SHAH ALAM - "Sebelum kejadian, isteri saya ada terima satu SMS (khidmat pesanan ringkas) misteri daripada bekas pembantu rumah warga Indonesia yang telah kami berhentikan.
"SMS itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana diberhentikan dan dihantar pulang ke Medan, Indonesia pada Sabtu lalu," kata Mohd. Yusof Abdul, 66.
Mohd. Yusof adalah suami kepada Raja Noriana Raja Ahmad, 41, yang maut dalam kejadian samun di sini awal pagi semalam.
Menurutnya, SMS tersebut berbunyi 'saya tidak puas hati, saya ada banyak kawan di Malaysia'.
"Saya tidak tahu apa kaitan SMS itu dengan tragedi yang mengorbankan nyawa isteri saya," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Mohd. Yusof yang juga merupakan bekas pegawai polis Cawangan Narkotik, Bukit Aman berpangkat Asisten Supritendan memberitahu, beliau mengesyaki bekas pembantu rumah berusia 30-an itu bersubahat untuk menyamun rumahnya pada 1 September lepas.
"Saya syak dia yang buka pintu supaya penyamun boleh masuk, tetapi saya tidak ada bukti kukuh untuk menuduh dia," katanya.
Mohd. Yusof turut mengesyaki bekas pembantu rumahnya itu juga pernah mencuri wang dari dompetnya sepanjang tujuh bulan bekerja dengannya.
"Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk hantar dia pulang ke negara asalnya Sabtu lalu," jelasnya.
Mohd. Yusof yang menikahi Raja Noriana yang merupakan perkahwinan ketiganya pada tahun 2003, menyifatkan isterinya itu seorang yang penyayang, baik hati dan disenangi ramai.
Menceritakan kejadian, Yusof memberitahu, dia dan isterinya menjerit selepas terkejut melihat kelibat dua penjenayah yang memecah masuk rumahnya.
"Akibat jeritan yang kuat, anak sulung saya terus terjun keluar dari tingkap biliknya kerana ketakutan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, beliau dan isteri yang tidak sempat melarikan diri terus diikat di tangan, kaki dan mulut di ruang keluarga, sementara seorang lagi anak perempuannya diikat di biliknya.
"Ketika polis masuk ke rumah, penjenayah hanya sempat menarik isteri saya dan dibawa ke bilik tidur utama untuk dijadikan tebusan," ujarnya yang memberitahu sempat menendang salah seorang penjenayah berkenaan.
Menurut Mohd. Yusof, beliau dan anak keduanya sempat menyelamatkan diri ketika polis menyerbu masuk rumah.
"Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah isteri saya yang cedera parah diusung keluar untuk dikejarkan ke hospital," jelasnya.
Sementara itu, Puteri Akila, 16, pula memberitahu, jeritan ibunya meminta dia turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri masih terngiang-ngiang di telinganya.
"Saya juga dengar suara lelaki (penjenayah) mengarahkan semua yang berada dalam rumah termasuk polis keluar atau mengancam untuk membunuh ibunya.
"Selepas itu saya tidak lagi dengar suara bonda sehinggalah dua penjenayah itu ditembak mati," jelasnya sambil mengalirkan air mata.
Menurutnya lagi, dia yang tidak sempat melarikan diri bersama kakaknya diikat dan disuruh diam di biliknya dan hanya berjaya keluar selepas polis menyerbu masuk rumah.
"Nasib baik kakak lari dulu kerana dia yang menghubungi polis, kalau tidak
tak tahu apa yang akan terjadi kepada kami sekeluarga," tambahnya.
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment