tanya mengenai surat nikahnya, adik saya memberitahu dia tidak mempunyai surat nikah,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah keluarga terbabit boleh menghubungi Hawa di talian 019- 5765518.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203093944/Article/index_html

Sayu intai sekolah tepi rumah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my





JITRA: Kesempitan hidup menjadi penghalang kepada niat seorang remaja perempuan meneruskan pelajarannya walaupun rumahnya hanya kira-kira satu meter saja daripada pagar sekolah.

Anak yatim piatu, Nurul Aduha Mat Akib, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh di sini mendakwa terpaksa berhenti bersekolah sejak tujuh bulan lalu.

Menurutnya, pada masa ini, dia dan abangnya, Zaipun Ahmad, 19, menumpang hidup dengan datuknya, Rejab Yaakob, 80, selepas kematian ibu dan bapa mereka sejak empat tahun lalu, manakala adiknya, Mohd Ridzuan Che Zul, 4, pula terpaksa diserahkan kepada orang lain.

“Setiap pagi terutama pada hari persekolahan, saya akan mengintai pelajar dalam kelas dari pintu rumah bagi melepaskan rindu alam persekolahan sebelum membantu datuk mengemas rumah

“Siapa tak nak belajar. Ini masa depan saya tetapi apa boleh buat, saya tidak mahu menyusahkan datuk.

“Lebih baik saya membantunya dan menjaganya di rumah kerana datuk pun sudah uzur,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tanjung Pauh di sini, semalam.

Nurul mendakwa, selain menghadapi masalah kewangan, dia juga tidak dapat menahan penghinaan rakan sekolah yang memperlekeh dan memulaunya hanya disebabkan kemiskinan keluarganya.

“Apapun tohmahan mereka, saya hanya ingin menikmati semula zaman persekolahan sekiranya berpeluang meneruskan tanpa membebankan sesiapa terutama datuk,” katanya.

Sementara itu, Rejab berkata, dia mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu sehingga tidak dapat melakukan pekerjaan berat.

“Hendak makan pun saya harapkan ihsan penduduk kampung, inikan pula nak mencari wang persekolahan cucu saya.

“Pernah juga kami terputus makanan selama beberapa hari selain menjadikan nasi bersama air garam sebagai makanan ruji sekeluarga.

“Mungkin ini memeranjatkan orang lain, tapi ia biasa bagi kami bertiga,”
katanya.

Difahamkan, keluarga ini sudah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM80 sebulan tetapi mendakwa tidak cukup kerana kos sara hidup yang kian meningkat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094007/Article/index_html
***RM80 sebulan..nak makan apa? Apa yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu..dalam keadaan ekonomi sekarang nih?***

Heroin dalam bekas minuman kotak soya


BUKTI...Nordin menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.


SHAH ALAM: Impian seorang wanita warga asing kononnya mahu menjadi peguam dengan mengikuti kursus perundangan berkecai selepas ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor kerana memiliki 71 kapsul dipercayai berisi heroin, di Ampang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan di Jalan Pandan Cahaya itu, seorang wanita juga warga asing yang mendakwa bekerja sambilan sebagai pembantu rumah turut ditahan dipercayai mempunyai kaitan kegiatan satu sindiket dadah.

Heroin bernilai kira-kira RM30,000 itu ditemui di dalam bekas minuman kotak soya satu liter.

Ketika mendedahkan kejayaan berkenaan, Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan membabitkan kedua-dua wanita berusia 26 tahun dan 51 tahun terbabit selepas polis menahan dua lelaki juga warga asing sehari sebelum itu.

“Sehari sebelum itu, polis menahan dua lelaki warga asing memandu sebuah kereta di sekitar Ampang.

“Hasil pemeriksaan, JSJN menemui satu beg plastik berisi syabu seberat 497 gram dengan anggaran nilai mencecah RM120,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Menurut Nordin, hasil tangkapan jam 10.15 malam terhadap kedua-dua lelaki berusia 36 tahun dan 42 tahun itu, polis menahan dua wanita terbabit keesokan hari pada jam 12.30 malam.

JSJN percaya kemungkinan semua ditahan anggota sindiket pengedaran dadah mempunyai rangkaian antarabangsa.

“Kami akan lakukan siasatan lanjut dan kini keempat-empat warga asing terbabit direman untuk membantu siasatan.

