Saturday, February 21, 2009

Tak BERJAYA-Usaha atau Nasib?

Rabu, Februari 18, 2009


Tak BERJAYA-Usaha atau Nasib?



Semasa menjadi tetamu perunding motivasi dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia Isnin lepas, pengacara ada bertanya tentang situasi seseorang yang telah berusaha, tetapi tidak berjaya. Adakah kerana usaha, atau nasib?


Pandangan saya, kita perlu lakukan sesuatu dengan betul, yang mengikut sains-sunnatullah alam ini. Bumi, mentari, bulan, planet, bintang, semuanya bergerak denan betul, di atas orbit sendiri. Bisnes, kerjaya, komunikasi, perhubungan, prestasi, perundingan, promosi, pemasaran, branding, pembentangan, interaksi, dan bermacam lagi; semuanya ada orbit yang tersendiri.Pelajarilah dan praktikkanlah ia.

Jikalau seseorang telah melakukan sesuatu dengan betul, tetapi masih tidak berjaya- itu boleh jadi beberapa kemungkinan. Ia bergantung kepada siapa orang yang mendapat hasil itu.

a) Jikalau dia merupakan seorang yang dicintai Allah, tetapi masih gagal; itu mungkin ujian dari Allah. Salah satu ujian untuk orang yang bertaqwa ialah kesusahan dan kegagalan. Jika seseorang itu menghadapi dengan hati yang terbuka dan berbaik sangka dengan tuhan, maka tuhan akan membalas dengan pahala. Ia juga boleh jadi satu kafarah, iaitu penghapus dosa-dosa yang lalu. Dan, ia juga mungkin suatu tazkirah, iaitu peringatan supaya memperbaiki kelemahan diri.

b) Jikalau dia seorang yang dibenci Tuhan, maka itu boleh jadi juga satu tazkirah- supaya orang itu sedar dan bertaubat kepada tuhannya. Ia juga boleh jadi satu bala, tanda kemurkaan tuhan kepada makhluknya.

Ada juga situasi yang mana seseorang itu tidak melakukan mengikut kaedah yang betul, tetapi masih memperolehi kejayaan. Untuk situasi ini, saya juga boleh bahagikan kepada dua jenis individu yang sama:

a) Bagi para rasul dan nabi, keadaan ini dinamakan mukjizat. Ia adalah keajaiban dan kehebatan di luar tabii alam. Ia tidak boleh dirungkai melalui sains. Bagi mereka yang mencapai tahap ketaqwaan yang tertentu; contohnya seperti para wali Allah, kehebatan mereka melakukan sesuatu di luar kaedah logik dinamakan sebagai ‘karamah’.

Dalam masa yang sama, ada juga orang-orang biasa yang mendapat kejayaan, walaupun mereka tidaklah berusaha dengan sebaik mungkin- mengikut ‘sains kejayaan’. Jika dia seorang yang disayangi Allah, anugerah itu boleh dianggap sebagai tuah dan nasib yang baik, yang mana Allah ingin menunjukkan kehebatanNya memberikan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Keadaan ini perlulah disyukuri dengan penuh rasa rendah diri kepada Allah.


Bagaimana pula mereka yang berhati busuk, tetapi masih mendapat apa yang mereka impikan- walaupun mereka tidak berusaha dengan kaedah yang betul? 

Keadaan ini dinamakan sebagai ‘istidraj’ dalam istilah Arabnya. Dalam erti kata lain, Allah memberikan kenikmatan dan kemewahan kepada mahkluk yang engkar padaNya, sebagai faktor untuk menambahkan kelalaiannya. Contoh yang jelas ialah seperti yang berlaku kepada Firaun, Namrud dan bermacam lagi kaum yang telah dimusnahkan oleh Allah sebelum ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...