Monday, January 5, 2009

Obama dedah pelan rangsangan ekonomi


WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) semalam mengumumkan cadangan bagi menggalak pertumbuhan pekerjaan dan memulihkan ekonomi negara itu.

"Pakar ekonomi bersetuju bahawa kita perlu bertindak segera dan berani. Kita bakal menyaksikan lebih banyak masalah ekonomi termasuk kadar pengangguran melebihi 10 peratus," kata Obama menerusi ucapan radio mingguannya.

Katanya, negara itu memerlukan Pelan Pemulihan dan Pelaburan Semula untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Misi pertama Obama ialah untuk mencipta tiga juta peluang pekerjaan dengan 80 peratus berada di sektor swasta.

"Kita akan kurangkan kebergantungan terhadap minyak mentah luar. Kita akan meningkatkan pengeluaran tenaga boleh guna semula serta mengubah suai bangunan pejabat agar ia cekap mengguna tenaga," katanya.

Obama turut mencadangkan pelaburan jangka masa panjang seperti pembinaan prasarana, menaik taraf sistem kesihatan dan membina institusi-institusi pembelajaran.

"Pelan ini mesti direka dengan cara baru. Kita tidak boleh mengulang sikap membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan masalah. Ia perlu dilakukan secara pelaburan strategik," katanya.

Beliau turut dijadual menemui beberapa pemimpin Kongres esok untuk memuktamad pakej rangsangan ekonomi bernilai berbilion dolar yang akan diluluskan selepas dilantik secara rasmi sebagai presiden AS pada 20 Januari ini.

Menurut sejumlah laporan media, rang undang-undang perbekalan itu dijangka berjumlah AS$850 bilion (RM2.9 trilion) hingga AS$1 trilion (RM3.4 trilion). - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...