“Ada kemungkinan lebih banyak tangkapan selepas ini tetapi ia bergantung kepada perkembangan siasatan kes,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094314/Article/index_html

Khayal di kelas

Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my


BUKTI...Mat Ali menunjukkan botol Thai Song dan alat
menghisap ganja yang dijumpai di perhentian bas.


PENDANG: Sekumpulan remaja menjadikan perhentian bas di depan sebuah sekolah menengah di sini untuk meneguk ‘tonik setan’ selain melepaskan ketagihan dadah dipercayai jenis ganja tanpa segan silu.

Mereka termasuk pelajar berusia 13 tahun hingga 20-an berlagak selamba meminum arak dan menghisap dadah berikutan penemuan ‘dapur’ alat menghisap dadah.

Selain minuman keras murah jenama Thai Song, beberapa botol arak berjenama terkenal turut ditemui di kawasan itu yang menunjukkan kegiatan tidak bermoral di daerah ini semakin serius.

Lebih mengejutkan, segelintir pelajar didakwa turut meneguk Thai Song yang diseludup dari negara jiran kerana mudah diperoleh di premis tertentu seperti kedai runcit sebelum masuk ke sekolah untuk belajar.

Seorang penduduk, Mat Ali Awang, 58, berkata kumpulan remaja itu akan berkumpul di kawasan berkenaan untuk melepak sambil meneguk arak murah yang mudah dibeli pada harga RM3.50 sebotol (50 mililiter).

“Saya mendedahkan masalah ini kepada media selepas terbaca pendedahan yang dibuat akhbar Metro Ahad mengenai masalah ini yang mampu merosakkan akhlak remaja.

“Ramai pelajar sudah mula berjinak dengan arak Thai Song ini dan mereka sering berkhayal di lokasi ini sebelum masuk ke sekolah untuk belajar,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Mat Ali yang bekerja sebagai pemungut barang terpakai secara sambilan sanggup datang dari Pendang ke pejabat Harian Metro di sini, sambil membawa botol arak murah dan peralatan menghisap ganja itu sebagai bukti kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Menurutnya, selain bercampur gaul tanpa batasan jantina, dia bimbang kumpulan remaja itu akan menjadikan tempat terbabit untuk melakukan kegiatan maksiat selepas khayal dengan tonik setan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094607/Article/index_html

Sindiket pelacur cair rintihan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



TERSELAMAT...Yang (kiri) dan Feng menceritakan detik
cemas menjadi tawanan sindiket pelacuran di Puchong.


KUALA LUMPUR: Dua gadis yang diperdaya sebelum dipaksa menjadi pelacur ‘bikini’ tidak menyangka rintihan dan tangisan mereka secara berterusan selama 12 jam menjadi senjata paling ampuh untuk menundukkan beberapa ahli sindiket pelacuran.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun 21 tahun menangis teresak-esak sambil melutut dan merayu supaya tidak dijadikan pelacur di sebuah pusat spa yang dipercayai terletak di Puchong di sini.

Difahamkan ratapan dan linangan air mata berterusan mangsa menyebabkan sindiket pelacuran terbabit ‘hilang semangat’ lalu membawa kedua-dua mereka pulang ke sebuah rumah untuk dikurung.

Kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa dikenali sebagai Feng Yu, 19, dan rakannya, Yang Zhen, 21, dipujuk seorang kenalan supaya datang ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang.

Mangsa yang berasal dari daerah Wunan, China, ditawarkan gaji RM2,500 sebulan.

Selepas tiga bulan memikirkan tawaran itu, mangsa bersetuju terbang ke Malaysia dengan menampung sepenuhnya kos membuat pasport dan membeli tiket penerbangan ke negara ini.

Feng Yu berkata, sebaik sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 November lalu, mereka disambut seorang lelaki tempatan bernama Ah Keong yang menyamar ejen mencari pekerjaan.

Menurutnya, lelaki terbabit membawa mereka ke sebuah pangsapuri di sekitar Puchong, namun tidak dibenarkan keluar dari rumah itu.

“Kami dikurung di rumah terbabit seperti tawanan perang dan tidak diberikan makanan. Akibatnya kami berlapar dua hari dua malam sebelum lelaki terbabit sekadar memberikan nasi bungkus untuk mengalas perut.

“Saya cuba melarikan diri, namun gagal malah beberapa kali diugut akan dipukul sekiranya masih berhajat memboloskan diri,”
katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa mangsa tidak mungkin bebas daripada cengkamannya berikutan dia mendakwa mempunyai kenalan di kalangan polis dan kakitangan kedutaan.

