Sunday, December 28, 2008
Hudud: Jangan gadai hukum Islam demi kawan
Isu hudud timbul untuk kali ke seribu
25 Dec 2008 9:57PM
Oleh Mohd Sayuti Omar
SEPERTI yang telah diduga dan sering berlaku hudud telah menjadi isu. Media kroni sudah palu canang, gong dan gendang menjual hudud menjelang pilihan kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan. Jaminan Husam Musa di Wancana Tranformasi Politik Malaysia dieksploitasikan sepenuhnya.
Melihat cara Umno memainkan isu itu menunjukkan parti itu kekeringan isu untuk ditaburkan di Kuala Terengganu. Apakah ini menunjukkan tanda-tanda awal kerusi Kuala Terengganu akan melayang ke tangan Pas? Pas sendiri masih belum membuat persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu, sehinggakan nama calonnya pun belum diumumkan, tetapi Umno sudah mabuk memikirkannya.
Isu hudud yang timbul untuk kali ke seribu ini, bukan salah Husam Musa sebenarnya, tetapi ia salah DAP. DAPlah yang perlu dipertanggungjawab dan dipersalahkan dengan bangkit semula isu hudud ini. Jika DAP tidak gatal mulut isu hudud tidak akan menjadi selantang hari ini.
Semuanya bermula apabila DAP memberi reaksi segera atas jaminan Husam kepada Khairy Jamaluddin pada malam itu. Tanpa merujuk kepada Husam sendiri dan kepada suasana dan semangat Husam bercakap mengenai hudud DAP terus pertikaikan Husam. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengerusinya, Karpal Singh terus bangkit mengecam hudud. Apa salah hudud?
Guan Eng atau Karpal Singh tidak sepatut melenting bila Husam memberi jaminan itu. Mereka harus faham dalam konteks apa Husam berkata mengenai hukum hudud itu. Husam tidak berkata di luar Kelantan tetapi di dalam negerinya sendiri. Karpal dan Guan Eng sepatutnya arif dan faham mengenai rencah dan sosio-politik Kelantan yang unik itu.
Lainlah kalau Husam memberi jaminan kerana diasak Khairy itu di luar Kelantan, misalnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Ipoh. DAP boleh pertikaikan kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada parti itu. Tetapi ini di Kelantan.
Seperkara yang DAP perlu tahu perjuangan Pas berbeza dengan perjuangan DAP. Pas berjuang untuk mendapat keredaan Allah yang memikul tanggungjawab kepada rakyat menceritakan soal dosa dan pahala. Menegak kebenaran dan menentang kemungkaran. Pas tidak boleh mengikut rentak DAP bermainan dengan politik chauvenismenya yang menerima kaedah matlamat menghalalkan cara. Pas yakin bahawa selepas kematian segala perjuangannya akan dihitung dan dihisab oleh Allah. Ini jelas.
Apalah salahnya kalau Husam memberi jaminan itu? Hudud bukan perkara baru tetapi ia menjadi agenda dan maksud perjuangan Pas itu sendiri. Bukan saja hudud tetapai apa saja yang diperintah Allah dan Rasulnya itulah yang akan diperjuangkan Pas. Pas tidak akan meninggalkan perintah Allah kerana ingin memenuhi harapan politik DAP. Bagi peribadi Husam sendiri sebagai seorang 'khalifah' beliau akan berdosa kalau tidak mengatakan jaminan itu.
Perlembagaan Pas menjelaskan maksud dan tujuan penubuhnanya. Hudud itu sebahagian daripada juzuk perjuangan Pas. Hudud akan terus diperkatakan selagi ianya tidak ditanggalkan dari perlembagaan Pas yang termaktub di bawah Fasal 5: (i) Mengenai penubuhan Pas yang berbunyi; memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintah terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Pada saya ketakutan Karpal Singh dan Guang Eng atau sesiapa saja kepada hudud tidak berasas. Kalau orang Islam yang menolak hudud, betapa teruknya keimanan seseorang muslim itu. Maaf bukan muslim lagi kalau tolak hudud! Tahulah sendiri apa hukumnya kalau kita menolak hukum Allah.
Bukan Islam juga tidak perlu takut kepada hudud? Kenapa kita harus jadi bodoh dan prejudis melulu dengan hudud. Perspektif penjenayah dihukum di bawah hukum hudud akan potong tangan, direjam dengan batu tidak betul sebenarnya. Gambaran yang pernah diberikan oleh pemimpin Umno mengenai hudud tidak benar dan berniat jahat. Gambaran itu terbit dari mereka yang jahil dan bencikan Islam.
Dalam sejarah perundangan Islam hudud tidak pernah bertindak sekejam itu. Dan bagi orang yang percaya kepada keadilan Allah, tidak akan mudah beranggapan demikian kerana hukuman Allah maha adil.
Yang menghairankan saya kenapakah orang yang telah mengatakan dia mengambil model pemerintah khalifah Umur Ibnu Aziz tetapi masih tidak faham mengenai hudud dan tetap meragui hudud? Kalau begitu nampak sangat orang yang mengucap dan mengatakan itu hanya untuk tujuan politik semata-mata dan bukan dari bilik hati sebenar.
Saya menyarankan kepada Guan Eng jangan membaca kisah Umur Ibnu Aziz dari konteks baginda membuat kebajikan saja, tetapi bagaimana Umu Ibnu Aziz (kerajaanya) menghukum penjenayah di zamannya. Kalau hendak membaca sirah Islam jangan diambil sebahagian tetapi bacalah keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah Pas dengan Umno ialah kerana Umno membaca dan mengamalkan sebahagian dari Kitabullah dan membuang dan tidak yakin kepada sebahagian yang lain.
Orang Islam dan Melayu jangan mudah terkapur dengan mereka yang bijak bermadah demikian, yang menerima Umur Ibnu Aziz tetapi tidak menerima kewarakan Umur kepada Tuhannya. Jelas kata-kata itu tidak ikhlas dan ia hanya dijadikan tarikan politik sahaja.
Suka saya mencadangkan berhubung hudud dan masalah dengan DAP ini, Pas hendaklah membuat ketetapan khusus mengenai hudud dalam Pakatan Rakyat. Jelaskan yang Pas hanya akan melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dimenangi saja dan tidak akan melaksanakan di negeri yang tidak dikuasainya.
Kalau perlu Pas perlu menegaskan hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah saja akan melaksanakan hukum hudud. Manakala negeri-negeri lain jangan dimasukkan dalam tujuannya. Walaupun langkah itu tidak bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengarahkan agar berdakwah dan melaksanakan hukumnya ke atas seluruh muka bumi ini, namun sebagai maslahat politik mungkin ia boleh dilaksanakan atas sifat sementara.
Mungkin para ulama, Majlis Syura ulama dan Mursyidul Am Pas boleh memberi pandangan mengenai cadangan ini.
* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang
http://www.klpos.com/news/2008/12/25/3.html
No comments:
Post a Comment