Sep 23, 08 12:03pm
dikemaskini Penyanyi lagu rap kontroversi 'Negarakuku', yang popular dengan nama Namewee, disiasat polis berhubung lagu itu yang mendapat perhatian nasional tahun lalu apabila ia disiarkan di Internet.
Wee Meng Chee hadir selama tiga jam di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Kuala Lumpur mulai 10.30 pagi.
Beliau yang tiba dari rumahnya di Muar, Johor bersama ibu bapanya, antara lain diminta menterjemah lagu rap dalam bahasa Cina itu kepada bahasa Malaysia.
Sewaktu kontroversi itu memuncak Ogos tahun lalu, lagu pemuda 25 tahun itu di laman web Youtube mendapat sambutan hangat anak muda dan pengunjung Internet.
Dianggarkan lebih satu juta orang telah menyaksikan video tersebut di Internet sejak tercetus kontroversi tersebut.
Wee, yang masih belajar di Taiwan waktu itu, turut mendapat kecaman ahli politik kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa membangkitkan isu-isu sensitif tentang agama dan kaum.
Lagu dalam bahasa Cina itu mengkritik polis, amalan rasuah, kelemahan birokrasi, dasar pro-Bumiputera, dan juga mengulas gaya azan dilaungkan yang berselang dengan lagu kebangsaan.
Bercakap kepada pemberita selepas siasatan pada kira-kira 1.30 petang, beliau berkata polis telah menyoal motifnya membuat klip video lagu tersebut.
Beliau mendakwa, polis juga memberitahunya bahawa mereka ingin menutup fail mengenai perkara tersebut.
Sambil menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik, Wee yang telah memohon maaf terhadap penyiaran video tersebut, berkata beliau tidak fikir tindakan lanjut akan diambil terhadapnya.
Bagaimanapun polis pula berkata, Wee sedang disiasat mengikut Akta Hasutan dan perkara itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwaraya.
http://www1.malaysiakini.com/news/90215
No comments:
Post a Comment