Sunday, November 9, 2008

Lembaga Disiplin Umno kaji cara kempen ala AS


Sabtu November 8, 2008

KOTA BAHARU: Lembaga Disiplin Umno sedia mengkaji sistem berkempen dana Presiden Amerika Syarikat untuk menilai keberkesanannya dalam mengekang politik wang yang berleluasa di dalam Umno.


Badan itu bersedia mengkaji sistem pelaksanaan itu jika ia mampu membawa kesan yang baik kepada parti dan negara.


"Kita belum kaji lagi tetapi mungkin jika ada pihak yang memikirkan perkara itu dapat membawa kebaikan kita akan menambaikkannya," kata Pengerusinya, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail di Melor di sini hari ini.


Laporan media hari ini memetik beliau berkata, lebih 900 aduan telah diterima mengenai amalan politik wang ketika tempoh pemilihan sekarang ini.


Dua hari ini beliau juga mengakui bahawa badan pemantau pemilihan Umno juga mendapati ada calon yang mengamalkan gejala politik wang dan salah guna kuasa bagi mencari sokongan dan menghalang seseorang calon daripada memperoleh pencalonan dan bertanding.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak supaya menggunakan kaedah pengurusan dana oleh badan bebas berkempen dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat untuk mengelakkan gejala pelobi dan politik wang.


Semalam beliau juga telah meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.


Katanya, beliau sudah pun berulang kali memberikan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan Umno empat tahun lalu.


Pemilihan di peringkat 191 bahagian Umno di seluruh negara dan pencalonan untuk jawatanjawatan tertinggi parti itu telah bermula sejak 9 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir esok.


Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan Umno yang berada di hotelhotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau serta dikenakan tindakan.


Ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi caloncalon dipercayai menjadi pihak yang menyalurkan wang kepada perwakilan peringkat bahagian untuk membuat pencalonan calon-calon tertentu atau menolak manamana calon pesaing.


Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya juga akan meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membuat satu garis panduan bagi menangani gejala politik wang.


Beliau berkata, pada pertemuan dengan pegawai kanan BPR beberapa hari lalu, Lembaga Disiplin Umno turut meminta BPR supaya mencari satu kaedah untuk menyelesaikan gejala politik wang di dalam parti selain mengambil tindakan undang-undang kerana ia membawa keburukan kepada parti dan negara jika tidak ditangani segera.


"Politik wang adalah rasuah dan ia adalah perkara yang sangat jahat dan perkara yang sangat buruk kepada bangsa, agama dan negara," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/8/mstar_berita/20081108132936&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...