kemaskini 10:37pm Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dijadual dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang tidak membantu meluaskan ruang kebebasan ahli akademik dan pelajar. "Masalah di universiti, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman hari ini. "AUKU tidak apa. (Persoalannya) pegawai yang cenderung kepada parti (kerajaan) berubah atau tidak?"Beliau menambah, kebebasan di universiti tidak bergantung kepada pindaan AUKU, sebaliknya "sebahagian pentadbir yang prokerajaan mengambil sikap mengawal aktiviti pelajar dan pensyarah".Dr Ahmad Nidzamuddin memberitahu Malaysiakini, jika pentadbir institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak bersikap memihak, kebebasan kampus akan lebih baik.



Sementara seorang lagi wakil rakyat PKR Yusmadi Yusoff (foto kanan) pula menyifatkan pindaan tersebut hanya menyentuh aspek "remeh" seperti soal-soal administratif dan "menguatkan kuasa menteri".Dalam seksyen 9, menurut wakil PKR itu, pindaan supaya ketua kampus cawangan dilantik oleh menteri tidak boleh diterima, sepatutnya dibuat oleh naib canselor."Sudahlah naib canselor dilantik oleh menteri. Lepas itu tiada kepercayaan kepada naib canselor (melantik ketua kampus cawangan)," kata ahli parlimen Balik Pulau, yang juga seorang pengamal undang-undang.Pindaan-pindaan lain, tambahnya, seperti memberi kebenaran kepada ahli politik yang menyambung pelajaran bergiat dalam politik sebaliknya tidak perlu dipinda kerana perkara itu dijamin perlembagaan.Beliau berkata, akta untuk universiti haruslah mementingkan kebebasan akademik, termasuk kebebasan berpersatuan. Dalam AUKU, masalah paling ketara dalam seksyen 15 yang menyentuh kebebasan mahasiswa berpersatuan, katanya.Beliau mencadangkan, pindaan AUKU sepatutnya menetapkan kriteria naib canselor dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti.


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) "amat berharap" Seksyen 15 (4) yang berhubung soal bidang kuasa naib canselor diperhalusi semula kerana mempunyai ruang berlakunya "pilih bulu" dalam penguatkuasaannya."Sebaiknya diminimumkan kuasa naib canselor terhadap kawalan mahasiswa dalam berpersatuan. Mahasiswa harus diberi peluang memilih dan menyuarakan pandangan tanpa sekatan berdasarkan pengetahuan yang mereka ada," kata timbalan setiausaha agungnya Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan.Bagaimanapun, gabungan itu menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan akta itu. "Langkah-langkah pindaan yang diambil secara tidak langsung, jika dilihat dari sudut positifnya, akan membantu memangkin kembali peranan penting mahasiswa dalam masyarakat, iaitu sebagai jurubicara ummah," katanya.Rang undang-undang AUKU dibacakan bagi kali kedua pada sesi Dewan Rakyat yang akan bermula 28 Ogos ini dijangka panas terutamanya Seksyen 15 (hak mahasiswa berpersatuan) dan bidang kuasa menteri yang disebut dalam Seksyen 9 (kuasa menteri melantik ketua kampus cawangan), dan Seksyen 12 (hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus).Dalam seksyen baru 4(a) dan 4(b) pula, dijangka berlaku perdebatan hangat berkenaan jawatankuasa menasihati menteri bagi melantik naib canselor yang menyebut "menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu".
http://www1.malaysiakini.com/
No comments:
Post a Comment