Muda Mohd Noor Jan 7, 09 2:21pm
Pakatan Rakyat memulakan kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan satu ceramah besar di Kampung Tanjung membabitkan empat tokoh utama PAS, PKR dan DAP.
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkempen di depan hampir 10,000 orang malam tadi.
Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim turut menyampaikan ucapan ringkas.
Kawasan tepi pantai seluas dua kilometer sesak sejak jam 9 malam dan Jalan Sultan Zainal Abidin yang menjadi laluan utama ke tempat ceramah penuh dengan kenderaan.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi mendakwa ada orang tertentu yang menyamar seperti orang PAS untuk mengelirukan penyokong-penyokong parti itu dalam pilihanraya kali ini.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan penyokong PAS tidak bertindak sendiri secara melulu.
"Biar kita (pemimpin) yang menentukan... biar kita bertindak," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap orang yang menyamar itu.
Anwar pula mendedahkan percubaan Umno yang mahu melaga-lagakan PAS dengan DAP dalam isu yang membabitkan syariat Islam.
Kata ketua pembangkang itu, tidak ada hak mana-mana orang bukan Islam untuk mempertikaikan hak orang Islam.
"Tetapi Umno khianat supaya kita berbeza pendapat dalam perkara tersebut. Berbeza pendapat dan pandangan bukanlah bermakna telah berlaku perpecahan sesama kita.
"Dalam Pakatan kita boleh berbeza pandangan politik," katanya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.
Nik Aziz pula bercakap mengenai keperluan orang Islam mengundi calon PAS.
Menurut menteri besar Kelantan itu, menolak PAS bermakna menolak Islam.
"Kerana perjuangan PAS bukan sahaja untuk dunia tetapi di akhirat juga.
"Kalau Umno kata ia buat pembangunan, PAS pun buat pembangunan tetapi PAS perjuangannya kerana Islam," katanya lagi.
Kit Siang pula berkata, tsunami politik yang tercetus dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu akan menjadi gelombang lebih besar jika Pakatan menang dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Kerana itu, katanya, adalah penting supaya gabungan pembangkang menang kerusi parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Abdul Wahid berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas Azharudin Mamat.
http://www1.malaysiakini.com/news/95950
No comments:
Post a Comment