Ditulis oleh Editor
Tuesday, 02 September 2008
Rumah yang didiami sebuah keluarga di Kampung Batangan, dalam daerah Marang di sini, sudah menjadi seperti sebuah 'kilang' bagi penghasilan air dan serbuk daun ketum.
Difahamkan, biarpun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, pemiliknya tetap berdegil dan terus menjalankan operasi seperti biasa bagi memenuhi permintaan terhadap bahan yang mengkhayalkan itu.
Jika sebelum ini pemiliknya sekadar memproses air rebusan daun ketum, kini mereka sudah 'maju' setapak lagi dengan menghasilkan serbuk ketum yang boleh dibancuh dan diminum dengan lebih mudah.
Seorang penduduk, Dol (nama samaran) mendakwa rumah kayu setingkat milik keluarga itu dikenali sebagai pusat utama pengeluaran air dan serbuk ketum bagi kawasan sekitar Marang dan daerah berdekatan.
Beliau mendedahkan bahawa semua ahli keluarga itu terlibat dalam menghasilkan bahan berkenaan dan ia sudah menjadi sumber pendapatan utama mereka sejak beberapa tahun lalu.
"Mereka anak-beranak bekerjasama dan ada 'tugas' masing-masing. Si ayah mencari bekalan daun, anak-anak tugasnya merebus, proses dan bungkus daun ketum.
"Malah anak perempuan keluarga itu diberi tugas uruskan penjualan air ketum kepada pelanggan yang datang ke rumah mereka," katanya yang mendapat maklumat daripada rakan-rakan yang menagih bahan itu.
Kosmo Online melaporkan, di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, mereka yang memiliki air dan daun ketum boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dengan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak melebihi empat tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Dol memberitahu, selepas diserbu pihak berkuasa beberapa kali sebelum ini, keluarga itu hanya menjual kepada pelanggan tetap mereka bagi menggelak kegiatan berkenaan dikesan.
Katanya, 'waktu operasi' rumah tersebut juga tidak menentu dan bergantung kepada bekalan daun ketum yang diperoleh pada hari tersebut.
"Saya difahamkan, daun ketum dibekalkan oleh seorang pembekal dari luar kawasan ini kepada keluarga berkenaan," katanya.
Namun ujarnya, yang paling membimbangkan apabila keluarga itu kini menemui cara mudah untuk mengedarkan bahan berkenaan dengan memprosesnya dalam bentuk serbuk.
Dol menjelaskan, ia dipercayai mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga RM5 dan RM10 sebungkus serta boleh digunakan untuk lebih 50 kali bancuhan
http://buletinonline.net/
No comments:
Post a Comment