Saturday, August 30, 2008

Bukan kerana ‘Racist’


Oleh: Muhamad Na'im Ab Razak

Aktivis Mahasiswa USM


Semalam aku menghabiskan masa untuk menghayati lagu ‘Anak Kecil Main Api’. Kali pertama mendengar lagu ini ialah sewaktu aku masih berfahaman racist. Lagu ini begitu sinonim dengan band skinhead 2nd guest dan The Mister yang membawa fahaman Malay Power.



Kemudian baru sahaja aku mendapat tahu bahawa ini ialah lagu patriotik. Terkejut gila aku. Seorang batch-mate kata lagu ni biasa dinyanyikan dekat BTN. Rupa-rupanya memang ada lirik lagu ni kat file BTN. Aku je yang tak sedar. Apa yang ada pada lagu ni sebenarnya?




Warisan-Anak Kecil Main Api



Anak kecil main api

Terbakar hatinya yang sepi

Air mata darah bercampur keringat

Bumi dipijak milik orang



Nenek moyang kaya raya

Tergadai seluruh harta benda

Akibat sengketa sesamalah kita

Cinta lenyap diarus zaman



Indahnya bumi kita ini

Warisan berkurun lamanya

Hasil mengalir ketangan yang lain

Peribumi merintih sendiri



Masa depan sungguh kelam

Kan lenyap peristiwa semalam

Tertutuplah hati terkunci mati

Maruah peribadi dah hilang



Kini kita cuma tinggal kuasa

Yang akan menentukan bangsa

Bersatulah hati bersama berbakti

Pulih kembali harga diri



Kita sudah tiada masa

Majulah dengan maha perkasa

Janganlah terlalai teruskan usaha

Melayukan gagah dinusantara



Komen aku pasal lagu ni lah. Sekiranya dihayati dengan betul lirik lagu ni, memang betul yang kita sudah hilang banyak benda. Tapi dalam masa yang sama, Ramai yang tuduh Pakatn Rakyat telah ‘Menjual’ Melayu. Persoalannya ialah siapa yang jual ‘Melayu’



Aku malas nak ungkit sejarah sebab aku dah tahu dah. Tapi isu ni pun agak sensitif. Tapi cuba anda semak balik sejarah bermula dari zaman kesultanan Kedah lagi. Bagaimana Pulau Pinang boleh jatuh ke tangan Sir Francis Light dan seterusnya membawa ke era selepas kemerdekaan. Bagaimana Pulau Pinang kehilangan masyarakat pribuminya yakni orang melayu. Korang fikirlah sendiri. Siapa yang menggadaikan siapa?



Lirik tu sebenarnya merupakan peringatan kepada kita. Tergadainya tanah kita kerana sengketa sesama Melayu. Maaflah sekiranya aku katakan ni. Tapi hakikatnya, memang melayu agak sinonim dengan perkataan ‘hasad Dengki.’ Bukan aku nak kutuk bangsa aku sendiri tapi itulah hakikat yang sukar sangat-sangat nak ubah. Sejak dari dulu lagi, tergadainya Tanah air kita apabila wujudnya persengketaan antara golongan istana dengan para pembesar yang akhirnya membawa kepada campur tangan Inggeris. Akhirnya, Melayu menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri tatkala kuasa menjadi TUHAN di hati. Sekarang, situasi itu pun berlaku lagi.



Lagu itu juga menyebut tentang ‘Maruah peribadi yang hilang.’ Jadi sekarang ni, apa yang melenyapkan maruah kita sebagai orang melayu. Jawapannya senang je. Rasuah sana-sini, kebejatan gejala sosial dalam kalangan remaja serta kurang pekanya golongan Mahasiswa dalam menyedari masalah lapangan umat.



Kalau dulu, Mahasiswa bertindak sebagai agen perubahan ataupun agen penyatuan umat, tapi kini mahasiswa menjadi boneka kepada sistem yang penuh kucar-kacir dan hedoisme. Renung-renungkanlah. Di saat bangsa lain belajar tanpa erti jemu, kita berperang untuk saling jatuh-menjatuhkan. Kita masih lagi berada dalam kejumudan sendiri dan masih berasa selesa. Ada lagi golongan mahasiswa yang memilih untuk menjadi kaki bodek dan menggadai prinsip diri demi kesenangan yang sementara.



Isu Dasar Ekonomi Baru juga dimainkan isu. Tapi siapa sebenarnya yang menjual DEB. Sebelum kita duk kritik orang tak tentu fasal, pernah tak kita ambil masa untuk kaji apa itu DEB sebenarnya. Kalau anda malas nak semak bab DEB tu, meh sini aku cerita serba sedikit.


------------------------------------


DEB adalah bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui RM-2 yang mana matlamat utamanya ialah untuk perpaduan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969. Selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.



Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-



*penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.


*pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;


--------------------------------



Jadi DEB tu hanya sehingga tahun 1990 je kalau anda semua nak tahu. Dan DEB ini pula selanjutnya telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional. Jadi kalau nak bahas pun. Landasannya mestilah berpaksikan Dasar Pembangunan Nasional sebab DEB dah tak ada dah.



Tapi, walau apapun, ikutlah saranan lagu. Bukan untuk menjadi racist atau mempertahankan melayu. Tapi sekiranya kita tidak ubah nasib bangsa kita, Allah pun tak akan tolong kita. Kita sepatutnya sudah tidak boleh lalai lagi. Kita kena kembali seperti zaman dahulu di mana Melayu begitu Gemilang tanpa sedikit temberang pun di peringkat antarabangsa. Kita boleh kembalikan zaman itu sekiranya kita tidak lalai lagi dan melangkah ke hadapan dengan penuh objektif dan bermaruah.



Bangkitlah golongan mahasiswa. Usahlah kau hanyut dalam mimpi-mimpi yang indah. Bangsamu kini dipijak. Bukan DAP yang memijak bangsa kita. Sebaliknya, nafsu serta hasad dengki kitalah yang menghasut untuk menggadai maruah bangsa kita sendiri. Budaya jilat-menjilat, bodek, dan rasuah itulah yang menjadi sial kepada perkembangan bangsa kita. Itulah yang menghancurkan kita. Bersatulah mahasiswa sekalian. Kembalikan suara kita.



Dari Mahasiswa ke Lapangan Umat


Suara Mahasiswa ke persada dunia.






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...