Feng Yu berkata, lelaki terbabit bagaimanapun muncul pada Sabtu lalu dan mengarahkan dia dan Yang Zhen mengikutnya ke sebuah pusat rawatan spa mewah tidak jauh dari pangsapuri itu.

“Sebaik dibawa masuk ke spa itu, kami terkejut apabila melihat 17 hingga 20 gadis berpakaian seksi dipercayai berkhidmat sebagai pelacur.

“Kebanyakan mereka berkeadaan separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam dan coli manakala sebahagian lagi memakai baju tidur nipis,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dibawa memasuki spa terbabit melalui pintu belakang bangunan kemudian dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya tinggal seluar dalam dan coli dan diberitahu akan menjadi pelacur di spa itu bersama gadis dari Vietnam, Thailand dan China lain.

Menurutnya, kata-kata itu menyebabkan mereka tersentak dan akibat ketakutan, dia dan rakan menangis sekuat-kuat hati di hadapan lelaki terbabit dan melutut meminta belas ihsan daripadanya sebelum dibawa ke sebuah pangsapuri lain di Taman Mutiara, Puchong.

“Ketika itu kami mendapat akal untuk melarikan diri dengan berpura-pura setuju menjadi pelacur sepenuh masa dan mungkin kerana percaya dengan lakonan itu, lelaki terbabit memulangkan pasport kami dan memberitahu akan menghantar mereka ke spa keesokan harinya.

“Kami berpeluang melarikan diri ketika lelaki terbabit keluar seketika dari rumah sekitar jam 10 malam Ahad lalu, sebelum kami terserempak seorang penghuni pangsapuri itu lalu meminta pertolongan,”
katanya.

Difahamkan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dihantar pulang ke negara asal melalui KLIA petang semalam oleh beberapa individu yang prihatin.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081203094924/Article/index_html

Tiada kondom, tiada seks


Walaupun menjadi golongan paling bawah dalam struktur sosial di India, namun golongan hijra akan menendang pemandu lori yang tidak mahu menggunakan kondom ketika melanggan mereka.


--------------------------------------------------------------------------------

SAVITHA dilahirkan sebagai lelaki tetapi menjadi seorang gadis pada usia 16 tahun. Sembilan tahun kemudian, beliau menjaja dirinya kepada pemandu-pemandu lori di hentian trak berdebu yang terletak di Bangalore, India.

Sebagai salah satu komuniti hijra iaitu lelaki yang suka berpakaian wanita, transeksual sebelum dan selepas pembedahan dikenali di sini sebagai sida, Savitha telah biasa dengan prejudis dan diskriminasi kerana menduduki tangga terbawah sosial di negara itu.

Namun begitu, beliau dan mereka yang menjual tubuh sepertinya pada harga yang jauh lebih rendah daripada kos sekotak rokok, sedang membantu India menentang penyebaran virus dan penyakit, HIV/Aids.

Walaupun mereka menawarkan khidmat seks pada harga murah dan betapa banyak pelanggan, tetapi jika pelanggan tidak memakai kondom, bermakna tiada seks untuk mereka.

"Sekiranya pemandu lori (pelanggan) tidak mahu memakai kondom dan mereka berkeras dengan kehendak mereka, kami tidak akan melakukannya.

"Sungguhpun kami akan kehilangan seorang pelanggan, tetapi kami dapat menjaga kesihatan kami,"
kata Savitha sambil membetulkan sari berwarna merah jambu yang dipakainya.

Kira-kira 20 minit memandu dari tempat Savitha 'bekerja' iaitu di lebuh raya yang menghubungkan Bangalore dan Pune di barat, Radhamma, seorang lagi transeksual lelaki ke wanita yang telah melakukan pembedahan jantina juga mempunyai peraturan yang sama.

"Kami tidak akan melakukan apa-apa tanpa kondom," kata beliau yang berusia 38 tahun.

Tambahnya: "Sekiranya seorang pemandu atau individu lain yang datang dan mahukan seks tanpa memakai kondom, kami akan menampar dan menghalaunya keluar."

Savitha tinggal bersama tiga lagi individu hijra dalam sebuah hamam atau rumah mandi di Madanayakana Halli yang terletak berhampiran lebuh raya utama, di mana udaranya dipenuhi dengan bau peluh, air kencing, minyak enjin dan asap rokok.

