Wednesday, January 21, 2009
Warga asing mula merempat - Bahana kilang tutup operasi, berhentikan pekerja
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA, ASRON MUSTAPHA, HISHAM IDRIS, SITI NOR AFZAN KASIMAN dan YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my
SEKUMPULAN warga Nepal hanya melepak di rumah mereka di Bandar Baru Bangi kerana diberhentikan atau dihadkan kerja oleh majikan masing-masing.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Kalangan pekerja warga asing yang selama ini menganggap negara ini sebagai 'lubuk rezeki' kini semakin terhimpit ekoran kelembapan ekonomi yang turut mengakibatkan Malaysia mendapat tempias.
Setakat ini ribuan pekerja terutama dalam sektor pengeluaran telah dikehendaki berhenti kerja sementara, tidak mendapat elaun kerja lebih masa malah tidak kurang pula diberhentikan terus kerana syarikat tempat mereka bekerja mengambil keputusan menjimatkan kos operasi.
Serentak itu timbul kebimbangan bahawa pekerja tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar terbiar dan 'merempat' ibarat anak ayam kehilangan ibu.
Oleh kerana tersepit mereka sanggup tinggal lebih masa dan bekerja secara haram dalam sektor lain malah mungkin ada yang sanggup menjadi penjenayah untuk menampung kehidupan.
Seorang warga Bangladesh, Mubarak Ali, 24, berkata, beliau kini tidak mempunyai sebarang pekerjaan selepas diberhentikan kerja kira-kira sebulan lalu di sebuah kilang plastik di Kajang.
Menurutnya, sebelum ini beliau boleh mendapat pendapatan sekitar RM1,000 sebulan termasuk bayaran kerja lebih masa.
"Tetapi kini ia tiada lagi kerana pengeluaran syarikat semakin berkurangan.
"Sampai sekarang saya sudah puas mencari kerja di merata-rata tempat," ujarnya yang kehilangan lima kilogram berat badan selepas berhenti kerja.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment