Oct 3, 08 2:51pm
Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas memantau masalah yang kian meningkat berhubung rakyat Malaysia yang tidak berstatus warganegara.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan pasukan itu memantau teras masalah itu, di samping masalah berkaitan dokumentasi dan mencari penyelesaiannnya.
Pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam berkata isu itu menjadi kebimbangan terutamanya kebelakangan ini dan perlu ditangani dengan segera, lapor Bernama.
"Adalah menyedihkan ada sesetengah rakyat Malaysia masih dinafikan dengan dokumen pengenalan diri pada masa ini.
"Ini adalah melanggari hak asasi manusia kerana tidak ada rakyat Malaysia yang layak dinafikan dengan hak kewarganegaraan," katanya kepada agensi berita nasional.
Minggu lepas, pekerja sambilan P Ragu menjadi perhatian negara apabila terpaksa ke Perak dari Johor untuk memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membantunya mendapatkan MyKad, setelah menggunakan dokumen pengenalan sementara sejak 1998.
Susulan itu, MIC menganggarkan sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Malaysia keturunan India masih lagi tanpa dokumen pengenalan diri.
Subramaniam berkata Suhakam juga mengendalikan banyak kes seperti itu tetapi setiap kali perkara itu dibangkitkan pada Jabatan Perdaftaran Negara (JPN), ia diberitahu proses mendapatkan dokumen pengenalan diri adalah rumit dan memakan masa yang lama.
Beliau mencadangkan JPN mengambil kakitangan dan mengerahkan lebih ramai pegawai yang boleh bertutur dalam dialek tempatan di estet dan kawasan pedalaman bagi membantu penduduk mendaftarkan diri dan memupuk kesedaran pentingnya ibu bapa mendaftar anak mereka.
Suhakam dilaporkan berhasrat menyiasat kes seorang penduduk Sino-Kadazan berusia 78 tahun di Penampang yang diberikan kad pengenalan diri merah dengan status pemastautin tetap setelah kad pengenalan birunya hilang.
http://www1.malaysiakini.com/news/90666
No comments:
Post a Comment