Radhamma menempatkan enam buah hamam di sebelah sebuah stesen petrol di simpang sibuk lebuh raya utama Bangalore ke Pune di Nelamangala.

Kedua-dua tempat itu merupakan lokasi terdesak yang membuatkan pemandu lori terpaksa melakukan seks.

Namun demikian, ketiadaan pendidikan seks formal di sekolah-sekolah dan perbincangan mengenai subjek itu masih dianggap sebagai tabu, tempat-tempat ini merupakan kunci sama ada India akan memenangi atau tewas dalam penentangannya terhadap HIV/Aids.

Kerajaan India menganggarkan antara 2 hingga 3.1 juta penduduk negara itu menghidap HIV/Aids.

Penyebaran penyakit tersebut sebahagiannya berpunca daripada amalan seks yang tidak selamat dalam kalangan 7.7 juta pemandu lori yang mendapat virus itu selepas mengadakan hubungan kelamin dengan pelacur sebelum menyebarkannya kepada isteri atau rakan pemandu mereka.

Hamam yang diduduki Savitha merupakan sebuah teratak berlantaikan batu yang bercahaya suram, di mana tanda-tanda kehidupan yang dapat dilihat ialah kehadiran subang yang diatur rapi di bawah cermin sisi lori yang bertindak sebagai cermin pemerhati, selipar yang ditinggalkan dan baju-baju yang masih tidak dibasuh yang terhimpun di atas sebuah bangku.

Di dinding berwarna merah jambu yang kian terhakis, kelihatan sebuah poster yang menunjukkan wajah tiga orang pemandu lori yang sedang tersenyum.

Dalam bahasa Hindi, poster itu memberitahu agar mereka menjaga badan seperti mana menjaga kenderaan mereka.

Poster itu dikeluarkan oleh Bhoruka Charitable Trust, sebuah organisasi tempatan yang disokong oleh Yayasan Gates yang beroperasi sepanjang jarak 10 kilometer lebuh raya berhampiran dengan tujuan memberitahu pemandu-pemandu lori agar mengamalkan seks yang selamat.

Ia merupakan model untuk kira-kira 15 projek yang telah ditubuhkan di kawasan-kawasan 'panas' lebuh raya di seluruh India, di mana pemandu-pemandu lori mencari seks, alkohol atau kedua-duanya selepas seharian berada dalam keadaan panas dan kotor di jalan yang penuh pencemaran dan berlubang.

Kesemua projek tersebut dipantau oleh Yayasan Perbadanan Pengangkutan India (TCIF), bahagian sosial perniagaan kargo jalan yang utama di India.

Tidak lama lagi Organisasi Kawalan Aids Kebangsaan akan mengendalikan kesemua skim-skim itu.

Menurut TCIF, pemandu-pemandu perjalanan jauh secara purata mempunyai tiga kali ganda kemungkinan untuk mendapat HIV berbanding masyarakat biasa, meningkat kepada enam bagi mereka yang bekerja di jalan-jalan di tenggara India.

Projek ini amat membantu dalam membekalkan kondom, kata Savitam sambil menambah, lebih ramai pemandu kini sedar akan risiko mengalami HIV dan jangkitan penyakit seksual.

"Tetapi masih ramai yang tidak tahu bagaimana memakai kondom. Kami mengajar mereka tentang itu," katanya lagi.

Badan kebajikan itu juga menganjurkan kumpulan-kumpulan perbincangan di pejabat-pejabat syarikat, mengadakan lakonan jalanan harian di hentian-hentian trak dan memasang mesin jualan kondom pada harga hanya 40 sen setiap satu.


PELACUR daripada golongan hijra kini lebih rela kehilangan pelanggan daripada menanggung risiko dijangkiti HIV/Aids.
--------------------------------------------------------------------------------

Ujian HIV disediakan di pusat perubatan badan tersebut yang terletak di lebuh raya terlibat. Pemandu-pemandu lori bukan sahaja berupaya memeriksa diri mereka, tetapi juga memperoleh diskaun untuk preskripsi atau kaunseling di ambulans bergerak milik organisasi tersebut.

Usaha pencegahan itu telah mendapat reaksi positif komuniti rapat pemandu lori yang mengakui bahawa ia telah membantu mereka lebih sedar terhadap kesan sikap berisiko yang diambil.

