Oct 30, 08 3:29pm
DAP menyifatkan bantahan Pemuda PAS terhadap cadangan supaya dimansuhkan 30 peratus pemilikan bumiputera dalam syarikat tersenarai sebagai berpunca daripada salah faham walaupun berniat baik.
Begitu juga dengan bantahan PAS Selangor terhadap pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kata setiausaha publisiti DAP kebangsaan, Tony Pua.
Menurutnya, ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata ekuiti 30 peratus itu mesti dikekalkan dan "perlu dipertahankan walaupun jika sasarannya telahpun dicapai".
"Menurut beliau, sebelum tahun 1969, ekuiti orang Melayu adalah hampir kosong dan selepas 40 tahun, ia hanya mencapai 19 peratus. Jika ini berterusan, kita memerlukan 20 tahun lalu untuk mencapai
sasaran 30 peratus itu," kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.
Menurut Pua lagi, kegagalan bumiputera untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti - walaupun hampir 40 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan - hanya membuktikan bahawa pencapaian ekuiti menerusi pengawalan peraturan, tidak akan mencapai matlamat untuk meningkatkan kekayaan bumiputera dalam tempoh masa yang singkat.
"Malah, 19 peratus sasaran pemilikan kekayaan itu, jika tepat, tidak berganjak sejak tahun 1990-an," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Pua berkata, untuk membolehkan bumiputera mencapai sasaran 30 peratus pemilikan kekayaan negara itu, maka adalah penting bagi pasaran modal diliberalisasikan untuk menarik modal global.
'Rakyat Malaysia rugi'
Menurutnya lagi, matlamat negara untuk menjadi pusat kewangan serantau sejak 1980-an telah terjejas kerana Malaysia telah ketinggalan di belakang banyak pusat-pusat kewangan yang lain di rantau ini.
Pua berkata, Bursa Saham Kuala Lumpur, sehingga 1993, merupakan bursa saham kedua terbesar di rantau Asia-Oceania, tetapi hari ini ia telah terkeluar daripada senarai 10 bursa teratas, dan ketinggalan kepada pasaran kewangan di Singapura, India, China, Taiwan, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Akibatnya, kata beliau, bukan sahaja syarikat asing tidak berminat dengan bursa Malaysia, malah syarikat di Malaysia sendiri juga beralih kepada pasaran kewangan yang lebih menarik.
Akhirnya, tegas Pua, yang rugi adalah rakyat Malaysia sendiri.
Oleh itu, katanya, langkah progresif ke arah meliberalisasikan pasaran kewangan, akan membolehkan perkembangan ekonomi yang lebih dinamik, dan disertai dengan pewujudan kekayaan yang lebih besar.
"Pasaran yang lebih liberal juga akan memangkin tenaga kerja yang lebih produktif, yang mampu bersaing secara sama rata dalam ekonomi global," katanya.
Pelantikan Low
Menurut Pua lagi, PAS Selangor juga salah faham dalam reaksinya terhadap pelantikan Low (foto) sebagai pemangku pengurus besar PKNS.
Katanya, ini kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah pun menyatakan dengan jelas bahawa buat masa ini, Low adalah individu paling layak untuk mengisi jawatan tersebut.
Dengan itu, tegas Pua, ia bermakna Low mampu menguruskan PKNS secara lebih berkesan dan cekap, yang seterusnya akan memberi faedah kepada negeri Selangor.
Selaras dengan dasar-dasar kerajaan Pakatan Rakyat, katanya, rakyat termiskin di Selangor, yang sebahagian besarnya bumiputera, akan mendapat manfaat daripada faedah tersebut.
"Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya," kata Pua.
Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.
http://www1.malaysiakini.com/news/92137
No comments:
Post a Comment