Saturday, November 15, 2008
‘Saya celaru, tertekan’
Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my
BUKTI...Shanum menunjukkan surat rujuk kedua yang kosong
tanpa tandatangannya dan saksi.
BALING: “Untuk kembali semula kepada suami pertama, jauh sekali...untuk bersama suami kedua, mahkamah pula larang! Saya celaru dan sangat-sangat tertekan,” kata Shanum Shaari, 35, wanita mempunyai dua suami yang diperintah mahkamah syariah supaya berpisah dengan suami keduanya.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Rawa, Sedim di sini semalam, suri rumah itu menceritakan perkara sebenar sebelum Hakim Syarie Mohd Roze Abdul Wahab memerintahkan dia berpisah dengan suami kedua, Syarif Jasin, 48, bagi mengelak mereka melakukan perkara ditegah hukum syarak.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas menerima permohonan rayuan suami pertama Shanum, Amir Affandy Zakaria, 39, supaya mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau memisahkan Shanum dengan Syarif yang bernikah di Yala, Thailand, pada 2005.
Wanita itu berkahwin seawal usia 19 tahun dengan Amir Affandy dan selepas dikurniakan enam anak, pasangan berkenaan bercerai dua kali iaitu pada 1996 dan 1997.
Bagaimanapun, selepas perceraian kedua, Amir Affandy menganggap dia merujuk kembali dengan Shanum berdasarkan surat rujuk bertarikh 27 Oktober 1997 yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Baling.
Namun begitu, Shanum enggan menerima semula Amir Affandy kerana sudah serik hidup bersama lelaki itu lalu mengambil keputusan pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Rawa di sini, manakala keempat-empat anak diambil suaminya.
Selepas lapan tahun tinggal berasingan, Shanum menganggap dirinya sebagai ibu tunggal dan berkahwin dengan Syarif.
Shanum berkata, hasil perkongsian hidup dengan suami pertama, mereka dikurniakan empat anak berusia 11 hingga 16 tahun yang tinggal bersama Amir Affendy, tetapi dia tidak dibenarkan bertemu mereka sejak 11 tahun lalu.
Hasil perkahwinan Shanum dengan Syarif pula, mereka dikurniakan dua anak iaitu Izatul Natasha, 2, dan Shafaatul Azmanisa Sharif, setahun.
Shanum berkata, selepas berkali-kali berulang alik ke Pejabat Agama Daerah Baling untuk mendapatkan surat rujuk, akhirnya seorang pegawai di situ memberitahunya surat itu mungkin hilang akibat banjir.
Kerana menganggap dirinya sudah diceraikan, dia bernikah dengan Syarif.
“Saya hairan bagaimana Mahkamah Tinggi Syariah (Alor Star) boleh membatalkan pernikahan ini sedangkan saya sudah banyak kali pergi ke Pejabat Agama Daerah Baling untuk mendapatkan surat cerai dengan suami pertama.
“Malah, saya hanya berkahwin dengan Syarif selepas menjanda lapan tahun lalu dan tetap gagal mendapatkan surat itu kerana didakwa tiada dalam simpanan mereka (Pejabat Agama Baling),” kata Shanum dengan nada kesal.
Justeru, Shanum dari Kampung Sedim, Karangan, Kulim, turut mempersoalkan surat rasmi kerajaan berbeza dan boleh diguna pakai di mahkamah.
Menurutnya, dia juga berasa teraniaya kerana mendakwa dokumen kosong itu boleh diguna pakai di mahkamah sehingga membatalkan pernikahannya yang sah.
Katanya, dia hairan bagaimana selepas dua minggu berkahwin dengan Sharif, tiba-tiba surat rujuk berkenaan ditemui yang secara tidak langsung menunjukkan kecuaian dan wujud agenda tertentu di pejabat agama itu.
“Saya tidak pernah menerima surat rujuk kali kedua daripada pihak berkenaan, malah juga daripada bekas suami sendiri sehingga terpaksa hidup bersendirian selama lapan tahun.
“Selepas itu, saya bernikah dengan Sharif di Yala, selatan Thailand selepas bercerai buat kali kedua dengan Amir pada 9 Ogos 1997,” katanya.
Shanum berkata, dia tidak puas hati dengan Pejabat Agama Daerah Baling yang didakwanya cuai kerana surat rujuk kedua itu tidak mempunyai tandatangannya dan saksi, tetapi masih boleh diterima mahkamah.
“Saya perlu membayar RM5 untuk pencarian surat rujuk itu, tetapi jawapan yang diberikan tidak ada. Tetapi selepas dua minggu berkahwin, tiba-tiba surat rujuk itu timbul dan dipercayai pihak berkenaan sengaja menyimpannya.
“Kalau ya pun, hantar surat rujuk kedua itu kepada saya, tetapi ini tidak. Selepas saya kahwin lain baru (surat rujuk) timbul,” katanya
Menurutnya, dia yang kebingungan akan memfailkan rayuan di mahkamah dalam tempoh 14 hari selain bercadang mengambil tindakan sivil terhadap Pejabat Agama Daerah Baling.
“Saya sudah menemui peguam untuk memfailkan rayuan selain memfailkan kes berkenaan (saman sivil) kerana kecuaian pihak terbabit dalam menangani masalah ini,” katanya.
Shanum berkata, dia berharap kisahnya menjadi teladan kepada semua wanita di negara ini.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081115100449/Article/index_html
No comments:
Post a Comment