"Orang ramai kian sedar akan tahap kesihatan mereka disebabkan Aids. Pihak yang memberi dana program-program ini menjalankan tugas yang baik untuk negara ini. Ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," kata Darshan Singh, 40, yang memandu sejauh 2,300 kilometer dari bandar utara Chandigarh ke Bangalore.

Terasing dan dihukum masyarakat, golongan hijra India tidak mempunyai pilihan, selain meminta sedekah atau menjual tubuh mereka untuk hidup. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Obama menang kerana Bush

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menyatakan keputusan pilihan raya Presiden AS pada November lalu merupakan satu penolakan terhadap Parti Republikan, lapor sebuah akhbar semalam.

Bush turut mengaku bahawa dirinya sebagai punca sebahagian pengundi mengundi Barack Obama dalam pilihan raya itu.

Ketika ditanya oleh stesen televisyen ABC jika kemenangan Obama itu disebabkan oleh penolakan pentadbirannya, Bush berkata: "Saya berpendapat ia merupakan penolakan Parti Republikan.

"Dan saya juga pasti, sebahagian orang mengundi Obama kerana diri saya," kata Bush.

Beliau juga memuji pengurusan kempen politik Obama dan mesejnya dalam pilihan raya.

Ketika ditanya apakah hubungan persahabatan bakal terbentuk antara beliau dengan Obama, Bush berkata: "Salah satu ayat kepada beliau (Obama) adalah jika saya boleh membantu anda (Obama), beritahu saya," kata Bush.

Obama akan mengangkat sumpah jawatan Presiden sekali gus menggantikan Bush pada 20 Januari depan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Militan dipercayai ambil kokain


GAMBAR ini menunjukkan seorang militan, Azam yang mendapat rawatan di sebuah hospital di Mumbai.

LONDON - Kumpulan militan yang melancarkan serangan terhadap kepentingan awam di Mumbai Rabu lalu dipercayai mengambil dadah sepanjang tiga hari insiden berdarah berlaku, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam insiden itu, hampir 200 orang terbunuh manakala 300 lagi cedera akibat tembakan rambang 10 militan di Mumbai pada minggu lalu.

Satu sumber polis India berkata, sejumlah ujian yang dilakukan terhadap mayat kumpulan militan itu mendapati kehadiran dadah perangsang.

"Kami mendapati beberapa kesan suntikan mengandungi kesan kokain dan dadah LSD yang ditinggalkan. Ujian dadah turut mendapati kehadiran dadah dalam darah mereka.

"Mereka juga dipercayai mengambil steroid yang jarang diambil kumpulan militan.

"Semua mayat mempunyai bentuk tubuh sasa sekali gus memberi isyarat bahawa mereka menjalani latihan lasak sebelum serangan itu dilancarkan,"
kata sumber.

Tambahnya, kehadiran dadah perangsang itu menjelaskan mengapa kumpulan militan tersebut mampu bertahan terhadap serangan balas komando selama 50 jam tanpa rehat, tidur atau makan.

Sumber lain menyatakan, seorang anggota militan menyuntik dadah perangsang dengan jumlah yang banyak kerana mahu terus berjuang walaupun dia mengalami kecederaan teruk.

Sejumlah akhbar India kelmarin menyiarkan sekeping gambar satu-satunya suspek militan yang masih hidup di muka hadapan masing-masing.

Gambar militan itu, Azam Amir Kasav, 21, dirakam terbaring dengan mata terbuka.

Tidak ada maklumat mengenai lokasi sebenar Azam dirawat yang kini hidup dengan mesin sokongan hayat.

Laporan awal mendedahkan bahawa Azam ditembak di tangan selepas dia dan seorang lagi anggota militan, Abu Ismail melepaskan tembakan rambang dari sebuah mesingan di terminal kereta api Chhatrapati Shivaji.

Bagaimanapun, sebuah stesen televisyen menunjukkan rakaman bahawa kereta yang dinaiki Azam dilempar sebutir bom ketika dia ditahan di satu sekatan jalan raya.

Rakaman menunjukkan anggota polis menembak sebuah kereta Skoda berwarna putih menyebabkan Abu Ismail terbunuh.

Azam keluar terhuyung-hayang dari kereta itu sebelum dibelasah polis.

Sekumpulan penduduk kemudian turut membelasah Azam.

Drama itu berakhir setelah seorang anggota polis kanan menghentikan kejadian itu.

