Friday, August 8, 2008

Tekad ibu mencari Bilal - Terima panggilan anaknya akan dibawa ke Afrika Selatan

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN dan SHAH NIZAM OMAR
berita@kosmo.com.my


SMS dari Nasir yang mengaku membawa lari Bilal.

KUALA LUMPUR – “Saya mengambil anak kita kerana awak, keluarga awak, Jabatan Imigresen dan orang menipu saya serta memusnahkan kehidupan serta perniagaan saya”.
Itulah teks khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima Salwanis Ma’az daripada suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, pada malam 26 Julai lalu.
Sejak itu, hidup Salwanis mulai tak keruan kerana merindui anaknya, Muhammad Bilal yang baru berusia tiga bulan dan tidak menyangka suaminya sanggup berbuat demikian.
Menurutnya, SMS itu ada kaitan dengan kekecewaan Nasir sebelum ini bagi mendapatkan visa penduduk tetap kerana sehingga kini dia hanya memiliki visa pekerja.
Keesokan harinya, Salwanis menerima satu panggilan ringkas daripada Nasir yang memberitahu dia ketika itu sudah berada di Kuwait dan akan meneruskan perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan.
“Dalam perbualan itu, saya bertanya kepadanya kenapa mahu ke Afrika? Dia (Nasir) memberitahu yang dia boleh jaga Bilal di sana,’’ ujarnya kepada Kosmo! semalam.
Salwanis beberapa kali cuba menghubungi Nasir namun gagal kerana talian ditutup.
Setelah berusaha dan hidup dalam kesedihan selama 12 hari, Salwanis semalam bertekad untuk mendapatkan semula Bilal ke pangkuannya.
Ibu berusia 31 tahun itu mengakui hidupnya kini ‘berendam’ air mata.
“Setiap kali bila nak makan, teringat Bilal..sama ada dia sudah menyusu ke tidak?,’’ katanya yang membuat laporan polis mengenai kehilangan Bilal di Balai Polis Seri Kembangan pada 28 Julai lalu.
Dalam pada itu, katanya, Nasir melalui SMS juga menyerahkan pasar raya mini di Serdang Perdana yang diusahakan mereka kepada Salwanis.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...