Saturday, February 14, 2009

Fardu kifayah - Kebajikan anak yatim

Isnin, Februari 09, 2009


Fardu kifayah - Kebajikan anak yatim


Posted by: Admin : Category: Tazkirah


RIWAYAT At-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang memelihara seorang anak yatim dengan memberi makanan dan minuman dengan puas, maka Allah s.w.t memasukkan ia ke dalam syurga kecuali ia mengerjakan dosa yang tidak dapat diampuni.

Malah menurut hadis Sahih Muslim, Rasulullah s.a.w turut bersabda: Orang yang memelihara anak yatim maka (aku) Nabi dan Dia seperti dua jari di syurga. Nabi bersabda sambil menunjukkan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan tengah.

Kedua-dua hadis di atas, jelas membuktikan sesungguhnya Allah s.w.t telah menjanjikan ganjaran syurga kepada umatnya yang memelihara dan memberi perlindungan kepada anak-anak yatim.

Sebagai umat Islam, adalah satu kewajipan menitikberatkan hak penjagaan anak-anak yatim termasuk tempat tinggalnya. Sepatutnya mereka diberi layanan istimewa seperti yang disebut di dalam al-Quran dan hadis.

Sekiranya mereka tidak diberi layanan yang sewajarnya, besar kemungkinan kita terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t. kerana mengabaikan satu golongan yang hilang tempat bergantung.

“Mereka juga seperti orang lain dan memerlukan kasih sayang. Jangan pinggirkan perasaan mereka sebaliknya berikanlah layanan yang baik,” ujar bekas Timbalan Pengetua Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Wan Akashah Wan Ab Hamid.

Allah berfirman dalam surah al-Ma’un ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menindas anak yatim, dan tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin.

Mereka yang menzalimi anak yatim tidak akan mendapat hak kerana tidak melayani anak-anak yatim dengan baik. Seperti mana dalam surah al-Fajr ayat 17 hingga 18. Allah berfirman bermaksud: Sekali kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.

Jelas di dalam al-Quran, golongan orang yang mendustakan agama ialah mereka yang tidak memberi layanan atau mengambil berat tentang anak-anak yatim dan bersikap lepas tangan.

Tambah Wan Akashah, Rasulullah s.a.w telah memberi contoh yang baik kepada umatnya bagaimana untuk melayani anak-anak yatim berdasarkan kepada sebuah kisah yang berlaku di zaman baginda.

Melembutkan hati

Pada suatu hari, Nabi hendak ke masjid menunaikan solat hari raya. Tiba-tiga baginda terserempak dengan seorang anak yatim yang sedang menangis. Lalu baginda bertanya, “Kenapa engkau menangis?” Budak itu menjawab, “Saya tidak mempunyai ayah dan rakan-rakan memakai baju baru tetapi saya keseorangan”.

Kemudian baginda membawa budak itu pulang ke rumah dan bertanya kepadanya, “Mahukah engkau mendapat seorang ayah iaitu Rasulullah s.a.w. dan saudara kamu ialah Fatimah?” Budak itu seterusnya dimandikan dan diberi pakaian baru.

Rasulullah s..a.w juga bersabda dari hadis riwayat at- Tabrani, di antara cara melembutkan hati seseorang, hendaklah mengusap kepala anak yatim. Ini merupakan kelebihan untuk orang-orang yang kurang sabar dan pemarah.

Bagaimanapun, keadaan rumah anak-anak yatim di Malaysia pada hari ini berada pada tahap sederhana. Dengan paparan imej yang daif dan menyedihkan, membuktikan keadaan mereka yang tidak terurus.

Akui beliau, sistem pengurusan rumah anak yatim di Malaysia harus berubah ke arah yang lebih profesional dan sepatutnya mereka menubuhkan satu persatuan agar dapat berhubung antara satu sama lain berkenaan kelemahan atau kekurangan yang boleh diperbaiki.

“Hal kebajikan anak yatim yang ditadbir dengan pengurusan cemerlang termasuk sebahagian daripada fardu kifayah iaitu ibadat yang dituntut oleh Allah,” jelas beliau yang kini sedang dalam proses menyiapkan tesis untuk Doktor Falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Menurut Wan Akashah, Rumah Il-ham Yayasan Anak-anak Yatim Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail (YAYPTTDI), merupakan contoh pengurusan dan pentadbiran rumah anak yatim yang terbaik dan wajar dijadikan contoh.

“Yayasan tersebut bukan sahaja menyediakan tempat tinggal malah konsepnya seperti sekolah berasrama penuh, di samping menitikberatkan pendidikan akademik dan agama. Inilah satu model rumah anak-anak yatim yang kita perlukan,” katanya merujuk kepada usaha Pengerusi YAYPTTDI, Hassanuddin Ali dan beberapa rakannya untuk menubuhkan rumah anak yatim tersebut.

Lawatan

Langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah, pihak pengurusan hendaklah melakukan lawatan ke sekolah-sekolah asrama penuh yang terbaik di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ini dapat dijadikan model kepada pengurusan institusi yang lebih sistematik dan menimba pengalaman mereka menguruskan sejumlah pelajar yang ramai di sekolah.

Beliau juga berpendapat, warden perlu diberi kemahiran dan kepakaran keibubapaan tentang kaedah untuk menangani dan mendidik anak-anak yang tidak mempunyai penjaga.

“Dengan adanya tempat tinggal, makanan yang cukup, pakaian ter-urus, pendidikan dan kasih sayang, maka mereka tidak akan merasa rendah diri dan dipinggirkan. Kita perlu ingat, kehilangan orang tersayang pada usia muda boleh menganggu emosi dan psikologi mereka. Suasana tempat tinggal yang penuh dengan kasih sayang dapat mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” jelas beliau lagi.

Pemberian sumbangan ataupun bantuan pula haruslah diteliti keperluannya terlebih dahulu. Ini amat penting supaya wang yang disalurkan tidak disalah gunakan untuk kepentingan peribadi.

Nabi bersabda, Setiap umat itu ada ujian dan ujian kepada umatku adalah harta. Bukankah wang dan harta boleh menyebabkan manusia hilang pedoman?

“Jika kita khusyuk ketika mendirikan solat. Begitu juga bila kita menguruskan rumah anak-anak yatim. Janganlah bersikap lepas tangan dan mengabaikan kebajikan mereka,” tegas beliau yang memandang berat terhadap soal pendidikan agama anak-anak yatim.

dipetik dari http://www.telagabi ru.net.my/ index/index. .php?option= com_content&task=view&id=68&Itemid=27

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...