Terdapat laporan akhbar menyatakan Azam meminta dia diselamatkan ketika dirawat anggota perubatan namun laporan lain menyatakan dia enggan dirawat kerana mahu mati syahid.

Bagaimanapun, Azam sempat memberitahu para penyiasat bahawa serangan itu dirancang dengan teliti sejak enam bulan lalu di sebuah kem di Pakistan.

Azam dipercayai dirawat di sebuah hospital di Mumbai.

Kumpulan 10 militan yang berumur sekitar 20-an itu didakwa daripada kumpulan Lashkar-e-Tayyaba.

Sebanyak sembilan militan dibunuh dalam serangan itu oleh anggota-anggota pasukan keselamatan India.

Sekumpulan ulama Islam di Mumbai kelmarin menyatakan mereka tidak akan menerima sembilan mayat militian itu, kata jurucakapnya, Hanif Nalkhande. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Kumpulan prokerajaan Thai berang


BEBERAPA pekerja memusnahkan khemah penunjuk perasaan antikerajaan di pekarangan Rumah Kerajaan, Bangkok semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

BANGKOK - Penyokong-penyokong dan penentang kerajaan Thailand semalam memberi reaksi gembira dan berang berhubung pembubaran Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah.

"Keputusan sudah diatur," kata seorang ahli perniagaan wanita prokerajaan, Rojarek Phalaburee dari wilayah utara Thailand.

"Kami akan terus menyertai tunjuk perasaan," katanya.

Kumpulan Perikatan Untuk Rakyat (PAD) yang menganjur tunjuk perasaan antikerajaan menamatkan tunjuk perasaan di dua buah lapangan terbang utama di Bangkok selepas Mahkamah Perlembagaan membubarkan PPP dan dua parti sekutunya kerana menipu dalam pilihan raya 2007.

Bagaimanapun, penyokong-penyokong kerajaan ramalkan akan menyambung tentangan mereka selepas sambutan ulang tahun kelahiran Raja Thailand pada Jumaat ini.

"Lebih ramai orang akan menyertai tunjuk perasaan prokerajaan selepas 5 Disember ini," kata seorang peguam, Supakorn Meekaiw. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Somchai letak jawatan PM


SEJUMLAH penunjuk perasaan antikerajaan meraikan keputusan Mahkamah Perlembagaan
di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat (gambar kecil) meletakkan jawatan semalam selepas sejumlah penunjuk perasaan menduduki dua buah lapangan terbang utama di Bangkok sejak beberapa minggu lalu.

Berikutan keputusan itu, penunjuk-penunjuk perasaan berikrar untuk menamatkan tindakan menduduki kedua-dua lapangan terbang tersebut.

Jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dijangka beroperasi semula pada Jumaat ini.

Peletakan jawatan Somchai itu berlaku setelah Mahkamah Perlembagaan membubarkan tiga buah parti yang membentuk kerajaan Thailand.

Tindakan mengarahkan pembubaran tiga buah parti itu dilakukan dilakukan selepas mendapat ia melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.

Somchai juga dilarang berpolitik selama lima tahun.

Sejak penunjuk perasaan menduduki Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Somchai terpaksa mentadbir dari bandar raya Chiang Mai di utara Thailand.

Somchai menerima keputusan Mahkamah Perlembagaan.

"Ia tidak menjadi masalah, Saya tidak bekerja untuk diri saya. Kini, saya menjadi rakyat biasa sepenuhnya," kata beliau di Chiang Mai.

Pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan menyatakan, kepungan ke atas lapangan terbang akan berakhir hari ini.

Parlimen dijangka menamakan Perdana Menteri baru pada 8 Disember ini.

Parti yang dianggotai Somchai, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dua anggota sekutu PPP, Parti Machima Thipatai dan Chart Thai didapati bersalah melakukan penipuan dalam pilihan raya 2007.

Keputusan itu diputuskan berikutan penyabitan seorang anggota eksekutif PPP, Yongyuth Tiyapairat didapati bersalah membeli undi dalam pilihan raya tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Harga minyak turun 10 sen

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil keputusan untuk menurunkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

"Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, harga petrol RON97 akan dikurangkan daripada RM2 seliter kepada RM1.90 seliter dan petrol RON92 akan diturunkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Harga diesel akan dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter, kata beliau.

Ini merupakan kali keenam kerajaan menurunkan harga minyak sejak Ogos.

Kali terakhir harga minyak diturunkan ialah pada 18 November lalu. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...