Wednesday, May 20, 2009

Gas bocor: Guru, murid sesak nafas


Anggota bomba melakukan pembersihan dan membaiki sistem saluran paip gas yang bocor di Bukit Kemuning, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 20 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Emrald, Bukit Kemuning di sini pengsan akibat sesak nafas ekoran Stesen Pengagihan Gas yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah itu bocor semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, murid yang pengsan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Poliklinik Komuniti Shah Alam.

Selain murid yang pengsan, 50 lagi murid sekolah itu bersama tiga guru turut dihantar mendapat rawatan di hospital selepas mereka mengadu sesak nafas teruk, pening, muntah dan sakit tekak.

Bagaimanapun, kesemua murid dan guru itu telah dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Guru Besar sekolah tersebut, K. Chethraselvan berkata, semasa kejadian beliau tidak ada di sekolah kerana berkursus di Shah Alam.

"Saya yang pergi ke HTAR dan Poliklinik Komuniti terkejut melihat ramai murid sedang dirawat," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan kes pertama berlaku sejak sekolah itu dibuka dua tahun lalu.

Tambahnya, sekolah tersebut dibuka seperti biasa hari ini.

Sementara itu, seorang murid tahun dua, T. Hemalatha berkata, dia tiba-tiba rasa pening, sakit tekak dan muntah sebelum pengsan di dalam kelas setelah terhidu bau gas yang terlalu busuk.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...